Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-
“Ada dua perkara yang perlu bagi seorang insan iaitu menghindari keburukan dan berlari menuju kebaikan. Dan kebaikan ada dua sudut. Pertama ialah meninggalkan keburukan dan yang kedua meningkat dalam kebaikan. Dengan hanya meninggalkan keburukan tidak menjamin seseorang menjadi sempurna selagi tidak ada usaha untuk meningkatkan kebaikan, yakni berusaha memberi kebaikan-kebaikan kepada orang lain. Dengan itu dapat diketahui sejauh mana perubahan yang dibuat, dan tahap ini hanya dapat dicapai sekiranya ada keimanan dan pengetahuan dalam sifat-sifat Allah. Selagi hal ini belum ada, maka insan tidak boleh selamat dari keburukan. Memberikan faedah kepada orang lain satu perkara yang sangat besar.
Kuasa raja dan undang-undang tentera India juga sangat ditakuti. Dan ramai orang yang tidak berani bertindak menentang mereka. Namun, kenapa orang begitu ramai berani melakukan perkara yang bertentangan dengan Ahkamul Hakimin (Hakim yang Paling Agung). Adakah alasan lain selain mengatakan bahawa mereka tidak percaya? Inilah salah satu asasnya.
Justeru itu, perlakuan menjauhi keburukan hanya akan dicapai sekiranya ada keimanan kepada Tuhan, kemudian tingkat yang kedua ialah mencari peraka-perkara yang telah dilakukan oleh hamba-hamba Tuhan yang terpilih. Hanya ada satu jalan yang telah menjadikan orang-orang suci dan terpilih ini mendapat kurnia yang begitu banyak daripada Allah Ta’ala di dunia ini. Untuk mengetahui jalan tersebut ialah insan berusaha menilai apa yang Allah Ta’ala perlakukan terhadap dirinya?
Tingkat pertama ialah meninggalkan keburukan. Ia dapat dilihat melalui penjelmaan sifat Jalali Tuhan iaitu dia menjadi musuh kepada perbuatan buruk. Tingkat yang kedua ialah melalui penjelmaan sifat Jamali Tuhan. Tingkat terakhir ialah selagi tidak mendapatkan kekuatan dari Allah Ta’ala yang dikenali sebagai ruhul qudus menurut istilah Islam, maka tidak ada apa-apa yang berlaku. Ini adalah satu kekuatan yang diperolehi dari Tuhan kerana bersama-sama dengan itu hati mendapat ketenteraman. Dan fitratnya juga melahirkan rasa cinta kepada kebaikan yang dianggap oleh orang lain sebagai sukar dan berat dalam melakukannya. Dia berlari ke arah melakukan kebaikan itu dengan penuh keasyikan dan keseronokan.
Sebagaimana seorang kanak-kanak begitu suka makanan yang manis, demikian juga apabila ada hubungan dengan Allah Ta’ala dan ruh suci turun ke atasnya, maka kebaikan-kebaikan itu akan sama seperti minuman yang sangat lazat dan wangi. Keistimewaan dalam kebaikan-kebaikan itu akan kelihatan padanya dan dengan tidak disangka-sangka dia akan mendapatkannya. Membayangkan keburukan akan membuatkan dirinya menggeletar.
(Malfoozaat Jilid 1, halaman 466, cetakan Rabwah)
No comments:
Post a Comment