Orang Mukmin telah diajarkan oleh Allah Ta’ala satu doa di dalam surah Al-Fatihah iaitu ihdinas shirootal mustaqiim yang bermaksud tunjukilah kami ke jalan yang lurus. Kita membacanya dalam setiap solat, dalam setiap rakaat. Rezeki dunia pasti akan berakhir, rezeki kita tidak pernah akan berakhir dan ia bersifat kekal. Dengan memperolehi rezeki ini, seorang Mukmin menjadi pewaris nikmat-nikmat yang telah dinyatakan oleh Allah dalam surah An-Nisa:69 yang bermaksud “Dan barang siapa yang menta'ati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi ni'mat oleh Allah, yaitu nabi-nabi, shiddiqin, syuhada, dan solihin”.
Nikmat itu akan diperolehi sekiranya taat kepada Allah dan taat kepada rasul-Nya. Dan puncak nilai ketaatan yang dimaksudkan ini ialah berjumpa dengan Hazrat Masih Mau’ud(as) yang telah dihantar oleh Allah sebagai Al-Masih dan Al-Mahdi, yang kedudukannya adalah nabi kerana memperhambakan diri sepenuhnya kepada Rasulullah(saw). Kemudian, ada lagi darjah-darjah seterusnya yang boleh diperolehi olah setiap Mukmin hasil ketaatan mereka kepada Allah dan rasul-Nya.
Inilah nikmat-nikmat yang menjadikan seorang Ahmadi berbeza dengan orang lain. Ia bukan hanya berlainan dengan orang Kristian, malah juga kelihatan suatu jarak dengan orang Islam lain yang tidak menerima imam zaman. Mereka itu mengingkari bahawa ada lagi nabi sesudah Rasulullah(saw). Mereka telah menutup pintu hati mereka untuk mendapatkan nikmat-nikmat Allah Ta’ala, iaitu selepas nabi, menyusul siddiq, syahid dan solih.
Jadi, orang yang sudah melakukan ibadat dan pengorbanan, tetapi tidak mendapat apa-apa hasil, apa kebaikan yang kita boleh harapkan daripada mereka? Orang-orang Ahmadi yang telah beriman kepada Hazrat Masih Mau’ud(as), mereka semua amat mengharapkan nikmat-nikmat yang boleh dicapai dengan memperhambakan diri kepada Rasulullah(saw). Berkenaan dengan ini Hazrat Masih Mau’ud(as) berkata: “Kita berdoa dalam solat ihdinas shirootal muastaqiim. Sirotal laziina an’amta alaihim, maksudnya ialah kita menginginkan empat jenis tanda atau keagungan yang dapat meningkatkan keimanan dan untuk kebaikan umat manusia, iaitu keagungan nabi-nabi, keagungan siddiq-siddiq, keagungan syahid-syahid dan keagungan soleh. Semua nikmat-nikmat ini adalah untuk kemajuan iman kita dan juga peluang untuk berkhidmat terhadap masyarakat”.
Keagungan nabi-nabi ialah mereka mendapat khabar ghaib dari Allah Ta’ala sebagai tanda bahawa mereka sentiasa berhubung dengan Allah Ta’ala. Keagungan siddiq pula ialah mereka mengetahui kebenaran Kitabullah dengan sempurna, ilmu-ilmu mengenai Kitab Allah mereka kuasai. Kebenarannya ada pada mereka. Mereka beriman ke atasnya. Siddiq adalah mereka yang mengetahui Kitab Allah dengan benar dan juga mereka benar-benar kekal di atasnya. Tidak merasa cukup hanya dengan mengetahui ilmunya sahaja, malah perlu untuk beramal dan mengambil faedah daripada ilmu Al-Qur’an tersebut. Sebagai contoh mereka mengetahui apa yang dimaksudkan dengan ketauhidan, apa sebenarnya itaat, bagaimana menghindari syirik, apa maksud ubudiyat, ikhlas, sabar, tawakkal, taubah, redha, fana, setia, doa, keampunan, amanat dan sebagainya. Dia bukan sahaja mengetahui bahkan dia juga kekal atas sifat-sifat yang baik itu.
Semua akhlak yang telah dipilih, ia bukan setakat sudah dibaca dan sudah faham. Falsafah siddiq ialah, apabila melihat kelemahan sendiri, dengan merujuk kepada kemampuan dan kebolehan yang ada, dia mengatakan iyyaakana’budu lalu memilih jalan siddiq dan menghindari perbuatan dusta. Dan dia berlari sejauh-jauhnya daripada setiap kekotoran yang ada kaitan dengan dusta, dan dia berjanji bahawa aku tidak akan berkata dusta, tidak akan memberikan kesaksian palsu, dan dalam keadaan emosi pun aku tidak akan mengucapkan yang buruk-buruk, dan dalam apa keadaan sekalipun, samada untuk menjauhkan kejahatan dan sebagainya, dusta tidak akan dipilih.
Kemudian, keagungan syahid ialah ketika musibat, kesedihan dan malapetaka, mereka memperlihatkan kekuatan iman, kekuatan akhlak dan kesabaran yang tinggi, dan disebabkan perkara yang luar biasa itu, ia menjadi satu tanda. Selagi iman kuat maka dalam amalan juga akan lahir kekuatan, sehinggakan apabila kekuatan iman itu begitu sempurna, maka seorang Mukmin akan mencapai tahap syahid dan mereka tidak akan teragak-agak untuk memberikan nyawa kesayangan mereka. Jika kekuatan iman ini begitu tinggi kedudukannya, mereka akan sentiasa bersedia untuk memberikan segala pengorbanan walaupun terpaksa menyerahkan nyawa yang mereka hargai.
Kemudian, solihin bermaksud orang yang dalam diri mereka sudah tidak ada lagi kerosakan. Sebagai contoh, seperti seorang yang sihat, maka tutur kata lidahnya juga akan lurus. Demikian juga, di dalam diri orang yang soleh itu tidak ada lagi penyakit-penyakit rohani. Jadi, untuk menjadi soleh perlu ada kesedaran dalam diri, perlu menyedari pekerjaan-pekerjaan yang tidak betul. Hazrat Masih Mau’ud(as) mengatakan bahawa keagungan soleh itu ialah mereka jauh dari kerosakan-kerosakan, malah mereka menjadi badan yang memberikan kedamaian (badan pendamai), kebolehannya yang sempurna dan luar biasa menjadikan ia sebagai satu tanda.
Dari petikan Hazrat Masih Mau’ud(as) ini, yang menjadikan kita sedar untuk bersyukur ialah dengan kurnia Allah Ta’ala, kita telah termasuk dalam golongan orang-orang yang atas mereka diberikan nikmat, kerana kita telah menerima imam zaman dan berusaha memenuhi maksud sebenar Al-Qur’an. Dengan itu juga akan timbul perhatian terhadap tanggungjawab, dan setiap Ahmadi hendaklah berusaha menyempurnakan tanggungjawab itu agar sampai ke tahap tingkatan-tingkatan ini. Dalam bilik yang gelap, seorang insan memang boleh mengatakan bahawa saya tidak dapat faedah apa-apa kerana tidak dapat melihat dalam keadaan bilik yang gelap ini. Tetapi, bagi orang yang mempunyai cahaya dan semua benda kelihatan dengan jelas, kemudian dia tidak mengambil faedah daripadanya disebabkan kelalaian dan malas, maka mereka itulah yang akan berdosa.
Jadi, pengumuman ini memberi kekuatan kepada keimanan, dan kita diberi keyakinan bahawa setiap pengorbanan dan amalan kebaikan akan diberikan ganjaran oleh Allah. Orang yang menolak keimanan kepada imam zaman, mereka sebenarnya tidak mengatakan bahawa walaupun dengan mengikuti sepenuhnya kepada Allah dan Rasulullah(saw), darjat nabi, siddiq, syahid dan soleh boleh diperolehi.
Jadi, jika nikmat-nikmat itu mereka ingkari, maka mereka juga mengingkari hari raya yang hakiki. Sebagaimana yang telah Hazrat Masih Mau’ud(as) nyatakan bahawa siapa mereka yang berhasil mendapat nikmat-nikmat itu dan bagaimnana cara mendapatkannya? Siddiq adalah mereka yang yakin dengan sepenuhnya ke atas Kalam Allah Ta’ala dan bukan hanya mengikut sahaja, tidak hanya tenggelam dalam soal nasikh dan mansukh, tidak syak dalam soal kewafatan nabi Isa, dan tidak bertanya tentang siapa akhirin yang dimaksudkan dan apa asas Mirza Sahib mengatakan dirinya sebagai Masih dan nabi, yang tidak pergi kepada kuburan-kuburan ulama-ulama untuk meminta sesuatu hajat.
Apa yang mereka tahu tentang Siddiq? Apabila rasa malu, amanat dan kejujuran lenyap, apa fungsi siddiq pada mereka? Di mana kezaliman, pendustaan dan penganiayaan berleluasa, bagaimana siddiqiyat boleh tinggal di situ? Mereka yang membolehkan pendustaan dalam buku-buku dan tafsir-tafsir mereka, apa hubungan mereka dengan siddiqiyat? Bagaimana mereka boleh mendapat kedekatan kepada Allah jika banyak melakukan kezaliman? Mereka yang menganggap mengambil nyawa orang-orang yang dizalimi adalah halal, bagaimana mereka boleh dianggap orang yang kuat keimanannya? Dan dengan mulut apa mereka melafazkan bahawa mereka mengikuti Rasulullah(saw)?
Rasulullah(saw) dalam kesempatan Hujjatul Wida mengatakan bahawa nyawa, harta dan kehormatan haram bagi yang lain. Tetapi, orang-orang ini membuat kezaliman, penganiayaan dan pembunuhan atas nama Allah dan Rasul, kemudian melaungkan bahawa mereka pemelihara Khataman Nubuwat Rasulullah(saw). Mereka mengarahkan orang lain untuk membunuh, mereka juga mempunyai banyak penyakit rohani, mereka sentiasa bersedia untuk melakukan kerosakan. Jadi, mereka ini tidak layak menjadi siddiq, syahid ataupun soleh. Dan apalagi untuk kenabian yang telah mereka ingkari sejak dulu. Mereka ini seolah-olah menutup kurnia atau nikmat-nikmat dari Tuhan.
Jadi, sekarang ini kita akan mewarisi nikmat-nikmat dari Allah Ta’ala dengan memperhambakan diri kepada Rasulullah(saw). Kita juga akan menjadi orang yang merayakan hari raya yang hakiki. Untuk itu setiap Ahmadi hendaklah berusaha mendapatkannya. Walaupun pada hari ini mereka banyak memberi kesusahan kepada kita, banyak anggota Jemaat kita syahid, tetapi itu tidak akan menutup nikmat-nikmat Allah. Sebab itulah kita yakin atas hal ini bahawa kurnia dari Allah Ta’ala ini berterusan sehingga sekarang, iaitu dengan mengikuti Rasulullah(saw) boleh mencapai tahap kenabian.
Oleh itu, biarkan para musuh sibuk dengan gerakan-gerakan mereka, biarkan mereka buat apa sahaja yang mereka mahu. Hazrat Masih Mau’ud(as) telah mengatakan bahawa kebaikan akan datang, kemenangan akan tiba, musuh-musuh akan dihinakan. Mereka tidak akan dapat menghalang pahlawan-pahlawan Allah Ta’ala. Beliau(as) mendapat ilham daripada Allah bahawa selepas kesulitan ini akan datang kemudahan.
Untuk menjadi siddiq, syahid, dan soleh, kita hendaklah menyempurnakan perkara-perkara yang berhubungan dengan Huquuqullah dan Huqququl Ibaad. Jadi, kita perlu berusaha untuk mendirikan semua akhlak-akhlak di dalam persekitaran kita seperti yang telah dijelaskan oleh Hazrat Masih Mau’ud(as) berkenaan dengan siddiq, syahid dan soleh. Kemudian, seiring dengan itu juga akan meningkatkan mutu ibadat kepada Allah Ta’ala secara berterusan. Musuh yang sedang cuba untuk menggagalkan segala usaha kita, nama dan tanda-tanda mereka akan dihapuskan sama sekali.
Para musuh merasa gembira setelah mensyahidkan anggota Jemaat kita, tetapi mereka lupa bahawa kita merasa gembira atas perkara tersebut dan kita yakin, semakin kuat kita melakukan pengorbanan, semakin banyak khabar gembira yang kita perolehi daripada Allah Ta’ala. Jadi, kita hendaklah berusaha jangan sampai disebabkan oleh kekurangan dalam amalan-amalan kebaikan akan menjauhkan kita dari penyempurnaan khabar-khabar gembira yang tanda-tandanya sedang dizahirkan oleh Allah Ta’ala. Id kita yang hakiki insyaAllah akan tiba nanti. InsyaAllah Ta’ala, sesuai dengan janji Allah Ta’ala, semua orang-orang yang berfitrat baik akan datang memperhambakan diri kepada pencinta Rasulullah(saw).
Hazrat Masih Mau’ud(as) berkata apabila kegelapan tersebar di dunia, dan setiap arah hanya kegelapan demi kegelapan yang ada, maka kegelapan itu akan hilang apabila ada cahaya yang akan turun dari langit. Pada waktu itu Tuhan akan mengutus malaikat-malaikat dan ruhul kudus datang ke bumi. Para malaikat berhubungan dengan orang-orang yang baik, yang menerima petunjuk dan yang bersedia mendapat petunjuk, mereka akan ditarik ke arah kebaikan. Dengan itu, nanti keselamatan akan tersebar di dunia. dan hal itu akan berterusan selagi agama berada pada jalan yang benar. Untuk mengetahui hakikat ini bukan pekerjaan semua orang. Orang dunia tidak akan dapat memahami hakikat ini, kebenaran agama di mata mereka hanya seperti bahan gurauan. Dan dalam fikiran mereka, makrifat Ilahi adalah satu kebodohan. Jika orang yang digelar ulama tidak memahami hakikat ini, itu adalah nasib malang mereka, manakala orang-orang yang berfitrat baik akan terus datang kepada kebenaran.
Oleh itu, jika ada orang yang dapat menyebarkan amanat keselamatan di dunia ini, mereka adalah orang-orang yang telah menerima Hazrat Masih Mau’ud(as). Jika ada orang yang dapat menyampaikan tabligh Islam ke seluruh pelusuk dunia pada hari ini, mereka adalah pengikut-pengikut Masih Muhammadi. Para penentang yang hendak menghentikan pekerjaan ini, lakukanlah semampu yang boleh, takdir Ilahi telah menentukan bahawa kejayaan akan diperolehi oleh mereka ini. Hari ini, mungkin mereka tidak mahu melihat kepada kebenaran, tetapi insyaAllah Ta’ala, matahari akan terbit sehingga mata mereka yang kabur akan dapat melihat kebenaran itu dengan jelas. Apa yang telah dikatakan oleh Imam Zaman itu adalah benar. Pada waktu itu nanti, orang-orang yang berkorban untuk Jemaat, orang yang telah mengalirkan darahnya untuk Jemaat, dan setiap zarah dari badan orang-orang yang syahid pasti akan melaungkan bahawa lihatlah wahai orang yang bernasib malang! adakah darahku menjadi sia-sia? Dan pada waktu itu juga anak keturunan dan kesayangan orang-orang yang syahid itu akan mengumumkan bahawa lihatlah, ayah kami, suami kami, datuk kami, abang kami, saudara perempuan kami yang telah berkorban, hari ini mereka kelihatan begitu bercahaya.
No comments:
Post a Comment