Tuesday, November 10, 2009

Jangan Lemah Iman Akibat Penentangan Musuh


PETIKAN KHUTBAH JUMAAT
IMAM JEMAAT AHMADIYAH SEDUNIA
Masjid Baitul Futuh, London.
(02-10-09)

Sekiranya musuh beranggapan bahawa dengan penentangan itu akan memberi pengaruh ke atas kemajuan Jemaat, atau akan melemahkan keimanan anggota Jemaat, sebenarnya mereka itu sudah lupa. Allah Ta’ala berfirman ‘kamu itu tidak sedar’. Mereka yang hanya melihat sekali imbas tidak akan dapat memahami bahawa perubahan yang telah dilahirkan oleh Hazrat Masih Mau’ud(as) dalam Jemaatnya tidak akan terhenti disebabkan oleh kehilangan harta dan nyawa. Sekarang ini, takdir Allah Ta’ala telah berjalan iaitu agama-Nya akan kekal di dunia atas pekerjaan Jemaat orang-orang Mukmin.

Hari ini juga, setiap anggota Jemaat, lelaki, wanita, anak-anak, dan golongan tua yang telah syahid semata-mata kerana Jemaat, mereka telah meniupkan ruh yang baru. Selepas setiap kesyahidan, saya menerima surat-surat yang mempersembahkan keikhlasan dan kesetiaan untuk berkorban dalam bentuk yang baru.

Berkenaan dengan orang-orang seperti itu, Hazrat Masih Mau’ud(as) berkata, dengan melihat keikhlasan dan kesetiaan mereka itu, kita menjadi hairan. Jadi, adalah satu fikiran cetek para penentang jika mereka beranggapan bahawa dengan memberi kerugian pada jiwa dan harta orang-orang Ahmadi akan menyebabkan Ahmadi berubah hati. Tidak! Malah, seperti yang telah saya katakan, setiap ujian akan memberikan kemajuan kepada keimanan. Jika dalam fikiran para penentang bahawa disebabkan penentangan mereka bahawa Jemaat akan berkubur, ini juga satu fikiran yang cetek. Disebabkan beberapa undang-undang di Pakistan dan negara-negara lain, tabligh Jemaat tidak dapat berjalan lancar, tetapi disebabkan penentangan para musuh telah membuka sendiri jalan-jalan pertablighan. Ramai orang di Pakistan dan di negara-negara Arab yang lain menulis surat berkeinginan untuk bai’at.

Jadi, para musuh ini juga boleh membawa kita kepada kemajuan. Para musuh boleh menghapuskan beberapa jiwa, menghancurkan dan merampas harta benda, boleh membinasakan wanita-wanita kita, menghalang pembinaan masjid-masjid kita, tetapi mereka tidak boleh mengurangkan keimanan kita. Ini kerana ujian dan dugaan ini menjadi bukti bahawa Tuhan bersama-sama kita. Sebagaimana dalam ayat seterusnya Allah Ta’ala memberi khabar gembira kepada orang-orang yang sabar selepas menjelaskan tentang semua jenis ujian-ujian.

Kamu juga akan diuji dengan ketakutan. Tetapi jika kamu dapat melalui ketakutan itu dengan banyak berdoa dan sabar, khabar gembira yang menanti ialah kamu akan menjadi pewaris kurnia-kurnia. Bagaimana jenis ketakutan yang dimaksudkan? Ada yang setiap masa merasa takut dengan serangan musuh, takut dengan kejahatan para maulvi. Takut dihadapkan ke mahkamah, takut dengan undang-undang kerajaan. Takut dengan tindakan pegawai-pegawai kerajaan. Tetapi, sebagaimana yang telah saya nyatakan bahawa orang Mukmin yang ditakut-takutkan dengan keputusan parlimen, mahkamah dan sebagainya tidak akan mengalami kelemahan dalam iman.

Kemudian ujian dengan kelaparan. Sekarang ini pun ada juga satu dua kejadian. Tetapi dalam tahun 1974, keadaan penentangan ditimbulkan terhadap Jemaat, banyak kekerasan dilakukan atas orang-orang Ahmadi, orang lain tidak dibenarkan membawa makanan ke rumah-rumah Ahmadi, dan Ahmadi pula tidak dibenarkan keluar dari rumah untuk membeli makanan di pasar. Dan jika mereka dapat keluar juga, pekedai dihalang dari menjual makanan kepada mereka.

Berkenaan dengan rampasan harta pula, hari ini para musuh berusaha merampas harta orang-orang Ahmadi. Jika ada Ahmadi yang bekerja secara sah di sisi undang-undang, kadang-kadang mereka menimbulkan keadaan dengan mengatakan ‘ini orang Qadiani’. Dan dengan panggilan Qadiani atau Ahmadi, beberapa pegawai yang duduk di kursi pengadilan, mereka tidak memberi keadilan terhadap orang-orang Ahmadi. Dalam tahun 1974, kerajaan telah merampas dan memberikan tanah Jemaat di Rabwah kepada maulvi-maulvi, yang sekarang ini dikenali sebagai Muslim Koloni Abad. Dan tidak berapa lama dahulu, tanah ladang Jemaat yang ada kampus baru T.I Kolej, dan satu Open Space di Rabwah, di Darun Nasar, kerajaan telah membuat keputusan bahawa ‘ini kami punya’ dan merampasnya dengan cara yang tidak sah.

Kemudian, melalui anak-anak dan harta juga diuji. Mereka berusaha menghancurkan kerjaya pendidikan anak-anak. Di sekolah, anak-anak dijadikan bahan cemuhan sehingga menyebabkan anak-anak tidak ada keinginan datang ke sekolah. Beberapa lama dahulu, ini yang terjadi di mana pelajar-pelajar Ahmadi di Kolej Perubatan telah dihalang. Di Laiya, sebagaimana semua tahu bahawa empat anak-anak Jemaat telah dizalimi dan dimasukkan dalam penjara. Jika ibu bapa kepada anak-anak itu bertaubat dari Ahmadiyah, maka tuduhan ‘menghina rasul’ yang dibuat akan digugurkan.

Inilah cara-cara mereka meletakkan orang-orang Ahmadi dalam kesusahan. Mereka tidak tahu Ahmadi adalah Muslim yang hakiki dan yakin atas semua apa yang tercatat dalam Al-Qur’an. Mereka semua telah diberitahu oleh Allah bahawa kamu akan diuji dengan pelbagai cara, jadi bersabar dan tunggulah keputusan daripada Allah, dan setiap musibah yang menimpa mereka, lafaz yang keluar dari mulut mereka hanyalah innaa lillaahi wa innaa ilaihi rooji’uun, yakni kami adalah milik Allah, dan kepada Dia tempat kami kembali. Inilah Ahmadi. Kesedihan yang diberikan, Ahmadi hanya memperlihatkan kesabaran. Dan sabar itu adalah mereka memang merasai kesedihan, tetapi tidak hilang pertimbangan. Jangan mengeluh dan ragu-ragu, malah dalam setiap ujian dan setiap kesedihan, pandangan hendaklah sentiasa kepada Allah Ta’ala.

Mereka kekal atas keyakinan bahawa memang ini adalah ujian dan dugaan, namun ia hanya bersifat sementara, insyaAllah, Tuhan akan memberikan sesuatu yang lebih baik kepada kami. Inilah dasar fikiran atas setiap musibah, bahawa jiwaku, anak-anakku, dan harta bendaku juga adalah sementara. Jika aku korbankan semata-mata kerana Allah Ta’ala, maka sudah pasti aku akan menjadi pewaris nikmat-nikmat Allah Ta’ala.


>>>>>>>>>>


Untuk teks penuh,
email: barahin.ahmadi@gmail.com


No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...