Allah Ta’ala berfirman di dalam Surah An-Nahl ayat 126. “Panggillah ke jalan Tuhan engkau dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik.”
Da’wat Ilallah atau seruan kepada Allah, atau dengan istilah
mudahnya ialah TABLIGH, jika ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh, maka
seiring dengan mendapatkan kebahagian di dunia, keredhaan Allah Ta’ala juga
turut diperolehi.
Kita mempunyai keyakinan bahawa Ahmadiyah insyaAllah akan unggul di
muka bumi. Orang-orang Ahmadi adalah pengikut Islam Ahmadiyah. Kita juga yakin
bahawa Ahmadiyah adalah hakiki Islam. Dan pada zaman ini kebangkitan Islam kali
kedua telah ditakdirkan oleh Allah melalui pencinta sejati Rasulullah SAW.
Kalau bukan hari ini, pasti esok dunia akan dapat mengetahui bahawa Ahmadiyah
adalah wakil khusus daripada Islam mempersembahkan ajaran yang sebenar.
Sebagaimana firman Allah di dalam Al-Quran KATABALLAAHU LA’AGHLIBANNA ANAA WA
RUSULII (Al-Mujadalah:22) “yakni Allah Ta’ala telah menetapkan bahawa Aku dan
utusan-Ku pasti akan menang”. Jadi, sebagaimana yang telah dijanjikan kepada
Rasulullah SAW, demikian juga ia sama seperti yang telah dijanjikan kepada
Hazrat Maseeh Mau’udAS. Pada zaman ini, untuk menyebarkan ajaran Al-Quran di
seluruh dunia telah ditetapkan ke atas diri Hazrat Maseeh Mau’udAS, sebab itu
adalah tidak mungkin Allah Ta’ala tidak akan membantu beliau dalam melaksanakan
tugas ini.
Hazrat Maseeh Mau’udAS berkata:-
“Sejak permulaan lagi Allah Ta’ala telah menegaskan bahawa sudah
menjadi undang-undang dan sunnatullah, Dia dan utusan-Nya pasti akan berjaya.
Oleh kerana aku adalah rasul yakni utusan-Nya, tetapi tanpa syariat atau
dakwaan baru atau nama baru, malah mendapat nama dari Nabi Karim Khatamul
Anbiya (SAW) dan aku datang di dalamnya dan menjadi bayangan kepadanya. Sebab
itu aku katakan bahawa sebagaimana sejak dahulu lagi yakni dari zaman Adam
sehingga zaman RasulullahSAW maksud ayat ini sentiasa benar, maka demikian juga
ia akan menjadi bukti benar kepadaku. (Nuzul Maseeh, Rohani Khazain Jilid 18,
halaman 380-381)
Jadi, setiap Ahmadi jangan ada di fikiran bahawa na’uzubillah
jamaat ini suatu masa nanti akan terhindar dari pertolongan Allah Ta’ala, yakni
jamaat tidak akan mendapat kemenangan. Walaubagaimana pun, fikiran setiap Ahmadi
hendaklah jelas bahawa kemenangan ini apa sebenarnya? Adakah ia dalam bentuk
penguasaan terhadap suatu kerajaan? Adakah kemenangan ini bermaksud bahawa
Ahmadi akan menjadi majoriti di setiap negara?
Hazrat Maseeh Mau’udAS bersabda:-
“Keterangan tentang Tuhan akan sempurna di muka bumi dan tidak ada
yang dapat menandinginya. Demikian juga Allah Ta’ala akan menzahirkan
kebenarannya dengan tanda-tanda yang agung, dan golongan yang hendak disebarkan
di dunia ini, benihnya akan disemai melalui tangannya”. (Risalah Al-Wasiyat,
Rohani Khazain Jilid 20, halaman 304)
Inilah kemenangan yang dikurniakan Allah kepada utusan-Nya. Melalui
nabi dunia dapat mengetahui bahawa Tuhan itu ada. Dunia juga dapat mengenal
pasti bahawa dalil-dalil dan keterangan yang disampaikan oleh nabi itu disokong
oleh Allah. Tidak ada yang dapat melawan ilmu dan Irfan seorang nabi. Begitu
juga selepas kewafatan seorang nabi, pengganti yang meneruskan pekerjaan ini
juga akan tetap mendapat kejayaan.
Jadi, untuk memastikan dunia ini berdiri di atas paksi ketauhidan,
dan untuk menjadikan mereka berkumpul di bawah agama yang satu maka apa yang
sangat penting ialah tabligh, meningkatkan mutu akhlak, memohon pertolongan
Allah melalui doa. Oleh itu, hari ini setiap Ahmadi, setiap orang yang
mendakwakan diri sebagai pengikut Hazrat Maseeh Mau’udAS sangat perlu memahami
tanggungjawab ini supaya menjadi sarana keberhasilan atas tujuan apa Hazrat
Maseeh Mau’udAS diutus.
Memang Allah Ta’ala telah mengurniakan tanda-tanda dan dalil-dalil,
dan hari ini kita dapat melihat bahawa kemajuan Jamaat terjadi melalui
tanda-tanda tersebut. Kalau kita bandingkan dengan apa yang telah kita
usahakan, ribuan bahagian pun tidak kelihatan usaha kita untuk memperolehi
kurnia dan nikmat-nikmat Allah. Walaubagaimana pun, Allah telah memberitahu
tentang kewajipan kita dan Hazrat Maseeh Mau’udAS juga menekankan perkara ini.
Seandainya setiap dari kita tidak memberi perhatian ke arah ini, maka kita
tidak akan menjadi pewaris kurnia-kurnia itu sebagaimana yang dikurniakan oleh
Allah kepada mereka yang benar-benar ada hubungan dengan Hazrat Maseeh
Mau’udAS. Sebab itu kita perlu beri perhatian dalam perkara ini.
Memang buah itu bukanlah hasil usaha kita, nikmat-nikmat yang
diberikan itu bukan kerana usaha kita. Semua itu hanyalah kurnia daripada Allah
semata-mata ke atas orang-orang yang dikasihi-Nya dengan memberikan
kemajuan-kemajuan yang sangat luar biasa, namun begitu kita diperintahkan untuk
berusaha.
Allah Ta’ala berfiman WAMAN AHSANU QOULAN MIMMAN DA’AA ILALLAAHI WA
AMILA SHOOLIHAU WAQOOLA INNANII MINAL MUSLIMIIN
(Ha Mim Sajdah:34) “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya dari orang
yang menyeru manusia kepada Allah dan
beramal soleh serta berkata, Sesungguhnya aku pun termasuk orang-orang yang
berserah diri.”
Jadi, inilah perkara yang sangat ditekankan bahawa dalam melakukan
Tabligh atau dakwat Ilallah, kita perlu melihat kepada amalan-amalan kita,
berbuat amal soleh, dan dalam menunaikan hak-hak Allah dan hak-hak hamba kita
berusaha mengamalkan apa yang telah diperintahkan sesuai dengan kemampuan kita
masing-masing. Ini kerana tabligh tidak akan dapat disempurnakan selagi tidak
memperhatikan ajaran Allah Ta’ala. Dan kita juga hendaklah memperhatikan
keredhaan Allah Ta’ala. Dengan melihat amalan-amalan kita yang baik, barulah
perhatian dunia akan tertumpu kepada kita.
Apabila kita mengumumkan kepada dunia bahawa kita tidak akan penat
atau berhenti untuk terus menyebarkan amanat Islam ini, maka kita
bertanggungjawab untuk menyempurnakannya. Memang kita kekurangan muballighin,
namun kita bertanggungjawab untuk mencari jalan bagaimana kita maju dalam
pertablighan.
Sebab itu kita hendaklah berfikir bagaimana mewujudkan satu
kelompok yang giat bertabligh dan juga memberikan waktu untuk pekerjaan itu.
Dalam ikrar tanzeem-tanzeem jemaat juga dinyatakan bahawa akan mengutamakan
agama di atas dunia, sebab itu sekali lagi dikatakan bahawa kita perlu
meluangkan waktu ke arah ini. Setiap dari kita hendaklah mencari jalan apa
sahaja supaya tabligh dapat dikerjakan.
Huzur pernah memberi contoh bahawa di Amerika, walaupun kekangan
ekonomi memaksa setiap penduduk perlu bekerja keras untuk mendapatkan sumber
kewangan, kesibukan mereka tidak menghalang jalan pertablighan. Sebagai contoh
ada seseorang yang mempunyai kedai, dengan kedai itulah dia dapat membuka jalan
pertablighan. Pada mulanya di tempat berkenaan mereka risau bagaimana
mendapatkan risalah-risalah, namun tidak lama selepas itu risalah dalam Bahasa
Spanish sudah diperolehi. Dan oleh kerana medan tabligh semakin luas, mereka
berkeinginan supaya ada muballigh yang berbahasa Spanish di tempat mereka.
Demikianlah semangat bertabligh yang mereka miliki bukan hanya di kalangan
orang dewasa, namun para pemuda juga giat menjalankannya.
Malah, ada seorang pemuda yang baru menjadi Ahmadi, dia menyatakan
kepada Huzur bahawa ‘saya giat bertabligh, Bible saya kuasai 40%, sekarang saya
berusaha menguasai dalil-dalil Al-Quran. Ini pun satu nasihat dan cabaran
kepada kita, berapa peratus dalil-dalil Quran kita kuasai? Berapa peratus
dalil-dalil Kristian kita kuasai?
Orang semakin jauh dari ajaran agama, jauh dari Tuhan, sebab itu
menjadi tanggungjawab kita untuk menggiatkan pertablighan agar orang-orang yang
semakin jauh dari ajaran agama, dan juga mereka yang semakin jauh dari jalan
menuju Tuhan dapat ditarik kembali. Kita kena persembahkan semangat
pertablighan ini dengan satu azam, bahawa pada zaman ini kalau bukan Ahmadi,
tidak ada lagi yang akan menyampaikan amanat Islam ini dengan betul.
Kita yakin janji Allah kepada Hazrat Maseeh Mau’udAS juga akan
sempurna dan ini adalah satu takdir Ilahi. Walaubagaimana pun, kalau kita mahu
menjadi bahagian dalam penyempurnaan janji itu maka kita perlu mengubah cara
berfikir kita. Kadang-kadang timbul di fikiran bahawa orang-orang yang ada di
sekitar kita cenderung kepada keduniaan, sebab itu mereka tidak akan tertarik
dengan apa yang akan kita sampaikan. Ini satu cara berfikir yang perlu diubah.
Walaupun pada dasarnya kelihatan ramai yang tenggelam dalam keduniaan namun
kita kena sematkan dalam hati bahawa banyak lagi orang-orang yang berfitrat
suci sedang menunggu seruan kita.
Justeru itu, jangan lagi mencari-cari alasan. Di mana
program-program yang telah dirancang, tanzeem juga hendaklah mengambil bahagian
dalam penyempurnaan program itu. Namun, segala program yang telah dirancang, ia
hanya akan berhasil dengan sempurna apabila mengikuti petunjuk daripada Hazrat
Maseeh Mau’udAS. Apa sebenarnya yang diinginkan oleh Hazrat Maseeh Mau’udAS
daripada kita?
Kadang-kadang kita berfikir, kami
ini orang dunia, kami ini orang yang lemah, cukuplah kalau kami setakat baiat
sahaja. Sebenarnya kita akan menghadap Allah Ta’ala dan akan
dipertanggungjawabkan. Memang orang yang telah baiat kepada Hazrat Maseeh
Mau’udAS lebib baik daripada orang Islam yang lain, dan telah terselamat dari
mengingkari perintah Nabi untuk baiat. Tetapi, seorang mukmin yang hakiki ialah
sentiasa berfikir untuk maju ke hadapan. Jangan hendaknya kita sekadar
ASLAMNAA, yakni kami telah patuh, namun kita juga hendaklah berusaha untuk
lebih maju dengan menzahirkan AAMANNAA.
Generasi terdahulu telah menunaikan tanggungjawab mereka.
Pengorbanan-pengorbanan yang telah mereka persembahkan sangat luar biasa.
Mereka berkeinginan agar setiap orang yang berfitrat suci dapat menerima
kebenaran sebagaimana yang telah mereka temui. Perhatikan diri kita, kalau kita
mahu menjadi pewaris-pewaris doa-doa mereka, maka kita perlu menghargai
pengorbanan-pengorbanan mereka.
Kembali kepada ayat yang telah saya bacakan dipermulaan tadi. Ayat
ini mengajarkan kita supaya melakukan Tabligh dengan cara bijaksana dan nasihat
yang baik. Jangan menjadi seperti ulama-ulama dan orang-orang tidak berakal
yang telah mencemarkan ajaran Islam dengan cara tindak tanduk mereka yang tidak
bijaksana tetapi mengatasnamakan Islam. Kalau dengan cara bijaksana dan nasihat
yang baik dilakukan dengan sempurna, dan orang ramai melihat kita dengan suatu
pandangan yang takjub, maka mereka secara bertahap akan tertarik kepada ajaran
yang benar.
Keadaan dunia Islam yang sekarang ini sudah mendapat nama yang
buruk, sebenarnya satu peluang kepada kita untuk menyampaikan amanat Islam yang
hakiki. Sebab itu berkali-kali ditegaskan bahawa cara kita jangan sampai menyamai
cara para ulama-ulama yang telah merosakkan imej Islam itu sendiri. Namun
begitu, petunjuk Al-Quran hendaklah diikuti dengan sempurna.
Sesuai dengan petunjuk Al-Quran, Allah Ta’ala memerintahkan kita
agar melakukan tabligh dengan cara bijaksana, secara berterusan, dengan
berlapang dada. Kita juga harus memperhatikan emosi dan perasaan orang lain.
Untuk dalil-dalil hendaklah dari Al-Quran dan juga kitab-kitab Hazrat Maseeh
Mau’udAS. Kita juga harus melihat kedudukan seseorang berdasarkan ilmu, akal
dan kedudukan mereka dalam masyarakat. Jika kita dapat laksanakan hal ini
dengan niat yang suci semata-mata kerana Allah, sudah pasti ia akan memberi
kesan. Dan inilah yang menjadi pedoman untuk para nabi-nabi, mereka menyeru
kaum masing-masing dengan mengatakan “aku menyeru supaya kemarilah menuju
Allah, menuju kepada kebaikan-kebaikan dan aku tidak meminta apa-apa ganjaran”.
Inilah ajaran Al-Quran.
Bahagian terakhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa kalau
segala usaha, keberanian dan setiap kemampuan yang ada kita iringi dengan
memohon doa kepada Allah, maka Allah Ta’ala akan memberikan kita orang-orang
yang berfitrat baik, insyaAllah. Ini kerana hanya Allah yang tahu siapa yang
akan menerima seruan ini. Orang yang berfitrat jahat tidak akan mengambil
manfaat daripada seruan ini.
Mari kita sama-sama renungkan kembali, sejauh mana kita telah
mengamalkan perintah Allah untuk menyampaikan amanat Islam ini kepada orang di
sekitar kita? Seandainya kita telah berhasil menyempurnakannya, maka
Alhamdulillah. Tetapi jika masih jauh ketinggalan, kita perlu bangun untuk
memperbaikinya. Segala kelemahan-kelemahan sebelumnya, kita lupakan dan
tanamkan misi baru untuk menggiatkan pertablighan di negara kita. Ansarullah,
Khuddamul Ahmadiyah dan Lajnah Imaillah perlu muhasabah kembali tentang peranan
masing-masing bahawa akan mengutamakan agama di atas urusan dunia.
Satu perkara yang perlu dijelaskan iaitu apa yang dimaksudkan
dengan HIKMAH atau BIJAKSANA? Jangan sampai disalah tafsir sebab hal ini pernah
diterangkan oleh Huzur bahawa bukanlah maksud hikmah itu kita bertolak ansur
dalam semua perkara. Sebagai contoh apabila ada orang menyatakan bahawa Nabi
Isa anak tuhan, maka kita berdiam diri dengan alasan mahu menjaga perasaan
orang lain. Itu bukan hikmah namanya tetapi menyokong akidah syirik. Tuntutan
hikmah dalam perkara ini ialah bagaimana kita boleh menjelaskan akidah tersebut
dengan penuh kebijaksanaan sehingga orang terdiam dan terpengaruh mendengar
penjelasan kita.
Memang bukan mudah untuk bertabligh dan tidak semua boleh
bertabligh sesuai dengan tuntutan Hazrat Maseeh Mau’udAS. Sebab itu Hazrat
Maseeh Mau’udAS selalu memperingatkan anggota Ahmadi.
Hazrat Maseeh Mau’udAS bersabda:-
“Ingatlah bahawa orang yang bertindak keras dan selalu marah, maka
dari mulutnya tidak akan keluar makrifat dan hikmah. Hatinya akan terhindar
dari perkara-perkara hikmah apabila segera menjadi emosi ketika berhadapan
dengan lawannya. Dari bibirnya juga tidak akan keluar ucapan-ucapan yang baik.
Marah dan hikmah tidak boleh berkumpul bersama. Orang yang dikuasai perasaan
marah maka akalnya kurang dan pemahaman cetek. Mereka tidak akan pernah
mendapat nasib untuk menang di lapangan. (Malfoozaat Jilid 3)
Sebab itu Hazrat Khalifatul Maseeh Vatba pernah berkata bahawa
Allah Ta’ala memerintakan kita untuk bertabligh, tetapi jangan lupa bahawa
orang yang memanggil kepada Allah mesti juga seorang yang beramal baik. Dan
itulah da’i ilallah yang patuh kepada Allah dan juga memiliki amalan yang baik.
Jangan pernah terjadi bahawa kita sibuk bertabligh tetapi melupakan asas ajaran
yang perlu kita kuasai.
Semoga Allah memberikan kita semua taufik ke arah itu.
Ceramah Jalsah
Salanah Singapore 2019, Salahuddin Bin Syed Ali
No comments:
Post a Comment