Thursday, July 11, 2013

Rahsia Kebangkitan Ummah - 5



AMAL SALEH

Definisi Amal Saleh

Banyak firman Allah dalam Al Quran berunsur perintah menunaikan solat, zakat dan amal saleh. Pada umumnya umat Islam yakin bahawa mereka sudah memahami dan boleh mengamalkan ketiga-tiga perintah tersebut dengan baik jika ada kemahuan. Namun pada hakikatnya, salah satu daripada tiga perintah tersebut iaitu AMAL SALEH, umat Islam berada dalam kekeliruan yang nyata sebab memahami amal saleh dalam batas sebagai perbuatan yang baik sahaja, sedangkan perbuatan baik yang terkeluar dari lingkungan amal saleh boleh mengakibatkan kemudaratan dan kerugian kepada individu berkenaan, rakyat dan negara.

Solat adalah wajib dan meninggalkannya dengan sengaja adalah dianggap melakukan dosa tetapi pada sesuatu kondisi di mana akal yang sihat mampu membuat pertimbangan wajar disamping pengaruh naluri yang normal maka solat itu lebih afdhal ditinggalkan buat sementara waktu daripada ianya terus dilaksanakan. Ini bermakna terdapat sesuatu keadaan di mana dalam melakukan kebaikan sebenarnya tidak mendatangkan ganjaran baik malahan menjauhkan keredhaan Allah swt. Oleh itu adalah tidak tepat jika memahami makna amal saleh hanya dalam batas melakukan sesuatu kebaikan sahaja. Orang-orang yang beriman secara amnya berusaha untuk tidak melakukan dosa tetapi tidak semestinya mereka semuanya mampu beramal saleh sesuai dengan konteks Al Quran yang lebih komprehensif dan objektif. Pada hakikatnya amal saleh mempunyai peranan yang amat penting sebagai satu elemen dalam mempastikan pencapaian baik umat Islam hingga ke tahap maksima. Oleh itu tidak hairanlah jika Allah swt dalam firmanNya menggambarkan bahawa anugerah khilafat hanya akan diberikan kepada golongan yang beriman dan beramal saleh, Allah swt berfirman, “Allah telah menjanjikan kepada orang-orang dari antara kamu yang beriman dan beramal saleh, Dia pasti akan menjadikan mereka itu khalifah-khalifah di muka bumi ini, sebagaimana Dia telah menjadikan mereka itu khalifah dari antara orang-orang yang sebelum mereka” (An Nuur : 56).

Amal saleh merupakan penunjang kepada jihad sebenar dan ianya tidak boleh dipisahkan dari sifat berwibawa seorang muslim, kebangkitan serta kemenangan umat Islam berkait rapat dengan perbuatan amal saleh. Pakar-pakar Islam menggesa masyarakat Islam agar melakukan amal saleh tetapi definisi dan contoh amal saleh tidak dijelaskan. Amal saleh bermaksud melakukan sesuatu kebaikan tepat pada waktu, tempat dan keadaannya. Contohnya, jika ada seorang jiran beragama Hindu di sebelah rumah menjerit-jerit meminta pertolongan tetapi seorang muslim terus melakukan solat tanpa mempedulikan jeritan jiran tersebut, orang tersebut bukanlah seorang yang beramal saleh. Solat adalah wajib tetapi meneruskan solat tanpa mempedulikan jeritan jiran yang sedang dalam keadaan cemas meminta dan memerlukan pertolongan adalah suatu perbuatan bertentangan dengan sifat amal saleh yang digariskan agama Islam. Oleh itu menjalankan tugas sehingga sanggup menghalang seseorang yang sedang melaksanakan kebaikan dengan alasan tidak mendapat kebenaran (mungkin kebenaran untuk membuat kebaikan?) bukanlah amal saleh namanya. Misalnya keadaan yang sering berlaku di negeri-negeri di Malaysia iaitu melarang, menangkap dan mendakwa seseorang di mahkamah kerana menyampaikan ceramah agama yang sesuai dengan tuntutan Islam bukanlah amal saleh namanya. Mengganggu jiran serta persekitaran meskipun melaksanakan aktiviti keagamaan bukanlah amal saleh namanya. Ringkasnya amal saleh ialah melaksanakan sesuatu perkara dengan melibatkan penggunaan inteligensia yang dicetuskan minda dan mengaplikasikannya tepat pada masa, keadaan dan tempat demi meraih manfaat selari dengan kehendak Allah swt. Oleh itu setiap umat Islam yang beriman mesti mampu mencegah yang mungkar dan menegakkan yang ma’ruf dalam kawalan sifat amal saleh. Jika kriteria ini ada pada umat Islam, tidak ada alasan bagi Allah swt untuk tidak menganugerahkan Institusi Khilafat kepada umat Islam sepertimana firmanNya dalam surah An Nuur : 56.   

Pengalaman Yang Perlu Dikongsi

Izinkan penulis mengambil kesempatan untuk berkongsi pengalaman tetapi menyimpang sedikit dari topik. Penulis menaruh harapan semoga pengalaman yang akan dikongsi serba sedikit dapat membuka minda terhadap sebahagian kecil ragam kehidupan yang dipraktikkan oleh masyarakat Islam sehingga tanpa disedari mendatangkan ketidakselesaan dan kerugian. Penulis ada dua pengalaman, pengalaman pertama ialah ada seseorang beragama Islam tinggal di kawasan perumahan yang didiami oleh pelbagai lapisan masyarakat. Sama seperti taman-taman perumahan lain, dalam taman perumahan tersebut terdapat sebuah masjid. Setiap hari lebih kurang 30 minit sebelum solat subuh Imam Masjid akan memasang radio dengan mengumandangkan ayat-ayat suci Al Quran ataupun bacaan “ya ar hamar rahimin” dengan bunyi pembesar suara yang amat kuat. Tidak tahan dengan bunyi yang terlalu kuat serta mengganggu, akhirnya orang tersebut berpindah rumah ke kawasan perumahan yang majoriti didiami oleh masyarakat Cina, alasannya ialah dia lebih tenang dan aman di taman perumahan seperti itu kerana tidak ada bunyi bising. Cubalah bayangkan jika orang Islam sendiri merasa rimas, lebih-lebih lagi orang yang bukan beragama Islam. Pada masa ini semakin menjadi amalan tanpa mengira bangsa dan agama, jika membeli rumah perlu dipastikan jauh daripada masjid. Perlu difahami perkataan “ISLAM” itu sendiri mencerminkan keamanan dan ketenangan. Oleh itu jika masyarakat merasa terganggu disebabkan oleh sesuatu yang dianggap sebagai amalan dalam Islam, itu adalah salah kerana ajaran Islam tidak ada yang menyusahkan samada penganut agama Islam sendiri atau penganut agama lain.

Pengalaman kedua ialah penulis pernah menetap di satu kawasan perumahan yang didiami oleh pelbagi lapisan masyarakat juga serta terdapat sebuah masjid. Penulis amat terkilan serta merasa sedih apabila suatu hari seorang ustaz menyampaikan ceramah dengan pembesar suara dengan bunyi yang amat kuat dan seluruh taman mendengarnya. Sebenarnya hanya sedikit yang hadir mendengar ceramah berkenaan dan lebih afdhal jika pembesar suara tidak digunakan. Lebih malang lagi apabila ustaz tersebut mengutuk dan menghina agama lain dalam ceramahnya. Apakah ini amal saleh namanya? Jika umat Islam memahami dan menerapkan sifat amal saleh yang sebenar dalam kehidupan, perkara seperti di atas tidak akan berlaku, malahan akan lebih ramai umat lain tertarik kepada agama Islam. Perbuatan umat Islam, lebih-lebih lagi perbuatan tersebut dilakukan oleh seorang yang bergelar ustaz, imam atau sebagainya yang tidak menepati definisi amal saleh telah banyak menjejaskan kejayaan tabligh Islam.

Al Quran menyeru agar umat Islam menjadi jiran tetangga yang baik dan bertimbang rasa sama ada kepada yang dikenali atau tidak. Allah swt berfirman, “Dan beribadahlah kepada Allah dan janganlah kamu persekutukan apa juapun denganNya; dan berbuat baiklah terhadap ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan tetangga yang sanak saudara dan tetangga yang bukan kerabat, dan handai taulan, dan orang-orang musafir, dan yang dimiliki oleh tangan kananmu. Sesungguhnya Allah itu tidak menyukai orang sombong dan membangga diri.” (An Nisaa’ : 37). Dalam pada itu juga diriwayatkan bahawa Rasulullah saw berkali-kali berseru agar hubungan baik dengan jiran dipelihara. Rasulullah saw memberitahu bahawa malaikat Jibril amat menekankan hubungan tetangga sehingga Rasulullah saw berharap agar ada perintah turun supaya tetangga dijadikan waris bersama. Allah juga berfirman, “ Dan apabila dibacakan Quran, maka dengarkanlah dan berdiam dirilah supaya kamu dikasihi, Dan ingatlah akan Rab engkau dengan merendahkan diri dan takut, dengan suara perlahan, pada waktu pagi dan pada waktu petang; dan janganlah engkau termasuk orang-orang yang lalai” (Al A’raaf : 205-206). Allah swt memerintahkan agar mengingat dan menyeru namaNya dengan merendahkan diri dan merasa takut serta dengan suara perlahan. Oleh itu menyeru nama Allah dengan menggunakan pembesar suara seperti bacaan “yaa arhamar raahimin” sebelum solat subuh, sehingga mengganggu seluruh penduduk taman atau kampung adalah tidak amal saleh. Berzikir dan berdoa beramai-ramai dengan penggunaan pembesar suara bukanlah perbuatan amal saleh kerana ianya boleh mengganggu ketenteraman orang lain. Apakah dengan suara lebih kuat didengar ketika berdoa dan menyebut nama Allah membuktikan seseorang itu penganut agama Islam sejati? Islam mengajarkan umatnya cara bertolak ansur sesuai dengan keadaan dan yang pasti tidak ada dalam ajaran Islam yang boleh mendatangkan ketidaktenteraman kepada masyarakat. Peliharalah tingkah laku dengan mencerminkan amalan yang baik agar penganut agama lain tertarik kepada perlakuan orang Islam dan agama Islam, secara tidak langsung ini juga merupakan kesempatan untuk tabligh Islam.

Budaya Balik Kampung dan Sambutan Hari Raya –
Adakah Amal Saleh?

Kemalangan jiwa di jalan raya ketika musim perayaan aidilfitri amat membimbangkan semua pihak, apakah tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa agama? Bersesak-sesak di jalan raya, diburukkan pula dengan tahap kesabaran pemandu yang amat rendah pastilah lebih menyulitkan lagi suasana di jalan raya. Sedangkan balik kampung beramai-ramai pada masa yang sama di musim perayaan bukanlah sesuatu yang wajib di dalam Islam. Seharusnya ditanamkan dalam hati umat Islam bahawa ajaran Islam amat mudah dan menyenangkan. Setiap individu boleh merayakan Aidil Fitri di mana-mana dengan ala kadarnya sahaja. Pada bila-bila masa yang sesuai boleh balik kampung berziarah. Lebih melucukan ketika merayakan Aidil Fitri, ada pula yang berdukacita dan bersedih hati kerana mengingati ahli keluarga yang sudah mati tidak bersama lagi. Untuk yang masih hidup pula begitu pilu apabila tidak dapat bersama dengan keluarga tersayang ketika berhari raya. Berdukacita, bersedih hati bukan pada tempatnya, ini bukan ajaran Islam, bukan amal saleh namanya. Amalan Rasulullah saw bukan demikian, perhatikan umat Islam di negara-negara Arab misalnya, mereka merayakan aidil fitri tidak seperti di Malaysia yang penuh dengan pembaziran dan ramai pula yang terkorban. Jika bersedih disebabkan oleh perpisahan dengan bulan Ramadhan yang mulia dan terpaksa pula menunggu selama setahun baru boleh berjumpa semula, ada juga asas dan alasannya. Pihak-pihak berkenaan perlu melakukan perkara yang wajar, beranilah memberikan teguran kepada perkara yang sepatutnya ditegur, jangan menyembunyikan kebenaran sebab itu bertentangan dengan sifat amal saleh. Perkara sebegini tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah saw atau para sahabat ra.

Merayakan hari raya aidil fitri yang berlebih-lebihan seperti yang diamalkan oleh rakyat Malaysia seolah-olah satu ajaran dalam agama Islam yang wajib dilaksanakan setiap tahun. Berapa banyakkah wang ringgit yang dibelanjakan setiap kali perayaan hari raya? Jika satu keluarga berbelanja paling sedikit RM500, jika terdapat 5 juta umat Islam di Malaysia, bermakna RM2.5 billion dibazirkan oleh keluarga Islam di Malaysia pada setiap tahun. Jumlah wang ini cukup banyak untuk pembangunan ummah. Siapa yang mengaut keuntungan besar setiap kali perayaan sebegini? Wang yang sedemikian banyak boleh digunakan untuk membangun sistem pertanian di negara-negara miskin Afrika tanpa mengira bangsa dan agama. Tidak bolehkah pihak berkuasa agama atau para ulama mengorak langkah untuk merubah minda umat Islam ke arah yang lebih progresif? Anjurkan kempen kesedaran berterusan secara meluas agar umat Islam faham peranan mereka mengkhidmati seluruh umat manusia di muka bumi ini. Wang yang pada kebiasaannya dibelanjakan untuk makanan dan pakaian boleh dijadikan tabung untuk keperluan pembangunan umat manusia. Jika ini dapat dilakukan dan dipelopori oleh Malaysia, ini lebih baik dan boleh dijadikan ikutan oleh negara Islam yang lain. Bajet yang selama ini diperuntukkan untuk makan minum, pakaian dan penyelengaraan kereta dan petrol di musim perayaan hendaklah disalurkan ke tabung pembangunan ummah. Dengan adanya kewangan yang kukuh peluang perniagaan dan pekerjaan lebih banyak dapat diwujudkan, sekolah-sekolah atau pusat-pusat tarbiyah dapat dibina. Klinik, hospital atau pusat-pusat perubatan percuma dapat diberikan kepada masyarakat. Di Malaysia mungkin perkhidmatan seperti ini tidak perlu kerana Kerajaan mampu menyediakannya tetapi bagaimana negara-negara seperti Somalia, Nigeria, Sudan dan lain-lain? Segala perkara yang dilakukan tidak sesuai dengan masa, tempat dan keadaan adalah bukan amal saleh dari sudut pandangan Islam. Umat Islam hendaklah mampu menggunakan akal dengan sebaik-baiknya, ambil tindakan sesuai pada masanya, keadaannya dan tempatnya itulah amal saleh namanya. Tanpa amal saleh sesuai takrif Al Quran tidak akan mencerminkan peranan umat Islam seperti firman Allah swt, “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia” (Ali ‘Imran : 111).

Sekadar Untuk Renungan

Adakah meletupkan diri dengan bom di khalayak ramai untuk membunuh sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa, agama, jantina, kanak-kanak atau orang-orang tua perbuatan amal saleh? Umat Islam hendaklah ingat bahawa kekecewaan dan kemelut yang sedang melanda tidak akan berakhir selagi tidak ada pemimpin yang bergelar khalifatullah. Kehadiran khalifatullah di tengah-tengah umat Islam bakal membawa umat Islam menikmati kehidupan penuh keharmonian di bawah naungan sistem khilafat. Namun sebelum keharmonian tersebut dikecapi, Allah swt meletakkan syarat yang wajib dipatuhi oleh umat Islam sepertimana firmanNya, “Allah telah menjanjikan kepada orang-orang dari antara kamu yang beriman dan beramal saleh, Dia pasti akan menjadikan mereka itu khalifah-khalifah di muka bumi ini, sebagaimana Dia telah menjadikan mereka itu khalifah dari antara orang-orang yang sebelum mereka” (An Nuur : 56).

No comments:

Post a Comment