Thursday, July 11, 2013

Rahsia Kebangkitan Ummah - 4



JIHAD

Jihad Yang Sebenar

Berkaitan dengan masalah jihad, apakah laungan jihad mengangkat senjata akan dapat menyelesaikan krisis yang dihadapi oleh umat Islam hari ini?  Pertanyaan ini bukan untuk melemahkan semangat jihad umat Islam tetapi bagi menyedarkan umat Islam mengenai cara yang lebih tepat bagi mencapai tujuan sebenar jihad. Apa yang perlu dilakukan ialah memperkasakan umat Islam agar memahami Al Qur’an, sebagaimana Rasulullah saw memahaminya. Allah swt  berfirman, “Maka janganlah engkau ikuti orang-orang kafir dan berjuanglah menghadapi mereka dengan Al Qur’an dengan jihad yang besar” (Al Furqaan : 53)

Apabila umat Islam memahami dan mencintai Al Qur’an maka mereka akan mematuhi segala perintah Pemilik Alam ini dan menghapuskan segala keinginan yang bertentangan dengan kehendak Allah swt. Jihad ini yang disebut jihad melawan hawa nafsu dan jika ianya dimiliki oleh umat Islam, mereka akan mengenepikan keinginan peribadi dan akan mendahulukan kepentingan agama. Jika agama menuntut mereka untuk mengorbankan masa, harta, kedudukan dan jiwa raga,  golongan ini tidak gentar dan tidak pula ragu untuk memberi segala-galanya dan sanggup berkorban nyawa asalkan Islam hidup selama-lamanya. Hal seperti ini bukanlah sekadar cerita kosong tetapi satu peristiwa yang tidak akan pernah terpadam dalam lembaran sejarah Rasulullah saw bersama para sahabat dan dialami pula oleh para wali-wali suci Allah. Oleh itu jihad menguasai Al Qur’an dan melawan hawa nafsu wajib diberikan  kefahaman terlebih dahulu kepada umat Islam jika harapan untuk melihat Islam dan ummah kembali gemilang hendak direalisasikan. Hasil daripada kefahaman ini akan melahirkan keteguhan iman dan ketaatan yang sangat luar biasa kepada Allah swt dan RasulNya. Kekuatan ini sahaja yang akan memperkasakan umat Islam untuk melepasi segala kesukaran, ancaman dan cabaran yang dihadapi. Hanya jihad Al Qur’an sebenar-benar jihad yang paling sesuai untuk masa kini dan diredhai oleh Allah swt berbanding dengan jihad menggunakan senjata yang telah lama dilaungkan tetapi sehingga hari ini umat Islam terus dicengkam oleh musuh-musuhnya. Jika jihad mereka adalah benar, pasti Allah swt telah lama memberi kemenangan kerana Dia berjanji untuk menjadi Penolong kepada jihad yang benar. Fikirkanlah, ada sesuatu yang tidak kena dengan kebanyakan umat Islam pada hari ini sehingga Allah swt seolah-olah mendiamkan diri.

Dalam kitab Mukasyafat Al Quluub, Abu Dzar Al Ghifari mengatakan: Abu Bakar ra menanyakan kepada Rasulullah saw, “Apakah ada jihad selain daripada melawan kaum musyrikin? Dijawab oleh Rasulullah saw “Ya tentu sahaja hai Abu Bakar! Allah swt mempunyai mujahid-mujahid di permukaan bumi yang lebih afdhal daripada para syahid yang memang tetap hidup dan makan minum juga. Allah swt pun mengajukan mereka di hadapan para malaikat dengan kebanggaan. Bagi mereka syurga itu akan diperhias begitu rupa seperti halnya Ummi Salma menghiasinya bagi Rasulullah. Sayyidina Abu Bakar menanyakan, “Ya Rasulullah! mereka ini siapa? Dijawab oleh Rasulullah, “Mereka itu adalah golongan yang berdakwah, bertabligh, menyeru kepada kebaikan dan kebajikan, mencegah dari berbuat mungkar dan yang buruk, mereka ada yang mencintai dan membenci kerana Allah semata-mata.” Hadis ini membuktikan bahawa para pendakwah atau mubaligh Islam merupakan  mujahid-mujahid Allah swt di atas muka bumi dan mereka lebih afdhal daripada para syahid kerana menggunakan keindahan Al Qur’an dan akhlak sebagai senjata perjuangan mereka. Senjata ini lebih suci, harum dan wangi untuk  memenangkan Islam di atas muka bumi Allah swt yang indah ini. Jika benar-benar ada kesungguhan untuk bangkit, umat Islam hendaknya mengambil iktibar daripada sabda-sabda dan sunnah Rasulullah saw disamping meletakkan Al Qur’an sebagai panduan utama. Sehubungan dengan itu seorang tokoh Islam bernama Hazrat Mirza Tahir Ahmad mengatakan, “Sword can win territories, but not hearts, force can bend heads but not minds” (Pedang boleh menguasai wilayah tetapi tidak boleh menguasai hati, paksaan boleh menundukkan kepala tetapi tidak boleh menundukkan minda). Mutiara kata ini memadai bagi umat Islam agar sedar bahawa melakukan jihad bagi memenangkan Islam dengan menggunakan senjata khasnya untuk melawan kuasa raksasa Barat tidak akan pernah membuahkan hasil. Jihad sedemikian sudah terbukti banyak mendatangkan kemusnahan dan kerugian besar kepada Islam dan umatnya pada hari ini.

Jihad Intelektual

Jelaslah, kekuatan akhlak dan kebenaran Al Qur’an adalah senjata yang amat berkesan dan tidak ada tandingannya untuk menundukkan kekerasan hati penganut agama lain terutamanya masyarakat Barat. Kebanyakan mereka adalah golongan terdidik, berdisiplin dan berprinsip. Jika golongan ini menerima Islam, mereka akan lebih Islamik berbanding dengan orang Islam yang mewarisi keislamannya secara keturunan. Justeru itu, umat Islam perlu membuktikan bahawa Islam adalah agama yang dapat memecahkan masalah sosial, politik dan ekonomi bagi membuka hati mereka untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Islam dan selebihnya sama ada mereka menerima atau menolak Islam adalah kurnia daripada Allah swt.

Musuh-musuh Islam menyedari hal ini dan mereka melakukan pelbagai cara untuk menghalang masyarakat mereka daripada mendapat gambaran yang baik mengenai Islam. Golongan ini sengaja memprovokasi dengan menghina Rasulullah saw kerana mereka mengetahui umat Islam akan melakukan tunjuk perasaan dengan menjerit-jerit di jalanan, membakar dan merosakkan harta benda awam. Peristiwa ini ditayangkan secara berulang-ulang di media massa Barat untuk memperlihatkan sikap kasar dan ganas umat Islam. Apa yang lebih mengecewakan, umat Islam sering terperangkap dalam muslihat seperti ini yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam. Pada pendapat orang Islam, mereka melakukan kekerasan untuk memberi mesej kepada masyarakat Barat untuk jangan menghina dan mempermain-mainkan Islam tetapi musuh-musuh Islam sememangnya menunggu kesempatan ini untuk memburukkan imej Islam di mata masyarakat yang bukan beragama Islam agar membenci agama Islam. Lebih parah lagi, umat Islam sendiri yang benci kepada keganasan juga turut menjadi keliru, apakah ini ajaran Islam sebenarnya? Apabila mereka tidak mendapat jawapan yang tepat, akhirnya mereka juga turut membenci Islam dan meninggalkan agama Islam. Lebih merugikan apabila mereka yang meninggalkan agama Islam memeluk agama Kristian dan menjadi musuh kepada Islam. Orang-orang ini melihat tolak ansur, kelembutan serta kasih sayang yang ditampilkan oleh agama Kristian. Siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini?

Pada hakikatnya umat Islam perlu memperkemaskan strategi ke arah jihad intelektual dalam menangani segala masalah, di sinilah tempatnya perbuatan AMAL SALEH memainkan peranan. Kini kelajuan kuda tunggangan telah digantikan dengan kepantasan satelit televisyen dan internet yang merupakan instrumen paling cepat dan berkesan membawa suara Islam dari langit untuk memasuki setiap rumah dan bilik di seluruh pelosok dunia. Seharusnya umat Islam bersatu tenaga memikir dan merealisasikan agar kemajuan ICT pada hari ini dimanfaatkan setiap detik selama 24 jam untuk memancarkan ke seluruh pelosok dunia kemuliaan Nabi Muhammad saw dan Islam. Pancarkan program-program Islamik kepada masyarakat dunia khasnya kepada masyarakat Barat. Jika umat Islam ikhlas berdoa dan berusaha, dengan sifat Yang Maha Rahman dan Maha Rahim, Allah swt pasti membantu mewujudkan satu kaedah yang sistematik di kalangan umat Islam bagi mempraktikan jihad yang pernah dilaksanakan oleh Rasulullah saw dan para sahabat ra. Para sahabat ra bertebaran di seluruh pelosok dan penjuru dunia berjihad dengan mempromosikan ajaran Islam dan akhlak Rasulullah saw yang penuh dengan kesucian dan keindahan. Pejuang-pejuang Islam yang ada pada hari ini hendaknya jangan membazirkan nyawa dengan meletupkan diri dan membunuh orang awam yang tidak berdosa, letakan senjata dan hadirkan diri di seluruh ceruk dan rantau semata-mata bertujuan untuk menyampaikan tabligh Islam.

Umat Islam yang berkemampuan dan negara-negara Islam yang kaya raya dengan hasil minyaknya wajib turut membantu menjayakan program pertablighan Islam. Bijak pandai umat Islam hendaknya sanggup bersengkang mata dan berhempas pulas memerah tenaga dalam menunaikan tanggungjawab mencetak dan menterjemahkan Al Qur’an ke dalam pelbagai bahasa utama dunia. Edarkan risalah-risalah, buku-buku Islamik dan Al Qur’an secara percuma untuk tujuan tarbiyah kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa dan agama. Setiap muslim hendaknya sanggup mengorbankan kekayaan, masa, tenaga dan sebagainya demi kemakmuran dan kemenangan agama Islam. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw jihad “Akbar” yakni jihad melawan hawa nafsu. Dalam erti kata lain hawa nafsu  meliputi kekikiran dalam melepaskan harta kekayaan demi agama, tidak sanggup mengorbankan waktu istirehat atau riadah, risau meninggalkan anak isteri untuk pergi menyebarkan risalah Islam di kampung-kampung dan desa serta pendalaman, tidak sanggup kehilangan kenyamanan udara dalam kenderaan pacuan empat roda untuk berjalan kaki meredah hutan belantara bertemu dengan penduduk asli yang tidak pernah mengenal siapa tuhan mereka. Umat Islam wajib berubah membentuk jemaah yang tidak pernah mengenal erti penat lelah, tidak risau dengan taraf papa kedana dengan menghabiskan harta kekayaan demi agama. Segala yang dimiliki seseorang muslim adalah hanya sebuah amanah dari Allah swt, ianya hak mutlak kepunyaan Allah swt, apabila tiba masanya Allah swt akan ambil kesemuanya. Tidak perlu takut menghadapi kekurangan kerana Allah swt akan memberi ganjaran dan melipat gandakan segala sesuatu yang dibelanjakan di jalanNya, maka berjuanglah demi Islam mengikut lunas-lunas yang pernah diamalkan oleh Rasulullah saw dan para sahabat ra.

Tukar Strategi Perjuangan

Disebabkan cinta kepada Islam dan Rasulullah saw tidak bermakna yang haram boleh dijadikan halal, yang salah sudah pasti melahirkan akibat yang memudaratkan. Meletupkan diri dengan bom bermakna mati sia-sia, membunuh orang ramai tanpa mengira umur dan jantina bermakna melakukan dosa. Hasilnya imej Islam rosak dan masyarakat semakin menjauh dan membenci agama Islam. Para pejuang Islam yang tinggal di pergunungan atau yang bersembunyi di merata tempat kerana menjadi buruan, keluarlah dan berjihadlah dengan menjadi pendakwah Islam yang berhemah. Hadirlah di kota-kota metropolitan, pusat bandar, kawasan pedalaman dan di pulau-pulau terpencil demi tabligh Islam. Tinggalkanlah kepakaran mencipta bom, jadilah pendakwah yang pakar dalam bidang agama dan ilmu akademik serta mahir dalam pelbagai bahasa dan ilmu perbandingan agama. Tukar dan tonjolkan imej serta penampilan dan perwatakan yang bersih, kemas, berwibawa dan penuh toleransi agar masyarakat Barat yang maju dalam pelbagai bidang dan profesionalisma mendapat gambaran jelas bahawa Islam adalah agama kedamaian dan “The Way of Life”. Hentikan serangan-serangan fizikal yang merugikan, beralihlah ke serangan spiritual Al Qur’an dan akhlak indah Rasulullah saw, gempurlah jantung-jantung ibu kota Dajjal, lancarkan dakwah Islamiyah secara teratur dan istiqamah dengan giat mengadakan seminar-seminar atau bengkel-bengkel agama. Adakan diskusi-diskusi muhibbah dengan penganut agama lain agar mereka dapat diseru dekat kepada Allah swt. Libatkan diri secara aktif melalui penubuhan badan-badan kemanusiaan untuk mengkhidmati umat manusia yang memerlukan khasnya dalam masa darurat seperti kejadian bencana alam dengan menghantar doktor, jururawat, jurutera, arkitek, guru, pakar IT dan sukarelawan lainnya tanpa mempedulikan perbezaan agama dan kepercayaan, sememangnya ini yang dituntut oleh Islam. Jihad seperti inilah yang akan menembusi hati dan minda masyarakat dunia untuk jatuh cinta kepada Allah swt dan Islam. Di sinilah letaknya  penggenapan janji Allah swt bahawa Nabi Muhammad saw adalah Pembawa Rahmat kepada seluruh alam.



Matahari Terbit Di Barat 

Matahari terbit di Barat ialah satu perubahan menuju terbitnya matahari Islam di negara-negara Barat. Cahaya kalimah, "Laa ilaha illallah, Muhammadur-Rasulullah” akan menerangi kegelapan hati-rohani dan pemikiran masyarakat Barat. Inilah hasil jihad Al Qur’an yang akan “mematahkan salib” dengan membongkar kepalsuan ajaran agama Kristian yang mempercayai Nabi Isa as masih hidup di langit. Jihad Al Qur’an akan “membunuh babi dan orang kafir” iaitu mematikan sikap tidak tahu malu dan hidup bergelumang dengan najis dosa masyarakat Barat. Mereka akan disirami dengan air roh keislaman untuk membersihkan dosa dan menghidupkan rohani mereka. Siraman ini yang akan menyuburkan kembali rohani masyarakat Barat yang sebelumnya gersang dan tandus. Tidak dapat dibayangkan jika bangsa Barat yang selama ini menjadi penguasa sains dan teknologi kemudian menjadi penganut Islam, sudah tentu akan wujud zaman Baru kepada Islam bagi menamatkan akhir zaman kegelapannya. Zaman Baru yang lebih aman dan damai kerana segala ciptaan sains dan teknologi milik Dajjal yang merosakkan, melalaikan, menggelincirkan dan menyesatkan masyarakat dunia akan digantikan dengan ciptaan hamba-hamba yang bertaqwa  kepada Allah swt. Ciptaan dan rekaan mereka akan menghasilkan sains dan teknologi yang membawa kepada keamanan, kemakmuran dan keadilan baik dari segi ekonomi, politik dan sosial. Bayangkanlah apa yang akan terjadi kepada rejim zionis jika masyarakatnya dan masyarakat Barat telah mencintai Islam.

Masyarakat dunia akan menyaksikan lagi bagaimana Allah swt akan menghancurkan bangsa-bangsa yang zalim, sombong dan bongkak. Sejarah telah menjadi saksi betapa hebat sesebuah tamadun atau empayar pun, semuanya binasa apabila Allah swt menghendakinya. Sewaktu zaman kegemilangan Rom, tiada seorang pun yang hidup pada masa itu yang pernah terfikir bahawa Rom sebuah empayar gergasi akan mengalami kehancuran. Samalah seperti hari ini, ramai yang berfikir kekuatan Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat dan sekutu kuatnya negara-negara Eropah tidak boleh dikalahkan oleh mana-mana kekuatan. Pandangan ini lahir berdasarkan kekuatan ketenteraan dan penguasaan ekonomi, sains, teknologi dan psikologi atau propaganda yang dimiliki oleh negara-negara berkenaan. Ingatlah, Allah swt itu wujud dan hidup, dunia akan menyaksikan lebih banyak lagi kekuasaan dan keajaibanNya. Sesuatu yang pada zahirnya mustahil tetapi pada pandangan Allah swt sama sekali tidak ada ertinya. Masanya sudah dekat Amerika Syarikat dan sekutunya yang lain akan senasib dengan Rom. Kebenaran dan keindahan Al Qur’an serta kecantikan akhlak Rasulullah saw akan melumpuhkan kekuasaan kesemua kuasa milik Amerika Syarikat dan kembarnya negara-negara Eropah. Rakyat mereka sendiri yang akan bangkit menentang kekejaman dan pembohongan kerajaannya. Begitu juga, penentang-penentang awal Nabi Muhammad saw, mereka juga tidak pernah terfikir dan percaya bahawa Baginda saw mampu mengalahkan pembesar-pembesar Musyrikin Mekah. Lebih-lebih lagi apabila umat Islam dapat menundukkan dua super power pada waktu itu iaitu Rom Timur dan Parsi. Islam membunuh kekafiran mereka dan menghidupkan akhlak yang cantik kepada bangsa-bangsa ini.

Pernah wujud dua tokoh dunia menggunakan kekuatan militeri untuk menguasai Britain iaitu Napoleon dan Hitler tetapi kedua-duanya gagal. Britain adalah nadi dan jantung kepada Barat, menguasainya bermaksud menguasai Barat. Muhammad Mumtaz Ali (1996) telah memetik satu artikel yang ditulis oleh Lewis Peter berjudul The Rise of Islam in Britain dalam akhbar Sunday Times di London. Artikel itu menyebutkan “that a Muslim who offers Friday prayers regularly at mosque hardly counts himself a muslim, where many an Anglican considers three or four attendances a year as quite enough. So the Muslim figures represent far more regular worshipers than the Anglicans. All of which leaves one wondering how much longer we can call Britain a Christian country.” Kenyataan ini menunjukkan bahawa Allah swt sedang mempersiapkan kekuatan rohani umat Islam untuk menerbitkan matahari atau cahaya Islam di Barat. Lihatlah bagaimana pengaruh solat sehingga penulis bernama Lewis Peter yang bukan beragama Islam dapat merasakan dan melihat cahaya Islam yang sedang terbit di Barat. Hal ini menyamai kekaguman Abu Sufyan melihat lebih kurang 10,000 orang Islam menunaikan solat Subuh di dalam peristiwa sebelum Fatah Mekah. 

Kekuatan Akhlak dan Al Qur’an

Allah swt yang Maha Berkuasa sedang menterbalikkan dunia. Beberapa dekad yang lalu Barat menggunakan wain (arak) dan wang untuk menguasai negara-negara Islam. Kini Islam bakal menguasai Barat dengan menggunakan manifestasi akhlak Rasulullah saw dan Al Qur’an untuk menawan hati masyarakat mereka. Pendapat yang sama juga pernah dikemukakan oleh seorang tokoh Barat yang terkenal Sir George Bernard Shaw dalam bukunya The Genuine Islam ( Vol 1 No 8 1936), beliau juga berpendapat Islam yang memiliki sifat keuniversalan dan kesempurnaan mampu untuk menawan England dan Eropah. Menurut beliau, “If any religion had a chance of ruling over England, nay Europe within the next hundreds years, it could be Islam” (A. Zahoor 1997). Jika ini berlaku, tidak perlulah bersusah payah untuk berperang dengan Amerika Syarikat dan sekutunya. Islam akan menawan mereka dengan menggunakan kekuatan Al Qur’an dan akhlak. Senjata ini lebih mulia dan suci serta ampuh daripada menggunakan senjata api yang hanya membusukkan bumi Allah swt yang indah dan harum ini. Jelaslah kemenangan Islam juga bukan berlaku ketika dunia mahu kiamat seperti mana yang diterangkan oleh sesetengah ulama. Pandangan ini amat mengelirukan, apakah rasionalnya jika Allah swt hanya memenangkan Islam ketika dunia mahu dihancurkanNya? Janji Al Qur’an adalah janji yang pasti dan sempurna, proses kemenangan Islam sudah semakin dekat seperti mana yang telah dijanjikan oleh Allah swt, “Dia-lah yang mengutus RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang hak agar dimenangkanNya terhadap semua agama, Dan cukuplah Allah menjadi saksi.” (Al Fath:29).

Jangan Berpeluk Tubuh  

Proses kebangkitan Islam tidak akan berlaku jika umat Islam masih berpeluk tubuh dan memiliki jiwa pengorbanan yang mati dan kaku. Contohi Rasulullah saw dan para sahabat ra memiliki jiwa pengorbanan yang agung. Mereka mengorbankan kebangsawanan, kedudukan, wang, harta, masa, tenaga dan nyawa untuk Islam. Pengorbanan ini yang menyebabkan Allah swt mencurahkan sifat Rahman dan RahimNya sehingga membawa kemenangan besar kepada Islam pada waktu itu. Jiwa pengorbanan ini perlu disegarkan kembali dan setiap umat Islam harus menanyakan kepada diri mereka apakah sumbangan yang dapat dilakukannya untuk berbakti kepada Allah swt dan Islam?  Islam sedang memerlukan tenaga, masa, dan  dana untuk mengutus para mubaligh ke seluruh pelosok dunia bagi mendirikan masjid dan pusat pertablighan, menterjemah dan mencetak Al Qur’an, menerbitkan buku-buku, menyiarkan program-program kerohanian, mendirikan sekolah dan hospital, melakukan kerja-kerja amal dan kemanusiaan di negara-negara yang memerlukannya. Pengorbanan seperti ini yang menerbitkan cahaya matahari Islam di Barat kerana di sebelah Timur cahaya Islam bertambah malap dan kehangatan rohani semakin hilang, sebab itulah sudah tersurat dalam takdir Matahari Islam bakal terbit di Barat.

Sudah menjadi Sunnatullah bahawa satu kaum akan digantikan dengan kaum yang lain jika kaum berkenaan menolak atau mengabaikan amanah yang diberikan kepadanya. Contohnya, kebiadaban dan kesombongan bangsa Yahudi mengakibatkan Allah swt mengalihkan Rahmat-Nya kepada bangsa Arab melalui kedatangan Baginda saw. Penolakan Musyrikin Mekah di peringkat awal terhadap ajaran suci Nabi Muhammad saw telah menyebabkan Allah swt mencurahkan rahmatNya kepada penduduk Madinah. Kini, Allah swt ingin menamatkan akhir zaman kegelapan Islam dan Dia akan menerbitkan matahari Islam di sebelah Barat kerana di sebelah Timur cahaya Islam semakin pudar disebabkan umat Islam terus menerus mahu mewarisi sifat jahiliyah, sibuk bercakaran sesama sendiri dengan isu politik yang penuh kekotoran, yang kaya terus kecanduan hidup berfoya-foya, yang miskin tidak ingin ketinggalan bermati-matian untuk meraih kemewahan dan mengejar dunia hingga tiada kesempatan untuk memikirkan tanggungjawab kepada Tuhan. Manakala yang berpengetahuan agama, demi periuk nasi yang perlu dijaga tetap asyik bermusuhan sesama mereka dalam perkara yang remeh-temeh seperti kafir-mengkafirkan. Orang yang tidak sependapat dengan mereka perlu tutup mulut, jika tidak akan ditangkap dan diseret ke mahkamah atas tuduhan memecah- belahkan umat Islam. Penganut fahaman Wahabi tidak boleh menyampaikan ilmu agama kepada penganut fahaman Sunni, penganut fahaman Syafie tidak boleh menyampaikan ilmu agama kepada penganut fahaman Maliki dan begitulah sebaliknya. Alasannya akan memecah belah umat Islam, apakah umat Islam semenjak dahulu kala lagi tidak berpecah belah, tidak saling tuduh-menuduh dan bunuh membunuh?


No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...