Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam bersabda:-
“Dalam Wujud Tuhan kami, tidak terkira banyaknya keajaiban-keajaiban yang ada, tetapi yang dapat melihatnya hanya mereka yang menjadi milik-Nya dengan benar dan suci. Namun, bagi orang lain yang tidak beriman kepada kudrat-Nya, dan tidak jujur dan setia dalam keimanannya, Dia tidak menzahirkan keajaiban-keajaiban itu.
Sunguh malang sekali insan yang sehingga sekarang tidak mengetahui bahawa dia mempunyai satu Tuhan yang berkuasa atas segala sesuatu! Syurga kita adalah Tuhan kita, kelazatan kita yang paling tinggi terletak dalam diri Tuhan kerana kita telah melihat-Nya, dan segala keindahan terdapat pada Wujud-Nya. Harta ini patut dimiliki walau pun harus dengan mempertaruhkan jiwa, dan permata ini patut dibeli sekali pun harus dengan melenyapkan segala wujud kita.
Wahai orang-orang yang mahrum (luput)! Bergegaslah lari menuju sumber mata air ini supaya kamu dapat minum sepuas-puasnya. Ini adalah sumber mata air kehidupan yang akan menyelamatkan kamu. Apakah gerangan yang harus aku perbuat dan bagaimanakah harus aku sampaikan berita gembira ini ke dalam hati setiap manusia? Dengan gendang apa yang harus aku palu di pasar-pasar yang menyatakan ‘inilah Tuhan kamu’ supaya orang-orang dapat mendengarnya? Dan dengan penawar apa yang harus aku gunakan agar telinga-telinga manusia boleh terbuka untuk mendengar?
Jika kamu benar-benar menjadi kepunyaan Tuhan, maka yakinlah bahwa Tuhan menjadi kepunyaan kamu sendiri. Ketika kamu sedang tidur, Tuhan akan berjaga untuk kamu. Ketika kamu leka terhadap musuh, Tuhan akan memperhatikan mereka dan mematahkan segala rencananya.
Kamu sampai sekarang tidak sepenuhnya mengetahui kudrat-kudrat yang Tuhan miliki. Sekiranya kamu tahu, sudah tentu tidak ada hari berlalu yang menjadikan kamu bersedih hati untuk dunia. Seseorang yang memiliki sejumlah kekayaan, adakah dia akan menangis hanya kerana kehilangan satu sen sehingga meratapinya seolah-olah mengalami satu kerugian yang sangat besar?
Kalau kamu menyedari bahawa Tuhan akan mencukupkan setiap keinginan kamu, mengapakah kamu begitu tenggelam dalam urusan duniawi? Tuhan adalah satu Khazanah yang sangat berharga, oleh sebab itu hargailah kerana Dia adalah Penolong kamu dalam setiap langkah kamu. Hendaklah kamu ingat bahawa kamu itu tidak ada nilai langsung tanpa-Nya, segala sarana dan cara kamu juga tidak bermakna langsung.”
(Kisyti Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 21,22)
No comments:
Post a Comment