DEFINISI
ISLAM VERSI RASULULLAH SAW
Ramai
yang salah faham mengenai tindakan Nabi Besar Junjungan Muhammad saw memecahkan
berhala ketika peristiwa Fatah Mekah. Rasulullah saw membinasakan 360 berhala di sekeliling dan
di dalam Kaabah, pemusnahan ini adalah untuk mengembalikan fungsi Kaabah kepada
tujuan asalnya sebagai tempat peribadatan sewaktu dibina oleh Nabi Ibrahim as
dan anaknya Nabi Ismail as. Tindakan ini bukan bermaksud Rasulullah saw
mengizinkan orang Islam untuk membinasakan berhala-berhala di kuil-kuil
peribadatan agama lain. Buktinya, kajilah sabda Rasulullah saw ini dengan
sebaik-baiknya kerana ianya mengandungi nasihat menjernihkan kekaburan fahaman,
“Aku sangat meminta kepada kamu supaya takut kepada Tuhan dan berlaku
adillah terhadap orang-orang Muslim yang berangkat berserta kamu. Pergilah
berperang atas nama Allah dan gempurlah musuh di Syria yang merupakan musuhmu
dan musuh Allah. Jika kamu datang ke Syria, kamu akan berjumpa dengan mereka
yang banyak mengadakan zikir Ilahi di dalam rumah-rumah peribadatan mereka,
kamu hendaknya jangan berbantah dengan mereka dan jangan mengganggu mereka. Di
negeri musuh itu, janganlah membunuh wanita dan kanak-kanak atau orang buta
atau orang-orang yang sudah tua, jangan menumbangkan pohon dan merebahkan
bangunan-bangunan”(Halbiyya, Jilid 3).
Berpandukan kepada nasihat
Rasulullah saw, betapa cantik dan indahnya Islam kerana dalam keadaan
peperangan sekalipun perkara tersebut di atas dititik-beratkan. Bentuk
peperangan seperti inilah yang diberkati oleh Allah swt dan bukan seperti hari
ini umat Islam melancarkan serangan dengan merempuh segala pesan suci
Rasulullah saw. Kejahilan seperti ini mengakibatkan umat Islam sering kalah
dalam peperangan kerana apa yang mereka lancarkan tidak menepati kehendak Allah
swt. Perhatikan baik-baik perkara ini bahawa jika dalam keadaan perang
sekalipun, umat Islam tidak dibenarkan merosakkan rumah peribadatan agama lain,
apalagi dalam keadaan aman. Jadi, rumah peribadatan agama lain tidak boleh
dirosakkan, lebih-lebih lagi jika ada umat Islam dari satu mazhab merosakkan
rumah ibadah umat Islam dari mazhab lain. Tetapi inilah yang selalu terjadi,
umpamanya di Pakistan, mazhab Sunni menyerang mazhab Shiah, di Indonesia mazhab
Sunni berusaha sedaya upaya untuk melenyapkan Jemaah Ahmadiyah dan begitulah
seterusnya. Demikian jugalah dalam ideologi politik yang berbeza, umat Islam
sanggup fitnah-memfitnah dan lebih parah lagi sanggup berbunuh-bunuhan sesama
saudara Islam, lihat apa yang berlaku di Palestin, kumpulan Fatah dan Hamas
saling berbunuh-bunuhan, di Libya penyokong kerajaan dan penyokong anti
kerajaan bertempur sesama sendiri. Di dalam rumah ibadah sekalipun berlaku pembunuhan.
Bagaimana dengan Negara Malaysia yang dicintai ini? Apakah ini yang diajarkan
oleh Rasulullah saw?
Besarlah kemurkaan Allah swt apabila ada segelintir orang yang
menggelarkan diri mereka sebagai Jemaah Islam sanggup merosakkan masjid atau
rumah Allah swt yang memiliki kalimat, "Laa
ilaaha illallaah Muhammadur Rasuulullaah”. Allah swt telah memberi peringatan yang sangat
keras kepada golongan yang mahu menghalangi orang Islam lain daripada menyebut
nama Allah swt di dalam rumahNya sepertimana firmanNya, “Dan siapakah yang
lebih aniaya dari orang yang menghalangi menyebut namaNya di dalam
masjid-masjid Allah dan berusaha untuk merosakkannya? Mereka tidak layak masuk
ke dalamnya kecuali dengan rasa takut. Bagi mereka di dunia ada kehinaan dan
bagi mereka di akhirat tersedia azab yang besar” (Al Baqarah : 115). Berdasarkan
kepada ayat Al Quran ini, rumah Allah swt adalah tempat di mana nama Allah swt
dipuji dan diagungkan. Oleh itu, mana-mana tempat atau bangunan yang digunakan
secara tetap untuk menyembah Allah swt, itu adalah masjid. Oleh itu sesiapa
yang menghalangi seseorang untuk menyebut dan menyembah Allah swt di dalam
rumahNya maka Allah swt akan memberi kehinaan dan mendatangkan azab yang sangat
pedih kepada mereka. Malah Allah swt memberikan keizinan kepada mereka yang
dianiaya dan diusir tanpa sebab yang benar untuk mengangkat senjata melawan
golongan yang melakukan penganiayaan dan pengusiran, semata-mata kerana mereka
berkata Tuhan kami ialah Allah. Maka Allah swt berjanji untuk memberi kemenangan,
sepertimana firmanNya, “Telah
diperkenankan untuk mengangkat senjata bagi mereka yang telah diperangi,
disebabkan mereka telah diperlakukan dengan aniaya dan sesungguhnya Allah
berkuasa menolong mereka. Orang-orang yang telah diusir dari rumah mereka tanpa
sebab yang benar, hanya kerana mereka berkata, “Tuhan kami ialah Allah.” .....
(Al Hajj :40-41).
Definisi
Islam Versi Rasulullah saw
Jika
ditelusuri, semua masalah ini berpunca apabila ada pihak yang menokok tambah
dan membuat definisi sendiri tentang status seseorang itu Islam, atau tanpa
merujuk kepada Al Quran dan sabda Nabi Besar Junjungan kita Muhammad saw. Dalam
hadis Shahih Muslim, Kitabul Iman, Jibril telah datang kepada Rasulullah saw
dalam jelmaan seorang manusia dan bertanya kepada Baginda saw: “Hai
Muhammad! Beritahukanlah kepadaku tentang Islam.” Rasulullah saw bersabda :
“Islam, ialah hendaknya bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan bahawa
Muhammad adalah Utusan Allah, mendirikan solat, memberikan zakat, berpuasa di
bulan Ramadhan, dan beribadah haji ke Baitullah jika engkau mampu menempuh di
jalannya. Orang itu (Jibril) berkata “Engkau benar!”. Difinisi Islam versi Rasulullah saw amatlah
mudah dan sederhana. Kesimpulannya, sesiapa pun dari kalangan umat Islam boleh
saja berbeza pendapat tetapi tidak bermakna dibenarkan saling tuduh menuduh
atau saling kafir mengkafirkan serta serang menyerang sehingga membawa kepada kerosakan serta kemusnahan harta benda dan
nyawa.
Pelajarilah kisah ini,
Rasulullah saw pernah kecewa dan sangat kesal kepada Usamah bin Zaid apabila
Rasulullah saw diberitahu bahawa Usamah membunuh seorang kafir yang mengucapkan
Kalimah Syahadah di dalam satu peperangan. Usamah bin Zaid membela dirinya
dengan mengatakan bahawa beliau berbuat demikian kerana beranggapan bahawa
orang kafir itu hanya mengucapkan Kalimah Syahadah disebabkan takut kepada
pedang yang dihayunkan olehnya dan bukan atas dasar keimanan yang sejati.
Rasulullah saw sangat marah dengan alasan yang diberikan sambil bersabda, “Apakah
engkau sudah membelah hatinya untuk membuktikan kenyataan itu?” (Shahih
Bukhari, Kitabul Maghazi, bab ba’tsi
an-Nabi Usmata ibna Zaid ila al-huruqat min juhainah, halaman 612). Berdasarkan
hadis sahih ini, ucapan Kalimah Syahadah seseorang yang dilafazkan di mulut adalah
memadai untuk mengiktiraf seseorang itu sebagai Islam. Apapun yang terdapat
dalam hati orang tersebut, itu hanyalah Allah swt yang memberi pengiktirafan
kepadanya. Tidak boleh menuduh seseorang mengucapkan Kalimah Syahadah hanya
berpura-pura atau menuduh mereka mengucapkan di mulut lain tetapi di hatinya
lain. Tuduhan tersebut tidak boleh dilakukan kerana perkara ini bukan urusan
manusia tetapi adalah hak mutlak Allah swt. Justeru itu, tiada pihak atau mana-mana ulama yang boleh menokok
tambah kepada definisi Islam yang ditetapkan oleh Rasulullah saw. Dengan kata
lain, selagi golongan tersebut mengamalkan Rukun Islam yang disabdakan oleh
Nabi Besar Muhammad saw, mereka adalah ISLAM dan tiada sesiapa pun yang boleh
melucutkan status tersebut. Oleh itu sama ada seseorang itu mengucapkan kalimah
syahadah hanya di mulut sahaja atau sebaliknya, itu adalah urusan Allah swt
dengan orang tersebut. Para ulama atau sesiapa sahaja tidak ada hak menentukan
seseorang itu benar atau salah, seseorang itu Islam atau kafir, lebih-lebih
lagi jika diikuti dengan serangan fizikal di mana Rasulullah saw amat kesal
dengan tindakan Usamah bin Zaid menyerang dan membunuh orang yang sedang
mengucapkan Kalimah Syahadah. Demikianlah indahnya ajaran Islam yang diajarkan
oleh Rasulullah saw lebih 1400 tahun dahulu. Apakah ajaran tersebut tidak
sesuai lagi untuk diamalkan pada hari ini sehingga begitu mudahnya seseorang
menghukum dan mengkafirkan saudara seagamanya sendiri?
Apakah jika seseorang Islam
meminum arak, berzina, mencuri, tidak solat lima waktu, tidak mengamalkan apa
yang diamalkan oleh orang lain boleh dilabel sebagai orang terkeluar dari agama
Islam, murtad dan kafir? Oleh itu, janganlah terikut-ikut mengkafirkan pihak
lain, pendapat yang berbeza ataupun tindak-tanduk seseorang Islam tidak
menepati cita rasa orang Islam yang lain atau ajaran Islam, tidak bermakna
orang tersebut boleh difatwakan murtad dan kafir. Hal seperti ini hanya memberi
gambaran kepada tahap kesempurnaan keimanan dan ilmu yang dimiliki orang
berkenaan. Cukuplah Kalimah Syahadah dan Rukun Islam sebagai panduan untuk
menentukan seseorang itu Islam atau tidak.
Rasulullah saw bersabda, “Barang siapa memanggil dan menyebut
seseorang kafir atau musuh Allah padahal sebenarnya bukan demikian, maka
ucapannya itu akan kembali kepada orang yang mengatakan (menuduh) itu” (Bukhari).
Sabda ini memperlihatkan betapa besarnya dosa mengatakan orang lain kafir dan
murtad. Perkara seperti ini nampaknya sudah menjadi lumrah di kalangan umat
Islam hari ini. Sebahagian besar umat Islam dengan mudah mempercayai sesuatu
yang dikatakan oleh orang lain, lebih-lebih lagi yang dikatakan itu keluar dari
mulut seesorang yang bergelar ustaz atau ulama tanpa menyelidiki mungkin yang
dikatakan itu adalah fitnah belaka. Sabda suci Rasulullah saw juga
memperlihatkan Islam amat menjaga keutuhannya dan tidak membenarkan sebarang
bentuk perbezaan penafsiran dijadikan alasan untuk mengkafirkan kelompok Islam
yang lain. Selagi umat Islam bermain isu keji ini maka selama itulah mereka
akan diazab dengan kehinaan oleh Allah swt. Berhati-hatilah, kesilapan dan
kelalaian seperti ini boleh menjejaskan pengabulan doa-doa umat Islam yang kini
dilanda pelbagai masalah dan musibah. Allah swt amat mengetahui
keburukan isu mengkafirkan dan memurtadkan yang bakal terjadi di dalam umat
Islam, maka Dia memberi petunjuk yang terbaik untuk
menyelamatkan umat Islam dari perangkap tersebut. Allah swt berfirman, “Hai
orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi berjihad di jalan Allah, maka
selidiki sebaik-baiknya dan janganlah kamu mengatakan kepada orang yang
memberi salam kepadamu “Engkau bukan mukmin”,
Kamu hendak mencari harta kehidupan di dunia, padahal di sisi Allah
banyak kekayaan” (An Nisaa’ : 95).
Apa yang perlu diberi
perhatian ialah berdasarkan kepada ayat Al Quran tersebut di atas, hanya
perkataan salam sahaja telah menyebabkan Allah swt memerintahkan
jihad itu harus dihentikan. Jika perkataan salam sahaja sudah memadai, apalagi
jika seseorang itu atau satu kumpulan atau lebih tepat lagi sebuah jemaah
mengakui diri mereka sebagai Islam dan terpampang Kalimah Syahadah di masjid
mereka. Oleh itu, umat Islam perlu berhati-hati apabila mendengar sesuatu
kelompok Islam dikatakan kafir atau murtad, jadikanlah peringatan Allah swt di
atas sebagai panduan. Kalau perintah ini diabaikan juga pasti Allah swt
menurunkan azabnya.
Wujud Paling
Buruk?
Persoalan yang timbul di
kalangan umat Islam, siapakah yang bertanggungjawab mencemari kesucian agama
Islam sebagai agama kedamaian dan mengambil hak Allah swt dengan menyesatkan
dan mengkafirkan sesama Islam sehingga berlaku kepada pembunuhan dan kerosakan?
Dalam hal ini bukan niat untuk memburuk-burukkan ulama tetapi ingin
mengingatkan pesan suci Nabi Muhammad saw. Baginda saw telah memberikan
gambaran yang paling tepat mengenai sebahagian ulama Islam di zaman ini yang
dianggap sebagai wujud yang paling buruk di bawah kolong langit dan seperti
kera serta khinzir. Mengapa perumpamaan yang keras seperti ini disabdakan oleh
Rasulullah saw?
“Akan ada dalam umatku orang-orang
yang kurang percaya diri, lalu manusia kembali kepada ulama mereka, ternyata
mereka itu kera-kera dan babi-babi”( HR Al Hakim dalam Al Mustadrak dari Hazrat
Abi Ummah r.a: dan Kanzul-Umal, Juz XIV/38727).
“Akan
datang, satu zaman pada manusia di mana tidak ada lagi yang tinggal dari Islam
kecuali namanya dan dari Al Quran yang akan tinggal hanya tulisannya.
Masjid-masjid makmur tapi kosong dari petunjuk. ULAMAnya akan menjadi wujud PALING
BURUK di bawah kolong langit. Kekacauan fitnah akan keluar dari mereka
tetapi akhirnya kembali kepada mereka juga” (Baihaqi).
Berdasarkan kepada hadis di
atas, sememangnya wujud golongan dalam masyarakat Islam sepertimana disabdakan oleh Baginda saw yang tidak tahu
apa-apa mengenai ilmu agama lalu merujuk kepada para ulama mereka dan para
ulama ini pula adalah wujud yang paling buruk di bawah kolong langit. Salah
satu bukti yang menggambarkan sifat ulama ini dan menyempurnakan sabda suci
Rasulullah saw ialah dengan mudahnya mereka mengeluarkan fatwa mengkafirkan
kumpulan Islam yang lain. Apabila para ulama mereka mengeluarkan fatwa tersebut
maka para pengikutnya mempercayai dan mengikut tanpa menyelidiki kesahihannya.
Manakala ulama tersebut pula mengatakan mereka mengeluarkan fatwa tersebut
kerana merujuk atau mengikut fatwa yang disepakati oleh ulama antarabangsa atau
ulama terdahulu. Sifat ini yang diumpamakan oleh Rasulullah saw sebagai “kera”
iaitu suka meniru sahaja tanpa memahami atau menyelidiki sendiri tentang
kedudukan perkara sebenar.
Sifat babi atau khinzir yang
kita ketahui adalah suka kepada kekotoran, najisnya pun dimakannya dan ini
melambangkan sifat tidak tahu malu yang bermaksud golongan ini bukan sahaja
suka meniru atau menurut sahaja, malah tidak tahu malu untuk melakukan dusta
dan fitnah. Golongan ini yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw seperti “kera”
dan “khinzir” kerana mereka mengikut sahaja memfatwakan dan menabur
fitnah-fitnah kepada orang-orang Islam lain sebagai sesat dan bukan Islam
padahal golongan yang dikatakan sesat itu adalah orang Islam. Fitnah dan
pembohongan ini yang menyebabkan Rasulullah saw terpaksa menggunakan
perumpamaan yang sangat keras. Ini adalah kerana Rasulullah saw mengetahui
fitnah dan pembohongan seperti ini akan menyebabkan berlakunya keganasan dan
kekerasan dengan menyerang, membakar, merosak, mencedera dan membunuh. Lebih
biadap lagi, mereka memakai dan melaungkan nama Allah swt Yang Maha Pengasih
dan Penyayang semasa melakukan perbuatan keji ini. Padahal Allah swt tidak suka
kepada kerosakan, “...Sesungguhnya Allah
tidak menyukai orang-orang berbuat kerosakan.” (Al Qashash : 78).
Perbuatan memfitnah dan
menggunakan kekerasan adalah bukti bahawa umat Islam hanya pada nama sahaja,
Islam dan Al Quran hanya tinggal tulisan sahaja kerana majoriti umat Islam
telah membelakangkan ajaran Al Quran sehingga sanggup menyerang masjid dan
membunuh orang Islam yang difitnah. Masjid-masjid golongan para ulama yang
dimaksudkan besar-besar dan indah-indah belaka tetapi kosong dari petunjuk
kerana masjid mereka menjadi medan menabur fitnah-fitnah kepada orang lain agar
masyarakat membenci dan menjauhi kelompok yang dianggap tidak sealiran dengan
pemikiran mereka. Namun begitu berdasarkan kepada hadis yang sama juga
memperlihatkan bahawa Allah swt akan memberi petunjuk dan membongkar
pembohongan mereka dan masyarakat akan melihat sendiri bagaimana fitnah itu
akan kembali kepada golongan ulama berkenaan. Masyarakat akan melihat sendiri
dan sedar bahawa golongan ulama tersebutlah yang sesat dan menghina Rasulullah
saw kerana mengeluarkan fatwa yang berunsur fitnah dan melakukan percakapan
serta perbuatan yang bertentangan dengan ajaran suci Al Quran dan Sunnah Nabi Muhammad saw. Oleh
itu sempurnalah firman Allah swt, “Dan Rasul itu akan berkata, ‘Ya Rabbi,
sesungguhnya kaumku telah memperlakukan Al Quran ini sebagai sesuatu yang telah
ditinggalkan” (Al Furqaan : 31). Amat jelas bahawa rasul yang dimaksudkan
itu mengadu kepada Allah swt dalam keadaan kesal dan sedih. Inilah yang terjadi
dan sedang berlaku dalam umat Islam, ramai yang membaca Al Quran, masjid-masjid
ramai pengunjung namun apa yang dikesalkan adalah amalan yang dituntut oleh Al
Quran adalah sesuatu yang telah ditinggalkan.
Murtad
Dihukum Bunuh?
Dari mana sumber hukum ini, Al
Quran, hadis, sunnah Rasul saw atau ulama berfikiran sempit? Rasulullah saw
tidak pernah mengeluarkan perintah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap orang
yang murtad. Allah swt lebih murka apabila ada golongan yang cuba merampas
hakNya dan melakukan kekerasan dengan menggunakan nama Allah swt Yang Maha
Pengasih dan Penyayang. Faktor ini juga antara penyebab utama yang menghambat
proses kebangkitan Islam. Golongan tersebut mengeluarkan pendapat yang
bertentangan dengan perintah sebenar Allah swt. Sebagai contoh, mereka salah
faham mengenai gerakan Ar Riddah yang berlaku di zaman Khalifah Abu
Bakar As Siddiq. Khalifah Abu Bakar ra memerangi golongan tersebut bukan kerana
masalah kemurtadan mereka tetapi disebabkan mereka melancarkan
peperangan dan menghasut pihak lain untuk melakukan pemberontakan terhadap umat
Islam. Ingatlah pesanan Allah swt memerintahkan umat Islam untuk menggunakan
AKAL. Sebenarnya dua isu yang berbeza, pertama ialah isu murtad dan isu ini
adalah berkaitan dengan keimanan yang merupakan hak Allah swt manakala yang
kedua ialah isu pemberontakan. Dalam soal pemberontakan ini adalah satu
pengkhianatan kepada negara yang perlu dijatuhkan hukuman oleh pemerintah atau
kerajaan. Bertukar agama bukan satu pengkhianatan kepada negara jika golongan
tersebut tetap menjadi warganegara yang baik. Sekali lagi diseru agar umat
Islam menggunakan akal sepertimana disarankan oleh Al Quran Karim.
Sebagai contoh, jika ada orang Islam telah memeluk agama Kristian dan tetap
menjadi warganegara yang baik, apakah individu tersebut layak dibunuh? Jika
umat Islam ingin membenarkan hal ini, bagaimana jikalau tokoh agama Kristian
membuat undang-undang yang sama iaitu sekiranya penganut agama Kristian memeluk
agama Islam maka mereka akan dibunuh! Apa perasaan umat Islam apabila melihat
perkara ini? Samalah dengan orang Kristian, mereka juga akan marah jika saudara
barunya dibunuh oleh orang Islam. Tidakkah ini akan membawa kepada pergaduhan,
pembunuhan dan kerosakan? Lebih serius lagi apabila ramai yang bertukar agama
maka akan ramailah yang dijatuhkan hukuman bunuh, tidakkah ini akan menimbulkan
perasaan benci dan permusuhan, akhirnya perang agama bakal tercetus?
Allah swt tidak suka kepada
kerosakan dan jangan salah faham mengenai peperangan yang dilakukan oleh
Rasulullah saw. Baginda saw terpaksa berperang hanya untuk mempertahankan diri
dari kekejaman dan penganiayaan orang-orang Mekah Musyrikin dan musuh-musuh
Islam yang lain. Islam adalah agama yang dipelihara oleh Allah swt, jika agama
lain dikatakan telah banyak campurtangan manusia masih boleh memperlihatkan
sifat kasih dan sayang, apakah Allah swt Yang Maha Pengasih dan Penyayang
memerlukan undang-undang bersifat zalim terkandung dalam Al Quran Karim? Di
sini, bukan untuk menyokong atau menggalakkan orang Islam menjadi murtad tetapi
perlu disedari bahawa soal keimanan adalah HAK ALLAH SWT, jika umat Islam cuba mengganggu hak Allah
swt, pasti Dia akan memperlihatkan kemurkaanNya. Ayat ini cukup jelas dan mudah
difahami, “Tiada paksaan dalam agama, telah nyata perbezaan antara kebenaran
dan kepalsuan” (Al Baqarah : 257), “Katakanlah! Hai sekalian manusia,
sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran daripada Tuhanmu. Barangsiapa yang
mendapat petunjuk, hanya ia dapat petunjuk untuk dirinya. Barangsiapa yang
sesat, hanya ia sesat untuk dirinya dan aku bukanlah penjaga atas dirimu”
(Yunus : 109). Dalam ayat ini Allah
swt memerintahkan Rasulullah saw untuk memberitahu umat manusia KEBENARAN
sebenarnya terdapat dalam Al Quran yang dikenali sebagai ajaran Islam.
Rasulullah saw hanya bertanggungjawab untuk menyampaikannya, tanpa ada unsur
paksaan. Sesiapa yang menerimanya maka itu adalah untuk kebaikan dirinya
sendiri. Sesiapa yang menolaknya maka itu adalah untuk kerugian bagi dirinya
sendiri. Rasulullah saw diperintahkan agar memberitahu umat manusia bahawa beliau
tidak bertanggungjawab atas apa yang mereka lakukan, setiap jiwa
bertanggungjawab atas dirinya sendiri dan Rasulullah saw tidak boleh memaksa
sesiapa untuk menerima ajaran yang dibawanya. Al Quran menunjukkan jalan yang
wajib dilalui untuk sampai ke dalam taman keredhaan Allah swt, sesiapa sahaja
bebas memilihnya atau sebaliknya tanpa mengira masa dan tempat.
Selanjutnya Allah swt
berfirman, “Dan katakanlah: Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu; maka
barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barangsiapa yang
ingin (kafir) biarlah ia kafir." Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi
orang orang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka
meminta minum, nescaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih
yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat
yang paling jelek” (Al Kahfi : 30). Di dalam ayat ini juga Allah swt
menjelaskan bahawasanya sesiapapun bebas menerima atau menolak kebenaran. Namun
pada masa yang sama terdapat amaran yang amat pedih kepada sesiapa yang
membelakangkan kehendak Allah swt. Ini bermakna tidak ada sesiapapun yang
berhak menjatuhkan hukuman ke atas orang yang benar-benar keluar dari agama
Islam. Allah swt memberi kebebasan mutlak kepada sesiapa sahaja samada mahu
beriman atau ingkar. Sesiapapun bebas memilih untuk menerima Islam tanpa
sebarang paksaan, bebas memasuki pintu-pintu yang sedang terbuka luas. Tidak
ada kuasa yang boleh memaksa seseorang untuk menerima Islam atau untuk
menghalang seseorang daripada menerima Islam, Allah swt tidak mengizinkannya.
Inilah ajaran Islam sebenar yang diajarkan oleh Al Quran, tidak ada sesiapa
yang diberikan kuasa memaksa orang lain menerima Islam atau menolak Islam.
Malaikat diciptakan untuk menurut dan melaksanakan perintah Allah swt, para
malaikat tidak diberi kuasa untuk mempersoalkan perintah. Oleh itu jika Allah
swt tidak memberikan manusia kebebasan untuk memilih melakukan sesuatu bermakna
penciptaan di antara malaikat dan manusia sama sahaja dan matlamat Allah swt
untuk mencipta alam dan isinya tidak akan tercapai.
Tidak memadai dengan ayat di
atas, Allah swt selanjutnya berfirman, “Sesungguhnya
orang-orang yang beriman kemudian kafir, kemudian beriman (pula) kemudian kafir
lagi, kemudian bertambah tambah kekafirannya, Allah tidak akan mengampuni
mereka dan tidak menunjuki mereka kepada jalan yang lurus” (An Nisaa’ : 138). Allah swt berfirman lagi, “Hai
orang-orang beriman, barangsiapa di antara kamu
yang murtad dari agamanya kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang
Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintaiNya” (Al Maa’idah : 55). Allah
swt berfirman lagi, “Sesungguhnya orang-orang yang ingkar sesudah mereka
beriman, kemudian mereka bertambah dalam keingkarannya, sekali-kali tidak akan
diterima taubat mereka dan mereka itulah orang-orang sesat. Sesungguhnya
orang-orang yang ingkar, dan mereka mati dalam keadaan masih ingkar, maka
sekali-kali tidak akan diterima dari seorang pun di antara mereka emas sepenuh
bumi, walaupun ia hendak menebus dirinya dengan itu. Bagi mereka ini siksaan
yang pedih dan tiada bagi mereka seorang penolong pun.” (Ali ‘Imran : 91-92).
Jika Allah swt merestui
hukuman bunuh ke atas orang murtad maka tidak perlu Allah swt mengulang-ulang
masalah kekafiran seseorang. Berdasarkan kepada pengulangan ini memperlihatkan
seseorang itu boleh masuk dan keluar daripada agama Islam dengan sesuka hati
dan hukumannya adalah daripada Allah swt. Allah swt tidak memerlukan golongan
tersebut kerana Dia akan menggantikannya dengan golongan lain yang lebih setia
kepada Islam. Jika Allah swt tidak mahu kepada golongan murtad yang
dimaksudkan, mengapa ada pihak mahu memaksa Allah swt untuk terus menerima
mereka? Seseorang hanya boleh memberi nasihat dan bukan menggunakan paksaan dan
ugutan kerana Allah swt berfirman, “Dan sekiranya Allah engkau memaksakan
kehendakNya, nescaya semua orang yang ada di bumi akan serentak beriman. Apakah
engkau akan memaksa manusia hingga menjadi orang beriman? Dan tidak seorangpun
akan beriman kecuali dengan izin Allah. Dan Dia menyebabkan siksaanNya kepada
orang yang tidak mahu mempergunakan akal” (Yunus : 100-101). Tidak ada dalam ajaran Islam memaksa
seseorang untuk beriman, lebih-lebih lagi melaksanakan hukuman bunuh
kononnya untuk menakutkan orang Islam yang lain agar tidak terikut untuk
menjadi murtad. Apakah ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw
bertujuan untuk menakutkan dan memaksa umat manusia? Sedangkan Allah swt
berfirman: “Dan Kami tiada mengutusmu (Muhammad) melainkan untuk menjadi
rahmat bagi semesta alam” (Al Anbiyaa’ : 108).
Berbalik kepada masaalah
murtad tadi, jika seseorang dihalang untuk keluar daripada Islam sedangkan
mereka sama sekali sudah tidak ada kecintaan terhadap agama Islam, tindakan ini
akan menyebabkan individu tersebut menjadi munafik. Al Quran menerangkan
golongan munafik akan dicampakkan ke dalam neraka yang paling bawah dan
terpanas. Persoalannya, apakah umat
Islam mahu memiliki “saham” terhadap kemunafikan tersebut dan mahu memaksa
Allah swt menerima golongan murtad ini? Jadikan teladan atas apa yang terjadi
kepada umat Islam setelah beberapa tahun kewafatan Rasulullah saw. Perpecahan
awal di kalangan umat Islam adalah disebabkan oleh ramainya golongan munafik
sehingga Khulafa Rasyidin tidak mampu untuk membendungnya, sehingga khalifah
Allah swt sendiri ada yang wafat disyahidkan. Lebih menghairankan ada pihak
yang mendakwa diri mereka sebagai Pembela Islam sanggup bermati-matian mendesak
pihak berkuasa membatalkan permohonan seseorang yang ingin keluar dari Islam. Malangnya
mereka tidak pula berjuang habis-habisan untuk mempertahankan keislaman
seseorang yang mengaku dirinya beragama Islam tetapi dituduh murtad atau
terkeluar dari Islam oleh pihak lain. Sedangkan pihak yang dituduh murtad
tersebut mendakwa diri mereka tetap beragama Islam dan melafazkan Kalimah
Syahadah "Laa ilaaha illallaah, Muhammadur-Rasulullah”. Manakala
golongan yang ingin dipertahankan oleh Pembela Islam ini secara terang-terangan
telah menggugurkan Kalimah Syahadah di hati mereka. Mengapa golongan yang mahu
keluar dari Islam dikekalkan dan golongan yang mengatakan diri mereka sebagai
Islam ingin dikeluarkan? Lihatlah betapa kacaunya jika sesuatu tindakan tidak
berlandaskan kepada kehendak dan penafsiran yang benar selari dengan Al Quran
dan Sunnah Nabi Muhammad saw.
Berdasarkan
kepada bukti-bukti yang telah diterangkan di atas, jelas memperlihatkan umat
Islam di negara ini juga diambang kemurkaan Allah swt kerana telah mula
melakukan pelbagai perlanggaran dan kelalaian. Allah swt tidak mahu namaNya
Yang Maha Suci, Pengasih dan Penyayang digunakan di dalam melakukan
penganiayaan, ketidakadilan, kezaliman, kekerasan dan penaburan fitnah. Allah
swt sedang memberi hukuman yang bersifat pengajaran kerana Dia masih memberi
kesempatan kepada umat Islam di negara ini dan mahu mengingatkan mereka agar
kembali menyemak dan mengamalkan segala perintah-perintahNya. Namun begitu,
jika umat Islam di negara ini terus melakukan penganiayaan dan kezaliman
tersebut maka mereka juga akan menerima nasib yang sama seperti negara-negara
Islam lain yang sedang menerima ujian-ujian besar daripada Allah swt. Justeru
itu, syukurilah keamaman dan kemakmuran yang dikecapi ini dengan cara yang
disenangi oleh Allah swt.
Tokoh-tokoh Suci Difatwakan Murtad
Kebiadaban
merosak dan membakar masjid telah menimbulkan kemurkaan Allah swt dan Dia telah
mendatangkan azab yang sangat pedih kepada beberapa kumpulan atau Jemaah Islam
dan bahang azab itu juga turut dirasai oleh
penduduk negara berkenaan. Hal ini terjadi di Pakistan, Bangladesh dan
Indonesia apabila ada segelintir pihak pelampau agama Islam dari sesebuah
Jemaah mengkafirkan kelompok Islam yang lain lalu menyerang dan membakar masjid
mereka. Lebih memilukan lagi mereka melaungkan nama Allah Yang Maha Besar
sewaktu melakukan kerosakan tersebut. Perbuatan terkutuk ini tidak kurang
hebatnya untuk mengundang kemurkaan Allah swt kerana pada pandanganNya selagi seseorang mengaku sebagai
Islam dengan mengucapkan Kalimah Syahadah, individu atau kelompok tersebut
adalah Islam. Perhatikan mana-mana negara Islam di mana perkara ini berlaku,
negara tersebut tidak akan menikmati kemakmuran kerana Allah swt melaknat
mereka. Allah swt juga murka terhadap umat Islam yang tidak mencegah
penganiayaan tersebut dengan membiarkan saudara Islamnya melakukan kezaliman
sehingga berlakunya penganiayaan dan pembunuhan. Allah swt berfirman, “Dan barangsiapa membunuh seorang mukmin
dengan sengaja, maka balasannya ialah jahanam: ia akan menetap di dalamnya. Dan
Allah murka kepadanya dan melaknatnya dan menyediakan baginya azab yang sangat
besar.” (An Nisaa’ : 94).
Pembunuhan
sesama Islam adalah merupakan di antara dosa besar yang sering dilakukan oleh
sebilangan umat Islam. Oleh itu janganlah merasa hairan melihat kekacauan dan
kemunduran kebanyakan negara Islam pada hari ini kerana semua ini ada kaitan
dengan dosa yang pernah dan sedang mereka lakukan. Perkara ini juga telah
menimpa beberapa tokoh suci Islam yang disanjungi seperti cucu kesayangan Rasulullah saw iaitu
putera kepada Hazrat Khalifah Ali ra (khaatam-ul-auliya) yakni Imam
Hussein, terpisah badan dan kepalanya akibat fatwa yang dikeluarkan oleh
sekumpulan ulama. Begitu juga Imam Shafie (juga digelar sebagai khaatam-ul-auliya),
Imam al Bukhari, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Ghazali dan beberapa tokoh ulama
Islam yang lain. Mereka dikafirkan dan
dituduh sesat kerana pandangan mereka yang bersifat progresif bertentangan
dengan sekumpulan para ulama berfikiran sempit pada waktu itu. Perbezaan
pendapat ini menyebabkan para ulama tersebut tersinggung dan mereka cipta
pelbagai fitnah dan mengeluarkan fatwa untuk menuduh tokoh-tokoh suci Islam
tersebut sebagai murtad, kafir dan sesat sehingga kerajaan dan masyarakat
terikut-ikut melakukan penganiayaan dan kezaliman ke atas mereka. Umat Islam
wajib berhati-hati dengan permainan kotor ini kerana jika tokoh-tokoh suci
tersebut mudah dikafirkan dan dimurtadkan oleh para ulama, sudah tentu di zaman
ini pasti para ulama yang kotor hatinya mudah memerangkap masyarakat Islam
untuk mempercayai sesebuah kumpulan Islam atau seseorang dikatakan sesat dan
kafir. Oleh itu umat Islam perlu berwaspada apabila berdepan dengan perkara ini
kerana janganlah mengulangi dosa-dosa umat Islam terdahulu yang telah
menimbulkan kemurkaan Allah swt.
No comments:
Post a Comment