Friday, January 31, 2014

Reformasi Ke Arah Kebaikan




Saiyidina Hazrat Khalifatul Maseeh Al-Khamis atba telah menyampaikan khutbah pada 24 Januari 2014 di Baitul Futuh Morden London.

Dalam menyambung khutbah minggu yang lepas, Huzur menyentuh tentang tiga perkara untuk membuat perubahan dalam amalan seorang insan iaitu memperkukuhkan Quwwat Iradi (Iradah yang Kuat), Memperkembangkan Quwwat Ilmi (Ilmu yang Cukup) dan menjauhkan Kelemahan Amalan. Dalam khutbah kali ini Huzur menjelaskan lebih lanjut supaya setiap Ahmadi berusaha mencari jalan atau panduan bagi melahirkan kebaikan yang maju.

Ulama-ulama kita, para Murabbi kita, para pemimpin dan pemegang jawatan harus memberi nasihat setiap kali peluang yang ada dengan cara yang boleh mendatangkan perubahan suci di samping menekankan perkara-perkara yang telah dijelaskan. Selagi ulama-ulama kita, para murabbi dan semua pemimpin dan kakitangan jemaat tidak melakukan nasihat yang sepatutnya untuk membuat perubahan suci di kalangan anggota jemaat, dan juga anggota jemaat tidak cenderung berusaha untuk mendekatkan diri ke arah tujuan kebangkitan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sebagaimana yang sepatutnya, maka selagi itulah di kalangan anggota jemaat ada golongan yang lemah iradah dan tidak membuat perubahan ke arah kebaikan.

Huzur berkata bahawa hal ini sangat perlu untuk diperhatikan iaitu di kalangan kita berapa ramai orang yang mempunyai keasyikan beribadat kepada Tuhan, dan berapa ramai orang yang telah mendapat kasih sayang Tuhan sehingga Tuhan sendiri berbicara kepadanya dan mengabulkan doa-doanya. Setelah beriman kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, setiap Ahmadi hendaklah berusaha untuk mencapai tingkatan ini.

Satu kelemahan manusia ialah apabila dia pergi ke rumah seseorang lalu melihat banyak benda-benda menarik yang ada di sana, maka dia akan cenderung untuk berusaha mendapatkan benda-benda seperti yang dilihatnya di rumah berkenaan. Walaubagaimanapun, apabila ada seseorang yang bercerita tentang pengalamannya mendapat ilham, maka insan tadi tidak ada perasaan bahawa “kami pun inginkan kasih sayang Tuhan di mana Tuhan pun berbicara dengan kami dan memperlihatkan tanda-tanda kepada kami”.

Punca utama ketidakwujudan pemikiran seperti ini adalah ulama-ulama kita dan kakitangan jemaat kita tidak menjelaskan hal ini dengan begitu baik di kalangan anggota Jemaat secara berulangkali bagaimana untuk menjalinkan hubungan kecintaan kepada Allah Ta’ala. Atau ada juga yang tidak memperlihatkan contoh yang boleh diikuti oleh anggota jemaat biasa.

Jadi, pada zaman ini kedekatan kepada Allah boleh terjalin dengan menghubungkan diri dengan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sebagai Pencinta agung Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Tanda-tanda itu tidak berakhir pada zaman Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sahaja, tetapi hari ini juga Allah Ta’ala boleh memperlihatkan tanda-tanda kekuasaan-Nya. Sebab itu, para murabbi, pemimpin dan kakitangan jemaat harus berusaha melakukan perbaikan di dalam daerah masing-masing.

Huzur berkata bahawa kaum-kaum yang ada di dunia ini, tidak ada kaum yang mempercayai bahawa Tuhan menjawab dan mengabulkan doa-doa. Tuhan yang berkata-kata adalah Tuhan yang telah dipersembahkan oleh Al-Quran atas agama yang benar. Jika seorang insan benar-benar beriman kepada Tuhan dengan niat hati yang suci, kemudian dia berusaha dan sibuk dalam berdoa, maka pasti Tuhan akan memberikan jawapan kepadanya.

Jadi, hal ini hendaklah selalu diperdengarkan di hadapan anggota Jemaat supaya mereka mempunyai kekuatan dan kukuh dalam Quwwat Iradi. Dengan itu mereka akan unggul dari ribuan dosa-dosa dan sentiasa terselamat daripadanya.

Tujuan kebangkitan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam ialah supaya manusia bebas daripada dosa-dosa dan wujud hubungan yang rapat dengan Allah sehingga mereka sentiasa memberi keutamaan terhadap keredhaan Allah Ta’ala dalam setiap urusan.

Dalam khutbah ini juga Huzur ada menceritakan kisah-kisah perubahan rohani orang-orang yang baru bergabung dengan Jemaat ini, bagaimana keasyikan mereka beribadat kepada Tuhan muncul selepas menjadi Ahmadi.

Huzur berkata mengenai cara kedua dalam islah amalan iaitu quwwat ilmi. Kekuatan ilmu hendaklah ditingkatkan. Kemudian, meletakkan suatu dosa sebagai dosa besar atau kecil adalah satu kesalahan. Semua Asylum Seeker hendaklah mempersembahkan kes mereka dengan benar dan jujur. Jika tidak, maka kesannya akan membuatkan kes mereka menjadi tergendala dan memberikan pengaruh yang kurang baik ke atas jemaat.

Jadi, para murabbi dan kakitangan jemaat hendaklah berkali-kali meletakkan asas kejujuran dan menghindari perbuatan dusta. Juga perlu menjelaskan bahawa dosa tidak ada yang besar dan tidak ada yang kecil, dosa tetap suatu dosa yang harus kita hindari.

Perlu juga diketahui bahawa orang yang mengajak ke arah kejujuran ini hendaklah memastikan amalan ini sudah ada pada diri sendiri.

Semoga Allah Ta’ala memberi kita semua taufik untuk mengemban tanggungjawab kita dengan sebaik-baiknya.

Friday, January 24, 2014

Cipta Perubahan Suci Dalam Diri



Pada 17 Januari 2014 bertempat di Baitul Futuh London, Huzur telah menyampaikan khutbah berkenaan dengan amalan perbaikan untuk manusia.

Huzur berkata: Dalam usaha seseorang memperbaiki amalannya dan menjauhi halangan-halangan, adalah sangat perlu untuk memperkuatkan iradahnya, menjauhi kelemahan ilmu dan melahirkan kekuatan amalan. Kekuatan iradah selalu berubah di setiap tempat mengikut pengamalan. Persoalan yang timbul ialah apa yang dimaksudkan kekuatan iradah dalam urusan agama? Jelas pada kita bahawa kekuatan iradah dalam agama adalah iman. Dengan ini, kita tahu bahawa kekuatan amalan akan bertambah mengikut peningkatan dalam keimanan. Jika iman dan hubungan dengan Allah Ta’ala kuat, maka Allah Ta’ala selalu membantu dalam kesulitan dan insan dengan mudah akan dapat menguasai dan memperbaiki kelemahan amalannya.

Huzur berkata: Dalam zaman Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, kita dapat melihat bagaimana pengikut-pengikut baginda yang setia menjauhi kelemahan amalan mereka dan bagaimana mereka memperkuatkan keimanan. Sebelum mereka beriman, amalan mereka begitu lemah, di kalangan mereka ada pencuri, perompak, fasik dan jahat, di kalangan mereka juga ada yang bernikah dengan ibu sendiri, mewarisi ibu-ibu mereka sendiri, membunuh anak-anak perempuan mereka, penjudi dan pemabuk, dan merasa satu kebanggaan jika dapat memberi minuman yang memabukkan kepada orang lain.

Tetapi, setelah mereka beriman kepada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, amalan mereka terus berubah secara mendadak dan muncul satu revolusi agung dalam diri mereka. Keimanan mereka menjadi begitu kuat sehingga dikatakan bahawa seorang pembawa berita, mendengar sahaja berita dari Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bahawa “aku telah diperintahkan oleh Tuhan untuk mengumumkan bahawa, mulai hari ini arak telah diharamkan atas umat Islam”, maka semangat mentaati Allah dan Rasul yang ada pada sahabat telah menyebabkan mereka sanggup memecahkan botol-botol arak, dan di rumah-rumah yang ada menyimpan arak, mereka juga terus memecahkan tempayan arak mereka sehingga air arak mengalir dalam longkang-longkang di Madinah. Lihat bagaimana semangat kekuatan iradah yang ada pada diri para sahabat telah mengalahkan kemabukan mereka.

Huzur berkata: Mereka yang memilki kekuatan iradah yang tinggi merupakan pahlawan rohani dunia. Syaitan yang cuba menghalang mereka akan lari jauh. Kesusahan yang menggunung pun tidak akan dapat bertahan di hadapan mereka. Keadaan seperti ini juga dapat kelihatan dalam diri para sahabat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. 

Huzur ada menceritakan tentang sahabat yang telah meninggalkan hukka dan tembakau. Kita juga dapat membaca kisah-kisah sahabat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam yang mana setelah mereka bai’at dan menerima Ahmadiyah, mereka sanggup meninggalkan semua keburukan-keburukan. Ada yang tenggelam dalam minuman keras, tetapi setelah bai’at amalan itu telah ditinggalkan. Inilah contoh yang patut kita ikuti.

Huzur berkata: Jadi, pemikiran kita hendaklah seperti ini iaitu ‘saya meninggalkan semua keburukan ini kerana Allah Ta’ala dan Rasul telah melarangnya’.

Huzur sangat menekankan kepada semua Ahmadi agar menghindari semua keburukan yang ada di dunia ini.

Huzur berkata: ‘Kekuatan ilmu boleh menjauhkan kelemahan amalan. Jika insan diberitahu tentang dosa amalan dan kemurkaan Allah dengan cara yang betul, maka mereka boleh terselamat dari perbuatan itu.

Huzur berkata: Sebab ketiga dalam kelemahan amalan ialah kehilangan kekuatan dalam amalan. Ini juga disebabkan oleh beberapa perkara. Ada beberapa orang yang disebabkan kelemahan dalam amalan menjadikan iman mereka lemah. Ada juga yang kurang ilmu, ada juga orang yang memiliki ilmu dan iman, namun disebabkan perkara lain mereka juga terpengaruh sehingga perlu mendapatkan sokongan orang lain.

Huzur berkata: Nizam Jemaat, pengurus-pengurus jemaat, dan badan-badan organisasi hendaklah menjadi sarana untuk menjauhkan kelemahan amalan ini. Tetapi, jika dalam diri mereka sendiri ada kekurangan dan kelemahan ilmu dan amal, maka bagaimana mereka boleh menjadi sarana kebaikan orang lain.

Jadi, untuk kemajuan Jemaat setiap Ahmadi hendaklah mengukur diri sendiri atas setiap bahagian daripada Nizam lalu membuat perbaikan supaya mendapat kedekatan kepada Allah. Amin.

(Urdu Al-Fazl Rabwah)

Wednesday, January 22, 2014

Kecintaan Imam Mahdi Kepada Rasulullah SAW



CERAMAH JALSAH SIRATUN NABI

(Al-Ahzab:57-58)

Terjemahan ayat ini ialah “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersalawat untuk Nabi. Hai orang-orang mukmin, ucapkanlah salawat untuknya dan mintalah selalu doa keselamatan baginya. Sesungguhnya, orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah mengutuk mereka di dunia dan di akhirat, dan Dia menyediakan bagi mereka azab yang menghinakan.”

Dalam zaman ini Jemaat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sedang menghadapi tuduhan yang sangat berat iaitu menghina Rasulullah saw. Pendakwaan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sebagai seorang nabi ummati telah membangkitkan emosi umat Islam menentang beliau atas tuduhan menghina dan merendahkan Rasulullah saw.

Namun, adakah memang seperti itu kedudukannya? Pada kali ini saya akan menyampaikan bagaimana Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam begitu menyanjung dan memuliakan Rasulullah saw.

Sekarang, mari kita sama-sama lihat dan renungkan tulisan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Isi hati seseorang kita boleh gambarkan melalui hasil penulisannya kerana ia berlandaskan kepada apa yang ada difikirannya berkenaan dengan sesuatu perkara. Jadi, untuk mengetahui sejauhmana kecintaan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam kepada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, mari kita sama-sama perhatikan hasil tulisan beliau mengenai wujud suci Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam.

Beliau menulis:-
“Cahaya yang amat tinggi telah dianugerahkan kepada seorang manusia yang sempurna, dan bukan kepada malaikat, bukan kepada bintang-bintang, bukan kepada bulan, bukan kepada matahari, bukan kepada samudera atau sungai, tidak juga kepada batu mirah, emerald, mutiara atau jamrut, singkatnya bukan kepada benda lain di bumi atau langit. Nur tersebut hanya bagi wujud suci yang contoh kehidupannya demikian sempurna sebagai penghulu dan junjungan kita, Penghulu segala Nabi, Penghulu semua makhluk hidup, yang terpilih, Muhammad s.a.w. Nur tersebut dikaruniakan kepada manusia suci ini dan sejalan dengan derajat mereka, juga kepada mereka yang memiliki warna yang mendekati sama dengan baginda. Keagungan demikian terdapat dalam bentuknya yang paling sempurna dalam wujud penghulu, junjungan dan pembimbing kita, yang suci Rasulullah Muhammad s.a.w. sebagai insan yang terpilih. (Ayena Kamalati Islam)

Penzahiran kecintaan beliau dari Manzum Kalamnya:-

Dialah pemimpin kami, darinya muncul segala cahaya. Namanya adalah Muhammad, dialah kekasih hatiku.

1. Saya tidak kenal nama mana-mana guru, rohani dan makrifat yang saya dapat hanya bersumberkan Rasulullah saw.

2. Selepas mencintai Allah, saya tenggelam dalam kecintaan terhadap Rasulullah saw. Jika pada pandangan orang lain hal ini satu perbuatan kufur, maka demi Tuhan, akulah kafir yang sangat besar.

3. Jika air terasa manis seperti madu, maka demi Tuhan! Lautan Muhammad Mustafa saw adalah lebih manis daripada itu.

4. Dengan begitu banyak berkat hasil kecintaan saya kepada Rasulullah saw, saya akan dimasukkan secara rohani ke dalam taman Rasulullah saw. Tetapi, wahai musuh-musuh hidayat! Kamu tidak akan mengetahui rahsia ini.

Siang malam sibuk mengingati kekasih dan bersalawat.

Salah satu tanda kecintaan yang sejati ialah sentiasa mengingati sang kekasih.

Beliau menceritakan pengalaman peribadi dengan berkata:
“Pada suatu malam saya membaca salawat dengan begitu banyak sekali sehinggakan hati dan jiwa saya sangat bergelora. Pada malam itu juga saya melihat dalam mimpi malaikat datang ke rumah saya yang lemah ini dan satu di antara mereka berkata bahawa ‘inilah berkat yang telah engkau hantar kepada Muhammad saw’. (Barahin Ahmadiyah Jilid Awal halaman 576)

Berkenaan dengan salawat ini, selain beliau sendiri giat membacanya, beliau juga menyeru kepada sahabat-sahabat beliau untuk melakukan perkara yang sama. Apabila ada yang bertanya tentang suatu wirid harian, beliau selalu menekankan supaya banyak membaca istighfar dan salawat. Tidak ada wirid harian yang lebih baik daripada itu. Adakalanya beliau menekankan supaya disiplin dalam solat dan banyak membaca salawat adalah wirid yang terbaik.

Pernah sekali beliau ditanya bahawa bagaimana caranya untuk membaca salawat? Beliau menjawab dengan begitu indah sekali: bacalah salawat sehingga lidah kamu basah. (Siratul Mahdi, halaman 156)

Keasyikan beliau membaca salawat ini menyebabkan beliau memasukkan dalam syarat bai’at yang ketiga daripada 10 syarat bai’at iaitu sedapat yang mungkin akan membaca salawat dengan dawam.

Mungkin di dunia ini tidak ada semangat kecintaan seorang kekasih yang sama seperti yang telah dizahirkan oleh beliau ke atas wujud suci Rasulullah saw. Ini jelas tergambar dari syair bahasa Arab yang beliau tulis yang berbunyi:-

Ya Tuhan! Berilah salawat atas nabi Engkau secara berterusan, di dunia ini dan juga pada kebangkitan kali kedua.

Seorang anak beliau iaitu Hazrat Mirza Sultan Ahmad Sahib (yang tidak bai’at pada zaman Hazrat Maseeh Mau’ud tetapi bergabung dengan Jemaat pada zaman Khalifatul Maseeh Sani), dia memberi penerangan berkenaan dengan kecintaan beliau kepada Hazrat Rasulullah saw:-
“Satu perkara yang sangat jelas saya lihat dalam diri ayah saya ialah beliau tidak boleh bertahan sedikit pun apabila timbul isu yang menentang Rasulullah saw. Jika ada orang yang berkata tentang perkara yang bertentangan dengan keagungan Rasulullah saw, wajah beliau berubah menjadi merah dan mata beliau terpancar kemarahan lalu meninggalkan majlis seperti itu. Kecintaan kepada Rasulullah saw yang ada dalam diri ayah saya tidak pernah saya lihat ada dalam diri orang lain”. (Sirat Taiyibah halaman 34)

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam mempunyai perwatakan yang lemah lembut dan penyayang. Tetapi beliau tidak boleh menahan diri terhadap suatu ucapan yang menghina Rasulullah saw yang beliau cintai. Beliau pernah memberi respon atas satu kenyataan seorang Kristian yang menyerang peribadi Rasulullah saw dengan berkata:-
“Ucapan penentang itu telah melukai hati saya dengan begitu mendalam. Demi Tuhan! Jika semua anak-anak saya, dan juga anak-anak kepada anak-anak saya, dan semua sahabat-sahabat saya dan penolong-penolong saya dibunuh di hadapan saya, atau jika tangan dan kaki saya dipotong-potong, dan jika mata saya dicungkil sekalipun, atau jika saya dihalang dari semua keinginan saya, atau jika semua kegembiraan dan kesenangan saya dirampas, semua itu tidaklah memberi kesan yang begitu dalam berbanding dengan serangan yang dibuat terhadap rasulku yang mulia Rasulullah saw”. (Ainah Kamalat Islam)

Pernah sekali Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam duduk di balai menunggu dalam satu perjalanan. Masuk waktu Asar. Ketika itu beliau sedang mengambil wuduk di dalam masjid berdekatan. Seorang pemimpim Arya yang terkenal iaitu Pandit Lekhram mendapat tahu bahawa beliau ada di situ. Dia berlari mendapatkan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan beliau. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam melihat sekali imbas lalu terus sibuk mengambil wuduk. Pandit Lekhram berpusing untuk bersalaman dengan beliau tetapi beliau tetap berdiam diri. Apabila Pandit Lekhram kecewa dan berlalu pergi, maka sahabat bertanya: Huzur! Tadi Pandit Lekhram datang dan memberi salam kepada tuan. Dengan pantas beliau menjawab:-
“Dia hina rasul kita yang mulia lalu bagi salam pula dengan kita!”.
(Sirat Maseeh Mau’ud)

Pernah sekali golongan Arya mengadakan jalsah di Lahore. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam juga dijemput dan diberi tanggungjawab untuk berceramah. Mereka berjanji bahawa tidak akan ada ucapan-ucapan yang menyakitkan hati. Beliau telah menuliskan satu risalah dan meminta Hazrat Maulana Nuruddin Sahib dan beberapa sahabat yang lain untuk datang. Golongan Arya telah memungkiri janji kerana dalam majlis itu ada penyerangan terhadap peribadi Rasulullah saw. Apabila rombongan sampai di Qadian dan Hazrat Maseeh Mau’ud mendapat tahu tentang hal itu beliau sangat kesal sekali. Walaupun Hazrat Maulana Nuruddin Sahib dan beberapa sahabat sangat beliau cintai, disebabkan kecintaan yang mendalam ke atas Rasulullah saw memaksa beliau berkata kepada para sahabat: “Bagaimana kamu boleh bertolak-ansur dan duduk berdiam diri di sana ketika kamu mendengar caci maki yang dilemparkan ke atas nabi kamu?”

Beliau juga mencintai kaum kerabat yang terdekat. Tetapi, dalam hubungan bagaimana rapat sekalipun, beliau tidak boleh bertolak ansur dalam soal penghinaan terhadap Rasulullah saw.

Isteri kepada bapa saudara beliau Mirza Ghulam Haider Sahib telah mengeluarkan kata-kata yang tidak menghormati Rasulullah saw. Jadi, walaupun beliau begitu hormat kepada kaum keluarganya, walaupun sedang makan bersama mereka, sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, beliau terus bangkit dan tidak pernah lagi makan di rumah mereka. (Sirat Maseeh Mau’ud)

Pada tahun 1893, di Amritsar, Hazrat Maseeeh Mau’ud alaihissalam berdebat dengan golongan Kristian yang dinamakan sebagai Jangge Muqaddas. Doktor Paderi Martin Clerk menjemput beliau dan lain-lain untuk minum teh. Beliau menolak jemputan itu hanyalah disebabkan orang-orang itu tidak menghormati Rasulullah saw dan mendustakan baginda, kenapa pula sekarang menjemput untuk minum teh. Semangat kami tidak memberi izin untuk duduk bersama dengan musuh-musuh seperti itu selain daripada memberikan keterangan tentang kesalahan akidah mereka.

Pada hari-hari perbahasan dengan Paderi Kristian Deputy Abdullah Atham, waktu itu musim sangat panas. Air diperlukan berkali-kali. Di tempat itu ada perigi yang merupakan milik Kristian. Oleh kerana golongan Kristian itu selalu menghina Rasulullah saw, maka walaupun panas yang begitu teruk, beliau tidak suka minum dari perigi itu. Untuk itu, beliau sanggup membawa air dari rumah sendiri. (Siratul Mahdi)

Ringkasnya, seluruh kehidupan beliau mempamerkan kecintaan kepada Rasulullah saw.

Hazrat Maseeh Mau’ud mengungkapkan iradahnya dalam sebuah syair:-

Aku korbankan jiwaku pada jalan Muhammad saw. Inilah kehendak hati saya, alangkah beruntungnya kalau niatku ini tercapai.

Semangat pengorbanan Hazrat Maseeh Mau’ud tidak berakhir hanya pada semangat sahaja tetapi yang jelas ialah seluruh kehidupan beliau diserahkan untuk itu. Setiap saat sentiasa berfikir untuk membela Islam dan membela kemuliaan Rasulullah saw. Beliau melancarkan jihad dengan pena sejak dari zaman sebelum pendakwaan beliau.

Buku Rohani Khazain adalah satu bukti nyata yang ada pada kita sekarang ini bagi membuktikan kecintaan beliau terhadap Islam dan Rasulullah saw. Ini mematahkan tuduhan musuh-musuh Jemaat yang mengatakan bahawa Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam menghina Rasulullah saw.

Usaha beliau dalam mempertahankan Islam dan Rasulullah saw berhadapan dengan pelbagai halangan, dari umat Islam sendiri dan juga dari pihak bukan Islam. Walaubagaimanapun, demi Islam dan demi nama Rasulullah saw, beliau sanggup mendengar dan menerima makian, penghinaan, tuduhan dan kezaliman.

Tetapi semua itu tidak melemahkan semangat pengorbanan beliau. Sebagaimana dipermulaan tadi dikatakan bahawa jika dengan semua usaha dan tanda penzahiran kecintaan kepada Rasulullah saw ini saya tetap dituduh kafir, maka saya adalah orang yang paling kafir di antara semua.

Lambang kecintaan terhadap Rasulullah saw juga beliau perlihatkan melalui pengamalan. Seorang sahabi, Mirza Deen Muhammad Sahib meriwayatkan bahawa cara beliau mengejutkan orang pada waktu subuh ialah dengan cara merendamkan tangan ke dalam air lalu memercikkan ke muka. Satu hari saya bertanya: Huzur, kenapa tidak panggil sahaja nama untuk mengejutkan saya? Huzur menjawab: Inilah juga yang selalu diamalkan oleh Rasulullah saw. (Siratul Mahdi)

Satu peristiwa lagi ialah Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sedang duduk di biliknya, di sana juga ada tetamu bersama beliau. Tiba-tiba ada seseorang sedang mengetuk pintu. Ada di antara tetamu bangun untuk membukakan pintu. Dengan segera Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berkata: tunggu! Biar saya sendiri yang buka pintu kerana Rasulullah saw bersabda bahawa tetamu harus dimuliakan (Sirat Taiyibah)

Beliau juga selalu menasihatkan bahawa: Suami pun harus menghulurkan tangan membantu isteri melakukan kerja-kerja di rumah. Ini satu pekerjaan yang mulia. Rasulullah saw juga selalu membantu isteri-isteri membuat kerja-kerja di rumah. (Siratul Mahdi)

Jadi, hari ini kita berada dalam Jemaat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, kewajipan kita juga hendaklah menjaga nama baik Rasulullah saw, nama baik Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, nama baik Islam, dan juga nama baik Jemaat dan khilafat itu sendiri. Untuk mencapai itu semua, kita berkewajipan mengikuti segala nasihat-nasihat Huzur yang kita cintai.

Semangat SAMI’NA WA ATHO’NA harus menjadi pegangan kita. Lihatlah bahawa anggota Ahmadi yang syahid di mana-mana tempat, mereka semua menjadi bukti bahawa kecintaan mereka terhadap Rasulullah saw tidak ada tandingannya. Mereka tidak melupakan kalimah dan salawat mereka kepada Rasulullah saw. Mereka giat membacanya dan menyeru kepada orang lain agar turut sama mengamalkannya. Mereka tidak takut berhadapan dengan musuh demi menjaga kalimah dan salawat mereka. Mereka yang syahid telah mendapat hidup mereka yang sempurna dan yang masih hidup terus beriradah teguh dan tidak berpaling dari kebenaran ini kerana hati mereka sentiasa penuh dengan perasaan cinta kepada Rasulullah saw.

Jadi, katakan kepada penentang-penentang jemaat, Wahai orang-orang zalim, lakukanlah semahu kamu. Tetapi ingatlah bahawa setiap Ahmadi tidak akan memisahkan diri dari barisan pencinta sejati Rasulullah saw ini. Dengarlah dengan sebaik-baiknya bahawa kemunculan Ahmadiyah adalah untuk mengangkat semula kecintaan sebenar kepada Rasulullah saw. Jadi, kehidupan kami dan kematian kami ada di atasnya.

Tuan-tuan, saya hendak menutup ceramah saya pada hari ini dengan memetik sendiri kata-kata pencinta agung Rasulullah saw iaitu Hazrat Maseeh Mau’ud as. Beliau sendiri menasihatkan kepada kita semua bahawa:-
“Dan bagi seluruh anak-anak Adam tidak ada rasul dan pemberi syafaat selain Muhammad Mustafa sallallaahu alaihi wasallam. Oleh sebab itu, berusahalah kamu sekalian untuk mendambakan kecintaan yang semurni-murninya bagi Nabi yang agung ini, dan janganlah memberikan kepada sesiapa pun sesuatu tempat yang lebih tinggi daripada baginda, supaya kamu ditulis dalam golongan orang-orang yang telah diselamatkan”. (Ajaran Kami halaman 7)

Hazrat Maseeh Mau’ud (as) berkata:-
            Orang Islam adalah kaum yang sanggup memberikan nyawa demi kehormatan Nabi yang mulia (saw). Dan dia merasa adalah lebih baik mati daripada berbaik hati atau bersahabat dengan orang yang pekerjaannya siang dan malam hanya mengeluarkan caci maki ke atas Rasulullah (saw) dan menyebut nama baginda yang mulia dalam risalah, isytihar dan buku-buku mereka dengan panggilan yang begitu hina, juga yang menyebut nama baginda dengan ucapan yang sangat buruk”.

Beliau (as) bersabda lagi:-
            Ingatlah bahawa orang-orang seperti itu tidak memberi manfaat kepada kaum mereka sendiri, kerana jalannya penuh dengan duri. Dan saya mengatakan dengan sebenar-benarnya bahawa mungkin saja kita boleh berdamai dengan ular-ular di hutan dan binatang buas di padang pasir, tetapi kita tidak boleh berdamai dengan orang-orang yang tidak berpaling dari terus memburuk-burukkan nabi Allah yang suci. Mereka menyangka caci maki dan kata-kata kotor itu satu kemenangan, tetapi sebenarnya setiap kemenangan itu datang dari langit”.

Semoga kita semua mendapat kurnia dari Allah Ta’ala untuk itu. Amin.

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...