NABI MUHAMMAD
SAW DALAM KITAB AGAMA SAMAWI
Dalam konteks agama samawi
hanya akan dibahas tiga agama yang masih mempunyai pengaruh besar hingga ke
hari ini iaitu agama Hindu, Buddha, Kristian dan Yahudi. Ketiga-tiga agama ini
memainkan peranan penting dalam menubuatkan kedatangan seorang guru dunia akhir
zaman iaitu nabi Muhammad Mustafa saw. Apabila terdapat nubuatan, secara
logiknya para penganut agama-agama berkenaan wajib menerima ajaran yang
disampaikan oleh guru dunia tersebut. Di atas bahu umat Islam terletak tanggungjawab
untuk menyempurnakan tugas-tugas Rasulullah saw iaitu menyampaikan ajaran Islam
dengan penuh hikmah kepada semua penganut agama yang hanya pernah mendengar
tetapi belum mengenal ajaran Islam yang sebenar. Sikap di kalangan umat Islam
yang selama ini penuh prejudis dan kebencian terhadap penganut agama lain
disebabkan mereka bukan beragama Islam perlu dihakis dari hati sanubari setiap
insan muslim. Agama Islam tidak mungkin berkembang jika dalam diri Raslullah
saw dan para sahabat tertanam sifat prejudis dan benci terhadap mereka yang
dianggap golongan kafir dan memusuhi Islam. Rasulullah saw bersama para sahabat
terus berjihad dengan penuh kesabaran menyebarkan agama Islam meskipun mereka
sentiasa berada dalam situasi yang merugikan. Nilai-nilai seperti inilah yang
telah hilang lenyap dari kalangan umat Islam, seolah-olah agama Islam hanya
untuk orang Islam. Setiap mentaliti individu muslim perlu berubah dan tunaikan
kewajipan untuk memberi kesedaran kepada penganut agama lain bahawa ajaran
sebenar agama mereka ibaratkan satu jambatan yang telah dibina dengan bagitu
kukuh yang perlu mereka lalui untuk sampai ke destinasi yang mereka impikan
iaitu satu kehidupan yang selamat di dunia dan akhirat. Mesej inilah yang perlu
disampaikan kepada mereka yang masih berada di luar lingkungan agama Islam
bahawa keselamatan yang mereka dambakan hanya dapat dihidangkan oleh agama
Islam. Kemenangan Islam di abad ini tidak terletak pada kemampuan senjata dan
militari tetapi kemenangan Islam hanya akan sempurna apabila majoriti penduduk
dunia menerima Islam.
Rasul Diutus
Kepada Setiap Umat
Di samping agama Islam, semua
agama-agama besar dunia seperti Hindu, Buddha, Kristian dan Yahudi pada asalnya
dari sumber yang satu yakni dari Allah swt. Tidak ada satu umatpun di muka bumi
ini tidak pernah menerima utusan dari Allah swt untuk membimbing mereka agar
hidup beradab dan menyembah serta mentauhidkan Allah swt Yang Maha Esa.
Agama-agama sebelum Islam adalah terbatas kepada kaum dan tempat yang tertentu
sahaja, ajarannya mengikut kemampuan berfikir atau sesuai dengan tahap kemajuan
tamadun kehidupan yang dicapai oleh kaum
berkenaan. Allah swt berfirman, “Dan untuk setiap umat ada seorang rasul..”
(Yunus : 48), “... dan tiada sesuatu kaumpun melainkan seorang Pemberi Peringatan telah berlalu...”
(Al Fathir : 25), “Dan sesungguhnya telah Kami bangkitkan dalam setiap umat
seorang rasul...” (An Nahl : 37), “Dan (Kami telah mengutus) para Utusan, yang
sebelumnya telah Kami kisahkan kepada engkau, dan para Utusan yang tak Kami kisahkan kepada engkau” (An Nisa: 165).
Pada akhir ayat ini Allah swt menekankan, “Para Utusan, mereka pembawa kabar
baik dan memberi peringatan, agar manusia tak mempunyai alasan untuk menentang
Allah setelah (datangnya) para Utusan. Dan Allah Maha-perkasa, Maha-bijaksana”
(An Nisa: 166).
Ini bermakna di merata tempat
muka bumi ini pernah didatangi utusan Tuhan termasuklah benua Amerika dan
Eropah. Oleh sebab itu tidak hairanlah Rasulullah saw pernah memberitahu
umatnya bahawa Allah swt telah mengutus seramai 124,000 nabi. Namun melalui
perjalanan masa yang begitu panjang, ajaran benar yang dibawa oleh para nabi
sebelum Rasulullah saw telah mengalami eksploitasi dan interpolasi tangan
manusia yang tidak bertanggungjawab. Akibatnya ajaran yang mentauhidkan Allah
swt telah menyimpang jauh sehingga ada yang tergamak merubah ajaran agama agar
manusia mempercayai bahawa Allah swt mempunyai seorang anak dan anak tersebut
telah diangkat ke langit dan masih hidup meskipun usianya sudah menjangkau
lebih 2,000 tahun, ini adalah tuduhan dan fitnah melulu terhadap Allah swt Yang
Maha Perkasa (nauzubilah minzalik).
Al Qur’an
Kitab Bagi Seluruh Umat Manusia
Setelah tamadun kehidupan
manusia sampai ke satu tahap dan sudah cukup mampu mengadaptasi kehidupan
beragama yang selengkapnya, maka kitab suci Al Qur’an membawa ajaran sempurna
bagi sepanjang zaman untuk seluruh umat manusia diturunkan melalui Rasulullah
saw. Allah swt Yang Maha Mengetahui memberi jaminan bahawa ajaran yang
terkandung dalam Al Qur’an tidak akan pernah mengalami nasib yang sama seperti
kitab agama lain. Allah swt berfirman, “Sesungguhnya Kamilah yang telah
menurunkan peringatan ini dan sesungguhnya Kamilah Pemeliharanya” (Al Hijr:
10). Sesuai dengan janji Allah swt ini, amatlah jelas di mana Al Qur’an
tidak akan mengalami perubahan walau setitikpun. Kitab-kitab terdahulu yang
pernah diturunkan kepada rasul-rasul sebelumnya tidak diberi jaminan
sepertimana Al Qur’an. Lantaran perubahan zaman berserta kemajuan yang
diberikan Allah swt kepada umat manusia yang majoritinya tidak bersyukur
malahan lebih cenderung untuk ingkar, maka Al Qur’an diturunkan bagi memenuhi
beberapa keperluan:
Ajaran-ajaran
yang terkandung dalam kitab-kitab sebelum Al Qur’an telah mengalami campur
tangan manusia.
Manusia
di atas rencana Allah swt pasti mengalami evolusi pemikiran yang lebih maju.
Oleh itu Al Qur’an sebuah kitab yang dapat mencakupi keadaan perubahan
diperlukan.
Agama-agama
sebelum Islam dan kitab-kitab sebelum Al Qur’an tidak mendakwakan dirinya
sebagai agama dan kitab terakhir serta mutlak. Di samping itu pula semua
kitab-kitab sebelum Al Qur’an telah meyakinkan para pengikutnya tentang satu
ajaran yang akan membawa mereka kepada tujuan sebenar penciptaan mereka.
Umat Islam hendaknya sedar
tanggungjawab amat besar yang wajib disempurnakan ke atas pengikut-pengikut
agama samawi lain, di antaranya adalah agama Hindu, Budha, Kristian dan Yahudi.
Mereka adalah saudara rohani bagi umat Islam yang perlu dibawa keluar dari
kanca kegelapan kepada alam yang penuh cahaya keislaman. Untuk menarik seluruh
masyarakat dunia agar menerima Islam, tidak ada jalan lain, umat Islam wajib
mempamerkan keindahan Al Qur’an dan akhlak suci Rasulullah saw. Sikap seseorang
muslim membenci dan memusuhi umat lain sehingga sanggup membunuh atas dasar
mereka mempunyai fahaman berlainan dan bukan beragama Islam sesungguhnya
menyimpang dan bertentangan dengan Al Qur’an dan sunnah Nabi saw. Bertolak
ansur serta mengasihi orang lain yang dianggap tidak sealiran dengan fahaman
agama Islam merupakan jalan terbaik dalam mewujudkan suasana aman damai dalam
masyarakat. Tunjukkan bahawa Islam ialah agama yang mengajak penganutnya untuk
melakukan sesuatu dangan penuh berhemah, bersikap tolak ansur, lemah lembut dan
sayang menyayangi sesama manusia. Hal ini memberi kesempatan dan ruang yang
luas untuk orang lain berfikir dan merenung apa sebenarnya agama Islam. Ajak mereka agar berfikir tentang kedudukan
mereka sebagai hamba yang diciptakan. Usahakan supaya mereka tidak pernah
berpuas hati dan terus mencari cara mudah dan sempurna untuk mendekatkan diri kepada Tuhan sehingga
mereka akur bahawa agama Islam menyediakan segala sesuatu yang mereka cari dan
Islam adalah agama yang mereka perlukan selama ini. Seorang muslim tidak boleh membenci dan meletakkan kesalahan kepada
penganut sesebuah agama yang menyimpang dari ajaran sebenar, yang salah
bukannya mereka tetapi orang yang berhati kotor telah merubah ajaran suci yang
terkandung dalam kitab mereka, orang ini bergelar sami, paderi, orang suci,
ringkasnya itulah orang yang bergelar ulama. Perhatikan sahaja umat Islam
berpecah belah dalam pelbagai fahaman mazhab sedangkan Rasulullah saw membawa
satu agama dan satu kitab suci. Imam Hanafi, Imam Shafei, Imam Hanbali dan Imam
Malik tidak pernah mengajar umat Islam berfahaman mengikut mazhab, ini semuanya
perbuatan ulama. Lebih dahsyat lagi umat Islam yang mengaku sebagai pengikut
dari salah satu empat mazhab ini tergamak mengajar umat Islam untuk
mengkafirkan orang lain sehingga ke peringkat membunuh orang yang tidak
sealiran fahaman dengan mereka. Agama Islam tetap benar dan Al Qur’an juga
tetap tidak berubah hingga hari kiamat kerana itu adalah janji Allah swt tetapi
pada hakikatnya cara umat Islam mengamalkan ajaran Al Qur’an berbeza-beza,
semuanya mengaku dialah yang betul dalam pengamalan ajaran Islam. Akibatnya
majoriti umat Islam tidak faham tanggungjawab sebenar yang wajib mereka
laksanakan terhadap umat-umat lain dan implikasi sebaliknya ialah imej Islam
tercoreng, manakala umat lain jijik dan gerun dengan agama Islam. Siapa yang harus dipersalahkan?
Nubuatan
Tentang Kedatangan Nabi Agung Akhir Zaman
Rahsia
yang perlu didedahkan dan umat Islam wajib mengetahuinya ialah setiap agama
samawi menubuatkan kedatangan seorang nabi agung akhir zaman yang membawa keselamatan
kepada umat manusia. Khabar ghaib ini dipesongkan, ditutupi atau jika boleh
dipadamkan dari terus terkandung dalam kitab-kitab agama samawi oleh mereka
yang tidak bertanggungjawab. Namun apabila dapat difahami semua agama samawi
sumbernya daripada Allah swt jua maka dapatlah disimpulkan bahawa khabar ghaib
yang menjanjikan kedatangan seorang nabi agung akhir zaman untuk menyelamatkan
umat manusia adalah merujuk kepada nabi agung akhir zaman iaitu Muhammad
Mustafa saw. Oleh itu umat Islam wajib berlapang dada menerima hakikat bahawa
penganut agama samawi hari ini khasnya Hindu, Buddha, Kristian dan Yahudi
adalah pengikut dari agama yang benar pada asalnya disampaikan oleh utusan
Tuhan.
Nabi Muhammad
saw Dalam Kitab Suci Agama Hindu
Agama Hindu diakui sebagai
agama tertua dunia, apabila kitabnya diteliti dengan cermat maka terbuktilah
amat banyak nubuatan berkaitan seorang guru rohani agung akan lahir ke dunia.
Dalam kitab suci agama Hindu memaparkan:
“Hai
orang banyak, dengarlah ini dengan sungguh-sungguh, Narashangsa (Yang terpuji)
akan dibangkitkan di antara orang banyak. Kita mengambil orang Kauram
(Muhajirin) itu di dalam perlindungan kita dari 60,000 dan 90 musuh-musuh; yang
kenderaannya adalah 20 unta dan 2 unta betina, memiliki 12 orang istri, dan
naik ke langit dengan kenderaan tercepat (Bouraq)…” (Atharvaveda Kanda 20
Saukata 127, Mantra 1-2).
Keterangan:
Narashangsa bermakna Yang Terpuji
yang bahasa Arabnya sama dengan Muhammad.
Kauram bermakna hijrah iaitu
orang yang meninggalkan negerinya sendiri, dalam bahasa Arab ialah Muhajirin.
Rasulullah
saw dan pengikutnya ketika hijrah dari Mekah ke Madinah untuk menghindari
serangan kaum kafir Mekah yang berjumlah lebih kurang 60,000 orang dan 90
kepala suku. Rasulullah saw dan para sahabat yang hijrah ini dikenali sebagai Kaum
Muhajirin.
Kenderaan
Rasulullah saw adalah unta dan kuda.
Rasulullah
saw memiliki 12 orang isteri iaitu Hazrat Khadijah, Hazrat Saudah, Hazrat
Aisyah, Hazrat Hafsah, Hazrat Zainah, Hazrat Ummu Salamah, Hazrat Zainab,
Hazrat Juwairiah, Hazrat Raihanah, Hazrat Ummu Habibah, Hazrat Shafiah, dan
Hazrat Maimunah.
Ketika
melakukan Mi’raj dari Masjid Al-Aqsa di Palestin ke langit ke-7, Rasulullah saw
menaiki kenderaan bernama Bouraq yang merupakan kenderaan tercepat seperti
kilat.
“Tuhan
akan memberikan kepada Mamaha Rishi seratus keping emas, sepuluh kalung, tiga
ratus ekor kuda, dan 10,000 ekor sapi.” (Atharvaveda Kanda 20 Saukata 127,
Mantra 3).
Keterangan:
Kata
Mamaha dari sudut etimologis berasal dari bahasa Arab iaitu Muhammad yang berarti Yang Terpuji”,
Mamaha
Rishi adalah
julukan bagi Narashangsa yakni bermakna Yang Terpuji
Seratus
keping emas
maksudnya seratus orang pengikut Muhammad yang menyebarkan agama Allah
yang disebut Ash-Shabus Shuffah.
Sepuluh
kalung
maksudnya sepuluh orang pembantu yang selalu membantu Rasulullah
saw dalam peperangan yang disebut Asy-Syara
Mubasysyara.
Tiga
ratus ekor kuda
maksudnya tiga ratus tentera yang dipimpin Rasulullah saw ketika
menghadapi 700 tentera kafir Mekah dalam Perang Badar (H.G. Wells, The Outline
of History, 1949).
Sepuluh
ribu ekor
sapi maksudnya sepuluh ribu pengikut Rasulullah saw ketika memasuki kota
Mekah (630 M) dalam keadaan aman dan damai, yang dikenal dengan peristiwa
“Fathu Makkah” (Stanley Lane Poole, Speeches and Table Talks of the Prophet
Mohammed, 1882).
“Wahai
Tuhan, bersama dengan empat orang sahabat, aku akan menghancurkan kebatilan.”
(Kalki-Purana 2:5).
Keterangan:
Rasulullah
saw mempunyai empat orang sahabat yang terkenal dalam sejarah Islam
dikenali sebagai Khulafa Rasyidin iaitu Hazrat Abu Bakar ash-Shidiq, Hazrat
Umar bin Khatab, Hazrat Uthman bin Affan dan Hazrat Ali bin Abu Thalib.
“Kalki
Avatar akan dilahirkan di kota Shambal, ibunya bernama Sumati, bersama empat
orang temannya akan mengalahkan kali (setan/kebatilan)….Dia akan dibantu oleh
para malaikat di medan pertempuran.” (Kalki-Purana 2:4-7).
“Ayahnya
bernama Vishnu-Yash.” (Bhagabat-Purana 12:2:18).
“Dia
lahir pada hari ke-12 yang cerah, pada pertengahan bulan Madhav.” (Kalki-Purana
2:15).
Keterangan:
Kalki
Avatar
bermaksud utusan terakhir (yang membawa syariat terakhir). Secara
terperincinya Av ertinya turun dan tar ertinya melewati.
Erti secara keseluruhan bagi Kalki Avatar (di baca Kalki Autar) adalah utusan
terakhir, gelaran ini sememangnya sesuai untuk Rasulullah saw sebagai Khatamannabiyyin.
Shambal bererti rumah perdamaian
dan keamanan di mana Rasulullah saw
dilahirkan di kota Mekah yang dikenal dalam bahasa Arab sebagai Darul Aman.
Ibunya
bernama Sumati yang
bermaksud lemah lembut dan cerdas. Ibunda Rasulullah saw bernama Aminah
yang juga bererti lemah lembut.
Empat
orang temannya
adalah Hazrat Abu Bakar, Hazrat Umar, Hazrat Uthman dan Hazrat Ali.
Kalki
Avatar dibantu oleh para malaikat di medan pertempuran. Rasulullah saw dibantu oleh para
malaikat dalam Perang Badar (Al Imran: 123-125) dan dalam Perang Khandaq (Al
Ahazab: 10).
Ayahnya
bernama “Vishnu-Yash”
yang bererti Hamba Tuhan (Vishnu = Tuhan). Ayahanda Rasulullah saw
bernama Abdullah yang juga bererti Hamba Allah/Tuhan.
Kalki
Avatar lahir pada hari ke-12 pada pertengahan bulan Madhav. Rasulullah saw sememangnya
lahir pada hari ke-12 iaitu tanggal 12 Rabiul Awwal Tahun Gajah (Sebelum
Hijrah).
Ramalan
Khusus Dalam Kitab Bhavishya Purana
Sikap majoriti umat Hindu
adalah lebih cenderung mencemuh umat Islam sebagai umat yang tidak ada kelas.
Namun orang suci mereka dan kitab suci Veda dan Purana berbuat sebaliknya,
dengan rasa hormat yang tinggi bercerita tentang seorang nabi dari umat Islam.
Seorang suci dan peramal terkemuka dari agama Hindu bernama Maha Rishi Vyasa
telah mengumpulkan salah satu kitab suci agama Hindu bernama Bhavishya Purana
yang mengandungi ramalan tentang Rasulullah saw.
"Seorang
guru rohani akan datang dari negeri asing. Muhammad (Muhammad) adalah namanya.
Raja, memandikan orang Arab yang ditemani malaikat ini dengan air suci dari
Gangga dan lima cairan yang mensucikan (panchgavya), memujanya dengan penuh
keimanan dan pengabdian, dan berkata: Saya membungkuk di hadapanmu, wahai Anda
yang menjadi Kebanggaan dari Umat Manusia (namaste girijanath), engkau yang
penghuni gurun pasir (marusthalnivasnam), yang memberikan kekuatan yang banyak
sekali untuk menyembelih Setan; yang telah dijaga dari musuh-musuhmu yang
jahat. Wahai engkau manifestasi dari Dzat Yang Maha-unggul! terimalah saya
sebagai hamba-sahayamu, sebagai seorang yang jatuh di telapak kakimu"
(Buku 3, bab 3, hymne 3, ayat 5 hingga 8).
Dalam ayat-ayat di atas, Maha
Rishi telah menggambarkan suatu hal yang bukan peristiwa nyata melainkan suatu
rukyah di mana Tuhan Yang Maha Tinggi telah menunjukkan kepadanya, ribuan tahun
sebelumnya, dalam penghormatan kepada suatu peristiwa besar yakni kedatangan
seorang Nabi Dunia, Guru Rohani agung dari ras manusia. Maha Rishi kemudian
melanjutkan dengan menggambarkan secara bertulis para sahabat dari Guru Rohani
agung yang dimaksudkan, dia menulis:
Para
pengikut Muhammad akan mengutamakan khitan (lingchhedi); memelihara janggut di dagu mereka (samashrudhari); tak
ada kuncir di rambut mereka (shikhaheena); dan melakukan suatu revolusi yang
luar biasa dalam dunia agama.
Keyakinan
mereka bukanlah perkara yang disembunyikan malahan ianya akan diserukan dengan
lantang (oonchalapi) dari menara setiap masjid.
Kecuali
babi (vina keulam), mereka akan makan semua binatang lain yang toyib dan halal
(sarvbhakshi).
Kaum
Hindu menggunakan rumput (kusha) dalam kurban sebagai suatu faktor pensucian
tetapi orang-orang ini akan mensucikan diri mereka melalui peperangan.
Mereka
akan disebut Musalman (Musalwants) sebab mereka akan berperang melawan agama
yang rosak dan tercemar (dharmdooshkah).
Dari
Akulah agama orang-orang pemakan daging ini yakni ianya akan merupakan suatu
agama yang diilhamkan dari Tuhan.
Nabi Muhammad
saw Dalam Kitab Suci Agama
Buddha
Agama Buddha boleh
dikategorikan sebagai salah satu agama tertua yang berasal dari India dan lebih
tepat lagi dari wilayah yang pada masa ini dikenali sebagai Nepal. Sejarah
agama Buddha ini bermula lebih kurang abad ke 6 sebelum Masihi. Pengasas agama
Buddha ialah seseorang yang dipercayai putera raja yang bernama Siddhartha
Gautama yang dikenal sebagai Gautama Buddha. Beliau dilahirkan di kota
Kapilavastu, Nepal sekitar 2400 tahun yang lalu. Ayahnya bernama Sudhodana
adalah dari dinasti Sakya iaitu seorang raja dan ibunya bernama Maya Dewi.
Silsilahnya mencapai Kshatrya Rishi Gautama yang terkenal, kerana itu Buddha
dipanggil sebagai Sakya Muni Gautama atau Sakya Singha. Setiap aliran Buddha
berpegang kepada kitab yang diberi nama Tripitaka. Dalam kitab ini mengandungi sabda
dan ajaran Gautama Buddha. Pengikut-pengikutnya kemudian menulis dan
mengklasifikasikan ajarannya dalam 3 buku iaitu Sutta Pitaka (khotbah-khotbah), Vinaya Pitaka (peraturan atau tata tertib
para bhikkhu) dan Abhidhamma Pitaka (ajaran hukum metafizika dan
psikologi).
Gautama Buddha meramalkan
tentang kedatangan seorang Buddha (Buddha untuk masa akan datang) yang sama
sepertinya dikenali sebagai Maitreya Buddha. Ramalan ini amat mudah
difahami iaitu sesudah Gautama Buddha tidak ada lagi pemimpin agama muncul ke
dunia selain Isa Al Masih dan Nabi Muhammad saw. Meskipun demikian, ramalan
tersebut hanya tertuju kepada satu orang sahaja. Namun apa yang menarik ialah
Isa Al Masih telah mengeluarkan kenyataan yang mana secara tidak langsung menjelaskan
bahawa dia sendiri tidak dimaksudkan oleh ramalan itu. Isa Al Masih bersabda
tentang roh kebenaran yang akan membimbing umat manusia kepada seluruh kebenaran, “Tetapi apabila
ia datang, iaitu Roh Kebenaran, ia akan memimpin kamu ke dalam seluruh
kebenaran; sebab ia tidak akan berkata-kata dari dirinya sendiri, tetapi segala
sesuatu yang didengarnya itulah yang akan dikatakannya dan ia akan memberitakan
kepadamu hal-hal yang akan datang” (Yohanes 16:13). Apabila dicari jawapan
kepada kebenaran yang disabdakan oleh Isa Al Masih ini, tidak seorangpun yang
muncul ke dunia kecuali Nabi Suci Muhammad saw.
Siapa Buddha?
Siapa Maitreya?
Ada dua perkataan yang amat
penting perlu dibahas maknanya terlebih dahulu iaitu Buddha dan Maitreya,
kedua-dua perkataan ini berasal dari bahasa Sanskrit. Dalam bahasa Sanskrit
Buddha bererti seorang yang bangkit, terbangun, cerdas, pandai, bijaksana
dan sebagainya. Dalam erti kata lain Buddha adalah gelaran membawa maksud
seorang lelaki sempurna yang telah mencapai ilmu kebenaran dan ketulusan atau
ringkasnya seseorang yang telah keluar dari kegelapan dunia kepada cahaya.
Ungkapan Buddha ini juga dapat dikaitkan asal katanya dari kata bahasa Arab
iaitu Bath, Ba’atha dan Taba’ath yang bererti dia membangkitkannya, menarik
hatinya, atau meletakkan dia dalam gerakan atau tindakan. Baethun dan Beath
bererti seorang lelaki yang mana kegelisahan atau kesedihannya membangunkannya
dari tidur. Dalam hal ini Al Qur’an menjelaskan tentang Rasulullah saw, “Dia
ialah Yang membangkitkan (ba’atsa) di kalangan bangsa Ummi seorang Utusan di
antara mereka, yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya dan mensucikan
mereka, dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah, walaupun mereka
benar-benar dalam kesesatan yang terang” (Al Jum‘ah: 3). Oleh itu
kesimpulannya menurut terminologi, perkataan Buddha adalah gelaran bagi orang
yang telah mencapai kondisi keluar dari kegelapan kepada cahaya dan juga
menyeru serta mengajak orang lain agar keluar dari kegelapan yang sama. Oleh
itu Buddha bukanlah gelaran kepada satu orang sahaja, pada hakikatnya selepas
satu Buddha meninggal dunia maka akan ada pula orang lain bergelar Buddha.
Maitreya juga
berasal dari bahasa Sanskrit ianya banyak ditemui dalam buku-buku berkaitan
dengan Buddhisme, perkataan ini berubah sedikit demi sedikit dari segi sebutan
mengikut kesesuaian loghat bahasa pelbagai negara. Dalam bahasa Sinhali Maitreya disebut Maitri,
dalam Siami disebut Phrae, dalam bahasa Cina disebut Mei-ta-li-ye, dalam bahasa
Tibet disebut Mahitreja, dalam bahasa Jepun disebut Miroku, dalam bahasa Mongolia disebut Maidari dan
demikian juga seterusnya dalam bahasa lain yang tidak dapat disebutkan di sini.
Disebabkan sebutan Maitreya berubah sedikit demi sedikit maka maknanya juga
mengalami keadaan yang serupa, antara lain adalah seperti berikut:
Maitreya
dalam bahasa Sanskrit bererti mencintai dengan penuh kehangatan, penyayang dan
pemurah.
Nilai
persahabatan, pemurah, kasih yang hangat, persaudaraan antara bangsa, simpati,
penuh perhatian kepada yang lain (Pali Dictionary oleh William Steade).
Dia
yang namanya adalah kebaikan (The Gospel of Buddha oleh Paul Carus, hal. 218).
Kasih
sayang universal atau pemurah (Essence of Buddhism, halaman 101, 105).
Dalam erti kata lain Maitreya
menceritakan sifat-sifat baik seseorang, semuanya tertuju kepada akhlak murni
seorang utusan Tuhan seperti Rasulullah saw sebagai Rahmatan lil’alamin.
Nubuatan
Terkenal Dari Gautama Buddha – Rahmat Untuk Seluruh Ummah
Gautama Buddha telah
meramalkan kedatangan seorang “Maitreya” dan nubuatan itu begitu agung sehingga
beberapa mubaligh Kristian, pandit Hindu dan propagandis Teosofi telah berusaha
menerapkannya kepada pengasas agama masing-masing tetapi mereka telah gagal
menyesuaikan nubuatan Buddha ini, “Akan muncul di dunia seorang Buddha
bernama Maitreya (seorang yang pemurah dan pengasih). Seorang yang suci,
seorang yang utama, seorang yang tercerahkan, diberkahi dengan Kebijaksanaan
dalam tingkah-lakunya, beruntung, mengenal alam semesta; manusia pengendara
yang tak tertandingi dari orang-orang yang dijinakkan hatinya, tuan dari para
malaikat dan manusia, Buddha yang diberkahi bahkan seperti saya yang sekarang
dibangkitkan di dunia, seorang Buddha yang dianugerahi dengan kualiti yang sama
seperti ini. Apa yang disedarinya berkat ilmu supernaturalnya sendiri, akan
disiarkannya ke alam semesta ini, dengan para malaikatnya, sahabatnya, dan
ketua malaikat serta ras ahli filsafat dan Brahmin, pangeran dan awam, bahkan
seperti saya sekarang, setelah mengenal semua pengetahuan ini, menerbitkan yang
sama bagi sesama. Dia akan mengajarkan agamanya, terpuji asal-usulnya, terpuji
pada puncaknya, terpuji pada tujuannya, dalam semangat maupun tulisan. Dia akan
mengumumkan kehidupan keagamaan, sempurna seluruhnya, dan murni sepenuhnya; bahkan
seperti saya yang kini mengajarkan agamaku dan kehidupan serupa yang saya
umumkan. Dia akan memimpin masyarakat pendeta berjumlah ribuan, bahkan saya
kini hanya memimpin masyarakat pendeta sejumlah ratusan” (Chakkavatti Sinhnad
Suttanta, D III:76).
Nubuatan di atas sememangnya
tepat sekali untuk orang yang bernama Muhammad atau Ahmad, nabi agung umat
Islam, Rahmatan lil’alamin. Sifat bagi Buddha yang akan datang dirangkum dalam
diri Rasulullah saw, semenjak beliau saw masih kanak- kanak hinggalah diangkat
menjadi rasul Allah swt terkenal sebagai seorang yang amat jujur, penyayang dan
pemurah serta terpuji berakhlak mulia. Sifat pengasih luar biasa Rasulullah saw
digambarkan dalam Al Qur’an di mana Rasulullah saw berulang kali ditegur dan
dihiburkan oleh Allah swt kerana bersedih yang amat sangat disebabkan oleh
kaumnya terus menerus monolak segala dakwaannya, Allah berfirman, “Maka
engkau membinasakan dirimu kerana sangat bersedih hati memikirkan mereka,
mengapa mereka tidak beriman kepada keterangan ini” (Al Kahfi : 7). “Boleh jadi
engkau akan membinasakan dirimu sendiri disebabkan kedukacitaan, mengapa mereka
tidak mahu beriman” (Asy Syu’araa’: 4). “… maka janganlah engkau membinasakan
diri mu kerana kesedihan mengenai mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui
apa yang mereka perbuat” (Al Faathir: 9). Baginda saw lah Maiterya Buddha
yang dinubuatkan oleh Gautama Buddha. Dinubuatkan bahawa Buddha yang akan
datang memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi, bakal memimpin ribuan masyarakat
pandeta yakni bermaksud orang-orang mukmin. Hal ini telah terbukti apabila
Rasulullah saw memimpin 10,000 orang mukmin memasuki kota Mekah. Selanjutnya
sesudah fatah Mekah, orang-orang mukmin terus bertambah di bawah pimpinan
Rasulullah saw.
Nabi Muhammad
saw Dalam Kitab Suci Agama Yahudi dan Kristian
Kitab agama Yahudi ialah Kitab
Taurat yang disampaikan oleh nabi Musa as kepada umat Yahudi, kitab ini
tercantum dalam kitab Injil yang dikenali sebagai Perjanjian Lama. Dalam jangka
waktu 1,400 tahun sesudah nabi Musa as, maka nabi Isa Al Masih as diutus
sebagai nabi yang terakhir kepada umat Yahudi. Penganut agama Kristian hari ini
berkeyakinan bahawa Kitab Injil dalam bahagian Perjanjian Baru adalah wahyu
Allah swt kepada Isa Al Masih as. Ini bermakna kandungan kitab Injil seperti
yang terdapat pada hari ini mengandungi dua bahagian iaitu Perjanjian Lama dan
Perjajian Baru. Kedua-dua bahagian kitab ini mengandungi nubuatan kedatangan
nabi agung akhir zaman iaitu Rasulullah saw.
Agama Kristian ialah
satu-satunya agama yang begitu menonjol dalam menyaingi kemaraan dan
perkembangan agama Islam. Oleh itu kefahaman yang lebih dalam tentang akidah
agama Kristian perlu diberikan kepada umat Islam kerana tanpa memahami dengan
sebenar-benarnya, umat Islam akan mudah terpengaruh dengan kepalsuan akidah
agama Kristian. Sehubungan dengan itu, satu penjelasan yang lebih luas disertai
pendedahan tentang nubuatan Rasulullah saw dalam kitab Injil (Perjanjian Lama
dan Perjanjian Baru) akan dibahas dalam bab “Dari Kristian Ke Islam”.
No comments:
Post a Comment