Wednesday, April 14, 2021

Daras Ramadan (02)

 Kepentingan dan Keberkatan Puasa

 Allah Ta’ala berfirman:-

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” [Al-Baqarah: ayat 184]

Diriwayatkan oleh Hazrat Abu Hurairahra bahawa Rasulullahsaw bersabda; “Allah Azza Wa Jalla berfirman: Setiap amalan anak Adam itu untuknya, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Aku akan memberikan ganjarannya.” (Maksudnya, sebagai balasan atas kebaikannya, Aku akan memberikan kunjungan-Ku kepadanya). Allah Taala berfirman bahawa Puasa itu adalah perisai, maka janganlah (seseorang yang sedang berpuasa) mengucapkan ucapan yang kotor, dan janganlah bertindak bodoh, dan jika ada orang yang sewenang-wenang merebut haknya atau mencelanya, maka katakan, ‘Saya sedang puasa’. Demi Zat yang nyawa Muhammad di Tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari kasturi, ini adalah disebabkan dia melakukannya demi Allah Taala). Bagi orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan, apabila berbuka dia gembira dan apabila bertemu dengan Tuhannya dia gembira dengan puasanya.

Betapa beberkatnya ibadah puasa ini sehingga setiap pergerakan dan diamnya orang yang berpuasa itu bertukar menjadi ibadah. Jadi, Rasulullahsaw bersabda: “Diamnya orang puasa adalah ibadah. Tidurnya orang puasa adalah ibadah, doanya dikabulkan dan ganjaran pahala bagi amal ibadahnya dilipatgandakan.” (Kanzul Ummal)

Daripada Abu Ayyub al-Ansarira, meriwayatkan bahawa Rasulullahsaw bersabda:

"Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diiringinya dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal (kecuali hari pertama Aidilfitri), itu sama seperti berpuasa selama setahun. (kerana satu puasa menyamai 10 pahala, oleh itu 36 puasa menyamai 360 pahala)."

Hazrat Khalifatul Masih Ke-IVra bersabda: Orang-orang yang meninggalkan puasa ini mereka tidak dapat bayangkan kebaikan-kebaikan apa yang telah mereka terlepas. Mereka tidak dapat menahan lapar untuk beberapa hari, mereka tidak dapat menahan beberapa peraturan untuk beberapa hari, mereka telah terlepas nikmat yang sangat besar.

Rasulullahsaw bersabda: Barangsiapa yang meninggalkan walaupun satu puasa tanpa sebarang keuzuran dan sakit, maka berpuasa seumur hidup pun tidak boleh menggantikannya.”

Hazrat Aqdas Maseeh Mau’udas bersabda: Perkara ketiga di dalam rukun Islam ialah puasa. Orang ramai juga tidak menyedari hakikat puasa. Puasa bukan hanya sekadar berlapar dan menahan dahaga, malah satu daripada hakikat dan kesannya dapat diketahui melalui pengalaman. Di dalam fitrah manusia, semakin sedikit makan, semakin banyak ia dapat menyucikan diri dan semakin meningkat kekuatan melihat kasyaf. Keinginan Tuhan Yang Maha Esa adalah supaya seseorang itu mengurangkan satu makanan dan menambah makanan yang lain. Orang yang berpuasa harus selalu ingat bahawa ini tidak bererti dia hanya berlapar, tetapi dia harus sibuk dalam mengingati Allah untuk meraih Tabattul dan Inqita’. Oleh itu, tujuan dari puasa ialah manusia meninggalkan satu roti yang hanya menyuburkan tubuh dan memperoleh roti lain yang menjadi sumber ketenangan dan kepuasan bagi jiwa dan mereka yang berpuasa hanya untuk Tuhan dan bukan sebagai ritual semata-mata harus berterusan di dalam memuji dan memuliakan Allah Taala serta bertahlil (membaca Laa ilaha illAllah). Agar mereka memperoleh makanan yang lain. (Tafsir Hazrat Maseeh Mau’udas Jilid 1 ms. 440)

Semoga Allah Taala memberi taufik kepada kita semua untuk berpuasa dan meraih keberkatan-keberkatannya dengan sebanyak yang mungkin. Amin.

Tuesday, April 13, 2021

Daras Ramadan (01)

Kepentingan dan Keberkatan Bulan Ramadan

Allah Ta’ala berfirman di dalam Al-Quran:-

“Bulan Ramadan ialah bulan yang di dalamnya Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang nyata mengenai petunjuk dan Furqan. Maka barangsiapa di antaramu hadir pada bulan ini hendaklah ia berpuasa di dalamnya, tetapi barangsiapa sakit atau dalam perjalanan, maka berpuasalah sebanyak bilangan itu pada hari-hari lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan Dia tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan supaya kamu menyempurnakan bilangan itu dan supaya kamu mengagungkan Allah, kerana Dia telah memberi petunjuk kepadamu dan supaya kamu bersyukur.” [Al-Baqarah: ayat 186]

Hazrat Salman Al-Farisira meriwayatkan bahawa Rasulullahsaw bersabda: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka dia mendapat ganjaran dibebaskan dari api neraka dan keampunan ke atas dosa-dosanya. Lalu ditanyakan kepada Rasulullahsaw: “Wahai Rasulullah! Bukanlah kesemua kami ini mampu untuk memberikan sesuatu untuk orang berpuasa berbuka”. Maka Rasulullahsaw menjawab: “Allah memberikan pahala ini kepada sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa dengan susu yang dicampur dengan air, sebiji kurma, atau air minuman.” Ramadan ialah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya maghfirah (pengampunan) dan akhirnya pembebasan dari api neraka. Dan orang yang meringankan beban pekerjanya dan memberi tugas yang sedikit kepadanya, Allah Taala akan mengampunkan dosa orang tersebut dan membebaskannya dari api neraka.

Hazrat Khalifatul Masih As-Salisrh bersabda: Bulan Ramadan ialah himpunan lima ibadah yang utama. Yang pertama ialah puasa, kedua perhatian terhadap mendirikan solat. Kemudian Qiyamullail yakni mendirikan solat nafal di malam hari. Ketiga menilawatkan ayat Al-Quran sebanyak yang mungkin. Keempat kemurahan hati dan kelima menyelamatkan diri daripada gejolak nafsu. Himpunan kelima-lima ibadah yang utama itu disebut ibadah bulan Ramadan. (Khutbah Nasir, 2/954)

Suatu ketika Rasulullahsaw bersabda: “Berilah perhatian yang khusus kepada bulan Ramadan kerana ia adalah bulan Allah yang sangat mulia dan penuh keberkatan. Dia telah membiarkan kamu selama sebelas bulan yang di dalamnya kamu makan dan minum dan dapatkan apa sahaja yang kenikmatan yang kamu inginkan, namun dia telah mengkhususkan satu bulan.” (Majma’ Az-Zawaid)

Bagindasaw bersabda: Apabila bulan Ramadan tiba maka pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup dan syaitan diikat. (Bukhari)

Beliausaw bersabda: Orang yang bangun di malam hari pada bulan Ramadan dengan niat memperoleh pahala maka segala dosa-dosanya yang lalu diampunkan. Hazrat Anasra meriwayatkan bahawa Rasulullahsaw bersabda: Bulan Ramadan dinamakan sebagai Ramadan kerana ia membakar dosa-dosa sehingga menjadi debu.

Semoga Allah Taala memberi taufik kepada kita semua untuk meraih segala keberkatan di bulan Ramadan yang penuh beberkat ini. (Amin)

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...