MENGENALI
IMAM MAHDI
Dua Gelaran -
Imam Mahdi dan Isa Al Masih as Akhir Zaman
Definisi Imam Mahdi ialah
seseorang yang diberi petunjuk oleh Allah swt dan setelah mendapat petunjuk
daripada Allah swt maka orang tersebut (Imam Mahdi) akan memberi petunjuk pula
kepada umat manusia. Berdasarkan kepada definisi yang dijelaskan, orang seperti
ini banyak terdapat di dalam Al Qur’an yakni setiap nabi dan rasul diberi
petunjuk oleh Allah swt dan memberi petunjuk kepada umat manusia. Dengan
demikian Imam Mahdi juga adalah seorang yang berpangkat nabi dan rasul. Kini
jelaslah bahawa Imam Mahdi sememangnya satu gelaran yang diberi kepada
nabi-nabi utusan Allah swt.
Berkaitan dengan Imam Mahdi
dan Isa Al Masih as, Rasulullah saw bersabda, “Kondisi kian bertambah parah,
dunia hanya akan kian jelek kondisinya dan manusia akan bertambah rakus. Kiamat
tidak akan terjadi kecuali atas manusia jahat. Namun Mahdi itu tidak lain
orangnya adalah Isa anak Maryam juga” – (Ibnu Majah, jilid 2, halaman 257,
Mesir). Oleh itu berdasarkan kepada sabda Rasulullah saw, nabi Isa as atau
Isa Al Masih as yang dijanjikan di akhir zaman adalah orang yang diberikan
gelaran sebagai Imam Mahdi. Seperti yang diketahui umum, majoriti
para ulama berpendapat di akhir zaman Isa Al Masih as dan Imam Mahdi dua
personaliti berbeza yang akan berganding bahu memperjuang dan memenangkan Islam
di atas agama-agama lain. Ini bermakna ada dua pemimpin pada ketika itu. Namun
keempat-empat Imam iaitu Imam Abu Hanifa, Imam Syafei, Imam Ahmad bin Hanbal
dan Imam Malik sepakat bahawa, “sesungguhnya tidak dapat dibenarkan umat
Islam di seluruh dunia itu dipimpin oleh dua imam (pemimpin), baik keduanya itu
sama-sama sepakat dan setuju maupun tidak” (Almizan, Sya’arani). Di samping
itu pula terdapat hadis Rasulullah saw yang bermaksud, “Apabila terjadi ada
dua pemimpin (khalifah) yang menerima bai’at maka salah satunya harus dibunuh
iaitu yang paling akhir menerima bai’at itu” (Muslim). Namun jangan
disalahertikan perkataan dibunuh, bukanlah bermaksud harus dibunuh tetapi ia
adalah satu penekanan dan penegasan bahawa salah satu daripada pemimpin itu
mesti dan wajib ditolak secara total dan tidak dibenarkan ada dua pemimpin di
kalangan umat Islam. Hadis ini dapat menjernihkan kekeliruan bahawa Imam Mahdi
dan Isa Al Masih as adalah dua orang pemimpin yang berlainan. Wajib diketahui
dan difahami bahawa Imam Mahdi adalah satu gelaran kepada Isa Al Masih as yang
dijanjikan kedatangannya di akhir zaman sepertimana yang dijelaskan oleh
Rasulullah saw dalam hadis tersebut di atas.
Bilakah
Masanya Imam Mahdi Atau Isa Al Masih as Yang Dijanjikan Tiba?
Sepanjang kehidupan manusia
tidak pernah ditemui walaupun secebis Sejarah bahawa demi mencapai perpaduan
dalam sesuatu ummah tidak diperlukan seorang nabi dan rasul. Bijak pandai sama
ada berstatus ulama, ahli falsafah, ahli politik, pakar kemasyarakatan atau apa
sahaja bidang kepakaran yang dimiliki oleh seseorang tetap sahaja tidak mampu
mencipta perpaduan serta perdamaian. Sebaliknya lebih ramai bijak pandai maka
akan ramailah pemimpin, akan terbentuk pula puak-puak yang tidak pernah redha
dengan apa yang Allah swt berikan kepada mereka. Akibatnya tercetus konflik
sehingga mencapai tahap pertumpahan darah sesama sendiri, umat Islam berjihad
terhadap umat Islam yang lain. Tipu menipu berleluasa, rasuah, keruntuhan
moral, jenayah tidak dapat dibendung. Apakah dalam dunia huru-hara seperti ini
tidak diperlukan seorang utusan dari Tuhan? Jika umat Islam berwawasan untuk
bangkit semula agar dunia seisinya sekali lagi tunduk memberi hormat maka wajib
bagi umat Islam meletakkan harapan setinggi-tingginya terhadap Isa Al Masih as
yang dijanjikan. Rasulullah saw bersabda, “Demi Allah yang jiwaku ada di
tanganNya, pasti akan datang Isa Ibnu Maryam Hakaman Adalan. Ia akan memecahkan
salib dan membunuh babi” (Bukhari, juz 2:471). Dari sabda Rasulullah saw
ini dapatlah diketahui bahawa diutusnya Isa Al Masih as akhir zaman merupakan
fenomena penting yang pasti terjadi dalam kehidupan umat Islam. Adalah wajib
bagi umat Islam memohon kepada Allah swt dan berharap sepenuh jiwa agar
kedatangan Isa Al Masih as disegerakan.
Sesudah empat belas abad
kenabian nabi Musa as, maka telah diutus seorang nabi yang dijanjikan kepada
umat Yahudi iaitu Isa Al Masih as. Malangnya nabi yang dijanjikan ini ditolak
oleh bani Israil dan hingga kini bangsa ini masih menunggu kedatangan nabi yang
dijanjikan itu. Disebabkan kejahilan umat manusia yang cenderung kepada
melupakan dan meninggalkan penciptanya Yang Maha Berkuasa, rangkaian sejarah
nabi Musa as hingga ke Isa Al Masih as pasti akan berulang lagi di zaman nabi
Muhammad saw dan umatnya. Rasulullah saw bersabda, “Akan terjadi nubuat
sampai waktu yang disukai Allah kemudian akan terjadi khilafat seperti dalam
nubuat sampai waktu yang dikehendaki Allah kemudian akan terjadi kerajaan yang
zalim sampai waktu yang disukai Allah kemudian akan terjadi khilafat di atas
nubuat” – (Musnad Ahmad bin Hanbal, Misykat). Sungguh luar biasa ilmu
pengetahuan yang dianugerahkan Allah swt kepada Rasulullah saw. Hadis ini tidak
mungkin umat Islam tidak memahaminya kerana senario keadaan umat Islam bermula
dari zaman Rasulullah saw hinggalah kepada kerajaan-kerajaan yang ditegakkan
oleh umat Islam dirangkum di dalam sabda suci Rasulullah saw ini dan berakhir
dengan berdirinya kelak institusi khilafat. Hadis ini menjanjikan kemenangan
Islam melalui institusi khilafat, jika dianalisa dengan lebih teliti, hadis
tersebut menjelaskan bahawa terdapat empat situasi yang pasti dilalui oleh umat
Islam. Pecahan situasi umat Islam menurut hadis tersebut di atas adalah seperti
berikut:
Zaman
Rasulullah saw iaitu, “akan terjadi nubuat sampai waktu yang disukai
Allah”. Nubuat adalah zaman kenabian Rasulullah saw.
Zaman
khilafat iaitu, “kemudian akan terjadi khilafat seperti dalam nubuat sampai
waktu yang disukai Allah”. Ini bermakna dilaksanakan pemerintahan sistem
khilafat sesudah kenabian Rasulullah saw iaitu apa yang dikenali sebagai zaman
Khulafa Rasyidin.
Zaman
kerajaan-kerajaan Islam iaitu, “kemudian akan terjadi kerajaan yang zalim
sampai waktu yang disukai Allah”. Pada masa ini dengan lebih jelas
umat Islam mula meninggalkan ajaran suci Al Qur’an, dan raja-raja Islam
meskipun menggelar diri mereka sebagai khalifah melaksanakan pemerintahan yang
zalim. Raja-raja Islam ini adalah khalifah politik, mereka lebih terpengaruh
dengan politik sekular yang tamakkan kuasa dan kebendaan duniawi.
Zaman Institusi Khilafat iaitu, “kemudian akan terjadi
khilafat di atas nubuat”. Setelah zaman kegelapan Islam begitu lama, atas
kehendak Allah swt akan ditegakkan sekali lagi institusi khilafat. Ini akan
sempurna dengan diutusnya Imam Mahdi yakni Isa Al Masih as yang dijanjikan di
akhir zaman. “Kemudian akan terjadi khilafat di atas nubuat” bermakna
seorang nabi diutus dan setelah kewafatannya sistem khilafat terus ditegakkan.
Untuk lebih jelas lagi ialah setelah kewafatan Isa Al Masih as iaitu Imam Mahdi
yang dijanjikan di akhir zaman, maka misinya akan diteruskan dibawah naungan
sistem khilafat.
Selari
dengan hadis di atas, Rasulullah saw juga pernah bersabda, “Abad yang
terbaik adalah abadku, kemudian akan hidup orang-orang di abad yang kedua,
kemudian lagi akan hidup orang-orang di abad ketiga, maka setelah itu kebenaran
akan hilang sirna dan akan meluaslah kekejaman-kekejaman, fenomena-fenomena dan
ketidakseragaman” – (Bukhari, jilid 2, halaman 186, cetakan Mesir). Sabda
Rasulullah saw telah sempurna dan sejarah mengakui bahawa zaman kegemilangan
Islam berlangsung selama lebih kurang 300 tahun (tiga abad) lamanya, setelah
itu umat Islam berada dalam kehinaan dan mundur. Jika benar-benar diteliti
zaman akhir kegemilangan Islam ialah apabila kerajaan-kerajaan Islam kehilangan
kuasa. Umat Islam benar-benar kehilangan pedoman begitu lama, sepertimana Allah
swt berfirman, “Dia akan mengatur peraturanNya dari langit sampai ke bumi,
kemudian peraturan itu akan naik kepada Dia dalam satu hari, yang hitungan
lamanya seribu tahun menurut apa yang kamu perhitungkan” – (As Sajdah : 6).
Allah swt memberikan gambaran yang jelas bahawa selepas 300 tahun, umat Islam
mula mengorak langkah selama 1000 tahun lamanya dalam kegelapan kerana
nikmat-nikmat dan berkat-berkat (roh Al Qur’an) untuk umat Islam diangkat oleh
Allah swt selama 1000 tahun disebabkan kejahilan umat Islam sendiri. Ini
bermakna umat Islam hanya akan kembali mengecapi titik kegemilangannya apabila
berlalu jangka waktu selama 1300 tahun, yakni bersamaan dengan permulaan abad
ke 14 dalam kalendar Islam. Sudah tentu sebelum sampai ke kemuncak kegemilangan
tersebut, sebelum tiba ke titik kegemilangan Islam satu proses serta evolusi
perlu dilalui terlebih dahulu. Oleh itu jika Rasulullah saw bersama para
sahabat menjalani liku-liku perjuangan serta usaha gigih maka umat Islam pada
hari ini juga tidak terlepas dari tanggungjawab yang sama.
Hujah di
atas diperkuatkan lagi apabila Nabi Musa as yang pernah diutus kepada umat
Israil disamakan dengan Rasulullah saw sepertimana Allah swt berfirman,
“Sesungguhnya, Kami telah mengirimkan kepada kamu seorang rasul, yang menjadi
saksi atasmu, sebagaimana Kami pernah mengirimkan seorang rasul kepada Firaun.”
(Al Muzzammil : 16). Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan bahawa Rasulullah
saw adalah sama seperti nabi Musa as. Persamaan kedua-dua nabi Allah ini
sememangnya benar dan amat nyata. Persamaan fundamental, kedua-duanya membawa
kitab dan syariat baru, kedua-duanya berjuang secara fizikal mempertahankan
agama Allah, kedua-duanya hijrah demi kejayaan dan banyak lagi
persamaan-persamaan yang tidak dapat dijelaskan di sini. Satu lagi persamaan
yang tidak kurang pentingnya ialah sebaik sahaja tiba abad ke 14 sesudah Nabi
Musa as diutus maka diutus pula Isa Al Masih as bagi menghidupkan semula dan
memelihara syariat Nabi Musa as. Seiringan dengan persamaan ini sudah
seharusnya apabila abad ke 14 tiba sesudah Rasulullah saw diutus, seorang nabi
yang bergelar Isa Al Masih dari umat Islam pula pasti diutus bagi menghidupkan
semula dan memelihara agama Islam. Tidak ada yang silap tentang Islam kerana
kitab suci Al Qur’an tetap terpelihara sepertimana keadaan asalnya. Namun
perkara yang perlu dihidupkan dan dipelihara semula ialah cara umat Islam
mengamalkan syariat Islam yang sudah melencong jauh dari ketetapan Al Qur’an
dan sunnah Rasulullah saw. Kebangkitan Islam bagi kedua kalinya adalah tugas
dan misi besar Isa Al Masih atau Imam Mahdi. Oleh itu umat Islam hendaknya
sedar dari kealpaan dan terus berdoa
kepada Allah swt agar diberi petunjuk supaya dapat mengenal dan menjadi
pengikut setia kepada Isa Al Masih yang dijanjikan kemunculannya di akhir zaman
yakni pada abad ke 14 dalam silsilah kenabian Rasulullah saw. Jika Imam Mahdi atau Isa Al Masih sudah
diutus, di manakah dia? Adakah dia menyembunyikan diri? Adakah Umat Islam tidak
mengenalinya atau umat Islam menolaknya? Teruslah berdoa, semoga Allah Yang
Maha Mengetahui segera meleraikan kemusykilan ini.
Tanda Khusus Kedatangan Imam Mahdi
Rasulullah
saw memberi tanda yang begitu khusus bagi kedatangan Imam Mahdi iaitu satu
tanda dari Allah swt yang mana secara total di luar kemampuan manusia untuk
mencampurinya. Tanda ini benar-benar bakal menguji keimanan seseorang muslim
terhadap Imam Mahdi kerana apabila tanda ini menjadi kenyataan, mereka yang
pentingkan dunia dan takut kepada sesama manusia akan berusaha berdolak dalik
mengingkarinya. Rasulullah saw bersabda, ”Sesungguhnya bagi Mahdi kami ada
dua tanda yang belum pernah terjadi semenjak langit dan bumi diciptakan. Akan
terjadi gerhana bulan pada malam pertama, malam-malam gerhananya pada bulan
Ramadhan dan akan terjadi gerhana matahari pada hari pertengahan, hari-hari
gerhananya pada bulan Ramadhan itu juga.” (Darul Qutni, jilid II, halaman 65).
Tanda khusus ini telah dirakamkan oleh seorang ulama tersohor pakar hadis
bernama Syaikul Islam Sayyidina Ali bin Umar Ad-Darul Qutni. Beliau pernah
mencabar penduduk Baghdad sepertimana termaktub dalam sebuah buku bertajuk
Hasyiah Nukhbatul Fikir, halaman 56, ”Wahai penduduk Baghdad, janganlah
kamu kira bahwa seseorang akan berani mengadakan hadis-hadis palsu, sedangkan
saya masih hidup.” Syaikul Islam Sayyidina Ali bin Umar Ad-Darul Qutni
dengan kepakaran yang diberikan Allah swt padanya begitu yakin dapat membezakan
di antara hadis palsu dan benar sehingga beliau mencabar penduduk Baghdad pada
masa itu agar jangan ada di antara mereka yang berani mengada-adakan hadis
palsu selagi dia masih hidup.
Penjelasan
bagi hadis tersebut di atas ialah gerhana bulan boleh berlaku pada salah satu
daripada tiga malam iaitu pada 13, 14, dan 15 hari bulan (bulan purnama). Untuk
tanda Imam Mahdi yang diutus, menurut Rasulullah saw gerhana bulan pasti
terjadi pada malam pertama iaitu pada 13 hari bulan. Bagi gerhana matahari pula
boleh berlaku pada salah satu dari tiga hari iaitu pada 27, 28 dan 29 hari
bulan. Untuk tanda Imam Mahdi yang
diutus, menurut Rasulullah saw gerhana Matahari pasti terjadi pada hari
pertengahan iaitu pada 28 hari bulan. Selanjutnya menurut Rasulullah saw lagi,
kedua-dua gerhana ini mestilah terjadi dalam bulan Ramadhan yang sama. Tanda
ini amat unik dan ianya daripada Allah Yang Maha Berkuasa mengatur alam
cakrawala ini. Berkaitan tanda khusus ini, pasti ada yang mempertikaikannya
kerana sumbernya bukan dari hadis sahih sitah, dalam erti kata lain tergolong
dalam kategori hadis dhaif. Hadis yang dianggap dhaif bukan bermakna palsu,
malahan akan berubah menjadi sahih jika terbukti kebenarannya, hanya orang yang
ingkar sahaja yang akan terus menolaknya. Oleh itu jika ada orang mendakwakan
dirinya sebagai Imam Mahdi dan diikuti pula oleh gerhana yang disabdakan oleh
Rasulullah saw, maknanya dakwaan orang tersebut adalah benar. Jika orang yang
mendakwakan dirinya sebagai imam Mahdi didukung pula oleh tanda-tanda
sepertimana dalam hadis-hadis Rasulullah saw dan dalil-dalil dari Al Qur’an,
sudah tentu orang tersebut menjalani seluruh kehidupannya dengan berpandukan Al
Qur’an dan sunnah Rasulullah saw. Imam Mahdi ialah seseorang dari umat
Rasulullah saw dan akan merefleksikan kehidupan sebenar Rasulullah saw. Oleh
itu wajiblah bagi umat Islam menyelidikinya dengan mengkaji ajaran yang
dibawanya samada berdasarkan kepada Al Qur’an Karim dan sabda Rasulullah saw
atau sebaliknya. Jika sudah terbukti semuanya benar, adalah satu dosa yang amat
besar jika umat Islam menentang dan menolaknya. Sesuai dengan perintah
Rasulullah saw, meskipun terpaksa menghadapi bermacam-macan kesulitan dan
rintangan, umat Islam diwajibkan menerima dan mengikuti Imam Mahdi kerana dia
adalah khalifatullah, ”Apabila kamu melihat Imam Mahdi maka segeralah kamu
bai’at walaupun harus merangkak melalui rintangan salji kerana beliau itu
adalah khalifatullah Al Mahdi.” (Ibnu Majjah, halaman 315). Lantaran itu
menolak imam Mahdi sebagai rasul Allah di akhir zaman, maka akan terjejaslah
rukun iman seseorang muslim.
Benarkah Rasulullah saw Diutus Dalam Dua Zaman?
Allah swt
berfirman dalam surah Al Jum’ah : 3-4, “Dialah Zat yang telah mengutus di
tengah-tengah kaum yang ummi (buta huruf) seorang rasul dari antara mereka
sendiri, yang membacakan kepada mereka tanda-tandaNya. Mensucikan mereka dan
mengajarkan kepada mereka kitab dan hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelumnya
benar-benar dalam kesesatan yang nyata. Dan juga kepada kaum yang lain dari
mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah yang Maha Perkasa lagi
Maha Bijaksana”(Al Jum’ah : 3-4). Ayat ini menerangkan bahawa Allah swt
akan mengutus nabi Muhammad saw dua kali kepada dua kaum dan dua zaman yang
berbeza (… dan juga kepada kaum yang lain dari mereka yang belum berhubungan
dengan mereka…). Kaum yang pertama adalah penduduk Mekah (ummi=buta huruf)
dan kaum yang kedua adalah satu kaum yang tidak pernah bertemu dengan penduduk
Mekah yang buta huruf itu. Ini bermakna Rasulullah saw diutus kepada dua kaum
yang berada di dua zaman yang berbeza. Rasulullah saw telah wafat dan tidak
mungkin akan kembali lagi diutus buat kedua kalinya. Kesimpulannya, Allah swt
menjelaskan bahawa akan diutus seseorang tanpa membawa syariat baru dari umat
Rasulullah saw sendiri yakni umat Islam untuk mengembalikan ajaran Islam
sebenar yang pernah dibawa oleh Rasulullah saw. Ayat ini memberi harapan yang
amat besar dan penuh makna, bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan umat Islam,
Rasulullah saw sendiri telah memberikan tafsiran kepada ayat ini dan sudah
tentu di bawah bimbingan Allah swt. Diriwayatkan oleh Hazrat Abu Hurairah ra bahawasanya kami sedang duduk
bersama Rasulullah saw. Ketika
surah Jum’ah turun dan ketika sampai kepada ayat “waakharina minhum lamma
yalhaqubihim”, seorang sahabat bertanya: Ya Rasulullah, siapakah mereka itu?
Rasulullah saw tidak menjawab sehingga sahabat itu bertanya dua atau tiga kali,
kemudian rawi berkata, bersama kami ketika itu ada Salman Farsi (berasal dari
Iran), Rasulullah saw meletakkan tangannya di atas bahu Salman Farsi ra sambil
bersabda, “Bila iman (dari orang-orang Islam) telah terbang ke bintang Suraya,
maka seorang laki-laki atau lebih dari mereka ini (keturunan bangsa Farsi) akan
mengembalikannya” – (Bukhari, Kitabut Tafsir Surah Jum’ah). Rasulullah saw menggambarkan seseorang dari umat Islam
berketurunan bangsa Farsi (Iran) akan diberi tanggungjawab untuk menanamkan
semula keimanan di dada umat Islam. Apabila diambil kira fakta dari tafsiran
Rasulullah saw terhadap surah Al Jum’ah : 3-4 ini, maka personaliti hebat yang
dijanjikan kedatangannya di akhir zaman untuk memenangkan Islam hanya boleh
ditujukan kepada Isa Al Masih as sebagai Imam Mahdi.
Tiga Dalam Satu
Institusi
Khilafat, Imam Mahdi, Isa Al Masih adalah tiga entiti dalam satu, ianya akan
muncul serentak dan tidak boleh dipisahkan. Apabila institusi khilafat perlu
dihidupkan maka orang yang diberi kemampuan dan autoriti oleh Allah swt ialah
Imam Mahdi dan imam yang dimaksudkan ini menepati syarat Isa Al Masih yang
dinubuatkan kehadirannya di tengah-tengah umat akhir zaman iaitu umat Islam.
Sebagai kesimpulannya, institusi khilafat yang pernah ditegakkan di zaman
Rasulullah saw dan para sahabat akan dapat ditegakkan sekali lagi melalui Isa
Al Masih as yang dijanjikan di akhir zaman atau Imam Mahdi kerana ini merupakan
rencana Allah swt yang pasti akan terjadi. Apabila Rasulullah saw wafat maka
pengganti beliau saw adalah khalifah. Demikian juga, oleh kerana Imam Mahdi
atau Isa Al Masih as yang dijanjikan di akhir zaman berpangkat nabi maka
setelah wafat tugasnya akan diambil alih dan diteruskan oleh para khalifahnya.
Oleh itu sempurnalah gandingan dua sabda Rasulullah saw seperti mana telah
dibincangkan dalam bab sebelum ini dan firman Allah dalam surah As Sajdah: 6.
Sabda
Rasulullah saw:
“Akan
terjadi nubuat sampai waktu yang disukai Allah kemudian akan terjadi khilafat
seperti dalam nubuat sampai waktu yang dikehendaki Allah kemudian akan terjadi
kerajaan yang zalim sampai waktu yang disukai Allah kemudian akan terjadi
khilafat di atas nubuat” (Musnad Ahmad bin Hambal, Misykat)
“Abad yang terbaik adalah abadku, kemudian akan hidup
orang-orang di abad yang kedua, kemudian lagi akan hidup orang-orang di abad
ketiga, maka setelah itu kebenaran akan hilang sirna dan akan meluaslah kekejaman-kekejaman,
fenomena-fenomena dan ketidakseragaman” (Bukhari, jilid 2, halaman 186, cetakan
Mesir).
Manakala
firman Allah swt:
“Dia akan mengatur peraturanNya dari langit sampai ke
bumi, kemudian peraturan itu akan naik kepada Dia dalam satu hari, yang
hitungan lamanya seribu tahun menurut apa yang kamu perhitungkan” (As Sajdah:
6).
Sepertimana
telah dijelaskan sebelum ini, apabila dianalisa dua sabda Rasulullah saw dan
surah As Sajdah tersebut di atas maka pada abad ke empat belas Imam Mahdi atau
Isa Al Masih as yang dijanjikan kedatangannya di akhir zaman seharusnya sudah
sempurna, sila rujuk kembali topik sebelumnya, Bilakah Masanya Imam Mahdi Atau Isa Al
Masih as Yang Dijanjikan Tiba? Apakah
personaliti yang ditunggu ini sudah datang tetapi menyembunyikan diri ataukah
sabda Rasulullah saw tidak benar (nauzubillah minzalik)?
Umat Islam perlu sedar bahawa
penyatuan dan kekuatan ummah akan terlaksana apabila di tengah-tengah umat
Islam hadir satu kepimpinan yang diterajui oleh seorang yang bergelar khalifah.
Harapan umat Islam ini semenjak sekian lama telah berputik, namun tetap tidak
berkembang malahan terus menemui kegagalan. Khalifatullah untuk zaman ini hanya
akan menjadi realiti apabila Imam Mahdi atau Isa Al Masih as akhir zaman telah
diutus. Umat Islam tidak akan berjaya untuk menaik-takhtakan seorang Khalifah
di zaman ini kerana melantik seorang khalifatullah adalah tugas Allah swt.
Disebabkan inilah usaha demi usaha, percubaan demi percubaan oleh umat Islam
untuk menegakkan sistem Khilafat terus menemui kegagalan. Imam Mahdi dan
para khalifahnya adalah orang yang dipilih dan disucikan, dengan ketentuan
daripada Allah swt merekalah yang akan membongkar sekali lagi rahsia Al Qur’an
dan mempersatukan ummah di bawah naungan sunnah Rasulullah saw dan Al Qur’an
Karim. Dalam era inilah rahsia-rahsia Al Qur’an yang telah lama dilupakan
sekali lagi didedahkan oleh Allah swt dan umat manusia diseru untuk hidup
berpandukan Al Qur’an. Namun, perlu juga difahami bahawa perjuangan Rasulullah
saw selama 23 tahun tidak dapat menakluki hati seluruh bangsa di jazirah tanah
Arab. Perjuangan Rasulullah saw sesudah kewafatannya diteruskan oleh para
khalifah dan sahabat. Demikian juga halnya perjuangan Imam Mahdi dan para
khalifahnya akan memakan masa yang cukup panjang dan banyak rintangan serta
tentangan yang terpaksa ditempuhi termasuklah tentangan-tentangan hebat dari
umat Islam sendiri sepertimana yang terjadi ke atas Isa Al Masih as yang
terpaksa menghadapi tentangan umatnya sendiri khasnya dari kalangan para ulama
umat Israil.
Rasulullah saw bersabda
bahawa, “Sesungguhnya Islam itu mula-mula asing dan akan kembali menjadi
asing sebagaimana permulaannya maka dari itu berbahagialah bagi orang-orang
yang asing” (Muslim, Ibnu Majah, An-Nasa’i dan Kanzul Umal,JuzI/1192).
Ketika Nabi Muhammad saw menyebarkan agama suci Islam, ajarannya dianggap asing
kerana bertentangan atau berlainan dari amalan kebiasaan pada
waktu itu. Rasulullah saw juga telah menubuatkan (mengkhabarkan) bahawa
masyarakat Islam akan mengalami kerosakan sehingga mereka tidak dapat
membezakan ajaran Islam yang sebenar dengan Islam yang bercampur baur dengan
budaya atau adat tradisi yang diwarisi
dan sebati secara turun temurun. Tanpa mereka sedari bahawa ada
bahagian-bahagian kefahaman dan penafsiran mereka bertentangan sama sekali
dengan Al Qur’an dan ajaran Rasulullah saw yang sebenar. Apabila kelak Imam
Mahdi mengetengahkan ajaran Islam selari dengan Al Qur’an dan sunnah Rasulullah
saw maka ajaran tersebut mereka menganggapnya salah dan menyesatkan. Inilah
yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw bahawa, “Sesungguhnya Islam itu
mula-mula asing dan akan kembali menjadi asing sebagaimana permulaannya...”
kerana umat Islam sudah tidak mampu mengenal dan membezakan ajaran Islam
sebenar dengan budaya warisan. Imam Mahdi bukan sahaja ditentang oleh Dajjal
malahan lebih parah lagi umat Islam sendiri akan menjadi penentang serta
penghalang kepada ajaran serta perjuangan yang dibawanya. Seorang ulama
tersohor, Imam Muhyiddin Ibnu Arabi menulis, “Apabila Imam Mahdi datang,
waktu itu yang menjadi musuh-musuhnya tidak lain melainkan ulama-ulama dan
fuqaha” (Fatuhat Makkiyah, jilid III, muka surat 374). Pendapat Imam Muhyiddin Ibnu Arabi ini selari dengan
firman Allah swt dalam surah Az Zukhruf: 58, “Dan ketika Ibnu Maryam
dijadikan misal (mathalan) lihatlah kaum engkau bersorak (menentang)
kerananya.” Firman Allah swt ini menggambarkan keadaan umat Islam akan riuh
bangkit mencemuh orang yang mendakwakan dirinya sebagai Isa Al Masih as yang
dijanjikan bukan sahaja untuk umat Islam di akhir zaman malahan untuk seluruh
umat manusia. Orang yang dimisalkan sebagai Isa Al Masih as ini akan terpaksa
menghadapi tentangan bukan sahaja dari kaum Dajjal malahan dari umat Islam
sendiri khasnya dari mereka yang bergelar ulama. Tentangan ini wajib terjadi
sebagaimana penentangan para ulama Yahudi terhadap Isa Al Masih as dari bani
Israil sehingga mereka sanggup menyalibnya. Walau bagaimanapun ini adalah salah
satu lagi tanda kebenaran utusan dari Allah swt di mana setiap utusan pasti
ditentang seperti firmanNya, “Dan tidak datang seorang rasul pun kepada
mereka, melainkan mereka selalu memperolok-olokkannya” (Al Hijr : 12), “Dan
sesungguhnya telah datang kepada mereka seorang rasul dari mereka sendiri,
tetapi mereka mendustakannya; kerana itu mereka dimusnahkan azab dan mereka
adalah orang-orang yang zalim” (An Nahl : 114).
Memahami
Tetapi Gagal Dalam Praktik
Umat Islam yang seharusnya
bersatu padu dan dalam keadaan harmoni telah lama berpecah belah bukan sahaja
dalam isu pelbagai mazhab keagamaan tetapi juga dalam bidang politik. Kekuatan
umat Islam lenyap begitu sahaja disebabkan sibuk memikirkan kepentingan duniawi
demi kemajuan diri, keluarga atau kelompok hingga pertelagahan yang timbul
sesama umat Islam dianggap seolah-olah perkara lumrah. Meski pun masih ada
segelintir yang merasa bertanggungjawab untuk mengakhiri kemelut umat Islam
tetapi tidak mampu berbuat apa-apa. Lebih malang lagi pertelagahan sesama
sendiri ini dianggap jihad, umat Islam di satu pihak berjihad terhadap umat
Islam yang lain. Jika ini terus berlaku, apa lagi yang tinggal pada umat Islam
untuk membina sesebuah negara yang maju, aman dan makmur? Mampukah umat Islam
mempertahankan agama Islam? Oleh itu adalah wajib bagi umat Islam untuk
bersatupadu di bawah pimpinan seorang IMAM. Seorang imam bagi seluruh umat
Islam amat diperlukan, namun adalah mustahil memperolehi satu imam tanpa adanya
satu sistem berpayungkan institusi khilafat selari dengan kehendak Al Qur’an.
Institusi khilafat seperti ini hanya akan terwujud setelah perginya seorang
utusan Allah swt. Dalam institusi khilafat terdapat seorang khalifah, dia
adalah seorang pengikut setia kepada nabi sebelum itu
dan penerus dalam melaksanakan tugas-tugas nabi yang telah pergi. Segala
sesuatu yang berkaitan dengan sosial, ekonomi dan politik adalah tertumpu
kepada khalifah, inilah prinsip yang terdapat dalam sistem khilafat.
Umat
Islam amat memahami betapa perlu dan pentingnya perpaduan ummah tetapi gagal
melaksanakannya. Ini amat dirasai semenjak kewafatan Rasulullah saw. Amat jelas
bahawa perpaduan dan keharmonian di kalangan umat Islam adalah dituntut dalam
Islam kerana tanpa kedua-duanya tidak mungkin ajaran Islam dapat dipraktikkan
dengan sempurna. Jika direnungkan, dalam menunaikan solat berjemaah terkandung
pelajaran bagi umat Islam. Misalnya dalam melaksanakan solat di masjid, adalah
merupakan kebiasaan terdapat seorang imam dan di belakang imam terdapat makmum,
ini melambangkan tuntutan terhadap perlu wujudnya perpaduan di kalangan ummah
di bawah satu pimpinan. Solat Jumaat diwajibkan ke atas setiap individu muslim
dan ini adalah satu analogi di mana umat Islam dituntut untuk bersatu padu
dalam satu jemaah di bawah pimpinan seorang imam yang bertindak sebagai
pemimpin. Dalam solat Jumaat umat Islam dapat mendengar dan menerima nasihat
dari seorang imam, hal ini amat penting supaya umat Islam mengambil iktibar
betapa pentingnya peranan seorang imam dalam membimbing ummah dan betapa
penting ketaatan ummah terhadap seorang pemimpin. Imam diberikan tanggungjawab
yang amat besar, jika seorang imam melakukan kesilapan, makmum mestilah
mengikuti imam tersebut meskipun terpaksa turut melakukan kesilapan yang sama.
Perkara ini menyediakan pelajaran bahawa ketaatan amat diperlukan dari segenap
individu muslim terhadap pemimpin dan betapa pentingnya peranan seorang Imam
dalam memimpin serta mempersatukan ummah. Jika dalam sebuah masjid sahaja
seorang imam amat diperlukan sebagai seorang pemimpin, lebih-lebih lagi umat
islam di seluruh dunia sudah semestinya memerlukan seorang imam – KHALIFAH.
Mungkinkah umat Islam dapat hidup bersatu-padu, aman dan damai tanpa seorang
imam sebagai pemimpin yang wajib ditaati? Perhatikan realiti dalam kehidupan
umat Islam hari ini, terumbang ambing tanpa haluan disebabkan tidak mempunyai
satu pemimpin yang wajib ditaati oleh seluruh ummah. Demikian juga sebagaimana diketahui umum
oleh umat Islam, terdapat perintah dalam Al Qur’an untuk menghadapkan muka ke
arah satu kiblat yakni Ka’abah ketika solat. Ke mana sahaja seseorang itu
pergi, ketika melaksanakan solat dia tetap menghadap kiblat yang sama. Ini
jelas menunjukkan agar umat Islam sentiasa berada dalam perpaduan di bawah
pimpinan seorang imam atau khalifah. Malang sekali, walaupun semua umat Islam
yang melaksanakan solat menghadap kiblat ke Ka’abah namun tetap sahaja umat
Islam tidak memiliki khalifah kerana penyakit rohani yang dialami oleh umat
Islam ibarat penyakit kanser yang amat parah, umat Islam terus berpecah belah.
Di zaman para sahabat terdapat pemimpin yang bergelar khalifah kerana kondisi
kerohanian umat Islam pada masa itu jutaan kali lebih baik daripada kerohanian
umat Islam hari ini. Oleh itu umat Islam wajib mencari ubat penyembuh mujarab
kepada penyakit rohani yakni wajib kembali kepada sunnah Rasulullah saw dan Al
Qur’an Karim dan beramallah dengan amal saleh.
Umat Islam perlu saling
belajar serta melengkapi antara satu sama lain seperti mana yang dikatakan oleh
seorang cendikiawan Islam Indonesia, Dr Abdul Munir Mulkhan (2000) dalam kertas
kerja berjudul Jalan Baru Solidaritas Muslim Bagi Kemanusiaan sewaktu
seminar International “Revitalisasi Persatuan Umat Islam di Era Millenium III
di Universiti Gadjah Mada. Beliau
mengatakan; “konsensus atau
negosiasi di atas dilakukan untuk kepentingan sosial kolektif komunitas Muslim
dalam beragam mazhab. Dengan demikian terbuka bagi Sunni, Syiah, Sufi,
Ahmadiyah, Nahdatul Ulama (NU) atau Muhammadiyah dan aliran lain untuk
saling belajar mengenai pengalaman kegagalan atau kesuksesan masing-masing.
Elastisitas Sunni, Imamiah Syiah, jaringan global Ahmadiyyah, perlembagaan aksi
sosial dan pendidikan tinggi Muhammadiyah, atau pesantren dan kedekatan publik
NU biar diramu menjadi suatu jalan baru Muslim dalam memerankan dirinya di
tengah perkembangan peradaban baru di millennium ketiga ini.” Islam agama yang tidak hanya menciptakan
persaudaraan di kalangan kaum muslimin di atas landasan yang luas liputannya
melainkan juga menyatupadukan mereka sehingga keadaan mereka tak ubah laksana
sebuah tembok yang kukuh. Allah memerintahkan sesungguhnya segenap orang-orang
mukmin itu bersaudara, “Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara.
Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan
takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat” (Al Hujuraat : 11). Malah Rasulullah saw
bersabda, “Di dalam sayang-menyayangi, cinta-mencintai dan kesetiakawanan
engkau menyaksikan orang-orang mukmin adalah seperti satu tubuh. Bila salah
satu tubuh merasa sakit, tidak hanya bahagian itu sendiri yang merasa sakit
melainkan seluruh tubuh merasakan tidak dapat tidur dan demam (Bukhari). Marilah
mengamalkan pesan suci Nabi Muhammad saw ini dan jadikan Kalimah Syahadah "Laa
ilaha illallah, Muhammadur-Rasulullah” sebagai
pengikat kekuatan ummah demi menarik kecintaan Allah swt dan meneruskan misi
Rasulullah saw.
Assalamualaikum. Bukankah tiada rasul selepas rasul yg terakhir yakni Muhammad S.A.W? Adakah penelitian tafsir2 Al-Quran ini telah di persetujui oleh alim ulama? Apakah Imam al mahdi dtg dr nasab Rasulullah ( Ahlul Bait)? Adakah pandangan ni dipersetujui oleh habib habib tulen? Bukankan Isa a.s itu berbangsa yahudi dan imam mahdi itu berbangsa quraishy?
ReplyDelete