Dengan kurnia Allah Ta’ala, hari ini kita berkumpul di sini adalah untuk merayakan Aidil Adha, yang juga dikatakan sebagai Hari Raya Korban atau Hari Raya Besar. Walaupun ia dikatakan sebagai Hari Raya Korban, namun jika direnungkan dengan mendalam, Hari Raya Aidil Fitri juga adalah hari raya korban kerana sebelum merayakan Hari Raya Aidil Fitri, insan memberikan pengorbanan selama sebulan atas perintah Tuhan, menghalang diri mereka dari berbagai pekerjaan yang dibolehkan pada hari-hari yang lain, berusaha menunaikan hak-hak Allah Ta’ala dan cuba untuk meningkatkan nilai ibadat mereka. Mereka juga memohon pertolongan daripada Allah Ta’ala dengan pengorbanan yang mereka lakukan, bangun pada waktu malam berdoa kepada Allah, dan mungkin pada hari yang lain hanya bangun pada waktu Subuh sahaja.
Kemudian, selepas bulan ini berakhir, Allah Ta’ala memerintahkan insan untuk mengadakan Hari Raya Aidilfitri, memakai pakaian yang baik dan baru, makan, minum dan bergembira, serta berkumpul di satu tempat menunaikan solat dua rakaat, dan menzahirkan kesyukuran kepada Allah Ta’ala. Jadi, mereka ini telah berkorban sehingga sebulan lamanya, menahan diri daripada beberapa perkara yang dibolehkan, menahan lapar, dahaga dan mehanan keinginan-keinginan peribadi atau emosi, berkorban setiap hari dalam berbagai musim di antara 10 hingga 18 jam lamanya. Kemudian mereka menghidupkan malam dengan banyak beribadat kepada Allah. Selepas pengorbanan ini, dalam kehidupan seorang Mukmin akan timbul perubahan dan mereka sentiasa berubah, setiap zaman yang baru ada dunia yang baru bagi mereka. Mereka akan terbiasa melakukan banyak pengorbanan diri. Ada juga orang-orang seperti ini iaitu mereka mahu mengislahkan diri mereka, tetapi tidak melakukan pengorbanan yang seharusnya seorang Mukmin lakukan, namun mereka juga merayakan Hari Raya seperti orang-orang Mukmin yang telah melakukan pengorbanan yang hakiki.
Apapun, Hari Raya yang mereka sambut itu hanyalah sekadar membuat riuh rendah sahaja. Hari Raya yang hakiki ialah Hari Raya yang disambut oleh mereka yang memahami falsafah pengorbanan-pengorbanan. Mereka melalui pengorbanan diri selama sebulan, kemudian merayakan Hari Raya selepas itu.
Apapun, saya menyentuh tentang Hari Raya yang kita sambut pada hari ini, yang juga dikatakan sebagai Hari Raya Korban, dan sebagaimana yang telah saya katakan bahawa Hari Raya Aidil Fitri juga adalah Hari Raya Korban tetapi ia berbentuk pengorbanan diri. Tetapi, Hari Raya Aidil Adha ini adalah pengorbanan secara berjemaah dan secara kaum. Orang yang secara peribadi terlibat dalam Hari Raya ini atau beberapa orang terlibat dalam Hari Raya ini, tujuan mereka juga adalah untuk perubahan kaum. Dan sebagaimana hakiki Id dalam Hari Raya Aidil Fitri akan diperolehi oleh mereka yang melakukan pengorbanan diri untuk menuju kemajuan, dan hasilnya juga Jemaat akan meningkat maju. Demikian juga, Hari Raya Korban yang hakiki dalam Hari Raya ini akan diperolehi oleh mereka yang berusaha untuk memahami ruh ini, iaitu pengorbanan yang telah dilakukan oleh Hazrat Ibrahim, Hazrat Ismail dan Hasrat Hajrah. Ruh pengorbanan yang telah dilakukan oleh ketiga-tiga hamba Allah ini hendaklah difahami dengan sebenar-benarnya, kerana hanya itulah caranya jika kita mahu mencapai Hari Raya Korban yang hakiki. Jika tidak, maka kambing, domba, lembu, unta dan sebagainya yang disembelih, seperti kebiasaan yang berlaku sekarang ini, kebanyakan orang yang melakukan sembelihan binatang korban, mereka menyembelih binatang, menjemput saudara mara, menzahirkan kemampuannya berkorban, menghantarkan daging ke rumah-rumah, itu semua bukanlah tujuan untuk melakukan sembelihan binatang korban. Apa yang diperolehi dengan menyembelih kambing, domba, lembu, dan unta selain daripada binatang itu disembelih? Apa khidmat untuk Islam hasil daripada pengorbanan itu? Adakah tanpa mengorbankan binatang-binatang ini, Islam tidak dapat berkembang?
Atau ada juga yang mengatakan bahawa dengan sembelihan binatang korban ini boleh memberi kelegaan kepada orang-orang miskin yang kelaparan, dan itu akan mendapat pahala daripada Allah Ta’ala. Tetapi, dengan hanya memberikan daging sembelihan pada hari ini, kemudian lupa pada hari-hari lain sepanjang tahun terhadap orang-orang miskin ini, adakah itu juga mendapat pahala daripada Allah Ta’ala? Banyak Negara-negara yang sukar untuk mendapatkan daging, yang mana berapa banyak pun sembelihan dibuat, pembahagiannya sukar dilakukan. Ada juga Negara-negara miskin yang dihantarkan daging, tetapi berapa banyak orang-orang miskin yang dapat memperolehinya?
Di Afrika, ramai orang-orang miskin. Di Pakistan juga demikian, ratusan ribu orang yang tidur dalam kelaparan. Jadi, daging walaupun kelihatan di sana sini, ia tidak dapat menghapuskan kebuluran di dunia. Memang bagi mereka yang menjual binatang ternakan, perniagaan mereka akan maju apabila Hari Raya semakin hampir. Mereka juga menaikan harga, dan pembeli pula, dia akan menzahirkan bahawa dia mampu membeli binatang dengan harga yang mahal.
Pengorbanan yang kita buat pada Hari Raya dengan menyembelih binatang, itu sebenarnya mengarahkan kita agar memberi perhatian agar kita membuat perubahan, kita diperintahkan untuk menyembelih binatang, ia bukan hanya merujuk kepada Hazrat Ismail yang diselamatkan daripada disembelih, ia bukan hanya mengingati peristiwa Hazrat Ismail selamat dari disembelih, yang disebabkan itu kita bergembira dengan mengorbankan binatang ternakan, makan makanan yang lazat, memakai pakaian yang cantik dan indah, ia bukan hanya bertujuan untuk itu, tetapi sesuai dengan perintah Allah Ta’ala, kita diseru untuk memberi perhatian dalam menunaikan hak-hak hamba.
Ini kerana, setiap perintah dalam Islam banyak mengandungi tujuan-tujuan tertentu. Misalnya dikatakan bahawa Rasulullah(saw) bersabda: lakukan sembelihan, kemudian daging binatang yang dikorbankan hendaklah dibahagikan kepada tiga bahagian, satu bahagian daripadanya untuk orang-orang miskin, satu bahagian lagi untuk kaum kerabat. Perintah ini adalah supaya sentiasa ingat bahawa perintah itu bukan hanya untuk keperluan diri sendiri sahaja. Malah keluarga kamu juga ada hak atas kamu, dan kamu wajib menunaikannya, orang miskin juga ada hak atas kamu, dan kamu mesti menunaikannya.
Hak-hak ini juga hendaklah ditunaikan dalam keadaan biasa, dalam keadaan sedih juga perlu menunaikannya dan dalam keadaan gembira juga harus menunaikannya. Kadang-kadang orang kaya selalu lupa bahawa pada hari-hari biasa pun, ada orang miskin yang memerlukan bantuannya. Tetapi, dalam waktu bergembira, untuk menunjuk-nunjuk, dia akan memberikan bantuan kepada orang miskin. Tetapi, kebanyakan orang kaya tidak memberi perhatian dalam menunaikan tanggungjawab mereka pada waktu yang lain.
Di sini dinyatakan bahawa pengorbanan yang kamu lakukan untuk memperingati peristiwa yang telah dilakukan oleh Hazrat Ibrahim dan Hazrat Ismail, ia hanya akan dikatakan sebagai pengorbanan yang hakiki apabila kamu menunaikan hak orang lain, dan menunaikan hak orang-orang miskin dalam masyarakat, dan untuk ini ia merupakan perintah yang paling khusus.
Di dalam Al-Qur’an, Allah Ta’ala banyak menyentuh tentang memberi perhatian dalam menunaikan tanggungjawab terhadap orang-orang miskin ini dan ia merupakan perintah yang berterusan. Sebagaimana dikatakan bahawa WALAAYAHUDDHU ALAA TA'AAMIL MISKIIN yakni orang-orang yang semakin jauh dari Tuhan, mereka tidak akan tergerak untuk mengajak orang lain mengambil perhatian dalam memberi makan kepada mereka. Mereka tidak memberi makan dan tidak juga mengajak orang lain untuk memberi makan.
Jadi, menghilangkan kelaparan orang-orang miskin adalah perintah yang berterusan. Dan ia bukan sahaja cuma setahun ke setahun seperti dalam Hari Raya. Tetapi, sebagaimana yang telah saya katakan bahawa perintah yang diberikan oleh Rasulullah(saw) dalam memberi satu bahagian daging binatang kepada orang miskin bertujuan agar kamu tidak menjadi lebih jauh. Sebab itu dalam daging korban kamu, bahagian ketiga adalah untuk orang-orang miskin.
Dalam zakat bagi orang kaya, ada syarat dan nilai-nilai tertentu di dalamnya, kemudian dalam memberi sedekah, dikatakan bahawa berapa pun yang kamu mampu, berikan. Tetapi, dalam daging korban, berapa banyak bahagian yang kamu dapat, sebanyak itu jugalah orang-orang miskin yang akan dapat. Sebab itu, menghilangkan kelaparan adalah tanggungjawab setiap umat Islam. Memberi perhatian dan menunaikan hak saudara maranya adalah kewajipan setiap Muslim.
Ini adalah satu peringatan kepada orang-orang kaya ataupun sesiapa sahaja yang mendapat taufik melakukan korban, iaitu kadang-kadang orang yang tidak wajib membayar zakat, dia mampu melakukan korban. Jadi, peringatan di sini ialah supaya beri perhatian terhadap orang-orang miskin agar ruh atau semangat pengorbanan itu kekal.
Kecenderungan untuk menunaikan hak-hak hamba akan menjadi asas kepada kemajuan Jemaat. Kerisauan Jemaat akan menjadi jauh. Jadi, pengorbanan-pengorbanan ini dan korban Hari Raya ini, ia boleh menjadi sarana dalam mengekalkan RUHAMAA’U BAINAHUM. Orang miskin yang diberikan daging, keadaan mereka juga akan dapat diketahui, kemudian akan timbul perhatian untuk menunaikan hak-haknya. Dalam Negara-negara miskin, Pakistan, India dan di Afrika, apabila orang-orang miskin ini dihantarkan daging, baru dapat diketahui bagaimana keadaan mereka yang sebenar, yang mana sebelumnya, keadaan mereka itu tidak berapa diketahui, dengan kunjungan seperti ini, maka baru kelihatan bahawa keluarga itu sudah 24 jam, atau 48 jam dalam keadaan kelaparan. Atau juga mereka tidak melihat daging sejak beberapa lama.
Dalam dalam keadaan ekonomi yang teruk, harga barang yang meningkat, pekerjaan yang sukar didapati, semua itu menyebabkan susah sekali ketua keluarga yang miskin memberi makanan untuk ahli keluarganya, sehingga ada kes mereka membunuh diri.
Jadi, korban dalam Hari Raya ini seharusnya memberi pengajaran kepada kita, iaitu cenderung memberi perhatian dalam menunaikan hak-hak orang miskin. Dan jangan hanya sekali sahaja menghantarkan orang miskin itu daging, lalu merasa cukup, malah ia hendaklah dilakukan secara berterusan. Lakukanlah mengikut kemampuan, dengan penuh ketakwaan, inilah satu cara yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah Ta’ala. Jika tidak, maka Allah Ta’ala memang tidak memerlukan daging ini.
Dengan kurnia Allah Ta’ala, di dalam Jemaat, sedekah-sedekah dan bantuan-bantuan dilakukan secara berterusan. Dengan merujuk kepada perkara ini, saya hendak memberitahu suatu perkara, orang-orang Ahmadi di seluruh dunia yang berkemampuan membuat pengorbanan hendaklah memberi perhatian dalam hal ini dan mengambil berat akan hal tersebut. Jika tidak, sebagaimana yang telah saya katakan bahawa Allah Ta’ala tidak memerlukan daging dan darah ini. Dan tidak juga darah dan daging ini boleh membawa suatu perubahan yang hakiki sekiranya huquuqul ibad dan huquuqullah tidak dapat disempurnakan. Sebagaimana firman Allah LAIYANAALAL LAAHA LUHUUMUHA WALAA DIMAA'UHAA, WALAAKIN YANAALUHUT TAQWAA MINKUM ingatlah bahawa daging-daging dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridhaan) Allah, tetapi ketakwaan yang ada dalam hati kamu itulah yang akan dapat mencapainya.
Jadi, inilah ruh pengorbanan yang harus ada dalam diri kita. Dalam soal huquuqul ibad, salah satunya saya telah jelaskan mengenai usaha menghapuskan kebuluran. Dan sebagaimana yang telah nyatakan bahawa Jemaat telah banyak memberi perhatian dalam perkara ini. Jika huquuqul ibad seperti ini dilaksanakan, maka Jemaat yang hidup itu akan kelihatan, akan timbul dalam hati bahawa kita ini satu Jemaat, masing-masing merasai kesusahan orang lain. Saling menunaikan hak antara satu dengan yang lain.
Dan selain daripada itu juga, sebagaimana yang telah saya nyatakan bahawa tujuan pengorbanan yang paling besar ialah boleh membawa kepada perubahan di dunia. Jika tidak maka perngorbanan Hazrat Ibrahim yang sudah bersedia mengorbankan Hazrat Ismail, dan Allah Ta’ala memerintahkan agar tempat Hazrat Ismail digantikan dengan seekor domba, tidak ada beza dalam pengorbanan itu dan tidak juga domba itu membawa perubahan apa-apa. Pengorbanan domba ini adalah zatu penzahiran dan sehingga hari ini diseru dan diingatkan tentang pengorbanan itu agar mukmin tidak pernah lupa tentang tujuan sebenarnya.
Hazrat Masih Mau’ud(as) berkata di satu tempat iaitu kesucian hati adalah pengorbanan yang sejati. Daging dan darah bukanlah pengorbanan yang sebenar. Sebagaimana orang awam melakukan korban binatang-binatang biasa, satu kelompok yang khas mengorbankan hati mereka, tetapi Tuhan tidak menutup korban-korban ini supaya dapat diketahui bahawa korban-korban in ada hubungan dengan manusia.
Kemudian berkata lagi di lain tempat: Dalam syariat Islam, Tuhan telah memberikan contoh-contoh yang banyak untuk peraturan-peraturan yang perlu. Oleh sebab itu, perintah untuk manusia ialah supaya berkorban pada jalan Allah Ta’ala dengan seluruh kekuatan dan semua kewujudannya. Jadi, pengorbanan yang zahir ini diletakkan dalam bentuk ini sebagai panduan untuk manusia. Tetapi, inilah maksud sebenar pengorbanan.
Inilah kata-kata Hazrat Masih Mau’ud(as). Jadi, inti pengorbanan inilah yang harus dilahirkan dalam diri kita. Dan bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi setiap anggota keluarga hendaklah diberikan kefahaman mengenai hal ini. Dan setiap anggota Jemaat juga hendaklah mengetahui hal ini. Jika ini yang kita amalkan, maka inilah yang menjadi asas kepada perubahan.
Apa yang dimaksudkan dengan pengorbanan di jalan Allah? Pengorbanan di jalan Allah ialah mengamalkan semua perintah-perintah Allah. Semua kekuatan dan kebolehen dijadikan sebagai sarana untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala. Saya telah menyentuh tentang pengorbanan Hazrat Ibrahim melalui mimpi yang beliau lihat. Beliau menunggu sehingga anak itu mempunyai kesedaran untuk bersedia dikorbankan. Pada zaman itu, kalau Hazrat Ibrahim menyembelih Hazrat Ismail dengan pisau, dan Hazrat Ismail belum menyedari apa-apa, pengorbanan tetap berlaku. Pada zaman itu, jika seorang bapa mengorbankan anak adalah satu perkara biasa, tidak ada sesiapa yang mengetahuinya. Malah, sehingga hari ini, ada beberapa mazhab yang memberi gambaran tentang pengorbanan manusia. Hanya semata-mata berhala, insan akan dikorbankan. Malah, dalam kepercayaan agama Hindu, jika seorang suami meninggal dunia, isteri akan dibakar bersama-sama. Jadi, sebagaimana yang telah saya katakan bahawa di Afrika dan Negara-negara lain, ada amalan mengorbankan manusia.
Jadi, pengorbanan seperti ini bukanlah satu bentuk yang menggembirakan atau kerana memperingati suatu peristiwa, dan tidak juga boleh menjadi asas kepada suatu perubahan. Malah, apa yang terjadi ialah ia melahirkan ketidaktenangan.
Tetapi, pengorbanan yang telah dilakukan oleh Hazrat Ibrahim dan Hazrat Ismail melahirkan satu semangat. Apabila anak mendengar mimpi ayahnya bahawa dia akan disembelih, anak menjawab: YA ABATI, IF’AL MATU’ MAR, SATAJIDUUNI INSYA ALLAAHU MINAS SHOOBIRIIN, betapa indahnya jawapan, begitu tinggi dan sempurna keimanan kepada AllahTa’ala. Dan itu adalah jawapan seorang anak yang mempunyai kefahaman mengenai Allah Ta’ala. Yakni wahai bapaku, apa sahaja yang telah diperintahkan oleh Tuhan kepada engkau, lakukanlah, engkau akan mendapati aku dalam golongan orang-orang yang sabar dan mengekalkan keimanan.
Inilah penzahiran pengorbanan anak dan bapa yang tanpa ragu-ragu lagi mengikuti apa sahaja yang telah diperintahkan oleh Allah. Hazrat Ibrahim yang bertanya kepada anaknya Hazrat Ismail, bukanlah kerana teragak-agak melakukan suatu pengorbanan kepada Allah, tetapi dia menginginkan supaya anaknya juga termasuk dalam pengorbanan itu dengan kerelaan hatinya. Dia tahu bahawa anak itu tidak akan ingkar apa yang dilakukannya, tetapi dia ingin menjelaskan bahawa anak juga mempunyai kefahaman yang sempurna mengenai Allah. Dia ingin melibatkan anaknya supaya mendapat ganjaran sebanyak-banyaknya daripada Allah.
Walaupun Hazrat Ibrahim dan Hazrat Ismail sudah bersedia, namun keinginan Allah lain daripada apa yang telah diperlihatkan melalui mimpi Hazrat Ibrahim. Adat yang buruk iaitu mengorbankan manusia tanpa tujuan yang benar hendak dihapuskan oleh-Nya. Apabila ayah telah membaringkan anak untuk disembelih, maka Allah Ta’ala memperdengarkan suara; berhenti! Sesungguhnya engkau telah melakukan keinginan Tuhan seperti yang dilihat, mulai hari ini, tidak lagi dibenarkan untuk menyembelih manusia seperti binatang, mulai sekarang Kami akan menunjukkan satu amalan yang lebih baik daripada itu, iaitu dengan menyembelih domba.
Dan pengorbanan yang dilakukan hendaklah dibuat dengan suatu tujuan. Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan pengorbanan itu ketika engkau meninggalkan Hazrat Hajrah dan Hazrat Ismail di sebuah tanah yang tandus dengan tujuan nama Allah akan disebarkan di situ. Supaya dunia memberi kesaksian bahawa bukan hanya ayah, bukan hanya anak, malah ibu juga termasuk dalam pengorbanan ini. Supaya dunia melihat mukjizat ini bahawa Allah Ta’ala boleh menjadikan tanah yang tandus dan kering kontang menjadi tanah yang subur dan makmur. Supaya dunia dapat melihat mukjizat ini bahawa tanah yang berhutan dan tidak diminati orang, yang hanya menjadi tempat kematian, itu semua boleh berubah. Supaya dunia dapat melihat bahawa dari keluarga ini Allah Ta’ala akan melahirkan seseorang yang akan menunjukkan cara berkorban yang hakiki. Supaya dunia dapat melihat bahawa tidak ada pengorbanan yang seperti itu sebelumnya, dan juga selepasnya tidak lagi pengorbanan seperti itu. Pengorbanan yang begitu sempurna, yang mengajarkan bahawa hidup, mati, dan segala-galanya adalah semata-mata kerana Allah.
Ada contoh pengorbanan harta, contoh pengorbanan jiwa, contoh pengorbanan waktu, contoh pengorbanan maruah.
Tentang pengorbanan harta, orang yang datang ke rumah akan mereka khidmati, untuk orang miskin, untuk orang yang kelaparan, mereka begitu bersemangat untuk mengkhidmati makhluk. Kemudian, dalam soal perbelanjaan di jalan Allah Ta’ala, mereka tidak teragak-agak untuk berkorban, tidak ada had dalam memberi sedekah, juga seperti binatang yang sentiasa bersedia untuk mengorbankan nyawa. Itu semua kerana mereka memahami hakikat Islam. Mereka memahami apa tujuan kedatangan Islam dan kedatangan Rasulullah(saw). Berkenaan dengan tuntutan mengorbankan nyawa, mereka tidak pernah merasa takut walaupun sentiasa dikelilingi oleh bahaya. Para sahabat mengatakan bahawa orang yang paling berani adalah mereka yang berada hampir dengan Rasulullah(saw) ketika peperangan. Ini kerana Rasulullah(saw) menjadi sasaran utama. Walaupuan Tuhan sudah berjanji bahawa akan menghindari Rasulullah(saw) dari segala bahaya, tetapi dari pengamalan, para sahabat mendapat ganjaran daripadanya. Iaitu jika hendak mempersembahkan nyawa, inilah caranya dan inilah tujuannya. Iaitu nyawa dipersembahkan untuk mempertahankan Islam. Korbankan kehidupan kamu untuk suatu maksud yang tinggi kerana dengan itulah kehidupan yang kekal boleh dicapai. Untuk mencapai suatu ketinggian, dengan nama Allah anggaplah hidupmu itu tidak ada maknanya.
Kemudian, pengorbanan masa, setiap saat malah dalam tidur pun mengorbankan masa untuk mengingati Allah Ta’ala. Juga meluangkan masa untuk menunaikan hak-hak hamba, maksudnya, tidak ada suatu saat pun yang menjadi sia-sia.
Kemudian, tentang kehormatan WAL IZZATU LILLAHI JAMI’AN, pada zaman Rasulullah(saw), semangat para sahabat waktu itu begitu tinggi. Walaupun penganiayaan yang dilakukan itu seolah-olah menghina orang Islam waktu itu, (dalam pejanjian Hudaibiyah) walaupun para sahabat waktu itu sedia mengorbankan jiwa, sehingga ada sahabat yang kuat iman bertanya kepada Rasulullah(saw), adakah tuan bukan utusan Allah? Namun, mereka tetap bertahan kerana di sebalik itu ada rahsia kejayaan yang besar untuk umat Islam. dalam soal mengorbankan binatang juga, baginda(saw) telah mempamerkan cara pengorbanan yang begitu tinggi kepada para sahabat. Baginda(saw) begitu menghayati semangat pengorbanan Hazrat Ibrahim, Hazrat Ismail, dan Hazrat Hajarah. Ringkasnya, Rasulullah(saw) telah berlalu pergi dengan meninggalkan contoh yang begitu tinggi tingkat pengorbanan untuk diikuti oleh manusia di seluruh dunia. ALLAHUMMA SALLI ALA MUHAMMADIN WA ALA ALI MUHAMMADIN, WABARIK WASALLIM, INNAKA HAMIIDUM MAJID.
Jadi, hari ini adalah bertujuan untuk memberi peringatan kepada kita tentang contoh pengorbanan yang telah dilakukan oleh Hazrat Ibrahim. Juga untuk menunaikan huquuqullah dan huquuqul ibad dengan cara yang terbaik. Juga memperingatkan kita tentang janji yang telah kita buat iaitu bersedia setiap masa untuk mengorbankan jiwa, harta benda, masa dan sebagainya. Rasulullah(saw) yang telah memperlihatkan contoh pengorbanan yang terbaik dalam segala segi, kita hendaklah berusaha mengikutinya.
Oleh sebab itu, bangunlah, dan berjanjilah mulai hari ini, untuk mengekalkan keagungan Islam di dunia, untuk menzahirkan keagungan Rasulullah(saw) di dunia, untuk menjadikan ketauhidan Ilahi kelihatan di dunia, maka hendaklah bersedia untuk itu setiap masa. Dan untuk itu Allah Ta’ala telah mengutus Masih Muhammadi ke dunia.
Jadi, setiap Ahmadi, dengan azam yang baru, berjanjilah bahawa mulai hari ini, akan berusaha agar pemerintahan Tuhan akan kekal di muka bumi, dan bendera Rasulullah(saw) dapat dikibarkan di seluruh dunia. Dengan kurnia Allah Ta’ala, Jemaat Ahmadiyah sejak 121 tahun, telah mempamerkan pengorbanan yang terbaik dari segi pengorbanan harta, pengorbanan jiwa, pengorbanan masa, dan pengorbanan emosi.
Jadi, hari ini juga berjanjilah bahawa kita tidak akan membiarkan semangat pengorbanan seperti ini tenggelam dalam diri kita dan tidak juga dalam diri anak-anak keturunan kita. Dan untuk mencapai itu semua, kita hendaklah lebih banyak tunduk di hadapan Allah Ta’ala, meminta pertolongan daripadanya.
(Sumber: Khutbah Huzur 09-12-2008)
(Sumber: Khutbah Huzur 09-12-2008)
No comments:
Post a Comment