Sesungguhnya solat boleh
mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. (Al-Ankabut:46)
Rasulullah saw
bersabda: “Dapatkah kamu bayangkan sekiranya di hadapan pintu rumah seseorang ada
sungai mengalir dan dia mandi di dalam sungai itu lima kali sehari, adakah masih
kotoran melekat pada badannya? Para sahabat berkata: Tidak ada lagi kotoranya
ya Rasulullah!. Baginda saw bersabda: Inilah permisalan solat lima waktu. Ia menjadi
sarana dosanya dimaafkan oleh Allah dan kelemahan-kelemahannya dijauhkan.
(Bukhari Kitabul Mawaqiitus Sholaat, Baabus Sholaatul Khams Kaffarah Lil Khata)
Hazrat Maseeh Mau’ud as
berkata:-
Letakkan kecintaan dan keagungan
Allah Ta’ala dalam hati kamu, dan untuk itu tidak ada cara yang lebih baik selain
daripada solat. Ini kerana puasa hanya datang selepas setahun. Zakat hanya untuk
orang-orang yang berharta. Tetapi, setiap orang mampu mendirikan solat lima waktu,
sebab itu jangan sia-siakan. Dirikanlah berkali-kali dan lakukan dengan fikiran
bahawa ‘aku sedang berdiri di hadapan yang Maha Kuasa, jika Dia berkehendak sekarang
juga akan dikabulkan permintaanku dalam keadaan ini, pada waktu ini malah mungkin
pada saat ini’. Ini kerana hakim dunia yang lain memerlukan khazanah, mereka akan
berfikir jangan sampai khazanah ini akan habis. Tetapi, khazanah Tuhan itu sentiasa
penuh. Untuk berdiri di hadapannya hanya keyakinan yang diperlukan. Keyakinan ini
hendaklah ditanamkan bahawa ‘saya sedang berdiri di hadapan yang Maha Mendengar,
yang Maha Tahu, yang Maha Kuasa, jika dia berkehendak, pasti sekarang pun akan diberikan’.
Berdoalah dengan penuh kerendahan hati, jangan pernah putus harapan atau berburuk
sangka. Jika keadaan seperti ini ada, maka pemandangan itu akan segera kelihatan.
Dan kurnia-kurnia Allah Ta’ala yang lain juga akan turut sama, malah Tuhan pun
akan dia dapatkan.
Berkata lagi:-
Kelazatan dan kegembiraan
di dalam solat akan muncul hasil hubungan di antara Ubudiyat (perhambaan) dan Rububiyat
(Ketuhanan). Selagi kamu tidak meletakkan dalam diri kamu perasaan ini bahawa kamu
tidak ada nilai apa-apa yang merupakan tuntutan daripada Rububiyat, maka kurnia
dan berkat tidak akan turun ke atas kamu. Tetapi, jika hal itu ada, maka kelazatan
yang luar biasa akan dapat diperolehi, tidak ada yang lebih berharga daripada keadaan
seperti itu. Dalam keadaan ini jika ruh seorang insan sudah hancur, maka rahmat
dari Allah Ta’ala akan mengalir laksana air, dan hubungan dengan selain Allah
akan terputus dan kecintaan Allah Ta’ala akan terpancar padanya. Dalam hubungan
ini, disebabkan dua semangat sedang bersatu iaitu dari atas semangat Rububiyat dan
dari bawah semangat Ubudiyat, maka akan muncul satu kaifiyat (keadaan) yang
sangat luar biasa. Namanya adalah solat. Jadi, solat inilah yang akan memadamkan
keburukan-keburukan dan akan menempatkan cahaya dan sinaran. Ia akan memberi faedah
kepadanya ketika dalam musibat dan akan memberikan amaran berbahaya supaya dia lebih
berhati-hati. Inilah keadaan yang dikatakan dalam ayat INNAS SHOLAATA TANHA ANIL FAHSYAA’I WAL MUNGKAR, ini kerana ia bukan
di tangan tetapi di dalam hatinya ada pelita. Dan itu boleh diperolehi melalui perbuatan
merendahkan diri, menganggap dirinya hina dan tidak ada nilai apa-apa disertai dengan
ketaatan yang sempurna. Selepas itu, bagaimana mungkin fikiran untuk berbuat dosa
boleh muncul kembali, dan keingkaran tidak akan lahir dalam hatinya.
Pandangannya pun tidak adalagi ke arah kekejian, ringkasnya, inilah kelazatan dan
kegembiraan yang diperolehinya, aku tidak faham bagaimana lagi aku jelaskan.
Hazrat Khalifatul Maseeh
Sani berkata:-
Solat boleh menghindarkan
seseorang daripada melakukan perbuatn keji dan mungkar.…… ini kerana di dalam solat,
Allah Ta’ala telah meletakkan hikmah yang tersembunyi khas kepada orang yang
mendirikannya dengan penuh perhatian dengan menyempurnakan syarat-syaratnya. Dalam
diri orang berkenaan akan muncul perubahan mendadak dan tidak memerlukan masa
yang lama, dia akan segera mengetahui tentang keburukan-keburukan, dan kejahatan-kejahatan
yang tidak kelihatan akan dia ketahui, dan juga dia akan diberitahu tentang dosa-dosa
tersembunyi yang tidak diketahui oleh orang lain, dan malaikat sentiasa memberikan
amaran kepadanya tentang dosa-dosa. Dan dia diberikan kekuatan untuk memerangi syaitan
kerana orang yang solat itu bertasbih dan bertahmid kepada Allah. Dan Allah
Ta’ala tidak menahan ihsan orang malah sentiasa memberikan ganjaran di atas segala
amalan hamba-hamba-Nya.
Hazrat Khalifatul
Maseeh Rabi berkata:-
Sesungguhnya dalam
kebaikan-kebaikan itu ada keistimewaannya iaitu menjauhkan keburukan-keburukan.
Hasil daripada solat, selain daripada hubungan dengan Allah dan manfaat untuk
akhirat, seorang insan juga akan mendapat manfaat yang baik di dunia ini,
antaranya akan muncul kebaikan dalam masyarakat dan kejahatan dengan sendirinya
akan hilang. Dan ini sudah ditentukan, tidak akan terdapat perubahan dalam
perkara ini iaitu kebaikan-kebaikan akan melenyapkan keburukan-keburukan.
Hazrat Khalifatul Maseeh
Al-Khamis atba berkata:-
“Apabila Hazrat Maseeh Mau’ud
as berkata bahawa berusahalah untuk membuat perubahan dalam diri, maka yang
pertama sekali ialah beliau sangat menegaskan supaya beri perhatian terhadap solat
sehingga berkata mintalah doa dalam solat. Ini kerana apabila insan dengan penuh
keikhlasan tunduk di hadapan Allah, maka sebagai pengabulan atas keinginan-keinginan
baik Allah Ta’ala melahirkan perubahan dalam diri mereka. Insan akan terhindar dari
perbuatan sia-sia dan buruk. Dia akan cenderung ke arah kebaikan-kebaikan.
Sebab itu di dalam Al-Quran Allah Ta’ala berfirman INNAS SHOLAATA TANHA ANIL FAHSYAA’I WAL MUNGKAR (Al-Ankabut:46)
yakni solat boleh mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Inilah pengumuman
daripada Allah Ta’ala bahawa solat boleh mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. … sebab itu apabila Allah Ta’ala mengatakan bahawa
solat boleh mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar, pertama sekali dikatakan
AQIMIS SHOLAT, iaitu dirikan solat dengan
penuh perhatian. Apabila solat didirikan dengan syarat-syaratnya maka sudah pasti
akan terhalang daripada perbuatan keji dan mungkar. Ada banyak syarat-syarat solat.
Berwuduk, bersih, untuk lelaki harus datang solat di masjid, dan berdiri di
hadapan Allah dengan penuh perhatian. Pernah sekali Rasulullah saw menyeru satu
perkara yang sangat penting iaitu apabila kamu berdiri untuk mengerjakan solat,
maka anggaplah kamu sedang melihat Tuhan, atau sekurang-kurangnya anggaplah
‘Tuhan sedang melihat aku. Tuhan sedang melihat aku sehingga ke dasar fikiran dan
hati. Apa sahaja yang belum lagi terlintas di fikiran aku, Allah Ta’ala sudah mengetahuinya’.
Tuhan kita adalah Tuhan yang tidak boleh ditipu. Tuhan itu tahu solat mana yang
benar-benar untuk Allah dan solat mana yang dilakukan untuk membuat perubahan dalam
diri. Dan juga Allah tahu solat mana yang dibuat hanya untuk menunjuk-nunjuk. Jadi,
solat didirikan semata-mata kerana Allah Ta’ala, solat itulah yang akan diterima.
Solat itulah yang akan membersihkan hati kita. Solat itulah yang akan menghindarkan
kita dari keburukan. Jadi, setiap Ahmadi hendaklah berusaha mencari solat yang
seperti itu. … Jadi, ingatlah sentiasa bahawa kita yang telah mendakwakan diri beriman
kepada imam zaman dan mengaku lebih baik daripada orang lain, tidak cukup hanya
dengan pengakuan sahaja. Kita harus melahirkan revolusi dalam diri kita. Kita
harus mendirikan solat yang boleh menjauhkan diri kita daripada segala
perbuatan yang dilarang. Kita harus mendirikan solat yang boleh mengarahkan
kita ke arah melakukan kebaikan-kebaikan. Jika solat yang kita dirikan itu
tidak membawa apa-apa revolusi dalam diri, maka itu satu kerisauan yang sangat
besar. Jadi, tanggungjawab seorang Ahmadi Muslim yang beriman ialah pertama
sekali menjaga solat. Jadikan solat sebagai tangga untuk membuat perubahan
akhlak, ataupun anggaplah akhlak yang tinggi sebagai ukuran bahawa solat kita
diterima oleh Allah. Jika akhlak kita tidak ada peningkatan, jika kita belum
lagi berusaha menghindari keburukan pada zaman ini, maknanya kita tidak
berjihad, kita tidak memelihara solat kita. Jadi, setiap Ahmadi hendaklah
sentiasa ingat jihad untuk melahirkan perubahan yang suci, langkah pertama
sekali ialah beribadat kepada Allah dan mendirikan solat. Beri perhatian
terhadap doa dan zikir Ilahi. Kemudian, sesuai dengan kemampuan berikanlah
sedekah dan infaq.
No comments:
Post a Comment