Wednesday, November 11, 2020

Tafsir Surah An-Naas (No. 09-akhir)

Perkara yang perlu direnungkan sedalam-dalamnya ialah Al-Quran di permulaan lagi telah menjelaskan tentang Kristian iaitu walad dhoolliin di penghujung surah Fatihah. Kemudian Al-Quran pula diakhiri dengan surah qul huwallaah hingga qul a’uzu birabbin naas. Di pertengahan Quran pun ada ayat yang menyentuh mereka iaitu takaadus samaawaatu yatafattarna minhu. Berkenaan dajjal juga ada disentuh di mana-mana yang telah tertanam di dalam hati manusia. Hadis pula menyatakan bahawa untuk menghindari dajjal hendaklah merenungkan permulaan surah Al-Kahfi, hadis juga ada menyentuh tentang keretapi. Ringkasnya bahawa di mana pun kita renungkan, ia memberikan pemikiran di dalam minda kita, dajjal adalah merujuk kepada kaum Kristian (nasara). (Alhakam Jilid 6, Nombor 39, Tarikh 31 Oktober 1902, halaman 3)

Apabila keluar dari jagaan seorang ibu, maka seorang insan memerlukan penjaga yang lain. Dia akan menjadikan sesiapa sahaja sebagai penjaganya yang kadang-kadang penjaga yang diambil itu adalah lemah. Dan apa sahaja yang diperlukan olehnya, dia berusaha agar orang lain tidak mengetahuinya. Tetapi orang yang jauh terpisah dari mereka ini dan mengamalkan ciri ketakwaan dan islah yang hakiki, maka Tuhan akan menjadi penjaga kepadanya dan segala keperluan dan keinginannya akan dipenuhi oleh Allah Ta’ala. Dia tidak perlu lagi berpura-pura. Segala kurnia yang diberikan atasnya, orang lain akan kehairanan. Apabila tiba masanya di mana Allah Ta’ala menjadi penjaga kepadanya, yakni sebelum Allah Ta’ala menjadi penjaga sebenar kepadanya, dia telah melalui kehidupan dari pelbagai penjaga. Sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam surah An-Naas.

Pertama sekali seseorang insan memerlukan jagaan daripada ibu bapa, kemudian apabila sudah besar, maka dia akan memerlukan jagaan daripada pemerintah dan penguasa. Apabila semakin maju ke hadapan dan mula menyedari kelemahan atau kesilapan, yakni dia sudah mula merasa bahawa wujud yang dia anggap sebagai penjaga sebenar rupanya ada kelemahan masing-masing, di mana apa yang dia perlukan sebenarnya tidak dapat dipenuhi. Akhirnya dia akan rujuk kepada Allah, dan jika dia tetap dalam langkahnya maka Allah Ta’ala akan menjadi penjaganya.

Pada waktu itulah dia merasa tenang dan merasa ada keajaiban dalam kehidupan baru yang dia lalui. Khususnya apabila Allah Ta’ala menyatakan kepadanya bahawa “Aku akan menjadi penjaga engkau”, pada waktu itu ketenangan dan kegembiraan yang dia rasakan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Keadaan ini benar-benar suci dari segala kesulitan dan ketidaktenteraman. (Al-Badar Jilid 3, Nombor 25, Tarikh 01 Julai 1904, halaman 4)

(Tafsir Hazrat Maseeh Mau’udas, halaman 431-432)

Tuesday, November 10, 2020

Tafsir Surah An-Naas (No. 08)

Di dalam surah Tabbat ia mengisyaratkan kepada fitnah ghairil maghdhuubi ‘alaihim dan untuk menghadapi walad dhoolliin, di penghujung Al-Quran ada surah Ikhlas disusuli dengan surah Al-Falaq dan surah An-Naas. Kedua-duanya ada tafsiran. Dalam kedua-dua surah ini perlindungan dipohon dari zaman yang penuh gelap gelita, pada masa yang sama Maseeh Mau’ud difatwakan kafir sehingga lahir fitnah maghdhuubi alaihim, lalu kesesatan dan kegelapan Kristian akan mula meliputi dunia.

Jadi, sebagaimana dalam surah Fatihah di permulaan Al-Quran, di dalamnya mengajarkan doa agar terhindar dari dua musibat ini. Demikian juga di penghujung Quran juga diajarkan doa agar terhindar dari dua fitnah ini supaya hal ini jelas terbukti bahawa bahagian awal dan bahagian akhir ada hubungkaitnya. (Al-Hakam Jilid 6, nombor 8, tarikh 28 Februari 1902, halaman 4,5)

Dalam surah terakhir ada diajarkan doa agar terhindar dari was-was syaitan, sebagaimana dalam surah Fatihah diakhiri dengan lafaz dhoolliin, demikian juga surah terakhir ini diakhiri dengan lafaz khannas supaya dapat diketahui hubungan antara dhoolliin dan khannas. Dan semasa kehidupan Adam, khannas yang disebut nahasy dalam bahasa Ibrani datang untuk berperang dengan mereka, waktu ini Maseeh Mau’ud sebagai permisalan Adam juga akan didatangi oleh nahasy dalam pakaian lain, dan sebab itulah Kristian dan Muslim sepakat bahawa pada akhir zaman nanti Adam dan syaitan akan berperang secara dahsyat yang mana syaitan akan dapat dikalahkan. Dengan melihat semua keseluruhan perkara ini, seorang Mukmin akan merasa takut dan tertanya-tanya adakah ini perkara yang saya lakukan sehingga dikumpulkan oleh Tuhan?

Sungguh menakjubkan bagaimana ia boleh dikumpulkan oleh Tuhan dalam satu lingkungan? Permulaan Alquran diakhiri dengan walad dhoolliin dalam surah Fatihah dan kemudian penghujung Quran dimuatkan dengan tiga surah yang ada hubungannya dengan kejadian daripada surah Fatihah. Di sini pula meletakkan permisalan Maseeh dan Adam, lalu menjadikan aku sebagai Maseeh Mau’ud, dan pada masa yang sama meletakkan namaku sebagai Adam. Ini bukan perkara kecil, ini adalah urusan intelektual di mana ia tidak dapat dinafikan kerana Tuhan sendiri yang telah meletakkan asasnya. (Alhakam Jilid 6, Nombor 8, Tarikh 28 Februari 1902, halaman 5)

>>bersambung<<

(Tafsir Hazrat Maseeh Mau’udas, halaman 431-432)

Monday, November 9, 2020

Tafsir Surah an-Naas (No. 07)

Jin ini menyerang dengan senyap-senyap dan dia membuat permusuhan dalam bentuk kasih sayang. Kasih sayang itulah yang dibuat oleh nahasy ketika menyerang Hawa. Akibat daripada kasih sayang seperti itu adalah sama seperti yang sebelumnya telah berlaku. Inilah yang menyebabkan Adam mendapat musibat. Waktu itu ia berkelakuan laksana pemberi nasihat yang lebih layak berbanding Allah Ta’ala.

Demikian juga kali ini, janji hidup kekal itu jugalah yang akan dipersembahkan sama seperti syaitan lakukan sebelumnya. Sebab itulah permulaan dan penghujung al-Quran atas perkara yang sama. Rahsia di sebaliknya ialah supaya dapat memberitahu bahawa ada satu Adam di penghujung zaman nanti. Permulaan Quran iaitu surah Fatihah diakhiri dengan walad dhoolliin. Semua mufassir sepakat bahawa maksud dholliin di sini merujuk kepada golongan Kristian. Kemudian penghujung al-Quran ialah qul a’uuzu birabbin naas, malikin naas, ilaahin naas, min syarril waswasil khonnaas, allazi yuwas wisu fii suduurinn naas, minal jinnati wan naas.

Sebelum surah ini, terdapat ayat qul huwal laahu yang menyentuh tentang ketauhidan Allah seolah-oleh menolak ajaran Trinity. Selepas itu dengan penjelasan surah an-Naas menzahirkan bahawa ia merujuk kepada golongan Kristian. Wasiyat terakhir yang diseru ialah hindari sentiasa serangan syaitan. Syaitan ini ialah nahasy dan sekarang ini disebut khannas, yang perlu dihindari. Dan apa yang dikatakan bahawa datanglah ke bawah perlindungan Rabb, dari situ kita dapat mengetahui bahawa ini bukan urusan jasmani tetapi rohani.

Jika makrifat dan hakikat tentang Allah kita kuat, maka kita akan sentiasa terselamat. Dalam akhir zaman ini, perang antara syaitan dan Adam juga merupakan perang terakhir. Tuhan dan malaikat akan bersama-sama dengan Adam dalam memerangi syaitan. Allah Ta’ala akan turun bersama-sama dengan segala sarana peperangan bagi menghancurkannya dan Maseeh Tuhan akan berhadapan dengannya. Lafaz Maseeh ini bermaksud khalifah dalam bahasa Arab dan juga Ibrani. Di dalam hadis tertulis lafaz Maseeh dan di dalam Quran ialah khalifah. Kesimpulannya, telah ditentukan bahawa dalam perang terakhir ini, khatamul khulafa yang muncul pada akhir ribuan yang keenam, akan mendapat kemenangan. (Al-Hakam Jilid 6, nombor 25, tarikh 17 July 1902, halaman 6)

>>bersambung<<

(Tafsir Hazrat Maseeh Mau’udas, halaman 431-432)

Sunday, November 8, 2020

Hukum Membaca Al-Quran Dalam Keadaan Haid

IRSYAD AL-FATWA KE-18: HUKUM MEMBACA DAN MENGULANG HAFAZAN AL-QURAN DALAM KEADAAN HAID

Pada awal tahun ini, sesi persekolahan baru bermula. Ramai dalam kalangan anak kita yang memasuki sekolah berasrama penuh dan yang berkonsepkan hafazan al-Qur’an seperti SEMESTA, IMTIYAZ, MRSM Ulul Albab dan juga tahfiz persendirian. Persoalannya, boleh ke anak-anak perempuan yang dalam keadaan uzur atau haid menghafaz al-Qur’an?

Jawapan

Alhamdulillah, pertamanya saya ucapkan tahniah kepada para ibubapa kerana mengambil prihatin dan tanggungjawab dalam memastikan pendapat yang dipilih tidak bercanggah dengan syariat Islam. Begitu juga atas kejayaan anak-anak yang telah melayakkan diri memasuki sekolah berasrama penuh dan sekolah-sekolah yang lain.

Dalam masalah ini, terdapat dua pandangan.

Pertama : Haram. Inilah pendapat jumhur Fuqaha’. Mereka melarang wanita membaca al-Qur’an ketika dalam keadaan haid dan sedang berjunub berdasarkan kepada hadis daripada Ibn Umar RA

لاَ تَقْرَأ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ

“Tidak  dibolehkan wanita  dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada al-Qur’an.”

Riwayat al-Tirmizi (131)

Hadith ini dhaif di sisi sebahagian ahli ilmu kerana sebahagian riwayatnya Ismail bin Ayyash dari golongan Hijjaz dan riwayatnya daripada mereka adalah dhaif.

Kedua : Harus. Inilah pendapat ulama’ Malikiyyah mengikut riwayat yang sahih iaitu dibolehkan untuk memegang al-Qur’an bagi wanita yang haid dan dibolehkan juga untuk membacanya dengan tujuan mengajar dan belajar.

Kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja dan bukannya yang sedang berjunub. Ini kerana, hari-hari kedatangan haid itu berlangsung dalam tempoh yang lama. Maka, jika mereka dilarang membaca al-Qur’an, dibimbangi hafazan al-Qur’an mereka akan terluput. Sedangkan, berzikir kepada Allah SWT adalah dibolehkan kepada wanita-wanita yang sedang dalam haid.

Ianya juga memberi kemudahan kepada madrasah Tahfiz al-Qur’an untuk meneruskan pengajarannya sehingga para huffaz tidak melupai hafazannya disebabkan terhenti bacaan kerana haid.

Inilah juga pendapat tokoh ulama’ silam seperti Imam al-Bukhari, Imam Ibn Jarir al-Tabari, Ibn al-Munzir, al-Zahiryyah, al-Syaukani, al-San’ani, al-Sya’bi, pendapat Imam al-Syafi’i dalam qaul qadim yang telah dinukilkan oleh Abu Thaur. Antara ulama’ masa kini yang berpegang dengan keharusannya adalah Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaymeen, Syeikh al-Azhar Ali Tantawi. (Lihat Tawdhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, Syeikh Abdullah al-Bassam, 1/461)

Antara Kenyataan Mereka

  • Syeikh al-Dasuqi al-Maliki berkata : “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Qur’an dalam keadaan adanya darah sekalipun telah berlaku janabah sebelum itu.” (Lihat Hasyiyah ala al-Syarh al-Kabir al-Dardir, 1/284)
  • Syeikh Salih Abd al-Sami’ al-Abi berkata : “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Qur’an tanpa menyentuh Qur’an.” (Lihat Jawahir al-Iklil, 1/32)
  • Al-Mardawi al-Hanbali berkata : “Ditegah wanta haid daripada membaca al-Quran secara mutlak dan inilah yang sahih dalam mazhab Hanbali tetapi ada pendapat menyatakan tidak ditegah. Inilah yang dipilih oleh Syeikh Taqiyuddin Ibn Taimiyyah” (Lihat al-Insaf 1/347)
  • Ibn Hajar menukilkan daripada Ibn Rushd dan Ibn Battal bahawa dikehendaki Imam al-Bukhari yang berdalilkan keharusan membaca al-Quran bagi haid dan junub sedangkan tidak sah dari sisi musannif sesuatu pun hadis tentang itu (Lihat Fath al-Bari 1/486)
  • Malah, dalam masalah wanita yang sedang dalam nifas juga, dibolehkan untuk membaca al-Qur’an sebagaimana fatwa Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah : “Membaca al-Qur’an bagi wanita nifas dibolehkan jika dia khuatir akan boleh lupa bacaan al-Qur’an dengan sebab lamanya tempoh masa nifas tersebut. Tetapi, jika dia yakin bahawa dia tidak melupakan bacaan al-Qur’an tersebut, maka tidak perlu dia membacanya.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, Syeikh Ibn Taimiyyah, 1/636)

Tarjih

Kesimpulannya membaca al-Qur’an dan menghafaznya ketika dalam haid adalah DIBOLEHKAN berdasarkan sebab-sebab yang telah diterangkan. Di sini sekali lagi dinyatakan beberapa pendapat atau athar  dalam menyokong pendapat ini.

  • Direkodkan bahawa Saidatina Aishah membaca a-Quran dalam keadan haid. Inilah yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk 1/357, al-Tabarani dalam Awsat 2/98, Ibn Rajab dalam Fath al-Bari 1/46, Ibn Hazm dalam al-Muhalla 1/78-79.
  • Ini juga pendapat Ibn Abbas, Ibn Musayyib yang menyatakan keharusan membaca al-Quran bagi wanita haid termasuk Muhammad ibn Maslamah.

Saya menegaskan satu pendapat yang cukup baik yang dikemukakan oleh mantan Syeikh al-Azhar, Syeikh Jad al-Haq Ali Jad al-Haq melalui bukunya Buhuthun wa al-FatawaBeliau menyatakan keharusan pelajar wanita yang dalam keadaan haid untuk menghafaz al-Qur’an dan membacanya ketika haid atas faktor peperiksaan atau ujian. Ini disebabkan kerana waktu tersebut adalah terhad dan terbatas. Justeru, kaedah darurat atau masyaqqah amat sesuai digunakan.

Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa hukum wanita haid adalah sama dengan wanita nifas dalam bab membaca al-Qur’an yang mana wanita tersebut boleh memegang dan membaca al-Qur’an sekiranya wanita tersebut adalah guru atau murid. (Lihat Hasyiyah al-Dusuqi, 1/175)

Saya cadangkan juga pelajar dalam haid beralih kepada mendengar al-Qur’an melalui CD atau Youtube yang memungkinkan seseorang itu mengingati dan mengulang hafazan al-Qur’an.

Akhukum fillah

Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2057-18

Tafsir Surah an-Naas (No. 06)

Terdapat empat surah di dalam al-Quran yang sangat kerap dibaca. Di dalamnya ada menyentuh tentang Maseeh Mau’ud dan jamaatnya. Pertama ialah surah Fatihah, ia dibaca dalam setiap rakaat solat. Di situ ada bukti dakwaan kita. Kedua ialah surah Jum’ah yang di dalamnya ada ayat  wa aakhariina minhum, ia berkaitan dengan jamaat Maseeh Mau’ud. Ini dibaca setiap Jumaat. Ketiga ialah surah Kahfi, yang mana untuk membacanya Rasulullahsaw telah memberikan penekanan. Ia menyentuh tentang dajjal dalam 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir. Keempat ialah surah terakhir dalam Quran yang menyentuh tentang dajjal yang disebut khannas, dan di dalam Taurat Ibrani tertulis dajjal yang disebut nahasy. Dan banyak lagi di berbagai tempat di dalam al-Quran yang menyentuh tentangnya. (al-Hakam Jilid 5, nombor 3, tarikh 24 Januari 1901, halaman 11)

Malaikat mengajak dan membantu dalam hal yang baik sebagaimana di dalam ayat Quran  aiyadahum biruuhim minhu manakala syaitan pula akan mengajak ke arah kejahatan sebagaimana di dalam Quran ada lafaz yuwaswisu. Kedua-dua perkara ini tidak boleh dinafikan. Kegelapan dan cahaya akan selalu beriringan. Benda yang tidak wujud tidak boleh dibuktikan tanpa ilmu. Oleh sebab itu orang yang berilmu memiliki ribuan keajaiban-keajaiban. Dalam qul a’uuzu bi rabbin naas, ia menyentuh tentang was-was syaitan sebagaimana apa yang berlaku sekarang ini. Was-was yang besar ialah meletakkan salah faham mengenai ketuhanan, sebagai contoh apabila melihat seseorang yang sangat kaya, maka timbul dalam fikiran bahawa orang ini akan menjadi penjaga. 

Sebab itu diseru agar memohon perlindungan dari rabbun naas yang hakiki, kemudian manusia pula mula menganggap raja-raja dan pemerintah dunia sebagai penguasa yang sebenar ke atas mereka. Lalu dikatakan kepada mereka malikin naas itu adalah Allah sendiri. Kemudian, kesan daripada was-was manusia ialah mereka mula menyamakan makhluk dengan Tuhan sehingga begitu takut sekali. Itulah sebabnya dikatakan di sini ilaahin naas.

Terdapat tiga jenis was-was, untuk menjauhkannya juga ada tiga perancangan. Dan yang memasukkan was-was itu ialah khannas yang mana di dalam Taurat bahasa Ibrani ia disebut nahasy yang telah datang membuat serangan senyap-senyap kepada Hawa. Dari sini kita dapat mengetahui bahawa dajjal tidak akan memberitahu rancangannya malah akan melakukan serangan secara sembunyi-sembunyi supaya tidak ada sesiapa yang tahu. Ini adalah salah jika menyatakan syaitan sendiri yang pergi menemui Hawa, malah sebagaimana sekarang ini dia datang secara senyap-senyap, begitu juga dulu dia datang dengan senyap-senyap. Dia telah memenuhkan buah fikirannya dalam pemikiran seseorang sehingga orang berkenaan menjadi alatnya. Syaitan telah meletakkan perkara ini dalam hati mana-mana penentang agama dan syurga yang pernah didiami oleh Hazrat Adamas adalah di bumi ini juga, namun ada suatu kejahatan yang telah menjadikan rasa was-was dalam hati mereka. (al-Hakam Jilid 5, nombor 12, tarikh 31 Mac 1901, halaman 10)

>>bersambung<<

(Tafsir Hazrat Maseeh Mau’udas, halaman 429-430)


Saturday, November 7, 2020

Tafsir Surah an-Naas (No. 05)

Enam ribu tahun dahulu Hazrat Adam telah dapat digelincirkan oleh syaitan. Dan pada waktu itu syaitan telah berhasil dalam melakukan tipu dayanya sehingga Adam pun dapat dikalahkan. Tetapi, keinginan Allah Ta’ala ialah dalam bahagian akhir hari yang keenam, Dia kemudian melahirkan Adam, yakni bahagian akhir ribuan yang keenam. Sebagaimana sebelumnya dia diciptakan pada hari keenam untuk menghadapi nahasy, namun kali ini Adam akan unggul dan nahasy akan kalah. Jadi, Tuhan telah menciptakan hamba yang lemah ini sama seperti Adam dan hamba yang lemah ini juga disebut dengan panggilan Adam. 

Dalam Barahin Ahmadiyah terdapat ilham ilham arattu an astakhlifa fakholaqtu aadama. Dan juga ilham ini kholaqa aadama fa akramahuu, dan juga yaa aadamuskun anta wa zaujukal jannata,  berkenaan dengan Adam di dalam Taurat bab awal ada tertulis ‘lalu Tuhan berfirman bahawa Kami akan menjadikan manusia dalam bentuk yang sama seperti Kami’.

Cuba perhatikan di dalam Taurat bab awal ayat 26, kemudian kitab Danial bab 12 ada tertulis, dan pada waktu akan bangkit Mikail (yang maksudnya ‘sama seperti Tuhan’) seorang pemimpin besar yang akan menolong anak-anak kepada kaum engkau. Maksudnya di sini Maseeh Mau’ud akan muncul pada akhir zaman). Jadi, Mikail yang bermaksud ‘sama seperti Tuhan’ sebenarnya, di dalam Taurat disebut dengan nama Adam, dan di dalam hadis nabi juga mengisyaratkan kepada perkara ini iaitu Adam akan dilahirkan dalam bentuknya.

Jadi, kita dapat mengetahui daripadanya bahawa Maseeh Mau’ud akan muncul dalam bentuk Adam, sebab itu ribuan yang keenam ini telah dikhususkan kerana sebagai ganti hari yang keenam, yakni sebagaimana Adam lahir pada bahagian akhir hari keenam, demikian juga pada bahagian akhir ribuan yang keenam, Maseeh Mau’ud telah ditakdirkan untuk lahir. Dan sebagaimana Adam telah diuji dengan nahasy yakni dalam bahasa Arab disebut khannas yang nama lainnya adalah dajjal, demikian juga pada Adam yang akhir ini nahasy diciptakan sekali lagi supaya janji hidup kekal dapat diberikan kepada wanita kembali lagi sebagaimana yang telah diberikan oleh ular kepada Hawa, namanya di dalam Taurat ialah nahasy dan di dalam Quran disebut khannas, tetapi untuk kali ini telah ditentukan bahawa Adam akan unggul di atas nahasy.  

Kesimpulannya, di penghujung tahun yang keenam ribu sekarang ini sekali lagi pertembungan di antara Adam dan nahasy, dan nahasy tidak lagi mempunyai kekuatan mematuk seperti dahulu sebagaimana yang ia pernah lakukan terhadap Hawa dan kemudiannya Adam pun mendapat tempias racun ular tersebut. Malah satu waktu akan tiba di mana anak-anak pun akan bermain-main dengan ular tersebut dan malangnya ular itu tidak lagi berbisa seperti dahulu.

Di dalam al-Quran, ini satu isyarat yang sangat halus di mana Allah Ta’ala mengakhiri surah Fatihah dengan lafaz dhallin dan al-Quran diakhiri dengan lafaz khannas. Sehingga insan yang bijak akan memahami bahawa dalam hakikat dan bentuk rohani, nama ini adalah sama sahaja. (Tohfa Goleria, Rohani Khazain Jilid 17, nota kaki halaman 272-275)

>>bersambung<<

(Tafsir Hazrat Maseeh Mau’udas, halaman 428)


Friday, November 6, 2020

Tafsir Surah An-Naas (No. 04)

Apabila insan tidak berkata secara amanah maka waktu itu dia di bawah hukum syaitan, seolah-olah dia sendiri seperti itu. Ayat MINAL JINNATI WANNAAS memberikan kesaksiannya. (Tohfa Ghaznawiyah, Rohani Khazain Jilid 15, halaman 561)

Katakanlah bahawa kamu mintalah doa sebegini, “kami mohon perlindungan Tuhan iaitu Tuhan yang merupakan Penjaga manusia, Raja manusia dan Tuhan manusia, dari syaitan yang meletakkan rasa was-was di dalam hati manusia, yang hendak memesongkan manusia dari agama, yang kadang-kadang secara sendiri dan kadang-kadang menyerupai manusia”. Semua ini mengisyaratkan bahawa satu zaman akan tiba di mana pada masa itu tidak ada lagi perikemanusiaan yang merupakan akar perlindungan, tidak ada lagi keadilan yang sebenar yang merupakan syarat kepada raja, dan pada zaman itu hanya Tuhan sahaja yang boleh menjauhkan segala musibat. Semua kalimat ini memberi isyarat ke arah akhir zaman di mana keamanan dan kejujuran sudah hilang dari dunia. (Tohfa Goleria, Rohani Khazain, Jilid 17, halaman 221-222)

Dia yang merupakan Penjaga manusia, Raja manusia dan Tuhan manusia, aku memohon perlindungan dari khannas yang menyebarkan rasa was-was. Khannas yang meletakkan rasa was-was di dalam hati manusia terdiri dari jin dan manusia. Dalam ayat ini mengisyaratkan bahawa zaman khannas menyebarkan rasa was-was ini ialah ketika Islam tidak ada murabbi dan wakil Tuhan di muka bumi, dan tidak ada juga raja yang prihatin terhadap Islam. Waktu itu orang Islam dalam setiap kesempatan, hanya Tuhan sahaja yang dapat memberikan perlindungan, Dia jugalah Murabbi dan Raja.

Sekarang jelas bahawa khannas adalah salah satu nama daripada syaitan, yakni apabila syaitan menyerupai seekor ular, dia tidak melakukan kerjanya dengan keras dan kasar melainkan secara halus, membuat rencana penipuan dan meletakkan rasa was-was, dan patukannya begitu halus dan tersembunyi, inilah sebabnya dikatakan khannas. Dalam bahasa Ibrani disebut nahasy.

Sebab itu dipermulaan Taurat tertulis nahasy telah memesongkan Hawa, dan disebabkan terpesong maka Hawa telah makan buah yang sudah dilarang memakannya. Kemudian Adam juga memakan buah tersebut. Dari surah an-Naas ini jelas bahawa nahasy inilah yang akan muncul kembali pada akhir zaman, dan nama lain daripada nahasy ini ialah dajjal. (Tohfa Goleria, Rohani Khazain Jilid 17, nota kaki halaman 272-275)

>>bersambung<<

(Tafsir Hazrat Maseeh Mau’udas, halaman 428)


Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...