Sunday, November 1, 2020

Nikmat Tuhan Kamu Yang Manakah Kamu Dustakan?

Dalam surah ar-Rahman ayat 14, ayat FABI AIYI ALAA’I ROBBIKUMAA TUKAZZIBAAN yakni nikmat Tuhan kamu yang manakah kamu dustakan, ayat ini diulang-ulang. Kenapa demikian? Menjawab persoalan itu Hazrat Maseeh Mau’udas bersabda:-

“Hal yang seperti ini di dalam kalam Allah Ta’ala mempunyai keagungan yang tersendiri. Terbukti dari dalam fitrat seorang insan bahawa kalam yang sesuai akan cepat diingati. Sebab itu dikatakan WALAQOD YASSARNAL QUR’AANA LIZ ZIKRI (al-Qamar:23) yakni dan sesungguhnya kami telah mempermudahkan al-Quran untuk mengingatinya.

Tujuan ayat FABI AIYI ALAA’I ROBBIKUMAA TUKAZZIBAAN diulang-ulang adalah untuk menegaskan sesuatu. Tetapi tidak perlu mempertikaikan perkara ini. Di dalam al-Quran ada ayat lain yang juga diulang. Aku juga menyukai amalan mengulangi kata-kata. Dalam tulisanku juga kalau ada yang memperhatikannya, mereka akan mendapati banyak kata-kata yang diulang-ulang. Orang yang tidak mengetahui hakikat sebenar akan membuat kesimpulan bahawa ia satu kelemahan atau mengatakan penulis sudah terlupa, sedangkan bukan disebabkan itu. Aku beranggapan, mungkin pembaca sudah lupa apa yang tertulis sebelumnya, sebab itu berkali-kali aku ingatkan supaya di tempat yang lain mata mereka akan terbuka. Itu sebenarnya bergantung kepada niat. INNAMAL A’MAALU BIN NIYYAT sesungguhnya amalan itu bergantung kepada niat.

Selain itu, mengkritik ayat berulang-ulang ini sebenarnya tidak ada manfaatnya. Ini juga merupakan fitrat semulajadi manusia bahawa benda yang tidak diulang-ulang, mereka akan lupa. SUBHAANA ROBBIYAL AZIIM dan SUBHAANA ROBBIYAL A’LAA juga kenapa diucapkan berulang-ulang? Kenapa tidak cukup hanya sekali? Sebabnya ialah ada rahsia di dalamnya bahawa dengan berulang-ulang diucapkan maka akan memberikan kesan mendalam, dan sedalam mana pun sikap lalai yang ada, dengan berulangkali dikatakan akan memberikan kesedaran kepadanya. Sebab itu Allah Ta’ala berfirman WAZKURUL LAAHA KASIIRAN LA’ALLAKUM TUFLIHUUN (al-Jumu’ah:11) yakni ingatlah kepada Allah dengan banyak supaya kamu mendapat kejayaan. Berhubungan dengan minda seseorang, dengan banyaknya diulang-ulang suatu perkataan akan menjadikannya ingat di dalam hafalannya. Demikian juga berkaitan dengan kerohanian, di situ juga memerlukan perkara berulang-ulang. ……..

Hazrat Imam Jaafarra mengatakan bahawa ‘saya mengulang-ulangi satu ayat dengan begitu banyak sekali sehingga akhirnya menjadi wahyu’. Orang Sufi juga cenderung ke arah ini dan maksud ayat WAZKURUL LAAHA KASIIRAN ialah ingatlah Allah dengan sebegitu banyak sehinggakan nama Allah Ta’ala menjadi keasyikan. Cara para nabi berkata-kata pun sedemikian rupa iaitu satu perkara diulang-ulang dengan pelbagai cara penyampaian. Tujuannya adalah supaya manusia mendapat manfaat. Aku sendiri melihat dan orang yang membaca kitab tulisanku juga tahu bahawa kalau empat halaman membaca kitabku, mereka akan mendapati suatu perkara diulang sehingga lima puluh kali dan tujuanku ialah dengan anggapan bahawa halaman sebelumnya mungkin pembaca kurang ambil perhatian atau hanya membaca seimbas lalu.

Jadi, inilah hikmah pengulangan di dalam al-Quran. Itu hanyalah ucapan kosong orang-orang bodoh yang menyatakan bahawa pengulangan ayat-ayat menunjukkan ketidaklancaran, biarkanlah mereka perkatakan. Maksud al-Quran adalah untuk mengubati orang sakit, maka sudah tentu pesakit akan diberikan ubat yang berulang-ulang. Kalau kaedah ini tidak betul, apabila seseorang pesakit datang kepada pengkritik seperti itu, maka kenapa mereka memberikan ubat yang sama berkali-kali? Kenapa dalam soal makanan, pakaian dan sebagainya mereka ambil yang berulang-ulang? Beberapa hari lepas, aku telah membaca dalam surat khabar di mana ada seorang Inggeris yang membunuh diri hanya disebabkan tidak bertahan apabila ditetapkan siang malam diberikan makanan dan lain-lain yang sama.

(Al-Hakam, jilid 9, nombor 40, tarikh 17 November 1905, halaman 9)

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...