Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam bersabda:-
“Jelaslah bahawa melafazkan bai’at hanya melalui lidah sahaja tidak membawa erti apa-apa selagi hati tidak mengakui bersungguh-sungguh untuk beramal dengannya. Jadi, orang yang benar-benar akan beramal atas ajaranku, mereka akan masuk dalam rumahku yang mana Allah Ta’ala telah berjanji kepadaku INNII UHAAFIZU KULLA MANFID DAAR yakni ‘setiap orang yang berada di dalam empat penjuru dinding rumahmu akan Aku selamatkan’. Namun, jangan disalahfahami bahawa mereka itu hanyalah orang-orang yang berada dalam rumahku, yakni yang tinggal di dalam rumahku yang diperbuat daripada tanah dan batu. Malah mereka yang dimaksudkan juga ialah orang-orang yang benar-benar mentaatiku dan tinggal di dalam rumah rohaniku.
Dalam perkara keitaatan, mereka hendaknya sedemikian rupa meyakini bahawa mereka mempunyai satu Tuhan yang Maha Qadir, Qaiyum dan Maha Mencipta segala-galanya, yang sifatnya tidak berubah-ubah. Dia bukan anak kepada sesiapa dan tidak mempunyai anak, Dia benar-benar bebas dari menanggung kesusahan, tidak dinaikkan ke atas Salib dan tidak merasai kematian. Keadaannya seperti ini iaitu walaupun jauh, namun Dia dekat, dan walaupun dekat namun Dia jauh. Walaupun Dia Esa, namun penzahiran-Nya berbagai-bagai.
Bagi manusia, apabila Tuhan muncul di hadapannya dalam bentuk baru yang berbeza maka Ia menjadi satu Tuhan baru baginya, dan Tuhan akan memperlakukannya dalam bentuk yang lain. Dan insan melihat seolah-olah ada perubahan dalam diri Tuhan sedangkan tidak terdapat perubahan apa-apa pada diri Tuhan, malah sejak azali lagi sentiasa kekal seperti itu. Tetapi, semasa perubahan seorang insan, apabila berubah ke arah kebaikan, maka Tuhan pun akan menzahirkan kewujudan-Nya dalam bentuk yang baru. Dan dalam setiap kemajuan yang muncul pada diri seorang insan, maka penzahiran Kudrat Tuhan juga akan muncul seiring dengan kemajuan itu. Dia akan memperlihatkan Kudrat yang luar biasa apabila wujud perubahan luar biasa terjadi. Inilah akar bagi perkara luar biasa dan mukjizat, inilah Tuhan yang menjadi syarat dalam silsilah kita. Berimanlah kepada-Nya dan berilah keutamaan terhadap-Nya mengatasi diri kamu, kesenangan kamu dan yang lain-lain. Dan secara amalan, perlihatkan kebenaran dan kesetiaan dengan penuh keberanian pada jalan-Nya. Orang dunia tidak memberi keutamaan kepada-Nya berbanding sarana dan kerabatnya, tetapi kamu harus memberi keutamaan kepada-Nya supaya kamu ditulis dalam jemaat-Nya di atas langit.”
(Bahtera Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 10-11)
No comments:
Post a Comment