Beberapa surat diterima dari saudara-saudara yang menyatakan bahawa kami telah memperbaharui bai’at kami, dan juga kami telah berikrar dan berjanji akan mematuhi syarat-syarat bai’at, tetapi kami tidak mengetahui dengan begitu jelas tentang apa sebenarnya syarat-syarat bai’at yang harus dipatuhi. Lalu saya terfikir dan merasa bahawa dalam kesempatan Jalsah Salanah ini, saya akan memberikan ceramah berkenaan tajuk ini. Oleh kerana ia satu karangan yang sangat panjang dan adalah mustahil untuk menjelaskan kesemua syarat-syarat bai’at itu di sini, jadi, saya akan jelaskan beberapa di antaranya, dan insyaAllah pada masa akan datang, perkara yang tertinggal akan dijelaskan dalam khutbah atau suatu kesempatan yang lain.
APA ITU BAI’AT?
Perkara pertama sekali yang perlu dijelaskan ialah apa sebenarnya maksud bai’at? Untuk menerangkannya, saya akan petik dari hadis dan kata-kata Hazrat Masih Mau’ud(as).
Huzur(as) berkata: “Makna sebenar bai’at ialah menjual diri. Berkat dan pengaruhnya sama seperti mana sebiji benih ditanam di bumi, keadaan permulaan yang terjadi ialah walaupun ia memang ditanam oleh seorang petani, namun dia tidak mengetahui apa yang akan terjadi selanjutnya? Tetapi, jika benih itu baik dan ada kekuatan di dalamnya, dengan kurnia Tuhan dan dengan usaha gigih petani itu tadi, ia akan muncul dan dari sebiji benih itu boleh menjadi ribuan benih yang lain. Demikian juga orang yang baru bai’at, pertama sekali mereka harus merendah diri dan berpisah dengan keinginan-keinginan nafsu sendiri, hanya dengan itu mereka mendapat kekuatan. Dan bagi mereka yang bai’at disertai dengan keinginan nafsu sendiri, mereka tidak akan mendapat kurnia”. (Malfoozaat Jilid Enam, halaman 173)
BAI’AT : MENYERAHKAN JIWA KEPADA ALLAH
Kemudian, beliau(as) berkata: “Bai’at itu ialah menyerahkan jiwa kepada Tuhan. Maksudnya ialah hari ini kami telah menyerahkan jiwa kami pada tangan Allah. Adalah satu kesalahan jika menganggap bahawa orang yang berjalan pada landasan Tuhan akan menanggung kesusahan. Orang yang sodiq (membenarkan) tidak akan rugi. Sebaliknya kerugian itu akan dialami orang yang kazib (mendustakan), iaitu yang memungkiri bai’at dan janjinya semata-mata untuk dunia. Orang yang berbuat seperti itu disebabkan takut kepada dunia, mereka hendaklah ingat bahawa tidak ada raja atau hakim yang boleh menyelamatkan mereka dari kematian. Perkara yang pasti ialah dia akan pergi kepada Ahkamul Hakimin (Allah) yang akan bertanya kepadanya; kenapa engkau tidak beri keutamaan pada-Ku? Sebab itu, setiap Mukmin amat perlu untuk beriman kepada Tuhan yang Malikus Samaawati Wal Ardh dan bertaubat dengan sebenar-benarnya”. (Malfoozaat Jilid 5, halaman 29 dan 30)
Dari kata-kata Hazrat Aqdas Masih Mau’ud(as) ini, jelas kepada kita apa yang dimaksudkan dengan bai’at. Jika semua di antara kita memahami bahawa sekarang ini zat kita bukan lagi kepunyaan diri kita, sekarang ini adalah masa untuk patuh kepada segala peraturan Allah Ta’ala, perlu taat kepada arahan-Nya dan setiap perbuatan kita adalah semata-mata kerana keredhaan Allah Ta’ala. Inilah rumusan daripada sepuluh syarat bai’at yang telah diikrarkan.
Sekarang saya akan berikan beberapa hadis yang menyentuh tentang perkataan bai’at ini.
Aizullah Bin Abdullah meriwayatkan bahawa Ubadah(ra) bin Samit adalah di antara sahabat yang telah menyertai perang Badar dan juga turut serta dalam bai’at Aqabah. Ubadah(ra) bin Samit memberitahu mereka bahawa Rasulullah(saw) menyatakan hal ini ketika para sahabat ada di sekeliling baginda(saw) membentuk satu kelompok. Rasulullah(saw) bersabda: “Kemarilah bai’at kepadaku atas syarat ini iaitu Allaa Tusyrikuu Billaahi Syai’an, yakni jangan sekali-kali menyekutukan Allah dengan suatu apa pun, jangan kamu berzina, jangan kamu membunuh anak-anak, jangan suka membuat tuduhan-tuduhan palsu, dan jangan kamu ingkari suatu perintahku yang baik.
Jadi, sesiapa di antara kamu yang telah menyempurnakan janji bai’at ini, maka ganjarannya ada di sisi Allah. Dan sesiapa yang menunjukkan kekurangan dalam janji ini, dan disebabkan itu dia mendapat hukuman di dunia ini, maka hukuman itu akan menjadi kafarah baginya. Dan sesiapa yang menunjukkan kekurangan dalam janjinya lalu Allah Ta’ala menyembunyikan kekurangannya, maka urusannya adalah di tangan Allah sendiri. Jika berkehendak, Dia boleh jatuhkan hukuman, dan jika mahu Dia boleh ampunkan. (Sahih Bukhari, Kitabul Manaqibul Anshar, Bab Wufudul Anshari Ilan Nabi Bimakkata Rabi’atul Aqabah)
Kemudian satu hadis yang lain ialah, Hazrat Ubadah bin Samit(ra) meriwayatkan bahawa kami telah bai’at kepada Rasulullah(saw) atas syarat-syarat ini iaitu kami telah dengar dan akan taat, dalam keadaan senang atau susah, suka atau duka, dan kami tidak akan melawan ulul amri, dan kami akan tetap atas yang hak di mana pun kami berada, dan tidak akan takut terhadap orang yang suka menakut-nakutkan. (Bukhari Kitabul Bai’ah, Bab Al-Bai’atu Alas Sam’a Wat Tho’ah)
Ummul Mukminin Hazrat Aisyah(ra) meriwayatkan bahawa Rasulullah(saw) mengambil bai’at wanita-wanita berdasarkan ayat 13 dari surah Al-Mumtahanah iaitu “Hai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk mengadakan janji setia (bai’at), bahawa mereka tidak akan menyekutukan Allah, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anaknya, tidak akan berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka, dan tidak akan mendurhakaimu dalam urusan yang baik, maka terimalah janji setia mereka dan mohonkanlah ampunan kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Hazrat Aisyah(ra) meriwayatkan bahawa ketika mengambil bai’at, Rasulullah(saw) tidak menyentuh tangan sesiapa kecuali jika ada wanita dari keluarga baginda(saw) sendiri. (Sahih Bukhari, Kitabul Ahkam, Bab Bai’atun Nisa)
Sebelum Hazrat Aqdas Masih Mau’ud(as) memulakan pengambilan bai’at, orang-orang yang berfitrat baik dan yang mencintai Islam merasakan bahawa pada waktu itu, untuk menyelamatkan Islam dari kemunduran, orang yang layak hanyalah Hazrat Mirza Ghulam Ahmad(as) Qadiani, yang juga merupakan Masih dan Mahdi. Jadi, mereka memohon agar beliau(as) mengambil bai’at, tetapi Huzur selalu menjawab Lastu Bima’muurin, iaitu ‘aku belum diperintahkan’.
Beliau(as) telah menulis secara berterus-terang kepada Maulvi Abdul Qadir Sahib(ra) melalui Mir Abbas Ali Sahib; “Dalam fitrat hamba yang lemah ini, memang unggul dalam ketauhidan dan penyerahan kepada Allah, dan ............... oleh kerana sehingga sekarang ini belum ada maklumat apa-apa dari Tuhan berkenaan bai’at, oleh itu tidak boleh melangkah dalam jalan yang dibuat-buat. La’allal Laaha Yuhdisu Ba’da Zaalika Amra. Maulvi Sahib teruskan berusaha dalam mengembangkan persaudaraan agama, dan sibukkan dalam memelihara pohon ini dengan sumber mata air keikhlasan dan kecintaan yang bersih, cara ini isyaAllah bermanfaat. (Hayate Ahmad, Jilid 2, Nombor 2 halaman 12-13)
(Dipetik dan diterjemahkan dari buku Syarait Bai’at Aur Hamari Zimmadariyan)
No comments:
Post a Comment