Apabila Allah Ta’ala berfirman “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah”, ini menunjukkan bahawa orang yang dikatakan mukmin harus tahu Allah Ta’ala tidak mahu keimanan yang dicampuri kekotoran dan kemunafikan. Allah Ta’ala itu Maha Suci. Sebab itu, kita hendaklah memahami dengan benar bahawa perintah untuk bertakwa di sini bukanlah bererti ketakwaan yang dilabelkan oleh orang lain dalam majlis-majlis atau perhimpunan. Tetapi, ia menuntut asas ketakwaan yang sebenar.
Beberapa perkara yang perlu diambil perhatian:-
Dalam apa sahaja amalan yang kita lakukan, setiap gerakan yang kita buat, duduk, berdiri, berjalan, dalam permusuhan, dalam berkasih sayang, ringkasnya dalam apa keadaan sekalipun, dalam minda kita harus diletakkan fikiran bahawa kita tidak tahu bila saat kematian itu tiba? Dan apabila saat itu sampai, maka tidak seorang pun yang dapat memberikan pertolongan sama ada ibu, bapa, adik beradik, sahabat handai, kaum keluarga termasuklah harta benda dan sebagainya. Maknanya, kita akan mendapat imbalan hasil amalan yang kita lakukan di dunia ini.
Sebagai kita lihat seorang petani akan mendapatkan hasil dari apa yang dia tanam di muka bumi, maka begitulah perumpamaannya apabila kita berada di hadapan Allah Ta’ala nanti, kita akan diberikan atas apa yang telah kita usahakan di dunia. Satu perkara yang harus sentiasa ada dalam minda kita ialah MAUT itu perkara yang pasti terjadi.
Untuk seorang muttaqi juga adalah perlu keimanan yang benar, dan akidah yang betul, kemudian amalan juga harus baik. Iman itu suci, Tuhan yang Maha Quddus menginginkan kesucian. Insan yang kotor tidak mungkin dapat mendekatkan diri kepada Tuhan yang Suci. Dari segi fitrat sahaja, seseorang yang suci sudah tentu tidak mahu berhubungan dengan orang yang cara hidupnya begitu kotor. Jadi, jika hendak menjalinkan hubungan dengan Tuhan yang Suci, perhatikanlah keadaan diri sendiri. Sebagaimana Tuhan melihat hamba-hamba-Nya dengan penuh kasih sayang, demikian juga kita hendaklah memperlakukan setiap insan dengan cara sedemikian rupa.
Jangan pernah kita menjadi orang yang melupakan Allah Ta’ala. Kesusahan itu memang menimpa manusia. Banyak keinginan-keinginan kita yang tidak dapat dipenuhi. Namun, jangan berusaha mendapatkan kejayaan dengan cara yang salah. Kita juga memerlukan makanan, kita juga punya kawan dan juga punya musuh. Tetapi, bagi seorang yang muttaqi, semua itu tidak merosakkan hubungannya dengan Allah. Kadang-kadang kita ada kawan yang boleh memberi pertolongan ketika susah, kadang-kadang kita yakin atas kuasa seorang hakim yang membela kita, kadang-kadang kita ada ahli keluarga yang dapat meringankan beban ketika menghadapi suatu kesulitan dan sebagainya. Namun, jangan kita lupa bahawa jika Allah berkehendak, dalam masa sekelip mata sahaja kawan kita, hakim dan ahli keluarga kita tadi boleh menjauhkan diri dari kita. Sebab itu, jangan pernah melupakan Allah Ta’ala.
Ingatlah, orang yang menjauhkan diri daripada Allah Ta’ala, mereka tidak akan terpelihara, mereka tidak akan merasa tenang, malah dari setiap arah kegagalan akan muncul. Mungkin juga kegagalan kita adalah disebabkan perbuatan sahabat kita sendiri. Orang yang jauh dari Allah Ta’ala adalah mereka yang fasik dan jahat. Tidak ada keikhlasan dan keimanan dalam diri mereka, malah iman mereka itu masih sangat mentah. Tambahan lagi mereka tidak ada kasih sayang terhadap makhluk Allah yang lain.
Tidak pernah terjadi orang yang dekat kepada Allah akan mengalami kehinaan. Malah di dunia ini, di dalam kubur, di padang mahsyar dan di dalam syurga, mereka sentiasa mendapat ketenangan yang hakiki. Kehidupan mereka tidak sama dengan orang yang terbakar dalam api kerana mereka adalah orang muttaqi. Mereka inilah yang akan mendapat kejayaan.
Akhir sekali, keimanan yang hakiki ialah keimanan ke atas nama-nama Ilahi. Allah Ta’ala tidak akan menggabungkan orang-orang muttaqi bersama dengan mereka yang kotor. Oleh itu, berusahalah mencapai tingkat keimanan yang hakiki, berimanlah kepada malaikat dan kitab Allah. Tunjukkan kesetiaan kepada Allah. Tetap teguh dalam keadaan senang atau susah. Juga beriman ke atas hari pembalasan. Teguhkan ibadat solat dan bayarlah zakat. Inilah antara ciri-ciri muttaqi
Berdoalah semoga Allah Ta’ala menjadikan kita semua muttaqi.
(Sumber: Khutbah Nuruddin, 27-01-1899)
No comments:
Post a Comment