Friday, September 11, 2015

Daras Rohani Khazain Nombor 20

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-

“Ada dua perkara yang perlu bagi seorang insan iaitu menghindari keburukan dan berlari menuju kebaikan. Dan kebaikan ada dua sudut. Pertama ialah meninggalkan keburukan dan yang kedua meningkat dalam kebaikan. Dengan hanya meninggalkan keburukan tidak menjamin seseorang menjadi sempurna selagi tidak ada usaha untuk meningkatkan kebaikan, yakni berusaha memberi kebaikan-kebaikan kepada orang lain. Dengan itu dapat diketahui sejauh mana perubahan yang dibuat, dan tahap ini hanya dapat dicapai sekiranya ada keimanan dan pengetahuan dalam sifat-sifat Allah. Selagi hal ini belum ada, maka insan tidak boleh selamat dari keburukan. Memberikan faedah kepada orang lain satu perkara yang sangat besar.

Kuasa raja dan undang-undang tentera India juga sangat ditakuti. Dan ramai orang yang tidak berani bertindak menentang mereka. Namun, kenapa orang begitu ramai berani melakukan perkara yang bertentangan dengan Ahkamul Hakimin (Hakim yang Paling Agung). Adakah alasan lain selain mengatakan bahawa mereka tidak percaya? Inilah salah satu asasnya.

Justeru itu, perlakuan menjauhi keburukan hanya akan dicapai sekiranya ada keimanan kepada Tuhan, kemudian tingkat yang kedua ialah mencari peraka-perkara yang telah dilakukan oleh hamba-hamba Tuhan yang terpilih. Hanya ada satu jalan yang telah menjadikan orang-orang suci  dan terpilih ini mendapat kurnia yang begitu banyak daripada Allah Ta’ala di dunia ini. Untuk mengetahui jalan tersebut ialah insan berusaha menilai apa yang Allah Ta’ala perlakukan terhadap dirinya?

Tingkat pertama ialah meninggalkan keburukan. Ia dapat dilihat melalui penjelmaan sifat Jalali Tuhan iaitu dia menjadi musuh kepada perbuatan buruk. Tingkat yang kedua ialah melalui penjelmaan sifat Jamali Tuhan. Tingkat terakhir ialah selagi tidak mendapatkan kekuatan dari Allah Ta’ala yang dikenali sebagai ruhul qudus menurut istilah Islam, maka tidak ada apa-apa yang berlaku. Ini adalah satu kekuatan yang diperolehi dari Tuhan kerana bersama-sama dengan itu hati mendapat ketenteraman. Dan fitratnya juga melahirkan rasa cinta kepada kebaikan yang dianggap oleh orang lain sebagai sukar dan berat dalam melakukannya. Dia berlari ke arah melakukan kebaikan itu dengan penuh keasyikan dan keseronokan.

Sebagaimana seorang kanak-kanak begitu suka makanan yang manis, demikian juga apabila ada hubungan dengan Allah Ta’ala dan ruh suci turun ke atasnya, maka kebaikan-kebaikan itu akan sama seperti minuman yang sangat lazat dan wangi. Keistimewaan dalam kebaikan-kebaikan itu akan kelihatan padanya dan dengan tidak disangka-sangka dia akan mendapatkannya. Membayangkan keburukan akan membuatkan dirinya menggeletar.

(Malfoozaat Jilid 1, halaman 466, cetakan Rabwah)

Daras Rohani Khazain Nombor 19

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-

“Nabi-nabi dan rasul-rasul yang telah mendapat kedudukan tinggi, mereka bukanlah mendapatkan kedudukan tersebut dengan begitu mudah dan senang, malah mereka diuji dengan pelbagai situasi yang sangat berat, dan hanya melalui kesabaran sahaja ia dapat dilalui sehingga Allah Ta’ala memberikan mereka darjat yang tinggi.

Cuba lihat Nabi Ibrahim, berapa besar ujian yang beliau terima. Beliau memegang pisau di tangan untuk mengorbankan anaknya. Beliau sudah meletakkan pisau di leher anaknya tetapi di hadapannya adalah kambing. Ibrahim telah lulus dalam ujian itu. Tuhan juga telah menyelamatkan anaknya. Tuhan sangat gembira atas perlakuan Ibrahim. Semua ini kurnia Allah Ta’ala bahawa anak itu selamat. Jika tidak, Ibrahim memang hendak menyembelih anaknya. Sebab itu beliau telah mendapat julukan SADIQ.

Di dalam Taurat tertulis bahawa Allah Ta’ala berfirman: Wahai Ibrahim! Lihatlah bintang-bintang di atas langit, adakah engkau dapat menghitungnya? Demikian jugalah keturunan engkau tidak akan terkira banyaknya. Hanya waktu kesusahan yang sedikit perlu dilalui dan ia telah berlalu. Sebagai gantinya, betapa banyak nikmat yang diterima. Sekarang ini semua Quraisy, Yahudi dan kaum-kaum yang lain menisbatkan diri mereka sebagai keturunan Ibrahim. Hanya beberapa waktu kesusahan dilalui dan ia telah berakhir, kemudian betapa besar nikmat yang diperolehi daripada Allah Ta’ala.”

(Malfoozaat Jilid 5, halaman 416-417, cetakan Rabwah)

Daras Rohani Khazain Nombor 18

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-

“Ingatlah dengan sebaik-baiknya, jika laknat Tuhan tidak bersama-sama dengan laknat manusia, maka ia tidak memberi apa-apa kesan. Jika Tuhan tidak berkehendak untuk menghapuskan kita, maka kita tidak akan dapat dihapuskan oleh sesiapa. Tetapi, jika Tuhan yang menjadi musuh bagi kita, maka tidak ada sesiapa yang boleh memberi perlindungan kepada kita.

Bagaimana kita boleh menjadikan Allah Ta’ala redha dan bagaimana Allah boleh bersama-sama dengan kita? Dalam perkara ini, saya berkali-kali mendapat jawapan bahawa segala-galanya adalah melalui TAQWA.

Jadi, wahai saudara-saudaraku! Berusahalah untuk menjadi orang bertakwa. Tanpa amalan, semua ucapan tidak menggambarkan apa-apa, dan tanpa keikhlasan pula tidak ada amalan yang diterima. Jadi, takwa itu ialah menghindari segala kekurangan-kekurangan dan melangkahkan kaki ke arah Allah Ta’ala dan bertekad untuk melaksanakan sekecil-kecil jalan ketakwaan.

Pertama sekali lahirkan perasaan rendah diri, berfikiran bersih dan ikhlas dalam hati. Dan dengan cara yang sebenar-benarnya berusahalah menjadi seseorang yang berhati lembut, selamat dan miskin. Benih setiap kebaikan dan kejahatan akan mula lahir dari dalam hati. Jika hati kamu bersih dari perasaan jahat, maka lidah kamu juga akan bersih dari kejahatan, demikian juga mata kamu dan anggota badan yang lain.

Setiap cahaya atau kegelapan juga akan mula muncul dari dalam hati dan secara perlahan-lahan akan melingkari semua anggota badan. Jadi, timbanglah sentiasa hati kamu. Sebagaimana seorang pemakan ‘pan’, dia akan menggerakkan pan dalam seluruh mulutnya dan akan membuang keluar sisanya. Demikian juga kamu hendaklah sentiasa melihat segala fikiran tersembunyi, adat tersembunyi, emosi tersembunyi dan keistimewaan tersembunyi dalam hati, sebaik sahaja kamu dapati ada fikiran, adat, atau keistimewaan yang perlu ditolak, maka buanglah ia keluar, jangan sampai ia mengotorkan seluruh hati kamu dan menjadikan kamu terbuang.”

(Izalah Auham, Rohani Khazain Jilid 3, halaman 547,548)

Daras Rohani Khazain Nombor 17

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-

“Nasihat untuk saudara-saudara yang masuk bai’at dalam jemaat ini,

Wahai saudara-saudaraku yang masuk bai’at dalam jemaatku! Semoga Tuhan memberi taufik kepada saya dan kamu akan semua perkara yang Dia redhai. Hari ini kamu masih sedikit dan dipandang hina, dan ada juga musibat yang menimpa kamu sesuai dengan sunnatullah sejak dahulu lagi. Mungkin ada usaha dari setiap penjuru untuk menghapuskan dan menghinakan kamu. Dan banyak ucapan-ucapan yang terpaksa kamu dengari. Dan semua mereka yang menyusahkan kamu sama ada dengan lidah atau tangan, mereka beranggapan telah menolong Islam. Dan kamu juga akan menghadapi musibat dari langit supaya kamu diuji dari pelbagai sudut.

Jadi, dengarkanlah waktu ini bahawa jalan kejayaan dan kemenangan kamu bukanlah kamu menggunakan mantiq yang kosong atau kamu menjawab penghinaan musuh dengan penghinaan dari kamu, atau kamu menjawab caci maki dengan caci makian juga. Ini kerana, jika kamu telah menggunakan jalan ini maka hati kamu akan menjadi keras, dan yang ada pada kamu hanyalah ucapan-ucapan yang boleh mengundang kebencian Tuhan dan memandang kamu dengan pandangan jijik. Jadi, jangan berbuat seperti itu sehingga kamu mengumpul dua jenis laknat iaitu satu dari manusia dan satu lagi dari Tuhan.”

(Izalah Auham, Rohani Khazain Jilid 3, halaman 546,547)

Daras Rohani Khazain Nombor 16

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam bersabda:-

“Atas hamba yang lemah ini dizahirkan dalam sebuah rukya tentang makna matahari terbit dari sebelah Barat, iaitu negara-negara Barat yang sejak dahulu lagi hidup dalam kegelapan, kekafiran dan kesesatan, mereka akan disinari dengan cahaya kebenaran dan mereka akan mendapat bahagian daripada Islam. Dan saya telah melihat bahawa saya berdiri di atas mimbar di sebuah bandar London dan dalam bahasa Inggeris saya menyampaikan ceramah tentang kebenaran Islam dengan penuh semangat. Selepas itu saya banyak menangkap burung-burung yang duduk di atas pepohonan, dan warna mereka ialah putih, mungkin sama seperti merpati. Jadi, saya memberikan ta’birnya bahawa jika bukan saya, pasti tulisan-tulisan saya yang akan sampai kepada mereka. Dan banyak orang-orang Inggeris yang akan mendapatkan kebenaran. Sebenarnya, sehingga hari ini berkenaan dengan negara-negara Barat sangat kurang diberikan kefahaman akan kebenaran ini, seolah-olah Allah Ta’ala memberikan pengetahuan agama ini hanya kepada orang-orang Asia sahaja dan pengetahuan tentang keduniaan diberikan sepenuhnya kepada orang Eropah dan Amerika. Nabi-nabi juga sejak dari awal sehingga akhir kebanyakan mereka di bahagian Asia dan kesempurnaan wali-wali diberikan kepada mereka. Sekarang ini Tuhan berkehendak memberikan pandangan rahmat-Nya ke atas orang-orang ini.”

(Izalah Auham, Rohani Khazain Jilid 3, Halaman 376,377)

Daras Rohani Khazain Nombor 15

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-

Semua mazhab (agama) yang tidak dapat mempersembahkan sarana keyakinan adalah mazhab palsu. Semua agama yang tidak dapat memperlihatkan Tuhan melalui keyakinan adalah agama palsu. Semua agama yang hanya mengajarkan kisah-kisah dongeng dan hikayat-hikayat lama juga adalah palsu. Sekarang ini Tuhan tetap sama seperti dahulu. Sekarang pun Kudrat-Nya masih tetap berlaku sama seperti dahulu. Sebagaimana dahulu Dia berkuasa memperlihatkan tanda-tanda, sekarang pun tetap memperlihatkan tanda-tanda-Nya.

Oleh karena itu, mengapakah kamu merasa gembira atau puas hati hanya dengan mendengar kisah-kisah sahaja? Agama itu adalah agama yang sudah rosak jika mukjizatnya tinggal kisah-kisah sahaja, khabar ghaibnya juga tinggal kisah semata-mata. Suatu jemaat dianggap sudah rosak sekiranya Tuhan tidak lagi turun atas mereka dan tetap tidak suci melalui keyakinan dan tangan Tuhan.

Sebagaimana seorang insan yang tertarik apabila melihat sarana kelazatan dirinya, demikian juga mereka boleh mendapatkan kelazatan rohani melalui keyakinan sehingga tertarik kepada Tuhan. Dan kecantikannya dibuat begitu indah sehingga semua benda lain kelihatan tidak berharga dan harus ditolak.

Manusia benar-benar akan bebas dari dosa hanya apabila mengetahui dengan penuh keyakinan tentang kekuasaan Tuhan dan adanya hari pembalasan dari Tuhan. Kejahilan atau ketidaktahuan itu akar dari kelancangan dan keberanian untuk berbuat dosa. Orang yang mengambil suatu bahagian dari makrifat Ilahi, dia tidak akan bertindak lancang.

Apabila seorang pemilik rumah mengetahui bahawa banjir besar sedang menuju ke rumahnya atau di sekitar rumahnya api sedang menyala-nyala dan tinggal sedikit masa lagi akan membakar rumahnya, maka dia tidak akan tinggal di dalam rumahnya.

Jadi, seandainya kamu mengatakan bahawa kamu yakin akan kewujudan hari pembalasan daripada Tuhan, maka bagaimanakah kamu berani tetap dalam keadaan kamu yang berbahaya itu? Oleh itu, bukalah mata kamu, dan lihatlah hukum Tuhan yang terdapat di seluruh dunia. Janganlah jadi seperti seekor tikus yang keinginannya selalu menyorok ke bawah, malah jadilah kamu burung merpati yang gemar melayang-layang terbang bebas di angkasa.

(Kisyti Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 67,68)

Daras Rohani Khazain Nombor 14

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam bersabda:-

“Sesiapa yang diletakkan oleh Allah dalam kesusahan di dunia ini dan juga mereka yang menanggung kesusahan untuk Allah Ta’ala, maka mereka akan mendapat ganjaran daripada Allah Ta’ala di akhirat. Dunia ini adalah tempat mengembara, bukannya tempat menetap. Jika ada seseorang mengumpul segala sarana untuk bergembira, itu bukanlah kegembiraan sebenar. Semua kesenangan dan kesulitan akan berlalu, selepas itu akan menuju satu tempat yang kekal abadi. Orang yang dalam kehidupan sementara ini melihat suatu kekurangan dalam penciptaan insan lalu menganggapnya itu adalah hasil dosa-dosa dan perbuatan dalam kehidupan yang lepas, mereka sebenarnya melakukan kesilapan. Tidakkah mereka tahu bahawa kehidupan akhirat adalah satu kehidupan yang agung? Kepada sesiapa yang Allah Ta’ala letakkan kekurangan dalam penciptaan seseorang dan juga orang-orang yang meletakkan diri mereka sendiri dalam kesusahan semata-mata meraih keredhaan Allah Ta’ala, kedua-dua golongan ini akan mendapat ganjaran di akhirat kelak. Dunia ini adalah tempat menyemai dan juga satu peluang untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala.

Ada orang yang berusaha menggembirakan Allah Ta’ala melalui amalan mereka, dan ada juga yang meletakkan diri mereka dalam kesusahan semata-mata untuk menggembirakan Allah Ta’ala. Ada seseorang yang memiliki dua pengkhidmat. Seorang daripadanya melakukan pekerjaan atau perjalanan setiap hari di mana dia mendapat kemudahan pengangkutan, perjalanan yang terlindung dari cahaya terik matahari serta banyak kesenangan. Seorang lagi perlu melalui tempat-tempat yang tidak ada kemudahan pengangkutan, perlu berjalan kaki di bawah matahari yang panas. Tetapi dia tahu bahawa semakin susah yang dihadapi, semakin banyak ganjaran yang akan diberikan. Jadi, apa yang perlu dipertikaikan untuk perjalanan kedua-dua pengkhidmat itu? Demikian juga orang yang cacat, buta, lumpuh, miskin, faqir dan sebagainya, semua mereka yang diciptakan oleh Allah dalam keadaan seperti itu, sekiranya mereka di akhirat nanti akan mendapat ganjaran masing-masing, maka apa perlunya menganggap ia akibat dosa lampau dan membuat kritikan atas kehidupan yang hakiki. Kesusahan yang telah Allah Ta’ala berikan, ia adalah untuk mendapatkan pahala, kerana Allah Ta’ala Maha Penyayang dan pastinya ada sahaja jalan untuk Allah Ta’ala memberikan ganjaran. Jadi, orang yang lumpuh, buta dan sebagainya, kekurangan-kekurangan dalam ciptaan itu akan mendapat ganjaran pada hari kiamat nanti.

Mungkin juga hal ini terjadi di mana ada seorang yang lahir dalam rumah golongan bangsawan. Semua kemudahan dan kesenangan ada tersedia, namun tetap sahaja mempunyai kesulitan dan kesusahan yang dialami. Dan ada juga seorang yang hidupnya hanya dengan meminta-minta, kadang-kadang mereka mendapat kegembiraan yang mungkin tidak dirasai oleh orang yang kaya. Tidak terdapat di mana-mana perintah untuk orang kaya agar mereka hidup berseronok semahunya, tetapi perintah yang ada ialah mereka harus beribadat seperti orang miskin. Apapun, dunia ini hanya beberapa hari sahaja, apa yang manusia tahu tentang berapa panjang usia yang diberikan pada mereka?”

(Malfoozaat Jilid 4, halaman 72-73)

Daras Rohani Khazain Nombor 13

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-

Wahai hamba pencari Tuhan! Bukalah telinga dan dengarkanlah bahawa sesungguhnya keyakinan itu adalah sesuatu yang luar biasa. Keyakinan boleh melepaskan kamu dari cengkaman dosa. Keyakinan itu boleh memberikan kekuatan untuk melakukan kebaikan. Keyakinan itu boleh menjadikan kamu seorang asyik yang sejati kepada Tuhan.

Adakah kamu boleh terselamat dari dosa tanpa keyakinan? Adakah kamu dapat mengawal hawa nafsu tanpa penzahiran keyakinan? Adakah kamu dapat memperolehi suatu ketenteraman tanpa keyakinan? Adakah kamu dapat membuat perubahan yang sejati dalam diri kamu tanpa keyakinan? Dapatkah kamu memperoleh suatu kebahagiaan yang hakiki tanpa keyakinan? Adakah di bawah langit ini suatu kaffarah (penebusan) atau bayaran fidyah yang dapat menghindarkan kamu dari dosa? ……

Oleh karena itu ingatlah sebaik-baiknya, bahawa tanpa keyakinan yang sempurna kamu tidak akan dapat keluar dari kehidupan yang gelap gelita dan juga kamu tidak akan mendapat Ruhul Qudus. Berbahagialah mereka yang mempunyai keyakinan kerana mereka akan melihat Tuhan. Berbahagialah juga mereka yang telah selamat dari waswas dan keraguan kerana mereka itulah yang akan selamat dari dosa. Berbahagia jugalah kamu yang apabila diberikan khazanah keyakinan, dosa-dosa kamu pun hilang selepas itu.

Dosa dan yakin tidak dapat berkumpul bersama. Adakah kamu akan memasukkan tangan kamu ke dalam sebuah lubang jika di dalam lubang itu kamu lihat sendiri ada seekor ular yang amat berbisa? Adakah kamu tetap berdiri di suatu tempat di mana batu-batu berjatuhan dari gunung berapi? Atau tempat itu menjadi sasaran petir yang menyerbu dari langit, atau tempat serangan singa yang buas? Atau adakah kamu akan terus tinggal di tempat jangkitan taun berbahaya yang boleh menghapuskan keturunan insan? Jadi, jika kamu mempunyai keyakinan sebegitu rupa sebagaimana keyakinan kamu ke atas ular, singa, petir dan taun tersebut, sudah pasti kamu tidak akan berani melakukan sesuatu yang boleh mengundang hukuman Tuhan, ataupun kamu tidak akan berani memisahkan diri dari kejujuran dan kesetiaan kepada Tuhan.

(Kisyti Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 66,67)

Daras Rohani Khazain Nombor 12

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-

Jika kamu benar-benar menjadi kepunyaan Tuhan, maka yakinlah bahwa Tuhan menjadi kepunyaan kamu sendiri. Ketika kamu sedang tidur, Tuhan akan berjaga untuk kamu. Ketika kamu leka terhadap musuh, Tuhan akan memperhatikan mereka dan mematahkan segala rencananya. Kamu sampai sekarang tidak sepenuhnya mengetahui kudrat-kudrat yang Tuhan miliki. Sekiranya kamu tahu, sudah tentu tidak ada hari berlalu yang menjadikan kamu bersedih hati untuk dunia. Seseorang yang memiliki sejumlah kekayaan, adakah dia akan menangis hanya kerana kehilangan satu sen sehingga meratapinya seolah-olah mengalami satu kerugian yang sangat besar?

Kalau kamu menyedari bahawa Tuhan akan mencukupkan setiap keinginan kamu, mengapakah kamu begitu tenggelam dalam urusan duniawi? Tuhan adalah satu Khazanah yang sangat berharga, oleh sebab itu hargailah kerana Dia adalah Penolong kamu dalam setiap langkah kamu. Hendaklah kamu ingat bahawa kamu itu tidak ada nilai langsung tanpa-Nya, segala sarana dan cara kamu juga tidak bermakna langsung.

Janganlah mengikuti kebiasaan bangsa-bangsa lain yang bergantung sepenuhnya kepada sarana-sarana dunia. Dan sebagaimana seekor ular yang memakan tanah, mereka bergantung kepada sarana tanah yang rendah sifatnya. Dan sebagaimana seekor burung helang dan anjing yang makan bangkai, mereka membenamkan gigi ke dalam bangkai yang busuk.

Mereka jauh melantun dari Tuhan, mereka menyembah manusia, mereka makan daging babi dan minuman keras diperbuat seperti minum air. Dan disebabkan mereka terlampau cenderung kepada sarana-sarana dunia, dan disebabkan tidak meminta kekuatan dari Tuhan, akhirnya mereka itu mati dan ruh langit (kerohanian) telah keluar dari dalam diri mereka laksana seekor burung merpati terbang meninggalkan sarangnya. Dalam diri mereka telah dijangkiti wabak penyakit memuja dunia yang telah menyebabkan semua anggota dalaman terpotong. Oleh karena itu takutilah wabak penyakit semacam ini.

Aku tidak melarang kamu untuk menggunakan sarana kebendaan sesuai dengan keperluan dan batasannya, apa yang aku cegah ialah kamu jangan menuruti kelakuan kaum lain yang menjadi hamba dari sarana kebendaan lalu melupakan Tuhan yang juga telah menyediakan segala sarana kebendaan itu. Jika memang benar kamu mempunyai mata, maka akan kelihatan kepada kamu bahawa hanya Tuhan yang ada, segala sesuatu yang lain tidak berharga sama sekali.

Kamu tidak dapat merentangkan tangan kamu, begitu juga tidak dapat melipatnya tanpa izin Tuhan, seorang yang mati rohaninya akan mentertawakan pernyataan ini, tetapi alangkah baiknya jika dia mati saja, itu lebih baik baginya daripada dia tertawa menghina.

(Kisyti Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 22)

Daras Rohani Khazain Nombor 11

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam bersabda:-

“Wahai sekalian manusia yang dipanggil kepada kebaikan dan kebenaran, peganglah keyakinan itu dengan bersungguh-sungguh, bahawa tarikan terhadap Tuhan akan muncul dalam diri kamu dan kamu akan dibersihkan dari bintik kotoran dosa apabila hati kamu telah dipenuhi dengan keyakinan. Mungkin kamu akan berkata bahawa kamu sudah memiliki keyakinan itu. Jadi, ingatlah bahawa kamu sedang tertipu. Keyakinan sama sekali belum kamu miliki kerana kamu belum memperolehi apa yang sepatutnya. Puncanya ialah kamu tidak menghindarkan diri dari dosa. Kamu juga belum lagi melangkahkan kaki sebagaimana yang seharusnya. Kamu juga tidak takut sebagaimana yang seharusnya.

Cubalah kamu fikirkan sendiri, orang yang merasa yakin bahawa di dalam sebuah lubang tertentu ada seekor ular, beranikah dia memasukkan tangannya ke dalam lubang tersebut? Orang yang merasa yakin bahawa di dalam makanannya terdapat racun, adakah dia berani memakan makanan itu? Demikian juga orang yang melihat dengan matanya sendiri bahawa di dalam sebuah hutan belantara tertentu hidup ratusan singa yang buas, adakah dia berani memasuki hutan itu tanpa berhati-hati?

Justeru itu, bagaimanakah tangan kamu, kaki kamu, telinga kamu dan mata kamu berani melakukan suatu dosa jika kamu mempunyai keyakinan sepenuhnya akan hari pembalasan daripada Tuhan? Dosa tidak akan dapat mengatasi keyakinan. Dan apabila kamu melihat api yang berkobar-kobar sedangkan kamu tahu bahwa api itu dapat menghanguskan dan meleburkan setiap benda menjadi abu, adakah kamu berani memasukkan diri ke dalamnya? Dan tembok keyakinan itu tinggi mencapai langit, syaitan tidak dapat memanjatnya.

Setiap orang yang telah suci, dia suci disebabkan keyakinan. Keyakinan juga memberi kekuatan untuk menanggung kesulitan sehingga memungkinkan seorang raja turun takhta untuk menjalani kehidupan sebagai orang faqir. Keyakinan mempermudahkan segala kesukaran. Keyakinan memungkinkan manusia untuk melihat Tuhan. Segala persoalan mengenai kaffarah (penebusan dosa) adalah palsu dan setiap fidyah (bayaran denda) adalah batil, dan setiap kesucian datang menjelma dari jalan keyakinan.

Satu benda yang dapat melepaskan manusia dari dosa dan menyampaikan manusia kepada Tuhan ialah keyakinan. Dan dalam soal kejujuran dan keteguhan, manusia juga boleh mengatasi kedudukan malaikat melalui keyakinan.”

(Kisyti Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 67)

Daras Rohani Khazain Nombor 10

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam bersabda:-

“Dalam Wujud Tuhan kami, tidak terkira banyaknya keajaiban-keajaiban yang ada, tetapi yang dapat melihatnya hanya mereka yang menjadi milik-Nya dengan benar dan suci. Namun, bagi orang lain yang tidak beriman kepada kudrat-Nya, dan tidak jujur dan setia dalam keimanannya, Dia tidak menzahirkan keajaiban-keajaiban itu.

Sunguh malang sekali insan yang sehingga sekarang tidak mengetahui bahawa dia mempunyai satu Tuhan yang berkuasa atas segala sesuatu! Syurga kita adalah Tuhan kita, kelazatan kita yang paling tinggi terletak dalam diri Tuhan kerana kita telah melihat-Nya, dan segala keindahan terdapat pada Wujud-Nya. Harta ini patut dimiliki walau pun harus dengan mempertaruhkan jiwa, dan permata ini patut dibeli sekali pun harus dengan melenyapkan segala wujud kita.

Wahai orang-orang yang mahrum (luput)! Bergegaslah lari menuju sumber mata air ini supaya kamu dapat minum sepuas-puasnya. Ini adalah sumber mata air kehidupan yang akan menyelamatkan kamu. Apakah gerangan yang harus aku perbuat dan bagaimanakah harus aku sampaikan berita gembira ini ke dalam hati setiap manusia? Dengan gendang apa yang harus aku palu di pasar-pasar yang menyatakan ‘inilah Tuhan kamu’ supaya orang-orang dapat mendengarnya? Dan dengan penawar apa yang harus aku gunakan agar telinga-telinga manusia boleh terbuka untuk mendengar?

Jika kamu benar-benar menjadi kepunyaan Tuhan, maka yakinlah bahwa Tuhan menjadi kepunyaan kamu sendiri. Ketika kamu sedang tidur, Tuhan akan berjaga untuk kamu. Ketika kamu leka terhadap musuh, Tuhan akan memperhatikan mereka dan mematahkan segala rencananya.

Kamu sampai sekarang tidak sepenuhnya mengetahui kudrat-kudrat yang Tuhan miliki. Sekiranya kamu tahu, sudah tentu tidak ada hari berlalu yang menjadikan kamu bersedih hati untuk dunia. Seseorang yang memiliki sejumlah kekayaan, adakah dia akan menangis hanya kerana kehilangan satu sen sehingga meratapinya seolah-olah mengalami satu kerugian yang sangat besar?

Kalau kamu menyedari bahawa Tuhan akan mencukupkan setiap keinginan kamu, mengapakah kamu begitu tenggelam dalam urusan duniawi? Tuhan adalah satu Khazanah yang sangat berharga, oleh sebab itu hargailah kerana Dia adalah Penolong kamu dalam setiap langkah kamu. Hendaklah kamu ingat bahawa kamu itu tidak ada nilai langsung tanpa-Nya, segala sarana dan cara kamu juga tidak bermakna langsung.”

(Kisyti Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 21,22)

Daras Rohani Khazain Nombor 9

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam bersabda:-

“Barangsiapa yang duduk dalam kumpulan para penentang dan bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh mereka, dia bukan dari golongan Jemaatku. Setiap penzina, pendurhaka, pemabuk, pembunuh, pencuri, penjudi, pengkhianat, pemberi dan penerima rasuah, perampas, penganiaya, pendusta, pemalsu dan rakan subahat mereka, dan orang yang melemparkan tuduhan terhadap saudara lelaki dan perempuannya, yang tidak bertaubat dari perbuatan-perbuatan buruknya, yang tidak meninggalkan majlis-majlis yang merosakkan, mereka semua itu bukan dari golongan Jemaatku.

Semua sifat itu adalah racun. Jika kamu memakan racun-racun itu, dengan cara apapun kamu tidak akan selamat. Cahaya dan kegelapan tidak dapat berkumpul bersama-sama pada satu tempat. Barangsiapa yang berwatak serong dan tidak jujur dalam perhubungannya dengan Tuhan, dia tidak akan mendapat berkat seperti yang diperolehi oleh mereka yang berhati bersih. Alangkah beruntungnya orang-orang yang membersihkan dan mensucikan hatinya dari segala kekotoran, dan berjanji akan tetap setia kepada Tuhan, sebab mereka tidak akan disia-siakan. Tidak mungkin Tuhan akan membiarkan mereka kehinaan sedangkan mereka ini kepunyaan Tuhan, dan Tuhan pula adalah kepunyaan mereka. Mereka akan diselamatkan dari setiap musibat dan bencana. Sungguh bodoh musuh yang hendak berbuat aniaya terhadap mereka, sedangkan mereka berada di pangkuan Tuhan dan Tuhan pula sentiasa menolong mereka. Siapakah yang beriman kepada Tuhan? Mereka itu adalah orang-orang yang keadaannya seperti di atas.

Demikian juga adalah bodoh seorang yang biadab, yang berbuat dosa, berfitrat buruk dan sentiasa berfikir hendak mendatangkan keburukan kepada orang lain sebab dia akan dibinasakan. Semenjak Tuhan menciptakan langit dan bumi, belum pernah terjadi Dia membinasakan serta memusnahkan orang-orang soleh, malah Dia memperlihatkan pekerjaan-pekerjaan yang agung kepada mereka, dan sekarang pun demikian juga yang terjadi.

Tuhan itu adalah Tuhan Yang Maha Setia, dan Dia menzahirkan pekerjaan-pekerjaan luar biasa. Dunia setiap saat mahu menelan mereka, dan setiap musuh merasa geram terhadap mereka, tetapi Dia yang menjadi kawan mereka pasti akan menyelamatkan mereka dari setiap bahaya dan mengurniakan mereka kemenangan dalam setiap lapangan. Betapa beruntungnya orang yang tidak meninggalkan Tuhan yang seperti itu. Kita beriman kepada-Nya, dan kita telah mengenal-Nya.”

(Kisyti Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 19,20)

Daras Rohani Khazain Nombor 8


Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam bersabda:-

Jangan merasa cukup dengan berkata “kami secara zahirnya telah bai’at”. Bai’at secara zahir itu belum memberi erti apa-apa. Tuhan melihat kepada hati kamu dan Dia akan menuntut kamu sesuai dengan keadaan hati kamu. Perhatikanlah, dengan mengatakan hal ini aku menunaikan kewajipan tabligh, bahwa dosa itu merupakan racun, janganlah memakan racun itu. Keingkaran terhadap Tuhan adalah suatu kematian yang kotor, maka hindarilah. Berdoalah agar kamu mendapat kekuatan. Barangsiapa yang ketika berdoa tidak meyakini bahawa Tuhan berkuasa atas segala sesuatu, sebaliknya menganggap Allah hanya sekadar berjanji, ia bukan dari golongan Jemaatku.

Barangsiapa yang tidak meninggalkan dusta dan penipuan, dia bukan dari jemaatku. Barangsiapa yang terjerat dalam ketamakan terhadap dunia dan sama sekali tidak mengarahkan pandangannya ke arah Akhirat, dia bukan dari golongan Jemaatku. Barangsiapa yang tidak bersungguh-sungguh mengutamakan agama di atas dunia, dia bukan dari golongan Jemaatku. Barangsiapa yang benar-benar tidak bertaubat dari setiap keburukan dan dari setiap perbuatan buruk seperti minum minuman keras, berjudi, memandang dengan pandangan berahi, khianat, memberi dan menerima rasuah, dan dari setiap perbuatan yang tidak halal, dia bukan dari golongan Jemaatku.

Barangsiapa yang mendirikan solat lima waktu dengan tidak teratur, dia bukan dari golongan Jemaatku. Barangsiapa yang tidak tetap dalam memanjatkan doa dan tidak mengenang Tuhan dengan kerendahan hati, dia bukan dari golongan Jemaatku. Barangsiapa yang tidak meninggalkan persahabatan buruk yang memberi pengaruh tidak baik kepadanya, dia bukan dari golongan Jemaatku. Barangsiapa yang tidak menghormati ibu bapanya, dan tidak mentaati mereka dalam segala perkara kebaikan yang tidak bertentangan dengan Qur’an Syarif, dan lalai dalam mengkhidmati mereka, dia bukan dari golongan Jemaatku.

(Kisyti Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 12,13)

Daras Rohani Khazain Nombor 7

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam bersabda:-

Jadi, segeralah berdamai antara satu sama lain dan maafkanlah kesalahan-kesalahan saudara kamu, sebab sungguh jahat orang yang tidak suka berdamai dengan saudaranya. Dia akan disingkirkan kerana telah cuba menanam benih perpecahan. Tinggalkanlah segala keinginan untuk mengikuti hawa-nafsu, dan biarkan kemarahan sesama kamu berlalu pergi. Walaupun kamu berada di pihak yang benar, bersikaplah merendahkan diri seolah-olah kamu yang bersalah, supaya kamu diberikan keampunan. Tinggalkanlah segala sesuatu yang boleh meng-gemukkan hawa nafsu kamu, sebab pintu di mana kamu dipersilakan masuk tidak dapat dilalui oleh orang yang gemuk hawa nafsunya. Alangkah malangnya orang yang tidak mempercayai apa yang difirmankan oleh Tuhan, dan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu.

Sekiranya kamu mahu agar Tuhan di langit suka kepada kamu, maka segeralah kamu bersatu-padu laksana saudara sekandung yang lahir dari seorang ibu. Di antara kamu sekalian orang yang mulia adalah orang yang suka mengampuni kesalahan saudaranya, dan orang yang malang pula adalah orang yang keras kepala dan tidak bersedia memaafkan kesalahan orang lain, sebab itu dia bukan dari golonganku. Hendaklah kamu senantiasa takut terhadap laknat Allah sebab Dia itu Qudus dan sangat besar gairah (emosi)-Nya.

Setiap orang yang berkelakuan buruk tidak akan dapat memperoleh qurub (kedekatan) kepada Tuhan, orang yang sombong juga tidak akan mendapat qurub-Nya, orang zalim tidak akan dekat kepada-Nya, orang yang khianat tidak akan dekat kepada-Nya, dan begitu juga orang yang tidak merasa teruja apabila mendengar nama-Nya tidak akan dekat kepada-Nya. Demikian juga halnya orang-orang yang cenderung ke arah dunia dan merasa selesa di atasnya seperti halnya seekor anjing, semut atau burung helang, mereka ini juga tidak akan dapat memperolehi qurub (kedekatan) kepada Allah.

Setiap orang yang tidak bersih matanya akan renggang dengan-Nya, setiap orang yang kotor hatinya tidak akan dapat mengetahui-Nya. Barangsiapa yang sanggup menderita di dalam api untuk-Nya akan diselamatkan dari api. Barangsiapa yang menangis karena-Nya akan tertawa gembira. Barangsiapa yang menyisihkan diri dari urusan-urusan dunia demi untuk-Nya, dia akan bertemu dengan-Nya.

(Kisyti Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 12,13)

Daras Rohani Khazain Nombor 6

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam bersabda:-

“Demikian juga orang yang begitu yakin akan kekuatan yang dia miliki dan tidak cenderung untuk berdoa, itu juga termasuk dalam takbur. Ini kerana dia tidak mengenali sumber segala kekuatan, malah menganggap dirinya ada kelebihan.

Jadi, wahai saudaraku! Ingatlah semua perkara ini, jangan sampai kamu termasuk dalam kategori takbur dari suatu segi apa pun di pandangan Tuhan, dan kamu sendiri tidak menyedarinya.

Orang yang membetulkan kesalahan sebutan seseorang dengan perasaan takbur, dia telah bersikap takbur. Seseorang yang tidak mendengar dengan serius ucapan saudaranya dan memalingkan mukanya, dia juga telah bersikap takbur. Seorang miskin yang duduk berdekatan saudaranya, lalu saudaranya tidak merasa senang, orang itu juga telah bersikap takbur. Orang yang memandang rendah dan mempersendakan saudaranya yang berdoa, dia juga telah bersikap takbur. Orang yang tidak mematuhi bersungguh-sungguh segala perintah utusan Allah, dia juga telah bersikap takbur. Orang yang tidak mendengar dengan serius ucapan para utusan Allah dan tidak membaca tulisan mereka dengan bersungguh-sungguh, dia juga telah bersikap takbur.

Jadi, berusahalah supaya jangan ada satu bahagian pun dari takbur wujud dalam diri kita agar kita tidak terjerumus ke arah kehancuran. Dan juga supaya kaum keluarga kita selamat. Tunduklah kepada Allah dan sekiranya ada sesuatu di dunia ini yang perlu dicintai oleh seorang insan, maka berikanlah kecintaan itu hanya kepada Allah, dan jika di dunia ini ada sesuatu yang perlu ditakuti oleh seorang insan, maka takutlah hanya kepada Allah. Sucikanlah hatimu, bersihkan iradah atau niatmu, jalanilah kehidupan miskin supaya kamu dikasihi.”

(Nuzul Maseeh, Rohani Khazain Jilid 18, halaman 403)

Daras Rohani Khazain Nombor 5

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam menjelaskan:-

Saya menasihatkan anggota jemaatku bahawa jauhilah takbur kerana takbur itu sangat tidak disukai pada pandangan Allah Ta’ala. Tetapi mungkin kamu tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan takbur. Jadi, fahamilah bahawa saya berkata-kata dengan ruh Tuhan.

Setiap orang yang memandang rendah terhadap saudaranya dengan beranggapan bahawa dia lebih berilmu, berkemahiran dan pakar dalam suatu bidang, maka itu adalah orang yang takbur, ini kerana dia tidak menganggap bahawa Allah Ta’ala adalah sumber segala ilmu dan kepandaian, dia meletakkan dirinya pada tempat yang tinggi. Adakah Tuhan tidak berkuasa untuk menjadikannya gila lalu memberikan akal kebijaksanaan kepada orang yang dianggapnya rendah.

Demikian juga orang yang menganggap diri mereka ada harta melimpah ruah dan ada kedudukan pangkat lalu memandang hina saudaranya, itu juga dikatakan sebagai takbur, ini kerana dia terlupa bahawa yang memberikan segala kedudukan pangkat itu adalah Allah Ta’ala, dan dia juga buta kerana tidak tahu Tuhan Maha Berkuasa memusingkan keadaan dalam sekelip mata sahaja, di mana dia menjadi orang yang begitu miskin hina dan saudara yang direndahkan itu diberikan kurnia harta benda oleh Allah.

Begitu juga orang yang bangga diri dengan keadaan tubuh badannya yang sihat, mempunyai kekuatan dan kecantikan. Dan dia memandang saudaranya dengan begitu hina dan memanggil dengan gelaran buruk, menceritakan keaiban tubuh badan saudaranya kepada orang lain, orang seperti itu juga takbur. Dan dia tidak mengetahui bahawa Allah Ta’ala dalam sekelip mata sahaja boleh mendatangkan keaiban pada tubuh badannya dengan keadaan yang lebih teruk dari saudara yang dianggapnya hina. Dan saudaranya itu diberikan berkat oleh Allah dengan kekuatan yang luar biasa. Ini kerana Allah Ta’ala melaksanakan apa yang Dia kehendaki.”

(Nuzul Maseeh, Rohani Khazain Jilid 18, halaman 402)

Daras Rohani Khazain Nombor 4

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam menjelaskan:-

“Takutlah kepada langkah-langkah yang boleh membawa ke arah kehancuran. Takutlah kepada Tuhan dan berjalanlah di atas landasan takwa. Janganlah menyembah makhluk Allah. Hadapkanlah seluruh perhatian kamu kepada Allah supaya perhatian kamu kepada dunia ini menjadi tawar dan berkurangan. Dan jadilah kamu milik-Nya dan jalanilah kehidupan kamu semata-mata untuk Allah, tanamkan kebencian terhadap segala kekotoran dan dosa kerana Dia itu Suci. Setiap kali waktu pagi, hendaknya memberi kesaksian bahawa kamu telah melalui waktu malam dengan penuh ketakwaan, dan setiap waktu petang hendaknya menjadi saksi bahawa kamu telah melalui waktu siang dengan ketakutan di dalam hati terhadap Allah.

Janganlah takut akan laknat dunia, sebab laknat itu lama-kelamaan akan lenyap dengan sendirinya bagaikan asap yang hilang di udara. Ia tidak dapat mengubah siang menjadi malam. Apa yang kamu harus takuti ialah laknat Tuhan yang turun dari langit, iaitu laknat yang boleh membinasakan seseorang di dunia dan akhirat.
Kamu tidak dapat menyelamatkan diri kamu dengan sikap menunjuk-nunjuk, sebab Allah iaitu Tuhan kamu dapat melihat sampai ke dasar lubuk hati manusia. Adakah kamu dapat menipu Tuhan? Justeru itu, luruskanlah hati kamu, bersihkanlah serta sucikanlah batin kamu dan berdirilah di atasnya dengan seteguh-teguhnya.”

(Bahtera Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 12)

Thursday, July 30, 2015

Daras Rohani Khazain Nombor 3

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam menjelaskan:-

Memperlihatkan tanda-tanda rahmat adalah adat kebiasaan Tuhan semenjak zaman dahulu lagi. Tetapi kamu boleh mengambil bahagian dalam kebiasaan ini hanya apabila tidak ada suatu sebab yang memisahkan kamu dari-Nya, dan apabila kesukaan kamu menjadi kesukaan-Nya, dan kehendak kamu menjadi kehendak-Nya, dan kegembiraan kamu setiap masa, dan dalam setiap keadaan sama ada berhasil atau gagal, kamu tetap setia di istana-Nya sehingga apa yang Dia inginkan, kamu melakukannya dan menyerah kepada segala kehendak-Nya.

Jika kamu berbuat sedemikian, maka di dalam diri kamu akan kelihatan Wujud Tuhan yang sudah lama menyembunyikan Wajah-Nya. Apakah ada di antara kamu sekalian yang mengamalkan ajaran ini? Yang hanya mencari keredhaan-Nya? Dan yang tidak marah atas qadha’ dan qadar-Nya?

Jadi, apabila kamu menghadapi suatu musibah, maka kamu harus melangkah terus ke hadapan kerana itu adalah sarana keberhasilan bagi kamu, dan kamu hendaklah berusaha dengan sepenuh kekuatan kamu untuk menyebarkan ketauhidan-Nya di atas muka bumi, dan kamu hendaklah berbelas-kasihan kepada hamba-hamba Allah, dan janganlah berlaku aniaya terhadap mereka sama ada dengan mulut kamu, atau tangan kamu, atau dengan cara-cara lainnya.

Berusahalah untuk terus mendatangkan kebaikan kepada umat manusia. Janganlah sombong terhadap sesiapa walaupun orang bawahan kamu. Janganlah menghina orang lain walaupun orang itu menghina kamu. Hendaklah kamu bersikap merendah diri, lemah-lembut, baik hati dan bersimpati terhadap sesama makhluk sehingga kamu diterima di sisi Allah.

Banyak orang yang memperlihatkan diri seakan-akan mereka itu mempunyai peribadi yang lemah-lembut, padahal dalam diri mereka sama seperti tabiat serigala. Banyak orang yang secara zahir kelihatan sangat bersih sedangkan dalam hati mereka itu umpama ular berbisa. Jadi, kamu tidak akan diterima di sisi Allah seandainya zahir dan batin kamu tidak sama keadaannya.

Sekiranya kamu orang besar, kasihilah mereka yang kecil, dan jangan menghina mereka. Seandainya kamu terpelajar, berilah nasihat kepada orang-orang bodoh, dan bukannya merendah-rendahkan mereka. Jika kamu seorang yang kaya, khidmatilah orang-orang miskin dan bukannya meninggi diri dan sombong atas mereka.

(Bahtera Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 11-12)


Wednesday, July 29, 2015

Daras Rohani Khazain Nombor 2


Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam bersabda:-

“Jelaslah bahawa melafazkan bai’at hanya melalui lidah sahaja tidak membawa erti apa-apa selagi hati tidak mengakui bersungguh-sungguh untuk beramal dengannya. Jadi, orang yang benar-benar akan beramal atas ajaranku, mereka akan masuk dalam rumahku yang mana Allah Ta’ala telah berjanji kepadaku INNII UHAAFIZU KULLA MANFID DAAR yakni ‘setiap orang yang berada di dalam empat penjuru dinding rumahmu akan Aku selamatkan’. Namun, jangan disalahfahami bahawa mereka itu hanyalah orang-orang yang berada dalam rumahku, yakni yang tinggal di dalam rumahku yang diperbuat daripada tanah dan batu. Malah mereka yang dimaksudkan juga ialah orang-orang yang benar-benar mentaatiku dan tinggal di dalam rumah rohaniku.

Dalam perkara keitaatan, mereka hendaknya sedemikian rupa meyakini bahawa mereka mempunyai satu Tuhan yang Maha Qadir, Qaiyum dan Maha Mencipta segala-galanya, yang sifatnya tidak berubah-ubah. Dia bukan anak kepada sesiapa dan tidak mempunyai anak, Dia benar-benar bebas dari menanggung kesusahan, tidak dinaikkan ke atas Salib dan tidak merasai kematian. Keadaannya seperti ini iaitu walaupun jauh, namun Dia dekat, dan walaupun dekat namun Dia jauh. Walaupun Dia Esa, namun penzahiran-Nya berbagai-bagai.

Bagi manusia, apabila Tuhan muncul di hadapannya dalam bentuk baru yang berbeza maka Ia menjadi satu Tuhan baru baginya, dan Tuhan akan memperlakukannya dalam bentuk yang lain. Dan insan melihat seolah-olah ada perubahan dalam diri Tuhan sedangkan tidak terdapat perubahan apa-apa pada diri Tuhan, malah sejak azali lagi sentiasa kekal seperti itu. Tetapi, semasa perubahan seorang insan, apabila berubah ke arah kebaikan, maka Tuhan pun akan menzahirkan kewujudan-Nya dalam bentuk yang baru. Dan dalam setiap kemajuan yang muncul pada diri seorang insan, maka penzahiran Kudrat Tuhan juga akan muncul seiring dengan kemajuan itu. Dia akan memperlihatkan Kudrat yang luar biasa apabila wujud perubahan luar biasa terjadi. Inilah akar bagi perkara luar biasa dan mukjizat, inilah Tuhan yang menjadi syarat dalam silsilah kita. Berimanlah kepada-Nya dan berilah keutamaan terhadap-Nya mengatasi diri kamu, kesenangan kamu dan yang lain-lain. Dan secara amalan, perlihatkan kebenaran dan kesetiaan dengan penuh keberanian pada jalan-Nya. Orang dunia tidak memberi keutamaan kepada-Nya berbanding sarana dan kerabatnya, tetapi kamu harus memberi keutamaan kepada-Nya supaya kamu ditulis dalam jemaat-Nya di atas langit.”

(Bahtera Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 10-11)

Ringkasan Khutbah 17 Julai 2015


Huzur menilawatkan Surah Al-Jum’ah ayat 10-11 bersama terjemahan.

10. Hai orang-orang yang beriman! Apabila dipanggil untuk solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah untuk mengingat Allah dan tinggalkan jual beli. Hal demikian adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

11. Dan, apabila telah diselesaikan solat, maka bertebaranlah kamu di bumi dan carilah kurnia Allah, dan ingatlah kepada Allah sebanyak-banyaknya, supaya kamu mendapat kebahagiaan.

Bulan Ramadhan telah sampai ke penghujungnya. Ramai di antara kita yang telah mengambil manfaat daripadanya. Ada juga orang yang mendapat pengalaman baru. Jadi, apa yang perlu dilakukan selanjutnya ialah segala kurnia, berkat rohani dan pengalaman ini haruslah menjadi bahagian dalam kehidupan harian kita. Jumaat ini adalah Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan. Ada orang yang memberi perhatian terhadap Jumaat terakhir ini dengan menganggap bahawa ini adalah Jum’atul Wida (Jumaat Perpisahan). Orang yang mendirikan Jumaat pada hari ini, anggapan mereka ialah kelemahan mereka yang dahulu akan dijauhkan dan hak ibadat sepanjang tahun akan dapat disempurnakan.

Orang yang seperti itu hendaklah ingat bahawa orang yang bergabung mendirikan solat Jumaat terakhir ini tidak menjanjikan bahawa kita telah menunaikan hak kehidupan kita. Menunaikan solat Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan bukanlah sarana keselamatan bagi kita dan tidak ada dasarnya. Tetapi, sekiranya meletakkan dalam hati tekad yang bulat bahawa saya menunaikan solat Jumaat ini sebagai satu sarana untuk saya memperbaiki kelemahan-kelemahan dan akan berusaha menunaikan solat Jumaat secara teratur pada masa-masa akan datang, maka hari Jumaat berkenaan memberi berkat dan kepentingan, malah disebabkan perubahan suci itu dan iradah yang kuat untuk berubah dalam hatinya, maka hari atau saat itu menjadi Lailatul Qadar baginya.

Dalam ayat permulaan itu, ia menyatakan bahawa apabila kamu dipanggil untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka tinggalkan jual beli dan datanglah menunaikan solat. Setelah menunaikan solat, maka kembalilah bertebaran di muka bumi dan carilah kurnia Allah Ta’ala. Di sini Allah Ta’ala menyeru untuk datang menunaikan solat Jumaat dan meninggalkan urusan dunia dengan meletakkan ketakwaan dalam hati. Ia bukan hanya menyeru untuk menunaikan solat Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan, tetapi keseluruhan solat Jumaat sepanjang tahun. Syarat keimanan yang perlu ialah menunaikan solat Jumaat setiap minggu.

Jangan lewat datang menunaikan solat Jumaat. Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda bahawa orang yang datang awal akan mendapat ganjaran. Tanpa uzur yang syar’i (dibolehkan) meninggalkan solat Jumaat kerana malas adalah dosa. Setiap mukmin wajib menunaikan solat Jumaat kecuali hamba, wanita, anak-anak dan orang sakit. Dan orang yang berhalangan diberi kelonggaran.

Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda bahawa solat lima waktu, Jumaat dengan Jumaat akan datang, dan Ramadhan dengan Ramadhan akan datang, waktu perantaraannya akan menjadi kaffarah bagi dosa-dosanya selagi insan meninggalkan dosa-dosa yang berat. Sekiranya ada orang menahan hak saudaranya, maka solatnya akan menjadi punca kehancuran baginya.

Hendaknya Jumaat kita yang akan datang menjadi saksi kepada kita bahawa kita menjalani kehidupan harian kita dengan penuh rasa takut kepada Allah Ta’ala, dan tidak ada satu amalan pun dilakukan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah Ta’ala.

Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda bahawa hari yang paling mulia ialah hari Jumaat, oleh itu banyakkan bersalawat kepadaku, salawat pada hari itu akan dipersembahkan di hadapanku.

Dengan menunaikan solat Jumaat juga akan memberikan kemajuan kepada kahidupan. Lakukan urusan pekerjaan dan carilah kurnia Allah Ta’ala, sesungguhnya berkat akan diberikan atas pekerjaan itu. Jika kamu keluarkan sedikit masa kamu untuk Allah Ta’ala, maka Dia jugalah yang akan menyempurnakan segala kerugian yang kamu alami. Dengan kata lain seorang mukmin yang mendapat kemudahan dalam urusan duniawi adalah berkat kurnia Allah Ta’ala.

Jadi, dalam melaksanakan urusan duniawi, jangan lupakan Allah Ta’ala, malah basahkan lidah kamu dengan zikir Ilahi. Jika hari ini kita anggap ia sebagai Jumaat yang penting, maka tanamkan dalam hati bahawa Jumaat yang akan datang juga adalah penting, dan segala kelemahan itu, kita hendaklah berjanji untuk menjauhkannya.

Jika ada fikiran seperti ini, maka kita akan tergolong dalam kelompok orang yang berusaha untuk menjauhi kelemahan, kekurangan, dosa-dosa dan datang ke pangkuan Allah Ta’ala. Kebaikan-kebaikan dalam Ramadhan yang telah kita buat, kekalkan. Jadi, kita hendaklah membuat renungan, adakah kita telah mendapat tingkat ketakwaan atau tidak? Adakah kita telah menuju kemajuan atau tidak?

Bacalah berulangkali akan Al-Quran dan catatlah amalan-amalan yang buruk, dan mintalah pertolongan daripada Allah Ta’ala untuk berhasil menjauhinya. Inilah langkah awal menuju ketakwaan dan takwa diperolehi melalui kebaikan-kebaikan. Agama itu ialah meninggalkan secara keseluruhan semua keburukan dan dengan penuh keikhlasan melakukan kebaikan-kebaikan.

Semoga Ramadhan dan Jumaat ini memberi kita palajaran agar cenderung memperhatikan ibadat kita masing-masing dan berusaha meningkat dalam ketakwaan.



Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...