Thursday, July 11, 2013

Rahsia Kebangkitan Ummah - 12



INSTITUSI KHILAFAT DAN PENYATUAN UMMAH

Dilema Akhir Zaman dan Imam Mahdi

Kedatangan Imam Mahdi merupakan kiamat besar yang akan muncul dan membinasakan segala keburukan manusia dan kerosakan agama. Allah swt akan mendatangkan hujan rohani yang selebat-lebatnya untuk membersihkan segala kekotoran dan menyuburkan tanah kerohanian yang semakin kering kontang. Kedatangan Nabi Muhammad saw juga telah mendatangkan kiamat kepada masyarakat Jahiliyah dan mereka dihidupkan semula dengan nur roh Islam dalam jiwa mereka. Para sahabat ra boleh diibaratkan telah menjadi “Al Quran hidup” kerana mengamalkan kehidupan yang selari dengan  Al Quran. Jika masyarakat Jahiliyah yang jahil mendapat kasih sayang Allah swt melalui kedatangan Rasulullah saw, sudah tentu Allah swt yang lebih mencintai umat Nabi Muhammad saw akan menurunkan utusanNya sepertimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah saw iaitu dengan kedatangan Isa Al Masih as sebagai Imam Mahdi yang akan memartabatkan ajaran Islam dan menyelamatkan umat Baginda saw.

Kedatangan Imam Mahdi yang dijanjikan di akhir zaman iaitu berakhirnya zaman gelap Islam adalah penerus syariat Nabi Muhammad saw yang menyerupai peranan Isa Al Masih as dari bani Israil sebagai penerus syariat Nabi Musa as. Persamaan ini yang menyebabkan Rasulullah saw menyebut Imam Mahdi sebagai Isa Al Masih as. Dalam Ibnu Majjah, Rasulullah saw pernah bersabda, “Laa Mahdi illa Isa”, maknanya “tidak ada Mahdi kecuali Isa”. Oleh itu hadis ini menjelaskan bahawa Imam Mahdi dan Isa Al Masih as adalah orang yang sama iaitu satu orang memiliki dua gelaran. Dalam kesempatan lain Rasulullah saw bersabda lagi, “Tidak syak lagi, hampir semua orang-orang yang hidup di antara kamu akan melihat dan bertemu dengan Isa anak Maryam. Dia juga menjadi Imam Mahdi (Musnad Ahmad bin Hanbal).  Rasulullah saw juga bersabda, “Bagaimana mungkin binasa satu umat di  mana aku berada pada permulaannya dan Al Masih (Isa Al Masih as) pada bahagian akhirnya” (Hujajul Karamah, II / 473). Jika dianalisa sabda suci Rasulullah ini dapat disimpulkan bahawa kedudukan Isa Al Masih as dalam menentukan kemenangan Islam adalah satu nubuatan yang tidak boleh diabaikan oleh umat Islam. Isa Al Masih as adalah juruselamat dan kepadanyalah umat Islam meletakkan harapan tinggi untuk bangkit semula. Isa Al Masih as adalah Imam Mahdi yang dinanti-nantikan kedatangannya di akhir zaman, oleh itu umat Islam wajib mendukung perjuangannya. Dalam hal ini Nabi Muhammad saw menekankan kepada umat Islam agar berganding bahu bersama Imam Mahdi memartabatkan kemuliaan agama Islam. Rasulullah saw bersabda, “Apabila kamu melihat Imam Mahdi maka segeralah kamu baiat, walaupun harus merangkak melalui rintangan salji kerana beliau itu Khalifahtullah Al Mahdi” (Ibnu Majjah). Perintah merangkak di atas salji membayangkan kewajipan umat Islam untuk membantu menjayakan perjuangan Imam Mahdi walaupun terpaksa menanggung keperihan dan kesengsaraan akibat fitnah dan penentangan. Ini adalah cabaran yang lumrah diharungi oleh para utusan Allah swt, mereka tidak pernah disambut baik oleh umat manusia. Selain itu, “di Atas salji” boleh juga ditafsirkan sebagai satu khabar gembira bahawa di akhir zaman Islam pun bakal diterima dan boleh ditemui di negara-negara sejuk seluruh dunia. Selanjutnya apabila para malaikat mengetahui rencana Allah swt untuk menjadikan Nabi Adam as sebagai Khalifahtullah, mereka mempersoalkannya sebab tidak yakin umat manusia mampu berbuat kebaikan. Digambarkan dalam Al Quran di mana Allah swt berfirman, “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui" (Al Baqarah : 31). Namun Allah Yang Maha Bijaksana, mengetahui bahawa umat manusia mampu berbuat kebaikan dengan bimbingan para utusanNya.

Nabi Muhammad saw ialah nabi yang mendapat kurnia dari Allah swt untuk menyempurnakan tugas yang amat besar lagi berat dan sukar. Tidak ada lagi manusia yang paling hebat dan sempurna pernah lahir ke dunia selain daripada Rasulullah saw tetapi Baginda saw lah yang paling banyak menderita akibat fitnah dan penganiayaan sewaktu melaksanakan tugasnya menyebarkan Islam. Semasa kewafatan Baginda saw, Islam hanya tersebar di sekitar Tanah Arab sahaja.  Oleh itu, umat Islam perlu menolak versi ulama ortodoks yang berfahaman sempit dan beku yang menggambarkan Imam Mahdi atau Isa Al Masih as jauh lebih hebat kerana mampu memberi kemenangan yang cepat kepada Islam dan berkuasa “membunuh raksasa Dajjal, semua orang kafir dan khinzir serta mematahkan salib.”  Penafsiran demikian sebenarnya menghina Nabi Besar Muhammad saw kerana kemampuan Imam Mahdi atau Isa Al Masih as dalam memartabatkan agama Islam tidak akan pernah melebihi kemampuan Rasulullah saw. Tidak ada lagi manusia yang paling hebat pernah lahir ke dunia selain daripada Rasulullah saw. Namun baginda saw mengambil masa selama 23 tahun untuk memperjuangkan Islam di bumi Arab.

Lebih mengelirukan lagi, para ulama ortodoks juga mengatakan bahawa Imam Mahdi dan Isa Al Masih as akan bergabung untuk memenangkan Islam ketika zaman menghampiri kiamat sedangkan orang Kristian mengatakan Isa Al Masih as turun untuk memenangkan agama Kristian dan bukan agama Islam. Jika umat Islam percaya bahawa Imam Mahdi akan membunuh orang kafir dan memenangkan Islam maka jihad yang dilakukan oleh umat Islam pada hari ini dan akan datang adalah sia-sia sahaja kerana kemenangan Islam hanya boleh dicapai semata-mata dengan adanya Imam Mahdi dan Isa Al Masih as yang mempunyai kemampuan yang amat hebat. Sekiranya penafsiran seumpama ini diterima, adalah lebih baik umat Islam menunggu sahaja kedatangan Imam Mahdi tanpa membazirkan jiwa, tenaga dan harta mereka. Malah penafsiran tersebut juga bererti umat Islam akan terus dibuli dan dipermain-mainkan oleh kuasa-kuasa Dajjal untuk tempoh yang lebih lama sementara menunggu kedatangan Imam Mahdi dan Isa Al Masih as yang hebat itu. Ada sesuatu yang tidak kena dengan penafsiran tersebut, lebih-lebih lagi dengan menggambarkan Imam Mahdi lebih hebat daripada Nabi Muhammad saw dalam memenangkan agama Islam. Umat Islam wajib menolak sebarang kisah dan penafsiran yang meletakkan ketinggian Imam Mahdi melebihi Nabi Muhammad saw. Lebih membingungkan ialah telah ramai yang mengaku sebagai Rasul, Nabi dan Imam Mahdi sehingga umat Islam menjadi keliru. Seharusnya umat Islam banyak berdoa agar Allah swt dapat membimbing mereka untuk mengenal kepalsuan dan kebenaran. Hanya Allah swt yang mampu membimbing umat Islam daripada kesesatan, berdoalah agar Allah swt memberi petunjuk di dalam mengatasi dilema ini. Kebenaran adalah ibarat wangian walau macamanapun ditutup semerbak harum baunya akan tersebar ke merata tempat manakala kepalsuan ibarat bangkai walaupun disirami dengan pelbagai air wangian lama kelamaan bau busuknya akan tercium juga.

Hindari Jejak Langkah Yahudi dan Nasrani

Perhatikan dan lakukanlah kajian terhadap firman-firman Allah swt. Sebagai contoh, umat Islam membaca surah  Al Fatihah dalam setiap rakaat solat lima waktu sehari semalam. Di antara rahsia suci dalam Surah tersebut ialah berdoa agar Allah swt menyelamatkan umat Islam agar jangan menjadi golongan yang sesat dan ingkar. Siapakah golongan yang sesat itu? Mereka ialah umat Yahudi yang menolak dan berusaha membunuh Isa Al Masih as sebagai utusan Allah swt kepada mereka dan juga penganut agama Kristian yang mempercayai Tuhan memiliki anak dan anak itu masih hidup di langit. Ini merupakan syirik kerana mempersekutukan Allah swt dan memperakui bahawa Allah swt memiliki seorang anak. Kita juga berdoa agar jangan menjadi golongan yang ingkar seperti golongan umat Yahudi. Apakah dosa terbesar umat Yahudi? Mereka memperolok-olok dan menentang utusan Allah swt. Kedua-dua umat ini juga tidak menerima kenabian Rasulullah saw kerana bangsa Arab dianggap lebih rendah martabatnya. Namun, malang sekali meskipun umat Islam berdoa kepada Allah swt, umat Islam juga akan menjadi umat yang ingkar, perhatikan sabda suci Rasulullah saw ini. “Kamu (umat Islam) akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikutinya” Sahabat bertanya “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kamu maksudkan”?. Nabi Muhammad saw menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka” (Muslim). Adakah sabda Rasulullah saw ini belum menjadi kenyataan?

Sememangnya pintu wahyu syariat telah tertutup dengan kesempurnaan Al Quran dan begitu juga kenabian yang membawa syariat telah tertutup dengan kewujudan Nabi Muhammad saw sebagai Khataman Nabiyyin tetapi sifat Allah swt Yang Maha Berkata-kata tidak akan padam sampai bila-bila. Malah rahsia-rahsia Al Quran dan ilmu pengetahuan masih banyak yang belum dibongkar. Allah swt berfirman, “Dia mengajari manusia apa yang belum diketahuinya” (Al ‘Alaq : 6), “Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta) ditambah kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering)nya nescaya tidak akan habis-habisnya (ditulis) kalimat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (Luqman : 28). Oleh kerana itu, wahyu bukan berbentuk syariat akan terus berlangsung kerana Allah swt akan memberi petunjuk dan khabar suka kepada orang-orang yang disucikanNya demi memperkuatkan semula pengamalan syariat yang semakin lemah. Kata-kata Allah swt kepada hamba yang dipilihNya juga dinamakan wahyu tetapi bukan wahyu syariat sebab wahyu berbentuk syariat telah sempurna dengan diutusnya Rasulullah saw dan Al Quran adalah kitab suci sepanjang zaman. Allah swt tidak akan membiarkan Al Quran menerima nasib yang sama seperti kitab Taurat atau Injil dan Dia tidak mahu umat Islam menjadi seperti umat Yahudi dan Nasrani. Malahan Allah swt tidak akan membiarkan umat Islam terus dicengkam oleh Dajjal dan hidup dalam permusuhan akibat perselisihan para ulamanya. Jalan keluar daripada semua masalah ini adalah hak mutlak Allah swt untuk terus mengirim utusanNya bagi mendukung dan menyelamatkan ajaran Islam serta memartabatkan kemuliaan Nabi Muhammad saw. Sebab itulah apabila tiba waktunya Allah swt pasti akan mengutus utusanNya iaitu Imam Mahdi yang juga digelar sebagai Isa Al Masih as sepertimana yang dinubuatkan oleh Rasulullah saw yakni, “Laa Mahdi illa Isa” (Tidak ada Mahdi kecuali Isa).

Yang jelas kedatangan Imam Mahdi bukan membawa syariat baru tetapi adalah untuk menyempurnakan wasiat suci Nabi Muhammad saw dan meneruskan syariat Baginda saw yang telah tercemar sehingga muncul pelbagai mazhab yang saling tidak sealiran. Apa yang perlu diperhatikan ialah berdasarkan kepada sabda Rasulullah saw bahawa Imam Mahdi akan berdepan dengan umat Islam yang akan bersikap seperti umat Yahudi dan Nasrani kerana mereka akan memperolok-olok, memfitnah dan menentangnya. Baginda saw juga mengetahui Imam Mahdi akan menerima penentangan daripada umat Islam sendiri yang diketuai oleh para ulama yang berfahaman sempit dan beku. Atas dasar itu demi menyelamatkan umat Islam, Nabi Muhammad saw telah banyak meninggalkan pesanan dan memberi peringatan serta bimbingan kepada umat Islam untuk mengenal kebenaran Imam Mahdi.  Sejarah berulang kembali sepertimana berulang kali  digambarkan dalam Al Quran, manusia sering menolak utusan Allah swt kerana takut kepada cemuhan masyarakat, terlalu percaya kepada fitnah dan sudah selesa dengan kepercayaan yang mereka warisi secara turun temurun. Sepanjang sejarah menyajikan hanya mereka yang bersungguh-sungguh mencari kebenaran akan diberi petunjuk dan keredhaan Allah swt. Situasi seperti inilah yang dilalui pada peringkat awal para sahabat ra, mereka mengalami penderitaan tetapi akhirnya mereka menikmati kelazatan keimanan yang sangat  luar biasa.

Bergabunglah Dengan Jemaah Yang Ada Imam

Demi keselamatan umat Islam pada hari ini, kajilah rahsia hadis ini riwayat Hazrat Hudzaifah yang bertanyakan kepada Nabi Muhammad saw, “Kebiasaan orang-orang yang bertanya kepada Rasulullah dalam perkara-perkara yang baik tetapi saya bertanya kepada beliau tentang perkara keburukan. Saya takut kalau perkara itu (keburukan) menimpa diriku. Saya bertanya kepada beliau, ‘Ya Rasulullah, dahulu di zaman jahiliyah kami sangat buruk sekali tetapi Allah ta’ala membawa kebaikan kepada kami (iaitu diutusnya Rasulullah saw di tengah-tengah mereka sebagai Rasul Allah). Ya Rasulullah, apakah sesudah kebaikan ini akan datang lagi keburukan? Beliau saw menjawab ya. Saya bertanya lagi, ya Rasulullah, apakah sesudah keburukan itu akan datang lagi kebaikan? Beliau saw menjawab ya, tetapi di dalam kebaikan itu ada “Dakhan”. Saya bertanya, ya Rasulullah apakah Dakhan itu? Beliau saw menjawab, orang-orang yang menjalankan sunnah (beramal) yang bukan sunnahku, memberikan petunjuk yang bukan petunjukku, kamu akan melihat amalan-amalan mereka dan kamu akan menolaknya. Aku bertanya, apakah sesudah kebaikan itu akan datang lagi keburukan? Rasulullah saw menjawab ya, akan ada orang–orang yang memanggil ke arah pintu neraka. Maka barangsiapa mengikut panggilan itu maka mereka akan menjadi ahli neraka. Aku berkata, Ya Rasulullah jelaskan kepada kami berkenaan dengan mereka itu. Rasulullah saw bersabda: Bahawa mereka adalah dari golongan kita juga (umat Islam sendiri). Mereka akan bertutur seperti yang kita katakan. Aku bertanya, Ya Rasulullah, Perintahkan kepadaku, seandainya perkara-perkara ini terjadi di dalam kehidupanku. Baginda saw bersabda: Bergabunglah engkau dengan orang-orang Islam yang mempunyai JEMAAT dan mempunyai IMAM”. Saya berkata lagi, seandainya saya mendapati orang-orang yang tidak mempunyai jemaat dan imam (apa yang harus saya lakukan?). Asingkanlah diri mu dari semua firkah-firkah mereka, walaupun kamu harus memakan akar-akar kayu, sehingga maut datang menjemput kamu dan kamu tetap di dalam keadaan demikian (Bukhari Bab Tanda-Tanda Kenabian Dalam Islam dan Misykat Bab Fitnah).

Perhatikan bahasa-bahasa kiasan yang disabdakan oleh Baginda saw, ada golongan yang akan memanggil  ke neraka” dan “bertutur seperti kita katakan”, siapa lagi golongan tersebut jika bukan segelintir ulama di dalam umat Islam. Mereka bercakap tentang agama dan sering menggunakan bahasa Arab dan merujuk kepada sabda dan sunnah Rasulullah saw tetapi mengapa ajaran mereka membawa manusia ke neraka? Jawapannya ialah kerana segolongan ulama tersebut melakukan pembohongan dan menabur fitnah sehingga ke tahap mengkafirkan kelompok Islam lain yang tidak sealiran dengan pemikiran sempit mereka. Bukan sahaja dapat didengar malahan dapat disaksikan golongan minoriti Islam sentiasa menjadi habuan keganasan golongan majoriti akibat daripada fitnah para ulama yang mengeluarkan fatwa bahawa golongan minoriti  tersebut terkeluar dari Islam dan sesat. Lihat sahaja apa yang sering berlaku ke atas minoriti golongan Syiah dan Ahmadiyyah di negara Pakistan, mereka sentiasa menjadi korban serangan keganasan golongan majoriti sunni disebabkan oleh hasutan para Ulama.

Di akhir sabda Rasulullah saw menggesa agar umat Islam menggabungkan diri  dalam jemaah yang mempunyai imam. Sudah tentu yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw bukan jemaah yang suka mengkafirkan orang lain atau imam-imam masjid atau seumpamanya tetapi jemaah dan imam yang dimaksudkan sudah tentu menyerupai jemaah dan imam di masa Baginda saw masih hidup dan dalam era khilafat empat Khulafa Rasyidin. Jika tidak ada imam dan jemaah seperti yang dimaksudkan maka seseorang muslim hendaklah menghindar meskipun terpaksa hidup di hutan belantara dan makan akar-akar kayu untuk meneruskan kehidupan. Sabda suci Rasulullah saw ini menggambarkan betapa kehidupan umat Islam tidak boleh dipisahkan dari institusi Imam dan Jemaah. Tanpa Imam dan Jemaah, umat Islam pasti akan mengharungi saat-saat kehidupan bagaikan hilang pedoman, lihatlah kondisi umat Islam hari  ini.

Umat Islam Perlukan Khalifah dan Jemaah

Definisi Jemaah ialah kumpulan individu yang mempunyai SATU pemimpin, bersatu padu dan bertekad untuk melaksanakan satu program bersama. Dua orang atau lebih dengan memiliki ciri-ciri yang dimaksudkan merupakan satu Jemaah. Sebaliknya jumlah orang yang ramai tetapi tidak mempunyai pemimpin dan tidak melaksanakan program bersama bukanlah satu Jemaah. Tatkala Rasulullah saw mengumumkan kenabian beliau di kota Mekah, pada hari pertama hanyalah empat orang yang beriman kepada Beliau saw. Namun mereka merupakan satu Jemaah, jumlah mereka hanya lima orang termasuk Rasulullah saw. Penduduk Mekah pada masa itu  melebihi 10,000 orang bukanlah satu Jemaah kerana mereka tidak memiliki unsur-unsur yang terdapat pada sebuah Jemaah.

Pada zaman ini kaum muslimin telah hilang kejamaatannya, perpecahan umat Islam dalam dunia, negara, negeri hingga ke pelosok kampung seolah-olah sudah dianggap perkara lumrah di kalangan umat Islam hari ini. Perpecahan umat ini telah dinubuatkan oleh Rasulullah saw lebih 1,400 tahun yang lampau, sepertimana pernah disabdakan, “Pasti akan datang di atas umatku sebagaimana yang telah terjadi pada umat Israil, seperti sepasang sepatu, hingga kalau umat bani Israil berzina dengan ibunya secara terang-terangan, maka umatku juga akan berbuat demikian. Ketahuilah bahawa umat Israil telah berpecah-belah hingga 72 golongan (firkah) dan umatku akan berpecah belah hingga 73 golongan (firkah). Kesemuanya akan menjadi bahan api neraka kecuali satu golongan. Para sahabat bertanya, ‘golongan yang manakah itu wahai Rasul Allah?’, Rasulullah saw bersabda, ‘golongan itu ialah yang mengamalkan apa yang aku dan sahabatku amalkan’” (Tirmidzi, Kitabul Imam dan Jamik Saghir Mesir). Ternyata bahawa hadis ini telah sempurna kebenarannya dengan menyaksikan keadaan umat Islam pada masa ini. Ajaran yang dibawa oleh Rasulullah saw dan terus diamalkan oleh para sahabat adalah berpegang teguh kepada Al Quran dan sunnah Rasulullah saw, hidup rukun damai dalam organisasi berjemaah dengan satu pimpinan. Sebaliknya kehidupan umat Islam hari ini terumbang-ambing tanpa jemaah dan tanpa satu pemimpin yang berkaliber. Sesungguhnya Rasulullah saw tidak pernah menyebut atau menubuatkan bahawa mengamalkan ajaran  Islam harus mengikut fahaman mazhab sepertimana terdapat pada hari ini. Namun itulah kenyataannya mengamalkan ajaran Islam dengan cara berpuak-puak mengikut mazhab serta mengikut pemimpin masing-masing, akibatnya umat Islam semakin menjauh dari semangat ukhwah dan perpaduan.

Pemimpin Rohani dan Jasmani Adalah Anugerah Bersyarat

Allah swt berfirman, “Allah telah menjanjikan kepada orang-orang dari antara kamu yang beriman dan beramal saleh, Dia pasti akan menjadikan mereka itu khalifah-khalifah di muka bumi ini, sebagaimana Dia telah menjadikan mereka itu khalifah dari antara orang-orang yang sebelum mereka...” (An Nuur : 56). Ayat ini merupakan satu jaminan dari Allah swt bahawa kepada umat Islam pasti Allah swt akan menganugerahi pemimpin rohani mahupun duniawi hingga hari kiamat. Namun bergantung kepada syarat yang telah ditetapkan oleh Allah swt iaitu umat Islam menurut pandangan Allah swt mestilah terlebih dahulu beriman dan beramal saleh (sila fahami definisi “amal saleh” di dalam bab sebelumnya). Di kalangan umat terdahulu sebelum Islam, Allah swt telah menganugerahkan ramai khalifah dan ada di antara mereka berpangkat nabi seperti nabi Musa as, nabi Harun as dan ramai lagi. Perhatikan firman Allah swt, “… sebagaimana Dia telah menjadikan mereka Khalifah dari antara orang-orang yang sebelum mereka.” Memang benar secara umumnya setiap individu muslim hendaklah menyedari bahawa dirinya adalah seorang khalifah yang kelak bertanggung jawab di hadapan Allah swt atas segala perbuatan yang dilakukan semasa hidupnya. Namun dalam konteks yang lebih khusus,  firman Allah swt ini menekankan tentang satu pemimpin dan kepimpinan yang bersifat global. Berdasarkan kepada firman Allah swt ini serta didukung oleh sejarah sebagai saksi, sebagaimana umat terdahulu, di dalam umat Islam pasti akan wujud sebuah institusi pemerintahan iaitu sistem pemerintahan di bawah sistem khilafat. Umat Islam akan dipimpin oleh seorang khalifah dan apabila institusi ini telah wujud, kemenangan Islam bakal menjadi realiti dan ianya akan berterusan hingga ke hari kiamat. Sejarah membuktikan di dalam umat bani Israil terdapat begitu ramai khalifah Allah. Oleh itu adalah amat wajar untuk umat Nabi Muhammad saw dianugerahi khalifah hingga ke hari kiamat kerana ini janji Allah swt yang termaktub di dalam Al Quran Karim, “Allah telah menjanjikan kepada orang-orang dari antara kamu yang beriman dan beramal saleh, Dia pasti akan menjadikan mereka itu khalifah-khalifah di muka bumi ini, sebagaimana Dia telah menjadikan mereka itu khalifah dari antara orang-orang yang sebelum mereka...” (An Nuur : 56)

Khalifatullah Vs Khalifah Politik

Para ulama sepakat bahawa di dalam umat Islam pernah ada empat khalifah yang mana Allah swt sendiri yang meletakkan  mereka di singgahsana khilafat. Era pemerintahan mereka dikenali sebagai Khulafa Rasyidin yang dimulai oleh Hazrat Abu Bakar dan diikuti oleh Hazrat Umar, Hazrat Othman dan Hazrat Ali. Khalifah yang muncul sesudah kewafatan empat khalifah ini merupakan khalifah di dalam Empayar kerajaan-kerajaan Islam yang bersandarkan kepada politik dan ini tidak ada hubungan dengan firman Allah swt dalam surah An Nuur : 56 di atas. Khalifah politik ini melahirkan kerajaan-kerajaan yang berkuasa tetapi saling bertelagah. Malahan ada yang sanggup bersekongkol dengan Dajjal untuk menghancurkan saudara seagama mereka. Keempat-empat khalifah sesudah kewafatan Rasulullah saw adalah orang yang dipilih oleh Allah swt untuk memimpin umat Islam, ini adalah kesepakatan para ulama dan sesungguhnya adalah benar. Khalifatullah dipilih ke takhta pemerintahan dengan izin Allah swt melalui institusi “MUSYAWARAH”, sebagaimana firmanNya, “Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka” (Asy Syuura: 39).

Seorang khalifah dengan bimbingan dan pertolongan Allah swt menentukan arah mana umat Islam mesti tuju. Pimpinannya berdasarkan kepada Al Quran dan sunnah Rasulullah saw serta petunjuk dari Allah swt. Suara khalifah merupakan sumber rujukan bagi umat Islam yang wajib didengar dan ditaati. Umat Islam yang beriman dan beramal saleh tidak akan pernah ingkar kepada perintah seorang khalifah Allah. Mereka akan berpegang teguh kepada firman Allah swt, “Rasul kami ini beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan begitu pula orang-orang mukmin; semuanya beriman kepada Allah dan malaikat-malaikatNya dan kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya, mereka mengatakan, ‘kami tidak membeza-bezakan rasul-rasulNya antara satu terhadap yang lain’ dan mereka berkata pula, ‘kami telah mendengar firman Allah dan kami taat dengan sepenuh hati’. Hai Tuhan kami, kami memohon keampunan Engkau dan kepada Engkaulah kami akan kembali” (Al Baqarah : 286). Khalifah seperti inilah yang tidak dimiliki oleh umat Islam hari ini, umat Islam bagaikan hanyut tanpa haluan dan menjadi senda gurauan bangsa lain. Sesama sendiri terjerumus ke dalam pelbagai konflik remeh temeh sehingga sanggup berbunuh-bunuhan, akibatnya imej Islam rosak di mata dunia.

Kewafatan khalifatullah terakhir dalam lembaran sejarah sedih Islam iaitu Hazrat Ali telah membuka ruang kepada bermulanya kesultanan kerajaan Islam yang dikenali sebagai Empayar Islam Umayyah. Seterusnya muncul kerajaan-kerajaan Islam yang lain seperti Empayar Islam Abbasiyah, Empayar Islam Mamluk dan Empayar Islam Turki Utsmaniyah dan di antaranya ada yang diasaskan melalui pemberontakan dan perebutan kuasa. Meskipun kepala tampuk pemerintahan diterajui oleh seseorang yang bergelar Khalifah tetapi institusi musyawarah dalam perlantikan seorang pemimpin yang bergelar khalifah telah dilenyapkan dan diganti dengan sistem lantikan pemimpin secara “keturunan”. Sistem ini cukup mencerminkan pengaruh ketamakan kuasa dan takut kehilangan kuasa. Sejarah dapat menjelaskan bahawa perjalanan sistem pemerintahan yang diamalkan oleh raja-raja Islam dihiasi dengan pemberontakan dan perebutan kuasa. Akhirnya empayar kerajaan Islam yang bertahan lebih kurang 300 tahun lamanya, pernah digeruni dan disegani suatu ketika dahulu menjadi bahan ejekan serta cemuhan, sama sekali lenyap dari muka bumi hingga ke hari ini. Sekiranya terdapat khalifah di kalangan umat Islam berlandaskan kepada Al Quran dan sunnah Rasulullah saw, hal-hal yang menghina dan mengaibkan  agama Islam akan dapat dihindari. Oleh itu umat Islam di abad ke 15 ini wajib jangan berhenti dari terus berdoa kepada Allah swt agar khalifatullah segera dianugerahkan untuk mengakhiri dilemma dan fenomena yang sedang melemaskan Islam dan umatnya. Formulanya amat mudah – umat Islam wajib beriman dan beramal saleh sesuai dengan garis panduan Al Quran, khalifatullah pasti dianugerahkan kepada umat Islam.

Bolehkah Institusi Khilafat Ditegakkan?  

Masalah ini jika diajukan kepada ulama, intelek atau orientalis Barat, berbagai-bagai jawapan akan dikemukakan. Bagi orang yang menginginkan khilafat ditegakkan dengan segera menjawab, boleh asalkan umat Islam bersatu. Jika ini jawapannya, maka akan timbul persoalan lain, bagaimana umat Islam boleh bersatu jika tidak ada satu pemimpin atau terlalu ramai yang ingin menjadi pemimpin? Bagi orang yang mengambil berat, mereka akan menjawab mungkin boleh tetapi sukar kerana menyatupadukan umat Islam bukannya mudah. Manakala bagi orang yang anti khilafat akan segera menjawab dengan tegas bahawa tidak mungkin berlaku kerana kami menentangnya. Jawapan seperti ini biasanya disuarakan oleh orientalis Barat sebab mereka tahu kunci kekuatan umat Islam terletak pada tegaknya INSTITUSI KHILAFAT.

Menurut sunnahtullah, apabila sesuatu kaum rosak keimanannya, Allah swt pasti mengutus RasulNya. Contohnya, setiap kali bani Israil rosak maka Allah swt tidak pernah lupa mengutus rasulNya untuk memperbaiki bangsa tersebut. Ramai rasul-rasul telah diutus di kalangan  bani Israil. Adilkah Allah swt jika umat Rasulullah saw rosak binasa, maka Dia biarkan hingga hari kiamat tanpa mengutus seorang rasul untuk memperbaikinya? Apabila umat nabi Musa as hilang pedoman, Allah swt mengutus Isa Al Masih as. Wajarkah nabi Muhammad saw yang bergelar Khatamannabiyyiin tidak diutus seorang utusan dari umatnya untuk memanggil kembali umat Islam yang sudah jauh meninggalkan Al Quran? Institusi Khilafat adalah janji Allah swt yang pasti menjadi kenyataan apabila Imam Mahdi atau Isa Al Masih as diutus di kalangan umat Islam.


No comments:

Post a Comment