Showing posts with label Ceramah. Show all posts
Showing posts with label Ceramah. Show all posts

Wednesday, January 22, 2014

Kecintaan Imam Mahdi Kepada Rasulullah SAW



CERAMAH JALSAH SIRATUN NABI

(Al-Ahzab:57-58)

Terjemahan ayat ini ialah “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersalawat untuk Nabi. Hai orang-orang mukmin, ucapkanlah salawat untuknya dan mintalah selalu doa keselamatan baginya. Sesungguhnya, orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah mengutuk mereka di dunia dan di akhirat, dan Dia menyediakan bagi mereka azab yang menghinakan.”

Dalam zaman ini Jemaat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sedang menghadapi tuduhan yang sangat berat iaitu menghina Rasulullah saw. Pendakwaan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sebagai seorang nabi ummati telah membangkitkan emosi umat Islam menentang beliau atas tuduhan menghina dan merendahkan Rasulullah saw.

Namun, adakah memang seperti itu kedudukannya? Pada kali ini saya akan menyampaikan bagaimana Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam begitu menyanjung dan memuliakan Rasulullah saw.

Sekarang, mari kita sama-sama lihat dan renungkan tulisan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Isi hati seseorang kita boleh gambarkan melalui hasil penulisannya kerana ia berlandaskan kepada apa yang ada difikirannya berkenaan dengan sesuatu perkara. Jadi, untuk mengetahui sejauhmana kecintaan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam kepada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, mari kita sama-sama perhatikan hasil tulisan beliau mengenai wujud suci Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam.

Beliau menulis:-
“Cahaya yang amat tinggi telah dianugerahkan kepada seorang manusia yang sempurna, dan bukan kepada malaikat, bukan kepada bintang-bintang, bukan kepada bulan, bukan kepada matahari, bukan kepada samudera atau sungai, tidak juga kepada batu mirah, emerald, mutiara atau jamrut, singkatnya bukan kepada benda lain di bumi atau langit. Nur tersebut hanya bagi wujud suci yang contoh kehidupannya demikian sempurna sebagai penghulu dan junjungan kita, Penghulu segala Nabi, Penghulu semua makhluk hidup, yang terpilih, Muhammad s.a.w. Nur tersebut dikaruniakan kepada manusia suci ini dan sejalan dengan derajat mereka, juga kepada mereka yang memiliki warna yang mendekati sama dengan baginda. Keagungan demikian terdapat dalam bentuknya yang paling sempurna dalam wujud penghulu, junjungan dan pembimbing kita, yang suci Rasulullah Muhammad s.a.w. sebagai insan yang terpilih. (Ayena Kamalati Islam)

Penzahiran kecintaan beliau dari Manzum Kalamnya:-

Dialah pemimpin kami, darinya muncul segala cahaya. Namanya adalah Muhammad, dialah kekasih hatiku.

1. Saya tidak kenal nama mana-mana guru, rohani dan makrifat yang saya dapat hanya bersumberkan Rasulullah saw.

2. Selepas mencintai Allah, saya tenggelam dalam kecintaan terhadap Rasulullah saw. Jika pada pandangan orang lain hal ini satu perbuatan kufur, maka demi Tuhan, akulah kafir yang sangat besar.

3. Jika air terasa manis seperti madu, maka demi Tuhan! Lautan Muhammad Mustafa saw adalah lebih manis daripada itu.

4. Dengan begitu banyak berkat hasil kecintaan saya kepada Rasulullah saw, saya akan dimasukkan secara rohani ke dalam taman Rasulullah saw. Tetapi, wahai musuh-musuh hidayat! Kamu tidak akan mengetahui rahsia ini.

Siang malam sibuk mengingati kekasih dan bersalawat.

Salah satu tanda kecintaan yang sejati ialah sentiasa mengingati sang kekasih.

Beliau menceritakan pengalaman peribadi dengan berkata:
“Pada suatu malam saya membaca salawat dengan begitu banyak sekali sehinggakan hati dan jiwa saya sangat bergelora. Pada malam itu juga saya melihat dalam mimpi malaikat datang ke rumah saya yang lemah ini dan satu di antara mereka berkata bahawa ‘inilah berkat yang telah engkau hantar kepada Muhammad saw’. (Barahin Ahmadiyah Jilid Awal halaman 576)

Berkenaan dengan salawat ini, selain beliau sendiri giat membacanya, beliau juga menyeru kepada sahabat-sahabat beliau untuk melakukan perkara yang sama. Apabila ada yang bertanya tentang suatu wirid harian, beliau selalu menekankan supaya banyak membaca istighfar dan salawat. Tidak ada wirid harian yang lebih baik daripada itu. Adakalanya beliau menekankan supaya disiplin dalam solat dan banyak membaca salawat adalah wirid yang terbaik.

Pernah sekali beliau ditanya bahawa bagaimana caranya untuk membaca salawat? Beliau menjawab dengan begitu indah sekali: bacalah salawat sehingga lidah kamu basah. (Siratul Mahdi, halaman 156)

Keasyikan beliau membaca salawat ini menyebabkan beliau memasukkan dalam syarat bai’at yang ketiga daripada 10 syarat bai’at iaitu sedapat yang mungkin akan membaca salawat dengan dawam.

Mungkin di dunia ini tidak ada semangat kecintaan seorang kekasih yang sama seperti yang telah dizahirkan oleh beliau ke atas wujud suci Rasulullah saw. Ini jelas tergambar dari syair bahasa Arab yang beliau tulis yang berbunyi:-

Ya Tuhan! Berilah salawat atas nabi Engkau secara berterusan, di dunia ini dan juga pada kebangkitan kali kedua.

Seorang anak beliau iaitu Hazrat Mirza Sultan Ahmad Sahib (yang tidak bai’at pada zaman Hazrat Maseeh Mau’ud tetapi bergabung dengan Jemaat pada zaman Khalifatul Maseeh Sani), dia memberi penerangan berkenaan dengan kecintaan beliau kepada Hazrat Rasulullah saw:-
“Satu perkara yang sangat jelas saya lihat dalam diri ayah saya ialah beliau tidak boleh bertahan sedikit pun apabila timbul isu yang menentang Rasulullah saw. Jika ada orang yang berkata tentang perkara yang bertentangan dengan keagungan Rasulullah saw, wajah beliau berubah menjadi merah dan mata beliau terpancar kemarahan lalu meninggalkan majlis seperti itu. Kecintaan kepada Rasulullah saw yang ada dalam diri ayah saya tidak pernah saya lihat ada dalam diri orang lain”. (Sirat Taiyibah halaman 34)

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam mempunyai perwatakan yang lemah lembut dan penyayang. Tetapi beliau tidak boleh menahan diri terhadap suatu ucapan yang menghina Rasulullah saw yang beliau cintai. Beliau pernah memberi respon atas satu kenyataan seorang Kristian yang menyerang peribadi Rasulullah saw dengan berkata:-
“Ucapan penentang itu telah melukai hati saya dengan begitu mendalam. Demi Tuhan! Jika semua anak-anak saya, dan juga anak-anak kepada anak-anak saya, dan semua sahabat-sahabat saya dan penolong-penolong saya dibunuh di hadapan saya, atau jika tangan dan kaki saya dipotong-potong, dan jika mata saya dicungkil sekalipun, atau jika saya dihalang dari semua keinginan saya, atau jika semua kegembiraan dan kesenangan saya dirampas, semua itu tidaklah memberi kesan yang begitu dalam berbanding dengan serangan yang dibuat terhadap rasulku yang mulia Rasulullah saw”. (Ainah Kamalat Islam)

Pernah sekali Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam duduk di balai menunggu dalam satu perjalanan. Masuk waktu Asar. Ketika itu beliau sedang mengambil wuduk di dalam masjid berdekatan. Seorang pemimpim Arya yang terkenal iaitu Pandit Lekhram mendapat tahu bahawa beliau ada di situ. Dia berlari mendapatkan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan beliau. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam melihat sekali imbas lalu terus sibuk mengambil wuduk. Pandit Lekhram berpusing untuk bersalaman dengan beliau tetapi beliau tetap berdiam diri. Apabila Pandit Lekhram kecewa dan berlalu pergi, maka sahabat bertanya: Huzur! Tadi Pandit Lekhram datang dan memberi salam kepada tuan. Dengan pantas beliau menjawab:-
“Dia hina rasul kita yang mulia lalu bagi salam pula dengan kita!”.
(Sirat Maseeh Mau’ud)

Pernah sekali golongan Arya mengadakan jalsah di Lahore. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam juga dijemput dan diberi tanggungjawab untuk berceramah. Mereka berjanji bahawa tidak akan ada ucapan-ucapan yang menyakitkan hati. Beliau telah menuliskan satu risalah dan meminta Hazrat Maulana Nuruddin Sahib dan beberapa sahabat yang lain untuk datang. Golongan Arya telah memungkiri janji kerana dalam majlis itu ada penyerangan terhadap peribadi Rasulullah saw. Apabila rombongan sampai di Qadian dan Hazrat Maseeh Mau’ud mendapat tahu tentang hal itu beliau sangat kesal sekali. Walaupun Hazrat Maulana Nuruddin Sahib dan beberapa sahabat sangat beliau cintai, disebabkan kecintaan yang mendalam ke atas Rasulullah saw memaksa beliau berkata kepada para sahabat: “Bagaimana kamu boleh bertolak-ansur dan duduk berdiam diri di sana ketika kamu mendengar caci maki yang dilemparkan ke atas nabi kamu?”

Beliau juga mencintai kaum kerabat yang terdekat. Tetapi, dalam hubungan bagaimana rapat sekalipun, beliau tidak boleh bertolak ansur dalam soal penghinaan terhadap Rasulullah saw.

Isteri kepada bapa saudara beliau Mirza Ghulam Haider Sahib telah mengeluarkan kata-kata yang tidak menghormati Rasulullah saw. Jadi, walaupun beliau begitu hormat kepada kaum keluarganya, walaupun sedang makan bersama mereka, sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, beliau terus bangkit dan tidak pernah lagi makan di rumah mereka. (Sirat Maseeh Mau’ud)

Pada tahun 1893, di Amritsar, Hazrat Maseeeh Mau’ud alaihissalam berdebat dengan golongan Kristian yang dinamakan sebagai Jangge Muqaddas. Doktor Paderi Martin Clerk menjemput beliau dan lain-lain untuk minum teh. Beliau menolak jemputan itu hanyalah disebabkan orang-orang itu tidak menghormati Rasulullah saw dan mendustakan baginda, kenapa pula sekarang menjemput untuk minum teh. Semangat kami tidak memberi izin untuk duduk bersama dengan musuh-musuh seperti itu selain daripada memberikan keterangan tentang kesalahan akidah mereka.

Pada hari-hari perbahasan dengan Paderi Kristian Deputy Abdullah Atham, waktu itu musim sangat panas. Air diperlukan berkali-kali. Di tempat itu ada perigi yang merupakan milik Kristian. Oleh kerana golongan Kristian itu selalu menghina Rasulullah saw, maka walaupun panas yang begitu teruk, beliau tidak suka minum dari perigi itu. Untuk itu, beliau sanggup membawa air dari rumah sendiri. (Siratul Mahdi)

Ringkasnya, seluruh kehidupan beliau mempamerkan kecintaan kepada Rasulullah saw.

Hazrat Maseeh Mau’ud mengungkapkan iradahnya dalam sebuah syair:-

Aku korbankan jiwaku pada jalan Muhammad saw. Inilah kehendak hati saya, alangkah beruntungnya kalau niatku ini tercapai.

Semangat pengorbanan Hazrat Maseeh Mau’ud tidak berakhir hanya pada semangat sahaja tetapi yang jelas ialah seluruh kehidupan beliau diserahkan untuk itu. Setiap saat sentiasa berfikir untuk membela Islam dan membela kemuliaan Rasulullah saw. Beliau melancarkan jihad dengan pena sejak dari zaman sebelum pendakwaan beliau.

Buku Rohani Khazain adalah satu bukti nyata yang ada pada kita sekarang ini bagi membuktikan kecintaan beliau terhadap Islam dan Rasulullah saw. Ini mematahkan tuduhan musuh-musuh Jemaat yang mengatakan bahawa Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam menghina Rasulullah saw.

Usaha beliau dalam mempertahankan Islam dan Rasulullah saw berhadapan dengan pelbagai halangan, dari umat Islam sendiri dan juga dari pihak bukan Islam. Walaubagaimanapun, demi Islam dan demi nama Rasulullah saw, beliau sanggup mendengar dan menerima makian, penghinaan, tuduhan dan kezaliman.

Tetapi semua itu tidak melemahkan semangat pengorbanan beliau. Sebagaimana dipermulaan tadi dikatakan bahawa jika dengan semua usaha dan tanda penzahiran kecintaan kepada Rasulullah saw ini saya tetap dituduh kafir, maka saya adalah orang yang paling kafir di antara semua.

Lambang kecintaan terhadap Rasulullah saw juga beliau perlihatkan melalui pengamalan. Seorang sahabi, Mirza Deen Muhammad Sahib meriwayatkan bahawa cara beliau mengejutkan orang pada waktu subuh ialah dengan cara merendamkan tangan ke dalam air lalu memercikkan ke muka. Satu hari saya bertanya: Huzur, kenapa tidak panggil sahaja nama untuk mengejutkan saya? Huzur menjawab: Inilah juga yang selalu diamalkan oleh Rasulullah saw. (Siratul Mahdi)

Satu peristiwa lagi ialah Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sedang duduk di biliknya, di sana juga ada tetamu bersama beliau. Tiba-tiba ada seseorang sedang mengetuk pintu. Ada di antara tetamu bangun untuk membukakan pintu. Dengan segera Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berkata: tunggu! Biar saya sendiri yang buka pintu kerana Rasulullah saw bersabda bahawa tetamu harus dimuliakan (Sirat Taiyibah)

Beliau juga selalu menasihatkan bahawa: Suami pun harus menghulurkan tangan membantu isteri melakukan kerja-kerja di rumah. Ini satu pekerjaan yang mulia. Rasulullah saw juga selalu membantu isteri-isteri membuat kerja-kerja di rumah. (Siratul Mahdi)

Jadi, hari ini kita berada dalam Jemaat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, kewajipan kita juga hendaklah menjaga nama baik Rasulullah saw, nama baik Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, nama baik Islam, dan juga nama baik Jemaat dan khilafat itu sendiri. Untuk mencapai itu semua, kita berkewajipan mengikuti segala nasihat-nasihat Huzur yang kita cintai.

Semangat SAMI’NA WA ATHO’NA harus menjadi pegangan kita. Lihatlah bahawa anggota Ahmadi yang syahid di mana-mana tempat, mereka semua menjadi bukti bahawa kecintaan mereka terhadap Rasulullah saw tidak ada tandingannya. Mereka tidak melupakan kalimah dan salawat mereka kepada Rasulullah saw. Mereka giat membacanya dan menyeru kepada orang lain agar turut sama mengamalkannya. Mereka tidak takut berhadapan dengan musuh demi menjaga kalimah dan salawat mereka. Mereka yang syahid telah mendapat hidup mereka yang sempurna dan yang masih hidup terus beriradah teguh dan tidak berpaling dari kebenaran ini kerana hati mereka sentiasa penuh dengan perasaan cinta kepada Rasulullah saw.

Jadi, katakan kepada penentang-penentang jemaat, Wahai orang-orang zalim, lakukanlah semahu kamu. Tetapi ingatlah bahawa setiap Ahmadi tidak akan memisahkan diri dari barisan pencinta sejati Rasulullah saw ini. Dengarlah dengan sebaik-baiknya bahawa kemunculan Ahmadiyah adalah untuk mengangkat semula kecintaan sebenar kepada Rasulullah saw. Jadi, kehidupan kami dan kematian kami ada di atasnya.

Tuan-tuan, saya hendak menutup ceramah saya pada hari ini dengan memetik sendiri kata-kata pencinta agung Rasulullah saw iaitu Hazrat Maseeh Mau’ud as. Beliau sendiri menasihatkan kepada kita semua bahawa:-
“Dan bagi seluruh anak-anak Adam tidak ada rasul dan pemberi syafaat selain Muhammad Mustafa sallallaahu alaihi wasallam. Oleh sebab itu, berusahalah kamu sekalian untuk mendambakan kecintaan yang semurni-murninya bagi Nabi yang agung ini, dan janganlah memberikan kepada sesiapa pun sesuatu tempat yang lebih tinggi daripada baginda, supaya kamu ditulis dalam golongan orang-orang yang telah diselamatkan”. (Ajaran Kami halaman 7)

Hazrat Maseeh Mau’ud (as) berkata:-
            Orang Islam adalah kaum yang sanggup memberikan nyawa demi kehormatan Nabi yang mulia (saw). Dan dia merasa adalah lebih baik mati daripada berbaik hati atau bersahabat dengan orang yang pekerjaannya siang dan malam hanya mengeluarkan caci maki ke atas Rasulullah (saw) dan menyebut nama baginda yang mulia dalam risalah, isytihar dan buku-buku mereka dengan panggilan yang begitu hina, juga yang menyebut nama baginda dengan ucapan yang sangat buruk”.

Beliau (as) bersabda lagi:-
            Ingatlah bahawa orang-orang seperti itu tidak memberi manfaat kepada kaum mereka sendiri, kerana jalannya penuh dengan duri. Dan saya mengatakan dengan sebenar-benarnya bahawa mungkin saja kita boleh berdamai dengan ular-ular di hutan dan binatang buas di padang pasir, tetapi kita tidak boleh berdamai dengan orang-orang yang tidak berpaling dari terus memburuk-burukkan nabi Allah yang suci. Mereka menyangka caci maki dan kata-kata kotor itu satu kemenangan, tetapi sebenarnya setiap kemenangan itu datang dari langit”.

Semoga kita semua mendapat kurnia dari Allah Ta’ala untuk itu. Amin.

Thursday, November 7, 2013

Ketaatan Dan Kecintaan Kepada Khilafat




CERAMAH
Jalsah Salanah Ke-2
Utara Semenanjung Malaysia
Jemaat Ahmadiyah Muslim Malaysia
2-3 November 2013

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Ketaatan Dan Kecintaan Kepada Khilafat


Tasyahud, Ta’awudz, Surah Al-Fatihah & Surah An-Nuur ayat 54-57)

Terjemahan ayat ini ialah:-

Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan sekuat-kuat sumpah mereka, bahawa jika engkau perintahkan kepada mereka, nescaya mereka akan keluar segera. Katakanlah, “Janganlah bersumpah; apa yang dituntut dari kamu adalah taat kepada yang benar. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Katakanlah, “Taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul.” Maka jika kamu berpaling, maka ia bertanggungjawab tentang apa yang dibebankan kepadanya, dan kamu bertanggungjawab tentang apa yang dibebankan kepadamu. Dan jika kamu taat kepadanya, kamu akan mendapat petunjuk. Dan tidaklah kewajipan Rasul melainkan menyampaikan secara jelas.

Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dari antara kamu dan berbuat amal soleh, bahawa Dia pasti akan menjadikan mereka itu khalifah di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan khalifah orang-orang yang sebelum mereka, dan Dia akan meneguhkan bagi mereka agama mereka, yang telah Dia redhai bagi mereka; dan niscaya Dia akan menggantikan mereka sesudah ketakutan mereka dengan keamanan. Mereka akan menyembah Aku, dan mereka tidak akan mempersekutukan sesuatu dengan Aku. Dan barangsiapa ingkar sesudah itu, mereka itulah orang-orang yang durhaka.

Dan dirikanlah solat, dan bayarlah zakat, dan taatlah kepada Rasul supaya kamu mendapat rahmat.

Apabila kita berbicara mengenai khilafat pada zaman ini, maka kita akan banyak berbicara tentang khilafat Ahmadiyah. Namun tidak bermakna bahawa khilafat Rasyidin tidak perlu kita bahaskan, tetapi disebabkan masa yang terhad, maka pada waktu ini saya akan sampaikan tanggungjawab kita semua sebagai seorang Ahmadi dalam mentaati dan mencintai Khilafat Ahmadiyah.

Ketaatan dan kecintaan kepada Khilafat merupakan satu perkara asas dalam menjadi seorang Ahmadi yang hakiki. Namun, ia bukanlah satu tajuk yang semudah itu untuk kita fahami dan menghayatinya. Ada orang yang taat kepada khilafat tetapi tidak cinta kepada khilafat, ada orang mengungkapkan di mulutnya bahawa dia benar-benar mencintai khilafat tetapi pengamalannya tidak menunjukkan ketaatan kepada khilafat. Sebab itu, kenapa kita ditekankan untuk memegang sepenuhnya konsep keitaatan kepada khilafat dan seiring dengan itu kita menunjukkan dengan cara yang sebenarnya bahawa kita mencintai khilafat.

Ayat yang telah saya tilawatkan tadi, daripadanya ada satu ayat sebagaimana yang kita semua ketahui dan telah dengar terjemahannya dipanggil sebagai ayat istikhlaf yakni, ia mengandungi janji Allah Ta’ala kepada orang-orang mukmin tentang khilafat. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam telah menjelaskan ayat ini dalam buku-buku beliau. Penjelasan dibuat dengan pelbagai cara.

Dalam ayat-ayat ini, ia merupakan seruan amalan yang sempurna untuk orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul, dan juga yang bai’at kepada khulafa. Dan perkara pertama dan yang paling asas dijelaskan ialah apa yang dimaksudkan dengan itaat dan apa ukurannya yang sebenar? Ukuran itaat itu bukanlah hanya sekadar melafazkan sumpah setia bahawa jika berpeluang akan bersedia untuk menentang musuh dalam pelbagai cara.

Hanya dengan sumpah sahaja belum boleh diyakini selagi tidak menunjukkan ketaatan dalam setiap keadaan. Jika perintah-perintah itu tidak disiplin dalam melaksanakannya dan tidak berusaha untuk mengamalkan apa yang telah diperintahkan oleh Allah dan Rasul, maka sumpah-sumpahnya tidak memberi manfaat.

Jadi, perkara sebenarnya di sini ialah sempurna dalam menzahirkan keitaatan secara amalan. Jika tidak dizahirkan melalui amalan dan perkara-perkara kecil pun tidak dizahirkan pengamalannya, maka dakwaan itu sia-sia. Dengan mengatakan INNAL LAAHA KHOBIIRUM BIMAATA’MALUUN, jelas bahawa insan boleh ditipu tetapi Allah Ta’ala mengetahui segala perkara. Semua perkara yang zahir atau tersembunyi diketahui oleh Allah Ta’ala, sebab itu Dia tidak dapat ditipu.

Jadi, hendaklah sentiasa berada dalam ingatan kita bahawa Allah Ta’ala melihat setiap masa. Dan seorang mukmin yang hakiki hendaklah memperhatikan perkara ini sebaik-baiknya. Dan apabila keimanan seorang insan teguh dalam perkara ini bahawa Allah Ta’ala sentiasa melihat mereka, maka bukan hanya sumpah-sumpah yang dizahirkan, tetapi mereka juga akan menzahirkan dari amalan sesuai dengan perintah. Mereka melaksanakan segala keputusan yang makruf dengan penuh keitaatan. Ia juga menjadikan insan sentiasa berkeinginan untuk taat kepada Allah dan Rasul dan berusaha untuk itu. Di samping ATHII’UL LAAHA WA ATHII’UR RASUUL terdapat lafaz WA ULIL AMRI MINKUM, yakni perlu juga mentaati amir dan Nizam Jemaat. Perlu untuk taat kepada Khalifah Waqt.

Dan orang-orang yang tidak memperlihatkan keitaatan yang sempurna dan berbuat sesuka hati mereka sahaja, Allah Ta’ala berfirman bahawa kamu akan ditanya kerana tidak mengamalkan perintah, kerana tidak taat, kerana berbuat dosa-dosa. Rasul tidak akan ditanya mengenai kamu, bukan lagi tanggungjawab seorang utusan Allah. Peraturan-peraturan syariat telah disampaikan oleh utusan Allah, kemudian dengan mengikuti rasul itu, Khalifah Waqt juga telah menyampaikan amanat Allah dan Rasul. Jadi, penasihat dan pemberi syariat telah menunaikan tugas mereka. selebihnya adalah tanggungjawab individu yang ingkar itu sendiri.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam juga memberikan keyakinan ke atas mereka yang benar-benar berjalan atas perintah Allah. Beliau memberikan satu nasihat yang penting ke atas kita semua sebagai pengikut yang hakiki dengan berkata:-
“Jangan beranggapan bahawa Tuhan akan mensia-siakan kamu. Kamu adalah satu benih yang ditanam di bumi dengan tangan Tuhan. Tuhan berfirman bahawa benih ini akan membesar dan berkembang, dan dari setiap arah akan keluar dahan-dahan sehingga menjadi sepohon pokok yang besar. Mubarak atas mereka yang beriman kepada perkataan Tuhan dan tidak takut akan ujian yang datang di pertengahan kerana ujian yang datang itu adalah perlu supaya Tuhan dapat menguji siapa yang benar dalam dakwaan bai’atnya dan siapa yang dusta. Siapa yang hanyut dalam ujian itu, dia tidak akan merugikan Tuhan sedikitpun, malangnya dia yang akan sampai ke jahannam. Jika dia tidak lahir, mungkin itu lebih baik baginya. Tetapi, orang-orang yang bersabar sehingga akhir, di mana mereka ditimpa gempa musibah dan ribut yang dahsyat, kaum mentertawakan dan mencaci mereka, dunia juga sangat keras terhadap mereka, golongan inilah yang akan mendapat kejayaan dan akan dibuka segala pintu-pintu berkat.

Dengan kurnia Allah Ta’ala hari ini dalam Jemaat Ahmadiyah di setiap penjuru dunia dan di setiap negara, nilai pengorbanan semakin meningkat. Dan dengan kurnia Allah Ta’ala, janji Allah Ta’ala kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam, setiap hari kita melihat kesempurnaannya. Tidak dapat dipastikan, dengan keberanian apa dan dengan semangat apa sehingga orang-orang Ahmadi sanggup mempersembahkan pengorbanan nyawa dan harta benda mereka?

Dalam konteks kita di Malaysia, para ulama berusaha untuk menghentikan pekerjaan kita dan berusaha untuk menjadikan kita lemah dan hilang semangat dengan melakukan pelbagai cara walaupun dengan mengeluarkan fitnah-fitnah yang hanya membuatkan kita tersenyum. Mereka berusaha menghalang kegiatan tabligh kita, mereka berusaha menghalang sehingga kita tidak ada tempat untuk beribadat di muka bumi Malaysia ini. Mereka berusaha supaya kita tunduk di hadapan mereka. Namun, disebabkan khilafat yang berada dalam hati kita, disebabkan hablullah ada dalam hati kita, disebabkan kita yakin akan janji Allah Ta’ala, kita tidak pernah gentar menghadapi usaha jahat mereka.

Mereka tidak tahu usaha mereka itu semakin menjadikan kita lebih bersemangat untuk bertabligh, mereka tidak tahu usaha mereka itu semakin menyerlahkan keindahan ajaran Jemaat Ahmadiyah, mereka juga tidak tahu usaha mereka menjadikan semakin ramai warga Malaysia celik pengetahuan tentang Ahmadiyah. Ringkasnya, kita tidak pernah akan kecundang dengan semua usaha-usaha mereka.

Beliau alaihissalam juga menyampaikan beberapa peringatan dan khabar gembira untuk mereka yang menghubungkan diri dengan khilafat dan jemaat. Jadi, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk mengambil bahagian dalam khabar gembira ini, dan juga meletakkan keagungan Tuhan di dalam hati masing-masing bagi mendapatkan kurnia dari janji Allah Ta’ala ini. Kita harus menzahirkan ketauhidan Allah secara amali. Menjadi orang yang berperikemanusiaan kepada manusia dengan cara yang sebenarnya. Menjadi orang yang membersihkan hati dari permusuhan dan dengki. Menjadi orang yang berjalan dalam setiap landasan kebaikan. Menjadi orang yang memelihara keimanan. Menjadi orang yang memperlihatkan keitaatan yang sempurna. Menjadi orang yang sentiasa meningkat keimanan supaya di sisi Tuhan, langkah-langkah kita tergolong dalam golongan orang-orang siddiq dan menjadi orang yang mendapat kurnia atas janji-janji-Nya.

Dalam kesempatan ini, saya tanya kepada semua yang hadir di sini, adakah tuan-tuan bersedia untuk menzahirkan ketaatan dan kecintaan kepada khilafat? Adakah tuan-tuan dan puan-puan semua yakin janji Allah Ta’ala terhadap khilafat ini? Jazakumullah Ahsanal Jaza kepada semua. Semoga Allah memberikan ganjaran dengan sebaik-baik ganjaran kepada tuan-tuan dan puan-puan semua.

Jadi, berdoalah kepada Allah Ta’ala dengan penuh kerendahan hati, tariklah kecintaan Allah Ta’ala dengan penuh rintihan, inginkanlah kasih sayang daripada Allah Ta’ala sentiasa menyelubungi kita, keluarga kita terutama sekali anak-anak kita. Jika sebagai ibu bapa, merintihlah di hadapan Allah Ta’ala bahawa kita memang lemah dalam mendidik anak-anak. Jika sebagai anak, merintihlah di hadapan Allah mudah-mudahan kita sentiasa berada dalam perlindungan-Nya, memberikan kita kekuatan dalam menghadapi ujian terutama sekali dalam era globalisasi ini, yang mana serangan syaitan-syaitan sudah memasuki tahap yang sangat berbahaya.

Seruan Al-Qur’an kepada kita, perhatikan sekeliling kita. Lihat dan renungkan nasib orang-orang yang ada pengingkaran terhadap pemerintah. Demikian juga kita sebagai pengikut Jemaat Ahmadiyah ini, kita sangat ditekankan agar benar-benar menjunjung tinggi pemerintahan Al-Qur’an, menjunjung tinggi sunnah-sunah Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Dan sekarang ini Imam Zaman telah diutus oleh Allah, kemudian khalifah-khalifah beliau terus bersama-sama dengan kita. Memberi nasihat kepada kita, memperingatkan kita dan memberi hukuman jika kita bersalah.

Sekarang ini, dengan bai’atnya kita ke dalam Jemaat Ahmadiyah ini menuntut semangat itaat dan cinta kepada khilafat.

Menanamkan semangat itaat dan kecintaan terhadap khilafat bermakna kita harus mengimplementasikan janji bai’at kita. Kemudian sebagai Ansar, kita ada ikrar tersendiri selain janji bai’at. Sebagai Khuddam, kita ada ikrar tersendiri selain janji bai’at. Sebagai Lajnah, juga ada janji tersendiri selain janji bai’at. Demikian juga Atfal dan Nasirat. Ringkasnya, setiap lapisan Ahmadi ada peranan masing-masing dalam perkara ini.

Sebelum saya tutup ceramah ini, di sini saya sampaikan beberapa pesan suci daripada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam kepada setiap Ahmadi.

BagindaAS bersabda: “Semua orang-orang mukhlis yang masuk bai’at pada hamba dalam silsilah ini menzahirkan bahawa tujuan bai’at adalah supaya kecintaan kepada dunia menjadi sejuk dan kecintaan kepada Maula Karim dan RasulullahSAW menjadi unggul.” (Asmaani Faishlah, Rohani Khazain, Jilid 4, Halaman 351)

Orang-orang yang bai’at kepada imam zaman dan meletakkan syarat-syarat bai’at dengan ikhlas di hadapan, dan berusaha untuk mengamalkannya, maka apa kata syaitan; “mereka itu tidak akan masuk kumpulanku. Berapa banyak pun keseronokan dunia yang aku perlihatkan, mereka tetap terkeluar dari penguasaanku.

Jadi, ketika Hazrat Masih Mau’udAS memberikan pengumuman bahawa orang-orang mukhlisin yang ikut denganku lebih mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih dari segala apa yang dicintainya, maka Hazrat Masih Mau’udAS juga menegaskan agar kita menghindari keburukan dengan mengatakan bahawa kamu hendaklah memberi perhatian setiap waktu, jangan sampai ada sebarang jenis keburukan yang timbul dalam diri kamu.

Dalam zaman ini, kita hendaklah berusaha melaksanakan apa yang diinginkan oleh Hazrat Masih Mau’udAS. Kita harus berusaha melaksanakan perintah Allah dan rasul-Nya serta berjalan di atas sunnah RasulullahSAW. Kita juga harus cenderung ke arah meningkatkan keagamaan dan rohani kita. Dan dengan berjalan atas landasan ketakwaan, kita cenderung untuk beribadat kepada Allah. Hanya dengan itu kita bai’at kepada Hazrat Masih Mau’udAS tanpa suatu kepentingan peribadi, atau suatu kepentingan duniawi, dan disebabkan hal ini kita menjadi sumber kemajuan jemaat sebagaimana yang dikatakan oleh Allah IBAADINAL MUKHLASHIIN, kerana mereka ini mencintai Allah dan RasulullahSAW dengan ikhlas.

RasulullahSAW adalah orang yang dikatakan bahawa segala tidur, jaga, duduk dan bangunnya adalah semata-mata kerana Allah sebagaimana yang dikatakan dalam ayat QUL INKUNTUM TUHIBBUUNAL LAAHA FATTABI’UUNII YUHBIBKUMUL LAAHU WAYAGHFIRLAKUM ZUNUUBAKUM (Ali Imran:32) yakni katakanlah, jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintai kamu dan mengampunkan dosa kamu. Kecintaan kepada RasulullahSAW bukan setakat menjadi penyebab kecintaan Allah, malah ia menjadi punca keampunan dosa dan juga menghindarkan diri dari dosa-dosa mendatang.

Hazrat Masih Mau’udAS bersabda; “apa hubungan saya dengan orang-orang yang tidak memikul segala perintah dengan hati yang suci, dan tidak memberikan pengorbanan kepada RasulullahSAW dengan hati yang benar, dan tidak berikhtiar menjadi orang yang bertakwa, dan tidak mahu meninggalkan adat-adat fasiq, tidak meninggalkan majlis-majlis yang sia-sia, tidak mahu menjauhi khayalan-khayalan buruk, dan tidak menghayati insaniat, kemajuan, kesabaran dan kelemah-lembutan, menghina orang-orang miskin, menindas golongan yang lemah, berjalan di pasar-pasar dengan megah dan duduk atas kursi dengan penuh kesombongan, dan menganggap dirinya itu lebih mulia.”

BagindaAS bersabda: “Mubarak atas mereka yang menganggap dirinya hina dan kecil, dan bercakap dengan rasa malu. Mereka mengagungkan yang lemah, mereka tidak pernah menghina disebabkan kejahatan dan takbur. Mereka selalu ingat Tuhan yang Maha Mulia.” Dikatakan: “Jadi, saya berkali-kali mengatakan bahawa orang-orang seperti inilah yang akan disediakan keselamatan.”

Nasihat yang Hazrat Masih Mau’udAS berikan ini amat mengharukan. Perkara inilah yang jika kita amalkan akan dianggap sebagai orang-orang yang mukhlisin, yang mencintai Allah dan Rasul-Nya. Mereka inilah yang datang menghadiri jalsah dan menyempurnakan tujuan mereka datang berkunjung. Jika tidak, BagindaAS jelas mengatakan bahawa ini bukan suatu urusan keduniaan.

Tuan-tuan yang datang berkumpul di sini hari ini, Ini juga boleh kita katakan jalsah yang mengingatkan kita kepada nikmat yang telah diberikan oleh Allah. Kemudian, rasa syukur yang hakiki akan terlaksana apabila kita berusaha untuk menciptakan perubahan suci dalam diri. Apabila kita sudah cenderung ke arah ini, iaitu kita berjalan di atas uswah RasulullahSAW untuk mendapatkan kecintaan Allah Ta’ala, maka ini juga merupakan satu perintah Allah Ta’ala buat orang-orang yang ikhlas menjadi hamba-Nya. Terdapat uswah RasulullahSAW dalam setiap medan, ia memberi nasihat kepada kita bahawa inilah amalan-amalan yang akan mengekalkan kecintaan terhadap Allah Ta’ala.

Setiap Ahmadi harus berusaha meningkatkan nilai ibadat masing-masing agar perdakwaan kecintaan ini dapat dibuktikan. Jangan dakwaan hanya tinggal dakwaan sahaja. Beri perhatian dalam meningkatkan nilai sholat dan ibadat kita dalam beberapa hari ini. Setiap peserta jalsah harus ingat bahawa kita hendak mendapatkan kecintaan Allah Ta’ala dan seharusnya berusaha sekuat-kuatnya untuk itu.

Hazrat Masih Mau’udAS bersabda: “Ingatlah sebaik-baiknya, sekali lagi ingatlah bahawa bila tunduk kepada selain Allah, itu bererti memutuskan hubungan dengan Tuhan. Apapun sholat dan tauhid, sholat merupakan ikrar amali bagi tauhid. Tidak ada berkat dan tidak ada faedah jika di dalamnya tidak ada semangat merendah diri dan merasa hina serta hati yang ikhlas”.

Kemudian, Hazrat Masih Mau’udAS menjelaskan bagaimana kerendahan dan rasa hina yang sepatutnya. Hati mesti bebas dari segala perancangan kotor, tidak ada sebarang perasaan takbur, tidak ada semangat keegoan, memperlihatkan rasa rendah diri kepada hamba-hamba, jika semua ini wujud barulah doa-doa akan dikabulkan dan sholat pun menjadi sholat yang hakiki. Orang yang memberikan pengumuman ketauhidan yang hakiki kepada Allah tidak akan dapat melakukan perbuatan merampas hak orang lain untuk kepentingan sendiri, atau mereka akan bercakap dengan sombong.

Jadi, dalam hari-hari yang tersedia ini, buatlah ukuran diri kerana persekitaran juga boleh memberi pengaruh kepada rohani dan juga atas hati. Selidikilah diri sendiri, selidikilah sholat dan akhlak diri sendiri. Jangan pernah terfikir untuk merampas hak-hak orang lain. Hendaklah sentiasa ingat bahawa akhlas asas yang harus dipersembahkan oleh setiap insan dalam suatu masyarakat tidak akan dapat didirikan selagi di dalam hati tidak ada ketakutan yang hakiki kepada Allah dan juga jika hati belum jauh daripada sikap keegoan dan takbur.

Jika hal ini lahir dalam diri seseorang, maka orang itu bersih dari setiap jenis keburukan. Seorang Ahmadi seperti itu akan mencapai tingkat ke mana Hazrat Masih Mau’udAS hendak membawa kita, kemudian orang itu akan menjadi pencinta Allah dan RasulullahSAW yang hakiki.

Oleh sebab itu, dalam beberapa hari ini di mana tuan-tuan semua berkumpul semata-mata kerana Allah dan mendakwakan bahawa kami datang berkumpul adalah kerana Allah, tujuan jalsah salanah ini hendaklah diutamakan, kerana cara yang paling baik untuk mengislahkan diri ialah meletakkan satu (Muzakki) dalam diri.

Hazrat Masih Mau’udAS bersabda: “Orang yang beruntung itu bukanlah mereka yang mendapat kekayaan harta dunia, dan dari kekayaan itu, ia menjadi penyebab ribuan malapetaka dan musibat berlaku. Orang yang beruntung adalah mereka yang mendapat kekayaan iman dan mereka selalu merasa takut akan kemarahan dan kemurkaan Tuhan, mereka juga menghindarkan diri dari serangan nafsu dan syaitan. Ini kerana, cara itu membolehkan dia mendapat keredhaan Allah.

Tetapi, ingatlah bahawa hal ini tidak mudah untuk diperolehi. Untuk mendapatkannya, kamu perlu berdoa dalam sholat agar Tuhan redha dengan kamu, dan Dia juga memberi kamu taufiq dan kekuatan agar kamu mendapat keselamatan dari dosa dan kehidupan yang kotor. Sebabnya ialah, kamu tidak mungkin boleh terhindar dari dosa selagi tidak ada taufiq dari-Nya, dan juga tidak kurnia daripada-Nya. Taufiq dan kurnia ini hanya dapat diperolehi melalui doa.

Untuk ini, banyakkan berdoa dalam sholat iaitu wahai Allah! Hindarilah kami dari semua perbuatan-perbuatan yang dikatakan sebagai dosa dan juga dari perkara-perkara yang bertentangan dengan kesukaan dan petunjuk Engkau. Dan hindarilah kami dari setiap kesedihan, musibat dan bala yang disebabkan oleh dosa-dosa itu. Juga, kekalkanlah kami dalam keimanan yang sebenar.”

Kemudian dalam menjelaskan jenis-jenis dosa, BagindaAS bersabda: “Banyak akhlak-akhlak buruk yang mendatangkan dosa, misalnya seperti marah, murka, dengki, beremosi, riak, takbur, hasad dan sebagainya. Ini semua adalah akhlak buruk yang boleh menyebabkan insan sampai kepada jahannam”.
(Malfoozaat Jilid 1, halaman 608-609)

Kita hendaklah selalu ingat bahawa jangan merasa bangga kerana kita tidak melakukan dosa besar, akhlak buruk yang biasa juga merupakan dosa. Sebab itu Hazrat Masih Mau’udAS telah bersabda supaya menghindari dosa-dosa itu, malah untuk seorang mukmin, tidak cukup hanya setakat itu sahaja, tetapi ini adalah satu perintah Al-Qur’an iaitu jangan hanya menghindari dosa-dosa malah kamu juga harus berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan.

Hazrat Masih Mau’udAS bersabda: “Seorang insan hendaklah berbuat kebaikan dengan menghindari dosa-dosa dan beribadat serta taat kepada Allah Ta’ala. Apabila mereka terhindar dari dosa-dosa dan mula beribadat kepada Allah, maka hatinya akan dipenuhi dengan berkat”.
(Malfoozaat Jilid 1, halaman 610)

Oleh itu, mulailah sekarang agar kita tanamkan kecintaan dan ketaatan kepada khilafat. Apa sahaja nasihat daripada Khalifah, usahakan dapat diikuti dan ditaati. Meninggalkan benda-benda yang tidak berfaedah, meninggalkan minuman keras, meninggalkan amalan merokok, dan sebagainya. Siapa yang berani merokok dan minum minuman keras di hadapan khalifah? Sudah tentu siapa pun tidak akan berani kerana yakin bahawa khalifah akan marah kepadanya. Jadi, sebagai tanda mentaati dan mencintai khalifah, kenapa kita tidak tinggalkan sahaja, malah sesetengah orang merasa tidak bersalah jika merokok di hadapan muballigh, di hadapan sekretari dan lain-lain. Jadi, fikirkan perkara ini dengan mendalam.

Jadi, lelaki dan wanita hendaklah ingat bahawa untuk mendapatkan kurnia daripada nikmat khilafat ini mestilah menjadi ‘abid yang hakiki dan mengamalkan segala perintah-Nya sesuai denga firman Allah: WA AQIIMUS SHOLAATA WA AATUZ ZAKAATA WA ATHII’UR RASUULA LA’ALLAKUM TURHAMUUN, yakni; Dan dirikanlah solat, dan bayarlah zakat, dan taatlah kepada Rasul supaya kamu mendapat rahmat.

Sebab itu, berusahalah untuk itu dan tinggikan darjat kamu. Semoga Allah Ta’ala memberi kita semua taufik.


Monday, February 4, 2013

Khoira Ummah - Ummat Yang Terbaik

Allah Ta’ala berfirman di dalam Al-Qur’an (Ali Imran:111)

Maksudnya, kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manfaat manusia, kamu menyeru berbuat kebaikan dan melarang dari berbuat kejahatan, dan kamu beriman kepada Allah Ta’ala. Kemudian Allah Ta’ala juga berfirman YUSAARI’UUNA FIL KHOIRAAT (Ali Imran:114) yakni berlumba-lumba di antara satu dengan yang lain dalam melakukan kebaikan. Dan disebabkan perbuatan baik ini dan juga disebabkan menghindari keburukan, Allah Ta’ala berfirman: ULAA’IKA MINAS SHOOLIHIIN yakni dan mereka inilah orang-orang yang baik. Inilah orang-orang yang termasuk dalam golongan orang-orang soleh kerana berbuat kebaikan.

Ini adalah perintah untuk umat Islam. Jika kita buat penilaian, adakah hari ini kita melihat perkara ini wujud dalam diri umat Islam yang memungkinkan mereka layak digelar sebagai khaira ummah (umat terbaik)? Malang sekali kerana apa yang kita dapat saksikan hari ini, di dunia Barat, dalam media massa, mereka mengekori umat Islam dan menzahirkan segala kelemahan-kelemahan umat Islam. Jadi, siapa umat terbaik yang dicipta untuk manfaat manusia, yang mengajak ke arah kebaikan dan menghalang daripada melakukan keburukan?

Mereka itu adalah orang-orang yang telah menerima Hazrat Maseeh Mau’ud as, iaitu pencinta sejati Rasulullah saw dan juga berjanji bahawa “kami akan mengamalkan segala perintah Allah dan Rasulullah saw dan juga akan menghindari segala perkara yang dilarang oleh Allah Ta’ala dan juga Rasulullah saw. Dan juga akan saling memajukan diri dalam soal kebaikan”. Dengan ini, dalam diri sendiri akan dilengkapkan dengan kebaikan-kebaikan, dalam keluarga juga akan dilengkapkan dengan kebaikan-kebaikan, dalam persekitaran juga akan dilengkapkan dengan kebaikan-kebaikan, dalam masyarakat juga akan dilengkapkan dengan kebaikan-kebaikan. Dan akhir sekali, dalam negara di mana mereka tinggal juga mereka akan melengkapkannya dengan kebaikan-kebaikan. Dan seterusnya akan tersebar di seluruh dunia bahawa kita adalah golongan yang menyeru berbuat kebaikan dan melarang dari melakukan keburukan.

Lafaz umat yang digunakan di sini merangkumi kaum lelaki dan juga wanita. Maknanya, apa yang diperintahkan kepada kaum lelaki, itu juga yang diperintahkan untuk wanita. Tidak ada dikatakan bahawa wanita di luar daripada umat Rasulullah saw. Jadi, apa yang menjadi kewajipan lelaki, itu juga yang menjadi kewajipan seorang wanita. Dan apabila wanita tidak melaksanakan kewajipan mereka, mereka boleh terkeluar dari lafaz umat. Ini adalah antara satu ciri yang harus ada dalam diri seseorang supaya termasuk dalam golongan umat. Jadi, ingatlah dengan sebaik-baiknya perkara ini bahawa sebagaimana kaum lelaki diperintahkan untuk melakukan kebaikan, demikian juga wanita mendapat perintah untuk melaksanakan perkara yang sama, wanita yang tua atau masih kecil tetap diperintahkan untuk melakukan kebaikan-kebaikan, menghindari keburukan-keburukan, dan mengamalkan segala perintah Allah dan Rasul-Nya. Dan sebagaimana kaum lelaki akan terkeluar dari lingkungan ini jika mereka melakukan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya, demikian juga kaum wanita akan terkeluar dari lingkungan umat jika mereka melakukan perkara yang sama. Jadi, ingatlah sentiasa bahawa wanita juga termasuk dalam golongan umat terbaik ini. Namun, wanita yang bagaimana boleh digolongkan sebagai bahagian umat yang terbaik? Sudah pasti, wanita itu ialah mereka yang memahami bahawa: aku orang Islam dan akan melakukan perkara yang telah diperintahkan oleh Allah.

Di dalam Al-Qur’an ada menyebut tentang wanita yang berkata benar, wanita yang kekal atas kebaikan, wanita yang berpuasa dan wanita yang memelihara diri, semua ini perlu ada pada wanita sebagaimana ada pada kaum lelaki. Jadi, ingatlah hal ini dengan sebaik-baiknya. Kemudian, tidak pula bermakna bahawa setelah memiliki semua ini maka ia telah berakhir. Tidak seperti itu. Malah, apa yang dikatakan ialah kamu adalah orang yang dilahirkan semata-mata untuk memberi manfaat kepada manusia lain. Tidak harus terjadi bahawa dari seorang mukmin lelaki dan dari seorang mukmin wanita, ada pihak yang mengalami kerugian. Seorang mukminah, selama dia mengamalkan hak sebagai seorang mukminah, sama ada dia seorang anak kecil, seorang muda remaja atau yang sudah berumur, maka mereka hendaklah memastikan orang lain mendapat manfaat. Jika orang lain tidak mendapat manfaat, maka fikirkanlah sedalam-dalamnya, jangan sampai kamu tidak termasuk dalam golongan yang dikatakan oleh Allah sebagai khaira ummah, lebih-lebih lagi bai’at kepada imam zaman yang mana sekali lagi memperbaharui janji mereka untuk menghindari segala keburukan dan mengamalkan segala jenis kebaikan, serta akan melaksanakan segala perintah-perintah Allah.
Seorang mukminah yang hakiki tidak akan mahu melihat suatu keburukan pada diri orang lain. Dia harus berusaha supaya sesiapa sahaja yang berjumpa dengannya akan mengatakan, saya tidak mendapat apa-apa daripadanya selain kebaikan dan kebaikan. Namun, untuk mencapai hal itu harus mempersiapkan diri lebih dahulu dengan kebaikan-kebaikan. Jika tidak, maka Allah Ta’ala berfirman bahawa LIMA TAQUULUUNA MAA LAATAF’ALUUN (As-Shaff:3) yakni kenapa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan? Jadi, jelas bahawa suatu kebaikan yang hendak kamu persembahkan kepada orang lain, kebaikan itu harus dilakukan terlebih dahulu. Kamu hendaklah melaksanakan huquuqullah dan huquuqul ibad (hak-hak Allah dan hak-hak hamba).

Apa itu huquuqullah? Huquuqullah ialah solat, puasa, zakat dan haji jika mampu. Tetapi solat itu adalah fardu, kemudian menegakkan ketauhidan, berusaha menegakkan perintah Allah di dunia ini. Berhala dalam diri hendaklah dihapuskan supaya tauhid dapat didirikan dengan sempurna. Ada syirik yang tersembunyi yang selalu mengajak ke arah yang tidak betul. Tinggalkan solat, ada jemputan penting, ada majlis penting, ada keramaian di rumah kawan, lebih baik pergi ke sana. Jangan ambil wudhu’, nanti rosak solekan atau make-up kamu. Hal-hal kecil seperti ini adalah jenis syirik yang tersembunyi yang berada dalam diri manusia.

Huquuqul ibad. Antaranya ialah berbuat baik kepada ibu bapa. Dalam berbuat baik kepada ibu bapa ialah mendoakan mereka: kasihilah mereka ya Allah sebagaimana mereka mengasihi aku ketika aku masih kecil. Dan doa ini berlaku ketika mereka masih hidup dan juga setelah mereka meninggal dunia. Doa ini adalah berterusan. Jika setiap anak-anak, setiap remaja, setiap wanita membaca doa ini, mereka juga akan sedar. Bagi wanita yang sudah mempunyai anak, apabila mereka berdoa untuk ibu bapa, mereka akan menyedari bahawa; kita juga perlu mendapatkan doa ini, kita perlu kekal atas kebaikan-kebaikan supaya berhak mendapatkan doa ini. Jika doa ini dibaca dengan penuh perhatian, maka tidak akan timbul keinginan untuk membuat suatu keburukan. Segala permasalahan di antara ibu mertua dan menantu akan selesai, lebih-lebih lagi Hazrat Maseeh Mau’ud as mengatakan bahawa ikatan kekeluargaan yang lahir dari suami juga merupakan ibu dan bapa kamu. Untuk mereka juga akan lahir doa dari seorang menantu. Ya Allah, kasihilah juga ayah dan ibu suamiku. Apabila doa ini dibaca oleh seorang menantu yang mempunyai anak, dalam hatinya juga akan timbul perasaan dan harapan semoga anak-anaknya juga akan berdoa untuk kesejahteraan mereka.

Kemudian, perlu juga untuk berbuat baik sesama keluarga. Perkara ini sangat penting kerana melibatkan banyak pihak. Kadang-kadang kita melihat bahawa hanya disebabkan perkara kecil sahaja, sebuah rumah tangga itu menjadi hancur. Oleh itu, sekiranya dalam diri setiap ahli keluarga itu ada perasaan untuk berbuat kebaikan sesama mereka, sudah pasti rumah yang diidamkan setiap orang akan dapat dicapai.

Berbuat baik kepada jiran tetangga juga sangat perlu untuk menjadikan seorang wanita sebagai mukminah yang hakiki. Hazrat Maseeh Mau’ud as berkata bahawa jiran kamu bukan sahaja mereka yang berdekatan rumah, malah orang yang tinggal jauh juga merupakan jiran kamu. Semua anggota jemaat juga adalah jiran kamu. Perlu diingat, amalan baik kepada jiran tetangga bukan hanya untuk sementara sahaja, malah ia adalah perbuatan yang berterusan. Amalan ini akan dapat melahirkan satu suasana yang cantik seperti yang diinginkan oleh ajaran Islam. Mereka akan saling bantu-membantu di antara satu dengan yang lain dan bukannya saling menjatuhkan. Islam tidak mengajarkan, tuntutlah hak kamu, tetapi apa yang Islam ajarkan ialah sempurnakan hak-hak hamba. Jika ini dapat dilaksanakan, maka suasana yang sangat indah akan menyerlah dalam masyarakat. Tidak akan ada dalam fikiran untuk menuntut suatu hak, berikan hak kami, berikan hak wanita.

Sebaliknya mereka akan berkorban untuk menyempurnakan hak orang lain seperti yang dituntut dalam ajaran Islam. Jadi, dasar berfikir seperti ini harus ada dalam diri setiap Ahmadi terutama sekali kaum wanita kerana mereka yang akan memastikan keturunan yang baik pada masa akan datang.

Memelihara amanah. Satu penyakit yang sering terjadi di kalangan kaum lelaki, tetapi kebanyakannya ada dalam diri kaum wanita. Kadang-kadang ada perbincangan tentang seseorang yang ada kelemahan dan kekurangan dalam majlis amilah atau perjumpaan umum. Di kalangan wanita ada yang menyebarkan cerita tersebut sehingga tersebar luas, itu menandakan orang tersebut tidak memelihara amanah. Dan jika mereka tidak boleh memelihara amanah, maka bagaimana mungkin mereka boleh tergolong dalam khaira ummah.

Kemudian memelihara janji. Satu janji ialah janji bai’at. Kemudian, dalam setiap pertemuan, ada lafaz janji Lajnah dan juga janji Nasirat. Anak perempuan yang berumur 10 tahun ke atas sudah dapat memahami apa yang dikatakan, apa yang harus dilakukan dan bagaimana hendak melaksanakannya. Jika janji yang dilafazkan ini tidak disempurnakan, maka itu juga merupakan satu kesalahan.

Menzahirkan kebenaran. Menzahirkan kebenaran tidaklah bermaksud bahawa apa yang ada dimulut, itu dikatakan dengan benar dalam mana-mana majlis. Kami berkata benar, ini kekurangan-kekurangan si fulan dan si fulan yang telah kami lihat. Jika memang ada kekurangan pun, kamu tidak ada hak untuk menzahirkannya. Ini bukan kebenaran namanya. Kebenaran itu ialah apabila kamu dipanggil untuk menjadi saksi, maka di sana kamu harus menzahirkan kebenaran. Selepas itu, adalah bukan pekerjaan kamu untuk keluar dan menyebarkan berita itu kepada semua orang bahawa dia begitu dan begini. Kemudian, kebenaran juga termasuklah menzahirkan kebenaran walaupun anak sendiri yang melakukan kesalahan. Jika pemimpin jemaat memanggil kamu bertanyakan tentang anak kamu, maka jika memang kamu tahu anak kamu berbuat kesalahan, tanggungjawab kamu ialah jujur berkata ya, anak saya telah melakukan kesalahan. Jika kamu menyembunyikan kesalahan anak-anak, maka kamu tidak dikatakan berbuat kebenaran.

Menunaikan amanah. Sebelum menunaikan amanah, pertama sekali hendaklah memelihara amanah. Dalam menunaikan amanah ini termasuklah para pemegang jawatan, tidak kira di peringkat nasional atau muqami. Segala tugas yang telah diamanahkan hendaklah dilaksanakan sesuai dengan tuntutannya.

Membuat pemilihan calon yang tepat. Dalam organisasi, selalu diadakan pemilihan. Jadi, pemilihan dilakukan hendaklah dengan jujur. Sebagai contoh, pardah adalah perkara yang sangat perlu, jika memilih pemegang jawatan yang tidak mengamalkan pardah dengan sempurna, itu adalah kesalahan kamu. Dan juga, jika sadr memilih anggota amilah seorang lajnah yang tidak mengamalkan pardah, maka itu juga satu kesalahan. Ringkasnya, menyempurnakan amanah itu berbagai jenis. Setiap perkara hendaklah diperhatikan dengan mendalam, dengan itu kamu boleh tergolong sebagai khaira ummat. Kemudian, harus bersedia berkorban untuk orang lain, jika ini ada dalam diri setiap Ahmadi, maka pasti Tuhan akan redha.

Memperlihatkan sikap merendah diri. Ini juga satu ciri yang sangat perlu untuk diamalkan. Jangan pernah ada perasaan bahawa saya ada wang yang lebih banyak daripadanya. Saya ada emas yang lebih banyak daripadanya, pendidikan saya lebih tinggi daripadanya, saya ada anak sedangkan dia tidak ada. Semua ini adalah penzahiran takbur yang tidak harus ada dalam diri seorang wanita Ahmadi. Hal ini sangat dibenci dalam Islam. Kemudian, dalam melakukan suatu khidmat pun hendaklah dilakukan dengan penuh kerendahan hati.

Bersangka baik. Berburuk sangka adalah akar segala keburukan dan menimbulkan fitnah serta kerosakan. Jika keburukan ini hilang, banyak masalah rumah tangga dan masalah masyarakat dapat dihapuskan.

Amalan bersyukur. Allah Ta’ala berfirman, jika kamu bersyukur, maka Aku akan berikan lebih banyak. Jadi, amalkanlah sikap bersyukur dan hidup dalam kecukupan. Lihat pada pendapatan suami, berbelanjalah menurut pendapatan yang ada dengan penuh kesyukuran. Terutama sekali pasangan yang baru berkahwin, masing-masing tuduh-menuduh. Suami menuduh isterinya banyak permintaan dan rungutan, dan memang banyak terjadi bahawa ada isteri yang berkata, keinginan kami tidak disempurnakan oleh suami, kami tidak dibawa ke pusat-pusat kecantikan, tidak seminggu dan tidak sebulan. Padahal, pergi ke pusat kecantikan bukan tujuan seorang Ahmadi, jika tidak berkemampuan, bagaimana untuk dibawa ke sana? Jadi, hiduplah dalam kecukupan untuk memastikan keluarga yang bahagia. Kesabaran dan ketabahan sangat penting untuk mencapai matlamat hidup berkeluarga.

Amalan memberi maaf. Hal ini sangat penting. Berlaku adil, apa itu adil? Adil itu ialah, walaupun hal itu tidak memihak keluarga kamu, tetapi jika kamu dipanggil untuk memberi kesaksian, maka kamu hendaklah nyatakan. Inilah keadilan yang harus ditegakkan. Jika keadilan ini tidak ada dalam jemaat Ahmadiyah, maka jemaat Ahmadiyah tidak ada makna apa-apa, ataupun keberadaan seseorang dalam jemaat Ahmadiyah tidak memberi makna apa-apa. Jika ketidakadilan ini terjadi disebabkan oleh pemegang jawatan, maka dia yang akan bertanggungjawab. Jika bukan Nizam Jemaat yang menghukumnya, namun Allah Ta’ala akan menangkapnya. Sebab itu, keadilan harus ada dalam diri kamu. Berusahalah untuk mencapainya.

Berbuat ihsan. Bukan hanya berlaku adil, malah dituntut juga untuk berbuat kebaikan, saling sayang-menyayangi antara satu dengan yang lain. Jika ada yang memberi kesusahan terhadap kamu, maka tunjukkan kasih sayang, mungkin dengan cara itu dia sedar akan kesilapannya. Jika dia tidak sedar pun, sekurang-kurangnya kamu mendapat ganjaran daripada Allah Ta’ala.
Berakhlak mulia juga merupakan satu ciri yang sangat baik. Gembira bila berjumpa, senyum bila bertemu, bersalam ketika berjumpa. Kemudian, fikiran juga hendaklah bersih. Sejauh mana orang-orang Ahmadi ditegaskan untuk menjaga kebersihan, di sana juga ditegaskan untuk menjaga kebersihan rumah, persekitaran dan kebersihan minda, jangan sampai ada fikiran kotor masuk dalam minda masing-masing.

Menahan kemarahan. Ini juga satu perintah Allah Ta’ala untuk menahan kemarahan. Kemudian harus juga menahan diri dari keburukan-keburukan dan menghalang orang lain dari melakukan suatu keburukan.

Kedekut dan bakhil itu sangat buruk di sisi Allah. Namun, dengan kurnia Allah Ta’ala, ramai wanita Ahmadi yang giat berkorban, mereka sanggup mengosongkan poket mereka apabila disuruh untuk berkorban, malah mereka juga sanggup mengosongkan poket suami mereka yang mana kadang-kadang bertengkar dengan suami selepas itu. Walaubagaimanapun, ada juga wanita Ahmadi yang masih lagi lemah dalam soal ini, perbelanjaan rumah tangga boleh ditanggung, tetapi tidak berani untuk berkorban. Jangan sampai hal ini berlanjutan.

Membuat tuduhan palsu juga satu keburukan yang besar. Hal itu boleh menjadikan ikatan keluarga boleh terputus dan masyarakat yang harmoni akan musnah. Jadi, setiap orang hendaklah berusaha membersihkan diri dari perbuatan buruk ini.

Mempersendakan orang lain. Walaupun harus bergurau, namun ada had atau batasnya. Ia harus dilakukan dalam batas-batas akhlak. Ini terutama sekali wanita-wanita muda, 10 hingga 15 tahun, mereka selalu bergurau senda, kadang-kadang ada juga wanita yang sudah berumur, masih tetap bergurau sesama sendiri. Jadi, elakkan daripada perbuatan bergurau sehingga merendah-rendahkan orang lain.

Hasad juga perbuatan buruk yang harus dielakkan. Jika dapat mengelakkan hasad dengki, maka mereka boleh menyeru kepada orang lain agar dapat melakukan perkara yang sama.

Perkara laghu (sia-sia). Khasnya kepada anak-anak, perkara sia-sia ini bukan hanya perkara yang dilakukan oleh wanita-wanita yang sudah berumur, tetapi anak-anak wanita remaja yang berumur antara 10 hingga 15 tahun sehinggalah meningkat remaja, untuk mereka ini TV dan internet menjadi benda yang sia-sia pada zaman sekarang. Jika kamu menonton TV sepanjang hari, rancangan yang tidak memberi apa-apa tarbiyat, maka ini adalah sia-sia. Internet adalah satu halaman yang mana apabila kamu telah sampai ke suatu tempat di dalamnya, maka kamu tidak akan dapat keluar lagi sehingga menyebabkan keburukan tersebar luas, ini menyebabkan mereka terpaksa keluar dari rumah, kemudian meninggalkan nama buruk kepada keluarga dan juga jemaat. Sebab itu, amat perlu sekali untuk menghindari internet. Demikian juga di internet banyak program-program yang boleh meracuni fikiran anak-anak. Sama ada dalam TV atau internet, jika ibu bapa mendapati ada rancangan yang boleh meracuni fikiran sehingga menanamkan fikiran kotor dalam minda mereka, ibu bapa hendaklah menyekat rancangan tersebut secara berterusan. Apa yang diperbolehkan ialah menonton drama atau kartun yang bersih.

Kemudian, perlu juga menghindari kebiasaan mengatakan sesuatu yang tidak diketahui dengan mendalam. Kadang-kadang, apabila seseorang anggota telah dipilih memegang suatu jawatan, maka orang yang tidak suka kepadanya mula mengatakan sesuatu yang tidak benar, orang ini pernah berbuat kesalahan, telah melanggar nizam, dan sebagainya. Apabila diselidik, perkara itu telah berlaku beberapa tahun dahulu dan sudah pun mendapat pengampunan. Jadi, perkara seperti ini hendaklah diperhatikan dan jangan dijadikan kebiasaan mengungkit perkara-perkara yang telah lama berlalu.

Berkenaan dengan ghibat (mengumpat) juga diterangkan di dalam Al-Qur’an bahawa ia merupakan satu penyakit sehingga dikatakan mahukah kamu memakan bangkai saudara kamu? Jika kamu tidak mahu memakannya, maka kamu janganlah melakukan ghibat. Jangan berusaha mencari-cari dan menceritakan kesalahan orang lain. Jika ada yang melakukan keburukan ini, bererti dia sedang memakan bangkai saudaranya. Hazrat Khalifatul Maseeh Awal berkata mengenai perkara ini sampai ke tahap ini iaitu andaikanlah bahawa kamu sedang makan kebab yang dibuat dari bangkai saudara kamu, adakah kamu tidak merasa jijik? Sudah pasti, mendengar perkara ini ada yang akan mula merasa loya dan muntah. Tetapi, ketika sedang melakukan ghibat, dia merasa sangat seronok. Dan ghibat itu ialah jika ada keburukan pada diri seseorang, dia akan berusaha mengekori kesalahannya sehingga mendatangkan kesulitan pada orang tersebut. Rasulullah saw bersabda; jika tidak ada keburukan dalam diri seseorang dan kamu bercerita mengenainya, maka kamu sedang melakukan pembohongan. (Muslim) Oleh itu, menjauhi perbuatan ghibat adalah sangat perlu.

Dusta itu satu kesyirikan dan satu adat yang sangat buruk. Jadi, kita semua harus tahu bahawa tidak ada satu keburukan yang paling besar melainkan dusta. Dan dusta itu bukan hanya bermaksud kamu menyatakan sesuatu yang tidak benar dalam perkara yang besar sahaja. Perkara yang kecil pun jika ia disebarkan dengan cara yang tidak betul juga satu pendustaan. Membawa cerita-cerita dusta yang tersebar secara perlahan-lahan akan menjadikan kebiasaan sehingga besar. Dan apabila hal itu terjadi maka, dia tidak akan dapat mengatakan sesuatu yang lurus (qoulan sadiidaa). Perkara yang paling dikhuatiri ialah apabila anak-anak semakin meningkat dewasa, ia akan menjadi punca masalah dan kerosakan dalam masyarakat. Sebab itu Rasulullah saw pernah bersabda kepada seseorang supaya meninggalkan dusta kerana dengan meninggalkan dusta, keburukan-keburukan yang lain turut hilang dengan sendirinya. Sebab itu, setiap dari kita hendaklah berusaha meninggalkan sekecil-kecil perbuatan dusta ini.

Kemudian, kadang-kadang ada terjadi keluhan berkenaan dengan jemaat. Ini sama sekali harus dielakkan. Banyak janji-janji yang telah diberikan oleh Allah kepada Hazrat Maseeh Mau’ud as, dan sekarang ini ia sempurna satu persatu. Jadi, seorang wanita Ahmadi dan anak-anak remaja harus berhati-hati terutama sekali sekarang ini di internet banyak tersebar dalam website-website yang cuba merosakkan fikiran anak-anak agar mereka putus asa dengan jemaat ini. Usahakan agar kamu semua menjadi anak-anak atau wanita solehah sehingga menjadi hamba-hamba wanita Allah yang diredhai, yang akan melakukan perkara-perkara yang disukai Allah dan menghindari amalan-amalan yang dibenci oleh Allah.

Kemudian, ibu-ibu dinasihatkan agar jangan membunuh anak-anak. Siapa ibu yang sanggup membunuh anak-anak sendiri? Di sini bukanlah bermaksud membunuh secara zahir, tetapi perkara yang cuba dibangkitkan di sini ialah ibu-ibu yang tidak memberi didikan dan tarbiyat yang betul kepada anak-anak, menyebelahi atau membenarkan kesalahan yang dibuat oleh anak-anak, tidak mempedulikan pelajaran atau persekolahan anak-anak sama keadaannya seperti membunuh anak-anak itu sendiri.

Ada juga wanita-wanita yang menghantar anak-anak ke sekolah, jika suami mereka bekerja ke luar kawasan, maka di antara wanita-wanita yang tidak terbiasa mengamalkan pardah dengan sempurna akan menghantar anak-anak ke sekolah dengan hanya memakai selendang ringkas, kemudian berbual dengan jiran atau kawan-kawan dengan pardah yang tidak sepatutnya lalu balik ke rumah pada waktu petang. Anak-anak dibiarkan di rumah, dengan minum susu atau jus dan makan buah lalu tidur sendirian. Maknanya, ada juga wanita seperti itu.

Jadi, kesedaran harus bermula, jika tidak, ia juga termasuk dalam kategori membunuh anak-anak. Kemudian, anak-anak menjadi rosak dan mereka sendiri pun tidak cenderung terhadap tanggungjawab sendiri, apalagi kewajipan terhadap jemaat.

Anak-anak di sisi wanita juga merupakan amanat jemaat dan tanggungjawab ini harus ditanggung oleh ibu-ibu. Hal ini juga harus diberi perhatian. Jika kewajipan agama mereka tidak diperhatikan oleh ibu-ibu, sama juga halnya seperti membunuh anak. Ibu bapa harus peka sama ada anak-anak teratur dalam solat atau tidak. Anak-anak yang berumur 10 tahun hendaklah dibiasakan mendirikan solat secara berperingkat-peringkat. Selepas 10 tahun harus tegas sedikit, dan jika solat telah biasa dilakukan dalam peringkat umur ini, maka akan timbul fikiran dalam diri anak-anak lelaki atau wanita bahawa solat adalah perintah Allah dan sebagai hamba Allah harus teratur dalam mendirikannya. Kemudian, mereka juga harus diperhatikan dalam bacaan Al-Qur’an mereka.

Kemudian, rakan kepada anak-anak juga hendaklah diperhatikan. Anak perempuan tidak seharusnya berkawan rapat dengan anak lelaki. Perempuan hendaklah berkawan dengan perempuan juga. Dan kawan perempuan itu pun hendaklah kawan yang berakhlak baik. Jika berkawan dengan orang yang pandai dan berakhlak baik, itu sudah cukup memberi banyak manfaat. Jika tersalah memilih kawan untuk anak-anak sehingga menjadi rosak, itu juga dikira sebagai membunuh anak-anak.

Dalam masyarakat, terdapat juga keluarga yang suka bercerita sesuatu perkara yang menentang nizam jemaat dan pemegang suatu jawatan. Hal ini boleh memberi kesan buruk kepada fikiran anak-anak. Jika anak-anak sudah mula menaruh harapan yang tidak baik kepada jemaat, maka secara perlahan-lahan mereka akan semakin jauh daripada jemaat. Ini juga satu bentuk pembunuhan anak yang dilakukan oleh ibu bapa. Jadi, sekiranya kamu mendapat ada suatu kelemahan pada jemaat atau keburukan pada seseorang pemegang jawatan, biarkan hanya kamu yang mengetahuinya dan jangan sebar-sebarkan kepada orang lain. Jangan pernah berkata-kata yang bertentangan dengan jemaat di hadapan anak-anak. Maknanya, ini satu tanggungjawab yang sangat berat diletakkan di atas bahu seorang mukminah kerana mereka inilah yang boleh memastikan tarbiyat keturunan mereka dalam keadaan selamat. Dengan itu juga mereka boleh tergolong dalam khaira ummat.

Allah tidak hanya mengatakan bahawa ia adalah tanggungjawab lelaki. Jika lelaki melaksanakannya akan dapat ganjaran, malah wanita yang sama melaksanakannya, mereka juga boleh dihitung sebagai umat yang terbaik di samping mendapat ganjaran. Allah Ta’ala berfirman: (An-Nisa:125) Dan barangsiapa mengerjakan amal-amal saleh, baik lelaki atau wanita, sedang ia mukmin, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka sedikit pun tidak akan dianiaya biar sebesar lubang kecil biji kurma.

Jadi, Allah Ta’ala telah meletakkan lelaki dan wanita yang berbuat kebaikan, yang menunaikan tanggungjawab dan menghindari keburukan berada pada satu tahap. Sesiapa yang melaksanakan kewajipan mereka, maka mereka akan menjadi pewaris kurnia-kurnia Allah Ta’ala dan pewaris syurga. Dan perkara ini juga hendaklah diingat selalu bahawa jangan sampai perkara-perkara keduniaan ini boleh merosakkan keimanan. Jika keimanan teguh, maka perhatian untuk melakukan kebaikan juga akan kuat, ia juga akan terdorong untuk menghindari keburukan. Jadi, amalkan selalu berdoa untuk keselamatan iman masing-masing. Allah Ta’ala berfirman bahawa keimanan kepada Allah juga merupakan satu syarat. Maka, apabila iman dalam keadaan selamat dan apabila keimanan kepada Allah semakin kuat, pada masa yang sama keinginan untuk menghindari keburukan juga akan muncul serta terdorong untuk melakukan kebaikan-kebaikan dengan lebih banyak. Huquuqullah dan huquuqul ibad juga akan dapat dilaksanakan.

Saya telah menyatakan bahawa dewasa ini bukanlah masanya untuk berjihad dengaan senjata/pedang. Hazrat Maseeh Mau’ud as datang untuk memberitahu kepada dunia bahawa sekarang ini bukan masanya untuk berjihad dengan pedang. Jihad yang hendak kita laksanakan ini ialah jihad dengan akhlak yang tinggi. Kita hendaklah menyebarkan kebaikan-kebaikan, mencegah keburukan dan menegakkan ketauhidan Ilahi. Semua ini dipetik daripada ajaran Al-Qur’an tentang apa kebaikan yang harus dilakukan dan apa keburukan yang harus dihindari. Berdasarkan Al-Qur’an, Sunnah dan Hadis, kita semestinya menyebarkan kebaikan-kebaikan, di samping itu juga kita hendaklah menghindari diri sendiri dari keburukan dan mencegah dunia dari melakukannya. Inilah jihad yang boleh menyebarkan tabligh Islam dengan cara yang sebenarnya. Banyak perkara, banyak dalil-dalil yang boleh kamu persembahkan kepada dunia, tetapi dunia hendak melihat sejauh mana pengamalan kamu terhadap segala apa yang kamu ajarkan. Jika amalan kamu tidak sama seperti yang kamu ajarkan kepada dunia, maka segala usaha kamu tidak akan memberi kesan. Dengan mengatakan Ukhrijat Linnaas, Allah Ta’ala meletakkan satu tanggungjawab yang sangat besar di atas bahu setiap Ahmadi. Amalan kamu itu sebenarnya satu jalan tabligh di dalam masyarakat di mana kamu tinggal, dan dalam kaum mana kamu berada, ia menuntut satu amalan yang agung. Allah Ta’ala telah memberi kurnia yang besar, ada yang kukuh kewangannya. Bangsa ini telah berlaku ihsan kerana memberikan kamu peluang untuk tinggal di sini. Dan sebagai balasan atas kemurahan hati mereka hanya boleh dilakukan dengan cara kamu menyampaikan tabligh Islam dengan benar. Wanita-wanita zaman awal, para sahabat-sahabat Rasulullah saw, kita tahu bahawa sejauh mana mereka menjalinkan hubungan yang rapat dengan Zat Allah Ta’ala, di sana juga mereka meninggikan akhlak mereka. Amalan mereka juga dijaga sebaik-baiknya sehingga orang yang melihat akhlak mereka sangat terpengaruh. Mereka bukan hanya meningkat dari segi kerohanian, malah mereka juga telah memberi tarbiyat kepada anak-anak mereka sehingga mencapai tahap memberi manfaat kepada umat manusia. Mereka begitu terpaut dalam ajaran Islam dan juga giat melakukan pengorbanan.

Inilah juga pekerjaan ibu-ibu Ahmadi hari ini. Janji yang telah kamu lafazkan kepada Hazrat Maseeh Mau’ud as, ia menuntut bahawa kamu harus menguatkan ikatan anak keturunan kamu dengan jemaat sehingga mereka menjadi orang yang giat melakukan pengorbanan dan juga mengutamakan agama di atas dunia. Jangan menjadi orang yang hanya sekadar melafaz janji tetapi tidak ditunaikan.
Kemudian, dalam medan pendidikan juga harus mengalami kemajuan. Ini juga adalah pekerjaan seorang Ahmadi bahawa perlu meningkatkan tahap pendidikan dunia. Ini jugalah yang dilakukan oleh wanita-wanita zaman awal. Mereka kuat dari sudut dunia tetapi mereka juga telah menjadi orang yang berguna dan bersedia untuk melakukan pengorbanan apabila diperlukan.
Kenapa ini terjadi? Sebabnya ialah ibu-ibu dan wanita-wanita itu, mereka sendiri mengambil bahagian dalam medan jihad. Pada zaman itu, ketika umat Islam diserang, umat Islam juga diperintahkan untuk mengangkat senjata. Dalam mana-mana peperangan, tidak pernah Rasulullah saw atau Khulafa Rasyidin memulakan perang terlebih dahulu. Mereka yang selalu diserang dan umat Islam mempertahankan diri mereka. Dalam jihad itu, wanita-wanita juga mengambil bahagian. Dalam perang Uhud, ada wanita yang telah menitiskan darah semata-mata melindungi Rasulullah saw. Dia bersama suami dan anak melindungi Rasulullah saw, sehingga Rasulullah saw bersabda dengan penuh kesungguhan bahawa: melihat anaknya luka para dikerjakan musuh, maka dia berkata; bangunlah dan tunaikan hari ini hak untuk melindungi Rasulullah saw dan Islam.

Jadi, ada juga wanita seperti itu yang berani mengangkat senjata untuk melawan musuh seperti kaum lelaki. Dan dia sendiri sanggup mengorbankan anak dan dirinya tanpa mempedulikan apa-apa. Hal ini terjadi adalah disebabkan keimanan mereka yang membara. Dan disebabkan keimanan yang membara inilah, keberanian seperti ini boleh muncul. Hari ini bukan jihad dengan pedang, tetapi jihad dengan mempamerkan akhlak yang indah, jihad dengan mempersembahkan kebaikan-kebaikan, jihad dengan mencegah orang dari melakukan keburukan, dan jihad dengan melakukan tabligh Islam. Dan itu semua kita akan lakukan, insyaAllah. Dan di dalamnya ada tanggungjawab wanita yang besar, tidak kira dia anak-anak, remaja, dewasa ataupun yang sudah tua. Dan semangat keberanian seperti ini akan lahir hari ini di kalangan kamu semua jika ada keimanan seperti yang ada pada wanita yang dinyatakan di atas tadi. Dan dengan kurnia Allah, ramai di antara orang Ahmadi seperti itu, dan mereka yang belum melaksanakannya, sedarlah dan beri perhatian terhadap perkara ini. Hazrat Maseeh Mau’ud as berkata bahawa: hari ini kamu tidak dipanggil untuk mengangkat senjata sehingga kamu ketakutan, kamu tidak diminta untuk mengalirkan darah kamu, apa yang diminta dari kamu ialah datanglah dengan segala apa yang kamu miliki untuk mempertahankan Islam, dan mempertahankan Rasulullah saw. Jika kamu lakukan ini maka kamu akan termasuk dalam golongan mukmin yang hakiki.

Allah Ta’ala telah mempermudahkan ajaran Islam kepada kita. Kita melakukan satu pekerjaan, Allah Ta’ala menyempurnakan pekerjaan kita berganda-ganda. Amanat Hazrat Maseeh Mau’ud as yang merupakan amanat Islam yang hakiki, Allah Ta’ala telah menyebarkannya di seluruh dunia, dan mereka yang berfitrat suci akan bergabung dengan jemaat ini, insyaAllah. Apa yang dituntut daripada kita ialah berusaha untuk menjadi khaira ummat dengan menyeru berbuat kebaikan dan mencegah dari berbuat keburukan. Hal in hanya akan dapat dicapai apabila lelaki, wanita dan anak-anak kita cenderung untuk membuat perubahan. Jangan condong ke arah dunia malah sebaliknya beri perhatian kepada agama. Utamakan agama di atas dunia.

Satu perkara yang perlu diambil perhatian, beberapa orang Arab berkata bahawa: Kami pergi ke masjid, tetapi di sana pardah wanita Ahmadi tidak betul. Wanita Arab sangat menekankan tentang pardah rambut dengan menutup secara rapi kepala mereka. Sebab itu mereka terkejut melihat tentang pardah yang diamalkan oleh wanita Ahmadi kerana hanya memakai selendang yang ringkas. Jadi, perkara ini harus diberi perhatian bahawa jangan sampai disebabkan cara kamu ada orang yang susah hati.

Jadi, untuk mencapai tingkat khaira ummat, masing-masing perlu memainkan peranan. Allah Ta’ala telah membawa wanita-wanita masuk ke dalam jemaat yang kadang-kadang lebih dahulu berbanding suami mereka.

Jadi, ketahuilah tanggungjawab masing-masing walaupun sebagai seorang anak kecil, 10 hingga 15 tahun anak kecil sudah pandai berfikir. Anak-anak remaja juga hendaklah mengenal kewajipan masing-masing. Jangan hanya tenggelam dalam era berfesyen sahaja, tetapi pastikan kamu melakukan kewajipan terhadap apa yang telah diperintahkan oleh Allah. Ingatlah bahawa kamu adalah golongan yang dibangkitkan untuk memperbaiki dunia dan menyampaikan tabligh. Demikian juga wanita yang sudah meningkat dewasa, jika kamu semua bekerjasama dengan kaum lelaki untuk menyempurnakan tanggungjawab-tanggungjawab yang telah diletakkan di atas bahu kamu, maka kamu adalah golongan yang menunaikan tujuan kebangkitan Hazrat Maseeh Mau’ud as diutus ke dunia ini.

Semoga Allah menjadikan kita orang yang menyempurnakan tujuan kebangkitan beliau dan menunaikan hak terhadapnya. Amin.

---------------<<<<<>>>>>--------------

Dipetik dan diterjemahkan dari;-

CERAMAH HAZRAT KHALIFATUL MASEEH V
DALAM IJTIMA TAHUNAN LAJNAH IMAILLAH JERMAN
17 SEPTEMBER 2011                                       

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...