Wahai anak-anak!
Kita
semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya
Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wasallam. Manusia diajarkan tentang peradaban
secara bertahap sehingga mencapai satu kedudukan di mana mereka dapat menyambut
dan memahami ajarannya.
Tempat
kelahiran baginda sallallaahu alaihi wasallam juga merupakan tempat yang
terpilih dan sangat diberkati serta amat menakjubkan iaitu MEKAH.
Kenapa
begitu? Ketika tempat ini dipilih, ia sangatlah terbiar, kering dan gersang,
tidak ada air, tidak ada tumbuhan, tidak ada pokok dan tidak ada penduduk.
Cuba
bayangkan bagaimana Allah memperlakukan tempat ini?
Kita
tahu bahawa jika ada seseorang yang berpangkat besar hendak melawat suatu
kawasan, maka tempat itu akan dipersiapkan dengan segala kemudahan, dihiasi
dengan pelbagai kelengkapan yang indah, penduduk juga akan berkumpul untuk
menyambutnya.
Begitulah
juga Allah mempersiapkan tempat ini demi menyambut seorang nabi yang agung,
pemimpin rohani yang sangat dikasihi oleh Tuhan. Kalau manusia yang bekerja
saja pun kita dapat melihat kerja tangan mereka yang sangat baik, bayangkan
jika Allah sendiri yang merancang, bagaimana sempurna dan hebatnya persiapan
yang dibuat.
Tempat
yang kering dan gersang ini dimakmurkan, orang ramai dikumpulkan, dan banyak
lagi kemudahan yang Allah sediakan untuk persiapan kedatangan seorang pemimpin
yang agung ini.
Ribuan
tahun sebelum kelahiran Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, Nabi Ibrahim
alaihissalam diutus ke dunia. Beliau mempunyai tiga orang isteri. Hazrat Sarah,
Hazrat Hajar (puteri seorang penguasa Mesir) dan Hazrat Qaturah.
Ketika
Nabi Ibrahim alaihissalam berusia lebih 80 tahun, beliau belum lagi dikurniakan
anak. Namun beliau tetap berdoa kepada Allah dengan penuh keyakinan dan tidak
putus asa.
Akhirnya,
doa beliau dikabulkan dan Hajar telah mendapat khabar gembira dari Malaikat
bahawa 'engkau akan mendapat anak dan nama anak itu Ismail'. Seiring
dengan itu juga beliau diberikan khabar bahawa 'Aku akan kembangkan anak
keturunan engkau sehingga tidak dapat dihitung banyaknya'.
Wahai anak-anak!
Dari
keturunan Nabi Ismail alaihissalam, Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wasallam
telah lahir. Betapa agungnya Nabi Ismail alaihissalam. Ayahnya seorang nabi,
ibunya seorang puteri penguasa Mesir, dan dari anak keturunan beliau juga lahir
seorang nabi.
Mari
kita telusuri sedikit sejarah Hazrat Hajar dan Nabi Ismail alaihissalam.
Hazrat
Sarah tidak ada anak waktu itu. Dia telah mengatakan kepada Nabi Ibrahim
alahissalam "keluarkan Hajar dan anaknya Ismail". Mendengar
hal itu, Nabi Ibrahim alaihissalam sangat sedih sekali. Dari segi kudrat
semulajadi, beliau sudah tua, dan baru sahaja mendapat anak. Mengeluarkan
mereka dari rumah sudah semestinya satu hal yang sangat menyedihkan hati.
Namun,
Allah memberikan ketenangan ke atas beliau. Allah Ta'ala mengatakan 'jangan
risau, Aku hendak membentuk satu kaum dari keturunan Hajar. Kerana dia juga
dari keturunan engkau'.
Nabi
Ibrahim alaihisalam adalah seorang nabi yang sangat setia. Apa sahaja perintah
Tuhan, walaupun kelihatan agak sukar dilaksanakan, menuruti perintah itu
merupakan satu keutamaan. Demikian juga dalam hal ini, beliau telah menyediakan
bekalan makanan dan bekas air. Beliau membawa Hazrat Hajar dan anaknya Hazrat Ismail
yang masih kecil menuju arah yang telah diberitahu oleh Tuhan.
Setelah
berjalan jauh dan memasuki tanah Arab di kota Hijaj, suatu lembah di Mekah,
maka beliau yakin bahawa mereka sudah tiba di tempat yang dituju sesuai dengan
perintah Allah. Di lembah yang gersang itu, tidak ada air, tidak ada tumbuhan,
dan sudah tentu tidak ada penduduk kerana tidak ada sumber kehidupan.
Walaubagaimana pun, Nabi Ibrahim alaihissalam meninggalkan mereka anak beranak
di situ dengan penuh keberanian dan ketabahan. Beliau meletakkan barang bekalan
dan mula berangkat meninggalkan mereka.
Apabila
Hajar yang melihat suaminya berangkat pergi, dia mengekorinya dan berkata; "Kenapa
tinggalkan kami di sini? Apa kesalahan kami sehingga kami diberikan hukuman
begini?".
Nabi
Ibrahim alaihissalam yang sangat sedih tidak dapat menjawab apa-apa. Namun,
oleh kerana mendengar dan melihat isteri yang tidak tentu arah dalam kesedihan itu,
beliau menoleh dan mengarahkan jari telunjuk ke atas langit. Akhirnya, wanita
yang solehah itu dapat memahami bahawa semua ini merupakan perintah Tuhan.
Nampak
tak anak-anak!
Moyang
Nabi kita Muhammad sallallaahu alaihi wasallam memiliki kecintaan yang mendalam
kepada Tuhan dan dia yakin bahawa pengorbanan pada jalan Allah tidak akan
sia-sia. Akhirnya, dengan penuh tawakkal dia pergi ke arah anak yang
ditinggalkan dan duduk di sebelahnya.
Nabi
Ibrahim alaihissalam pun berdoa:-
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan
sebahagian keturunanku di lembah yang tandus dekat rumah Engkau yang suci.
Wahai Tuhan kami! Supaya mereka dapat mendirikan solat. Maka, jadikanlah hati
manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki berupa buah-buahan,
supaya mereka selalu bersyukur." (Ibrahim:38)
Wahai
anak-anak!
Peristiwa
yang dihadapi oleh Hazrat Hajar dan Hazrat Ismail alaihissalam sangat
menyedihkan. Setelah beberapa lama ditinggalkan, bekalan makanan dan minuman
sudah kehabisan. Anak kecil itu mula merasa haus, Hazrat Hajar menjadi
kebingungan lalu mencari air di sana sini tetapi tidak menjumpainya.
Kemudian,
anak kecil itu semakin haus, kebimbangan Hazrat Hajar juga semakin tinggi.
Hazrat Ismail semakin tidak tahan lagi, dia meraung-raung meminta air, Hazrat
Hajar bangkit segera dan mengadap muka ke atas langit seolah-olah merayu-rayu
kepada Tuhan. Lalu dia berlari ke sana ke mari mencari air.
Dia
berlari menuju bukit Safa, kemudian turun lagi melihat anaknya, selepas itu
berlari lagi menuju bukit Marwah dan melabuhkan pandangan sejauh yang mungkin
dengan harapan ada sumber air atau sekurang-kurangnya kelihatan mana-mana
kafilah supaya dia mendapat air untuk diberikan kepada anaknya yang sedang
kehausan. Namun, tetap saja tidak kelihatan apa-apa.
Tanpa
disedari, dia sudah berpusing sebanyak tujuh kali dalam kebingungan dengan
memohon daripada Allah:-
"Ya
Tuhan! Janganlah berikan kami sebarang ujian lagi. Kami ditinggalkan di sini
semata-mata demi Engkau. Hanya Engkaulah yang boleh menolong kami dan
menjauhkan kerisauan kami".
Akhirnya,
pada pusingan yang ketujuh, dia mendengar satu suara:-
"Wahai
Hajar! Tuhan telah mendengar engkau dan anak engkau".
Mendengar
suara itu, Hazrat Hajar dengan segera berpusing dan berlari menuju anaknya. Apa
yang dia lihat, di tempat hentakan kaki Hazrat Ismail alaihissalam ketika
meraung kehausan, di tempat itu kelihatan lembap. Dia mengalihkan tanah lembap
itu secepatnya lalu memancutlah air.
Dia
segera memberikan air itu kepada Hazrat Ismail alaihissalam, dan dia sendiri
juga meminumnya. Pada masa yang sama, dia memanjatkan rasa syukur yang tidak
terhingga ke hadirat Ilahi walaupun masih kehairanan atas nikmat itu bagaimana
ia berlaku. Dia melihat berkali-kali tempat air itu mengalir sedangkan
sebelumnya tidak ada apa-apa.
Mata
air itu secara perlahan-lahan semakin deras mengeluarkan air. Tanpa
disengajakan keluar dari mulut Hazrat Hajar perkataan ZAMZAM yakni
'bertakunglah, bertakunglah', dan akhirnya sumber mata air itu dikenali sebagai
ZAMZAM sehingga hari ini.
Kemudian
Hazrat Hajar terfikir jangan-jangan air ini akan habis, lalu dia menyusun batu
di sekelilingnya.
Diriwayatakan
daripada Hazrat Abbas radhiallaahu anhu bahawa Rasulullah sallallaahu alaihi
wasallam bersabda:-
"Tuhan!
Kasihilah Hajar, kerana jika dia tidak menahan air itu, sudah tentu ia menjadi
sumber mata air yang mengalir."
Baginda
juga bersabda:-
"Ketika
menunaikan Haji, berlari di antara Safa dan Marwa merupakan satu tanda ingatan
suci kepada Hazrat Hajar."
Wahai
anak-anak!
Nampak
tak perlakuan Allah Ta'ala ke atas orang-orang yang dikasihi. Air boleh muncul
di kawasan gurun sahara. Jadi, sesiapa sahaja yang berkorban pada jalan Allah
Ta'ala, maka setiap gerakan mereka itu akan disenangi oleh Allah dan menjadikan
mereka sentiasa diingati oleh generasi seterusnya. Setiap orang di seluruh
dunia mengingati mereka dan mendoakan kebaikan-kebaikan untuk mereka.
Syukur
kepada Allah kerana telah memberikan air. Tetapi bagaimana pula dengan makanan?
Hal ini pun telah diatur oleh Allah. Mari kita lihat bagaimana kejadian itu?
Dari
Yaman, ada satu kabilah Jurhum sedang menuju Syam, mereka telah terlupa jalan
sehingga tersesat. Ini berlaku berhampiran dengan Mekah dan berkumpul di situ.
Suatu hari mereka melihat ada burung air berterbangan di udara sehingga menjadi
hairan bagaimana burung air boleh berada di kawasan gurun ini. Apa
burung-burung ini buat?
Ketua
mereka berkata; "Kita sudah beberapa kali melalui kawasan ini, di sini
tidak ada air. Tetapi bagaimana hari ini ada burung air di sini?"
Semua sepakat untuk mengambil tahu. Beberapa orang pergi mengikuti burung itu.
Akhirnya mereka melihat ada air sedang mengalir dan berdekatan dengan mata air
itu terdapat seorang wanita bersama anak kecil.
Dengan
segera mereka memberitahu ketua. Semua merasa gembira dan berlari menuju tempat
itu. Mereka pun memang mencari air, lalu semuanya berpindah ke sana.
Kabilah
Jurhum sangat menghormati Hazrat Hajar bila memikirkan tentang mukjizat itu.
Ketua mereka berkata kepada Hazrat Hajar; "Kalau kamu izinkan, kami
akan mendirikan khemah di sini." Hazrat Hajar yang kehairanan atas
nikmat itu dengan segera memberikan izin. Itulah cara Allah Ta'ala menjadikan
kesepian mereka berakhir. Ketua kabilah itu bernama Mudhad bin Amar Jurhumi.
Kabilah inilah yang akhirnya mendiami Mekah.
Wahai
anak-anak!
Seperti
yang telah dinyatakan sebelumnya bahawa air di kawasan gurun sahara itu sangat
berharga. Setiap kafilah yang melalui kawasan itu, mereka hendaklah mendapatkan
izin dari Hazrat Hajar untuk berhenti. Mereka juga akan memberikan makanan yang
mereka miliki kepada Hazrat Hajar. Setelah mendapatkan air, mereka meneruskan
perjalanan.
Beginilah
cara Allah Ta'ala menyediakan makanan yang baik kepada Hazrat Hajar dan Hazrat
Ismail. Kafilah datang dari pelbagai daerah yang jauh bersama makanan mereka.
Cuba lihat Kudrat Allah Ta'ala, sejak kecil lagi Hazrat Ismail alaihissalam
telah dijadikan pemilik sumber mata air di kawasan gurun itu.
Begitu
ramai kafilah yang datang ke Mekah secara berterusan, dan disebabkan mata air
itu, kafilah-kafilah merasa terhutang budi kepada Hazrat Hajar sehingga mereka
begitu hormat kepadanya.
Beberapa
orang sudah mulai tinggal menetap di situ. Daripada khemah, ia telah bertukar
menjadi rumah yang kekal. Dengan adanya air, kurma pun juga mulai tumbuh di
gurun. Tumbuh-tumbuhan juga mulai teratur. Janji Allah Ta'ala iaitu "Aku
akan menjadikan tempat ini makmur", sebab itulah sarana-sarana lain
juga telah dipersiapkan. Secara perlahan-lahan akhirnya Mekah menjadi bandar
yang masyhur. Mereka yang baru datang sangat memuliakan pemilik mata air iaitu
Hazrat Hajar.
Hazrat
Ismail membesar di dalam persekitaran orang-orang dari Kabilah Jurhum. Dengan
perwatakan beliau yang suci dan fitrat yang baik, ramai orang terpengaruh.
Bahasa Hazrat Ismail adalah Ibrani, namun disebabkan bergaul dengan kabilah itu
menyebabkan Hazrat Ismail juga telah menguasai bahasa Arab. Ini menjadikan
bahasa Arab digunakan di Mekah.
Anak-anak
sekalian!
Sebenarnya
Mekah mendapat berkat yang hakiki adalah disebabkan Kaabah. Allah Ta'ala
berfirman di dalam Al-Quran:-
"Sesungguhnya
rumah pertama yang didirikan untuk faedah manusia adalah yang di Bakkah, yang
penuh dengan berkat dan petunjuk bagi seluruh alam." (Ali Imran:97)
Antara
kelebihan Kaabah adalah pengorbanan Hazrat Ismail. Ketika beliau berusia lebih
kurang 13 tahun, terdapat satu kisah yang sangat masyhur ialah ketika Hazrat
Ibrahim menerima perintah dari Tuhan untuk mengorbankan anaknya Ismail. Dan
apabila mereka sudah bersedia melakukannya, Allah Ta'ala menghalangnya dan
memerintahkan agar menyembelih binatang.
Korban
yang dilakukan ketika menunaikan ibadat Haji, itu adalah untuk menyegarkan
ingatan kita terhadap peristiwa itu. Setiap tahun jutaan orang yang melakukan
korban ini setiap kali Eidul Adha semata-mata demi memperingati semangat
mereka.
Jadi,
cuba bayangkan apabila Allah Ta'ala telah berjanji bahawa "Aku akan
berikan berkat dan keturunan engkau tidak akan dapat dihitung".
Bagaimana perlakuan Allah dalam menyempurnakan janji-Nya.
Apabila
Hazrat Ismail meningkat remaja, beliau telah bernikah dengan anak perempuan
ketua Kabilah Jurhum (Mudhadh bin Amar). Dengan perkahwinan itu mereka mendapat
12 orang anak. Senarainya ada disebutkan di dalam kitab Injil (Kejadian 25:13)
Senarai
anak-anak keturunan Hazrat Ismail adalah seperti berikut:-
1.
Nebayot 2. Kedar 3. Adbeel
4.
Mibsam 5. Misyma 6. Duma
7.
Masa 8. Hadad 9. Tema
10.
Yetur 11. Nafish 12. Kedma
Dari
keturunan ini telah membentuk kabilah-kabilah. Atas nama mereka itu ada nama
kaum mereka yang mana dengan peredaran masa, ada beberapa perubahan dari segi
nama.
Anak-anak
Hazrat Ismail tersebar ke seluruh Arab, Palestin dan Yaman. Kebanyakan orang di
Mekah yang dikenali sebagai Quraish adalah berasal dari keturunan Kedar.
Anak-anak
sekalian!
Hazrat
Ismail alaihissalam adalah penguasa pertama di Mekah kerana beliau yang menjaga
Kaabah. Beliau juga pemilik mata air Zamzam dan disebabkan air Zamzam, penduduk
mula menempati sekitar itu. Kemudian, dalam kehidupan beliau juga anak-anak
keturunannya telah mendapat kemajuan.
Kabilah
yang datang ke Mekah untuk air Zamzam, mereka telah melihat Hazrat Ismail
alaihissalam dan anak-anaknya melakukan tawaf rumah yang suci itu. Maka, mereka
juga akhirnya mengikuti amalan itu. Mereka mempersembahkan kesulitan dan berdoa
di hadapannya agar terhindar dari kesusahan, lalu doa mereka terkabul. Akhirnya
Kaabah menjadi masyhur. Kaabah yang begitu terkenal telah menjadikan Mekah
bandar yang maju dan makmur.
Dengan
itu, seluruh kabilah Arab melakukan tawaf sepanjang tahun di Kaabah dan
lebih-lebih lagi pada musim Haji. Bukan hanya dari Arab, malah dari kejiranan
Arab dan tempat yang jauh juga mereka datang kerana mendengar Kaabah yang
masyhur itu. Dari situlah bermulanya perniagaan di Mekah.
Mekah
telah menjadi begitu terkenal pada zaman Hazrat Ismail alaihissalam. Beliau
juga sendiri telah menyaksikan anak-anaknya membesar dan mendapat kemajuan.
Akhirnya panggilan Ilahi telah sampai ke atas beliau iaitu beliau pergi
menghadap Ilahi ketika berusia 137 tahun.
Anak
sulung Hazrat Ismail alaihissalam iaitu Nebayot telah dijadikan sebagai penerus
beliau. Pada zaman beliau, keagungan Rumah Allah telah menjadi begitu terkenal.
Salah satu sebab yang diberitahu oleh ahli sejarah ialah datuk Hazrat Ibrahim
alaihissalam berasal dari Ur di bandar Babil dan neneknya berasal dari Mesir.
Dengan itu, dari kedua-dua tempat kafilah-kafilah datang dan berhenti di Mekah
menjalankan perniagaan. Melalui perniagaan itulah Mekah semakin terkenal.
Kafilah itu datang samada dengan niat berniaga atau untuk melakukan tawaf di
Kaabah, namun mereka akan membawa gembalaan. Dengan cara itu, Mekah menjadi
tempat mengumpul harta yang banyak, membantu mempersiapkan kemudahan
orang-orang haji dan juga orang miskin.
Selepas
Nebayot meninggal dunia, datuknya iaitu Mudhadh bin Amar Jurhumi dijadikan
sebagai penjaga Kaabah. Dengan itu kerajaan Mekah telah beralih dan dipimpin
oleh kabilah Jurhum. Kerajaan ini berlanjutan sehingga 660 tahun.
Anak-anak
sekalian!
Ada
satu lagi kabilah iaitu Kabila Khaza'ah, ia juga bercita-cita untuk menjadi
pemimpin Mekah. Mereka telah berperang dengan Kabilah Jurhum. Namun, niatnya
bukan hanya untuk kuasa, tetapi kekayaan yang terdapat di Kaabah itu menarik
minatnya. Hal itu tidak disukai oleh Allah.
Apa
yang Allah Ta'ala perlakukan? Pemimpin Kabilah Jurhum telah membuat keputusan
bahawa 'kita tidak akan serahkan kekayaan Kaabah dan mata air itu'. Akhirnya
dia telah memasukkan khazanah Kaabah itu ke dalam mata air, kemudian menutupnya
dengan tanah. Sebab itu mata air suci yang menjadi punca kemakmuran Mekah itu
telah hilang.
Apabila
Kabilah Khaza'ah memasuki Mekah, mata air itu telah hilang. Pemimpinnya menjadi
sangat hairan. Mereka berusaha mencari tetapi tidak menjumpainya. Pada zaman
itu terdapat kebiasaan menggali perigi, dengan itu mereka mendapat sedikit air.
Selang
beberapa lama, keagungan Mekah dan kemasyhuran Kaabah tetap seperti biasa.
Mekah telah menjadi pusat keagaaman untuk seluruh agama sebagaimana yang
dikehendaki oleh Allah Ta'ala dan perkembangannya juga semakin kelihatan.
Kabilah ini menguasai Mekah selama lebih kurang 500 tahun.
Namun,
kabilah ini tidak ada hubungan dengan Hazrat Ismail alaihissalam atau
keturunannya. Dan kita semua tahu bahawa nikmat ini adalah kurnia Allah Ta'ala
ke atas pengorbanan Hajrat Hajar dan juga Hazrat Ismail dan seterusnya ke atas
anak-anaknya. Sebab itu, sudah pasti kehendak Allah Ta'ala yang akan berlaku,
kerana waktu kelahiran wujud yang sangat agung (Nabi Muhammad sallallaahu
alaihi wasallam) pun sudah semakin hampir, maka nikmat ini, kekayaan ini,
kerajaan ini dan kemuliaan ini akan diberikan kepada mereka yang sepatutnya
layak.
Dari
sudut lain, dalam Kabilah Quraisy lahir seorang yang bernama Qushay bin Kilab.
Dikhabarkan bahawa beliau lahir pada tahun 500 Masihi. Apabila menjelang
remaja, dia terfikir bahawa hak ini sepatutnya milik nenek moyang dan anak-anak
mereka. Tetapi, kerana dia miskin, dia tidak berani berhadapan dengan
pemimpinnya kerana Kabilah Quraisy bertebaran di seluruh Arab.
Dia
mendapat satu jalan. Dia datang ke Mekah dan berkahwin dengan puteri Khulail
iaitu Hibba. Hibba merupakan anak perempuan tunggal bapanya. Sebab itu kerajaan
telah beralih kepadanya setelah kewafatan ayahnya bersama semua warisan. Secara
tidak langsung, warisan itu juga diperolehi oleh Qushay bin Kilab. Dengan
perlahan-lahan, dia mula merancang untuk mengambil semula hak mereka sehingga
timbul perbalahan, namun belum ada keputusan.
Kedua-dua
pihak menugaskan seseorang sebagai peguam. Akhirnya Qushay bin Kilab telah
dijadikan sebagai pemimpin Mekah dan penjaga Kaabah.
Sebagai
manusia biasa, mungkin kita terfikir bahawa semua ini terjadi secara kebetulan.
Namun, ini bukanlah kebetulan tetapi merupakan perancangan yang telah dibuat
oleh Allah Ta'ala.
Apabila
Allah Ta'ala melihat bahawa waktu kelahiran utusan yang agung itu semakin tiba,
maka Dia telah memberikan hak sebenar kekuasaan itu kepada mereka yang
sepatutnya. Itu semua dibuat untuk menyambut keadatangan tamu yang agung itu
nanti.
Selepas
itu, Mekah dikuasai oleh Kabilah Quraisy. Walaupun bandar Mekah sebenarnya
sudah maju, namun waktu itu hanya bangunan Kaabah sahaja yang bersifat kekal,
selebihnya bersifat sementara. Orang yang datang tinggal di Mekah, mereka tidak
membuat bangunan kekal hanya disebabkan Kaabah.
Qushay
bin Kilab seorang yang matang dan mahir dalam kepengurusan. Dia telah memanggil
semua suku dari Kabilah Quraisy untuk menetap di Mekah. Untuk memelihara
Kaabah, dengan meninggalkan beberapa ruang kosong yang luas, dia telah membina
bangunan kediaman yang kekal untuk Kabilah Quraisy supaya tidak ada kabilah
lain yang dapat membuat banguan mereka di situ.
Anak-anak
sekalian!
Sebelum
ini kita telah ceritakan tentang peralihan kerajaan Mekah kepada Kabilah
Quraisy. Maka, dengan itu penjagaan Kaabah juga menjadi tanggungjawab Quraisy.
Jadi, sekali lagi Allah Ta'ala telah memakmurkan Mekah dengan keturunan Hazrat
Ismail alaihissalam. Siapa yang memerintah Mekah, maka dia jugalah yang menjaga
Kaabah. Dan orang yang menjaga Kaabah, dia jugalah ketua kabilah dan merupakan
hakim di Mekah. Seluruh Tanah Arab menghormati kabilah ini.
Qushay
bin Kilab telah mengatur Quraisy dengan baik sekali. Dia telah memperkenalkan
sistem pemerintahan yang teratur di Mekah. Beberapa jawatan penting telah
diberikan kepada pelbagai kabilah-kabilah. Dia juga membina Counsel Hall yang
dipanggil Darul Nadwah untuk mengadakan perbincangan.
150
tahun sebelum kelahiran pewaris yang hakiki iaitu kekasih Allah, Rasulullah
sallallaahu alaihi wasallam, satu sistem suara majoriti telah terbentuk di mana
suara seorang tidak akan bebas. Dalam hal ini Qushay bin Kilab telah memainkan
peranan yang sangat penting. Dia mepunyai enam orang anak, yang paling sulung
ialah Abdul Dar. Dia telah dijadikan penerus oleh ayahnya, yakni tugas
penjagaan Kaabah telah diberikan kepadanya. Manakala bidang pentadbiran pula
diberikan kepada anaknya yang bernama Munaf.
Abdul
Dar tidak sama seperti ayahnya, dia kurang mahir dalam bidang pengurusan. Sebab
itu dia tidak dapat melakukan tugasnya sebaik yang mungkin. Selepas itu,
anaknya pula yang menggantikannya.
Abdul
Munaf telah dikurniakan empat orang anak. Keempat-empat mereka memiliki
kebolehan seperti datuk mereka. Selepas Abdul Manaf wafat, anak-anaknya iaitu
Abd Syams, Mutalib, Hashim dan Naufal ingin mengambil alih pengurusan Kaabah
daripada anak-anak bapa saudara mereka iaitu Abdul Dar. Hampir sahaja perang
berlaku di antara mereka, mujur orang ramai meleraikan dan sesuai dengan
persetujuan, mereka mendapat tugas untuk menguruskan para haji. Mereka sepakat
menugaskan Hashim untuk melaksanakan tanggungjawab itu. Beliau seorang yang
tampan, dan matang dalam menguruskan masalah-masalah serta berkebolehan. Dia
telah memberikan khidmat yang sangat baik kepada para haji, dia mengambil
keperluan makanan dan tempat tinggal daripada kabilah dan diberikan kepada para
haji yang miskin.
Satu
kali terjadi kemarau panjang di Mekah sehingga ramai yang kebuluran. Hashim
sangat bersedih, dia membawa hartanya ke Syam dan memenuhkan unta dengan karung
roti untuk dibawa ke Mekah. Dan unta yang digunakan itu pula disembelih untuk
dijadikan makanan bersama roti. Orang ramai diberikan makanan sehingga kenyang.
Sehingga beberapa lama, orang Mekah mendapat makanan yang banyak. Mereka mula
menamakannya sebagai Hashim, nama sebenar beliau ialah Amar.
Hashim
yang sangat mulia ini adalah moyang Nabi Kita Muhammad sallallaahu alaihi
wasallam. Perniagaan Mekah dengan Yaman dan Syam adalah terjadi melalui beliau.
Wahai
anak-anak sekalian!
Hashim
telah berkahwin dengan seorang wanita dari Bani Najar iaitu daripada Kabilah
Khazraj di Madinah. Dari segi kebaikan, kebolehan dan kecantikan tidak ada yang
dapat menandingi isterinya. Selepas beberapa lama, Hashim bersama isterinya
bertolak menuju Syam, dalam perjalanan itulah Hashim telah meningal dunia.
Walaubagaimana pun, anaknya telah lahir dan diberi nama Syaibah.
Syaibah
bersama ibunya menetap lebih kurang lapan tahun di Madinah. Saudara kepada
Hashim iaitu Mutalib, apabila mendengar berita tentang anak saudaranya, maka
dia telah datang ke Madinah dan membawa Syaibah ke Mekah.
Anak-anak
tahu tak siapa Syaibah?
Syaibah
itu adalah datuk kepada Nabi kita Muhammad sallallaahu alaihi wasallam. Syaibah
sebelumnya tinggal di Madinah, namun kehendak Allah Ta'ala telah membawanya ke
Mekah.
Sebelum
kelahiran Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, Kabilah-kabilah Mekah dan
Madinah diikat dengan persaudaraan. Mungkin kita semua biasa mendengar bahawa
datuk Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam adalah Abdul Mutalib. Tidak ada
yang kenal dengan Syaibah.
Sebenarnya,
apabila Mutalib membawa masuk Syaibah ke Mekah, maka orang ramai melihat bahawa
seorang anak yang tampan dan pintar ikut bersama dengan Mutalib. Quraisy
menyangka Mutalib membawa hamba. Sebab itu penduduk Mekah memanggil Syaibah
sebagai Abdul Mutalib, yakni hamba Mutalib.
Abdul
Mutalib waktu itu masih kanak-kanak, sebab itu tanggungjawab menjaga Kaabah dan
mengkhidmati para haji dilakukan oleh Mutalib. Apabila Abdul Mutalib semakin
besar dan bapa saudaranya juga telah meninggal dunia, maka dia berhasrat untuk
mengambil tugas itu. Tetapi bapa saudaranya Naufal telah menguasainya.
Abdul
Mutalib mempunyai tiga orang saudara lagi tetapi semuanya tidak berkebolehan
membantu abang mereka. Beliau telah meminta bantuan dari kabilah. Namun, kerana
cara itu juga tidak memberi apa-apa manfaat, sebab itu dia telah mengadu kepada
datuknya di Madinah bahawa bapa saudaranya tidak memberikan warisan kepadanya,
sebab itu mohon bantuan.
Datuknya
telah menghantar 80 orang ke Mekah. Sewaktu rombongan ini sampai, Naufal berapa
di dalam Masjidil Haram. Dia menjadi ketakutan dan memberikan hak penjagaan
Kaabah kepada Abdul Mutalib.
Cuba
anak-anak bayangkan bahawa apabila orang Mekah sendiri tidak memberikan hak
yang sepatutnya, maka Allah Ta'ala telah menghantar orang dari Madinah. Ini
satu isyarat untuk penduduk Mekah bahawa Mekah ini adalah untuk wujud yang
dikasihi oleh Allah dan juga pelajaran untuk orang Madinah bahawa bila perlu,
mereka ada tanggungjawab untuk membantu memelihara tanah yang suci itu.
Abdul
Mutalib seorang yang tampan dan gagah. Beliau juga mahir dalam bahasa Arab.
Beliau terkenal dengan sifat yang lemah lembut dan mulia. Sesiapa sahaja yang
melihatnya pasti akan tertawan. Beliau juga sama seperti Hazrat Ibrahim
alaihissalam iaitu beribadat kepada Tuhan yang Esa. Beliau sangat membenci
minuman keras dan amalan menanam anak perempuan hidup-hidup. Beliau menasihati
anak-anaknya agar menghindari perbuatan zalim dan memberontak. Disebabkan
perwatakan beliau itu, Quraisy sangat menghormati beliau. Mereka juga bersedia
untuk menjadikannya sebagai ketua.
Abdul
Mutalib mempunyai 10 orang anak. Anak yang paling bongsu ialah Abdullah, dan
Abdullah ini adalah ayah kepada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam.
Wahai
anak-anak sekalian!
Allah
Ta'ala sudah berkehendak bahawa wujud yang terkasih akan lahir dari keluarga
ini. Sebab itu rahmat diturunkan sebanyak-banyaknya ke atas keturunan ini. Mata
air zam-zam yang telah lama terkubur dan hilang, Allah Ta'ala mahu ia muncul
semula. Abdul Mutalib mendapat mimpi di mana kedudukan mata air itu yang
sebenarnya, setelah digali maka muncullah ia bersama dengan khazanah yang
disemburnyikan di dalamnya. Dengan kejadian itu, Abdul Mutalib selaku datuk
Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam semakin mendapat kemuliaan dan
penghormatan di pandangan Quraisy.
Terdapat
satu lagi kejadian yang terkenal dengan nama Ashabul Fiil. Gabenor Yaman
bernama Abrahah menyerang Mekah dengan niat untuk menjatuhkan Kaabah. Apabila
tiba berdekatan Mekah, askar-askar Abrahah telah mencuri unta-unta Abdul
Mutalib. Abrahah memanggil ketua Quraisy untuk menimbulkan rasa takut. Abdul
Mutalib meminta pendapat dari semua ketua-ketua. Semua tahu bahawa bukan mudah
untuk berhadapan dengan tentera yang begitu banyak. Akhirnya mereka sepakat
untuk tidak berperang.
Abdul
Mutalib pergi menemui Abrahah. Dengan kepintaran dan perwatakan Abdul Mutalib,
Abrahah kagum dengannya. Abrahah berpendapat bahawa Abdul Mutalib akan memohon
agar jangan merobohkan Kaabah. Apa yang terjadi, Abdul Mutalib hanya berkata "kembalikanlah
unta-unta saya, tentera tuan telah mencuri unta-unta saya". Abrahah
menjadi marah "bagaimana kamu menjadi ketua Quraisy, kamu tidak peduli
dengan Kaabah langsung dan hanya memikirkan unta-unta kamu". Abdul Mutalib
berkata "aku pemilik unta-unta ini sebab itu saya ambil peduli, tetapi
rumah itu juga ada pemiliknya, Dia sendiri yang akan menjaganya".
Inilah
wahai anak-anak semangat yang dimiliki oleh Abdul Mutalib. Dari kisah ini pun
jelas kepada kita betapa tingginya keyakinan beliau kepada Wujud Tuhan. Dia
yakin Tuhan sendiri akan menjaga rumah-Nya. Dan kita tahu melalui sejarah
bahawa Tuhan telah menghancurkan tentera Abrahah dan melindungi rumah-Nya.
Kejadian ini berlaku beberapa tahun sebelum kelahiran Rasulullah sallallaahu
alaihi wasallam. Disebabkan kisah ini juga datuk Rasulullah semakin dihormati
dan Mekah semakin terkenal di Tanah Arab. Kemuliaan Kaabah juga semakin
bersinar dari empat penjuru. Bani Hasyim di dalam Kabilah Quraisy mendapat
kedudukan yang baik di setiap tempat.
Anak-anak
sekalian!
Kita
dapat melihat perlakuan Allah Ta'ala mengembalikan tiga nikmat kepada Hazrat
Ismail alaihissalam dan keturunannya iaitu air Zamzam, Kaabah dan kerajaan
Mekah. Ini membuktikan bahawa Allah Ta'ala memang menjaga kegemilangan
ketiga-tiga nikmat ini untuk Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam yang
tercinta. Zamzam, Kaabah dan Mekah merupakan lambang kegemilangan Rasulullah
sallallaahu alaihi wasallam.
Wahai
anak-anak!
Mekah
juga dikatakan sebagai pusatnya dunia. Bahasa Arab yang digunakan di Mekah juga
menjadi ibu segala bahasa. Bandar di mana Rasulullah sallallaahu alaihi
wasallam lahir menjadi pusat dunia. Bahasa baginda juga menjadi terpancarnya
bahasa-bahasa lain di dunia. Zat baginda juga menjadi tujuan utama penciptaan
alam semesta. Akhlak baginda menjadi cerminan sifat Allah. Perwatakan baginda
sangat terpuji. Kecantikan baginda dihiasi dengan Nur Ilahi. Kewujudan baginda
sangat dicintai Allah.
Semua
ini telah menjadi titik pusat. Ketentuan Tuhan menjadikan tempat ini dikunjungi
dan orang ramai mengelilinginya. Sebelum kelahiran baginda lagi, Mekah memang
sudah terkenal, tambahan lagi setelah kelahiran Rasulullah sallallaahu alaihi
wasallam, ia semakin bertambah terkenal. Ini telah menjadikan doa-doa Nabi
Ibrahim telah terkabul.
Masih
ingatkah apa doa Nabi Ibrahim alaihissalam?
"Wahai
Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah
yang tandus dekat rumah Engkau yang suci. Wahai Tuhan kami! Supaya mereka dapat
mendirikan solat. Maka, jadikanlah hati manusia cenderung kepada mereka dan
berilah mereka rezeki berupa buah-buahan, supaya mereka selalu bersyukur."
Tujuan
doa ini dipanjatkan agar beliau tidak dianggap sebagai orang yang terhindar
dari nikmat dunia. Jangan sampai terfikir bahawa disebabkan berkhidmat untuk
rumah Allah ini, segala nikmat-nikmat dunia tidak mendapat bahagian, malah apa
yang berlaku adalah sebaliknya. Segala jenis buah-buahan yang baik telah
dikurniakan oleh Allah di sana. Ini juga mengisyaratkan bahawa dengan
meninggalkan segala sesuatu untuk Allah, maka mereka juga akan diberikan kurnia
oleh Allah.
Para
jemaah haji menjadi saksi tentang hal ini, Nabi Ibrahim tidak meminta makanan,
tetapi memohon buah-buahan yang sifatnya tidak tahan lama, yakni akan menjadi
rosak selepas beberapa lama dituai. Tapi, yang pasti nikmat itu belum diberikan
pada waktu itu.
Pada
musim haji, tebu dari India, anggur dan delima dari Taif, anggur dari Itali
sangat terkenal di sleuruh Eropah. Namun, dari segi kelazatan tidak dapat
menandingi buah yang terdapat di Mekah. Demikian juga delima dari Kabul dan
Kandahar sangat terkenal di dunia, tetapi delima di Mekah tetap tidak dapat
ditandingi.
Semua
ini terjadi adalah kerana lahirnya seorang wujud suci di dunia ini. Namanya
adalah MUHAMMAD yang menjadikan semua orang begitu cinta dan hanyut ketika
melakukan tawaf. Dulu juga tawaf dilakukan, hari ini juga manusia melakukan
tawaf dengan melaungkan suara Labbaikalla Humma Labbaik, Labbaika Laa Syariika
Laka Labbaik.
Bagi
yang sudah mendapat taufik mengunjungi rumah Allah ini, itu adalah satu
kelebihan yang Allah Ta'ala berikan kepada mereka. Semoga yang belum lagi
menjejakkan kaki di Makkah Al-Mukarramah, banyaklah berdoa, mudah-mudahan atas
dasar cinta kita pada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam akan membawa kita
ke sana.
Disediakan oleh
Salahuddin Bin Syed Ali
Selangor, Malaysia
08 Ogos 2021
No comments:
Post a Comment