KOMENTAR
Selari dengan peranan Al Quran
sebagai sebuah kitab syariat untuk sepanjang zaman, firman-firman Allah swt
yang berbentuk penjelasan dan perintah yang wajib diamalkan, pasti kekal terpelihara
bagi para umat mendatang hingga hari kiamat. Adalah tepat sekali bahawa dunia
baru yang dinisbahkan sebagai kemenangan Islam buat kali kedua adalah sesuatu
yang tidak dapat dinafikan sesuai dengan janji Allah swt kepada Rasulullah saw, “Dan
Kami tiada mengutusmu (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta
alam” (Al Anbiyaa’ : 108) dan
“Dialah yang mengutus RasulNya dengan petunjuk dan agama yang benar supaya Dia
memenangkannya atas sekalian agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi” (Al Fath
: 29). Inilah tandanya zaman kegelapan Islam dan umatnya akan punah
dengan munculnya nilai-nilai murni kerohanian manusia ibarat tumbuhan yang
subur menghijau menjalar perlahan-lahan memenuhi permukaan bumi diiringi
bunga-bunga indah harum semerbak dan buah-buah ranum yang amat manis.
Persoalannya, siapakah yang akan mengembalikan nilai-nilai murni kerohanian
tersebut, sebab Rasulullah saw mahupun para sahabat sudah lama meninggalkan
dunia fana ini? Pembaca yang tidak boleh menerima fakta yang disampaikan dalam
buku ini, tanpa berfikir panjang akan mengatakan bahawa para “ulama” lah yang
bertanggunggjawab kerana mereka adalah “pewaris nabi-nabi”. Namun, tidak boleh
dinafikan bahawa sifat-sifat yang dimiliki majoriti ulama dari semenjak dahulu
hingga sekarang lebih menepati kekecewaan yang pernah dilahirkan oleh
Rasulullah saw sepertimana dalam sabdanya, “Akan ada dalam umatku
orang-orang yang kurang percaya diri, lalu manusia kembali kepada ulama mereka,
ternyata mereka itu kera-kera dan babi-babi”( HR Al Hakim dalam Al Mustadrak dari Hazrat Abi Ummah r.a: dan
Kanzul-Umal, Juz XIV/38727). “Akan
datang, satu zaman pada manusia di mana
tidak ada lagi yang tinggal dari Islam kecuali namanya dan dari Al Quran yang
akan tinggal hanya tulisannya. Masjid-masjid makmur tapi kosong dari petunjuk. ULAMAnya
akan menjadi wujud PALING BURUK di bawah kolong langit. Kekacauan fitnah
akan keluar dari mereka tapi akhirnya kembali kepada mereka juga” (Baihaqi). Hakikat sebenar
yang dapat disaksikan ialah hanya segilintir dari umat Islam tergolong dalam
“ulama pewaris nabi-nabi”. Amat medukacitakan golongan ulama minoriti ini
sentiasa dijadikan korban oleh golongan ulama majoriti yang mana secara khusus
mereka mendapatkan gelaran dari Rasulullah saw yakni “...wujud PALING BURUK
di bawah kolong langit...” Golongan ulama majoriti ini terus memainkan
peranan mereka semenjak lebih dari 1,400 tahun hingga ke hari ini.
Sesiapa yang menerima Islam sebagai agamanya, maka
dia akan tergolong dalam firman Allah swt, “Kamu adalah umat yang terbaik
yang dilahirkan untuk manusia” (Ali ‘Imran : 111). Untuk
menjadi anggota dalam umat yang terbaik ini, sudah tentu orang tersebut
memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Allah swt, “Katakanlah, Jika kamu
benar-benar mencintai Allah, ikutlah aku, nescaya Allah mencintaimu” (Ali
‘Imran : 32). Inilah perintah yang
tidak boleh tidak, wajib dilaksanakan agar Allah swt mencintai umat Islam yakni
umat Islam dikehendaki mengikuti jejak langkah Rasulullah saw dalam segala
amalan, dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya. Jika seseorang telah
jatuh cinta, nyawa sendiri pun sanggup digadaikan demi kebahagiaan orang yang
dicintai, manakala orang yang dicintai, sebagai insan biasa, belum tentu dapat
memberikan kebahagiaan kepada orang yang sanggup berkorban nyawa untuknya.
Tidak ada persamaannya dalam hal mencintai Allah swt dengan mencintai seorang
insan membalas cinta itu dengan Dia, yakni Allah swt akan menjadi sahabat serta
pelindung dan Dia akan memberikan segala kebahagiaan dan kehormatan. Bandingkan
sahaja seseorang yang menjadi sahabat kepada seorang raja yang berkuasa, segala
macam kehormatan akan diberikan oleh sang raja kepadanya. Apakah sang raja
lebih hebat daripada Allah swt? Umat Islam saat ini dipandang hina kerana
mereka gagal mengikuti jejak langkah Rasulullah saw dan Allah swt seolah-olah
belum sanggup memberikan cintaNya kepada umat Islam... perhatikan dan renungkan
dengan sebaik-baiknya surah Ali ‘Imran : 32.
Dengan meninjau keadaan yang sedang melanda umat
Islam hari ini dapat digambarkan betapa proses kemenangan Islam mengharungi
hambatan yang amat hebat dari umat Islam sendiri. Kecenderungan Umat Islam
ialah berperikelakuan bertentangan dengan kehendak Al Quran dan sunnah Rasul
saw. Umat Islam begitu ketara keengganan mereka mengadoptasi segala amalan
Rasulullah saw dalam tata cara kehidupan seharian. Penyimpangan dari landasan
yang disediakan oleh Al Quran dan sunnah Rasul saw merupakan bukti nyata kepada
pelbagai kecamuk yang sentiasa menerjah umat Islam hingga terus hanyut dan
lemas dalam lembah kehinaan. Utusan Allah mengeluh, “Dan Rasul itu akan berkata, ‘Ya
Rabbi, sesungguhnya kaumku telah memperlakukan Al Quran ini sebagai sesuatu
yang telah ditinggalkan” (Al Furqaan : 31). Dipandang tidak bertemadun, ganas dan zalim oleh umat lain adalah satu
ciri yang sinonim dengan tingkah laku umat Islam masa kini. Prejudis di
kalangan umat Islam begitu menebal bukan sahaja terhadap penganut agama lain,
malahan sesama Islam. Pada hal Al Quran memberi nasihat, “Hai
orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik dengan suatu
berita, maka selidikilah agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum tanpa
mengetahui keadaannya, kemudian kamu menyesal atas perbuatanmu itu” (Al
Hujuraat : 7). Sikap prejudis ini
menyebabkan umat lain terus berusaha untuk menjauh dari agama Islam dan umat
Islam pula berusaha untuk meninggalkan agama
Islam kerana beranggapan Islam penghalang besar kepada segala apa juga
yang ingin dicapai.
Para ulama memainkan peranan utama dalam membentuk
acuan umat Islam dalam pelbagai ragam yang mengaibkan, hal ini amatlah jelas
kebenarannya ekoran dari sikap mereka sepertimana tersebut dalam sabda
Rasulullah saw, “Akan
ada dalam umatku orang-orang yang kurang percaya diri, lalu manusia kembali
kepada ulama mereka, ternyata mereka itu kera-kera dan babi-babi”( HR Al Hakim
dalam Al Mustadrak dari Hazrat Abi Ummah
r.a: dan Kanzul-Umal, Juz XIV/38727). “Akan
datang satu zaman pada manusia, di mana
tidak ada lagi yang tinggal dari Islam kecuali namanya dan dari Al Quran yang
akan tinggal hanya tulisannya. Masjid-masjid makmur tapi kosong dari petunjuk. ULAMAnya
akan menjadi wujud PALING BURUK di bawah kolong langit. Kekacauan fitnah
akan keluar dari mereka tapi akhirnya kembali kepada mereka juga” (Baihaqi).
Setakat ini tidak ada sesiapa yang dapat membendung
kejahilan yang terus berleluasa, sehingga menyebabkan suatu hukum telah
dijelaskan dalam Al Quran digantikan dengan hukum baru yang kononnya juga
bersumberkan Al Quran. Contohnya, perhatikan sahaja dilema orang yang hatinya
sudah tidak melekat pada agama Islam dipaksa dengan memperkenalkan hukuman
bunuh jika meninggalkan agama Islam, dalam erti kata lain yang lebih
menjijikkan ialah istilah “murtad”. Allah swt Yang Maha Penyayang, berfirman
bahawa hamba-hamba ciptaanNya bebas memilih samada mahu beragama atau
sebaliknya, “Tiada
paksaan dalam agama, telah nyata perbezaan antara kebenaran dan kepalsuan” (Al
Baqarah : 257), “Sesungguhnya orang-orang yang beriman kemudian kafir,
kemudian beriman (pula) kemudian kafir lagi, kemudian bertambah tambah
kekafirannya, Allah tidak akan mengampuni mereka dan tidak menunjuki mereka
kepada jalan yang lurus” (An Nisaa’ : 138), “Dan sekiranya Tuhan engkau
memaksakan kehendakNya, nescaya semua orang yang ada di bumi akan serentak
beriman. Apakah engkau akan memaksa manusia hingga menjadi orang beriman? Dan
tidak seorangpun akan beriman kecuali dengan izin Allah. Dan Dia menyebabkan
siksaanNya kepada orang yang tidak mahu mempergunakan akal” (Yunus : 100-101).
Beriman atau tidak berimannya seseorang itu bukanlah urusan sesiapa tetapi ia
adalah hak mutlak seseorang yang diberikan oleh Khaliknya. Keadaan lebih parah
lagi apabila utusan Tuhan
atau wali-wali suci Allah turut menjadi habuan oleh mereka yang dianggap orang
bijak atau lebih tepat lagi sebagai ulama oleh masyarakat. Mereka yang memiliki
kecintaan hakiki kepada Allah swt dan Rasul saw tidak akan pernah tenteram
hidupnya jika tidak meluruskan sesuatu yang menyimpang dari ajaran Al Quran.
Ekoran dari itu timbullah percanggahan pendapat di antara golongan minoriti dan
golongan majoriti, di sinilah letaknya tempat yang tepat sabda suci Rasulullah saw “Sesungguhnya
Islam itu mula-mula asing dan akan kembali menjadi asing sebagaimana
permulaannya maka dari itu berbahagialah bagi orang-orang yang asing” (Muslim,
Ibnu Majah, An-Nasa’i dan Kanzul Umal,JuzI/1192). Ajaran sebenar yang sudah
lama tidak diamalkan dianggap salah kerana tidak bersesuaian dengan amalan
semasa, yang menjurus kepada amalan bida’ah, malah itu pula yang dianggap
sebagai ajaran sebenar. Lantaran itu pihak
majoriti akan mengisytiharkan perang dengan menggunakan senjata paling ampuh
iaitu fitnah-memfitnah, kafir-mengkafir dan akhirnya menyebabkan kejadian
tragik iaitu bunuh-membunuh. Fenomena ini sudah menjadi lumrah dalam kehidupan
umat Islam semenjak kewafatan Rasulullah saw hingga ke hari ini.
Para bijak pandai termasuk
ulama memiliki minda yang sudah tercemar oleh gejala ketidakjujuran dan
kepentingan peribadi yang mendorong mereka melupakan ketaqwaan hakiki terhadap
Allah swt. Lihatlah apa yang pernah menimpa wali-wali suci Allah swt termasuk
empat Imam Mazhab. Firman Allah swt dan sunnah Rasul saw yang tidak selari
dengan kehendak lingkungan dalam mencapai kepentingan peribadi disembunyikan
ataupun diubahsuai menurut kehendak matlamat yang ingin dicapai. Musuh-musuh
Islam khasnya yang bergelar “Dajjal @ Ya’ juj Ma’ juj” memanfaatkan kesempatan
dari kepincangan yang sudah lama melumpuhkan nadi-nadi Islam. Umat Islam tidak
mengenal Dajjal meskipun pada hakikatnya mereka seolah-olah tidur sebantal
dengan Dajjal lantaran kejahilan yang membelenggu umat Islam. Keyakinan umat
Islam tentang Dajjal @ Ya’juj Ma’juj lebih menjurus kepada hikayat dan dongeng
yang tidak akan pernah menjadi kenyataan, bertentangan dengan ajaran Al Quran
dan sunnah Rasul saw yang menuntut kaedah logik dan realistik. Yang salah dalam
hal ini adalah umat Islam sendiri kerana membiarkan diri mereka dikemudi oleh
ulama yang berfikiran sempit ekoran penyakit malas mentelaah, merenung dan
berfikir. Apabila ulama mengatakan itu bukan ajaran Islam, kafir, sesat dan
sebagainya maka majoriti umat Islam pun serta-merta mengumandangkan irama yang
sama meskipun sumbang. Alasannya mudah sahaja, “Dia seorang ulama,
bertahun-tahun menuntut ilmu agama di unversiti Al Azhar, tidak mungkin dia
bercakap tidak benar.” Sememangnya, tidak mudah untuk menerima hakikat ini,
namun lembaran sejarah merakamkan betapa sikap para ulama berfikiran sempit
serta masyarakat yang buta hati telah menyebabkan layanan zalim yang amat berat
terpaksa ditanggung oleh Hazrat Imam Bukhari, Hazrat Imam Syafie, Hazrat Imam
Hanbali, Hazrat Imam Hanafi, Hazrat Imam Malik dan lain-lain para wali suci
Allah swt. Kezaliman seperti ini akan terus berulang-ulang menghiasi sejarah
Islam tanpa diketahui di mana titik penghujungnya.
Segala yang terpapar di atas
juga merupakan tanda kebenaran Rasulullah saw sebagai utusan daripada Allah
swt. Lebih 1,400 tahun yang silam Rasulullah saw telah diberi kemampuan untuk
melihat keadaan umat Islam pada hari ini dan seterusnya menceritakannya kepada
para sahabat. Dengan kehendak Allah swt cerita-cerita tersebut kekal ke hari
ini sebagai sumber ilmu agar umat Islam memanfaatkannya semata-mata demi
kesejahteraan umat dari zaman ke zaman tetapi umat Islam gagal mengambil faedah
daripadanya. Pada masa yang sama Rasulullah saw juga mengemukakan formula bagi
mengatasi kemelut umat Islam hari ini. Perpecahan umat Islam dikhabarkan,
demikian juga cara penyatuan ummah diberitakan. Langkah utama berpegang teguh
kepada Al Quran dan sunnah Rasul saw kerana kedua-duanya menggariskan perintah
dan panduan walaupun menurut hati yang was-was sukar untuk dilaksanakan. Janji
Allah swt dan RasulNya berhubung dengan kebangkitan dan kegemilangan Islam dan
umatnya buat kedua kalinya pasti akan tiba masanya. Ianya bukan sekelip mata,
sebaliknya wajib melalui proses sesuai dengan ketetapan sunnatullah yakni
perjuangan dalam bentuk jihad Akbar, “melawan hawa nafsu” yang tentunya memakan
waktu yang panjang. Dalam janji tersebut
bukan peranan ulama yang diwar-warkan tetapi atas bimbingan Allah swt seorang
utusan daripada umat Rasulullah saw yang bergelar Imam Mahdi dan Nabi Isa as
(Isa Al Masih) diberikan kemampuan luar biasa menguasai Al Quran dan
mengamalkan sunnah Rasul saw. Dengan kemampuan luar biasa inilah umat manusia
dipanggil kepada Allah swt Yang Maha Pencipta. Pada waktu itu Imam Mahdi atau
Isa Al Masih dan pengikutnya akan berjuang dengan dalil Al Quran, ilmu,
mengorbankan masa, harta dan tenaga serta mempamerkan keindahan akhlak suci Rasulullah
saw kepada dunia.
Ahli sunnah wal jamaah sepakat
bahawa kedatangan Imam Mahdi dan Isa Al Masih adalah sesuatu yang pasti. Namun
sebagaimana umat Islam keliru dalam memahami “dajjal”, demikian juga halnya
dalam mengenali Imam Mahdi dan Isa Al Masih. Umat Islam disodorkan dengan
kepercayaan yang salah bahawa Imam Mahdi dan Isa Al Masih adalah dua peribadi
yang berbeza tetapi hadir pada waktu yang sama dan saling bantu membantu dalam
perjuangan memenangkan agama Islam atas agama lain. Menurut hukum logiknya dan
sealiran dengan sabda suci Rasulullah saw pemimpin dalam ummah hanya dibenarkan
satu penyandangnya. Kekeliruan tersebut jika dianalisa hanya berpunca dari
sifat kedegilan dan keengganan para ulama untuk menerima fakta sebenar. Sabda
Rasulullah saw begitu jelas lagi nyata bahawa orang yang digelar Imam Mahdi
adalah juga diberi gelaran sebagai Isa Al Masih. Tidak ada sesiapa yang tahu alasannya kenapa Imam Mahdi dan Isa
Al Masih mesti orang yang berbeza hingga sanggup mengenepikan Al Quran dan
sabda suci Rasulullah saw, kecuali para ulama berkenaan. Terdapat segelintir
ulama dengan berdasarkan kepada Al Quran berpendapat bahawa nabi Isa as dari
bani Israil sudah wafat, tetapi disebabkan bilangan mereka hanya sedikit maka
pendapat mereka tidaklah menjadi ikutan. Jika Al Quran menjelaskan Isa Al Masih
dari bani Israil sudah wafat, maka ada logiknya bahawa Isa Al Masih yang
dijanjikan kedatangannya di akhir zaman sudah sewajarnya dari umat Islam.
Kenapa perkara ini sukar diterima oleh umat Islam?
Dapat digambarkan dengan jelas
bahawa pendapat para ulama yang menjadi ikutan ramai bakal mengundang
penentangan hebat dari umat Islam terhadap Imam Mahdi atau Isa Al Masih apabila
tiba masanya diutus. Ini dijelaskan oleh Allah swt dalam surah Az Zukhruf: 58,
“Dan ketika Ibnu Maryam dijadikan misal (matsalan) lihatlah kaum engkau
bersorak menentang (yashiddun) kerananya.”
Makna kepada “... kaum engkau...” ialah umat Rasulullah saw
dan makna “...yashiddun...” jika dirujuk kamus bahasa Arab ialah tindakan
memprotes. Selain beranggapan nabi Isa as dari bani Israil yang masih hidup
di langit dan akan turun ke bumi apabila tiba masanya, umat Islam juga akan
terus menerus berada dalam kekeliruan apabila disuap dengan fahaman bahawa
tidak akan ada lagi nabi dan rasul diutus sesudah Rasulullah saw. Jika ini
berlaku maka penentangan hebat terhadap
Imam Mahdi atau Isa Al Masih akhir zaman tidak akan dapat dielakkan dan ini
menyebabkan kelancaran kadar had laju pencapaian misi kemenangan Islam di atas
agama-agama lain akan terhambat dengan teruknya. Oleh hal yang demikian boleh
disimpulkan bahawa akan berlaku fitnah-memfinah, kafir-mengkafir dan korban
nyawa ke atas kalangan pengikut Imam Mahdi atau Isa Al Masih sepertimana yang
berlaku ke atas pengikut Rasulullah saw. Kesimpulan ini adalah tepat apabila
diambil kira sabda Rasulullah saw, “Pasti akan datang di atas umatku sebagaimana yang
telah terjadi pada umat Israil, seperti sepasang sepatu, hingga kalau umat bani
Israil berzina dengan ibunya secara terang-terangan, maka umatku juga akan
berbuat demikian. Ketahuilah bahawa umat Israil telah berpecah-belah hingga 72
golongan (firkah) dan umatku akan berpecah belah hingga 73 golongan (firkah).
Kesemuanya akan menjadi bahan api neraka kecuali satu golongan. Para sahabat
bertanya, ‘golongan yang manakah itu wahai Rasul Allah?’, Rasulullah saw
bersabda, ‘golongan itu ialah yang mengamalkan apa yang aku dan sahabatku
amalkan’” (Tirmidzi, Kitabul Imam dan Jamik Saghir Mesir). Dalam satu
jemaah (firkah) tersebut terdapat kehadiran Rasulullah saw dan para sahabat
yang bermaksud para anggota jemaah ini mengamalkan apa yang pernah diamalkan
oleh Rasulullah saw dan para sahabat. Demikian juga segala cubaan dan kezaliman
yang pernah dilalui oleh Rasulullah saw dan para sababat akan diharungi oleh
para anggota jemaah yang dimaksudkan.
...73 firkah...golongan itu
ialah yang mengamalkan apa yang aku dan sahabatku amalkan.... hadis ini menggambarkan
bahawa dalam jemaah Imam Mahdi akan ada orang seperti Hazrat Abu Bakar yang
sanggup mengorbankan nyawa dan seluruh hartanya demi kepentingan agama Islam.
Demikian juga akan ada orang seperti ini, sanggup disiksa demi cintanya kepada
Rasulullah saw dan Islam.
Tanda kedatangan Imam Mahdi
atau Isa Al Masih begitu banyak sehingga boleh menimbulkan pelbagai persoalan
tetapi atas kehendak Allah swt ada satu tanda yang amat unik dan sesiapa pun
tidak mampu mengingkarinya jika tanda tersebut berlaku. Rasulullah saw
bersabda, ”Sesungguhnya bagi Mahdi kami ada dua tanda yang belum
pernah terjadi semenjak langit dan bumi diciptakan. Akan terjadi gerhana bulan
pada malam pertama, malam-malam gerhananya pada bulan Ramadhan dan akan terjadi
gerhana matahari pada hari pertengahan, hari-hari gerhananya pada bulan
Ramadhan itu juga.” (Darul Qutni, jilid II, halaman 65). Tidak
mustahil akan ada orang mempertikaikan hadis ini kerana sumbernya bukan dari
sahih sitah. Namun itu bukan isu yang mesti dipertikaikan, selagi belum berlaku
tanda tersebut biar berapa ramai orang yang mengaku Imam Mahdi, itu adalah
pengakuan palsu. Sebaliknya jika ada yang mengaku sebagai Imam Mahdi dan
disertai dengan tanda unik ini, maka hadis tersebut adalah benar dan pengakuan
orang tersebut juga benar. Hadis ini sudah termaktub semenjak lebih 1,400 tahun
dan ianya mengaitkan satu fenomena alam diluar kemampuan manusia untuk
mengaturnya. Hadis yang dianggap palsu atau lemah akan menjadi sahih apabila
terbukti kebenarannya.
Imam
Mahdi atau Isa Al Masih adalah seorang utusan yang memikul tanggungjawab
mengembalikan kegemilangan Islam. Abad kedatangannya dapat diketahui apabila
dua sabda Rasulullah saw digabungkan bersama dengan firman Allah (As Sajdah
: 6). Rasulullah saw bersabda, “Akan terjadi nubuat sampai waktu yang disukai Allah
kemudian akan terjadi khilafat seperti dalam nubuat sampai waktu yang
dikehendaki Allah kemudian akan terjadi kerajaan yang zalim sampai waktu yang
disukai Allah kemudian akan terjadi khilafat di atas nubuat” – (Musnad Ahmad
bin Hanbal, Misykat),
“Abad
yang terbaik adalah abadku, kemudian akan hidup orang-orang di abad yang kedua,
kemudian lagi akan hidup orang-orang di abad ketiga, maka setelah itu kebenaran
akan hilang sirna dan akan meluaslah kekejaman-kekejaman, fenomena-fenomena dan
ketidak seragaman” – (Bukhari, jilid 2, halaman 186, cetakan Mesir).,
“Dia akan
mengatur peraturanNya dari langit sampai ke bumi, kemudian peraturan itu akan
naik kepada Dia dalam satu hari, yang hitungan lamanya seribu tahun menurut apa
yang kamu perhitungkan” – (As Sajdah : 6).
Berdasarkan kepada sabda
Rasulullah saw di atas, umat Islam melalui zaman pasang surut yang bertahap dan
di peringkat terakhir ialah akan terbentuk sistem khilafat. Jika diambil
sejarah umat Islam sistem khilafat yang diredhai Allah swt hanya akan terbentuk
setelah kewafatan seorang utusan yakni Rasulullah saw. Oleh itu adalah benar
jika Imam Mahdi seorang utusan Tuhan dan juga seorang yang berpangkat nabi dan
rasul lantaran gelaran yang disandang sebagai Nabi Isa akhir zaman, maka
penerus misinya adalah orang yang bergelar khalifah yang akan membentuk dan
memelihara sistem khilafat di mana umat Islam bernaung. Khalifatullah akan
terus mendapat bimbingan daripada Allah swt dalam memimpin ummah, inilah jalan
yang lurus menuju kebangkitan Islam kedua kalinya. Sememangnya tidak dinafikan
para ulama Islam sepakat bahawa di atas kehendak Allah swt pernah wujud sistem
khilafat yang berkesenambungan dalam empat era. Sehingga kini ianya tetap
menjadi model bagi umat Islam dalam usaha mereka untuk memenuhi hasrat bagi
menegakkan sistem khilafat untuk umat Islam masa kini. Usaha demi usaha
dilancarkan, namun kegagalan juga yang dihasilkan, sistem khilafat terus
menjadi impian yang tidak diketahui bila saatnya akan menjadi nyata.
Allah swt
berfirman, “Allah telah menjanjikan kepada orang-orang dari antara kamu yang
beriman dan beramal saleh, Dia pasti akan menjadikan mereka itu
khalifah-khalifah di muka bumi ini, sebagaimana Dia telah menjadikan mereka itu
khalifah dari antara orang-orang yang sebelum mereka...” (An Nuur : 56).
Seiring dengan sunnahtullah, menjadikan umat manusia ”beriman” adalah tugas
Allah swt melalui perantaraan utusanNya dan setelah benih iman yang ditanam bercambah dengan subur, tingkah laku
”beramal saleh” akan terhasil sebagai buah dari iman. ”Beramal saleh” ini
akan menyebar luas tanpa henti dengan
pupukan dan siraman rohani dari seorang khalifatullah. Ekoran dari itu, tidak
ada cara berkesan jika Islam dan umatnya hendak diletakkan di atas agama-agama lain kecuali mengamalkan perintah
Al Quran dan sunnah Rasul. Kembali kepada Al Quran dan Sunnah Rasul bermakna
akan terhapuslah segala sifat buruk umat Islam, kekeliruan dan kesalahfahaman
dalam memahami serta mengamalkan perintah Al Quran dan Rasul. Natijahnya ”Iman
dan Amal Saleh” akan lahir dalam dada dan amal perbuatan umat Islam, CINTA
Allah swt akan mencucuri umat Islam, segala syarat bagi tegaknya sistem
khilafat dan negara Islam yang sudah lama diidamkan akan terpenuhi. Kesimpulan yang boleh diambil
ialah dari isyarat yang disajikan oleh Al Quran dan sabda suci Rasulullah saw
dan didukung pula oleh Sejarah Islam ternyata tidak akan ada sesiapapun yang
diberi kemampuan untuk membentuk sistem khilafat kecuali orang yang meneruskan
misi seorang nabi sebaik sahaja kewafatannya. Inilah yang berlaku ke atas
Hazrat Abu Bakar ra yang mengambil alih tampuk pimpinan umat Islam dengan
menaiki takhta khilafat di atas persetujuan sebulat suara umat Islam sebaik
sahaja Rasulullah saw wafat dan diteruskan oleh Hazrat Umar ra, Hazrat Othman
ra dan Hazrat Ali ra. Jika umat Islam mengimpikan pimpinan seorang khalifah dan
sebuah negara aman makmur di bawah naungan syariat Islam maka hakikat
sebenarnya hendaklah diterima dengan hati yang lapang bahawa tidak ada jalan
pintas kecuali melalui berkah kedatangan seorang nabi. Oleh itu persediaan
sewajarnya, khasnya dari segi kemantapan spiritual memenuhi perintah Al Quran
dan Rasulullah saw wajib ada dalam diri setiap muslim bagi menyambut kedatangan
orang yang bergelar Imam Mahdi atau Nabi Isa dari kalangan umat Islam itu
sendiri. Mengenang kembali kecenderungan umat Islam yang lebih suka melakukan
keingkaran terhadap perintah Tuhan dan Rasul mereka, ngeri untuk dibayangkan
betapa hebatnya tentangan bakal dihadapi oleh Imam Mahdi atau Nabi Isa as.
Gejala ini tidak dapat dielakkan kerana orang hebat seperti Rasulullah saw,
seorang guru dunia juga tidak terlepas, apa lagi Imam Mahdi atau Nabi Isa as
yang hanya merupakan seorang anak murid Baginda Rasulullah saw. Kebangkitan
Islam untuk kedua kalinya samada cepat atau perlahan bergantung sepenuhnya
kepada persepsi umat Islam berhubung kewafatan Nabi Isa as bani Israil. Imam
Mahdi dan sistem khilafat tertumpu kepada kedatangan Isa Al Masih yang
dijanjikan di akhir zaman dari umat Rasulullah saw. Umat Islam yang menanti
kedatangan Isa Al Masih bani Israil akan memusuhi dan berusaha menghalang
segala rencana bagi memajukan agama Islam dan umatnya yang dilaksanakan oleh
Isa Al Masih dari umat Rasulullah saw, ini adalah satu kepastian. Mereka yang
menentang bermakna menentang Allah dan RasulNya, pasti kecundang serta berada
dalam kerugian kerana Allah swt berfirman, “Dialah yang
mengutus RasulNya dengan petunjuk dan agama yang benar supaya Dia
memenangkanNya atas sekalian agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi” (Al Fath
: 29) dan ”Allah
telah menetapkan, ’Aku dan rasulKu pasti akan menang,’ sesungguhnya Allah itu
Maha Kuat lagi Maha Perkasa” (Al Mujadilah : 22).
Negara
Islam akan wujud apabila hadir seorang khalifatullah di kalangan umat Islam.
Khalifatullah akan menaiki takhta apabila perginya seorang utusan Allah swt setelah
menyempurnakan tugasnya memanggil umat manusia kembali sujud kepada Allah swt.
…SEGALA PUJI BAGI ALLAH RABB
SEKALIAN ALAM…
Semoga Para
Pembaca Memihak Kepada Allah swt Dan RasulNya
SILA EMAIL
SEGALA KOMEN DAN PENDAPAT
Email :
rahsia.ummah@gmail.com
No comments:
Post a Comment