Thursday, July 11, 2013

Rahsia Kebangkitan Ummah - 14



KOMENTAR

Selari dengan peranan Al Quran sebagai sebuah kitab syariat untuk sepanjang zaman, firman-firman Allah swt yang berbentuk penjelasan dan perintah yang wajib diamalkan, pasti kekal terpelihara bagi para umat mendatang hingga hari kiamat. Adalah tepat sekali bahawa dunia baru yang dinisbahkan sebagai kemenangan Islam buat kali kedua adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan sesuai dengan janji Allah swt kepada Rasulullah saw,  Dan Kami tiada mengutusmu (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam” (Al Anbiyaa’ : 108) dan “Dialah yang mengutus RasulNya dengan petunjuk dan agama yang benar supaya Dia memenangkannya atas sekalian agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi” (Al Fath : 29). Inilah tandanya zaman kegelapan Islam dan umatnya akan punah dengan munculnya nilai-nilai murni kerohanian manusia ibarat tumbuhan yang subur menghijau menjalar perlahan-lahan memenuhi permukaan bumi diiringi bunga-bunga indah harum semerbak dan buah-buah ranum yang amat manis. Persoalannya, siapakah yang akan mengembalikan nilai-nilai murni kerohanian tersebut, sebab Rasulullah saw mahupun para sahabat sudah lama meninggalkan dunia fana ini? Pembaca yang tidak boleh menerima fakta yang disampaikan dalam buku ini, tanpa berfikir panjang akan mengatakan bahawa para “ulama” lah yang bertanggunggjawab kerana mereka adalah “pewaris nabi-nabi”. Namun, tidak boleh dinafikan bahawa sifat-sifat yang dimiliki majoriti ulama dari semenjak dahulu hingga sekarang lebih menepati kekecewaan yang pernah dilahirkan oleh Rasulullah saw sepertimana dalam sabdanya, “Akan ada dalam umatku orang-orang yang kurang percaya diri, lalu manusia kembali kepada ulama mereka, ternyata mereka itu kera-kera dan babi-babi”( HR Al Hakim dalam  Al Mustadrak dari Hazrat Abi Ummah r.a: dan Kanzul-Umal, Juz XIV/38727). “Akan datang, satu zaman pada  manusia di mana tidak ada lagi yang tinggal dari Islam kecuali namanya dan dari Al Quran yang akan tinggal hanya tulisannya. Masjid-masjid makmur tapi kosong dari petunjuk. ULAMAnya akan menjadi wujud PALING BURUK di bawah kolong langit. Kekacauan fitnah akan keluar dari mereka tapi akhirnya kembali kepada mereka juga” (Baihaqi). Hakikat sebenar yang dapat disaksikan ialah hanya segilintir dari umat Islam tergolong dalam “ulama pewaris nabi-nabi”. Amat medukacitakan golongan ulama minoriti ini sentiasa dijadikan korban oleh golongan ulama majoriti yang mana secara khusus mereka mendapatkan gelaran dari Rasulullah saw yakni  “...wujud PALING BURUK di bawah kolong langit...” Golongan ulama majoriti ini terus memainkan peranan mereka semenjak lebih dari 1,400 tahun hingga ke hari ini.

Sesiapa yang menerima Islam sebagai agamanya, maka dia akan tergolong dalam firman Allah swt, “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia” (Ali ‘Imran : 111). Untuk menjadi anggota dalam umat yang terbaik ini, sudah tentu orang tersebut memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Allah swt, “Katakanlah, Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutlah aku, nescaya Allah mencintaimu” (Ali ‘Imran : 32). Inilah perintah yang tidak boleh tidak, wajib dilaksanakan agar Allah swt mencintai umat Islam yakni umat Islam dikehendaki mengikuti jejak langkah Rasulullah saw dalam segala amalan, dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya. Jika seseorang telah jatuh cinta, nyawa sendiri pun sanggup digadaikan demi kebahagiaan orang yang dicintai, manakala orang yang dicintai, sebagai insan biasa, belum tentu dapat memberikan kebahagiaan kepada orang yang sanggup berkorban nyawa untuknya. Tidak ada persamaannya dalam hal mencintai Allah swt dengan mencintai seorang insan membalas cinta itu dengan Dia, yakni Allah swt akan menjadi sahabat serta pelindung dan Dia akan memberikan segala kebahagiaan dan kehormatan. Bandingkan sahaja seseorang yang menjadi sahabat kepada seorang raja yang berkuasa, segala macam kehormatan akan diberikan oleh sang raja kepadanya. Apakah sang raja lebih hebat daripada Allah swt? Umat Islam saat ini dipandang hina kerana mereka gagal mengikuti jejak langkah Rasulullah saw dan Allah swt seolah-olah belum sanggup memberikan cintaNya kepada umat Islam... perhatikan dan renungkan dengan sebaik-baiknya surah Ali ‘Imran : 32.

Dengan meninjau keadaan yang sedang melanda umat Islam hari ini dapat digambarkan betapa proses kemenangan Islam mengharungi hambatan yang amat hebat dari umat Islam sendiri. Kecenderungan Umat Islam ialah berperikelakuan bertentangan dengan kehendak Al Quran dan sunnah Rasul saw. Umat Islam begitu ketara keengganan mereka mengadoptasi segala amalan Rasulullah saw dalam tata cara kehidupan seharian. Penyimpangan dari landasan yang disediakan oleh Al Quran dan sunnah Rasul saw merupakan bukti nyata kepada pelbagai kecamuk yang sentiasa menerjah umat Islam hingga terus hanyut dan lemas dalam lembah kehinaan. Utusan Allah mengeluh, “Dan Rasul itu akan berkata, ‘Ya Rabbi, sesungguhnya kaumku telah memperlakukan Al Quran ini sebagai sesuatu yang telah ditinggalkan” (Al Furqaan : 31). Dipandang tidak bertemadun, ganas dan zalim oleh umat lain adalah satu ciri yang sinonim dengan tingkah laku umat Islam masa kini. Prejudis di kalangan umat Islam begitu menebal bukan sahaja terhadap penganut agama lain, malahan sesama Islam. Pada hal Al Quran memberi nasihat, Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik dengan suatu berita, maka selidikilah agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya, kemudian kamu menyesal atas perbuatanmu itu” (Al Hujuraat : 7). Sikap prejudis ini menyebabkan umat lain terus berusaha untuk menjauh dari agama Islam dan umat Islam pula berusaha untuk meninggalkan agama  Islam kerana beranggapan Islam penghalang besar kepada segala apa juga yang ingin dicapai.

Para ulama memainkan peranan utama dalam membentuk acuan umat Islam dalam pelbagai ragam yang mengaibkan, hal ini amatlah jelas kebenarannya ekoran dari sikap mereka sepertimana tersebut dalam sabda Rasulullah saw, “Akan ada dalam umatku orang-orang yang kurang percaya diri, lalu manusia kembali kepada ulama mereka, ternyata mereka itu kera-kera dan babi-babi”( HR Al Hakim dalam  Al Mustadrak dari Hazrat Abi Ummah r.a: dan Kanzul-Umal, Juz XIV/38727). “Akan datang satu zaman pada  manusia, di mana tidak ada lagi yang tinggal dari Islam kecuali namanya dan dari Al Quran yang akan tinggal hanya tulisannya. Masjid-masjid makmur tapi kosong dari petunjuk. ULAMAnya akan menjadi wujud PALING BURUK di bawah kolong langit. Kekacauan fitnah akan keluar dari mereka tapi akhirnya kembali kepada mereka juga” (Baihaqi).

Setakat ini tidak ada sesiapa yang dapat membendung kejahilan yang terus berleluasa, sehingga menyebabkan suatu hukum telah dijelaskan dalam Al Quran digantikan dengan hukum baru yang kononnya juga bersumberkan Al Quran. Contohnya, perhatikan sahaja dilema orang yang hatinya sudah tidak melekat pada agama Islam dipaksa dengan memperkenalkan hukuman bunuh jika meninggalkan agama Islam, dalam erti kata lain yang lebih menjijikkan ialah istilah “murtad”. Allah swt Yang Maha Penyayang, berfirman bahawa hamba-hamba ciptaanNya bebas memilih samada mahu beragama atau sebaliknya, “Tiada paksaan dalam agama, telah nyata perbezaan antara kebenaran dan kepalsuan” (Al Baqarah : 257), Sesungguhnya orang-orang yang beriman kemudian kafir, kemudian beriman (pula) kemudian kafir lagi, kemudian bertambah tambah kekafirannya, Allah tidak akan mengampuni mereka dan tidak menunjuki mereka kepada jalan yang lurus” (An Nisaa’ : 138), “Dan sekiranya Tuhan engkau memaksakan kehendakNya, nescaya semua orang yang ada di bumi akan serentak beriman. Apakah engkau akan memaksa manusia hingga menjadi orang beriman? Dan tidak seorangpun akan beriman kecuali dengan izin Allah. Dan Dia menyebabkan siksaanNya kepada orang yang tidak mahu mempergunakan akal” (Yunus : 100-101). Beriman atau tidak berimannya seseorang itu bukanlah urusan sesiapa tetapi ia adalah hak mutlak seseorang yang diberikan oleh Khaliknya. Keadaan lebih parah lagi apabila utusan Tuhan atau wali-wali suci Allah turut menjadi habuan oleh mereka yang dianggap orang bijak atau lebih tepat lagi sebagai ulama oleh masyarakat. Mereka yang memiliki kecintaan hakiki kepada Allah swt dan Rasul saw tidak akan pernah tenteram hidupnya jika tidak meluruskan sesuatu yang menyimpang dari ajaran Al Quran. Ekoran dari itu timbullah percanggahan pendapat di antara golongan minoriti dan golongan majoriti, di sinilah letaknya tempat yang tepat sabda suci Rasulullah saw “Sesungguhnya Islam itu mula-mula asing dan akan kembali menjadi asing sebagaimana permulaannya maka dari itu berbahagialah bagi orang-orang yang asing” (Muslim, Ibnu Majah, An-Nasa’i dan Kanzul Umal,JuzI/1192). Ajaran sebenar yang sudah lama tidak diamalkan dianggap salah kerana tidak bersesuaian dengan amalan semasa, yang menjurus kepada amalan bida’ah, malah itu pula yang dianggap sebagai ajaran sebenar. Lantaran itu pihak majoriti akan mengisytiharkan perang dengan menggunakan senjata paling ampuh iaitu fitnah-memfitnah, kafir-mengkafir dan akhirnya menyebabkan kejadian tragik iaitu bunuh-membunuh. Fenomena ini sudah menjadi lumrah dalam kehidupan umat Islam semenjak kewafatan Rasulullah saw hingga ke hari ini.

Para bijak pandai termasuk ulama memiliki minda yang sudah tercemar oleh gejala ketidakjujuran dan kepentingan peribadi yang mendorong mereka melupakan ketaqwaan hakiki terhadap Allah swt. Lihatlah apa yang pernah menimpa wali-wali suci Allah swt termasuk empat Imam Mazhab. Firman Allah swt dan sunnah Rasul saw yang tidak selari dengan kehendak lingkungan dalam mencapai kepentingan peribadi disembunyikan ataupun diubahsuai menurut kehendak matlamat yang ingin dicapai. Musuh-musuh Islam khasnya yang bergelar “Dajjal @ Ya’ juj Ma’ juj” memanfaatkan kesempatan dari kepincangan yang sudah lama melumpuhkan nadi-nadi Islam. Umat Islam tidak mengenal Dajjal meskipun pada hakikatnya mereka seolah-olah tidur sebantal dengan Dajjal lantaran kejahilan yang membelenggu umat Islam. Keyakinan umat Islam tentang Dajjal @ Ya’juj Ma’juj lebih menjurus kepada hikayat dan dongeng yang tidak akan pernah menjadi kenyataan, bertentangan dengan ajaran Al Quran dan sunnah Rasul saw yang menuntut kaedah logik dan realistik. Yang salah dalam hal ini adalah umat Islam sendiri kerana membiarkan diri mereka dikemudi oleh ulama yang berfikiran sempit ekoran penyakit malas mentelaah, merenung dan berfikir. Apabila ulama mengatakan itu bukan ajaran Islam, kafir, sesat dan sebagainya maka majoriti umat Islam pun serta-merta mengumandangkan irama yang sama meskipun sumbang. Alasannya mudah sahaja, “Dia seorang ulama, bertahun-tahun menuntut ilmu agama di unversiti Al Azhar, tidak mungkin dia bercakap tidak benar.” Sememangnya, tidak mudah untuk menerima hakikat ini, namun lembaran sejarah merakamkan betapa sikap para ulama berfikiran sempit serta masyarakat yang buta hati telah menyebabkan layanan zalim yang amat berat terpaksa ditanggung oleh Hazrat Imam Bukhari, Hazrat Imam Syafie, Hazrat Imam Hanbali, Hazrat Imam Hanafi, Hazrat Imam Malik dan lain-lain para wali suci Allah swt. Kezaliman seperti ini akan terus berulang-ulang menghiasi sejarah Islam tanpa diketahui di mana titik penghujungnya.

Segala yang terpapar di atas juga merupakan tanda kebenaran Rasulullah saw sebagai utusan daripada Allah swt. Lebih 1,400 tahun yang silam Rasulullah saw telah diberi kemampuan untuk melihat keadaan umat Islam pada hari ini dan seterusnya menceritakannya kepada para sahabat. Dengan kehendak Allah swt cerita-cerita tersebut kekal ke hari ini sebagai sumber ilmu agar umat Islam memanfaatkannya semata-mata demi kesejahteraan umat dari zaman ke zaman tetapi umat Islam gagal mengambil faedah daripadanya. Pada masa yang sama Rasulullah saw juga mengemukakan formula bagi mengatasi kemelut umat Islam hari ini. Perpecahan umat Islam dikhabarkan, demikian juga cara penyatuan ummah diberitakan. Langkah utama berpegang teguh kepada Al Quran dan sunnah Rasul saw kerana kedua-duanya menggariskan perintah dan panduan walaupun menurut hati yang was-was sukar untuk dilaksanakan. Janji Allah swt dan RasulNya berhubung dengan kebangkitan dan kegemilangan Islam dan umatnya buat kedua kalinya pasti akan tiba masanya. Ianya bukan sekelip mata, sebaliknya wajib melalui proses sesuai dengan ketetapan sunnatullah yakni perjuangan dalam bentuk jihad Akbar, “melawan hawa nafsu” yang tentunya memakan waktu yang panjang.  Dalam janji tersebut bukan peranan ulama yang diwar-warkan tetapi atas bimbingan Allah swt seorang utusan daripada umat Rasulullah saw yang bergelar Imam Mahdi dan Nabi Isa as (Isa Al Masih) diberikan kemampuan luar biasa menguasai Al Quran dan mengamalkan sunnah Rasul saw. Dengan kemampuan luar biasa inilah umat manusia dipanggil kepada Allah swt Yang Maha Pencipta. Pada waktu itu Imam Mahdi atau Isa Al Masih dan pengikutnya akan berjuang dengan dalil Al Quran, ilmu, mengorbankan masa, harta dan tenaga serta mempamerkan keindahan akhlak suci Rasulullah saw kepada dunia.
Ahli sunnah wal jamaah sepakat bahawa kedatangan Imam Mahdi dan Isa Al Masih adalah sesuatu yang pasti. Namun sebagaimana umat Islam keliru dalam memahami “dajjal”, demikian juga halnya dalam mengenali Imam Mahdi dan Isa Al Masih. Umat Islam disodorkan dengan kepercayaan yang salah bahawa Imam Mahdi dan Isa Al Masih adalah dua peribadi yang berbeza tetapi hadir pada waktu yang sama dan saling bantu membantu dalam perjuangan memenangkan agama Islam atas agama lain. Menurut hukum logiknya dan sealiran dengan sabda suci Rasulullah saw pemimpin dalam ummah hanya dibenarkan satu penyandangnya. Kekeliruan tersebut jika dianalisa hanya berpunca dari sifat kedegilan dan keengganan para ulama untuk menerima fakta sebenar. Sabda Rasulullah saw begitu jelas lagi nyata bahawa orang yang digelar Imam Mahdi adalah juga diberi gelaran sebagai Isa Al Masih. Tidak ada sesiapa  yang tahu alasannya kenapa Imam Mahdi dan Isa Al Masih mesti orang yang berbeza hingga sanggup mengenepikan Al Quran dan sabda suci Rasulullah saw, kecuali para ulama berkenaan. Terdapat segelintir ulama dengan berdasarkan kepada Al Quran berpendapat bahawa nabi Isa as dari bani Israil sudah wafat, tetapi disebabkan bilangan mereka hanya sedikit maka pendapat mereka tidaklah menjadi ikutan. Jika Al Quran menjelaskan Isa Al Masih dari bani Israil sudah wafat, maka ada logiknya bahawa Isa Al Masih yang dijanjikan kedatangannya di akhir zaman sudah sewajarnya dari umat Islam. Kenapa perkara ini sukar diterima oleh umat Islam?

Dapat digambarkan dengan jelas bahawa pendapat para ulama yang menjadi ikutan ramai bakal mengundang penentangan hebat dari umat Islam terhadap Imam Mahdi atau Isa Al Masih apabila tiba masanya diutus. Ini dijelaskan oleh Allah swt dalam surah Az Zukhruf: 58, “Dan ketika Ibnu Maryam dijadikan misal (matsalan) lihatlah kaum engkau bersorak menentang (yashiddun) kerananya.”  Makna kepada “... kaum engkau...” ialah umat Rasulullah saw dan makna “...yashiddun...” jika dirujuk kamus bahasa Arab ialah tindakan memprotes. Selain beranggapan nabi Isa as dari bani Israil yang masih hidup di langit dan akan turun ke bumi apabila tiba masanya, umat Islam juga akan terus menerus berada dalam kekeliruan apabila disuap dengan fahaman bahawa tidak akan ada lagi nabi dan rasul diutus sesudah Rasulullah saw. Jika ini berlaku maka penentangan hebat  terhadap Imam Mahdi atau Isa Al Masih akhir zaman tidak akan dapat dielakkan dan ini menyebabkan kelancaran kadar had laju pencapaian misi kemenangan Islam di atas agama-agama lain akan terhambat dengan teruknya. Oleh hal yang demikian boleh disimpulkan bahawa akan berlaku fitnah-memfinah, kafir-mengkafir dan korban nyawa ke atas kalangan pengikut Imam Mahdi atau Isa Al Masih sepertimana yang berlaku ke atas pengikut Rasulullah saw. Kesimpulan ini adalah tepat apabila diambil kira sabda Rasulullah saw,Pasti akan datang di atas umatku sebagaimana yang telah terjadi pada umat Israil, seperti sepasang sepatu, hingga kalau umat bani Israil berzina dengan ibunya secara terang-terangan, maka umatku juga akan berbuat demikian. Ketahuilah bahawa umat Israil telah berpecah-belah hingga 72 golongan (firkah) dan umatku akan berpecah belah hingga 73 golongan (firkah). Kesemuanya akan menjadi bahan api neraka kecuali satu golongan. Para sahabat bertanya, ‘golongan yang manakah itu wahai Rasul Allah?’, Rasulullah saw bersabda, ‘golongan itu ialah yang mengamalkan apa yang aku dan sahabatku amalkan’” (Tirmidzi, Kitabul Imam dan Jamik Saghir Mesir). Dalam satu jemaah (firkah) tersebut terdapat kehadiran Rasulullah saw dan para sahabat yang bermaksud para anggota jemaah ini mengamalkan apa yang pernah diamalkan oleh Rasulullah saw dan para sahabat. Demikian juga segala cubaan dan kezaliman yang pernah dilalui oleh Rasulullah saw dan para sababat akan diharungi oleh para anggota jemaah yang dimaksudkan.

...73 firkah...golongan itu ialah yang mengamalkan apa yang aku dan sahabatku amalkan.... hadis ini menggambarkan bahawa dalam jemaah Imam Mahdi akan ada orang seperti Hazrat Abu Bakar yang sanggup mengorbankan nyawa dan seluruh hartanya demi kepentingan agama Islam. Demikian juga akan ada orang seperti ini, sanggup disiksa demi cintanya kepada Rasulullah saw dan Islam.

Tanda kedatangan Imam Mahdi atau Isa Al Masih begitu banyak sehingga boleh menimbulkan pelbagai persoalan tetapi atas kehendak Allah swt ada satu tanda yang amat unik dan sesiapa pun tidak mampu mengingkarinya jika tanda tersebut berlaku. Rasulullah saw bersabda, ”Sesungguhnya bagi Mahdi kami ada dua tanda yang belum pernah terjadi semenjak langit dan bumi diciptakan. Akan terjadi gerhana bulan pada malam pertama, malam-malam gerhananya pada bulan Ramadhan dan akan terjadi gerhana matahari pada hari pertengahan, hari-hari gerhananya pada bulan Ramadhan itu juga.” (Darul Qutni, jilid II, halaman 65). Tidak mustahil akan ada orang mempertikaikan hadis ini kerana sumbernya bukan dari sahih sitah. Namun itu bukan isu yang mesti dipertikaikan, selagi belum berlaku tanda tersebut biar berapa ramai orang yang mengaku Imam Mahdi, itu adalah pengakuan palsu. Sebaliknya jika ada yang mengaku sebagai Imam Mahdi dan disertai dengan tanda unik ini, maka hadis tersebut adalah benar dan pengakuan orang tersebut juga benar. Hadis ini sudah termaktub semenjak lebih 1,400 tahun dan ianya mengaitkan satu fenomena alam diluar kemampuan manusia untuk mengaturnya. Hadis yang dianggap palsu atau lemah akan menjadi sahih apabila terbukti kebenarannya.
Imam Mahdi atau Isa Al Masih adalah seorang utusan yang memikul tanggungjawab mengembalikan kegemilangan Islam. Abad kedatangannya dapat diketahui apabila dua sabda Rasulullah saw digabungkan bersama dengan firman Allah (As Sajdah : 6). Rasulullah saw bersabda, “Akan terjadi nubuat sampai waktu yang disukai Allah kemudian akan terjadi khilafat seperti dalam nubuat sampai waktu yang dikehendaki Allah kemudian akan terjadi kerajaan yang zalim sampai waktu yang disukai Allah kemudian akan terjadi khilafat di atas nubuat” – (Musnad Ahmad bin Hanbal, Misykat),

“Abad yang terbaik adalah abadku, kemudian akan hidup orang-orang di abad yang kedua, kemudian lagi akan hidup orang-orang di abad ketiga, maka setelah itu kebenaran akan hilang sirna dan akan meluaslah kekejaman-kekejaman, fenomena-fenomena dan ketidak seragaman” – (Bukhari, jilid 2, halaman 186, cetakan Mesir).,

“Dia akan mengatur peraturanNya dari langit sampai ke bumi, kemudian peraturan itu akan naik kepada Dia dalam satu hari, yang hitungan lamanya seribu tahun menurut apa yang kamu perhitungkan” – (As Sajdah : 6).

Berdasarkan kepada sabda Rasulullah saw di atas, umat Islam melalui zaman pasang surut yang bertahap dan di peringkat terakhir ialah akan terbentuk sistem khilafat. Jika diambil sejarah umat Islam sistem khilafat yang diredhai Allah swt hanya akan terbentuk setelah kewafatan seorang utusan yakni Rasulullah saw. Oleh itu adalah benar jika Imam Mahdi seorang utusan Tuhan dan juga seorang yang berpangkat nabi dan rasul lantaran gelaran yang disandang sebagai Nabi Isa akhir zaman, maka penerus misinya adalah orang yang bergelar khalifah yang akan membentuk dan memelihara sistem khilafat di mana umat Islam bernaung. Khalifatullah akan terus mendapat bimbingan daripada Allah swt dalam memimpin ummah, inilah jalan yang lurus menuju kebangkitan Islam kedua kalinya. Sememangnya tidak dinafikan para ulama Islam sepakat bahawa di atas kehendak Allah swt pernah wujud sistem khilafat yang berkesenambungan dalam empat era. Sehingga kini ianya tetap menjadi model bagi umat Islam dalam usaha mereka untuk memenuhi hasrat bagi menegakkan sistem khilafat untuk umat Islam masa kini. Usaha demi usaha dilancarkan, namun kegagalan juga yang dihasilkan, sistem khilafat terus menjadi impian yang tidak diketahui bila saatnya akan menjadi nyata.

Allah swt berfirman, “Allah telah menjanjikan kepada orang-orang dari antara kamu yang beriman dan beramal saleh, Dia pasti akan menjadikan mereka itu khalifah-khalifah di muka bumi ini, sebagaimana Dia telah menjadikan mereka itu khalifah dari antara orang-orang yang sebelum mereka...” (An Nuur : 56). Seiring dengan sunnahtullah, menjadikan umat manusia ”beriman” adalah tugas Allah swt melalui perantaraan utusanNya dan setelah benih iman yang  ditanam bercambah dengan subur, tingkah laku ”beramal saleh” akan terhasil sebagai buah dari iman. ”Beramal saleh” ini akan  menyebar luas tanpa henti dengan pupukan dan siraman rohani dari seorang khalifatullah. Ekoran dari itu, tidak ada cara berkesan jika Islam dan umatnya hendak diletakkan di atas  agama-agama lain kecuali mengamalkan perintah Al Quran dan sunnah Rasul. Kembali kepada Al Quran dan Sunnah Rasul bermakna akan terhapuslah segala sifat buruk umat Islam, kekeliruan dan kesalahfahaman dalam memahami serta mengamalkan perintah Al Quran dan Rasul. Natijahnya ”Iman dan Amal Saleh” akan lahir dalam dada dan amal perbuatan umat Islam, CINTA Allah swt akan mencucuri umat Islam, segala syarat bagi tegaknya sistem khilafat dan negara Islam yang sudah lama diidamkan akan terpenuhi. Kesimpulan yang boleh diambil ialah dari isyarat yang disajikan oleh Al Quran dan sabda suci Rasulullah saw dan didukung pula oleh Sejarah Islam ternyata tidak akan ada sesiapapun yang diberi kemampuan untuk membentuk sistem khilafat kecuali orang yang meneruskan misi seorang nabi sebaik sahaja kewafatannya. Inilah yang berlaku ke atas Hazrat Abu Bakar ra yang mengambil alih tampuk pimpinan umat Islam dengan menaiki takhta khilafat di atas persetujuan sebulat suara umat Islam sebaik sahaja Rasulullah saw wafat dan diteruskan oleh Hazrat Umar ra, Hazrat Othman ra dan Hazrat Ali ra. Jika umat Islam mengimpikan pimpinan seorang khalifah dan sebuah negara aman makmur di bawah naungan syariat Islam maka hakikat sebenarnya hendaklah diterima dengan hati yang lapang bahawa tidak ada jalan pintas kecuali melalui berkah kedatangan seorang nabi. Oleh itu persediaan sewajarnya, khasnya dari segi kemantapan spiritual memenuhi perintah Al Quran dan Rasulullah saw wajib ada dalam diri setiap muslim bagi menyambut kedatangan orang yang bergelar Imam Mahdi atau Nabi Isa dari kalangan umat Islam itu sendiri. Mengenang kembali kecenderungan umat Islam yang lebih suka melakukan keingkaran terhadap perintah Tuhan dan Rasul mereka, ngeri untuk dibayangkan betapa hebatnya tentangan bakal dihadapi oleh Imam Mahdi atau Nabi Isa as. Gejala ini tidak dapat dielakkan kerana orang hebat seperti Rasulullah saw, seorang guru dunia juga tidak terlepas, apa lagi Imam Mahdi atau Nabi Isa as yang hanya merupakan seorang anak murid Baginda Rasulullah saw. Kebangkitan Islam untuk kedua kalinya samada cepat atau perlahan bergantung sepenuhnya kepada persepsi umat Islam berhubung kewafatan Nabi Isa as bani Israil. Imam Mahdi dan sistem khilafat tertumpu kepada kedatangan Isa Al Masih yang dijanjikan di akhir zaman dari umat Rasulullah saw. Umat Islam yang menanti kedatangan Isa Al Masih bani Israil akan memusuhi dan berusaha menghalang segala rencana bagi memajukan agama Islam dan umatnya yang dilaksanakan oleh Isa Al Masih dari umat Rasulullah saw, ini adalah satu kepastian. Mereka yang menentang bermakna menentang Allah dan RasulNya, pasti kecundang serta berada dalam kerugian kerana Allah swt berfirman, “Dialah yang mengutus RasulNya dengan petunjuk dan agama yang benar supaya Dia memenangkanNya atas sekalian agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi” (Al Fath : 29) dan ”Allah telah menetapkan, ’Aku dan rasulKu pasti akan menang,’ sesungguhnya Allah itu Maha Kuat lagi Maha Perkasa” (Al Mujadilah : 22).

Negara Islam akan wujud apabila hadir seorang khalifatullah di kalangan umat Islam. Khalifatullah akan menaiki takhta apabila perginya seorang utusan Allah swt setelah menyempurnakan tugasnya memanggil umat manusia kembali sujud kepada Allah swt.


  
…SEGALA PUJI BAGI ALLAH RABB SEKALIAN ALAM…


Semoga Para Pembaca Memihak Kepada Allah swt Dan RasulNya


SILA EMAIL SEGALA KOMEN DAN PENDAPAT
Email : rahsia.ummah@gmail.com

No comments:

Post a Comment