Saturday, November 30, 2019

Tabligh - Tanggungjawab Setiap Ahmadi

Allah Ta’ala berfirman di dalam Surah An-Nahl ayat 126. “Panggillah ke jalan Tuhan engkau dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik.”

Da’wat Ilallah atau seruan kepada Allah, atau dengan istilah mudahnya ialah TABLIGH, jika ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh, maka seiring dengan mendapatkan kebahagian di dunia, keredhaan Allah Ta’ala juga turut diperolehi.

Kita mempunyai keyakinan bahawa Ahmadiyah insyaAllah akan unggul di muka bumi. Orang-orang Ahmadi adalah pengikut Islam Ahmadiyah. Kita juga yakin bahawa Ahmadiyah adalah hakiki Islam. Dan pada zaman ini kebangkitan Islam kali kedua telah ditakdirkan oleh Allah melalui pencinta sejati Rasulullah SAW. Kalau bukan hari ini, pasti esok dunia akan dapat mengetahui bahawa Ahmadiyah adalah wakil khusus daripada Islam mempersembahkan ajaran yang sebenar. Sebagaimana firman Allah di dalam Al-Quran KATABALLAAHU LA’AGHLIBANNA ANAA WA RUSULII (Al-Mujadalah:22) “yakni Allah Ta’ala telah menetapkan bahawa Aku dan utusan-Ku pasti akan menang”. Jadi, sebagaimana yang telah dijanjikan kepada Rasulullah SAW, demikian juga ia sama seperti yang telah dijanjikan kepada Hazrat Maseeh Mau’udAS. Pada zaman ini, untuk menyebarkan ajaran Al-Quran di seluruh dunia telah ditetapkan ke atas diri Hazrat Maseeh Mau’udAS, sebab itu adalah tidak mungkin Allah Ta’ala tidak akan membantu beliau dalam melaksanakan tugas ini.

Hazrat Maseeh Mau’udAS berkata:-

“Sejak permulaan lagi Allah Ta’ala telah menegaskan bahawa sudah menjadi undang-undang dan sunnatullah, Dia dan utusan-Nya pasti akan berjaya. Oleh kerana aku adalah rasul yakni utusan-Nya, tetapi tanpa syariat atau dakwaan baru atau nama baru, malah mendapat nama dari Nabi Karim Khatamul Anbiya (SAW) dan aku datang di dalamnya dan menjadi bayangan kepadanya. Sebab itu aku katakan bahawa sebagaimana sejak dahulu lagi yakni dari zaman Adam sehingga zaman RasulullahSAW maksud ayat ini sentiasa benar, maka demikian juga ia akan menjadi bukti benar kepadaku. (Nuzul Maseeh, Rohani Khazain Jilid 18, halaman 380-381)

Jadi, setiap Ahmadi jangan ada di fikiran bahawa na’uzubillah jamaat ini suatu masa nanti akan terhindar dari pertolongan Allah Ta’ala, yakni jamaat tidak akan mendapat kemenangan. Walaubagaimana pun, fikiran setiap Ahmadi hendaklah jelas bahawa kemenangan ini apa sebenarnya? Adakah ia dalam bentuk penguasaan terhadap suatu kerajaan? Adakah kemenangan ini bermaksud bahawa Ahmadi akan menjadi majoriti di setiap negara? 

Hazrat Maseeh Mau’udAS bersabda:-

“Keterangan tentang Tuhan akan sempurna di muka bumi dan tidak ada yang dapat menandinginya. Demikian juga Allah Ta’ala akan menzahirkan kebenarannya dengan tanda-tanda yang agung, dan golongan yang hendak disebarkan di dunia ini, benihnya akan disemai melalui tangannya”. (Risalah Al-Wasiyat, Rohani Khazain Jilid 20, halaman 304)

Inilah kemenangan yang dikurniakan Allah kepada utusan-Nya. Melalui nabi dunia dapat mengetahui bahawa Tuhan itu ada. Dunia juga dapat mengenal pasti bahawa dalil-dalil dan keterangan yang disampaikan oleh nabi itu disokong oleh Allah. Tidak ada yang dapat melawan ilmu dan Irfan seorang nabi. Begitu juga selepas kewafatan seorang nabi, pengganti yang meneruskan pekerjaan ini juga akan tetap mendapat kejayaan.

Jadi, untuk memastikan dunia ini berdiri di atas paksi ketauhidan, dan untuk menjadikan mereka berkumpul di bawah agama yang satu maka apa yang sangat penting ialah tabligh, meningkatkan mutu akhlak, memohon pertolongan Allah melalui doa. Oleh itu, hari ini setiap Ahmadi, setiap orang yang mendakwakan diri sebagai pengikut Hazrat Maseeh Mau’udAS sangat perlu memahami tanggungjawab ini supaya menjadi sarana keberhasilan atas tujuan apa Hazrat Maseeh Mau’udAS diutus.

Memang Allah Ta’ala telah mengurniakan tanda-tanda dan dalil-dalil, dan hari ini kita dapat melihat bahawa kemajuan Jamaat terjadi melalui tanda-tanda tersebut. Kalau kita bandingkan dengan apa yang telah kita usahakan, ribuan bahagian pun tidak kelihatan usaha kita untuk memperolehi kurnia dan nikmat-nikmat Allah. Walaubagaimana pun, Allah telah memberitahu tentang kewajipan kita dan Hazrat Maseeh Mau’udAS juga menekankan perkara ini. Seandainya setiap dari kita tidak memberi perhatian ke arah ini, maka kita tidak akan menjadi pewaris kurnia-kurnia itu sebagaimana yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka yang benar-benar ada hubungan dengan Hazrat Maseeh Mau’udAS. Sebab itu kita perlu beri perhatian dalam perkara ini.

Memang buah itu bukanlah hasil usaha kita, nikmat-nikmat yang diberikan itu bukan kerana usaha kita. Semua itu hanyalah kurnia daripada Allah semata-mata ke atas orang-orang yang dikasihi-Nya dengan memberikan kemajuan-kemajuan yang sangat luar biasa, namun begitu kita diperintahkan untuk berusaha.

Allah Ta’ala berfiman WAMAN AHSANU QOULAN MIMMAN DA’AA ILALLAAHI WA AMILA SHOOLIHAU WAQOOLA INNANII MINAL MUSLIMIIN  (Ha Mim Sajdah:34) “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya dari orang yang menyeru manusia kepada Allah dan beramal soleh serta berkata, Sesungguhnya aku pun termasuk orang-orang yang berserah diri.”

Jadi, inilah perkara yang sangat ditekankan bahawa dalam melakukan Tabligh atau dakwat Ilallah, kita perlu melihat kepada amalan-amalan kita, berbuat amal soleh, dan dalam menunaikan hak-hak Allah dan hak-hak hamba kita berusaha mengamalkan apa yang telah diperintahkan sesuai dengan kemampuan kita masing-masing. Ini kerana tabligh tidak akan dapat disempurnakan selagi tidak memperhatikan ajaran Allah Ta’ala. Dan kita juga hendaklah memperhatikan keredhaan Allah Ta’ala. Dengan melihat amalan-amalan kita yang baik, barulah perhatian dunia akan tertumpu kepada kita.

Apabila kita mengumumkan kepada dunia bahawa kita tidak akan penat atau berhenti untuk terus menyebarkan amanat Islam ini, maka kita bertanggungjawab untuk menyempurnakannya. Memang kita kekurangan muballighin, namun kita bertanggungjawab untuk mencari jalan bagaimana kita maju dalam pertablighan.

Sebab itu kita hendaklah berfikir bagaimana mewujudkan satu kelompok yang giat bertabligh dan juga memberikan waktu untuk pekerjaan itu. Dalam ikrar tanzeem-tanzeem jemaat juga dinyatakan bahawa akan mengutamakan agama di atas dunia, sebab itu sekali lagi dikatakan bahawa kita perlu meluangkan waktu ke arah ini. Setiap dari kita hendaklah mencari jalan apa sahaja supaya tabligh dapat dikerjakan.

Huzur pernah memberi contoh bahawa di Amerika, walaupun kekangan ekonomi memaksa setiap penduduk perlu bekerja keras untuk mendapatkan sumber kewangan, kesibukan mereka tidak menghalang jalan pertablighan. Sebagai contoh ada seseorang yang mempunyai kedai, dengan kedai itulah dia dapat membuka jalan pertablighan. Pada mulanya di tempat berkenaan mereka risau bagaimana mendapatkan risalah-risalah, namun tidak lama selepas itu risalah dalam Bahasa Spanish sudah diperolehi. Dan oleh kerana medan tabligh semakin luas, mereka berkeinginan supaya ada muballigh yang berbahasa Spanish di tempat mereka. Demikianlah semangat bertabligh yang mereka miliki bukan hanya di kalangan orang dewasa, namun para pemuda juga giat menjalankannya.

Malah, ada seorang pemuda yang baru menjadi Ahmadi, dia menyatakan kepada Huzur bahawa ‘saya giat bertabligh, Bible saya kuasai 40%, sekarang saya berusaha menguasai dalil-dalil Al-Quran. Ini pun satu nasihat dan cabaran kepada kita, berapa peratus dalil-dalil Quran kita kuasai? Berapa peratus dalil-dalil Kristian kita kuasai?

Orang semakin jauh dari ajaran agama, jauh dari Tuhan, sebab itu menjadi tanggungjawab kita untuk menggiatkan pertablighan agar orang-orang yang semakin jauh dari ajaran agama, dan juga mereka yang semakin jauh dari jalan menuju Tuhan dapat ditarik kembali. Kita kena persembahkan semangat pertablighan ini dengan satu azam, bahawa pada zaman ini kalau bukan Ahmadi, tidak ada lagi yang akan menyampaikan amanat Islam ini dengan betul.

Kita yakin janji Allah kepada Hazrat Maseeh Mau’udAS juga akan sempurna dan ini adalah satu takdir Ilahi. Walaubagaimana pun, kalau kita mahu menjadi bahagian dalam penyempurnaan janji itu maka kita perlu mengubah cara berfikir kita. Kadang-kadang timbul di fikiran bahawa orang-orang yang ada di sekitar kita cenderung kepada keduniaan, sebab itu mereka tidak akan tertarik dengan apa yang akan kita sampaikan. Ini satu cara berfikir yang perlu diubah. Walaupun pada dasarnya kelihatan ramai yang tenggelam dalam keduniaan namun kita kena sematkan dalam hati bahawa banyak lagi orang-orang yang berfitrat suci sedang menunggu seruan kita.

Justeru itu, jangan lagi mencari-cari alasan. Di mana program-program yang telah dirancang, tanzeem juga hendaklah mengambil bahagian dalam penyempurnaan program itu. Namun, segala program yang telah dirancang, ia hanya akan berhasil dengan sempurna apabila mengikuti petunjuk daripada Hazrat Maseeh Mau’udAS. Apa sebenarnya yang diinginkan oleh Hazrat Maseeh Mau’udAS daripada kita?

Kadang-kadang kita berfikir, kami ini orang dunia, kami ini orang yang lemah, cukuplah kalau kami setakat baiat sahaja. Sebenarnya kita akan menghadap Allah Ta’ala dan akan dipertanggungjawabkan. Memang orang yang telah baiat kepada Hazrat Maseeh Mau’udAS lebib baik daripada orang Islam yang lain, dan telah terselamat dari mengingkari perintah Nabi untuk baiat. Tetapi, seorang mukmin yang hakiki ialah sentiasa berfikir untuk maju ke hadapan. Jangan hendaknya kita sekadar ASLAMNAA, yakni kami telah patuh, namun kita juga hendaklah berusaha untuk lebih maju dengan menzahirkan AAMANNAA.

Generasi terdahulu telah menunaikan tanggungjawab mereka. Pengorbanan-pengorbanan yang telah mereka persembahkan sangat luar biasa. Mereka berkeinginan agar setiap orang yang berfitrat suci dapat menerima kebenaran sebagaimana yang telah mereka temui. Perhatikan diri kita, kalau kita mahu menjadi pewaris-pewaris doa-doa mereka, maka kita perlu menghargai pengorbanan-pengorbanan mereka.

Kembali kepada ayat yang telah saya bacakan dipermulaan tadi. Ayat ini mengajarkan kita supaya melakukan Tabligh dengan cara bijaksana dan nasihat yang baik. Jangan menjadi seperti ulama-ulama dan orang-orang tidak berakal yang telah mencemarkan ajaran Islam dengan cara tindak tanduk mereka yang tidak bijaksana tetapi mengatasnamakan Islam. Kalau dengan cara bijaksana dan nasihat yang baik dilakukan dengan sempurna, dan orang ramai melihat kita dengan suatu pandangan yang takjub, maka mereka secara bertahap akan tertarik kepada ajaran yang benar.

Keadaan dunia Islam yang sekarang ini sudah mendapat nama yang buruk, sebenarnya satu peluang kepada kita untuk menyampaikan amanat Islam yang hakiki. Sebab itu berkali-kali ditegaskan bahawa cara kita jangan sampai menyamai cara para ulama-ulama yang telah merosakkan imej Islam itu sendiri. Namun begitu, petunjuk Al-Quran hendaklah diikuti dengan sempurna.

Sesuai dengan petunjuk Al-Quran, Allah Ta’ala memerintahkan kita agar melakukan tabligh dengan cara bijaksana, secara berterusan, dengan berlapang dada. Kita juga harus memperhatikan emosi dan perasaan orang lain. Untuk dalil-dalil hendaklah dari Al-Quran dan juga kitab-kitab Hazrat Maseeh Mau’udAS. Kita juga harus melihat kedudukan seseorang berdasarkan ilmu, akal dan kedudukan mereka dalam masyarakat. Jika kita dapat laksanakan hal ini dengan niat yang suci semata-mata kerana Allah, sudah pasti ia akan memberi kesan. Dan inilah yang menjadi pedoman untuk para nabi-nabi, mereka menyeru kaum masing-masing dengan mengatakan “aku menyeru supaya kemarilah menuju Allah, menuju kepada kebaikan-kebaikan dan aku tidak meminta apa-apa ganjaran”. Inilah ajaran Al-Quran.

Bahagian terakhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa kalau segala usaha, keberanian dan setiap kemampuan yang ada kita iringi dengan memohon doa kepada Allah, maka Allah Ta’ala akan memberikan kita orang-orang yang berfitrat baik, insyaAllah. Ini kerana hanya Allah yang tahu siapa yang akan menerima seruan ini. Orang yang berfitrat jahat tidak akan mengambil manfaat daripada seruan ini.

Mari kita sama-sama renungkan kembali, sejauh mana kita telah mengamalkan perintah Allah untuk menyampaikan amanat Islam ini kepada orang di sekitar kita? Seandainya kita telah berhasil menyempurnakannya, maka Alhamdulillah. Tetapi jika masih jauh ketinggalan, kita perlu bangun untuk memperbaikinya. Segala kelemahan-kelemahan sebelumnya, kita lupakan dan tanamkan misi baru untuk menggiatkan pertablighan di negara kita. Ansarullah, Khuddamul Ahmadiyah dan Lajnah Imaillah perlu muhasabah kembali tentang peranan masing-masing bahawa akan mengutamakan agama di atas urusan dunia.

Satu perkara yang perlu dijelaskan iaitu apa yang dimaksudkan dengan HIKMAH atau BIJAKSANA? Jangan sampai disalah tafsir sebab hal ini pernah diterangkan oleh Huzur bahawa bukanlah maksud hikmah itu kita bertolak ansur dalam semua perkara. Sebagai contoh apabila ada orang menyatakan bahawa Nabi Isa anak tuhan, maka kita berdiam diri dengan alasan mahu menjaga perasaan orang lain. Itu bukan hikmah namanya tetapi menyokong akidah syirik. Tuntutan hikmah dalam perkara ini ialah bagaimana kita boleh menjelaskan akidah tersebut dengan penuh kebijaksanaan sehingga orang terdiam dan terpengaruh mendengar penjelasan kita.

Memang bukan mudah untuk bertabligh dan tidak semua boleh bertabligh sesuai dengan tuntutan Hazrat Maseeh Mau’udAS. Sebab itu Hazrat Maseeh Mau’udAS selalu memperingatkan anggota Ahmadi.

Hazrat Maseeh Mau’udAS bersabda:-

“Ingatlah bahawa orang yang bertindak keras dan selalu marah, maka dari mulutnya tidak akan keluar makrifat dan hikmah. Hatinya akan terhindar dari perkara-perkara hikmah apabila segera menjadi emosi ketika berhadapan dengan lawannya. Dari bibirnya juga tidak akan keluar ucapan-ucapan yang baik. Marah dan hikmah tidak boleh berkumpul bersama. Orang yang dikuasai perasaan marah maka akalnya kurang dan pemahaman cetek. Mereka tidak akan pernah mendapat nasib untuk menang di lapangan. (Malfoozaat Jilid 3)

Sebab itu Hazrat Khalifatul Maseeh Vatba pernah berkata bahawa Allah Ta’ala memerintakan kita untuk bertabligh, tetapi jangan lupa bahawa orang yang memanggil kepada Allah mesti juga seorang yang beramal baik. Dan itulah da’i ilallah yang patuh kepada Allah dan juga memiliki amalan yang baik. Jangan pernah terjadi bahawa kita sibuk bertabligh tetapi melupakan asas ajaran yang perlu kita kuasai.

Semoga Allah memberikan kita semua taufik ke arah itu.

Ceramah Jalsah Salanah Singapore 2019, Salahuddin Bin Syed Ali

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...