Thursday, July 11, 2013

Rahsia Kebangkitan Ummah - 13



NEGARA ISLAM

Definisi Negara Islam

Kebanyakan ulama dalam membincangkan teori pembentukan negara Islam ini bersumberkan Hadith dan sirah Rasulullah saw serta para Khulafa Rasyidin. Al Qur’an tidak menyebut secara jelas tentang pembentukan negara Islam yang dimimpikan oleh umat Islam hari ini. Namun demikian para ulama berusaha untuk memahami ayat-ayat yang ada kaitan dengan persoalan ini seperti kekuasaan Allah, undang-undang, nubuwah, ketaatan, khalifah, umat dan sebagainya untuk dijadikan asas teori kepada pembentukan negara Islam yang mereka maksudkan. Pada hakikatnya takrif dan ciri-ciri negara Islam merupakan perkara yang tidak disepakati oleh para ulama dan tidak ada nas yang qat’i dalam perkara ini. Mereka tidak sependapat tentang ciri-ciri dalam menentukan identiti sebenar negara Islam. Oleh yang demikian persoalan ini tertakluk dalam perkara ijtihad. Justru itu, ruang amat terbuka luas untuk memilih serta mengadaptasi pendapat yang lebih sesuai dengan keperluan dan kepentingan umat sesuai dengan zaman.

Dalam membahas konsep negara Islam, Dr. Abd. Halim El Muhammady dari Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, memberi kesimpulan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam berdasarkan kepada majoriti penduduknya beragama Islam, keamanan yang dinikmati, perlaksanaan sebahagian besarnya undang-undang Islam dan kepimpinan negara dikuasai oleh orang Melayu beragama Islam. Ini adalah pendapat seorang cendekiawan muslim dalam negara Malaysia yang kemungkinannya juga tidak dipersetujui oleh orang lain. Pandangan Abu Yusuf pula negara Islam ialah negara yang melaksanakan hukum Islam meskipun dalam negara berkenaan terdapat orang bukan Islam. Sebaliknya sesebuah Negara yang tidak melaksanakan undang-undang Islam bukanlah sebuah negara Islam walaupun rakyat dalam Negara tersebut adalah umat Islam.  Sayyid Qutb dalam Fi Zilal Al Qur’an (Dibawah Naungan Al Qur’an) ketika membahas persoalan ini berpendapat bahawa negara Islam adalah negara yang melaksanakan undang-undang Islam dan berhukum pada syariat Islam sama ada semua rakyatnya muslim atau muslim dengan ahli zimmah. Manakala al-Rafii dalam kitab Fath al-Aziz mengatakan bahawa tidak disyaratkan negara Islam itu majoriti rakyatnya harus beragama Islam tetapi memadai kekuasaan dipegang oleh orang Islam. Menurut Abu Hanifah pula negara Islam berasaskan kepada majoriti penduduknya beragama Islam, pemimpin tertinggi beragama Islam dan terdapat rasa keamanan yang dinikmati oleh rakyat. Kenyataan ini disokong oleh ulama semasa seperti Yusuf al-Qaradawi, Wahbah al-Zuhayli dan Muhammad Abu Zahrah. Ini bermakna garis penentu ciri-ciri negara Islam bukanlah bergantung kepada pelaksanaan hukum hudud-qisas semata-mata. Selanjutnya Abu Hanifah membezakan di antara negara Islam dan negara musuh berdasarkan rasa keamanan yang dinikmati rakyatnya. Apabila umat Islam merasa berada dalam keadaan aman dan dapat menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan dengan bebas, maka Negara tersebut termasuk dalam kategori negara Islam. Sebaliknya, jika tidak ada rasa aman untuk umat Islam, maka Negara tersebut masuk kategori dar al-Harb. Berdasarkan kepada pandangan Abu Hanifah ini, para fuqaha membuat kesimpulan bahawa definisi negara Islam dan bukan Islam itu boleh dipandang dari dua sudut. Pertama, negara Islam hendaklah diasaskan di atas dasar pelaksanaan sepenuhnya shariat Islam. Kedua, rakyat muslim dalam sesebuah negara mestilah merupakan komposisi majoriti dengan keamanan dapat dikecapi dalam semua aktiviti kehidupan dan pengamalan ibadah yang dituntut. Pandangan yang kedua ini mengambil kira perlaksanaan shariat Islam dalam keadaan tidak sepenuhnya tetapi perlaksanaannya ditentukan oleh pihak yang memegang tampuk pemerintahan pada kadar yang dirasakan perlu, sesuai atau selari dengan tuntutan keadaan pada ketika itu. Dalam erti kata lain, cara mengolah dalam menegakkan sebuah Negara Islam adalah bergantung kepada keperluan dan kebijaksanaan pemerintah bersama rakyat, asalkan prinsip-prinsip asas dapat diterapkan dalam sistem pemerintahan sebagaimana seharusnya sebuah negara yang adil dan makmur. Adakah Malaysia sebuah negara Islam? 

Negara Madinah – Model Negara Islam Dalam Sejarah Silam

Keghairahan untuk mendirikan sebuah Negara Islam di kalangan segelintir umat Islam pada hari ini sudah sampai ke kemuncaknya. Mereka mempunyai tanggapan bahawa Negara Madinah merupakan sumber yang seratus peratus menepati keperluan dalam mendukung kehendak yang meluap-luap untuk mendirikan sebuah Negara Islam. Benarkah Madinah sebuah Negara Islam? Jika ditinjau dari sudut pandangan yang cukup sederhana seperti yang diketengahkan oleh Abu Hanifa, sememangnya Madinah di bawah pimpinan Rasulullah saw dan dilanjutkan oleh Khulafa Rashidin adalah sebuah Negara Islam. Namun untuk mengaplikasi corak pemerintahan Negara Madinah ke atas sebuah Negara dan masyarakat yang jauh lebih maju seperti hari ini tidak mungkin mencapai kejayaan serta merta. Rasulullah saw yang memulakan pemerintahan di Madinah dengan nilai-nilai Islamik adalah melalui satu proses evolusi di mana masyarakat yang menjadi pelengkap kepada Negara Madinah pada masa itu telah melalui proses tarbiyah secukupnya secara bertahap yang dilaksanakan sendiri oleh Rasulullah saw. Hukum syariat Al Qur’an diturunkan secara berperingkat dan demikian juga dengan tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah saw terhadap para sahabat adalah secara bertahap sesuai dengan turunnya Al Qur’an secara berperingkat. Akhirnya apabila Rasulullah saw memerintahkan lencong ke kiri, mereka akan ke kiri, lencong ke kanan mereka akan ke kanan tanpa soal. Mereka mencintai Rasulullah saw dan Allah swt serta agama Islam melebihi diri mereka sendiri, rata-rata mereka sanggup berkorban apa sahaja demi agama Islam. Justru itu timbullah rasa ketaatan yang luar biasa terhadap kepimpinan sehingga pelaksanaan syariat Islam di Madinah tidak menghadapi tentangan dari Umat Islam. Berbeza dengan situasi hari ini, mereka yang berwawasan dan beranggapan sebagai pejuang agama Islam begitu ketara keghairahannya untuk mengimplementasi syariat Islam dengan cara mendadak tanpa mempedulikan majoriti umat yang hanya Islam pada nama dan kekafirannya lebih menyerlah menutupi ketaqwaan terhadap Allah swt.

Konsep Negara Madinah menggambarkan sebuah pentadbiran kerajaan yang berjaya sesuai dengan zamannya diterajui seorang pemimpin agung dalam serba serbinya. Seorang pemimpin berstatus nabiyullah yang dibimbing serta dibantu secara langsung oleh Allah swt. Negara Madinah pada masa itu amat spesifik serta mempunyai karakteristik yang istimewa berbanding dengan zaman yang serba maju pada hari ini. Negara Madinah yang hingga saat ini masih menjadi rujukan paling sahih bagi perjuangan politik umat Islam, ternyata masih belum cukup memenuhi kriteria bagi sebuah negara moden. Hari ini terdapat kepelbagaian elemen-elemen yang amat kompleks menyelubungi sesebuah Negara. Contohnya, sesebuah Negara hari ini memerlukan sistem ketenteraan meliputi udara, darat dan laut yang professional, sistem informasi dan komunikasi yang serba canggih, sistem pengurusan sampah, sungai, bangunan yang berkesan dan sebagainya. Piagam Negara Madinah yang dirintis oleh Rasulullah saw tidak mampu menyediakan instrumen lengkap bagi mengendalikan sebuah negara Islam di zaman yang bergerak pantas dalam segala bidang pemodenan dan tambahan pula dihuni oleh masyarakat yang serba serbinya jahiliyah. Ringkasnya, seorang ulama dan pimikir Islam tersohor di zaman ini, Jamal Albana dalam bukunya berjodol Runtuhnya Negara Madinah, Islam Kemasyrakatan Versus Islam Kenegaraan menjelaskan bahawa pada dasarnya negara Madinah hanyalah sebuah model yang berunsurkan pemerintahan Islam.

Menyentuh kemampuan Rasulullah saw mentadbir sesebuah negara sepertimana Madinah yang cukup sederhana tidaklah bermakna jika ada kesempatan Rasulullah saw akan gagal mentadbir sebuah negara serba moden seperti dewasa ini. Wajib diyakini amalan Rasulullah saw mendahulukan Al Qur’an yang penuh hikmah, lengkap dengan panduan yang sempurna disertai dengan keredhaan daripada Allah swt, beliau saw pasti mampu menyelesaikan apa jua kemelut permasalahan. Personaliti dan kapasiti Rasulullah saw dan para sahabat adalah kunci kejayaan kepada aspirasi menegakkan sebuah negara Islam. Namun personaliti dan kapasiti serupa tidak pernah muncul dalam umat Islam sesudah Rasulullah dan para Khulafa Rasyidin.  Kemampuan umat Islam dalam menerajui pemerintahan cukup sekadar mencerminkan kegopohan, tergesa-gesa dan tidak berhemah. Konsekuensinya, hingga saat ini negara Islam yang diimpikan hanya menzahirkan mimpi ngeri. Berkait rapat dengan situasi ini, amat menyedihkan, sistem pemerintahan negara Madinah yang telah menempah kejayaan itu mula pudar setelah kewafatan Rasulullah saw. Khulafa Rasyidin berhempas pulas mempertahankan kedaulatan Negara yang diteguhkan oleh tangan Rasulullah saw sendiri agar tidak tumbang. Malangnya titik hitam mula memperlihatkan nodanya dengan jelas dalam lembaran sejarah Negara Islam di zaman kekhalifahan Hazrat Uthman ra. Akhirnya runtuhlah Negara Islam yang dibangun oleh Rasulullah saw secara total apabila golongan yang dikuasai oleh hawa nafsu sarakah berjaya mensyahidkan Hazrat Ali ra. Mereka yang terlibat dan bertanggungjawab di atas keruntuhan Negara Islam tersebut pernah menerima tarbiyah secara langsung daripada Rasulullah saw iaitu seorang utusan Tuhan yang penuh berwibawa tanpa ada tandingannya. Namun itulah kenyataannya, setelah kewafatan Rasulullah saw, kecenderungan umat Islam dari masa lampau hingga ke hari ini amat jelas untuk tidak taat kepada pemimpin, berpecah belah membentuk kelompok dan saling bermusuhan sesama sendiri.

Negara Ideal Dari Sudut Al Qur’an

Dalam Islam, konsep dasar adalah kedaulatan terhadap alam semesta yang dimiliki Allah swt dan umat manusia pula sebagai hambaNya diberikan kekuasaan sebagai satu amanah dalam beberapa segi untuk mengendalikan dunia dan seisinya. Dalam merealisasikan konsep ini, pemimpin dan warga yang dipimpin hendaklah bergerak dalam satu arah tuju yang sama serta saling bekerjasama dalam mencapai tujuan tersebut. Meskipun penjelasan terperinci tentang cara mewujudkan sesebuah negara Islam tidak diterangkan, namun Al Qur’an menetapkan beberapa sasaran yang wajib disempurnakan dalam mewujudkan sesebuah negara Islam tanpa mengenepikan norma-norma yang telah digariskan dan dituntut oleh Sang Pencipta Yang Maha Berkuasa ke atas alam maya ini. Sebuah negara ideal dari sudut pandangan Islam adalah negara yang mempunyai kesatuan universal, kebebasan berfikir dan bersuara, mencapai matlamat dalam mempromosi dan memelihara keamanan serta kerjasama semata-mata demi kesejahteraan ummah keseluruhannya tanpa mengira agama dan bangsa. Ummah hendaknya membentuk satu warga negara yang taat kepada satu pimpinan yang bergelar Khalifah sebagai ketua negara. Khalifah melaksanakan tugasnya memelihara agama Allah dan mempastikan kesejahteraan yang lahir dari satu kehendak serta matlamat seluruh ummah. Jika konsep ini berjaya diwujudkan maka inilah negara Islam yang paling ideal serta diredhai Allah swt. Namun konsep ini jugalah yang telah lebih seribu tahun hilang musnah dari kehidupan umat Islam dan usaha demi usaha untuk mengembalikannya hanya membuahkan kekecewaan, gagal satu per satu.

Pimpinan Dalam Sebuah Negara Islam

Al Qur’an memaparkan dua jenis negara yang mempunyai objektif dan etika yang sama tetapi berbeza dari segi skop kekuasaan dan cara-cara pembentukannya. Pertama ialah sebuah negara yang paling unggul dipimpin oleh seseorang yang mampu melaksanakan kuasanya dengan optimal dalam bidang merangkumi sekular dan spiritual. Allah swt berfirman, “Allah telah menjanjikan kepada orang-orang dari antara kamu yang beriman dan berbuat amal saleh, bahawa Dia pasti akan menjadikan mereka itu khalifah-khalifah dari antara orang-orang yang sebelum mereka; dan Dia akan meneguhkan bagi mereka agama mereka, yang telah Dia redhai bagi mereka; dan nescayalah Dia akan memberikan mereka keamanan dan kedamaian sebagai pengganti sesudah ketakutan mencengkam mereka. Mereka akan menyembah kepada Ku, dan mereka tidak akan mempersekutukan sesuatu dengan Daku. Dan barangsiapa ingkar sesudah itu, mereka itulah orang-orang yang derhaka” (An Nuur: 56).

Sebuah negara yang diredhai Allah swt mestilah dipimpin oleh seorang yang bertaraf khalifatullah sesuai dengan janji Allah swt dalam Al Qur’an kepada umat Islam yang bertaqwa dan beramal saleh. Menduduki jawatan Khalifah adalah melalui proses pemilihan, dia boleh dipilih secara langsung atau dicalonkan oleh khalifah yang bakal digantikan (apabila setelah wafat) dengan persetujuan rakyat seperti mana yang berlaku ke atas proses pemilihan khalifah kedua iaitu Hazrat Umar ra. Khalifah  yang dipilih oleh rakyat dijanjikan pertolongan dari Allah swt selagi institusi khilafat yang diterajuinya sentiasa berada dalam lingkungan yang digariskan oleh Al Qur’an. Jawatan khalifah adalah bagi jangka waktu sepanjang hayat, seorang khalifah tidak boleh dengan sendirinya melepaskan atau diminta melepaskan jawatan kekhalifahannya. Khalifah adalah terikat sepenuhnya dengan prinsip-prinsip dan undang-undang Allah swt. Oleh itu khalifah mestilah menyerahkan seluruh masa, tenaga dan kemampuan untuk mengkhidmati rakyat. Khalifah bertanggungjawab menentukan polisi dan dasar-dasar pentadbiran sebuah kerajaan dan melaksanakannya setelah mendapatkan nasihat dan pandangan dari badan perwakilan yang dipilih bagi pihak rakyat, perkara ini diisyaratkan dalam Al Qur’an, “Dan oleh kerana rahmat dari Allah lah maka engkau bersikap lemah-lembut terhadap mereka dan jika sekiranya engkau kasar, keras hati, nescaya mereka akan cerai berai dari keliling engkau. Maka maafkanlah mereka dan mintalah ampunan (dari Allah) bagi mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka (dalam urusan yang penting) dan apabila engkau telah menetapkan suatu maksud, bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakal” (Ali Imran: 160).

Negara jenis yang kedua ialah pemimpinnya mewakili rakyat dengan tanggungjawab yang sama seperti Khalifah tetapi dari segi tempoh pemerintahannya, skop dan batas kekuasaannya adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan pada waktu perlantikannya dan syarat-syarat tersebut mestilah dipatuhi dan dipelihara oleh yang telah terpilih sebagai pemimpin yang mewakili rakyatnya. Bagi rakyat pula adalah terikat sama dalam memberikan amanah kepada orang yang dipilih sebagai perwakilan rakyat sepertimana juga telah digariskan oleh Al Qur’an, “Sesungguhnya Allah memerintahkan kepada kamu supaya menyerahkan amanat-amanat itu kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu mengambil suatu keputusan di antara manusia supaya kamu memutuskan dengan adil. Sesungguhnya itulah yang paling baik anjuran Allah kepada mu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar Maha Melihat” (An Nisaa: 59).

Oleh itu jelaslah bahawa kesejahteraan ummah adalah juga terletak pada rakyat untuk menentukannya kerana rakyat sendiri diberi tanggungjawab untuk menyerahkan amanah kepada orang yang sepenuhnya layak menerima amanah. Pada masa yang sama terdapat teguran untuk orang yang diberikan amanah bahawa apabila tiba kepada membuat keputusan di antara manusia mestilah dibuat dengan seadil-adilnya. Oleh itu terdapat dua tanggungjawab yang perlu berjalan serentak yakni tanggungjawab rakyat memilih orang yang layak diberikan amanah dan tanggungjawab pemimpin (orang yang menerima amanah). Kedua-dua pihak iaitu rakyat dan pemimpin sentiasa diperhatikan oleh Allah swt dan mereka mempunyai peranan masing-masing dan kedua-duanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah swt atas segala apa yang mereka lakukan. Dalam menunaikan tanggungjawab, seorang pemimpin dalam sesebuah negara Islam tidak tertakluk kepada proses kehakiman berhubung dengan apa yang dilakukannya dalam menunaikan tanggungjawab semata-mata demi negara dan rakyat. Walau bagaimanapun segala perkara yang dilakukannya di atas kepentingan peribadi, dia tidak terlepas dari proses perundangan.

Karakter Seorang Pemimpin Islam

Seorang pemimpin wajib menyedari bahawa segala tanggungjawab yang dilaksanakannya bagi sebuah negara Islam adalah tertakluk kepada roh keislaman dan dia mesti berani menerapkan perlaksanaannya dalam semua institusi pemerintahan dan pentadbiran. Pemerintah yang diamanahkan kuasa kepadanya bertanggungjawab memastikan keamanan dapat dinikmati oleh rakyatnya. Agama Islam telah menetapkan pemimpin sebuah negara adalah sama seperti seorang pengembala yang mampu melindungi dan menjaga seluruh binatang ternakannya dari segala macam musibah dan bahaya, serta mampu menyediakan segala keperluan bagi menjamin kesejahteraan binatang ternakannya. Pengembala yang baik memastikan ternakannya tidak merayau-rayau tidak tentu arah, melindunginya dari ancaman serigala, memberi makanan dan kandang yang secukupnya dan melindunginya daripada wabak penyakit. Analogi seorang pemimpin dalam sesebuah negara Islam adalah seperti seorang pengembala yang menjamin seluruh rakyatnya bebas dari konflik, huru hara, gangguan dan penindasan, selamat dari ancaman dan serangan dari luar, menyediakan segala keperluan intelektual dan material. Untuk memastikan kemampuan seorang pemimpin benar-benar memenuhi kriteria seperti seorang pengembala dengan komitmen yang tinggi, Al Qur’an telah menetapkan garis panduan yang wajib dipatuhi dan disempurnakan.

Tidak pula kurang pentingnya, seorang pemimpin mestilah berjiwa rakyat dan rendah hati sepertimana yang dipercontohkan oleh Hazrat Umar ra. Dalam satu kejadian Hazrat Umar ra semasa era kekhalifahan beliau secara kebetulan melihat seorang ibu bersama tiga orang anak di luar kota Madinah tidak mempunyai bahan makanan selama dua hari. Dengan segera Hazrat Umar ra kembali ke Madinah untuk mengambil bahan keperluan makanan dengan memikulnya sendiri untuk diberikan kepada ibu tersebut. Seorang hamba memprotes agar dia sendiri yang memikul bahan makanan tersebut tetapi Hazrat Umar ra menolak sambil berkata, “Tidak dapat dinafikan engkau memang boleh mengangkat barang-barang ini tetapi siapa yang akan mengangkat beban saya di hari akhirat kelak?” Selanjutnya Hazrat Umar ra memikul bahan makanan itu sendiri dan memberikannya kepada ibu berkenaan sambil ibu tadi mengucapkan syukur di atas kebaikannya dan berkata, “Engkau lebih sesuai menjadi khalifah daripada Umar, dia tidak tahu tentang keperluan rakyatnya.” Hazrat Umar ra menjawab dengan lembut dan senyuman, “Baiklah ibu, mungkin Umar tidaklah seburuk seperti yang ibu sangkakan”. Masih adakah seorang pemimpin muslim seperti Umar ra?

Faktor Penentu Kejayaan Negara Islam

Sebuah negara Islam yang berada di bawah pimpinan seseorang yang bertaqwa kepada Allah swt, pemimpin itu mesti mampu bertindak dan mewujudkan keperluan-keperluan bagi menjamin kesejahteraan negara dan warganya. Dalam hal yang berkaitan meskipun tidak dengan terperinci, Al Qur’an menggariskan beberapa faktor yang perlu dijadikan panduan dan iktibar agar sebuah negara Islam yang hakiki dapat ditegakkan. Negara Islam merupakan sebuah negara yang mampu memenuhi segala keperluan warganya dari segi keamanan, hubungan sosial dan perkembangan ekonomi yang mantap, pendidikan rohani dan jasmani yang maju. Berikut adalah beberapa saranan dan larangan yang disediakan oleh Al Qur’an dan wajib diterapkan dalam merangka dasar-dasar negara dan mesti diimplimentasikan agar sebuah negara Islam yang ideal dapat ditegakkan. Bagi menjamin tercapainya matlamat ini, pemimpin dan rakyat wajib berganding bahu dalam kesepakatan yang padu.

Keperluan Asas Rakyat

Keperluan asas bagi kehidupan rakyat seperti pakaian dan makan minum mesti disediakan, ini adalah ketetapan minima bagi sebuah negara Islam dalam mewujudkan organisasi sosial yang harmoni seperti mana firman Allah swt, “Sesungguhnnya telah ditetapkan bagimu, bahawa engkau tidak akan kelaparan di dalamnya dan pula engkau tidak akan telanjang dan bahawa engkau tidak akan dahaga di dalamnya dan tidak pula akan disengat panas matahari” (Thaahaa: 119-120).

Rasulullah saw sejak dari awal lagi telah menekankan dan memperlihatkan contoh bahawa Negara Islam bertanggungjawab menyediakan keperluan rakyatnya dalam bidang pendidikan. Perkara ini dapat diperhatikan apabila Rasulullah saw sendiri telah mengumumkan kepada setiap tawanan perang Badar yang tahu membaca dan menulis boleh membebaskan dirinya dengan mengajar 10 orang kanak-kanak muslim. Tindakan Rasulullah saw ini telah diteruskan oleh para khalifahnya dan telah menyebabkan dalam waktu yang singkat para penunggang unta padang pasir yang pernah dihina oleh bangsa Iran dan Byzantium menjadi guru-guru dunia.

Keamanan dan Pertahanan

Keamanan negara hendaknya terjamin dengan sokongan sistem pertahanan yang tidak dapat diatasi oleh musuh, sentiasa dalam kondisi dan tahap memuaskan sepertimana disarankan oleh Al Qur’an, "Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah dan atasilah lawan dalam kesabaran dan berjaga-jagalah  dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu memperoleh kemenangan”(Ali Imran: 201).

Mewujudkan keamanan dan keselamatan sudah sewajarnya menjadi matlamat yang perlu dicapai dan sentiasa dipelihara secara berterusan kerana ianya amat penting bagi menjamin kemajuan serta perkembangan moral, spiritual dan material. Ungkapan “ISLAM” sendiri membawa makna keselamatan dan penyerahan, ini boleh diertikan bahawa untuk mencapai keselamatan mestilah melalui penyerahan secara total kepada Allah swt dengan melaksanakan perintahNya. Di antara sifat-sifat Allah swt, Al Qur’an menyatakan Dia adalah sumber keselamatan dan pemberi keselamatan, “Dialah Allah, dan tiada tuhan selain Dia, Maha Berdaulat Yang Maha Suci, Sumber segala keselamatan, Pelimpah keamanan, Maha Pelindung, Maha Perkasa, Maha Penakluk, Maha Agung, Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan dengan Dia (Al Hasyr: 24).

Segala usaha dan aktiviti yang cenderung kepada mengganggu keamanan adalah ditolak oleh Al Qur’an, “Dan janganlah kamu berbuat kerusuhan di bumi sesudah ditertibkan keadaannya dan  serulah Dia dengan perasaan takut dan penuh harapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang berbuat kebajikan (Al A’raaf: 57). “Dan kepada kaum Midian Kami utus saudara mereka Syu’aib, maka ia berkata: Hai kaum ku sembahlah Allah dan ingatlah akan hari terakhir dan janganlah kamu melakukan ketidakadilan di bumi sambil menimbulkan kerusuhan” (Al Ankabuut: 37), “… setiap kali mereka menyalakan api untuk perang, Allah memadamkannya. Dan mereka berusaha membuat kerusuhan di bumi dan Allah tidak menyukai orang-orang perusuh” (Al Maa’idah: 65), “Dan carilah dalam apa yang telah Allah berikan kepada mu, rumah akhirat itu; dan janganlah engkau melupakan nasib engkau di dunia ini. Dan berbuatlah kebajikan sebagaimana Allah telah berbuat baik terhadap engkau; dan janganlah engkau menimbulkan kerusuhan di bumi ini. Sesungguhnya Allah tidak mencintai orang-orang yang berbuat kerusuhan (Al Qashash: 78).

Satu golongan menguasai golongan lain atau seseorang menguasai orang lain samada dalam ruang lingkup lokal atau global boleh menjadi satu sumber yang berpotensi untuk mengganggu keamanan dan ini tidak dibenarkan dalam Islam. Allah swt tidak suka melihat umat manusia hidup berpecah belah disebabkan oleh satu suku menguasai puak lain. Jika keadaan ini berlaku Allah swt akan membantu dan mengangkat  bangsa yang teraniaya disebabkan dikuasai dan ditindas. Perkara ini dijelaskan oleh Al Qur’an sepertimana yang berlaku ke atas Fir’aun kerana caranya memperlakukan bani Israil “Sesungguhnya Fir'aun telah berbuat sewenang-wenangnya di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Fir'aun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan. Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi), dan akan Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi dan akan Kami perlihatkan kepada Fir'aun dan Haman berserta tenteranya apa yang sering mereka khuwatirkan dari mereka itu (Al Qashash: 5-7). Akhirnya Fir’aun bersama pengikutnya menerima hukuman yang amat dahsyat sebagai teladan kepada generasi akan datang sepertimana firman Allah, “Dan Kami memungkinkan Bani Israil melintasi laut, lalu mereka diikuti oleh Fir'aun dan bala tenteranya, kerana hendak menganiaya dan menindas (mereka); hingga bila Fir'aun itu telah hampir tenggelam berkatalah dia: ‘Saya percaya bahwa tidak ada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan saya termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada Allah). Apakah sekarang (baru kamu percaya), padahal sesungguhnya kamu telah derhaka sejak dahulu, dan kamu termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan. Maka pada hari ini Kami selamatkan jasad mu supaya kamu boleh menjadi pelajaran bagi orang-orang yang di masa akan datang sesudahmu dan sesungguhnya kebanyakan dari manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami” (Yunus: 91-93). Al Qur’an mengisyaratkan bahwa yang kuat atau yang lemah bukanlah ukuran yang menunjukkan bahawa seseorang itu lebih hebat atau lemah. Al Qur’an menekankan bahawa dalam proses jatuh dan bangkitnya sesebuah negara atau bangsa, yang lemah pada hari ini akan menjadi kuat di masa akan datang.

Perundangan dan Kehakiman

Sistem perundangan dan kehakiman adalah satu badan yang bebas dalam menyelesaikan apa juga konflik atau permasalahan yang timbul. Dalam bidang perundangan Rasulullah saw sendiri memperlihatkan contoh dengan penubuhan badan kehakiman sebaik sahaja beliau saw menerima pucuk pimpinan di Madinah dan Hazrat Umar ra telah dilantik sebagai salah seorang hakim dan Rasulullah saw juga seringkali bertindak sebagai seorang hakim. Al Qur’an mewajibkan umat Islam memenuhi keperluan bidang kehakiman dalam menyelesaikan pertelingkahan dan tidak boleh ada perasaan tidak akur dalam diri orang yang diadili terhadap keputusan atau hukuman yang dijatuhkan, “Tidak! Demi Rab engkau, mereka tidak beriman sebelum mereka jadikan engkau sebagi hakim dalam setiap perselisihan yang terjadi di antara mereka, kemudian mereka tidak merasakan suatu keberatan dalam hati mereka tentang apa yang telah engkau putuskan serta mereka tunduk setunduk-tunduknya” (An Nisaa’: 66). Disamping itu Al Qur’an menganjurkan agar sistem keadilan ditunjang dengan memberikan kesaksian yang benar belaka, “Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu dan apabila mereka melalui sesuatu hal yang sia-sia, mereka berlalu dengan sikap yang agung” (Al Furqan: 73) dan lebih tegas lagi Allah berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman jadilah kamu orang-orang yang menegakkan keadilan dan jadilah kamu saksi kerana Allah, walaupun terhadap diri mu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat. Baik ia itu kaya atau miskin, maka Allah lebih memperhatikan keduanya. Kerana itu janganlah kamu turutkan hawa nafsu, agar kamu dapat berlaku adil. Dan jika kamu menyembunyikan atau mengelakkan (kesaksian itu), maka (ketahuilah) sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan” (An Nisaa’: 136).

Dalam rangka yang luas ini, negara Islam bebas membuat perundangan dan melaksanakannya selagi ianya sesuai dengan kondisi, zaman dan masih diperlukan oleh rakyat. Al Qur’an memberikan kelonggaran dan tidak menggalakkan segala sesuatu berhubung perundangan mesti melalui bantuan wahyu kerana perundangan seperti itu terbatas dan boleh membebankan, Allah swt menegur “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu tanyakan tentang hal-hal yang sekiranya diterangkan kepada mu, akan menyusahkan kamu; dan jika kamu tanyakan hal-hal itu, ketika Al Qur’an sedang diturunkan, tentu akan diterangkannya kepada mu, Allah (sengaja) telah membiarkan hal-hal itu. Dan Allah Maha Pengampun dan Penyantun” (Al Maa’idah: 102).

Hendaknya dipastikan kesemua pihak samada seorang Islam, masyarakat Islam atau negara Islam, dilarang  tunduk kepada provokasi untuk membenci seseorang sehingga terjadi tindakan yang tidak adil ke atas orang tersebut, sesuai dengan firman Allah swt, “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu berdiri teguh di jalan Allah dan menjadi saksi dengan adil, dan janganlah permusuhan suatu kaum mendorong kamu untuk bertindak tidak adil. Berlakulah adil, itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan (Al Maa’idah: 9).

Jangan Mengamalkan Rasuah

Memberi dan menerima suapan adalah ditegah, petugas-petugas dalam kerajaan wajib melaksanakan tugasnya dengan penuh saksama, ditegah sama sekali jika ada pihak yang cuba merosakkan proses pemerintahan dan pentadbiran dengan jalan rasuah. Perkara ini ditegah oleh Allah swt dalam firmanNya, “Dan janganlah kamu makan harta benda dari antara mu dengan jalan salah dan jangan pula kamu menghulurkannya (sebagai suapan) kepada petugas-petugas (pemerintah) supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta-benda orang lain dengan cara tidak sah, pada hal kamu mengetahuinya” (Al Baqarah: 189)

Peranan Rakyat

Tarbiyah menyeluruh wajib disampaikan kepada rakyat yang beragama Islam agar mereka faham dan memainkan peranan dalam memberikan kesetiaan penuh kepada pemerintah sepertimana Allah swt berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada rasulNya, dan kepada orang-orang yang memegang kekuasaan di antaramu. Dan jika kamu berselisih mengenai sesuatu, maka kembalikanlah hal itu kepada Allah dan rasulNya, jika kamu memang beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (An Nisaa’: 60).

Dari sudut hak dan tanggungjawab rakyat yang bukan beragama Islam dalam sebuah negara Islam adalah terikat dengan perjanjian dan persetujuan yang dimeterai. Segala sesuatu tertakluk kepada syarat-syarat yang telah diterima bersama, tidak dibenarkan berlaku diskriminasi dalam semua perkara khasnya yang tidak berkaitan dengan agama.

Kebebasan Beragama

Dalam soal kepercayaan dan keyakinan pula Al Qur’an telah menjelaskan dengan sejelas-jelasnya bahawa tidak ada paksaan dalam agama, “Tidak diperkenankan sesuatu paksaan dalam agama. Sesungguhnya telah nyata bezanya kebenaran dari kesesatan; dan ketahuilah, barangsiapa dengan kehendak sendiri menyanggah ajakan syaitan dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang pada suatu pegangan yang sangat kuat, yang tak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui” (Al Baqarah: 257), “Dan katakanlah, ‘Inilah kebenaran dari Rabmu; maka barangsiapa menghendaki, maka berimanlah, dan barangsiapa menghendaki maka ingkarlah.’ Sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi orang yang membuat aniaya itu api yang mengepung mereka dari empat penjuru…” (Al Kahfi: 30).

Memaksakan agama Islam agar diterima oleh orang yang bukan beragama Islam adalah sesuatu yang bercanggah dengan ajaran Al Qur’an. Keinginan Rasulullah saw agar semua orang menerima agama Islam amat dalam sehingga menyebabkan kesedihan yang amat sangat dalam diri beliau saw. Lantaran itu Rasulullah saw berulang kali ditegur dan dihiburkan oleh Allah swt, sepertimana firmanNYa, “Maka engkau membinasakan dirimu kerana sangat bersedih hati memikirkan mereka, mengapa mereka tidak beriman kepada keterangan ini” ( Al Kahfi : 7). “Boleh jadi engkau akan membinasakan dirimu sendiri disebabkan kedukacitaan, mengapa mereka tidak mahu beriman” (Asy Syur’araa’: 4). “… maka janganlah engkau membinasakan diri mu kerana kesedihan mengenai mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat” (Al Faathir: 9).

Dalam negara Islam, hak asasi termasuk kebebasan pengamalan dan penyebaran setiap agama adalah dijamin bagi umat Islam dan bukan Islam. Allah swt memberi kebebasan kepada umat manusia samada mahu beriman ataupun ingkar. Allah swt Yang Maha Berkuasa amat mudah bagiNya menjadikan seluruh umat manusia agar beriman tetapi dalam hal keimanan Allah swt memberikan kebebasan kepada setiap individu untuk memilih, “Dan sekiranya Allah engkau memaksakan kehendakNya, nescaya semua orang yang ada di bumi akan serentak beriman. Apakah engkau akan memaksa manusia hingga menjadi orang beriman?” (Yunus: 100), Memaksa orang lain untuk menerima Islam bermakna ingkar kepada perintah Allah swt berkaitan kebebasan beragama. Namun adalah tanggung jawab setiap muslim untuk menyeru umat manusia kepada kebenaran dengan cara berhemah, “Serulah kepada jalan Rab engkau dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik, dan hendaknya berdialoglah dengan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya. Sesungguhnya Rab engkau lebih mengetahui siapa yang telah sesat di jalanNya; dan Dia mengetahui pula siapa yang telah mendapat petunjuk” (An Nahl: 126).

Islam adalah agama yang tidak bersikap monopoli tetapi menitik beratkan tolak ansur di kalangan penganut pelbagai agama dan menganjurkan semangat hormat menghormati di antara satu dengan lain. Islam memupuk semangat persaudaraan dan persahabatan berasaskan kejujuran sebagaimana firman Allah swt, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, Shabiin dan orang-orang Nasrani  barangsiapa (di antara mereka benar-benar) beriman kepada Allah dan hari kemudian dan beramal saleh, maka tidak akan ada ketakutan menimpa mereka pada hari yang akan datang dan tidak pula mereka berdukacita tentang yang sudah-sudah” (Al Maa’idah: 70). Di samping itu penganut agama lain diseru untuk bersatu atas dasar prinsip persamaan sepertimana Allah swt berfirman, “Katakanlah, ‘Hai ahli kitab! Marilah kepada satu kalimat yang sama di antara kami dan kamu, bahawa kita tidak menyembah melainkan Allah, dan tidak pula kita persekutukan Dia dengan barang apa pun, dan sebahagian kita tidak mengambil yang lainnya menjadi Tuhan selain Allah’, tetapi jika mereka berpaling, maka katakanlah, ‘jadi saksilah bahawasanya kami  ini orang-orang muslim yang  patuh pada Allah” (Ali ‘Imraan: 65).

Hubungan Antara Bangsa-bangsa

Dalam hubungan antara bangsa, sebuah negara Islam mesti memelihara dengan sedaya upaya polisi dan tindakan yang sudah disepakati bersama. Di antara punca konflik antarabangsa adalah disebabkan oleh polisi dan tindakan berbeza daripada tujuan asal yang dijanjikan dan akhirnya menimbulkan perasaan tidak puas hati dan hilang kepercayaan. Perasaan buruk sangka terhadap sesebuah negara akan semakin menebal apabila tindakan yang diambil tidak lagi selaras dengan polisi dan matlamat yang ditetapkan serta dipersetujui. Perlakuan seperti ini akan melahirkan situasi yang cukup serius untuk membahayakan hubungan antarabangsa. Al Qur’an menegaskan agar memelihara serta melaksanakan perjanjian yang sudah dipersetujui, “Hai orang-orang yang beriman! Mengapakah kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan? Adalah sesuatu yang paling dibenci di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan” (Ash Shaf: 3-4).

Al Qur’an sentiasa menyeru untuk memelihara tanggungjawab dalam menunaikan perjanjian yang telah dipersetujui dan dimeterai, “Wahai orang-orang yang beriman, patuhi segala perjanjianmu…” Al Maa’idah: 2). Setiap apa jua tanggungjawab yang diletakkan ke atas bahu seorang muslim mestilah dilaksanakan dengan sebaiknya semata-mata kerena Allah swt, ini melambangkan sifat kejujuran dan ketaqwaan seorang muslim. Oleh sebab itu Allah swt berfirman, “Dan sempurnakanlah perjanjian dengan Allah, apabila kamu telah mengadakan suatu perjanjian, dan janganlah kamu melanggar sumpah-sumpah setelah diteguhkanNya, pada hal telah kamu jadikan Allah sebagai jaminanmu. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan” (An Nahl: 92).

Di antara bangsa-bangsa, Islam menggalakkan kekukuhan dan kestabilan sesebuah Negara yang menitik beratkan pemeliharaan keamanan global, “Dan janganlah kamu berkelakuan seperti perempuan, yang memutus-mutuskan benangnya menjadi berpotong-potong setelah ia memintalnya dengan kuat, dengan menjadikan sumpah mu sebagai cara penipuan di antara mu, takut jangan-jangan suatu kaum akan menjadi lebih kuat daripada kaum yang lain. Sesungguhnya, Allah menguji kamu dengan itu dan pada hari kiamat Dia akan menjadikan jelas kepadamu apa yang kamu telah berselisih di dalamnya. Dan Jika Allah menghendaki nescaya Dia pasti akan menjadikan kamu sekalian satu kaum sahaja, akan tetapi Dia membiarkan orang yang menghendaki kesesatan itu tersesat, dan memberi petunjuk kepada orang yang menghendakinya; dan nescaya kamu akan ditanya tentang apa yang telah kamu kerjakan. Dan janganlah kamu menjadikan sumpah-sumpah mu sebagai cara penipuan di antara kamu; maka kaki mu akan tergelincir setelah tegak berdiri dengan kukuhnya, dan akan kamu rasakan kejahatan itu, kerana kamu dengan berbuat demikian telah memalingkan muka orang dari jalan Allah, dan bagimu  ada azab yang sangat besar” (An Nahl: 93-95).
Perjanjian yang disepakati mestilah mengikat perpaduan bangsa-bangsa agar lebih kuat, mewujudkan kerjasama yang harmoni dan adil. Al Qur’an memberi teguran keras perjanjian yang sudah dipersetujui tidak boleh dicemari oleh godaan dalam memenuhi keinginan dan kepentingan peribadi, “Dan janganlah kamu menukar perjanjian Allah dengan harga yang murah. Sesungguhnya apa yang ada di hadhirat Allah itulah yang lebih baik bagi mu, jika kamu mengetahui” (An Nahl: 96). Dalam menunaikan syarat-syarat dan terma-terma di bawah perjanjian yang sudah dipersetujui merupakan tanggungjawab spiritual dan moral yang pasti memberikan manfaat berkekalan serta mendapat ganjaran daripada Allah swt, “Apa yang ada pada mu itu akan punah, dan apa yang ada pada Allah itu akan kekal. Dan nescaya orang-orang yang bersabar akan kami beri ganjaran yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan” (An Nahl: 97).

Satu elemen yang sering menimbulkan konflik dan mencemari perjanjian yang sudah dimentrai ialah kekaburan bahasa yang digunakan untuk menjelaskan terma-terma dan syarat-syarat perjanjian. Masalah ini jika tidak ditangani dengan betul sudah tentu akan menjurus kepada kesalahfahaman, tuduh-menuduh, pertelingkahan, kontroversi dan implikasi negatif mengotori maksud serta matlamat perjanjian yang dimeterai. Sehubungan itu Al Qur’an menjelaskan dengan seterang-terangnya ungkapan-ungkapan mudah dan ringkas mestilah digunakan. Dalam hal ini bagi mereka yang terlibat akan diberkati Allah swt dan segala kelemahan mereka Allah swt sendiri akan memperbaikinya, “Wahai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang mudah dan jujur. Dia akan memperbaiki amal-amal mu bagi mu dan akan mengampuni dosa-dosa mu. Dan barangsiapa taat kepada Allah dan rasulNya, maka sesungguhnya ia akan meraih kemenangan besar” (Al Ahzab: 71-72).

Kemungkinan memang boleh berlaku satu pihak ingkar terhadap perjanjian yang telah dimeterai. Apabila satu pihak sudah dikenal pasti didapati melanggar perjanjian maka sebuah Negara Islam boleh menarik balik persetujuan dari perjanjian tersebut. Namun hal penarikan diri ini pun bersyarat dengan mempastikan terlebih dahulu bahawa di sebelah pihak tidak menanggung kerugian serta tidak timbul prejudis. Selagi tidak terbukti dengan nyata salah satu pihak melanggar perjanjian, maka pihak lain ditegah sama sekali membatalkan perjanjian yang dimaksudkan, wajib dielakkan tindakan ketenteraan terhadap pihak yang melakukan perlanggaran jika belum terbukti nyata.

Notis pemberitahuan dengan jangka waktu yang secukupnya perlu disampaikan kepada pihak yang dianggap melakukan perlanggaran dengan menjelaskan bahawa pihak yang setia kepada perjanjian tidak  lagi terikat dengan perjanjian dengan memberikan alasan-alasan yang munasabah dan jitu. Dengan cara ini memungkinkan langkah-langkah sewajarnya dapat diambil dengan menyelesaikan masalah salah faham yang timbul atau memperbaharui perjanjian lama atau mewujudkan perjanjian baru jika ini difikirkan langkah yang terbaik. Di samping itu juga notis pemberitahuan dapat mengelakkan pihak yang menyebabkan perlanggaran daripada kondisi kelam kabut serta terperanjat dan dapat mengambil tindakan sewajarnya ekoran bakal penarikan diri dari perjanjian oleh pihak yang memajukan notis pemberitahuan tadi, “Dan jika engkau khuatir akan pengkhianatan dari suatu kaum, maka kembalikanlah perjanjian itu secara jujur; sesungguhnya Allah tidak mencintai orang-orang yang khianat” (Al Anfaal: 59).

Adalah tanggungjawab negara Islam mempastikan wujud penyelesaian pertelingkahan yang aman dan adil, “Sesungguhnya segenap orang mukmin itu bersaudara. Maka adakanlah perdamaian di antara saudara-saudara mu, dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat” (Al Hujuraat: 11). Jika ada beberapa Negara Islam atau di antara kelompok-kelompok Islam berada dalam konflik dan gagal mencapai titik perdamaian setelah usaha demi usaha dilaksanakan maka adalah menjadi tanggungjawab Negara Islam lain bertindak mengatur penyelesaian berdasarkan kepada keadilan bagi pihak-pihak yang terlibat. Jika ada pihak yang tidak berminat dengan penyelesaian adil yang ditawarkan maka Negara-negara Islam yang berkecuali hendaklah bersatu mencari jalan dan melaksanakannya agar Negara atau kelompok berkenaan akur dengan keputusan yang telah ditawarkan walaupun cara paksaan perlu dilakukan.

Negara Islam yang mengambil bahagian dalam penyelesaian tidak boleh menyimpang dari isu sebenar berhubung dengan punca pertelingkahan. Perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan punca pertelingkahan dilarang disentuh dan dibincang. Apabila kedua-dua belah pihak bersetuju menerima penyelesaian yang ditawarkan, ianya hendaklah dengan serta merta berkuat kuasa tanpa bertangguh lagi. Negara-negara Islam dilarang membangkitkan hal-hal yang tidak bersangkutan seperti meminta ganti rugi atau imbuhan ke atas usaha-usaha mereka mencari dan melaksanakan penyelesaian dan juga mengambil kesempatan demi kepentingan diri. Pengadilan atau penyelesaian yang dicadangkan oleh Negara-negara Islam yang mengambil bahagian adalah sebagai memenuhi tanggungjawab terhadap perintah Allah swt. Menolak atau membiarkan pertelingkahan antara dua buah Negara Islam berlarutan tanpa penyelesaian merupakan perlanggaran yang nyata terhadap perintah Allah, “Dan kalau dua golongan orang-orang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya. Kemudian jika sesudah salah satu daripadanya menyerang yang lain, maka perangilah pihak yang menyerang hingga kembali kepada perintah Allah. Kemudian kalau dia telah kembali, damaikanlah antara keduanya menurut keadilan, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil” (Al Hujuraat: 10).
Berburuk sangka adalah wabak penyakit yang boleh mencetuskan kehancuran yang sukar dibendung. Al Qur’an memberi amaran agar jangan berburuk sangka terhadap tindakan yang dilakukan oleh orang atau bangsa lain kerana ini boleh menimbulkan keadaan yang amat bahaya, Allah berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah banyak berprasangka (kecurigaan), karena sebagian dari prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang lain dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang” (Al Hujuraat: 13). Di samping itu, menyebarkan propaganda samada bersumber dari perancangan rapi ataupun andaian boleh menyebabkan akibat yang merugikan dalam hubungan antarabangsa. Al Qur’an memberikan amaran kepada umat Islam agar berhati-hati dalam hal seperti ini. Setiap berita yang diperolehi hendaklah ditapis dan diteliti terlebih dahulu sepertimana firman Allah swt, “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu” (Al Hujuraat: 7)

Kecenderungan menyebarkan pelbagai bentuk berita termasuk yang mengganggu dan menyakitkan hati masyarakat adalah sesuatu yang dilarang. Dalam hal ini terdapat amaran Allah, “Dan apabila saja datang kepada mereka suatu hal mengenai keamanan atau ketakutan, mereka menyebarkannya; pada hal jika mereka kembalikan hal itu kepada rasul dan kepada orang-orang yang memegang kekuasaan di antara mereka, tentulah diketahui hakikatnya oleh orang-orang yang suka menyelidikinya. Dan sekiranya tidak kerana kurnia Allah di atas mu dan rahmatNya nescaya kamu akan mengikuti syaitan, kecuali hanya sedikit” (An Nisaa’: 84). Firman Allah swt ini bukan sahaja menegah penyebaran berita buruk atau palsu, malahan memberikan penegasan kepada berita yang melibatkan keselamatan masyarakat, mengganggu fikiran dan menyakitkan minda hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa berkenaan agar dapat dipertimbangkan dengan saksama samada berita tersebut sesuai untuk disebarkan demi kebaikan umum masyarakat atau sebaliknya.

Dapat disaksikan ada golongan-golongan yang bercakap dengan penuh menyakinkan dan boleh diterima akal dengan menggunakan nama Allah swt bagi menunjukkan tujuan dan maksud mereka adalah ikhlas tetapi sebenarnya mereka terus berusaha memprovokasi bagi menyebabkan permusuhan dengan membesar-besarkan perbezaan dan pertelingkahan di kalangan masyarakat. Mereka sentiasa memanipulasi keadaan dan kesempatan agar terjadi suasana tidak aman dan rakyat menghadapi penderitaan dan kesukaran. Dalam Al Qur’an Allah swt memberi amaran tentang wujudnya golongan yang berkelakuan seperti ini, “Dan di antara manusia ada yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan waktu berkata-kata dia menggunakan nama Allah sebagai saksi (atas kebenaran) isi hatinya, padahal dia adalah penentang yang paling degil. Dan apabila dia berkuasa, dia berkeliaran di bumi untuk mengadakan kerusakan di dalamnya, dan merosakkan sawah ladang dan makhluk, dan Allah tidak menyukai kebinasaan (Al Baqarah : 205-206)

Sama juga halnya dari segi eksploitasi harta kekayaan seperti eksploitasi ke atas ekonomi yang dilakukan oleh seseorang atau sesebuah negara pasti akan menuju kepada penguasaan dan penjajahan ke atas kaum lain yang pasti akan mengancam keamanan. Al Qur’an menegaskan larangan ke atas eksploitasi tersebut atau eksploitasi terhadap hak milik orang lain kerana tidak memberikan manfaat dan akibat yang baik. Pada dasar untuk perkembangan sebuah ekonomi yang makmur serta kekal lama adalah berdasarkan kepada eksploitasi bagi kepentingan serta perkongsian bersama dan adil. Al Qur’an memberikan teguran, “Dan janganlah kamu tujukan kedua matamu (dengan iri hati) kepada apa yang telah Kami berikan kepada golongan-golongan dari mereka, sebagai keindahan kehidupan dunia untuk Kami cobai mereka dengan itu. Dan karunia Tuhan kamu adalah lebih baik dan lebih kekal (Thaahaa: 132).
Hukum Hudud

Hudud dari segi bahasa bermaksud menahan atau mencegah, apabila dikaitkan dengan perundangan yang disentuh dalam Al Qur’an dan sunnah Rasulullah saw maka ianya akan tertuju kepada hukuman yang adil bermotifkan pencegahan terhadap sesuatu kesalahan yang dilakukan. Oleh itu ianya wajib dilaksanakan dengan berpandukan Al Qur’an dan juga sunnah Rasulullah saw, jika tidak terdapat dalam sunnah dan Al Qur’an juga tidak menetapkan penjelasan terperinci maka pihak berwajib hendaklah memikirkan cara hukuman yang paling sesuai semata-mata kerana keadilan dan perlaksanaan perintah Al Qur’an. Al Qur’an amat sedikit menyentuh tentang kesalahan-kesalahan kerana ini bagi menggalakkan Negara Islam mengenali kesalahan-kesalahan itu dan mencari jalan untuk menanganinya. Di antara jenayah dan hukuman yang dijelaskan oleh Al Qur’an adalah seperti berikut:

Mengenai jenayah pembunuhan Allah berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu pembalasan yang setimpal (qishaash) berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka barangsiapa yang mendapat sebahagian keampunan dari pihak saudaranya, hendaklah ahli waris yang terbunuh menuntut cara yang patut, dan hendaklah (yang diberi keampunan) membayar (diat) kepada yang memberi keampunan dengan cara yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dan rahmat dari Rab mu. Barangsiapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya siksa yang sangat pedih. Dan dalam peraturan pembalasan ini adalah kehidupan bagi mu, hai orang-orang yang berakal supaya kamu terpelihara” (Al Baqarah: 179-180).
Mengenai jenayah zina Allah berfirman, “Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali deraan, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) keputusan Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah (perlaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman” (An Nuur: 3), “Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik” (An Nuur: 5).
Sebelum hukum Al Qur’an turun, Rasulullah saw berhukum kepada kitab Torat iaitu dengan merejam penzina hingga mati. Kenapa ada negara Islam yang melaksanakan hukum zina dengan merejam pesalah hingga mati?
Mengenai jenayah mencuri Allah berfirman, “Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (Al Maa’idah: 39).

Hukuman bagi mencuri adalah potong tangan dan secara praktiknya hukuman hanya dilaksanakan kepada kejadian yang benar-benar ekstrim. Misalnya seseorang yang menjadikan amalan hidupnya mencuri tanpa alasan yang munasabah sehingga berulangkali dijatuhkan hukuman tetapi tetap juga melakukan kesalahan mencuri, dalam keadaan seperti ini memungkin justifikasi memotong tangan sebagai hukuman. Dalam kondisi sebaliknya, walaupun makna primari ialah potong tangan tetapi makna sekondari wajib diberikan pertimbangan kerana ianya selari dengan idiom bahasa Arab iaitu membatasi atau menghalang aktiviti pesalah yang melakukan kesalahan mencuri yakni seperti ditangkap, dibicara dan dipenjara. Oleh itu hukuman potong tangan dalam kategori makna sekondari wajib terlebih dahulu dilaksanakan sebelum hukuman potong tangan bagi kesalahan yang benar-benar serius  dijatuhkan.

Dari Mana Modelnya Negara Islam Malaysia?

Usaha menegakkan Negara Islam tidak akan dapat dilaksanakan selagi kondisi umat Islam hari ini dihiasi sifat jahiliyah belum berjaya dibersihkan dengan air keimanan. Masyarakat hari ini meskipun bertamadun tinggi dan beragama Islam adalah lebih jahil dari masyarakat Jahiliyah di zaman Rasulullah saw. Segala maksiat yang pernah muncul di zaman umat-umat terdahulu menjadi amalan umat manusia hari ini termasuklah umat Islam sendiri. Lantaran itu, jika hendak direalisasikan pelaksanaan syariat Islam dalam sesebuah Negara pada hari ini, orang yang paling di hadapan menentang adalah umat Islam sendiri disebabkan dalam dada umat Islam secara majoritinya kosong dari petunjuk. Oleh itu dada mereka perlu diisi terlebih dahulu dengan cahaya keimanan barulah hukum hudud-qisas yang berteraskan syariat Islam secara menyeluruh dapat dipraktikkan demi sebuah Negara Islam. Umat Islam di zaman Rasulullah saw secara amnya tidak melakukan sesuatu yang melanggar prinsip hukum dan ini bukanlah didorong oleh beratnya hukum hudud atau takut kepada hukum hudud yang dilaksanakan Rasulullah saw semata tetapi pada hakikatnya mereka takut kepada Allah swt. Berat atau ringan hukuman ke atas sebarang kesalahan biasanya dapat diatasi oleh keinginan berkobar-kobar untuk mencapai suatu tujuan dengan cara yang bertentangan dengan kehendak agama. Contohnya, hukuman bagi pesalah yang mengedar dadah di Malaysia amat berat yakni hukum gantung sampai mati, namun pengedaran dadah terus juga berleluasa disebabkan keghairahan yang meluap-luap untuk mendapatkan ganjaran dengan cepat, singkat dan lumayan. Oleh itu adalah tidak tepat jika salah satu daripada alasan untuk mendirikan sebuah Negara Islam agar hukum hudud dapat dilaksanakan sepenuhnya bagi membendung gejala negatif di zaman jahiliyah moden ini. Perlaksanaan tarbiyah berdasarkan kepada sunnah Rasulullah saw hendaklah dijadikan keutamaan dan dijayakan terlebih dahulu sebelum hukum hudud dapat diimplementasikan sepenuhnya. Proses tarbiyah ini pula hendaklah dilaksanakan secara bertahap dan dengan penuh kesabaran sepertimana Rasulullah saw pernah mentarbiyah para sahabat yang majoritinya berasal dari zaman jahilliyah kerana umat Islam hari ini hanya Islam pada nama dan jauh lebih jahil.

Para pejuang yang bersandarkan kepada politik begitu gigih dalam usaha mereka untuk mendirikan Negara Islam. Timbul pertanyaan, mampukah mereka memberi jaminan bahawa dalam konteks Malaysia, Negara Islam akan dapat ditegakkan dengan perlaksanaan sepenuhnya hukum hudud tanpa ada konsekuensi memudaratkan umat? Sejarah membuktikan bahawa usaha untuk menegakkan Negara Islam menurut definisi para pemimpin Islam hari ini membuahkan padah yang amat menyedihkan. Turki, Iran dan Sudan adalah contoh beberapa negara yang pernah berusaha tetapi gagal dalam melakukan eksperimen mendirikan sebuah Negara Islam. Misalnya di Sudan, impian untuk mewujudkan sebuah Negara Islam bukan sahaja menemui kegagalan malahan kosekuensinya bukan sedikit nyawa menjadi korban. Negara-negara yang dipimpin oleh umat Islam dan penduduknya juga majoriti beragama Islam mempunyai sistem pemerintahan yang lebih rusak daripada sistem pemerintahan yang ada di Eropah dan Amerika. Di negara-negara berkenaan terdapat amalan penindasan, pengekangan kebebasan, krisis ekonomi, rasuah, inflasi, kemiskinan yang keterlaluan dan seribu satu macam masalah. Akibatnya masyarakat dunia termasuk ada di antara umat Islam sendiri mempunyai tanggapan bahawa negara Islam tidak membawa kemakmuran malahan sebaliknya kemunduran dan tidak produktif, memberikan hambatan kepada seseorang untuk menjadi seorang muslim yang baik. Sejarah menjadi saksi bahawa bermula dari era kekhalifahan Hazrat Uthman ra hingga kepada era Hazrat Ali ra konflik berdarah mula memperlihatkan coraknya dan setelah itu disusuli ratusan tahun lamanya lahir kekuasaan demi kekuasaan monarki oleh raja-raja Islam yang tamak kuasa tidak sunyi dari konflik perebutan kuasa menjurus kepada peperangan. Oleh itu tidak hairanlah jika ramai umat Islam lebih cenderung kepada negara sekular yang berkiblatkan Amerika dan Eropah sebagai negara yang menjanjikan kemajuan yang lebih progresif tanpa memaksakan ajaran dan hukum agama, malahan menyediakan ruang neutral yang amat luas terhadap agama. Mereka beranggapan negara sekular dinilai sebagai sebuah negara yang ideal, tidak memusuhi atau mendukung suatu agama. Fenomena ini terbukti kebenarannya yakni semakin neutral sikap sesebuah negara terhadap agama maka semakin banyak kemungkinan bagi warganya untuk menjadi seorang yang lebih bersifat toleran, berkompromi serta agamis dan hasilnya akan bertaqwa kepada Allah swt.

Jika Malaysia yang sedang mengharungi kemajuan pesat menuju negara maju hendak dijadikan sebuah negara Islam, timbul satu pertanyaan berkaitan dengan negara Islam yang manakah hendak dijadikan model contoh? Belum ada mana-mana negara pernah menikmati kejayaan dalam menegakkan sebuah negara Islam dan dengan mengamati kemampuan pakar-pakar dari kalangan umat Islam samada dari latar belakang pendidikan agama atau sekular, sama sekali tidak ada bayangan bahawa mereka memiliki kemampuan untuk menegakkan sebuah negara Islam, lebih-lebih lagi dengan warga berbilang kaum yang majoritinya terdiri dari mereka yang tidak takutkan Allah swt. Jalan pintas untuk menegakkan negara Islam yang aman makmur khasnya melalui perjuangan politik masih samar-samar dan sempit. Mereka yang gerun dengan wawasan mewujudkan negara Islam akan terus melatah dengan pelbagai usaha bagi memusnahkan benih-benih negara Islamik sebelum sempat mengambil ruang untuk bercambah. Jika negara-negara lain gagal dalam usaha mereka untuk menegakkan negara Islam, apakah dalam kondisi yang ada sekarang di Malaysia boleh ditegakkan sebuah negara Islam dengan jayanya? Jika umat Islam berhasrat untuk mendirikan sebuah negara Islam yang berjaya dan moden maka umat Islam hendaknya memberi pertimbangan wajar kepada nasihat Yusuf al-Qaradawi. Beliau pernah menasihatkan umat Islam agar berusaha untuk mendalami serta mengembangkan kefahaman, pemikiran, hukum-hukum dan kaedah-kaedah khususnya berkaitan dengan fiqh politik yang tidak pernah dibahas dengan lebih mendalam di masa lampau. Islam tidak menetapkan format tertentu dalam menegakkan sebuah negara Islam, aspek signifikan yang dituntut oleh Islam ialah sebuah pemerintahan yang berlandaskan ketaqwaan kepada Allah swt dan mampu melahirkan keharmonian ummah tanpa mengorbankan aspek kehidupan lain. Harapan tetap ada meskipun memakan waktu yang lama yakni langkah pertama yang amat penting perlu dilaksanakan adalah terlebih dahulu dan wajib dijadikan keutamaan ialah proses tarbiyah ala Rasulullah saw. Jika program tarbiyah ini berjaya dilaksanakan di kalangan umat Islam, dengan sendirinya negara Islam akan tumbuh subur di bumi Malaysia.


No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...