Thursday, July 30, 2015

Daras Rohani Khazain Nombor 3

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam menjelaskan:-

Memperlihatkan tanda-tanda rahmat adalah adat kebiasaan Tuhan semenjak zaman dahulu lagi. Tetapi kamu boleh mengambil bahagian dalam kebiasaan ini hanya apabila tidak ada suatu sebab yang memisahkan kamu dari-Nya, dan apabila kesukaan kamu menjadi kesukaan-Nya, dan kehendak kamu menjadi kehendak-Nya, dan kegembiraan kamu setiap masa, dan dalam setiap keadaan sama ada berhasil atau gagal, kamu tetap setia di istana-Nya sehingga apa yang Dia inginkan, kamu melakukannya dan menyerah kepada segala kehendak-Nya.

Jika kamu berbuat sedemikian, maka di dalam diri kamu akan kelihatan Wujud Tuhan yang sudah lama menyembunyikan Wajah-Nya. Apakah ada di antara kamu sekalian yang mengamalkan ajaran ini? Yang hanya mencari keredhaan-Nya? Dan yang tidak marah atas qadha’ dan qadar-Nya?

Jadi, apabila kamu menghadapi suatu musibah, maka kamu harus melangkah terus ke hadapan kerana itu adalah sarana keberhasilan bagi kamu, dan kamu hendaklah berusaha dengan sepenuh kekuatan kamu untuk menyebarkan ketauhidan-Nya di atas muka bumi, dan kamu hendaklah berbelas-kasihan kepada hamba-hamba Allah, dan janganlah berlaku aniaya terhadap mereka sama ada dengan mulut kamu, atau tangan kamu, atau dengan cara-cara lainnya.

Berusahalah untuk terus mendatangkan kebaikan kepada umat manusia. Janganlah sombong terhadap sesiapa walaupun orang bawahan kamu. Janganlah menghina orang lain walaupun orang itu menghina kamu. Hendaklah kamu bersikap merendah diri, lemah-lembut, baik hati dan bersimpati terhadap sesama makhluk sehingga kamu diterima di sisi Allah.

Banyak orang yang memperlihatkan diri seakan-akan mereka itu mempunyai peribadi yang lemah-lembut, padahal dalam diri mereka sama seperti tabiat serigala. Banyak orang yang secara zahir kelihatan sangat bersih sedangkan dalam hati mereka itu umpama ular berbisa. Jadi, kamu tidak akan diterima di sisi Allah seandainya zahir dan batin kamu tidak sama keadaannya.

Sekiranya kamu orang besar, kasihilah mereka yang kecil, dan jangan menghina mereka. Seandainya kamu terpelajar, berilah nasihat kepada orang-orang bodoh, dan bukannya merendah-rendahkan mereka. Jika kamu seorang yang kaya, khidmatilah orang-orang miskin dan bukannya meninggi diri dan sombong atas mereka.

(Bahtera Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 11-12)


No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...