Di dalam Al-Quran Tuhan kita telah menjelaskan tentang kemuliaan-Nya melalui ayat Qul Huwallaahu Ahad. Allaahus Shomad, Lam Yalid Wa Lam Yuulad, Wa Lam Yakul Laahuu Kufuwan Ahad yakni “Tuhan kamu ialah Tuhan yang dalam zat dan sifat-Nya adalah Satu. Tidak ada satu zat pun yang menyerupai zat-Nya yang kekal abadi sampai bila-bila, dan tidak juga mana-mana sifat yang dapat menyerupai sifat-sifat-Nya. Ilmu manusia itu terhad dan memerlukan mana-mana guru. Tetapi, ilmu Allah tidak memerlukan sesiapa, tambahan lagi ia tidak terhad. Pendengaran manusia adalah terhad dan memerlukan udara, tetapi pendengaran Tuhan tidak terhad dari segi zat-Nya. Penglihatan manusia juga terhad dan memerlukan matahari atau mana-mana cahaya untuk melihat sedangkan penglihatan Tuhan adalah dari cahaya asli dan tidak terbatas. Demikian juga bahawa apabila manusia mencipta sesuatu, mereka memerlukan sarana dan masa. Tetapi, Tuhan tidak ada batas masa dan tidak memerlukan sokongan, ini kerana semua sifat-sifat-Nya sempurna dan tidak ada serupanya. Jika ada satu sifat dalam keadaan kurang, maka sifat yang lain juga pasti dalam kekurangan. Sebab itu ketauhidan-Nya juga tidak kekal selagi sifat-sifat-Nya tidak seperti zat-Nya yang tidak ada serupa-Nya. Kemudian dijelaskan lagi bahawa Tuhan bukanlah anak kepada sesiapa dan Dia tidak mempunyai anak kerana zat-Nya Maha Meliputi. Dia tidak memerlukan ayah dan tidak juga anak. Inilah Tauhid yang diajarkan oleh Al-Quran dan asas kepada keimanan. (Lecture Sialkot, Rohani Khazain Jilid 20, halaman 154,155)
Katakanlah kepada mereka bahawa Tuhan itu Satu dan Maha Meliputi. Dia tidak mempunyai anak dan bukan ayah kepada sesiapa, dan tidak ada yang setanding dengan-Nya. (Majmu’ah Isytiharat Jilid 2, halaman 58,59)
Jika Rasulullahsaw tidak datang, jangankan kenabian malah bukti ketuhanan juga tidak akan diperolehi seperti ini. Melalui bagindasaw kita dapat mengetahui bahawa Qul Huwallaahu Ahad. Allaahus Shomad, Lam Yalid Wa Lam Yuulad, Wa Lam Yakul Laahuu Kufuwan Ahad. Jika dalam Taurat ada ajaran seperti ini dan Al-Quran hanya memberikan penjelasan, maka kenapa harus ada wujud Kristian? (Report Jalsa Salana 1897, halaman 51,52)
Kesaksian bumi dan langit memberitahu bahawa ini bukan hasil ciptaan Tuhan yang palsu tetapi memperlihatkan Tuhan yang Ahad, Shomad, Lam Yalid, Walam Yulad, iaitu Tuhan yang Hidup dan Kekal, dan itu yang dipersembahkan oleh Islam.
Paderi Pfander yang dahulu pernah datang ke India untuk mengadakan perbahasan tentang mazhab-mazhab dan banyak membuat bantahan tentang Islam. Dalam bukunya Mizanul Haq dia sendiri menulis dalam bentuk persoalan “jika ada suatu pulau yang belum diajarkan tentang Triniti, adakah penduduk di sana akan dihisab dengan ajaran Triniti di akhirat nanti?” Kemudian dia sendiri menjawab, “mereka akan dihisab dengan ajaran Tauhid”. Jadi, dari hal itu fahamilah bahawa seandainya gambaran Tauhid itu tidak diperolehi dalam segala benda, dan ajaran Triniti ini bukan buatan, maka dari mana datangnya istilah akan dihisab dengan akidah Tauhid. (Report Jalsa Salana 1897 halaman 71)
>>>bersambung<<<
(Tafsir Hazrat Maseeh Mau’udas, Jilid 8, halaman 416-417)
No comments:
Post a Comment