Saturday, November 7, 2020

Tafsir Surah an-Naas (No. 05)

Enam ribu tahun dahulu Hazrat Adam telah dapat digelincirkan oleh syaitan. Dan pada waktu itu syaitan telah berhasil dalam melakukan tipu dayanya sehingga Adam pun dapat dikalahkan. Tetapi, keinginan Allah Ta’ala ialah dalam bahagian akhir hari yang keenam, Dia kemudian melahirkan Adam, yakni bahagian akhir ribuan yang keenam. Sebagaimana sebelumnya dia diciptakan pada hari keenam untuk menghadapi nahasy, namun kali ini Adam akan unggul dan nahasy akan kalah. Jadi, Tuhan telah menciptakan hamba yang lemah ini sama seperti Adam dan hamba yang lemah ini juga disebut dengan panggilan Adam. 

Dalam Barahin Ahmadiyah terdapat ilham ilham arattu an astakhlifa fakholaqtu aadama. Dan juga ilham ini kholaqa aadama fa akramahuu, dan juga yaa aadamuskun anta wa zaujukal jannata,  berkenaan dengan Adam di dalam Taurat bab awal ada tertulis ‘lalu Tuhan berfirman bahawa Kami akan menjadikan manusia dalam bentuk yang sama seperti Kami’.

Cuba perhatikan di dalam Taurat bab awal ayat 26, kemudian kitab Danial bab 12 ada tertulis, dan pada waktu akan bangkit Mikail (yang maksudnya ‘sama seperti Tuhan’) seorang pemimpin besar yang akan menolong anak-anak kepada kaum engkau. Maksudnya di sini Maseeh Mau’ud akan muncul pada akhir zaman). Jadi, Mikail yang bermaksud ‘sama seperti Tuhan’ sebenarnya, di dalam Taurat disebut dengan nama Adam, dan di dalam hadis nabi juga mengisyaratkan kepada perkara ini iaitu Adam akan dilahirkan dalam bentuknya.

Jadi, kita dapat mengetahui daripadanya bahawa Maseeh Mau’ud akan muncul dalam bentuk Adam, sebab itu ribuan yang keenam ini telah dikhususkan kerana sebagai ganti hari yang keenam, yakni sebagaimana Adam lahir pada bahagian akhir hari keenam, demikian juga pada bahagian akhir ribuan yang keenam, Maseeh Mau’ud telah ditakdirkan untuk lahir. Dan sebagaimana Adam telah diuji dengan nahasy yakni dalam bahasa Arab disebut khannas yang nama lainnya adalah dajjal, demikian juga pada Adam yang akhir ini nahasy diciptakan sekali lagi supaya janji hidup kekal dapat diberikan kepada wanita kembali lagi sebagaimana yang telah diberikan oleh ular kepada Hawa, namanya di dalam Taurat ialah nahasy dan di dalam Quran disebut khannas, tetapi untuk kali ini telah ditentukan bahawa Adam akan unggul di atas nahasy.  

Kesimpulannya, di penghujung tahun yang keenam ribu sekarang ini sekali lagi pertembungan di antara Adam dan nahasy, dan nahasy tidak lagi mempunyai kekuatan mematuk seperti dahulu sebagaimana yang ia pernah lakukan terhadap Hawa dan kemudiannya Adam pun mendapat tempias racun ular tersebut. Malah satu waktu akan tiba di mana anak-anak pun akan bermain-main dengan ular tersebut dan malangnya ular itu tidak lagi berbisa seperti dahulu.

Di dalam al-Quran, ini satu isyarat yang sangat halus di mana Allah Ta’ala mengakhiri surah Fatihah dengan lafaz dhallin dan al-Quran diakhiri dengan lafaz khannas. Sehingga insan yang bijak akan memahami bahawa dalam hakikat dan bentuk rohani, nama ini adalah sama sahaja. (Tohfa Goleria, Rohani Khazain Jilid 17, nota kaki halaman 272-275)

>>bersambung<<

(Tafsir Hazrat Maseeh Mau’udas, halaman 428)


Friday, November 6, 2020

Tafsir Surah An-Naas (No. 04)

Apabila insan tidak berkata secara amanah maka waktu itu dia di bawah hukum syaitan, seolah-olah dia sendiri seperti itu. Ayat MINAL JINNATI WANNAAS memberikan kesaksiannya. (Tohfa Ghaznawiyah, Rohani Khazain Jilid 15, halaman 561)

Katakanlah bahawa kamu mintalah doa sebegini, “kami mohon perlindungan Tuhan iaitu Tuhan yang merupakan Penjaga manusia, Raja manusia dan Tuhan manusia, dari syaitan yang meletakkan rasa was-was di dalam hati manusia, yang hendak memesongkan manusia dari agama, yang kadang-kadang secara sendiri dan kadang-kadang menyerupai manusia”. Semua ini mengisyaratkan bahawa satu zaman akan tiba di mana pada masa itu tidak ada lagi perikemanusiaan yang merupakan akar perlindungan, tidak ada lagi keadilan yang sebenar yang merupakan syarat kepada raja, dan pada zaman itu hanya Tuhan sahaja yang boleh menjauhkan segala musibat. Semua kalimat ini memberi isyarat ke arah akhir zaman di mana keamanan dan kejujuran sudah hilang dari dunia. (Tohfa Goleria, Rohani Khazain, Jilid 17, halaman 221-222)

Dia yang merupakan Penjaga manusia, Raja manusia dan Tuhan manusia, aku memohon perlindungan dari khannas yang menyebarkan rasa was-was. Khannas yang meletakkan rasa was-was di dalam hati manusia terdiri dari jin dan manusia. Dalam ayat ini mengisyaratkan bahawa zaman khannas menyebarkan rasa was-was ini ialah ketika Islam tidak ada murabbi dan wakil Tuhan di muka bumi, dan tidak ada juga raja yang prihatin terhadap Islam. Waktu itu orang Islam dalam setiap kesempatan, hanya Tuhan sahaja yang dapat memberikan perlindungan, Dia jugalah Murabbi dan Raja.

Sekarang jelas bahawa khannas adalah salah satu nama daripada syaitan, yakni apabila syaitan menyerupai seekor ular, dia tidak melakukan kerjanya dengan keras dan kasar melainkan secara halus, membuat rencana penipuan dan meletakkan rasa was-was, dan patukannya begitu halus dan tersembunyi, inilah sebabnya dikatakan khannas. Dalam bahasa Ibrani disebut nahasy.

Sebab itu dipermulaan Taurat tertulis nahasy telah memesongkan Hawa, dan disebabkan terpesong maka Hawa telah makan buah yang sudah dilarang memakannya. Kemudian Adam juga memakan buah tersebut. Dari surah an-Naas ini jelas bahawa nahasy inilah yang akan muncul kembali pada akhir zaman, dan nama lain daripada nahasy ini ialah dajjal. (Tohfa Goleria, Rohani Khazain Jilid 17, nota kaki halaman 272-275)

>>bersambung<<

(Tafsir Hazrat Maseeh Mau’udas, halaman 428)


Thursday, November 5, 2020

Tafsir Surah An-Naas (No. 03)

Dalam surah ini pertama sekali Allah Ta’ala mengemukakan ROBBIN NAAS, kemudian MAALIKIN NAAS, dan akhir sekali ILAAHIN NAAS, semuanya merujuk kepada insan. ILAH dikatakan sebagai ma’bud, maqsud dan matlub, sebab itu makna daripada LAA ILAAHA ILLALLAAH ialah LAA MA’BUUDALII WALAA MAQSUUDALII WALAA MATLUUBALII ILLALLAAH dan inilah tauhid yang sebenar bahawa setiap yang layak dipuji hanyalah Allah Ta’ala. Kemudian dikatakan MIN SYARRIL WAS WAASIL KHONNAAS yakni mintalah pertolongan dari kejahatan khannas yang mendatangkan keraguan. Khannas dalam bahasa Arab ialah ular dan dalam bahasa Ibrani disebut nakhasy kerana ia juga telah membuat kejahatan sebelumnya. Di sini tidak disebut iblis atau syaitan supaya insan dapat mengingati permulaan mereka diuji, bagaimana syaitan telah menipu kedua nenek moyang, waktu itu nama yang disebut ialah khannas. Urutan ini diletakkan oleh Allah supaya insan dapat menyedari kejadian pertama, tentang bagaimana syaitan telah menggoda manusia agar berpaling dari mentaati Allah Ta’ala, demikian juga jangan sampai mereka digoda untuk berpaling dari mentaati pemerintah semasa. Dengan itu, insan setiap waktu akan membuat muhasabah diri tentang iradah dan rencananya, bahawa sejauh mana ketaatan kepada pemerintahnya, dan pada masa yang sama berusaha serta berdoa kepada Allah agar dengan apa cara sekalipun syaitan tidak termasuk di dalam pemikirannya.

Jadi, perintah keitaatan dalam surah ini adalah keitaatan kepada Allah kerana asal keitaatan adalah kepada Allah. Tetapi, perintah untuk itaat kepada ibu bapa, mursyid, dan raja semasa adalah datang dari Allah Ta’ala. Dan faedah daripada keitaatan ialah kita akan terhindar dari pengaruh khannas. Sebab itu mintalah perlindungan supaya sentiasa terhindar dari kejahatan was-was yang dimasukkan oleh syaitan, kerana seorang mukmin itu tidak akan terperangkap dalam satu lubang yang sama. Jika sudah ditimpa suatu musibah dari suatu jalan, jangan lagi tersandung pada jalan itu untuk kali kedua.

Jadi, dalam surah ini jelas bahawa harus itaat kepada raja semasa. Di dalam khannas itu telah diletakkan ciri khas sebagaimana ciri khas yang diletakkan di dalam pokok, air dan api. Semua ini adalah rahsia-rahsia Allah Ta’ala di mana pada tahap ini penyelidikan insan akan terhenti. Ringkasnya setiap benda itu datangnya dari Allah Ta’ala sama ada ia terpisah-pisah atau bergabung. Sedangkan Dia menghantar raja-raja yang telah menjauhkan segala musibah kita sehingga membuat satu perubahan dimana Dia mengeluarkan kita dari tempat yang panas membara ke dalam sebuah kebun yang dipenuhi pohon-pohon yang menggembirakan, dari setiap arah sungai mengalir, dan hembusan udara yang sangat nyaman. Jadi, adalah sangat tidak bersyukur apabila ada insan yang melupakan kebaikan-kebaikan yang telah diberikan kepada mereka. (Rowaidad Jalsa Dua, Rohani Khazain Jilid 15, halaman 618-619)

>>bersambung<<

(Tafsir Hazrat Maseeh Mau’udas, halaman 427-428)

Wednesday, November 4, 2020

Tafsir Surah An-Naas (No. 02)

Untuk menyempurnakan akhlak fadilah, Allah Ta’ala mengisyaratkan kepada ibu bapa dan mursyid di dalam perkataan ROBBIN NAAS supaya dalam menyatakan rasa syukur, manusia akan terdorong untuk mensyukuri Rabb dan Pemberi Hidayat yang hakiki. Inilah kunci dalam menyelesaikan perkara ini iaitu surah yang suci ini dimulakan dengan ROBBIN NAAS. Ia tidak dimulakan dengan ayat ILAAHIN NAAS. Oleh kerana sesuai dengan kehendak Allah Ta’ala mursyid rohani memberikan tarbiyat berdasarkan taufik dan hidayat-Nya, sebab itu ia termasuk di dalamnya. Kemudian ayat berikutnya MAALIKIN NAAS yakni mintalah pertolongan dari Allah yang merupakan Raja kamu. Ini juga merupakan satu lagi isyarat supaya manusia di dunia ini diajar tentang tamadun. Allah Ta’ala adalah Raja yang hakiki, tetapi di dalamnya ada isyarat bahawa raja secara bayangan juga ada dan di sinilah mengajarkan tentang pemerintah manusian yang perlu dipatuhi. Di sini tidak khusus memberitahu tentang pemerintah orang kafir, musyrik dan mereka yang berpegang pada ajaran Tauhid, ia tidak terikat malah secara umum tanpa mengira ajaran agamanya. Di sini urusan agama atau akidah adalah terpisah. Di dalam al-Quran, di mana pun ia menyentuh tentang sifat Allah sebagai Muhsin, di situ ia tidak meletakkan syarat sama ada ia Muslim, orang yang memegang ajaran Tauhid atau mana-mana pegangan agama. Tidak kira seseorang itu dari mazhab mana, apabila Allah Ta’ala menyentuh sifat Mushin, pada masa yang sama juga menekankan agar manusia juga turut berbuat ihsan sebagaimana ayat HAL JAZAA’UL IHSAANA ILLAL IHSAAN (ar-Rahman:61), adakah amalan ihsan boleh dibalas dengan ganjaran selain ihsan. (Rowaidad Jalsa Dua, Rohani Khazain Jilid 15, halaman 603-604)

>>bersambung<<

(Tafsir Hazrat Maseeh Mau’udas, halaman 426-427)


Tuesday, November 3, 2020

Tafsir Surah An-Naas (No. 01)

Dajjal bukanlah satu wujud manusia, jika tidak maka lafaz an-naas tidak berkaitan dengannya. Dan tidak diragui lagi bahawa lafaz an-naas itu hanya merujuk kepada kumpulan. Jadi, orang yang berada di bawah pengaruh was-was syaitan, mereka itu dinamakan dajjal. Demikian juga yang dimaksudkan dalam tertib al-Quran yang bermula dari ayat ALHAMDULILLAAHI ROBBIL ‘AALAMIN dan diakhiri dengan ayat ALLAZII YUWASWISU FII SHUDUURINNAAS, MINAL JINNATI WANNAAS. Jadi, lafaz an-naas di sini juga adalah dajjal. Kesimpulan dari surah ini ialah kita hendaklah memohon perlindungan kepada Allah agar terhindar dari fitnah dajjal. Sebelum surah ini ada surah al-Ikhlas yang menentang asas ajaran Kristian. Kemudian surah al-Falaq yang menyentuh tentang zaman gelap dan rencana wanita-wanita. Kemudian diteruskan dengan memohon perlindungan dari kelompok yang berada di bawah bayang-bayang syaitan. Dengan tertib ini, kita dapat ketahui bahawa inilah kelompok itu yang dikatakan dalam istilah lain sebagai syaitan. Dan pada peringkat akhir dalam menyentuh kelompok ini, ia mengisyaratkan bahawa pada akhir zaman nanti kelompok ini akan berhasil berdasarkan ayat NAFFAASAATI FIL UQOD, yakni usaha wanita-wanita Kristian yang pergi ke rumah-rumah akan menjadikan wanita-wanita bercerai dengan suami mereka. Hendaklah ingat dengan sebaik-baiknya bahawa tiga surah al-Quran ini memberikan khabar berkenaan dengan zaman dajjal, dan perintah untuk kita ialah memohon perlindungan daripada Allah agar terhindar dari kejahatan mereka. Inilah perkara yang diisyaratkan di sini bahawa kejahatan itu hanya boleh dijauhkan melalui cahaya dan berkat dari langit. (Aiyame Sulh, Ruhani Khazain Jilid 14, halaman 296-297).

Di sini juga Allah Ta’ala menyentuh tentang Wujud hakiki yang berhak dipuji dengan wujud sementara yang juga layak dipuji. Sebabnya ialah tuntutan kesempurnaan akhlak fadilah. Justeru itu, di dalam surah ini ada tiga jenis hak yang dijelaskan. Pertama sekali ialah kamu mohon perlindungan Allah yang sempurna dalam sifat-sifat, dan Rabb sekalian manusia, juga Raja serta sembahan yang hakiki. Jadi, surah ini menekankan tentang tauhid yang sebenar, dan seiring dengan itu juga diisyaratkan bahawa jangan mensia-siakan hak orang lain. Dalam lafaz Rabb, ia mengisyaratkan bahawa walaupun secara hakiki Tuhan itulah yang Maha Memelihara dan Maha Menyempurnakan, namun yang sifatnya sementara dan secara bayangan ada dua wujud yang menampakkan penzahiran Rububiyat. Satu secara jasmani dan secara rohani. Secara jasmani ialah ibu bapa dan secara rohani ialah mursyid atau pembimbing. (Rowaidad Jalsa Dua, Ruhani Khazain Jilid 15, halaman 602,603)

>>bersambung<<

(Tafsir Hazrat Maseeh Mau’udas, halaman 425-426)

Monday, November 2, 2020

Berusaha Menjadi Muttaqi

Apabila Allah Ta’ala berfirman “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah”, ini menunjukkan bahawa orang yang dikatakan mukmin harus tahu Allah Ta’ala tidak mahu keimanan yang dicampuri kekotoran dan kemunafikan. Allah Ta’ala itu Maha Suci. Sebab itu, kita hendaklah memahami dengan benar bahawa perintah untuk bertakwa di sini bukanlah bererti ketakwaan yang dilabelkan oleh orang lain dalam majlis-majlis atau perhimpunan. Tetapi, ia menuntut asas ketakwaan yang sebenar.

Beberapa perkara yang perlu diambil perhatian:- 

Dalam apa sahaja amalan yang kita lakukan, setiap gerakan yang kita buat, duduk, berdiri, berjalan, dalam permusuhan, dalam berkasih sayang, ringkasnya dalam apa keadaan sekalipun, dalam minda kita harus diletakkan fikiran bahawa kita tidak tahu bila saat kematian itu tiba? Dan apabila saat itu sampai, maka tidak seorang pun yang dapat memberikan pertolongan sama ada ibu, bapa, adik beradik, sahabat handai, kaum keluarga termasuklah harta benda dan sebagainya. Maknanya, kita akan mendapat imbalan hasil amalan yang kita lakukan di dunia ini.

Sebagai kita lihat seorang petani akan mendapatkan hasil dari apa yang dia tanam di muka bumi, maka begitulah perumpamaannya apabila kita berada di hadapan Allah Ta’ala nanti, kita akan diberikan atas apa yang telah kita usahakan di dunia. Satu perkara yang harus sentiasa ada dalam minda kita ialah MAUT itu perkara yang pasti terjadi.

Untuk seorang muttaqi juga adalah perlu keimanan yang benar, dan akidah yang betul, kemudian amalan juga harus baik. Iman itu suci, Tuhan yang Maha Quddus menginginkan kesucian. Insan yang kotor tidak mungkin dapat mendekatkan diri kepada Tuhan yang Suci. Dari segi fitrat sahaja, seseorang yang suci sudah tentu tidak mahu berhubungan dengan orang yang cara hidupnya begitu kotor. Jadi, jika hendak menjalinkan hubungan dengan Tuhan yang Suci, perhatikanlah keadaan diri sendiri. Sebagaimana Tuhan melihat hamba-hamba-Nya dengan penuh kasih sayang, demikian juga kita hendaklah memperlakukan setiap insan dengan cara sedemikian rupa.

Jangan pernah kita menjadi orang yang melupakan Allah Ta’ala. Kesusahan itu memang menimpa manusia. Banyak keinginan-keinginan kita yang tidak dapat dipenuhi. Namun, jangan berusaha mendapatkan kejayaan dengan cara yang salah. Kita juga memerlukan makanan, kita juga punya kawan dan juga punya musuh. Tetapi, bagi seorang yang muttaqi, semua itu tidak merosakkan hubungannya dengan Allah. Kadang-kadang kita ada kawan yang boleh memberi pertolongan ketika susah, kadang-kadang kita yakin atas kuasa seorang hakim yang membela kita, kadang-kadang kita ada ahli keluarga yang dapat meringankan beban ketika menghadapi suatu kesulitan dan sebagainya. Namun, jangan kita lupa bahawa jika Allah berkehendak, dalam masa sekelip mata sahaja kawan kita, hakim dan ahli keluarga kita tadi boleh menjauhkan diri dari kita. Sebab itu, jangan pernah melupakan Allah Ta’ala. 

Ingatlah, orang yang menjauhkan diri daripada Allah Ta’ala, mereka tidak akan terpelihara, mereka tidak akan merasa tenang, malah dari setiap arah kegagalan akan muncul. Mungkin juga kegagalan kita adalah disebabkan perbuatan sahabat kita sendiri. Orang yang jauh dari Allah Ta’ala adalah mereka yang fasik dan jahat. Tidak ada keikhlasan dan keimanan dalam diri mereka, malah iman mereka itu masih sangat mentah. Tambahan lagi mereka tidak ada kasih sayang terhadap makhluk Allah yang lain.

Tidak pernah terjadi orang yang dekat kepada Allah akan mengalami kehinaan. Malah di dunia ini, di dalam kubur, di padang mahsyar dan di dalam syurga, mereka sentiasa mendapat ketenangan yang hakiki. Kehidupan mereka tidak sama dengan orang yang terbakar dalam api kerana mereka adalah orang muttaqi. Mereka inilah yang akan mendapat kejayaan. 

Akhir sekali, keimanan yang hakiki ialah keimanan ke atas nama-nama Ilahi. Allah Ta’ala tidak akan menggabungkan orang-orang muttaqi bersama dengan mereka yang kotor. Oleh itu, berusahalah mencapai tingkat keimanan yang hakiki, berimanlah kepada malaikat dan kitab Allah. Tunjukkan kesetiaan kepada Allah. Tetap teguh dalam keadaan senang atau susah. Juga beriman ke atas hari pembalasan. Teguhkan ibadat solat dan bayarlah zakat. Inilah antara ciri-ciri muttaqi

Berdoalah semoga Allah Ta’ala menjadikan kita semua muttaqi. 

(Sumber: Khutbah Nuruddin, 27-01-1899)

Sunday, November 1, 2020

Nikmat Tuhan Kamu Yang Manakah Kamu Dustakan?

Dalam surah ar-Rahman ayat 14, ayat FABI AIYI ALAA’I ROBBIKUMAA TUKAZZIBAAN yakni nikmat Tuhan kamu yang manakah kamu dustakan, ayat ini diulang-ulang. Kenapa demikian? Menjawab persoalan itu Hazrat Maseeh Mau’udas bersabda:-

“Hal yang seperti ini di dalam kalam Allah Ta’ala mempunyai keagungan yang tersendiri. Terbukti dari dalam fitrat seorang insan bahawa kalam yang sesuai akan cepat diingati. Sebab itu dikatakan WALAQOD YASSARNAL QUR’AANA LIZ ZIKRI (al-Qamar:23) yakni dan sesungguhnya kami telah mempermudahkan al-Quran untuk mengingatinya.

Tujuan ayat FABI AIYI ALAA’I ROBBIKUMAA TUKAZZIBAAN diulang-ulang adalah untuk menegaskan sesuatu. Tetapi tidak perlu mempertikaikan perkara ini. Di dalam al-Quran ada ayat lain yang juga diulang. Aku juga menyukai amalan mengulangi kata-kata. Dalam tulisanku juga kalau ada yang memperhatikannya, mereka akan mendapati banyak kata-kata yang diulang-ulang. Orang yang tidak mengetahui hakikat sebenar akan membuat kesimpulan bahawa ia satu kelemahan atau mengatakan penulis sudah terlupa, sedangkan bukan disebabkan itu. Aku beranggapan, mungkin pembaca sudah lupa apa yang tertulis sebelumnya, sebab itu berkali-kali aku ingatkan supaya di tempat yang lain mata mereka akan terbuka. Itu sebenarnya bergantung kepada niat. INNAMAL A’MAALU BIN NIYYAT sesungguhnya amalan itu bergantung kepada niat.

Selain itu, mengkritik ayat berulang-ulang ini sebenarnya tidak ada manfaatnya. Ini juga merupakan fitrat semulajadi manusia bahawa benda yang tidak diulang-ulang, mereka akan lupa. SUBHAANA ROBBIYAL AZIIM dan SUBHAANA ROBBIYAL A’LAA juga kenapa diucapkan berulang-ulang? Kenapa tidak cukup hanya sekali? Sebabnya ialah ada rahsia di dalamnya bahawa dengan berulang-ulang diucapkan maka akan memberikan kesan mendalam, dan sedalam mana pun sikap lalai yang ada, dengan berulangkali dikatakan akan memberikan kesedaran kepadanya. Sebab itu Allah Ta’ala berfirman WAZKURUL LAAHA KASIIRAN LA’ALLAKUM TUFLIHUUN (al-Jumu’ah:11) yakni ingatlah kepada Allah dengan banyak supaya kamu mendapat kejayaan. Berhubungan dengan minda seseorang, dengan banyaknya diulang-ulang suatu perkataan akan menjadikannya ingat di dalam hafalannya. Demikian juga berkaitan dengan kerohanian, di situ juga memerlukan perkara berulang-ulang. ……..

Hazrat Imam Jaafarra mengatakan bahawa ‘saya mengulang-ulangi satu ayat dengan begitu banyak sekali sehingga akhirnya menjadi wahyu’. Orang Sufi juga cenderung ke arah ini dan maksud ayat WAZKURUL LAAHA KASIIRAN ialah ingatlah Allah dengan sebegitu banyak sehinggakan nama Allah Ta’ala menjadi keasyikan. Cara para nabi berkata-kata pun sedemikian rupa iaitu satu perkara diulang-ulang dengan pelbagai cara penyampaian. Tujuannya adalah supaya manusia mendapat manfaat. Aku sendiri melihat dan orang yang membaca kitab tulisanku juga tahu bahawa kalau empat halaman membaca kitabku, mereka akan mendapati suatu perkara diulang sehingga lima puluh kali dan tujuanku ialah dengan anggapan bahawa halaman sebelumnya mungkin pembaca kurang ambil perhatian atau hanya membaca seimbas lalu.

Jadi, inilah hikmah pengulangan di dalam al-Quran. Itu hanyalah ucapan kosong orang-orang bodoh yang menyatakan bahawa pengulangan ayat-ayat menunjukkan ketidaklancaran, biarkanlah mereka perkatakan. Maksud al-Quran adalah untuk mengubati orang sakit, maka sudah tentu pesakit akan diberikan ubat yang berulang-ulang. Kalau kaedah ini tidak betul, apabila seseorang pesakit datang kepada pengkritik seperti itu, maka kenapa mereka memberikan ubat yang sama berkali-kali? Kenapa dalam soal makanan, pakaian dan sebagainya mereka ambil yang berulang-ulang? Beberapa hari lepas, aku telah membaca dalam surat khabar di mana ada seorang Inggeris yang membunuh diri hanya disebabkan tidak bertahan apabila ditetapkan siang malam diberikan makanan dan lain-lain yang sama.

(Al-Hakam, jilid 9, nombor 40, tarikh 17 November 1905, halaman 9)

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...