AMAL SALEH
Definisi Amal
Saleh
Banyak firman
Allah dalam Al Quran berunsur perintah menunaikan solat, zakat dan amal saleh.
Pada umumnya umat Islam yakin bahawa mereka sudah memahami dan boleh
mengamalkan ketiga-tiga perintah tersebut dengan baik jika ada kemahuan. Namun
pada hakikatnya, salah satu daripada tiga perintah tersebut iaitu AMAL SALEH,
umat Islam berada dalam kekeliruan yang nyata sebab memahami amal saleh dalam
batas sebagai perbuatan yang baik sahaja, sedangkan perbuatan baik yang
terkeluar dari lingkungan amal saleh boleh mengakibatkan kemudaratan dan
kerugian kepada individu berkenaan, rakyat dan negara.
Solat adalah
wajib dan meninggalkannya dengan sengaja adalah dianggap melakukan dosa tetapi
pada sesuatu kondisi di mana akal yang sihat mampu membuat pertimbangan wajar
disamping pengaruh naluri yang normal maka solat itu lebih afdhal ditinggalkan
buat sementara waktu daripada ianya terus dilaksanakan. Ini bermakna terdapat
sesuatu keadaan di mana dalam melakukan kebaikan sebenarnya tidak mendatangkan
ganjaran baik malahan menjauhkan keredhaan Allah swt. Oleh itu adalah tidak
tepat jika memahami makna amal saleh hanya dalam batas melakukan sesuatu
kebaikan sahaja. Orang-orang yang beriman secara amnya berusaha untuk tidak
melakukan dosa tetapi tidak semestinya mereka semuanya mampu beramal saleh
sesuai dengan konteks Al Quran yang lebih komprehensif dan objektif. Pada hakikatnya
amal saleh mempunyai peranan yang amat penting sebagai satu elemen dalam
mempastikan pencapaian baik umat Islam hingga ke tahap maksima. Oleh itu tidak
hairanlah jika Allah swt dalam firmanNya menggambarkan bahawa anugerah khilafat
hanya akan diberikan kepada golongan yang beriman dan beramal saleh, Allah swt
berfirman, “Allah telah menjanjikan kepada orang-orang dari antara kamu yang
beriman dan beramal saleh, Dia pasti akan menjadikan mereka itu
khalifah-khalifah di muka bumi ini, sebagaimana Dia telah menjadikan mereka itu
khalifah dari antara orang-orang yang sebelum mereka” (An Nuur : 56).
Amal saleh
merupakan penunjang kepada jihad sebenar dan ianya tidak boleh dipisahkan dari
sifat berwibawa seorang muslim, kebangkitan serta kemenangan umat Islam berkait
rapat dengan perbuatan amal saleh. Pakar-pakar Islam menggesa masyarakat Islam
agar melakukan amal saleh tetapi definisi dan contoh amal saleh tidak
dijelaskan. Amal saleh bermaksud melakukan sesuatu kebaikan tepat pada waktu,
tempat dan keadaannya. Contohnya, jika ada seorang jiran beragama Hindu di
sebelah rumah menjerit-jerit meminta pertolongan tetapi seorang muslim terus
melakukan solat tanpa mempedulikan jeritan jiran tersebut, orang tersebut
bukanlah seorang yang beramal saleh. Solat adalah wajib tetapi meneruskan solat
tanpa mempedulikan jeritan jiran yang sedang dalam keadaan cemas meminta dan
memerlukan pertolongan adalah suatu perbuatan bertentangan dengan sifat amal
saleh yang digariskan agama Islam. Oleh itu menjalankan tugas sehingga sanggup
menghalang seseorang yang sedang melaksanakan kebaikan dengan alasan tidak
mendapat kebenaran (mungkin kebenaran untuk membuat kebaikan?) bukanlah amal
saleh namanya. Misalnya keadaan yang sering berlaku di negeri-negeri di
Malaysia iaitu melarang, menangkap dan mendakwa seseorang di mahkamah kerana
menyampaikan ceramah agama yang sesuai dengan tuntutan Islam bukanlah amal
saleh namanya. Mengganggu jiran serta persekitaran meskipun melaksanakan
aktiviti keagamaan bukanlah amal saleh namanya. Ringkasnya amal saleh ialah
melaksanakan sesuatu perkara dengan melibatkan penggunaan inteligensia yang
dicetuskan minda dan mengaplikasikannya tepat pada masa, keadaan dan tempat
demi meraih manfaat selari dengan kehendak Allah swt. Oleh itu setiap umat
Islam yang beriman mesti mampu mencegah yang mungkar dan menegakkan yang ma’ruf
dalam kawalan sifat amal saleh. Jika kriteria ini ada pada umat Islam, tidak
ada alasan bagi Allah swt untuk tidak menganugerahkan Institusi Khilafat kepada
umat Islam sepertimana firmanNya dalam surah An Nuur : 56.
Pengalaman
Yang Perlu Dikongsi
Izinkan penulis
mengambil kesempatan untuk berkongsi pengalaman tetapi menyimpang sedikit dari
topik. Penulis menaruh harapan semoga pengalaman yang akan dikongsi serba
sedikit dapat membuka minda terhadap sebahagian kecil ragam kehidupan yang
dipraktikkan oleh masyarakat Islam sehingga tanpa disedari mendatangkan
ketidakselesaan dan kerugian. Penulis ada dua pengalaman, pengalaman pertama
ialah ada seseorang beragama Islam tinggal di kawasan perumahan yang didiami
oleh pelbagai lapisan masyarakat. Sama seperti taman-taman perumahan lain,
dalam taman perumahan tersebut terdapat sebuah masjid. Setiap hari lebih kurang
30 minit sebelum solat subuh Imam Masjid akan memasang radio dengan mengumandangkan
ayat-ayat suci Al Quran ataupun bacaan “ya ar hamar rahimin” dengan bunyi
pembesar suara yang amat kuat. Tidak tahan dengan bunyi yang terlalu kuat serta
mengganggu, akhirnya orang tersebut berpindah rumah ke kawasan perumahan yang
majoriti didiami oleh masyarakat Cina, alasannya ialah dia lebih tenang dan
aman di taman perumahan seperti itu kerana tidak ada bunyi bising. Cubalah
bayangkan jika orang Islam sendiri merasa rimas, lebih-lebih lagi orang yang
bukan beragama Islam. Pada masa ini semakin menjadi amalan tanpa mengira bangsa
dan agama, jika membeli rumah perlu dipastikan jauh daripada masjid. Perlu
difahami perkataan “ISLAM” itu sendiri mencerminkan keamanan dan ketenangan.
Oleh itu jika masyarakat merasa terganggu disebabkan oleh sesuatu yang dianggap
sebagai amalan dalam Islam, itu adalah salah kerana ajaran Islam tidak ada yang
menyusahkan samada penganut agama Islam sendiri atau penganut agama lain.
Pengalaman
kedua ialah penulis pernah menetap di satu kawasan perumahan yang didiami oleh
pelbagi lapisan masyarakat juga serta terdapat sebuah masjid. Penulis amat
terkilan serta merasa sedih apabila suatu hari seorang ustaz menyampaikan
ceramah dengan pembesar suara dengan bunyi yang amat kuat dan seluruh taman
mendengarnya. Sebenarnya hanya sedikit yang hadir mendengar ceramah berkenaan
dan lebih afdhal jika pembesar suara tidak digunakan. Lebih malang lagi apabila
ustaz tersebut mengutuk dan menghina agama lain dalam ceramahnya. Apakah ini
amal saleh namanya? Jika umat Islam memahami dan menerapkan sifat amal saleh
yang sebenar dalam kehidupan, perkara seperti di atas tidak akan berlaku,
malahan akan lebih ramai umat lain tertarik kepada agama Islam. Perbuatan umat
Islam, lebih-lebih lagi perbuatan tersebut dilakukan oleh seorang yang bergelar
ustaz, imam atau sebagainya yang tidak menepati definisi amal saleh telah
banyak menjejaskan kejayaan tabligh Islam.
Al Quran
menyeru agar umat Islam menjadi jiran tetangga yang baik dan bertimbang rasa
sama ada kepada yang dikenali atau tidak. Allah swt berfirman, “Dan
beribadahlah kepada Allah dan janganlah kamu persekutukan apa juapun denganNya;
dan berbuat baiklah terhadap ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim,
dan orang-orang miskin, dan tetangga yang sanak saudara dan tetangga yang bukan
kerabat, dan handai taulan, dan orang-orang musafir, dan yang dimiliki oleh
tangan kananmu. Sesungguhnya Allah itu tidak menyukai orang sombong dan
membangga diri.” (An Nisaa’ : 37). Dalam pada itu juga diriwayatkan bahawa
Rasulullah saw berkali-kali berseru agar hubungan baik dengan jiran dipelihara.
Rasulullah saw memberitahu bahawa malaikat Jibril amat menekankan hubungan
tetangga sehingga Rasulullah saw berharap agar ada perintah turun supaya
tetangga dijadikan waris bersama. Allah juga berfirman, “ Dan apabila
dibacakan Quran, maka dengarkanlah dan berdiam dirilah supaya kamu dikasihi, Dan
ingatlah akan Rab engkau dengan merendahkan diri dan takut, dengan suara
perlahan, pada waktu pagi dan pada waktu petang; dan janganlah engkau
termasuk orang-orang yang lalai” (Al A’raaf : 205-206). Allah swt
memerintahkan agar mengingat dan menyeru namaNya dengan merendahkan diri dan
merasa takut serta dengan suara perlahan. Oleh itu menyeru nama Allah dengan
menggunakan pembesar suara seperti bacaan “yaa arhamar raahimin” sebelum solat
subuh, sehingga mengganggu seluruh penduduk taman atau kampung adalah tidak
amal saleh. Berzikir dan berdoa beramai-ramai dengan penggunaan pembesar suara
bukanlah perbuatan amal saleh kerana ianya boleh mengganggu ketenteraman orang
lain. Apakah dengan suara lebih kuat didengar ketika berdoa dan menyebut nama
Allah membuktikan seseorang itu penganut agama Islam sejati? Islam mengajarkan
umatnya cara bertolak ansur sesuai dengan keadaan dan yang pasti tidak ada
dalam ajaran Islam yang boleh mendatangkan ketidaktenteraman kepada masyarakat.
Peliharalah tingkah laku dengan mencerminkan amalan yang baik agar penganut
agama lain tertarik kepada perlakuan orang Islam dan agama Islam, secara tidak
langsung ini juga merupakan kesempatan untuk tabligh Islam.
Budaya
Balik Kampung dan Sambutan Hari Raya –
Adakah
Amal Saleh?
Kemalangan jiwa
di jalan raya ketika musim perayaan aidilfitri amat membimbangkan semua pihak,
apakah tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa agama? Bersesak-sesak di jalan
raya, diburukkan pula dengan tahap kesabaran pemandu yang amat rendah pastilah
lebih menyulitkan lagi suasana di jalan raya. Sedangkan balik kampung
beramai-ramai pada masa yang sama di musim perayaan bukanlah sesuatu yang wajib
di dalam Islam. Seharusnya ditanamkan dalam hati umat Islam bahawa ajaran Islam
amat mudah dan menyenangkan. Setiap individu boleh merayakan Aidil Fitri di
mana-mana dengan ala kadarnya sahaja. Pada bila-bila masa yang sesuai boleh
balik kampung berziarah. Lebih melucukan ketika merayakan Aidil Fitri, ada pula
yang berdukacita dan bersedih hati kerana mengingati ahli keluarga yang sudah
mati tidak bersama lagi. Untuk yang masih hidup pula begitu pilu apabila tidak
dapat bersama dengan keluarga tersayang ketika berhari raya. Berdukacita,
bersedih hati bukan pada tempatnya, ini bukan ajaran Islam, bukan amal saleh
namanya. Amalan Rasulullah saw bukan demikian, perhatikan umat Islam di
negara-negara Arab misalnya, mereka merayakan aidil fitri tidak seperti di
Malaysia yang penuh dengan pembaziran dan ramai pula yang terkorban. Jika
bersedih disebabkan oleh perpisahan dengan bulan Ramadhan yang mulia dan
terpaksa pula menunggu selama setahun baru boleh berjumpa semula, ada juga asas
dan alasannya. Pihak-pihak berkenaan perlu melakukan perkara yang wajar,
beranilah memberikan teguran kepada perkara yang sepatutnya ditegur, jangan
menyembunyikan kebenaran sebab itu bertentangan dengan sifat amal saleh.
Perkara sebegini tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah saw atau para sahabat ra.
Merayakan hari raya aidil
fitri yang berlebih-lebihan seperti yang diamalkan oleh rakyat Malaysia
seolah-olah satu ajaran dalam agama Islam yang wajib dilaksanakan setiap tahun.
Berapa banyakkah wang ringgit yang dibelanjakan setiap kali perayaan hari raya?
Jika satu keluarga berbelanja paling sedikit RM500, jika terdapat 5 juta umat
Islam di Malaysia, bermakna RM2.5 billion dibazirkan oleh keluarga Islam di
Malaysia pada setiap tahun. Jumlah wang ini cukup banyak untuk pembangunan
ummah. Siapa yang mengaut keuntungan besar setiap kali perayaan sebegini? Wang
yang sedemikian banyak boleh digunakan untuk membangun sistem pertanian di
negara-negara miskin Afrika tanpa mengira bangsa dan agama. Tidak bolehkah
pihak berkuasa agama atau para ulama mengorak langkah untuk merubah minda umat
Islam ke arah yang lebih progresif? Anjurkan kempen kesedaran berterusan secara
meluas agar umat Islam faham peranan mereka mengkhidmati seluruh umat manusia
di muka bumi ini. Wang yang pada kebiasaannya dibelanjakan untuk makanan dan
pakaian boleh dijadikan tabung untuk keperluan pembangunan umat manusia. Jika
ini dapat dilakukan dan dipelopori oleh Malaysia, ini lebih baik dan boleh
dijadikan ikutan oleh negara Islam yang lain. Bajet yang selama ini
diperuntukkan untuk makan minum, pakaian dan penyelengaraan kereta dan petrol
di musim perayaan hendaklah disalurkan ke tabung pembangunan ummah. Dengan
adanya kewangan yang kukuh peluang perniagaan dan pekerjaan lebih banyak dapat
diwujudkan, sekolah-sekolah atau pusat-pusat tarbiyah dapat dibina. Klinik,
hospital atau pusat-pusat perubatan percuma dapat diberikan kepada masyarakat.
Di Malaysia mungkin perkhidmatan seperti ini tidak perlu kerana Kerajaan mampu
menyediakannya tetapi bagaimana negara-negara seperti Somalia, Nigeria, Sudan
dan lain-lain? Segala perkara yang dilakukan tidak sesuai dengan masa, tempat
dan keadaan adalah bukan amal saleh dari sudut pandangan Islam. Umat Islam
hendaklah mampu menggunakan akal dengan sebaik-baiknya, ambil tindakan sesuai
pada masanya, keadaannya dan tempatnya itulah amal saleh namanya. Tanpa amal
saleh sesuai takrif Al Quran tidak akan mencerminkan peranan umat Islam seperti
firman Allah swt, “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk
manusia” (Ali ‘Imran : 111).
Sekadar
Untuk Renungan
Adakah
meletupkan diri dengan bom di khalayak ramai untuk membunuh sesiapa sahaja
tanpa mengira bangsa, agama, jantina, kanak-kanak atau orang-orang tua
perbuatan amal saleh? Umat Islam hendaklah ingat bahawa kekecewaan dan kemelut
yang sedang melanda tidak akan berakhir selagi tidak ada pemimpin yang bergelar
khalifatullah. Kehadiran khalifatullah di tengah-tengah umat Islam bakal
membawa umat Islam menikmati kehidupan penuh keharmonian di bawah naungan
sistem khilafat. Namun sebelum keharmonian tersebut dikecapi, Allah swt
meletakkan syarat yang wajib dipatuhi oleh umat Islam sepertimana firmanNya, “Allah
telah menjanjikan kepada orang-orang dari antara kamu yang beriman dan
beramal saleh, Dia pasti akan menjadikan mereka itu khalifah-khalifah di muka
bumi ini, sebagaimana Dia telah menjadikan mereka itu khalifah dari antara
orang-orang yang sebelum mereka” (An Nuur : 56).
No comments:
Post a Comment