Thursday, July 11, 2013

Rahsia Kebangkitan Ummah - 11



DARI KRISTIAN KE ISLAM

Mudahnya Masuk Syurga Menurut Agama Kristian

Adalah penting bagi umat Islam untuk memahami akidah pokok agama Kristian. Menurut fahaman akidah umat Kristian, Isa Al Masih dilahirkan tanpa seorang ayah, maka sebab itu dianggap sebagai anak Tuhan.  Hanya Isa Al Masih as sahaja yang dianggap suci bersih dari sebarang dosa. Manakala seluruh umat manusia yang dilahirkan ke dunia ini adalah berdosa kerana mewarisi dosa yang pernah dilakukan oleh nabi Adam as dan isterinya Siti Hawa semasa mereka berdua masih berada di syurga kerana dihasut oleh Iblis agar memakan buah yang dilarang oleh Allah swt. Disebabkan sifat rahim Tuhan maka Isa Al Masih as sahaja yang layak menebus dosa umat manusia yang diwarisi itu sebab dia bersih dari sebarang dosa. Orang yang mewarisi dosa tidak layak untuk menebus dosa umat manusia. Oleh itu Isa Al Masih as yang juga dianggap sebagai anak Tuhan perlu dikorbankan di atas tiang salib semata-mata untuk menebus dosa umat  manusia. Menurut fahaman akidah umat Kristian, ini adalah rencana Allah swt untuk melepaskan seluruh umat manusia dari menanggung dosa warisan. Selepas 3 hari disalib maka Isa Al Masih as pun hidup semula dan naik ke langit dan duduk di sisi dengan Tuhan di langit. Suatu hari nanti Isa Al Masih as akan turun ke bumi bagi menyelamatkan umat manusia dan memenangkan agama Kristian. Sesiapa yang ingin selamat dan masuk syurga wajiblah berkeyakinan bahawa Isa Al Masih as adalah anak Tuhan yang wajib mati di atas tiang salib untuk menebus dosa umat manusia. Kini masih hidup di langit bersama Tuhan dan akan turun kelak ke bumi sebagai juruselamat. Ringkasnya akidah agama Kristian ini berpaksikan konsep “TRINITI” yakni TIGA dalam SATU. Terdapat tiga entiti iaitu TUHAN BAPA + TUHAN ANAK + ROHUL KUDUS. Kesemua tiga entiti ini adalah satu adanya. Sememangnya minda tidak mampu memahami konsep triniti ini, oleh itu tidak perlu mempersoalkannya, cukup sekadar dapat diketahui akidah pokok agama Kristian.

Manakala majoriti umat Islam pula berkeyakinan bahawa Isa Al Masih as belum sempat disentuh oleh musuh telah diselamatkan oleh Allah swt dengan mengangkatnya naik ke langit dan akan turun kelak ke bumi untuk menyelamatkan umat manusia dan memenangkan Islam dengan bergabung bersama Imam Mahdi untuk menentang dajjal, mematahkan salib dan membunuh babi. Intipati fahaman Kristian dan Islam ekoran penyaliban Isa Al Masih as adalah sama yakni Isa Al Masih as belum wafat dan masih hidup di langit hingga saat ini. Isu penyaliban Isa Al Masih as telah dianalisa dan dibahas dengan mendalam dalam bab sebelumnya dengan mengambil kira pelbagai fakta yang tersedia dalam sabda-sabda suci Rasulullah saw dan Al Quran. Dalam bab ini akan dibongkar bukti-bukti dari kitab Injil bahawa Isa Al Masih as telah disalib tetapi diatas ketentuan Allah swt tidak wafat di atas tiang salib.

Patahnya Salib

Umat Islam wajar memahami secara mendalam tentang agama Kristian agar dapat menutup mulut mubaligh-mubaligh Kristian yang selalu mencemuh ajaran agama Islam dan agar dapat mematahkan akidah ajaran Kristian. Jika umat Islam menggunakan Al Qur’an untuk menghadapi penganut agama Kristian, mereka akan mengatakan bahawa mereka tidak mempercayai Al Qur’an dan tidak dapat menerima dalil-dalil dan keterangan daripada Al Qur’an. Jika bersandarkan kitab Injil untuk memperlihatkan kekeliruan dan kesalahan fahaman akidah dalam agama Kristian mereka akan terpaksa mengakuinya. Sebagai contoh, ulama-ulama Yahudi ingin menyalib Isa Al Masih as kerana mereka tidak percaya Isa Al Masih as sebagai nabi kerana pada pendapat mereka nabi Musa as adalah penutup segala nabi, manakala paderi Kristian mengatakan bahawa kematian Isa Al Masih as di tiang salib ialah sebagai menebus dosa umat manusia. Namun berdasarkan kepada Matius 27:46, Isa Al Masih as telah berseru ketika di atas tiang, “Eli-eli lama sabakhtani ertinya “Ya Tuhanku, Ya Tuhanku, mengapa Engkau meninggalkan aku?” Ini salah satu dalil di dalam kitab Injil yang dapat membuktikan bahawa ajaran penebusan dosa dalam agama Kristian adalah tidak benar. Isa Al Masih as adalah seorang nabi dan segala rencana Allah swt pasti Dia akan memberitahunya. Sebagai seorang nabi, beliau seharusnya bersedia untuk memikul tanggungjawab dan melaksanakan perintah Allah swt. Jika Allah swt membenarkan konsep penebusan dosa ini melalui kematian di tiang salib, sudah tentu Isa Al Masih as rela dikorbankan di atas tiang salib tanpa berseru “Eli-eli lama sabakhtani.” Isa Al Masih as berseru kerana tidak mahu mati di tiang salib yang dianggap sebagai mati terkutuk mengikut Kitab Ulangan 21:23, “... sebab orang yang digantung terkutuk oleh Allah...” Oleh itu berdasarkan kepada ketidak relaan Isa Al Masih as disalib sahaja sudah dapat membantah kepercayaan agama Kristian yang berlambangkan tiang salib.

Satu lagi bukti untuk mematahkan kepercayaan tiang salib dengan menggunakan kitab mereka sendiri dalam Matius 15:24, Isa Al Masih as bersabda, “Tiadalah aku disuruhkan kepada yang lain, hanya kepada segala domba yang sesat dari antara Bani Israil”. Ini jelas membuktikan agama Kristian hanya bersifat lokal iaitu untuk Bani Israil sahaja dan bukan untuk kaum lain. Bayangkan betapa tersesat umat Kristian, Isa Al Masih as sendiri mengatakan Allah swt mengutusnya semata-mata untuk bani Israil tetapi mubaligh-mubaligh Kristian bertebaran ke seluruh pelusuk dunia melaungkan kenyataan bahawa “Jesus Christ (Isa Al Masih) anak Tuhan, Dia hidup bersama Tuhan di langit dan Jesus Christ adalah Juru Selamat yang akan turun kembali ke bumi dan cintailah dia kerana dia sanggup mati di tiang salib bagi menebus dosa-dosa manusia”.

Mengenai konsep “Juruselamat” ini ada seorang anak sahabat penulis yang bersekolah rendah di Sabah. Oleh kerana ramai murid beragama Kristian dan guru yang mengajar beragama Kristian maka guru tersebut mengajarkan agar murid-muridnya berdoa kepada Jesus Christ (Isa Al Masih) untuk memohon keselamatan. Anak sahabat penulis yang beragama Islam dan berfikiran bersih serta sederhana ini mengatakan kepada gurunya “bagaimana Jesus Christ yang dianggap Tuhan ini mampu memberi keselamatan kepada orang lain jika beliau sendiri tidak dapat menyelamatkan dirinya daripada disalib?” Pertanyaan ini lahir dari seorang anak yang masih bersekolah rendah sahaja yang tidak memiliki akal yang panjang tetapi disebabkan fitratnya yang bersih dapat melahirkan satu pertanyaan yang mampu menggoncangkan dunia Kristian.

Jika ada ulama yang mengatakan bahawa haram membaca kitab Injil, fikirkan kembali kenyataan tersebut. Tanpa membaca dan mentelaah kitab Injil adalah mustahil bagi seseorang untuk menguasai ajaran agama Kristian. Ingat betul-betul, Al Qur’an jauh lebih unggul daripada Injil, Al Qur’an bukan sahaja kitab Allah tetapi adalah firman-firman langsung daripada Allah swt, sedangkan Injil adalah kitab Allah tetapi sudah dinodai campurtangan manusia, perbezaannya ibarat syurga dan neraka. Apakah seseorang yang melihat neraka, mereka berkeinginan untuk melompat ke dalam neraka? Demikianlah perumpamaan jika seorang Islam membandingkan Al Qur’an dan Kitab Injil. Meskipun begitu perlu diperingatkan bahawa umat Islam harus menyampaikan tabligh dengan penuh bijaksana kepada penganut agama Kristian, gunakan dalil dari kitab mereka.

Nabi Muhammad saw Di Dalam Kitab Injil

Umat Kristian juga sering menafikan nubuatan mengenai Nabi Muhammad saw di dalam Injil. Ini adalah kerana mereka tidak faham bahasa-bahasa langit yang memerlukan penafsiran. Allah berfirman kepada nabi Musa as: “Seorang nabi akan Ku bangkitkan bagi mereka dari antara  saudara mereka, seperti Engkau ini; Aku akan menaruh firmanKu ke dalam mulutnya, dan ia akan mengatakan kepada mereka segala yang Ku perintahkan kepadanya” ( Ulangan 18:18). Paderi-paderi Kristian mengatakan ayat ini merujuk kepada Isa Al Masih as kerana mereka percaya Isa Al Masih adalah Nabi yang terakhir dan tidak percaya bahawa ada lagi Nabi sesudah Isa Al Masih as. Atas dasar itu, mereka menolak ayat Ulangan 18:18 sebagai merujuk kepada Nabi Muhammad saw. Padahal ayat itu memang merujuk kepada Nabi Muhammad saw dan bukan merujuk kepada Isa Al Masih as. Perkataan “seperti Engkau ini” adalah merujuk kepada Rasul yang sama seperti nabi Musa as. Isa Al Masih as tidak menyamai nabi Musa as kerana Isa Al Masih as sendiri mengakui kedatangannya tidak membawa syariat baru tetapi hanya sebagai penerus syariat sahaja. Sedangkan Nabi Muhammad saw menyamai nabi Musa as kerana kedua-dua mereka membawa kitab syariat iaitu nabi Musa as membawa kitab Taurat dan Nabi Muhammad saw membawa kitab Al Qur’an.

Perkataan “Seorang nabi akan Ku bangkitkan bagi mereka dari antara  saudara mereka”, bermaksud nabi yang dijanjikan dalam ayat ini adalah dari kalangan saudara bani Israil. Hal ini merujuk kepada saudara nabi Ishak as iaitu nabi Ismail as. Kedua-dua nabi ini adalah dari keturunan nabi Ibrahim as iaitu nabi Ishak adalah putera hasil perkahwinan nabi Ibrahim as dengan Sarah yang kemudiannya melahirkan bani Israil manakala nabi Ismail as adalah putera nabi Ibrahim as dengan isterinya bernama Hajar. Keturunan nabi Ismail as yang melahirkan bangsa Arab dan Nabi Muhammad saw lahir daripada jalur keturunan ini. Seperkara lagi yang menarik untuk membuktikan bahawa Isa Al Masih as juga mengakui ajarannya hanya meneruskan syariat nabi Musa as dan bersifat sementara. Isa Al Masih as juga mengisyaratkan akan datang seorang nabi yang akan membawa ajaran yang lebih lengkap, hal ini tertulis dalam Injil, “Banyak lagi perkara yang ku hendak katakan kepadamu tetapi sekarang ini tiada dapat kamu menanggungnya. Akan tetapi apabila ia datang, yaitu roh kebenaran, maka ia pun akan membawa kamu kepada segala kebenaran kerana tiada ia berkata-kata dengan kehendaknya sendiri, melainkan barang yang didengarnya itu juga akan dikatakan dan dikhabarkannya kepadamu segala perkara yang akan datang” (Yohanes 16:12-13).

Berdasarkan kepada ucapan Isa Al Masih as di dalam Injil iaitu “tiada ia berkata-kata dengan kehendaknya sendiri, melainkan barang yang didengarnya itu juga akan dikatakan dan dikhabarkannya kepadamu.” Kata-kata Isa Al Masih as ini selari dengan kenyataan Al Qur’an mengenai Nabi Muhammad saw, “Ucapannya tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)” (An Najm : 5). Persamaan ini bukan kebetulan tetapi rencana Allah swt bagi memberi khabar-khabar gembira melalui kitab-kitab suci terdahulu agar umat manusia dapat mengambil manfaatnya. Inilah sifat Allah swt atau sunnatullah yang sentiasa memberi khabar gembira kepada umat manusia dengan mengirim utusan-utusanNya untuk membimbing mereka. Malah dalam Ulangan 33:2 terdapat satu lagi bukti bahawa Injil memberi nubuatan mengenai kedatangan nabi Agung iaitu Nabi Muhammad saw. Sekali lagi, ayat-ayat ini memerlukan penafsiran yang teliti dan jika dibaca sekilas pandang ayat-ayat ini seolah-olah tiada ertinya sama sekali, “Maka berkatalah ia: Tuhan telah datang dari Sinai dan terbit kepada mereka itu dari Seir; Ia tampak bersinar dari pergunungan Paran dan ia datang dengan sepuluh ribu orang-orang kudus lalu hampir dari Bukit Kades maka pada kanannya adalah tiang api” (Ulangan 33:2).

Dalam kitab Injil dikenali sebagai Al Kitab terbitan Lembaga Al Kitab Indonesia perkataan, “ia datang dengan sepuluh ribu orang-orang kudus” telah dipadamkan tetapi dalam Injil bahasa Inggeris yang dikenali sebagai Holy Bible [Authorised King James Version, Deuteronomy Chapter 33 verse 2] masih ada perkataan “and he came with ten thousands of saints. Nubuatan di dalam Injil ini telah disempurnakan oleh Nabi Muhammad saw semasa peristiwa Fatah Mekah, Baginda saw bersama sepuluh ribu orang pengikutnya telah masuk ke kota Mekah membawa kemenangan Islam. Gunung Paran dalam bahasa Arab adalah Faran iaitu merujuk kepada nama-nama bukit yang terletak di antara kota Mekah dan Madinah. Dalam The Holy Bible, tiang api diterjemahkan sebagai fiery law yang bererti syariat yang bagai api. Tidak boleh dinafikan lagi bahawa syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw adalah Al Qur’an yang berupa api yang menerangi kegelapan rohani masyarakat jahiliyah dan membakar serta menghanguskan segala amalan keburukan dan kejahatan. Umat Kristian berusaha dengan sedaya upaya menafikan dalil-dalil ini dan tidak mempercayai penafsiran-penafsiran ini, padahal ianya amat jelas membuktikan Injil mengakui kedatangan seorang nabi yang akan membawa syariat baru yang lebih lengkap dan sempurna. Kedegilan umat Kristian mendorong mereka menolak penafsiran ini kerana mereka memiliki akidah dan iktikad bahawa tiada nabi selepas Isa Al Masih as dan Isa Al Masih as adalah Anak Tuhan dan jelmaan Tuhan, tiada sesiapa yang boleh menandingi kemuliaan dan kesucian Isa Al Masih as. Permasalahan ini membuktikan bahawa penerimaan sesuatu kebenaran adalah kurnia Allah swt, walaupun semua dalil-dalil kebenaran sudah ada di depan mata tetapi mereka tetap menolaknya.

Umat Islam juga harus berhati-hati dengan nubuatan mengenai Imam Mahdi yang disabdakan oleh Nabi Muhammad saw sebagai utusan dari Allah swt di akhir zaman. Berdasarkan permasalahan penafsiran yang dibincangkan di atas adalah tidak hairan jika umat Islam juga akan menolak kedatangan Imam Mahdi sama seperti umat Kristian yang menolak Nabi Muhammad saw kerana tidak memahami Al Qur’an dan Hadis yang kadang kala memerlukan penafsiran yang teliti. Yang pasti kedatangan Imam Mahdi adalah sebagai penerus syariat Rasulullah saw sama seperti Isa Al Masih as penerus syariat nabi Musa as dan beliau tidak membawa syariat baru. Allah swt akan mengutus Imam Mahdi di zaman sains dan teknologi yang amat maju kerana dengan bidang sains dan teknologi yang ampuh dakwah Islamiyah dapat disampaikan dengan berkesan bagi mematahkan salib atau membongkar kepalsuan agama Kristian yang telah mengakar kuat di benua Eropah dan kemudian bercambah di seluruh pelusuk dunia. Allah swt tidak akan membiarkan kejayaan perjuangan Nabi Muhammad saw dan para pengikutnya punah, Allah swt memberi jaminan dan khabar suka bahawa apa yang diperjuangkan oleh Rasulullah saw mengenai, “Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah swt dan Nabi  Muhammad Adalah Pesuruh Allah” akan diteruskan oleh Imam Mahdi as. Benarlah sabda Nabi Muhammad saw bahawa salah satu tugas Imam Mahdi adalah mematahkan salib iaitu  membongkar kepalsuan dan kesesatan ajaran Kristian yang mempercayai Isa Al Masih as wafat di tiang salib sebagai penebus dosa umat manusia. Pada abad ini di mana kemajuan media massa seperti bidang penyiaran dan internet akan memudahkan proses dakwah Islam untuk menembusi seluruh pelusuk tempat hinggalah ke bilik tidur. Kekuatan ini yang menggoncang dunia Kristian sehingga masyarakat dunia akan melihat sendiri kerapuhan tiang salib yang dipercayai oleh penganut agama Kristian.

Jangan Mengundang Padah

Majoriti umat Islam disebabkan diwar-warkan oleh para ulama, mempunyai keyakinan sama seperti umat Kristian. Kini timbul pula persoalan dan perdebatan sesama para ulama kerana beberapa ulama tersohor percaya malahan dapat membuktikan dengan berdasarkan kepada Al Qur’an dan hadis Rasulullah saw bahawa Nabi Allah Isa as (Isa Al Masih) tidak ada di langit sepertimana telah dibahas dalam bab “Isa Al Masih – Dari Palestin Ke Kashmir.” Sekali lagi diulang, kebanyakan para ulama percaya bahawa Isa Al Masih as masih hidup di langit dan akan turun ke bumi bergabung dengan Imam Mahdi bagi memenangkan Islam. Malangnya, pendapat ini hampir menyamai agama Kristian kerana mereka juga mempercayai Isa Al Masih as sebagai anak Tuhan yang masih hidup di langit dan akan turun ke bumi tetapi bagi memenangkan agama Kristian. Kepercayaan inilah mengundang padah yang merugikan umat Islam kerana dengan amat mudah paderi-paderi Kristian memesongkan dan mempengaruhi para pemuda-pemudi Islam yang cetek keislamannya agar mereka memeluk agama Kristian. Paderi hanya dengan mangatakan, “Nabi kamu sudah  mati dan nabi kami masih hidup di langit dan kamupun menunggu nabi kami (Isa Al Masih), untuk apa tunggu lama-lama? Akhirnya kalau nabi kami turun semua orang Islam akan ikut dia juga, lebih baik masuk Kristian sekarang”. Sungguh logik bukan? Wahai umat Islam sedarlah tidak ada untungnya dengan mempercayai bahawa Isa Al Masih as masih hidup di langit... sebaliknya amat merugikan umat Islam.

Persoalan ini mengakibatkan masyarakat Islam menjadi bingung memikirkan yang mana satu pendapat yang betul? Masalah yang timbul di kalangan umat Islam sekiranya mereka mempercayai Isa Al Masih as masih hidup, para mubaligh Kristian akan mudah memikat hati mereka untuk memeluk agama Kristian. Mereka akan berkata, “agama kamu mempercayai bahawa Isa Al Masih masih hidup di langit dan akan turun ke bumi, ini bermakna Isa Al Masih lebih mulia daripada Nabi Muhammad yang sudah mati, lebih baik kamu memeluk agama Kristian.” Sesiapa yang berpendapat bahawa berdasarkan kepada Injil dan Al Qur’an, Isa Al Masih as tidak wafat di tiang salib tetapi wafat seperti biasa selepas peristiwa penyaliban dan tidak diangkat ke langit dengan jasad atau tubuh kasarnya bermakna orang tersebut telah berjaya “mematahkan salib”. Pendapat seperti ini membuktikan bahawa konsep penebusan dosa dan Isa Al Masih as sebagai anak Tuhan juga adalah palsu. Sesungguhnya Injil dan Al Qur’an adalah seiring dan selari dalam menjelaskan bahawa Isa Al Masih as tidak mati atas tiang salib.

Apa yang dikesalkan ialah ada golongan umat Islam yang begitu cepat melatah dan terus mengkafir dan menyesatkan pihak lain apabila pandangan seumpama ini diketengahkan. Lebih membimbangkan lagi mereka sama sekali tidak mahu berkompromi dalam perkara ini seolah-olah kefahaman mengenai kewafatan Isa Al Masih as akan menjejaskan akidah mereka sebagai seorang Islam sedangkan para lama yang berpendapat Isa Al Masih as telah wafat adalah berdasarkan Al Qur’an dan sabda-sabda suci Nabi Muhammad saw.

Galilah Ilmu Agama

Berdasarkan keterangan di atas telah terbukti bahawa bahasa-bahasa langit memerlukan pengkajian yang mendalam dan kemalasan untuk melakukan penyelidikan menyebabkan umat Islam akan menjadi seperti umat Yahudi, Nasrani atau masyarakat Jahiliyah yang terlalu bergantung atau mempercayai fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh ketua-ketua agama mereka sahaja. Sesuai dengan seminar, “Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam (2001)”, terdapat satu pandangan yang mampu memberikan gambaran mengenai keparahan minda sesetengah umat Islam di negara ini. Prof Dato’ Dr Abdul Rahman Embong mengatakan, “Umat Melayu Islam dituntut menerima apa yang dihujahkan oleh pendakwah dan ulama tanpa  mempersoalkannya, maka dari segi pemikiran, masyarakat Melayu Islam hari demi hari terus menjadi   penurut dan pematuh, suatu  kelompok yang tidak berani berfikir di luar acuan dan parameter yang telah ditafsirkan, kerana jika mereka berbuat demikian, mereka akan dipandang serong, dikenakan pelbagai label dan bahkan dipulau.”  Pendapat ini bukan sahaja menepati keadaan umat Islam di Malaysia malahan tepat tertuju kepada majoriti umat Islam sedunia.

Amat merugikan umat Islam yang malas membaca dan mendalami agama serta mengambil sikap “lepas tangan” kerana akhirnya mereka akan menjadi “pak turut” atau “kera” yang suka meniru gelagat pihak lain.  Umat Islam perlu rajin membaca dan mendalami agama dan hasrat ini dapat dijayakan jika mereka memiliki keinginan untuk mula berdakwah. Proses dakwah tidak akan terjadi jika umat Islam di negara ini masih memiliki pola pemikiran yang beranggapan biarlah orang kafir masuk neraka atau menganggap bahawa semua penganut agama lain akan masuk neraka. Ingatlah semua manusia adalah ciptaan Allah swt Yang Maha Pengasih dan Penyayang serta Bijaksana, Dia mewujudkan penganut agama lain adalah untuk memberi peluang kepada umat Islam untuk berbuat kebaikan. Amat besar pahalanya jika kita berjaya menyampaikan dakwah dan penganut agama lain memeluk Islam hasil dakwah tersebut. Malangnya, sebahagian umat Islam bukan sahaja kurang berkeinginan menyebarkan agama Islam kepada penganut agama lain malah memperlihatkan sikap yang kasar dan keras terhadap mereka. Alasan mereka di dalam Al Qur’an terdapat perintah agar umat Islam bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir. Persoalannya apakah benar begitu? Yang jelas tindakan ini telah memberi imej yang sangat buruk terhadap Islam dan sudah tentu Allah swt tidak suka perbuatan tersebut kerana mereka telah mencemari keindahan agama Islam. Definisi Islam itu sendiri menggambarkan keluhuran, keselamatan, tolak ansur dan ringkasnya segala sifat baik terkandung di dalamnya. 

Alhamdulillah, sirah Rasulullah saw dapat menjawab dan memperjelaskan maksud sebenar perintah tersebut. Buktinya, Rasulullah saw banyak memberikan contoh dan memperlihatkan sikap hormat, santun dan sangat lemah lembut dengan orang-orang kafir. Selepas Fatah Mekah, ada delegasi orang kafir Banu Tsaqif dari Taif datang ke Mekah. Baginda saw membina khemah di dalam masjid sebagai tempat orang-orang kafir itu untuk bermalam. Datang para sahabat ra mengingatkan kepada Baginda saw untuk melarang orang-orang kafir tidur di masjid kerana orang musyrik itu najis mengikut firman Allah swt. Rasulullah saw menerangkan maksud sebenar ayat suci Al Qur’an Innamal musyrikuuna najasun” itu merujuk kepada kekotoran hati dan bukan kekotoran tubuh badan. Renungkanlah, ada di antara sahabat Baginda saw yang fasih berbahasa Arab dan tinggal bersama-sama Rasulullah saw juga tidak dapat memahami dengan baik ayat-ayat suci Al Qur’an. Bayangkan umat Islam pada hari ini yang berada lebih 1400 tahun jauhnya dan sudah tentu lebih parah di dalam memahami dan mengerti rahsia-rahsia suci yang terdapat di dalam Al Qur’an apalagi jika mereka bergantung kepada penafsiran tokoh-tokoh agama sahaja tanpa memikir dan merenung serta merujuk kepada Al Qur’an dan Sunnah Nabi Muhammad saw.


No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...