Friday, January 31, 2014

Reformasi Ke Arah Kebaikan




Saiyidina Hazrat Khalifatul Maseeh Al-Khamis atba telah menyampaikan khutbah pada 24 Januari 2014 di Baitul Futuh Morden London.

Dalam menyambung khutbah minggu yang lepas, Huzur menyentuh tentang tiga perkara untuk membuat perubahan dalam amalan seorang insan iaitu memperkukuhkan Quwwat Iradi (Iradah yang Kuat), Memperkembangkan Quwwat Ilmi (Ilmu yang Cukup) dan menjauhkan Kelemahan Amalan. Dalam khutbah kali ini Huzur menjelaskan lebih lanjut supaya setiap Ahmadi berusaha mencari jalan atau panduan bagi melahirkan kebaikan yang maju.

Ulama-ulama kita, para Murabbi kita, para pemimpin dan pemegang jawatan harus memberi nasihat setiap kali peluang yang ada dengan cara yang boleh mendatangkan perubahan suci di samping menekankan perkara-perkara yang telah dijelaskan. Selagi ulama-ulama kita, para murabbi dan semua pemimpin dan kakitangan jemaat tidak melakukan nasihat yang sepatutnya untuk membuat perubahan suci di kalangan anggota jemaat, dan juga anggota jemaat tidak cenderung berusaha untuk mendekatkan diri ke arah tujuan kebangkitan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sebagaimana yang sepatutnya, maka selagi itulah di kalangan anggota jemaat ada golongan yang lemah iradah dan tidak membuat perubahan ke arah kebaikan.

Huzur berkata bahawa hal ini sangat perlu untuk diperhatikan iaitu di kalangan kita berapa ramai orang yang mempunyai keasyikan beribadat kepada Tuhan, dan berapa ramai orang yang telah mendapat kasih sayang Tuhan sehingga Tuhan sendiri berbicara kepadanya dan mengabulkan doa-doanya. Setelah beriman kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, setiap Ahmadi hendaklah berusaha untuk mencapai tingkatan ini.

Satu kelemahan manusia ialah apabila dia pergi ke rumah seseorang lalu melihat banyak benda-benda menarik yang ada di sana, maka dia akan cenderung untuk berusaha mendapatkan benda-benda seperti yang dilihatnya di rumah berkenaan. Walaubagaimanapun, apabila ada seseorang yang bercerita tentang pengalamannya mendapat ilham, maka insan tadi tidak ada perasaan bahawa “kami pun inginkan kasih sayang Tuhan di mana Tuhan pun berbicara dengan kami dan memperlihatkan tanda-tanda kepada kami”.

Punca utama ketidakwujudan pemikiran seperti ini adalah ulama-ulama kita dan kakitangan jemaat kita tidak menjelaskan hal ini dengan begitu baik di kalangan anggota Jemaat secara berulangkali bagaimana untuk menjalinkan hubungan kecintaan kepada Allah Ta’ala. Atau ada juga yang tidak memperlihatkan contoh yang boleh diikuti oleh anggota jemaat biasa.

Jadi, pada zaman ini kedekatan kepada Allah boleh terjalin dengan menghubungkan diri dengan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sebagai Pencinta agung Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Tanda-tanda itu tidak berakhir pada zaman Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sahaja, tetapi hari ini juga Allah Ta’ala boleh memperlihatkan tanda-tanda kekuasaan-Nya. Sebab itu, para murabbi, pemimpin dan kakitangan jemaat harus berusaha melakukan perbaikan di dalam daerah masing-masing.

Huzur berkata bahawa kaum-kaum yang ada di dunia ini, tidak ada kaum yang mempercayai bahawa Tuhan menjawab dan mengabulkan doa-doa. Tuhan yang berkata-kata adalah Tuhan yang telah dipersembahkan oleh Al-Quran atas agama yang benar. Jika seorang insan benar-benar beriman kepada Tuhan dengan niat hati yang suci, kemudian dia berusaha dan sibuk dalam berdoa, maka pasti Tuhan akan memberikan jawapan kepadanya.

Jadi, hal ini hendaklah selalu diperdengarkan di hadapan anggota Jemaat supaya mereka mempunyai kekuatan dan kukuh dalam Quwwat Iradi. Dengan itu mereka akan unggul dari ribuan dosa-dosa dan sentiasa terselamat daripadanya.

Tujuan kebangkitan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam ialah supaya manusia bebas daripada dosa-dosa dan wujud hubungan yang rapat dengan Allah sehingga mereka sentiasa memberi keutamaan terhadap keredhaan Allah Ta’ala dalam setiap urusan.

Dalam khutbah ini juga Huzur ada menceritakan kisah-kisah perubahan rohani orang-orang yang baru bergabung dengan Jemaat ini, bagaimana keasyikan mereka beribadat kepada Tuhan muncul selepas menjadi Ahmadi.

Huzur berkata mengenai cara kedua dalam islah amalan iaitu quwwat ilmi. Kekuatan ilmu hendaklah ditingkatkan. Kemudian, meletakkan suatu dosa sebagai dosa besar atau kecil adalah satu kesalahan. Semua Asylum Seeker hendaklah mempersembahkan kes mereka dengan benar dan jujur. Jika tidak, maka kesannya akan membuatkan kes mereka menjadi tergendala dan memberikan pengaruh yang kurang baik ke atas jemaat.

Jadi, para murabbi dan kakitangan jemaat hendaklah berkali-kali meletakkan asas kejujuran dan menghindari perbuatan dusta. Juga perlu menjelaskan bahawa dosa tidak ada yang besar dan tidak ada yang kecil, dosa tetap suatu dosa yang harus kita hindari.

Perlu juga diketahui bahawa orang yang mengajak ke arah kejujuran ini hendaklah memastikan amalan ini sudah ada pada diri sendiri.

Semoga Allah Ta’ala memberi kita semua taufik untuk mengemban tanggungjawab kita dengan sebaik-baiknya.

1 comment:

  1. Dari itu jatuh bangunnya suatu bangsa terletak di ats tangan mrk sendiri....
    kerana.... "Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikit pun, akan tetapi manusia itulah yg menganiaya dirinya sendiri"
    (Surah Yunus: 45)

    ReplyDelete

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...