Pada 17 Januari 2014 bertempat di
Baitul Futuh London, Huzur telah menyampaikan khutbah berkenaan dengan amalan
perbaikan untuk manusia.
Huzur berkata: Dalam usaha
seseorang memperbaiki amalannya dan menjauhi halangan-halangan, adalah sangat
perlu untuk memperkuatkan iradahnya, menjauhi kelemahan ilmu dan melahirkan
kekuatan amalan. Kekuatan iradah selalu berubah di setiap tempat mengikut
pengamalan. Persoalan yang timbul ialah apa yang dimaksudkan kekuatan iradah
dalam urusan agama? Jelas pada kita bahawa kekuatan iradah dalam agama adalah
iman. Dengan ini, kita tahu bahawa kekuatan amalan akan bertambah mengikut
peningkatan dalam keimanan. Jika iman dan hubungan dengan Allah Ta’ala kuat,
maka Allah Ta’ala selalu membantu dalam kesulitan dan insan dengan mudah akan
dapat menguasai dan memperbaiki kelemahan amalannya.
Huzur berkata: Dalam zaman
Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, kita dapat melihat bagaimana
pengikut-pengikut baginda yang setia menjauhi kelemahan amalan mereka dan
bagaimana mereka memperkuatkan keimanan. Sebelum mereka beriman, amalan mereka
begitu lemah, di kalangan mereka ada pencuri, perompak, fasik dan jahat, di
kalangan mereka juga ada yang bernikah dengan ibu sendiri, mewarisi ibu-ibu
mereka sendiri, membunuh anak-anak perempuan mereka, penjudi dan pemabuk, dan
merasa satu kebanggaan jika dapat memberi minuman yang memabukkan kepada orang
lain.
Tetapi, setelah mereka beriman
kepada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, amalan mereka terus berubah
secara mendadak dan muncul satu revolusi agung dalam diri mereka. Keimanan
mereka menjadi begitu kuat sehingga dikatakan bahawa seorang pembawa berita,
mendengar sahaja berita dari Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bahawa “aku
telah diperintahkan oleh Tuhan untuk mengumumkan bahawa, mulai hari ini arak
telah diharamkan atas umat Islam”, maka semangat mentaati Allah dan Rasul yang
ada pada sahabat telah menyebabkan mereka sanggup memecahkan botol-botol arak,
dan di rumah-rumah yang ada menyimpan arak, mereka juga terus memecahkan
tempayan arak mereka sehingga air arak mengalir dalam longkang-longkang di
Madinah. Lihat bagaimana semangat kekuatan iradah yang ada pada diri para
sahabat telah mengalahkan kemabukan mereka.
Huzur berkata: Mereka yang
memilki kekuatan iradah yang tinggi merupakan pahlawan rohani dunia. Syaitan
yang cuba menghalang mereka akan lari jauh. Kesusahan yang menggunung pun tidak
akan dapat bertahan di hadapan mereka. Keadaan seperti ini juga dapat kelihatan
dalam diri para sahabat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam.
Huzur ada menceritakan tentang
sahabat yang telah meninggalkan hukka dan tembakau. Kita juga dapat membaca
kisah-kisah sahabat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam yang mana setelah mereka
bai’at dan menerima Ahmadiyah, mereka sanggup meninggalkan semua
keburukan-keburukan. Ada yang tenggelam dalam minuman keras, tetapi setelah
bai’at amalan itu telah ditinggalkan. Inilah contoh yang patut kita ikuti.
Huzur berkata: Jadi, pemikiran
kita hendaklah seperti ini iaitu ‘saya meninggalkan semua keburukan ini kerana
Allah Ta’ala dan Rasul telah melarangnya’.
Huzur sangat menekankan kepada
semua Ahmadi agar menghindari semua keburukan yang ada di dunia ini.
Huzur berkata: ‘Kekuatan ilmu
boleh menjauhkan kelemahan amalan. Jika insan diberitahu tentang dosa amalan dan
kemurkaan Allah dengan cara yang betul, maka mereka boleh terselamat dari
perbuatan itu.
Huzur berkata: Sebab ketiga dalam
kelemahan amalan ialah kehilangan kekuatan dalam amalan. Ini juga disebabkan
oleh beberapa perkara. Ada beberapa orang yang disebabkan kelemahan dalam
amalan menjadikan iman mereka lemah. Ada juga yang kurang ilmu, ada juga orang
yang memiliki ilmu dan iman, namun disebabkan perkara lain mereka juga
terpengaruh sehingga perlu mendapatkan sokongan orang lain.
Huzur berkata: Nizam Jemaat,
pengurus-pengurus jemaat, dan badan-badan organisasi hendaklah menjadi sarana
untuk menjauhkan kelemahan amalan ini. Tetapi, jika dalam diri mereka sendiri
ada kekurangan dan kelemahan ilmu dan amal, maka bagaimana mereka boleh menjadi
sarana kebaikan orang lain.
Jadi, untuk kemajuan Jemaat
setiap Ahmadi hendaklah mengukur diri sendiri atas setiap bahagian daripada
Nizam lalu membuat perbaikan supaya mendapat kedekatan kepada Allah. Amin.
(Urdu Al-Fazl Rabwah)
No comments:
Post a Comment