Khulasah
Khutbah Jumaat
HAZRAT
MIRZA MASROOR AHMAD
Hazrat
Khalifatul Maseeh al-Khamisatba
06-04-2018
(Masjid Baitur Rehman, Valencia, Spain)
<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>
Setelah
membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, antara lain Huzur berkata:-
Sepanyol
memang termasuk dalam negara-negara Barat tetapi dari segi kekuatan ekonomi, ia
termasuk dalam negara-negara yang belum kukuh. Dari segi pekerjaan, pendapatan,
dan taraf hidup di sini masih kurang jika dibandingkan dengan negara Eropah
yang lain seperti Perancis, Jerman, Holland, UK dan lain-lain. Namun begitu,
jika dibandingkan dengan Pakistan, maka kelihatannya lebih baik. Sebab itu
ramai Pakistani datang ke sini untuk berniaga dan mencari pekerjaan.
Sejauh
mana yang berhubungan dengan orang Ahmadi, mereka meninggalkan Pakistan adalah
disebabkan dua sebab. Antara alasan yang paling kuat ialah di Pakistan tidak
ada kebebasan beragama untuk orang Ahmadi. Kedua, mereka mahu memperbaiki
keadaan ekonomi. Inilah antara alasan orang Pakistan datang ke sini mendapatkan
asylum atau visa untuk terus menetap.
Ada
orang yang memberikan alasan yang benar apabila mendapatkan perlindungan di
sini. Tetapi ada juga yang cuba menggunakan kepandaian akal. Padahal tidak
perlu berbuat seperti itu. Cukup menyatakan keadaan sebenar di Pakistan bahawa
tidak boleh hidup dengan tenang di Pakistan, sentiasa terancam dan mendapat
kesulitan dari segi mental dan fizikal. Rata-rata hakim akan mudah memahami
keadaan ini. Tidak perlu terpengaruh dengan sesiapa atau mengikut pandangan
daripada peguam. Alasan juga hendaklah sama sejak dari permulaan kes sehinggalah
peringkat akhir.
Dusta
bukanlah amalan seorang Ahmadi. Malah Allah Ta’ala meletakkan dusta sama
seperti syirik. Dan tidak mungkin seorang Ahmadi boleh melakukan syirik. Dari
satu segi dia seorang yang banyak mentauhidkan Allah Ta’ala, memperhambakan
diri kepada Rasulullahsaw dan beriman kepada Imam Zaman sebagai
Al-Maseeh dan Mahdi yang dijanjikan. Dan dari segi lain dia tidak menghindarkan
diri dari perbuatan yang sepatutnya dihindari. Jadi, setiap Ahmadi hendaklah
mengukur diri masing-masing.
Sentiasa
muhasabah diri, adakah saya sekarang ini tidak melakukan dosa semata-mata
untuk mendapatkan manfaat dunia yang menjadikan saya seorang yang berdosa pada
pandangan Tuhan? Jadi, ketika kita meninggalkan negara semata-mata hendak
menyelamat iman, dan hendak kekal atas ajaran agama, maka perintah Allah perlu
diberi keutamaan. Kita perlu lihat, selepas menerima Ahmadiyah, perhatian kita
menuju ke mana dan apa yang sepatutnya?
Jika
perhatian kita bukan kepada Allah, maka jelas bahawa kita tidak mencapai apa
yang sepatutnya kita capai melalui jemaat ini. Jika asas kita berlandaskan
penipuan dan menjadikan dunia sebagai keutamaan, maka kita tidak layak menjadi
pewaris kurnia Allah Ta’ala.
Orang
yang yakin akan keEsaan Allah, yang beribadat kepada Allah, mereka tidak akan
pernah melakukan syirik. Orang yang telah memahami hakikat penciptaannya,
matlamat hidupnya yang utama ialah mencapai keredhaan Allah Ta’ala. Kita
hendaklah sentiasa ingat bahawa berusaha mendapatkan dunia dan tenggelam dalam
warna keduniaan bukanlah tujuan kita dan bukan juga tujuan penciptaan seorang
mukmin.
Jika
kita berusaha menjadikan Allah Ta’ala redha atas kita, jika kita berusaha
memenuhi tujuan penciptaan kita, maka barulah kita akan mencapai kejayaan yang
hakiki yakni kita dapat menunaikan maksud penciptaan kita di dunia ini. Dunia
dan nikmat-nikmatnya akan diperolehi, Allah Ta’ala tidak membiarkan orang yang
berusaha mendekatkan diri kepada-Nya jauh daripada nikmat agama dan dunia.
Malah
Allah Ta’ala sendiri mengajarkan doa untuk kebaikan dunia dan akhirat.
Sebagaimana doa yang diajarkan di dalam Al-Quran رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً
وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
Hazrat
Maseeh Mau’udas berkata dalam perkara ini:-
“Manusia
memerlukan dua perkara untuk kesenangan dirinya. Pertama, ketika menjalani
kehidupan di dunia yang singkat ini, apa sahaja kesulitan, kesusahan dan ujian
yang ada di dalamnya, mereka sentiasa dalam keadaan aman dan selamat. Kedua,
mereka mendapat keselamatan dari fasik, kejahatan dan penyakit rohani yang
boleh menjauhkan mereka dari Tuhan”.
Berkata
lagi:-
“Hasanah
(kebaikan) dunia ialah jasmani dan rohani sentiasa terpelihara dari setiap
musibat dan kehidupan yang kotor serta jauh dari mendapat kehinaan. Lafaz Rabbana
mengisyaratkan seseorang secara halus ke arah taubat. Ini kerana lafaz Robbana
membawa maksud meninggalkan segala rabb-rabb yang lain dan menuju kepada Rabb
hakiki. Dan Lafaz ini tidak akan keluar dari hati seseorang tanpa ada perasaan
yang penuh perhatian.
“Insan
telah menjadikan banyak rabb-rabb. Jika mereka begitu yakin akan helah tipu
daya, itulah rabb mereka. Jika ada yang sombong disebabkan ilmu dan
kekuatannya, itulah rabbnya. Jika ada yang bangga dengan kecantikan dan
kekayaan, itulah rabbnya. Ringkasnya, banyak lagi rabb-rabb yang meliputi
manusia, jika mereka tidak meninggalkan secara hakiki dan tunduk kepada Rabb
yang Esa, dan tidak menyebut Rabbana dengan penuh rintihan dan pengharapan
serta tidak meleburkan diri di istana Ilahi, maka selama itulah mereka tidak
memahami Rabb yang hakiki. Jika dia sudah meleburkan diri dan menyebut Rabbana
dengan pemahaman bahawa dia menyeru kepada Tuhan yang Esa dan tidak ada sekutu
bagi-Nya, maknanya dia sudah memahami Rabb yang hakiki”.
“Jadi,
jika hati mereka sudah mengakui dosa-dosa di hadapan Tuhan dan bertaubat serta
menyeru Rabbana dengan maksud; Engkaulah Rabb yang hakiki tetapi aku pergi
mendapatkan yang lain, aku telah meninggalkan rabb yang palsu itu dan mengakui
dengan hati yang benar akan wujud Rububiyat Engkau, dan aku datang ke istana
Engkau”.
Seperti
inilah yang diinginkan oleh Hazrat Maseeh Mau’udas daripada kita,
iaitu kita dapat mengetahui hakikat penciptaan kita di dunia ini. Kalau kita
sudah dapat melakukan hal ini, iaitu menyeru Rabb kita yang hakiki dengan cara
yang benar, maka kita juga akan mendapat hasanah dunia (kebaikan dunia) dan
juga hasanah akhirat (kebaikan akhirat). Dan insan juga mendapatkan kebaikan
dunia untuk mencapai kebaikan akhirat supaya dia sihat dan dapat menunaikan hak
ibadat yang sebenar kepada Allah. Kesihatan juga satu bentuk kebaikan dunia,
jika sihat maka ibadat juga dapat dilakukan dengan baik. Jika ada harta, dia
juga boleh melakukan pengorbanan untuk agama Allah di samping itu juga dapat
memenuhi hak hamba-hamba.
Sebab
itu, pedoman ini hendaklah sentiasa diletakkan di hadapan. Berkenaan dengan hak
ibadat, maka kita juga hendaklah sentiasa ingat bahawa kita hanya akan dapat
melakukan dengan sempurna sekiranya kita memahami tujuan penciptaan kita ke
dunia ini. Sebab itu Allah Ta’ala berfirman وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ yakni “Aku tidak
ciptakan jin dan manusia melainkan beribadat kepada-Ku”.
Kalau
kita lihat perintah-perintah Allah, selepas satu perintah ada perintah lain.
Tujuannya supaya jangan sampai kita melupakan Allah Ta’ala. Dalam usaha
mendapatkan nikmat dunia, jangan sampai menjadikan kamu lalai dari mengingati
Allah. Dan jangan pernah ada dalam hati bahawa kamu hanya menginginkan nikmat
dunia semata-mata.
Hazrat
Maseeh Mau’udas bersabda:-
“Allah
Ta’ala berfirman bahawa Aku menciptakan jin dan manusia sebabnya ialah supaya
mereka mengenali Aku dan menyembah Aku. Jadi, berdasarkan ayat ini tujuan hidup
manusia yang sebenar ialah menyembah Tuhan, mengenal Tuhan dan menjadi
kepunyaan Tuhan. Memang jelas manusia tidak dapat mendapat tingkat ini, di mana
mereka menentukan kehidupan masing-masing. Ini kerana insan bukan datang atas
kehendaknya dan kembali bukan atas kehendaknya. Malah siapa yang menciptakan
mereka dan seluruh makhluk, Dialah yang akan menentukan kehidupan mereka, sama
ada manusia faham kedudukan ini atau tidak. Jadi, tujuan hidup manusia ialah
menyembah Tuhan, mengenal Tuhan dan menjadi fana kepada Tuhan. Jika insan
meletakkan hal ini di hadapannya, mereka boleh menjadi mukmin yang hakiki. Dan
mereka menjadikan kebaikan dunia ini sebagai sarana untuk mendapatkan kebaikan
akhirat dan keredhaan Tuhan”.
Jadi,
kebolehan minda manusia, kekuatan jasmani manusia, taraf hidup yang lebih baik,
ciptaan-ciptaan terbaru di dunia, semua ini jangan hendaknya menjadi punca
kelalaian kepada kita sehingga lupa akan tujuan atau matlamat hidup yang
sebenar.
Jadi,
di mana saja Ahmadi berada, mereka hendaklah berusaha memberitahu orang di
sekitar mereka tentang Islam yang hakiki. Amalan setiap Ahmadi hendaklah
sedemikian rupa sehingga orang yang melihat akan cenderung memperhatikan
mereka. Jika amalan Ahmadi lebih unggul, maka ia akan membuka jalan tabligh.
Setiap Ahmadi hendaklah memahami perkara ini. Pertama sekali mereka hendaklah
memahami tujuan hidup mereka, kemudian mereka memberitahu orang lain akan
maksud ini. Dunia perlu diberitahu akan hal ini bahawa nikmat dunia yang telah
diberikan oleh Allah tidak sepatutnya membawa mereka jauh daripada Allah, malah
sepatutnya mendekatkan mereka kepada Allah. Jadi, perhatikan batasan yang
sewajarnya, jika sudah melintasi batasan maka ia akan menuju kepada kehancuran.
Jadi,
di mana pun Ahmadi berada, selain berusaha secara amali, mereka juga harus
menumpukan terhadap doa-doa untuk memperbaiki keadaan ini. Hanya kurnia Allah
Ta’ala sahaja dunia ini boleh selamat dari kehancuran. Dan untuk menarik kasih
sayang Allah, perlu memberi perhatian terhadap amalan-amalan yang telah
diberitahu oleh Allah. Hanya dengan tunduk kepada Tuhan sahaja barulah boleh
menjadikannya redha atas kita. Setiap Ahmadi hendaklah ingat bahawa dengan
beriman kepada Hazrat Maseeh Mau’udas sahaja bukan jaminan kamu akan
memiliki kebaikan dunia dan akhirat ini, malah dengan beriman kepada Hazrat
Maseeh Mau’udas, kewajipan kita semakin bertambah iaitu kehidupan
kita hendaklah disesuaikan dengan kehendak Allah Ta’ala.
Hazrat
Maseeh Mau’udas bersabda:-
“Ingatlah
bahawa setakat baiat kepadaku tidak bererti apa-apa. Allah Ta’ala tidak redha
atas adat resam selagi tidak menunaikan maksud baiat yang sebenarnya. Selagi
itu belum ada, maka ia bukanlah baiat tetapi cuma adat resam, sebab itu sangat
perlu memenuhi tujuan baiat, iaitu memilih jalan takwa, baca dan renungkan
Al-Quran, fahami dan amalkan. Ini kerana sunnatullah adalah Allah Ta’ala tidak
gembira atas ucapan-ucapan tetapi untuk mencapai keredhaan Allah adalah sangat
perlu mengikuti perintah-perintah-Nya dan sentiasa menghindari apa sahaja yang
dilarang. Dan begitu jelas sekali bahawa kita melihat manusia tidak gembira
atas apa yang aku katakan tetapi mereka senang dengan apa yang aku lakukan.
Inilah perbezaan di antara muslim yang benar dan muslim yang dusta. Muslim yang
dusta suka mengada-adakan ucapan tetapi tidak melakukan apa-apa. Tetapi muslim
yang hakiki memperlihatkan dengan amalan. Apabila Allah Ta’ala melihat hamba-Ku
beribadat kepada-Ku dan cinta kepada makhluk kerana Aku, maka waktu itu Dia akan
menurunkan malaikat-Nya dan sebagaimana janji-Nya Dia akan memperlihatkan
perbezaan muslim yang hakiki dan muslim yang dusta”.
Jadi,
kita semua hendaklah berusaha menjadi muslim yang hakiki. Kebaikan dunia ini
kita manfaatkan semata-mata untuk menjadi pewaris kebaikan akhirat. Semoga kita
menjadi orang yang menunaikan hak ibadat yang sepatutnya. Semoga kita menjadi
orang yang menunaikan hak ajaran agama. Semoga Allah Ta’ala mengurniakan taufik
kepada kita semua ke arah itu.
<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>
Disediakan oleh:
Salahuddin
bin Syed Ali
Jamia
Ahmadiyya International Ghana
07-04-2018
No comments:
Post a Comment