Wednesday, April 14, 2021

Daras Ramadan (02)

 Kepentingan dan Keberkatan Puasa

 Allah Ta’ala berfirman:-

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” [Al-Baqarah: ayat 184]

Diriwayatkan oleh Hazrat Abu Hurairahra bahawa Rasulullahsaw bersabda; “Allah Azza Wa Jalla berfirman: Setiap amalan anak Adam itu untuknya, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Aku akan memberikan ganjarannya.” (Maksudnya, sebagai balasan atas kebaikannya, Aku akan memberikan kunjungan-Ku kepadanya). Allah Taala berfirman bahawa Puasa itu adalah perisai, maka janganlah (seseorang yang sedang berpuasa) mengucapkan ucapan yang kotor, dan janganlah bertindak bodoh, dan jika ada orang yang sewenang-wenang merebut haknya atau mencelanya, maka katakan, ‘Saya sedang puasa’. Demi Zat yang nyawa Muhammad di Tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari kasturi, ini adalah disebabkan dia melakukannya demi Allah Taala). Bagi orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan, apabila berbuka dia gembira dan apabila bertemu dengan Tuhannya dia gembira dengan puasanya.

Betapa beberkatnya ibadah puasa ini sehingga setiap pergerakan dan diamnya orang yang berpuasa itu bertukar menjadi ibadah. Jadi, Rasulullahsaw bersabda: “Diamnya orang puasa adalah ibadah. Tidurnya orang puasa adalah ibadah, doanya dikabulkan dan ganjaran pahala bagi amal ibadahnya dilipatgandakan.” (Kanzul Ummal)

Daripada Abu Ayyub al-Ansarira, meriwayatkan bahawa Rasulullahsaw bersabda:

"Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diiringinya dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal (kecuali hari pertama Aidilfitri), itu sama seperti berpuasa selama setahun. (kerana satu puasa menyamai 10 pahala, oleh itu 36 puasa menyamai 360 pahala)."

Hazrat Khalifatul Masih Ke-IVra bersabda: Orang-orang yang meninggalkan puasa ini mereka tidak dapat bayangkan kebaikan-kebaikan apa yang telah mereka terlepas. Mereka tidak dapat menahan lapar untuk beberapa hari, mereka tidak dapat menahan beberapa peraturan untuk beberapa hari, mereka telah terlepas nikmat yang sangat besar.

Rasulullahsaw bersabda: Barangsiapa yang meninggalkan walaupun satu puasa tanpa sebarang keuzuran dan sakit, maka berpuasa seumur hidup pun tidak boleh menggantikannya.”

Hazrat Aqdas Maseeh Mau’udas bersabda: Perkara ketiga di dalam rukun Islam ialah puasa. Orang ramai juga tidak menyedari hakikat puasa. Puasa bukan hanya sekadar berlapar dan menahan dahaga, malah satu daripada hakikat dan kesannya dapat diketahui melalui pengalaman. Di dalam fitrah manusia, semakin sedikit makan, semakin banyak ia dapat menyucikan diri dan semakin meningkat kekuatan melihat kasyaf. Keinginan Tuhan Yang Maha Esa adalah supaya seseorang itu mengurangkan satu makanan dan menambah makanan yang lain. Orang yang berpuasa harus selalu ingat bahawa ini tidak bererti dia hanya berlapar, tetapi dia harus sibuk dalam mengingati Allah untuk meraih Tabattul dan Inqita’. Oleh itu, tujuan dari puasa ialah manusia meninggalkan satu roti yang hanya menyuburkan tubuh dan memperoleh roti lain yang menjadi sumber ketenangan dan kepuasan bagi jiwa dan mereka yang berpuasa hanya untuk Tuhan dan bukan sebagai ritual semata-mata harus berterusan di dalam memuji dan memuliakan Allah Taala serta bertahlil (membaca Laa ilaha illAllah). Agar mereka memperoleh makanan yang lain. (Tafsir Hazrat Maseeh Mau’udas Jilid 1 ms. 440)

Semoga Allah Taala memberi taufik kepada kita semua untuk berpuasa dan meraih keberkatan-keberkatannya dengan sebanyak yang mungkin. Amin.

Tuesday, April 13, 2021

Daras Ramadan (01)

Kepentingan dan Keberkatan Bulan Ramadan

Allah Ta’ala berfirman di dalam Al-Quran:-

“Bulan Ramadan ialah bulan yang di dalamnya Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang nyata mengenai petunjuk dan Furqan. Maka barangsiapa di antaramu hadir pada bulan ini hendaklah ia berpuasa di dalamnya, tetapi barangsiapa sakit atau dalam perjalanan, maka berpuasalah sebanyak bilangan itu pada hari-hari lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan Dia tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan supaya kamu menyempurnakan bilangan itu dan supaya kamu mengagungkan Allah, kerana Dia telah memberi petunjuk kepadamu dan supaya kamu bersyukur.” [Al-Baqarah: ayat 186]

Hazrat Salman Al-Farisira meriwayatkan bahawa Rasulullahsaw bersabda: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka dia mendapat ganjaran dibebaskan dari api neraka dan keampunan ke atas dosa-dosanya. Lalu ditanyakan kepada Rasulullahsaw: “Wahai Rasulullah! Bukanlah kesemua kami ini mampu untuk memberikan sesuatu untuk orang berpuasa berbuka”. Maka Rasulullahsaw menjawab: “Allah memberikan pahala ini kepada sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa dengan susu yang dicampur dengan air, sebiji kurma, atau air minuman.” Ramadan ialah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya maghfirah (pengampunan) dan akhirnya pembebasan dari api neraka. Dan orang yang meringankan beban pekerjanya dan memberi tugas yang sedikit kepadanya, Allah Taala akan mengampunkan dosa orang tersebut dan membebaskannya dari api neraka.

Hazrat Khalifatul Masih As-Salisrh bersabda: Bulan Ramadan ialah himpunan lima ibadah yang utama. Yang pertama ialah puasa, kedua perhatian terhadap mendirikan solat. Kemudian Qiyamullail yakni mendirikan solat nafal di malam hari. Ketiga menilawatkan ayat Al-Quran sebanyak yang mungkin. Keempat kemurahan hati dan kelima menyelamatkan diri daripada gejolak nafsu. Himpunan kelima-lima ibadah yang utama itu disebut ibadah bulan Ramadan. (Khutbah Nasir, 2/954)

Suatu ketika Rasulullahsaw bersabda: “Berilah perhatian yang khusus kepada bulan Ramadan kerana ia adalah bulan Allah yang sangat mulia dan penuh keberkatan. Dia telah membiarkan kamu selama sebelas bulan yang di dalamnya kamu makan dan minum dan dapatkan apa sahaja yang kenikmatan yang kamu inginkan, namun dia telah mengkhususkan satu bulan.” (Majma’ Az-Zawaid)

Bagindasaw bersabda: Apabila bulan Ramadan tiba maka pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup dan syaitan diikat. (Bukhari)

Beliausaw bersabda: Orang yang bangun di malam hari pada bulan Ramadan dengan niat memperoleh pahala maka segala dosa-dosanya yang lalu diampunkan. Hazrat Anasra meriwayatkan bahawa Rasulullahsaw bersabda: Bulan Ramadan dinamakan sebagai Ramadan kerana ia membakar dosa-dosa sehingga menjadi debu.

Semoga Allah Taala memberi taufik kepada kita semua untuk meraih segala keberkatan di bulan Ramadan yang penuh beberkat ini. (Amin)

Saturday, November 21, 2020

Tafsir Surah Al-Lahab

Binasalah kedua tangan Abu Lahab, dan binasalah ia! Tidak memberi manfaat kepadanya hartanya dan apa yang dia usahakan. Segera ia akan masuk api yang menyala-nyala. Dan juga isterinya akan menjadi pemikul kayu bakar. Sekeliling lehernya akan ada tali dari sabit yang dipintal. (Terjemahan Al-Quran Jamaat Indonesia) 

Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan dia juga telah binasa. (Barahin Ahmadiyah Bahagian 4, Rohani Khazain Jilid 1, halaman 609, catatan nota kaki nombor 3) 

Tangan Abu Lahab telah binasa dan dia juga turut binasa. … maksud Abu Lahab di sini ialah orang yang menyalakan api fitnah di kalangan umat Islam dan orang yang beragama Islam dituduh kafir, dan dia juga menyebelahi orang Kristian. Oleh kerana perbuatannya menyalakan api permusuhan dan hendak meletakkan umat Islam dalam keadaan tertipu, sebab itu dikatakan sebagai Abu Lahab, kerana Lahab bermaksud api. Oleh kerana api fitnah itu muncul dari orang yang disentuh dalam khabar ghaib itu, sebab itu ia menjadi bapa kepada api, lalu menjadilah Abu Lahab. Sejauh mana yang saya tahu di sini Abu Lahab yang dimaksudkan ialah Muhammad Husain Batalwi, tetapi Allah yang lebih mengetahui. Ini kerana dia telah berusaha untuk menyalakan api fitnah. (Ziaul Haq, Rohani Khazain Jilid 9, Halaman 293,294) 

Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab (ketika dia menulis fatwa ini) dan dirinya juga telah binasa. … di dalam ilham itu perkara yang membenarkan ayat pertama surah Tabbat ini diletakkan ke atas orang yang membuat serangan pertama terhadap Maseeh Mau’ud Tuhan dengan pengkafiran dan juga penghinaan. Dalil ini menerangkan bahawa Al-Quran menyentuh tentang Abu Lahab dalam surah ini, selain ia menjadi musuh kepada Rasulullahsaw, ia juga membawa maksud musuh kepada Maseeh Mau’ud. Dan tafsir ini terbuka melalui ilham ini. … sebab itu tafsir ini sangatlah benar dan bebas daripada perkara yang dibuat-buat. … ringkasnya, ayat Tabbat Yadaa Abii Lahabiu Watabba yang merupakan surah keempat terakhir dalam juz terakhir, sebagaimana ia menjadi dalil ke atas musuh-musuh yang jahat kepada Rasulullahsaw, demikian juga ia menjadi isyarat ke atas musuh-musuh Maseeh Mau’ud yang banyak memberikan kesusahan. … kesimpulannya ialah Tabbat Yadaa Abii Lahab yang muncul di akhir Al-Quran, ia menjadi tafsir kepada ayat Maghdhuubi Alaihim yang berada pada awal Al-Quran kerana beberapa ayat Quran menjadi syarah atau penjelasan bagi ayat Al-Quran yang lain. (Tohfah Golerwiyah, Rohani Khazain, Jilid 17, halaman 215-217) 

Ayat pertama dari surah Tabbat iaitu Tabbat Yadaa Abii Lahabiu Watabba mengisyaratkan kepada golongan penjahat yang mengkafirkan, mendustakan dan menghina Ahmad Mahdi. (Tohfah Golerwiyah, Rohani Khazain, Jilid 17, halaman 215-217) 

Doa Ghairil Maghdhuubi Alaihim yang bermaksud golongan yang akan memberikan kesusahan kepada Maseeh Mau’ud, dan bertentangan dengan doa itu, di akhir Al-Quran terdapat ayat Tabbat Yadaa Abii Lahabiu Watabba. (Tohfah Golerwiyah, Rohani Khazain, Jilid 17, halaman 218) 

Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, yakni tangannya tidak berdaya lagi, dan dia sendiri juga hancur yakni menuju ke lembah kesesatan. (Nuzulul Maseeh, Rohani Khazain, Jilid 18, halaman 531) 

Madhi juga boleh membawa maksud mudhari’, malah di tempat-tempat yang mana pada pandangan yang berkata-kata itu suatu perkara yang pasti akan berlaku, maka di situ tempat mudhari’ akan diletakkan madhi supaya perkara itu dapat dizahirkan secara pasti akan kejadiannya. Contoh seperti ini banyak terdapat di dalam Quran sebagaimana firman Allah … Tabbat Yadaa Abii Lahabiu Watabba. (Barahin Ahmadiyah, Bahagian 5, Rohani Khazain Jilid 21, halaman 159) 

Tuhan telah menyampaikan khabar ghaib yang agung di berbagai tempat di dalam Al-Quran dengan menggunakan kata ‘madhi’, sebagai contoh Tabbat Yadaa Abii Lahabiu Watabba. (Barahin Ahmad, Bahagian 5, Rohani Khazain, Jilid 21, halaman 170) 

Kedua-dua tangan Abu Lahab telah binasa dan dia sendiri juga sudah binasa. (Majmu’ah Isytiharat, Jilid 2, halaman 58, nota kaki) 

Di dalam surah Tabbat ini, ia mengisyaratkan kepada fitnah Ghairil Maghdhuubi Alaihim. (Al-Hakam, Jilid 6, nombor 8, tarikh 28 Februari 1902, halaman 4) 

Apabila melihat di dalam mimpi membaca ayat Tabbat Yadaa Abii Lahab maksudnya ialah ‘mendapat keunggulan di atas mana-mana musuh’. (Al-Badar, Jilid 1, nombor 11, tarikh 9 Januari 1903, halaman 84) 

Di dalam Al-Quran Abu Lahab itu adalah umum dan bukannya khusus. Ia bermaksud seseorang yang memiliki sifat mengapi-apikan di dalam dirinya. Demikian juga dengan ayat Hammaa Latal Hatab, ia bermaksud wanita histeria yang menyalakan api, yakni wanita jahat yang membesar-besarkan keburukan di kalangan orang ramai. (Al-Hakam Jilid 2, nombor 2, tarikh 6 Mac 1898, halaman 2) 

(Tafsir Hazrat Maseeh Mau’udas, Jilid 8, halaman 409-411)

Friday, November 20, 2020

Tafsir Surah Al-Ikhlas (No. 05-akhir)

Fitnah Kristian itu sangat besar, sebab itu Allah Ta’ala di dalam Al-Quran telah memberikan satu surah khusus yang menyentuh tentang mereka. Maknanya, selain surah Al-Ikhlas tidak ada satu surah lain yang dikhususkan untuk menerangkan tentang mereka. Ahadun adalah nama Tuhan dan maksud Ahadun itu mengatasi istilah satu. Shomadun bermaksud sejak azali lagi zat-Nya tempat bergantung segala sesuatu, dan Dia tidak memerlukan sesiapa untuk bergantung. Jika mengakui akidah tiga oknum, itu maknanya ia saling memerlukan. (Al-Hakam Jilid 5, Nombor 12, tarikh 31 Mac 1901, halaman 9)

Katakanlah bahawa Tuhan itu Esa. Huwa adalah nama Tuhan. Dia itu Satu, tidak bergantung kepada sesiapa. Dia tidak memerlukan makan minum, Dia tidak terbatas dalam soal masa atau tempat. Dia bukan bapa kepada sesiapa dan bukan juga anak kepada sesiapa. Tidak ada yang serupa dengan-Nya dan tidak ada perubahan pada diri-Nya. Surah ini singkat sahaja di dalam Quran, dalam satu baris sahaja. Tetapi, perhatikanlah bagaimana ia menjelaskan dengan begitu indah sekali tentang Tuhan yang bebas dari segala jenis kesyirikan.

Dari segi pemikiran akal, berapa banyak jenis syirik pun yang boleh dikategorikan, Tuhan telah disucikan daripada kesemuanya. Benda-benda yang berada di dalam langit dan bumi, ia mengalami perubahan, tetapi tidak bagi Tuhan. Begitu terangnya kebenaran telah dapat dijelaskan dan dibuktikan sehingga otak pun cenderung kepada perkara ini. Cahaya hati yang syariatnya ada di dalam hati memberikan kesaksian terhadap perkara ini. Undang-undang kudrat menjadi saksi tentang kebenaran ini sehingga setiap helaian daun pun menyaksikannya. Sebab itu, untuk mengenal-Nya adalah satu perkara yang agung. Allah Ta’ala yang telah menjelaskan di dalam Quran dengan ayat yang begitu pendek ini, kalau orang-orang Yahudi meninggalkan Taurat lalu memperhatikan perkara ini, sudah tentu mereka tidak akan binasa. Begitu juga sekiranya begitu banyak ajaran-ajaran dalam Injil itu ditinggalkan lalu mereka fokus tentang ajaran ini, sudah tentu sebahagian besar di dunia ini tidak akan menjadi kaum yang memuja wujud yang sudah mati. (Al-Hakam Jilid 6, Nombor 19, Tarikh 24 Mei 1902, halaman 5)

Bertentangan dengan dhoolliin itu ada tiga surah terakhir. Asasnya adalah surah qul huwallaahu dan dua surah selepasnya berfungsi sebagai penjelasan. Maksud qul huwallaahu adalah “katakan kepada Kristian bahawa Allah itu Esa, Allah itu tidak bergantung kepada sesiapa, Dia tidak beranak dan tidak juga diperanakkan, dan tidak ada yang serupa dengan-Nya. (Al-Hakam Jilid 6, Nombor 8, tarikh 28 Februari 1902, halaman 5)

Untuk menghayati peristiwa-peristiwa di dalam Qasidah-qasidah sangatlah susah, penyair tidak dapat melaksanakannya. Untuk menghasilkan sesebuah karya, mereka terpaksa mencantumkan perkara dan juga perkataan yang tidak berkaitan. ……  bertentangan dengan itu cuba lihat qul huwallaahu ahad, allaahus shomad (Al-Badr jilid 1, nombor 4, tarikh 21 November 1902, halaman 2)

Tuhan kita lam yalid, kita sangat bersyukur dan gembira kerana Tuhan yang kita ikuti, yang telah dipersembahkan oleh Islam adalah Sempurna dan Suci dari segala segi, tidak ada kekurangan pada-Nya. Ada dua kemuliaan sempurna yang terdapat pada Allah Ta’ala, dan semua sifat menjelaskan ke arah-Nya iaitu pertama sekali keindahan zat-Nya dan di dalam Al-Quran menjelaskan laisa kamislihi syai’un, qulhuwallaahu ahad, shomad, tempat bergantung segala sesuatu, bukan anak kepada sesiapa, tidak mempunyai anak, tidak ada serupa dengan-Nya. (Al-Hakam jilid 7, nombor 12, tarikh 31 Mac 1903, halaman 2)

(Tafsir Hazrat Maseeh Mau’udas, Jilid 8, halaman 417-418)


Thursday, November 19, 2020

Tafsir Surah Al-Ikhlas (No. 04)

Di dalam Al-Quran Tuhan kita telah menjelaskan tentang kemuliaan-Nya melalui ayat Qul Huwallaahu Ahad. Allaahus Shomad, Lam Yalid Wa Lam Yuulad, Wa Lam Yakul Laahuu Kufuwan Ahad yakni “Tuhan kamu ialah Tuhan yang dalam zat dan sifat-Nya adalah Satu. Tidak ada satu zat pun yang menyerupai zat-Nya yang kekal abadi sampai bila-bila, dan tidak juga mana-mana sifat yang dapat menyerupai sifat-sifat-Nya. Ilmu manusia itu terhad dan memerlukan mana-mana guru. Tetapi, ilmu Allah tidak memerlukan sesiapa, tambahan lagi ia tidak terhad. Pendengaran manusia adalah terhad dan memerlukan udara, tetapi pendengaran Tuhan tidak terhad dari segi zat-Nya. Penglihatan manusia juga terhad dan memerlukan matahari atau mana-mana cahaya untuk melihat sedangkan penglihatan Tuhan adalah dari cahaya asli dan tidak terbatas. Demikian juga bahawa apabila manusia mencipta sesuatu, mereka memerlukan sarana dan masa. Tetapi, Tuhan tidak ada batas masa dan tidak memerlukan sokongan, ini kerana semua sifat-sifat-Nya sempurna dan tidak ada serupanya. Jika ada satu sifat dalam keadaan kurang, maka sifat yang lain juga pasti dalam kekurangan. Sebab itu ketauhidan-Nya juga tidak kekal selagi sifat-sifat-Nya tidak seperti zat-Nya yang tidak ada serupa-Nya. Kemudian dijelaskan lagi bahawa Tuhan bukanlah anak kepada sesiapa dan Dia tidak mempunyai anak kerana zat-Nya Maha Meliputi. Dia tidak memerlukan ayah dan tidak juga anak. Inilah Tauhid yang diajarkan oleh Al-Quran dan asas kepada keimanan. (Lecture Sialkot, Rohani Khazain Jilid 20, halaman 154,155)

Katakanlah kepada mereka bahawa Tuhan itu Satu dan Maha Meliputi. Dia tidak mempunyai anak dan bukan ayah kepada sesiapa, dan tidak ada yang setanding dengan-Nya. (Majmu’ah Isytiharat Jilid 2, halaman 58,59)

Jika Rasulullahsaw tidak datang, jangankan kenabian malah bukti ketuhanan juga tidak akan diperolehi seperti ini. Melalui bagindasaw kita dapat mengetahui bahawa Qul Huwallaahu Ahad. Allaahus Shomad, Lam Yalid Wa Lam Yuulad, Wa Lam Yakul Laahuu Kufuwan Ahad. Jika dalam Taurat ada ajaran seperti ini dan Al-Quran hanya memberikan penjelasan, maka kenapa harus ada wujud Kristian? (Report Jalsa Salana 1897, halaman 51,52)

Kesaksian bumi dan langit memberitahu bahawa ini bukan hasil ciptaan Tuhan yang palsu tetapi memperlihatkan Tuhan yang Ahad, Shomad, Lam Yalid, Walam Yulad, iaitu Tuhan yang Hidup dan Kekal, dan itu yang dipersembahkan oleh Islam.

Paderi Pfander yang dahulu pernah datang ke India untuk mengadakan perbahasan tentang mazhab-mazhab dan banyak membuat bantahan tentang Islam. Dalam bukunya Mizanul Haq dia sendiri menulis dalam bentuk persoalan “jika ada suatu pulau yang belum diajarkan tentang Triniti, adakah penduduk di sana akan dihisab dengan ajaran Triniti di akhirat nanti?” Kemudian dia sendiri menjawab, “mereka akan dihisab dengan ajaran Tauhid”. Jadi, dari hal itu fahamilah bahawa seandainya gambaran Tauhid itu tidak diperolehi dalam segala benda, dan ajaran Triniti ini bukan buatan, maka dari mana datangnya istilah akan dihisab dengan akidah Tauhid. (Report Jalsa Salana 1897 halaman 71)

>>>bersambung<<<

(Tafsir Hazrat Maseeh Mau’udas, Jilid 8, halaman 416-417)

Wednesday, November 18, 2020

Tafsir Surah Al-Ikhlas (No. 03)

Al-Quran juga sejak permulaan lagi telah menyentuh tentang maghdhuubi alaihim dan juga dhoolliin, kemudian pada bahagian akhir ia menjelaskan tentang perkara ini sebagaimana dalam ayat Lam Yalid, Wa Lam Yulad. Semua ini adalah untuk membuat penekanan dan juga memberitahu bahawa khabar ghaib tentang Maseeh Mau’ud dan kemenangan atas Kristian bukan sekadar falsafah tetapi akan bersinar seperti matahari. (Tohfah Golerwia, Rohani Khazain Jilid 17, halaman 222)

Penzahiran syaitan yang terakhir dinamakan sebagai dajjal iaitu penzahiran yang sempurna baginya, di mana Al-Quran telah menyentuhnya dipermulaan lagi dan juga pada bahagian akhir, yakni firqah dhoolliin yang disentuh dalam surah Fatihah. Kemudian tiga surah terakhir Quran juga menyentuhnya iaitu surah Ikhlas, Falaq dan surah An-Naas. Cuma bezanya ialah dalam surah Al-Ikhlas menjelaskan tentang akidah kaum ini sebagaimana firman Allah Ta’ala Qul Huwallaahu Ahad. Allaahus Shomad, Lam Yalid Wa Lam Yuulad, Wa Lam Yakul Laahuu Kufuwan Ahad Yakni Allah Ta’ala itu Esa dan Ahad, yakni tidak ada lagi selain Dia. Tidak mempunyai anak dan bukan anak kepada sesiapa, dan tidak ada serupa dengan-Nya. Ringkasnya, dalam surah ini menjelaskan apa akidah kaum tersebut. (Tohfah Golerwia, Rohani Khazain Jilid17, nota kaki halaman 269,270)

Dengan menyatakan ayat Qul Huwallaahu Ahad, Allaahus Shomad menjelaskan bahawa Dia adalah sembahan yang hakiki, yakni segala sesuatu akan memperhambakan diri kepada-Nya, rujuk kepada-Nya. Segala yang lain memerlukan Dia sedangkan Dia tidak perlukan sesiapa. Kemudian ayat Lam Yalid Wa Lam Yuulad menyatakan bahawa Dia tidak mempunyai anak dan Dia bukan anak kepada sesiapa. Kemudian ayat Wa Lam Yakul Laahuu Kufuwan Ahad memberitahu bahawa sejak azali lagi tidak ada yang serupa dengan-Nya, yakni wujudnya sangat suci. …... kedua-dua surah ini (Ikhlas dan Falaq) hanya menyentuh satu firqah , bezanya cuma dalam surah Ikhlas memberitahu tentang akidah firqah tersebut dan surah Falaq memberitahu keadaan amalan mereka. (Tohfah Golerwia, Rohani Khazain Jilid 17, halaman 270,271, nota kaki)

Dalam ayat Qul Huwallaahu Ahad ….. mempersembahkan akidah yang perlu diterima, kemudian Lam Yalid Wa Lam Yuulad diajarkan tentang akidah yang patut ditolak. (Tohfah Golerwia, Rohani Khazain Jilid 17, halaman 285, nota kaki)

Di dalam bahagian akhir Quran, ada penolakan ajaran Kristian sebagaimana yang diajarkan dalam ayat Qul Huwallaahu Ahad. Allaahus Shomad, Lam Yalid Wa Lam Yuulad. (Bahtera Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 84)

>>>bersambung<<< 

(Tafsir Hazrat Maseeh Mau’udas, Jilid 8, halaman 415-416)


Tuesday, November 17, 2020

Tafsir Surah Al-Ikhlas (No. 02)

Kecantikan (husni) merupakan perkara yang menarik hati secara semulajadi, dan dengan melihatnya akan menimbulkan rasa kecintaan. Dengan itu, kecantikan kewujudan Allah Ta’ala adalah keEsaan-Nya, keagungan-Nya, kemuliaan-Nya dan sifat-sifat-Nya sebagaimana dalam Quran Qul Huwallaahu Ahad. Allaahus Shomad, Lam Yalid Wa Lam Yuulad, Wa Lam Yakul Laahuu Kufuwan Ahad yakni Tuhan dalam Zat, Sifat dan Kemegahan adalah sendiri, tidak ada sekutu-Nya. Semua yang lain memerlukan-Nya. Setiap zarah mendapat kehidupan dari-Nya. Dia adalah permulaan segala sesuatu dan Dia tidak memerlukan sesiapa. Dia bukan anak kepada sesiapa dan bukan juga bapa kepada sesiapa. Dia tidak ada persamaan dengan sesiapa dari segi zat.

Quran berkali-kali mempersembahkan kesempurnaan Allah Ta’ala dan juga memperlihatkan keagungan-Nya supaya manusia memberikan perhatian bahawa Tuhan yang menarik hati itu tidaklah mati, lemah atau kurang dalam kasih sayang dan kudrat-Nya. (Islam Usul Ki Filosofi, Rohani Khazain Jilid 10, halaman 417)

Di dalam Taurat tidak dijumpai tentang sifat Allah Ta’ala yang sempurna. Kalau seandainya di dalam Taurat ada surah seperti yang terdapat dalam Al-Quran iaitu Qul Huwallaahu Ahad. Allaahus Shomad, Lam Yalid Wa Lam Yuulad, Wa Lam Yakul Laahuu Kufuwan Ahad maka sudah tentu umat Kristian tidak akan menjadi penyembah makhluk. (Kitabul Birriyah, Rohani Khazain Jilid 13, halaman 84)

Katakan kepada mereka bahawa Tuhan yang benar itu adalah Tuhan yang Esa, yang bukan bapa kepada sesiapa dan bukan juga anak kepada sesiapa, dan tidak ada juga yang serupa dengan-Nya. (Tiryaqul Qulub, Rohani Khazain Jilid15, halaman 355)

Doa yang ketiga ialah tentang walad dhoolliin, dan bertentangan dengan itu pada bahagian akhir Quran ada ayat .... Qul Huwallaahu Ahad. Allaahus Shomad, Lam Yalid Wa Lam Yuulad, Wa Lam Yakul Laahuu Kufuwan Ahad Ia memiliki tujuan penting yang diterangkan di dalam Quran, ia dibuka dengan surah Fatihah sebagai lambang keindahan, kemudian ketika khatam Quran ada dibaca surah tabbat, surah Ikhlas, Falaq dan An-Naas untuk memohon perlindungan dari kedua-dua musibat itu. Jadi, ketika membuka kitabullah juga memohon kedua-dua doa itu dan menutup kitabullah juga menyentuh tentang kedua-dua doa itu. (Tohfah Golerwia, Rohani Khazain Jilid 17, halaman 218)

Wahai umat Islam! Katakan kepada umat Kristian bahawa Allah Ta’ala itu Esa, Dia tempat bergantung segala sesuatu, Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tidak ada serupa dengan-Nya. (Tohfah Golerwia, Rohani Khazain Jilid 17, halaman 220)

>>>bersambung<<<

(Tafsir Hazrat Maseeh Mau’udas, Jilid 8, halaman 414-415)