JANJI ALLAH
SWT
Abad
Kebangkitan Islam
Abad ini dikatakan abad
kebangkitan Islam yang boleh ditafsirkan bahawa akan terlepaslah ummat Islam
dari belenggu pelbagai masalah merangkumi kemunduran ekonomi dan sosial, dan
Islam sebagai agama yang akan menjadi pilihan dan anutan majoriti umat manusia,
umat Islam bakal menjadi model dan dihormati. Namun, bercerita tentang
kebangkitan Islam seolah-olah ingin diketengahkan satu kisah dongeng yang
melucukan untuk hiburan bangsa-bangsa dunia. Dari zaman ke zaman seolah-olah
tanpa penghujung kisah kebangkitan Islam terus menerus dikumandangkan sehingga
orang yang mendengarnya menjadi bosan dan muak. Islam dan umatnya terus terperosok
di bawah timbunan herdikan dan gurauan umat lain sebab dianggap sebagai umat
yang lemah dan jahil. Irama kebangkitan terus dimainkan tetapi tiada
tanda-tanda yang jelas untuk membuktikan bahawa umat Islam mampu kembali ke
zaman kegemilangannya. Buktinya, pada hari ini umat Islam terpaksa tunduk
kepada kekuatan kuasa-kuasa besar yang diketuai oleh Amerika Syarikat yang
menjadi kuasa raksasa dalam bidang militari. Manakala dari sudut
ekonomi, politik dan sosial pula, mereka seolah-olah menjadi “Tuhan” kerana
sebahagian besar masyarakat dunia berkiblat kepadanya dan mendewa-dewakannya.
Kekuasaan mereka seolah-olah tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa pun. Apakah
Allah swt akan terus mendiamkan diri terhadap semua kedajjalan yang dilakukan
oleh Amerika Syarikat dan sekutunya?
Sebenarnya Islam dengan
kekuatan RAHMAT ajaran Nabi Muhammad saw, akan menundukkan mereka dan memimpin
dunia ke arah kedamaian dan kemakmuran bagi menggantikan dunia yang penuh
kezaliman dan keganasan. Tiada sesiapa yang boleh menahan zaman kebangkitan
Islam sesuai dengan janji Allah swt, “Dan Kami tiada mengutusmu (Muhammad)
melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam” (Al Anbiyaa’ : 108) dan “Dialah yang mengutus RasulNya dengan
petunjuk dan agama yang benar supaya Dia memenangkanNya atas sekalian agama.
Dan cukuplah Allah sebagai saksi” (Al Fath : 29). Ayat-ayat
suci Al Quran ini mengandungi satu rahsia agung bahawa Allah swt sedang
mempersiapkan dunia dan zaman baru yang akan dipimpin oleh Islam. Dengan kata
lain, abad ini adalah akhir zaman atau penghujung kepada zaman
kegelapan Islam. Pemilik alam ini akan mendatangkan kiamat rohani bagi
membasmi segala kerosakan agama dan moral manusia, kemudian mewujudkan zaman
kebangkitan semula Islam yang akan menghidupkan kembali rohani manusia yang
telah mati melalui cahaya Rahmat ajaran Nabi Muhammad saw. Proses kebangkitan
Islam akan menyempurnakan janji Allah swt bahawa umat Islam adalah khaira
ummah (umat terbaik) kepada masyarakat dunia, sepertimana firman Allah
swt, “Kamu adalah umat yang terbaik
yang dilahirkan untuk manusia” (Ali ‘Imran : 111). Namun
begitu, zaman kebangkitan Islam yang dijanjikan oleh Allah swt sering terbantut
disebabkan oleh umat Islam sendiri melakukan kesalahan dan kelalaian yang
menimbulkan kemurkaan Allah swt. Justeru itu, umat Islam tiada pilihan lain
jika ingin melihat zaman kebangkitan Islam, mereka perlu mengenal-pasti dan
bertaubat dari dosa-dosa yang telah menimbulkan kemurkaan Allah swt. Sekaligus
membolehkan mereka memahami mengapa Allah swt seolah-olah mendiamkan diri untuk
membela umat Islam yang sedang menghadapi pelbagai bencana dan serangan
daripada musuh-musuhnya.
Kekuatan Suci
Rasulullah saw
Zaman kebangkitan Islam hanya
dapat disegerakan dan menjadi kenyataan jika umat Islam menjadikan Rasulullah
saw dan para sahabat ra sebagai contoh atau role model. Pada zaman
permulaan Islam ketika pengikut-pengikut Nabi Muhammad saw sedang menghadapi
penganiayaan yang luar biasa, Allah swt menurunkan khabar suka mengenai
kemenangan Islam. Musuh-musuh Islam yang mendengar wahyu ini telah
mentertawakannya kerana pada pandangan
mereka umat Islam tidak memiliki apa-apa kekuatan. Akhirnya mereka sendiri
kehairanan dan sedar apabila melihat betapa sempurnanya janji-janji Allah swt
yang mendatangkan kiamat kepada masyarakat Jahiliyah dan memulakan zaman baru
yang penuh keberkatan di bawah pimpinan Yang Mulia Nabi Muhammad saw. Umat
Islam memperolehi kemenangan dan kejayaan bukan disebabkan kekuatan senjata
tetapi keteguhan iman dan kepatuhan mereka kepada Allah swt dan Nabi Muhammad
saw. Kekuatan ini yang telah membolehkan mereka mampu menghadapi penganiayaan,
penentangan, kekerasan dan peperangan yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam
dan akhirnya mereka bukan sahaja mengalahkan kaum musyirikin Mekah malah turut menundukkan
dua super power iaitu Rom Timur dan Parsi. Hanya dengan cara ini saja
yang boleh mengalahkan super power dunia hari ini iaitu Amerika dan sekutunya.
Peristiwa yang sama akan
berulang lagi kerana Al Quran sendiri memberi gambaran bahawa kebanyakan kisah
di dalamnya akan mengalami pengulangan. Semua pihak merasakan umat Islam tidak
boleh bangkit lagi tetapi Allah swt memiliki perancangan suci dan Dia telah
berjanji untuk mengunggulkan Islam di atas agama-agama lain. Allah swt tidak
akan membiarkan kuasa-kuasa raksasa dunia untuk berterusan menyesatkan dan
mendatangkan kerosakan kepada dunia. Allah swt telah beberapa kali
menggoncangkan sistem ekonomi mereka dan mendatangkan dua azab yang besar melalui Perang Dunia Pertama (1914-1918) dan
Perang Dunia Kedua (1939-1945). Berdasarkan peristiwa tersebut, Allah swt amat
mudah untuk membantu umat Islam untuk mengalahkan kuasa-kuasa raksasa dunia ini
tetapi umat Islam mestilah terlebih dahulu berusaha untuk memperbaiki kecintaan
mereka kepada Allah swt dengan mengikuti serta mengamalkan pesan dan nasihat
suci Baginda saw. Allah swt memberi
jaminan kepada umat manusia jika mereka ingin dicintai olehNya, tiada lain
kecuali mengikuti langkah-langkah kehidupan dan akhlak Baginda saw, sepertimana
firmanNya, “Katakanlah, Jika kamu
benar-benar mencintai Allah, ikutlah aku, nescaya Allah mencintaimu” (Ali
‘Imran : 32). Sebenarnya, di sinilah terletaknya segala
kekuatan untuk memecahkan segala permasalahan umat Islam. Jika Allah swt
Pemilik Alam ini telah mencintai umat Islam, apakah ada kekuatan lain yang
mampu menahan kebangkitan dan kemenangan Islam pada abad ini?
Hentikan
Kezaliman dan Permusuhan Sesama Islam
Sepertimana yang telah
diperkatakan sebelum ini bahawa proses kebangkitan Islam yang dijanjikan oleh
Allah swt sering terhambat disebabkan oleh perbuatan umat Islam sendiri. Ada
sesuatu yang dibenci oleh Allah swt, di antaranya adalah perpecahan dan
permusuhan sesama umat Islam. Kesalahan ini merupakan antara dosa yang telah
dan sedang menimbulkan kemurkaan Allah swt yang amat besar. Umat Islam hari ini
mempunyai amalan keji yang amat tidak disukai Allah swt seperti amalan dusta
dan fitnah serta kekerasan bagi tujuan menjatuhkan saudara seagamanya.
Disamping itu, sebilangan umat Islam begitu mudah menggunakan kata-kata
menyesat dan mengkafirkan kelompok Islam yang lain jika pendapat dan pandangan
pihak lain tidak selari dengan pendapat dan pandangan mereka. Bagi
memperkukuhkan dakwaan tersebut pelbagai fitnah direka-rekakan. Islam memandang
keji terhadap fitnah memfitnah sehingga mengumpamakan dosa memfitnah itu lebih
merbahaya daripada perbuatan membunuh, “... dan fitnah itu lebih besar
bahayanya daripada pembunuhan...” (Al Baqarah : 192).
Sememangnya fitnah memfitnah
merupakan senjata yang paling kotor kerana kemampuannya mengakibatkan
pergaduhan, pembunuhan dan kerosakan
yang tidak disenangi oleh Allah swt. Malah Nabi Muhammad saw juga pernah
bersabda bahawa dusta adalah ibu kepada kejahatan kerana satu dusta akan
melahirkan lebih banyak dusta untuk menutupi dusta-dusta yang sebelumnya.
Ini adalah di antara dosa-dosa umat Islam yang telah menimbulkan kemurkaan
Allah swt kerana menyuburkan kebencian, prasangka buruk, permusuhan,
ketidakadilan, penganiayaan dan kezaliman sesama Islam. Dosa ini yang menyebabkan
permusuhan sesama Islam menjadi semakin besar dan telah menghalang umat Islam
daripada bersatu, pada hal ajaran Islam telah meruntuhkan semua tembok pemisah
bagi membentuk ukhuwah Islamiyah. Atas dasar itu, Allah
swt memberi pelbagai perintah dan peringatan kepada umat Islam untuk
menyelamatkan mereka daripada permusuhan sesama sendiri dan mengelakkan orang
Islam menjadi pengikut kepada golongan yang dimurkai Allah swt.
Lakukanlah
Penyelidikan
Salah
satu perintah Allah swt kepada umat Islam untuk menghindarkan mereka daripada
perangkap dosa akibat mempercayai sesuatu yang bersifat fitnah ialah kewajipan
untuk melakukan penyelidikan dan penelitian. Peringatan Al Quran wajib
dijadikan panduan agar umat Islam tidak mudah terjerat dengan mempercayai apa
yang disampaikan dan diberitakan kepada mereka.
Allah swt berfirman, “Hai orang-orang yang beriman,
jika datang kepada kamu orang fasik dengan suatu berita, maka selidikilah agar
kamu tidak mencelakakan suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya, kemudian kamu
menyesal atas perbuatanmu itu” (Al Hujuraat : 7). Penyakit malas untuk
melakukan siasatan atau penyelidikan akan membuahkan dosa lain iaitu sikap
berprasangka buruk. Masalah ini juga disentuh oleh Allah swt, “Hai
orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan
daripada prasangka, sesungguhnya
sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu
mencari-cari kesalahan orang lain” (Al
Hujuraat : 13). Dosa
seperti ini yang sedang bermaharajalela di kalangan umat Islam, mereka cepat
mempercayai sesuatu berita dan lebih biadap lagi mereka menokok tambah berita
tersebut sehingga pihak lain yang mendengar berita tersebut mempercayainya.
Berita-berita seumpama ini bakal menambahkan kebencian dan prasangka buruk
masyarakat terhadap seseorang atau kaum.
Seharusnya umat Islam tidak
terperangkap dengan dosa seperti ini yang hanya timbul disebabkan kemalasan
mereka untuk membaca, membuat penyelidikan dan kajian daripada sumber sebenar.
Adalah amat tidak bijak jika ingin mengetahui sesuatu tentang seseorang atau
lebih luas lagi sesebuah organisasi atau Jemaah dengan bertanya kepada orang
yang memusuhi organisasi/Jemaah atau
orang tersebut. Dengan kata lain, adalah satu kejahilan jika seseorang yang
ingin mengetahui kebenaran Rasululllah saw dengan bertanya kepada Abu Jahal dan
menjadikan kenyataan Abu Jahal sebagai pedoman untuk menerangkan akhlak Baginda
saw. Sudah pasti kenyataan bersifat dusta dan fitnah yang akan diperolehi oleh
orang yang bertanya tadi. Ingatlah permainan dusta atau fitnah adalah senjata yang
sering digunakan oleh musuh-musuh Islam di zaman Nabi Muhammad saw sehingga
kekuatan cahaya kebenaran Rasulullah saw hampir-hampir padam akibat kekotoran
dusta dan fitnah. Baginda saw difitnah sebagai pendusta, pemecah belah
masyarakat, ahli sihir, orang gila, penyembah bintang dan sebagainya untuk
menakut-nakutkan masyarakat supaya tidak mendekatinya. Sehingga hari ini,
fitnah-fitnah itu masih dilakukan oleh musuh-musuh Islam terutamanya di
negara-negara Barat untuk mencapai objektif yang sama. Lebih buruk lagi umat
Islam turut serta samada secara sedar atau tidak dalam melakukan perkara yang
serupa. Bercambahnya perpecahan di kalangan umat Islam sesudah kewafatan
Rasulullah saw adalah disebabkan ada di kalangan umat Islam tidak takut pada
Allah swt, menyemarakkan dusta dan fitnah dalam masyarakat Islam dan majoriti
umat Islam pula tidak mengamalkan firmanNya, “Hai
orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik dengan suatu
berita, maka selidikilah agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum tanpa
mengetahui keadaannya, kemudian kamu menyesal atas perbuatanmu itu” (Al
Hujuraat : 7).
Elakkan
Berprasangka Buruk Terhadap Agama
Kristian atau
Agama Lain
Dalam menghadapi ancaman
fitnah-fitnah oleh musuh-musuh Islam pula, umat Islam perlu banyak mengkaji dan
mendalami ilmu agama Islam serta mempelajari agama-agama lain khususnya agama
yang ramai pengikut seperti Kristian,
Hindu dan Buddha. Selama ini akibat kekurangan membaca dan malas menggali ilmu
mengakibatkan umat Islam bersikap tertutup dan ini menyuburkan penyakit
berprasangka buruk. Apa yang dikesalkan selama ini, para ulama sering
mengingatkan umat Islam mengenai bahaya Kristianisasi tetapi mereka tidak
dibekalkan dengan ilmu yang secukupnya untuk menghadapi ancaman ini. Masalah
ini menyebabkan umat Islam menjauhkan diri daripada berbicara mengenai agama
dengan penganut agama Kristian atau agama lain dan tanpa disedari masalah ini
telah membantutkan proses dakwah Islam secara efektif dan komprehensif. Keadaan
menjadi bertambah buruk apabila ada sesetengah ulama Islam yang terlalu
berhati-hati dan prejudis terhadap agama-agama lain terutamanya agama Kristian.
Mereka menanamkan sikap benci dan sering mengelak untuk berbincang atau
berdebat secara sihat dengan tokoh-tokoh agama lain. Malah, pernah suatu ketika
ada ulama yang berfikiran sempit mengeluarkan fatwa bahawa Al Quran tidak boleh
dialih bahasa dan dicetak, mikrofon dan pembesar suara dilarang untuk digunakan
semasa khutbah atau mengumandangkan azan. Alasannya disebabkan peralatan tersebut
dicipta oleh masyarakat Barat (Kristian) yang dianggap sebagai “syaitan”.
Betapa ruginya jika seseorang
memiliki sikap berprasangka buruk. Mujurlah Nabi Muhammad saw meninggalkan
beberapa peristiwa untuk umat Islam pada hari ini menilai sendiri sikap keterbukaan
dan tolak ansur terhadap agama-agama lain. Rasulullah saw memperlihatkan sikap
toleransinya kerana Baginda saw menjauhi sikap berprasangka buruk dan ini
dilakukan demi menarik mereka kepada Islam. Salah satu peristiwa tersebut
ialah, “Satu perutusan suku Kristian dari Najran menghadap Baginda saw di
Madinah untuk berbincang dan bertukar-tukar fikiran dalam masalah keagamaan. Perbincangan
itu diadakan di dalam masjid dan berjalan beberapa jam. Kemudian perutusan itu
meminta izin meninggalkan masjid bagi mengadakan upacara ibadah di suatu tempat
yang tenang. Rasulullah saw bersabda bahawa mereka tidak perlu meninggalkan
masjid yang memang merupakan tempat khusus untuk ibadah kepada Tuhan dan mereka
dapat melakukan ibadah mereka di dalam masjid” (Zurqani). Sikap keterbukaan dan
toleransi Baginda saw telah mencairkan hati ramai orang-orang kafir yang degil
dan keras hati larut bersama Islam dan kecintaan terhadap Allah swt.
Islam Berdiri
Dengan Dalil
Apa yang lebih menyedihkan
lagi ialah kerana masih ada ulama yang melarang orang Islam membaca Bibel atau
kitab Injil, dan larangan ini dibuat kerana kononnya boleh menyesatkan umat
Islam sedangkan umat Kristian melalui golongan orientalis Barat telah mengkaji
Al Quran secara mendalam. Tujuan mereka bukan untuk memeluk agama Islam tetapi
untuk mencari kelemahan Al Quran untuk digunakan bagi menentang Islam.
Seharusnya umat Islam menggunakan pendekatan yang sama melahirkan pakar Bibel
untuk melawan balik serangan tersebut. Para ulama tidak perlu bimbang kerana
keunggulan Al Quran tidak mungkin dapat ditandingi oleh mana-mana kitab
termasuk kitab Bibel.
Jika umat Islam mendalami
Bibel dan menjelaskan kandungannya dengan baik, sudah tentu mereka tidak ada
selera untuk memeluk agama Kristian kerana Al Quran jauh lebih unggul dan
sempurna daripada Bibel. Persoalan lain yang sering menghalang ialah bagaimana
caranya bagi membuktikan keunggulan Islam kepada penganut agama Kristian jika
tidak menyentuh dan membaca Bibel? Ketahuilah bahawa agama-agama dunia yang
masih ada pengaruh kuat hingga ke hari ini seperti Kristian, Hindu, Buddha dan
lain-lain adalah agama berasal dari satu sumber kerana Allah swt berfirman, “Dan
untuk setiap umat ada seorang rasul..”(Yunus : 48), “... dan tiada sesuatu kaum
pun melainkan seorang Pemberi Peringatan telah berlalu...”(Al Faathir : 25),
“Dan sesungguhnya telah Kami bangkitkan dalam setiap umat seorang rasul...”(An
Nahl : 37), “Dan (Kami telah mengutus) para Utusan, yang sebelumnya telah Kami
kisahkan kepada engkau, dan para Utusan yang tak Kami kisahkan kepada engkau” (An Nisa : 165).
Pada akhir ayat ini Allah swt menekankan, “Para Utusan, mereka pembawa
khabar baik dan memberi peringatan, agar manusia tak mempunyai alasan untuk
menentang Allah setelah (datangnya) para Utusan. Dan Allah Maha-perkasa,
Maha-bijaksana” (An Nisa : 166). Oleh itu umat Islam hendaklah mempelajari
agama-agama lain kerana ianya adalah jambatan kepada agama Islam. Umat Islam
hendaknya mampu membuktikan dengan dalil yang bernas dari kitab-kitab agama lain
bahawa Islam adalah agama terakhir untuk seluruh umat manusia.
No comments:
Post a Comment