Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam bersabda:-
“Wahai sekalian manusia yang dipanggil kepada kebaikan dan kebenaran, peganglah keyakinan itu dengan bersungguh-sungguh, bahawa tarikan terhadap Tuhan akan muncul dalam diri kamu dan kamu akan dibersihkan dari bintik kotoran dosa apabila hati kamu telah dipenuhi dengan keyakinan. Mungkin kamu akan berkata bahawa kamu sudah memiliki keyakinan itu. Jadi, ingatlah bahawa kamu sedang tertipu. Keyakinan sama sekali belum kamu miliki kerana kamu belum memperolehi apa yang sepatutnya. Puncanya ialah kamu tidak menghindarkan diri dari dosa. Kamu juga belum lagi melangkahkan kaki sebagaimana yang seharusnya. Kamu juga tidak takut sebagaimana yang seharusnya.
Cubalah kamu fikirkan sendiri, orang yang merasa yakin bahawa di dalam sebuah lubang tertentu ada seekor ular, beranikah dia memasukkan tangannya ke dalam lubang tersebut? Orang yang merasa yakin bahawa di dalam makanannya terdapat racun, adakah dia berani memakan makanan itu? Demikian juga orang yang melihat dengan matanya sendiri bahawa di dalam sebuah hutan belantara tertentu hidup ratusan singa yang buas, adakah dia berani memasuki hutan itu tanpa berhati-hati?
Justeru itu, bagaimanakah tangan kamu, kaki kamu, telinga kamu dan mata kamu berani melakukan suatu dosa jika kamu mempunyai keyakinan sepenuhnya akan hari pembalasan daripada Tuhan? Dosa tidak akan dapat mengatasi keyakinan. Dan apabila kamu melihat api yang berkobar-kobar sedangkan kamu tahu bahwa api itu dapat menghanguskan dan meleburkan setiap benda menjadi abu, adakah kamu berani memasukkan diri ke dalamnya? Dan tembok keyakinan itu tinggi mencapai langit, syaitan tidak dapat memanjatnya.
Setiap orang yang telah suci, dia suci disebabkan keyakinan. Keyakinan juga memberi kekuatan untuk menanggung kesulitan sehingga memungkinkan seorang raja turun takhta untuk menjalani kehidupan sebagai orang faqir. Keyakinan mempermudahkan segala kesukaran. Keyakinan memungkinkan manusia untuk melihat Tuhan. Segala persoalan mengenai kaffarah (penebusan dosa) adalah palsu dan setiap fidyah (bayaran denda) adalah batil, dan setiap kesucian datang menjelma dari jalan keyakinan.
Satu benda yang dapat melepaskan manusia dari dosa dan menyampaikan manusia kepada Tuhan ialah keyakinan. Dan dalam soal kejujuran dan keteguhan, manusia juga boleh mengatasi kedudukan malaikat melalui keyakinan.”
(Kisyti Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 67)
No comments:
Post a Comment