Tuesday, March 27, 2012

Nasihat Huzur kepada Anak-anak Waqifaate nou Jerman


Nasihat Huzur Kepada Anak-anak Waqfe Nou Wanita di Jerman - 8 Oktober 2011

Huzur berkata:-

Beberapa anak Waqfe Nou minat dalam bidang perubatan. Selepas belajar, kamu akan mempersembahkan diri kepada jemaat. Kemudian, akan dihantar ke Afrika, Rabwah atau Qadian. Adakah kamu sedia? Jangan pula disebabkan takut, kamu tinggalkan bidang perubatan.

Huzur berkata:-

Adakah di antara kamu yang minat bidang pendidikan, Sains, Kewartawanan atau Bahasa? Jadi, apapun bidang yang kamu ambil, yang penting ialah kamu belajar dengan bersungguh-sungguh, selepas tamat, persembahkan diri kepada jemaat.

Huzur berkata:-

Kamu hendaklah sentiasa ingat bahawa harus lebih unggul berbanding yang lain, dan dalam setiap segi kamu harus lebih baik. Perhatikan cara duduk bangun kamu, cara bercakap, peribadi kamu, dan pardah kamu harus sentiasa dijaga. Solat juga hendaklah diperhatikan, tilawat Al-Qur’an juga hendaklah dilakukan, dan jadikanlah diri kamu sebagai contoh kepada anak-anak atau Lajnah yang lain. Mereka yang kurang menjaga pardah, tegur mereka dengan menjadikan diri sebagai teladan.

Huzur berkata:-

Beramallah pada ajaran Al-Qur’an, apa yang Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam ajarkan juga hendaklah kamu lakukan. Jika kamu sudah beriradah bahawa ‘kami hendak membuat perbaikan di persekitaran kami, menjadikan diri kami sebagai contoh’, maka banyak keburukan yang boleh dihindari. Sebab itu, mulai hari ini kamu hendaklah menganggap diri kamu sebagai guru dan tanamkan dalam diri hendak mengubati orang lain.

Huzur berkata:-

Untuk menjadikan diri sebagai seorang contoh, maka ilmu agama juga hendaklah dikuasai, cenderung menunaikan solat, setiap hari menilawatkan Al-Qur’an dan menjaga pardah setiap masa.

Huzur berkata:-

Beri perhatian terhadap berdoa. Melalui doa, semua kesulitan akan dapat diatasi. Ahmadiyah akan kekal. Jemaat Ahmadiyah akan berkembang secara perlahan-lahan dan akan mencapai kemenangan. Para musuh berusaha untuk menghancurkannya, Tuhan memberikan negara yang baru. Ratusan ribu yang bai’at. Kemenangan tidak semestinya kita menguasai pemerintahan dan itu bukan juga keinginan atau tujuan kita.

Huzur berkata:-

Azab boleh dihindari melalui doa-doa Ahmadi. Peperangan besar juga adalah azab, ia boleh dihindari melalui doa dengan disertai syarat bahawa dunia juga harus berusaha menghindari perang tersebut.

Huzur berkata:-

Ulama yang berfitrat jahat hendak menghancurkan orang-orang Ahmadi. Mereka banyak menghamburkan fitnah. Allah Ta’ala boleh sahaja menghancurkan mereka dalam sekelip mata. Mungkin saja dengan kehancuran mereka, orang lain boleh selamat.

Huzur berkata:-

Saya telah belajar tentang pertanian, sebab itu saya telah bekerja sebagai petani. Saya telah melihat bahawa di Ghana, air, tanah dan musim sama dengan di Nigeria, dan jika di Nigeria boleh tumbuh gandum, kenapa di Ghana tidak boleh? Akhirnya saya membawa benih dari Nigeria untuk di tanam di Ghana. Tahun pertama hasilnya sangat baik, tahun kedua juga baik. Saya makan dari tepung gandum di sana. Namun, selepas itu kerajaan tidak meneruskan usaha itu. Tetapi, sudah terbukti bahawa gandum boleh tumbuh di sana.

Huzur berkata:-

Pardah bukan hanya untuk orang Afghan atau orang Iran. Pardah adalah perintah Al-Qur’an dan untuk semua orang Islam. Kita Ahmadi, dan kita telah menerima Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sebagai orang yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Baginda telah memberikan tanda-tanda kedatangan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam yang antaranya ciptaan tunggangan yang baru, sekarang ini unta dan kuda sudah digantikan dengan kereta, kapal, bas dan sebagainya. Kemudian tanda gerhana, dan ia telah terjadi tepat pada waktunya. Jadi, kita hendaklah beramal pada perintah Tuhan. Kalau ada yang mengatakan kepada kamu sebagai Irani atau Afghani, biarkan mereka mengatakannya. Kita mengetahui bahawa Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam datang untuk mengajarkan Islam yang sebenar dan kita berusaha untuk mengamalkan ajaran itu.

Menjawab persoalan mengenai Facebook, Huzur berkata:-

Saya tidak mengatakan bahawa kalau tidak tinggalkan Facebook maka kamu berdosa. Tetapi saya mengatakan bahawa keburukannya lebih banyak daripada kebaikan. Kebelakangan ini, anak-anak lelaki dan wanita yang ada Facebook, mereka sudah menjelajah ke tempat-tempat yang boleh mengundang keburukan. Anak-anak lelaki membuat hubungan, beberapa anak wanita yang terperangkap dengan meletakkan gambar mereka yang tidak berpardah, mereka menghantar gambar-gambar mereka di rumah dan tempat-tempat biasa kepada kawan-kawan. Kemudian, dari Hamburg, ia keluar sehingga New York, Autralia dan sebagainya sehingga bermula lagi hubungan yang baru. Kemudian ada groups dicipta, gambar lelaki dan wanita diolah/dirosakkan sehingga terjadi blackmail (ugutan). Dengan itu muncul banyak keburukan. Sebab itu, adalah lebih baik jangan pergi ke tempat yang merosakkan.

Pekerjaan saya hanyalah memberi nasihat. Al-Qur’an menyatakan ‘beri nasihat’. Mereka yang tidak mahu ikut nasihat, mereka sendiri yang menanggung dosanya.

Jika hendak bertabligh di Facebook, silakan. Di website Alislam ada Facebook, kamu boleh ambil manfaat daripadanya.

Huzur berkata:-

Wanita terlalu cepat diperbodohkan. Jika ada yang memuji kamu, maka kamu akan mengatakan “tidak ada yang lebih baik berbanding anda”. Jika ibu bapa menasihati kamu, maka kamu mengatakan “kami ini orang terpelajar, kamu itu bangkit dari kampung sahaja”.

Huzur berkata:-

Setiap perkara yang baik, darimana pun asalnya, kamu hendaklah ambil. Tidak semua apa yang mereka cipta itu membawa kebaikan.

Huzur berkata:-

Ada yang tidak mendengar cakap, akhirnya mereka menulis surat kepada saya sambil menangis-nangis berkata “kami sudah melakukan kesalahan, kami sudah terperangkap di suatu tempat”.

Huzur berkata:-

Orang yang mencipta Facebook ini, dia sendiri mengatakan bahawa tujuan saya menciptanya adalah supaya keadaan semua orang menjadi terbuka dan dipersembahkan kepada dunia. Adakah wanita Ahmadi hendak diperbuat seperti itu? Mereka yang tidak mahu ikut, jangan ikut.

Soalan mengenai kehidupan di Ghana, Huzur berkata:-

Saya seorang Waqaf Zindegi dan tinggal di sebuah kampung di Ghana selama dua tahun yang semuanya orang Afrika. Tidak ada seorang pun Ahmadi dari kalangan orang Afrika. Kami menjaga seorang anak lelaki Afrika dan memasukkannya ke sekolah. Kehidupan di sana waktu itu banyak kesusahan yang harus dihadapi. Masak makanan sendiri, belajar dari seorang Murabbi Sahib cara memasak roti yang jauhnya 70 batu. Menyimpan makanan tin Sardine. Di sana juga tidak ada elektrik, saya hanya mempunyai lampu yang dipasang hanya pada waktu malam. Tidak ada TV, tidak ada kemudahan. Pada waktu malam, mendengar berita di radio lalu tidur. Berhampiran dengan kami ada Mission Katolik. Di sana ada TV, ada kereta dan sebagainya. Seorang Waqaf Zindegi harus tahu bahawa mereka mesti berkorban.

Huzur berkata:-

Seorang Waqaf Zindegi juga harus bersabar jika kekurangan makanan. Isteri juga harus bersabar. Jika kamu berkahwin dengan seorang Waqaf Zindegi, maka kesusahan dan kesulitan harus dihadapi dengan tenang dan jangan membuat bising. Tuhan tidak akan membiarkan terus berada dalam kesusahan. Jika suatu benda habis, maka Allah Ta’ala akan mengaturkannya.

Huzur berkata:-

Kamu hendaklah berusaha mencari jalan pertablighan dan ciptakan peluang untuk pertablighan. Jika kamu pandai dalam belajar, watak dan akhlak kamu baik, cara pemakaian tudung kamu baik, amalan pardah kamu baik, dan tidak cenderung untuk berkawan, maka anak-anak gadis lain akan tertarik kepada kamu dan akan bertanya ‘siapa kamu?’. Jadi, jelaskan kepada mereka bahawa kamu Ahmadi. Kemudian beritahu bahawa kamu telah menerima Imam Mahdi, dan seterusnya, dengan ini akan membuka jalan tabligh.

Atas soalan umur perkahwinan, Huzur berkata:-

Tidak ada syarat dalam umur perkahwinan. Ketika Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam berkahwin dengan Hazrat Khadijah, maka umurnya 15 tahun lebih tua berbanding Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Kemudian Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam juga telah mengahwini wanita yang 20 tahun lebih muda daripada baginda.

Huzur berkata:-

Sebenarnya umur bukan pengukur. Yang penting ialah pemikiran. Jika seorang di kalangan suami isteri belum dewasa maka akan muncul pertengkaran dan kerosakan. Untuk menyelamatkan keturunan, pengorbanan harus dilakukan.

Huzur berkata:-

Daerah Gilgit banyak didiami oleh golongan Ismaili. Di sana juga mereka membuka sekolah. Di sana lelaki tidak berapa berpelajaran. Di sana wanita lulusan M.A berkahwin dengan lelaki cuma lulusan Matrikulasi. Alasan yang mereka berikan ialah hendak menjaga keturunan Ismaili ini supaya firqah Ismaili tetap terpelihara. Jadi, jika dalam firqah Ismaili ini begitu tinggi pengorbanan mereka sedangkan nama Islam sudah tidak ada dalam kalangan mereka, seharusnya seorang wanita Ahmadi juga harus berkorban demi menyelamatkan keturunan mereka.

Huzur berkata:-

Apabila sudah ada pemikiran dan kesepadanan, maka tidak ada lagi timbul soal perbezaan umur. Apapun, wanita lebih cepat matang.

Huzur berkata:-

Pada hujung minggu, belajarlah memasak. Jika kamu sedang belajar dan bercadang cepat berkahwin, maka sebelum berkahwin, letakkan syarat bahawa selepas berkahwin nanti, pelajaran hendaklah diteruskan dan disempurnakan. Hubungi dan tulis surat secara teratur kepada suami. Jika ada wanita, di samping belajar, tetap juga melaksanakan tanggungjawab rumahtangga, maka ada masa-masa tertentu dia harus pergi mengikuti kursus luar. Ikutilah kursus sesuai dengan kemudahan kamu. Dengan itu, kamu juga akan dapat melaksanakan tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak. Pada hujung minggu kamu hendaklah bekerja keras untuk belajar memasak supaya apabila kamu sudah bebas, atau pergi ke rumah yang lain, maka kamu juga akan dapat menguruskan rumah sendiri. Tidak semestinya harus tinggal bersama dengan mentua.

Huzur berkata:-

Zaman dahulu, gadis yang berumur 14 ke 15 tahun sudah berkahwin. Memang ada kesilapan dilakukan oleh wanita, tetapi mereka akan cepat menutupinya. Kemudian, dia akan dapat mengurus rumah secara menyeluruh.

Huzur berkata:-

Perkahwinan Hazrat Amma Jaan juga pada usia yang muda. Beliau mengurus rumah, belajar tentang semua perkara, kemudian mengajarkan kepada orang lain, memberi tarbiyat kepada orang lain. Maknanya, jika memang ada keinginan, semuanya akan tercapai.

Jika ada anak gadis yang mendapat kebenaran daripada orang tua untuk belajar di tempat lain, maka mereka harus berfikir hendak tinggal di mana, jika tinggal di asrama, ia haruslah terpisah dengan lelaki. Kemudian, semasa di sana, jaga kesucian dan kebersihan.

Huzur berkata:-

Apabila anak-anak gadis Rabwah hendak melanjutkan pelajaran ke luar, mereka akan meminta kebenaran daripada saya melalui Nazarat Ta’lim. Dalam bentuk Co-education (pendidikan campuran antara lelaki dan perempuan) juga mereka meminta kebenaran daripada saya. Kemudian, mereka menulis akan belajar dengan menjaga pardah.

Huzur berkata:-

Jika ibu bapa keberatan, maka adalah lebih baik belajar di tempat sendiri sahaja.

Seorang anak kecil bertanya mengenai ilham Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam “Wahai bumi Kabul! Engkau tidak akan pernah aman”. Huzur berkata:-

Ini bukan ilham tetapi Hazrat Maseeh Mau’u alaihissalam sendiri yang mengucapkannya. Dan sehingga sekarang di sana tidak pernah aman. Ini jugalah keadaan Pakistan sekarang. Ia berada dalam cengkaman para mullah. Tuhan akan memberikan ganjaran ke atas darah-darah orang yang syahid.

Dalam menjawab satu soalan, Huzur berkata:-

Apabila jemaat sudah tersebar ke seluruh dunia, jumlah anggota Ahmadi semakin banyak, pemerintahan di tangan Ahmadi, ahli politik Ahmadi, maka pada waktu itu wanita boleh memberi pendapat dalam syura. Tetapi, mengenai terjun dan menjadi ahli politik bersama-sama dengan kaum lelaki, mengadakan acara bersama kaum lelaki. Dalam hal ini keputusan adalah di tangan khalifah semasa. Huzur berkata: Pertama sekali jadikan dahulu mana-mana negara sebagai Ahmadi, kemudian minta keputusan.

Seorang anak kecil bertanya:- Ada sesetengah wanita yang memakai pakaian yang mahal, memakai banyak barang kemas, adakah ini satu amalan yang betul?

Huzur berkata:-

Jika wanita seperti itu seorang yang bagus dalam soal ibadat, tingkat pengorbanan juga tinggi, maka tidak ada salahnya jika dia memakai pakaian atau barang kemas yang mahal. Tetapi, jika mutu ibadat dan pengorbanan sangat rendah, maka hal itu adalah salah.

Huzur berkata:-

Di Frankfurt ada wanita yang kaya dan candah juga dia berikan kepada jemaat, pengorbanan juga sangat tinggi. Maka jika wanita itu memakai pakaian yang mahal dan memakai barang kemas yang banyak pun tidak menjadi kesalahan dan tidak harus dikritik.

Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam juga ada masanya memakai pakaian yang bagus. Beberapa orang mulia juga memakai pakaian yang bagus-bagus. Tetapi, takwa mereka, kerendahan hati mereka, kemuliaan mereka tidak berubah. Mereka juga giat dalam berkorban.

Huzur berkata:-

Jika sudah ada ikatan, maka kesabaran dalam perkara-perkara kecil harus diamalkan. Berusaha menyelesaikan permasalahan. Jika timbul masalah besar, jika timbul masalah syariat, atau terjadi perbuatan yang bertentangan dengan akhlak, maka jika berpisah adalah lebih baik, maka silakan.

Huzur berkata:-

Di London, kadang-kadang saya panggil untuk diberi nasihat. Sebelum datang ke sini pun, saya baru sahaja menyatukan satu keluarga. Tiga tahun mereka berpisah. Saya yang nikahkan mereka sebelum datang ke sini. Jadi, jika terjadi hal yang besar, terjadi perkara yang bertentangan dengan akhlak, yang melibatkan agama dan mazhab, maka adalah perlu untuk berpisah.

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Dipetik dan diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Sumber: Al-Fazal International 06 Januari 2012 – 12 Januari 2012

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...