Ada pendapat bahawa Jemaat Ahmadiyah terkeluar daripada Ahli Sunah Wal-Jamaah kerana tidak bermazhab kepada salah seorang daripada 4 Imam Mazhab. Tetapi adakah terbukti bahawa setiap seorang Imam berkenaan ada meninggalkan wasiat agar selepas kewafatan mereka, maka pemikiran mereka akan dijadikan sandaran sebagai anutan atau MAZHAB?
Sebagai penjelasan, baik dikemukakan terlebih dahulu berkenaan dengan tarikh kelahiran 4 Imam Mazhab berkenaan, jadi para pembaca dapat meneliti dan memahami sejarah terdahulu.
1. Hazrat Imam Abu Hanifah lahir pada tahun 80 Hijrah dan wafat pada 150 Hijrah
2. Hazrat Imam Malik lahir pada tahun 95 Hijrah dan wafat 199 hijrah
3. Hazrat Imam Syafie lahir pada tahun 150 H dan wafat pada 204 Hijrah
4. Hazrat Imam Ahmad Hanbal lahir pada 164 H dan wafat pada 241 Hijrah
Persoalan mazhab dalam Islam akan dapat dirungkai melalui penjelasan berikut:
1. Berdasarkan tarikh-tarikh kelahiran di atas, 100 tahun sebelum kelahiran mereka tidak terdapat walau satu pun daripada 4 Mazhab berkenaan. Jadi berdasarkan pendapat penentang-penentang Jemaat Ahmadiyah, bahawa para sahabat Nabi dan Tabi’in tidak termasuk Ahli Sunah Wal Jamaah kerana mereka tidak mengikuti mazhab tersebut. Siapa berani mengatakan sahabat-sahabat Nabi bukan Ahli Sunah Wal-Jamaah?
2. Boleh tanya juga kepada penentang-penentang Jemaat Ahmadiyah, apakah Mazhab Imam Hanifah dan apakah mazhab Imam Malik? Dan apakah mazhab Imam Syafie dan Imam Ahmad? Apa jawapan mereka? Kalau dalam fikiran mereka mesti ada Mazhab dalam Islam, MAZHAB yang dianuti oleh Imam-Imam itulah juga yang dianuti oleh Jemaat Ahmadiyah.
3. Menurut Waliyullah Shah Muhaddats Delhi pada abad ke-4,
“Orang-orang Islam sebelum abad ke-4 belum mengambil keputusan untuk menganut apa-apa mazhab” (Hujjatul-Balighah, juz 1, halaman 122)
4. Bagaimana pula dengan Imam Mahdi dan Nabi Isa(as) itu, adakah akan bermazhab kepada salah satu Imam Mazhab berkenaan? Kalau perlu bermazhab kepada Imam-Imam berkenaan, kita perlu minta tunjuk di mana dalilnya dan kepada Mazhab mana dia akan anuti? Hazrat Ibnu Hajar Al-Haitsami ditanya “apakah Al-Masih itu akan mengikut empat mazhab atau menggunakan ijtihadnya sendiri”. Syeikh Ibnu Hajar menjawab “Isa(as) itu suci dari mengikut imam-imam lain”. (Al-fatawa Al-Haditsiyah, hal. 154). Maksudnya, Isa yang datang kali kedua itu akan berijtihad sendiri berpandukan Sunnah Rasulullah(saw).
5. Kadang-kadang penentang Jemaat akan bertanya apa pandangan Jemaat Ahmadiyah terhadap imam-imam mazhab. Sebenarnya jemaat sangat menghormati mereka. Tetapi apa perlu kita berimamkan kepada orang yang telah wafat lagi seperti imam-imam berkenaan?. Mengapa tidak langsung berimamkan Nabi Muhammad(saw) sahaja? Kan Nabi Muhammad(saw) juga sudah wafat. Jadi, tidak cukupkah Rasulullah(saw) sebagai Imam kepada Umat Islam?
Jadi, siapakah Ahli Sunah Wal-Jamaah?
Hari ini umat Islam telah berpecah kepada banyak aliran dan fahaman. Hal ini sebagai membuktikan kebenaran Nubuatan Baginda(saw) bahawa umatnya akan terpecah kepada 73 golongan. Yang menghairankan, masing-masing mengaku Ahli Sunah Wal Jemaah.
Kalau semua itu Ahli Sunah Wal Jamaah, mengapa Baginda(saw) jelaskan bahawa hanya satu aliran sahaja yang akan masuk syurga. Jadi, dakwaan semua aliran-aliran ini semuanya akan ditolak oleh Hadis kerana hanya satu sahaja yang dijanjikan keselamatannya.
Sekarang timbul persoalan dalam hati umat Islam, “apakah tanda-tanda Ahli Sunah Wal Jamaah itu?” Hitam dan putih bukan ukuran warnanya, Negara Barat ataupun Timur bukan juga lingkungannya, Arab atau bukan Arab bukan ukuran kepada bangsanya.
Sebenarnya kalimat “Ahli Sunah Wal Jamaah” itu menunjukkan aliran yang benar. Kalimat “As Sunnah” ertinya “Perjalanan” Nabi Muhammad(saw) dan para sahabatnya. “Al-Jamaah” bererti “Perkumpulan” yang mempunyai Imam sebagai Panduan.
Pendek kata, Ahli Sunah Wal-Jamaah itu merujuk kepada perkumpulan yang dipimpin oleh seorang Ketua yang menjadi Imam mereka. Perlu diingat juga, ketika Rasulullah(saw) menjelaskan bahawa umatnya akan berpecah, seorang sahabat bertanya “ bagaimana seharusnya sikap saya, wahai Rasulullah”. Baginda(saw) bersabda “ikutlah jemaah orang-orang Islam dan Imam mereka”. (Bukhari Juz II, hal 181, bab Alamatun-Nubuwwah Fil- Islam)
Apakah perjalanan Rasulullah(saw) dan para sahabatnya?
Allah Ta’ala berfirman:
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dibangkitkan untuk kebajikan manusia, kamu menyuruh dengan yang baik dan melarang dari yang jahat serta beriman kepada Allah”. (Al- Imran ayat 111)
Berdasarkan Al-Quran dan Hadis, tanda-tanda Ahli Sunah Wal Jamaah adalah seperti berikut:
1. Mereka benar-benar mengikuti ajaran dan perjalanan Rasulullah(saw) dan sahabatnya
2. Mereka juga bersatu hati dan bersatu tujuan untuk mengikuti seorang Imam yang memimpin mereka dalam segala hal yang berkaitan dengan kemajuan mereka di dunia dan di akhirat.
3. Mereka menjalankan pekerjaan Tabligh Islam ke seluruh dunia.
Aliran manakah yang mempunyai satu tujuan untuk memajukan Islam dan umat Islam dengan sedaya-upaya mereka? Tidak ada. Hanya Jemaat Ahmadiyah sahaja. Jadi Jemaat Ahmadiyah yang dikatakan Ahli Sunah Wal-Jamaah yang sebenarnya.
Kepada para pembaca yang baru mendengar tentang Jemaat Ahmadiyah ini, pengakuan ini bukanlah untuk membanggakan diri tetapi mengajak para pembaca sekalian berfikir dan mengkaji, setakat mana kebenaran pengakuan itu. Dan, soal hendak percaya atau tidak, itu adalah hak individu.
Dan kepada para penentang Jemaat Ahmadiyah, daripada kamu sibuk mencari helah untuk mengkafirkan dan mencop sesat atas Jemaat Ahmadiyah, adalah lebih baik fikirkan diri sendiri, perbetulkan diri sendiri terlebih dahulu sebelum mengeluarkan fatwa yang tidak berasas. Hentikan kezaliman yang kamu lakukan terhadap orang-orang Ahmadiyah.
Dan, jika hendak berusaha juga untuk membuktikan kesesatan Jemaat Ahmadiyah, silakan, kita boleh berjumpa dan berbincang dengan cara yang baik, tidak perlu risau, tidak ada dalam sejarah bahawa orang-orang Ahmadi ini menzalimi orang yang tidak sependapat dengan mereka, tetapi apa yang ada, para ulama Islam yang banyak menzalimi orang-orang Ahmadi.
Istilah orang kampung yang telah diajarkan fitnah adalah: “kami kalah dalam berdalil Qur’an dan hadis, tapi kalau bertumbuk, balum tantu kalah”. Maksudnya, mereka memang tidak ada dalil untuk menghadapi Jemaat Ahmadiyah selain kekerasan. Inilah pernyataan seorang yang tidak mahu menerima kebenaran.
Seperti kata seorang penulis Sabah Kini (SAMSUL) beberapa hari lepas (01-Nov-09), beliau mengatakan:-
“Sehingga ke hari ini tiada respon kepada cabaran mereka. Menurut sumber yang saya ketahui, pusat gerakan ini bertumpu di Selangor dan telah mencabar pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk muzakarah terbuka, tetapi JAIS juga tidak mahu berhadapan dengan gerakan ini.
Mereka adalah sesat dan menyesatkan. Memerangi mereka adalah satu Jihad. Tetapi mengapa pihak agama kita tidak berani berhadapan dengan gerakan ini secara FACE TO FACE”.
Mungkin beliau ini amat prihatin atas agama Islam, cuma, harapan saya belajarlah, kajilah dan selidikilah, pasti suatu hari nanti akan terserlah kebenaran.
Adakah para pembaca yang lain juga sependapat dengan beliau ini, bahawa MEMERANGI AHMADIYAH ADALAH SATU JIHAD. Para ulama berjihad menentang, menghapuskan dan memastikan Jemaat Ahmadiyah ini berkubur. Tetapi, Jemaat Ahmadiyah pula berjihad setiap masa memastikan Islam, agama Allah ini sentiasa suci dan bersih dari setiap noda dan penghinaan, samada oleh umat Islam sendiri mahupun serangan daripada penganut agama lain.
blog yang memberi kesan!
ReplyDeletememang berkesan kpd mereka yang mencari kebenaran..ramai yang berkata, mereka sangat mencintai Rasulullah saw. mereka sanggup berjuang untuk Agama Rasulullah saw.. tapi pernahkah mencari atau berusaha untuk mencari siapakah 1 golongan yg dimaksudkan oleh Rasulullah saw itu?..adakah 1 golongan itu terbatas di sesebuah negara sahaja atau melibatkan keseluruhan umat Islam tapi dipimpin oleh seorang Pimpinan Rohani.
ReplyDelete