Sunday, March 11, 2012

Malfoozaat Jilid 1_14


MALFOOZAAT JILID 1

HAZRAT MASEEH MAU’UD alaihissalam

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

PERLU MENGGUNAKAN AKAL

Kita juga harus menggunakan akal kerana insan itu matang disebabkan akal. Sesiapa pun tidak boleh menerima sesuatu yang bertentangan dengan akal. Sebarang peraturan syariat tidak akan memberikan kesusahan melebihi had atau batas kemampuan seseorang. LAA YUKALLIFUL LAAHU NAFSAN ILLAA WUS’AHAA (Al-Baqarah:287). Dari ayat ini jelas bahawa peraturan Allah Ta’ala bukanlah sesuatu peraturan yang tidak boleh dilaksanakan, dan tidak juga syariat dan hukum-hukum Allah Ta’ala itu diturunkan ke dunia ini bertujuan untuk menzahirkan kebanggaan kekuatan peraturan Mencipta dan juga sebagai Wujud yang pertama, dan menjelaskan bahawa memang sejak dahulu lagi bersemayam di singgahsana-Nya. Insan lemah hina sejak dahulu dan hanya meniru-niru amalan atas peraturan, Tuhan lebih baik dan suci daripada perbuatan sia-sia itu. Menurut akidah orang Kristian, di dunia ini tidak ada seorang manusia yang dapat mengikut syariat dan melaksanakan hukum Tuhan. Bodoh jika tidak tahu hal semudah itu, untuk apalah Tuhan menghantar syariat. Dalam fikiran dan iktikad mereka (na’uzubillah) seolah-olah Tuhan menurunkan syariat ke atas nabi-nabi terdahulu adalah sia-sia dan tidak berfaedah. Sebenarnya mencari keaiban pada zat Tuhan yang suci di kalangan orang Kristian ialah berpunca dari masalah Kaffarah. Saya hairan dan takjub mereka itu mencipta suatu perkara baru dalam agama, mereka langsung tidak peduli sama ada ia menimbulkan kekotoran pada zat Tuhan atau tidak?

SETIAP PERINTAH DALAM AJARAN AL-QUR’AN ADA TUJUAN DAN SEBAB PERBAIKAN

Kebaikan dalam ajaran Al-Qur’an ialah setiap hukumnya mempunyai sebab tujuan dan untuk perbaikan. Dan sebab itu, di berbagai tempat di dalam Al-Qur’an menegaskan tentang akal, kefahaman, tadabbur, fiqah dan iman. Dan ini jugalah yang membezakan Al-Qur’an dengan kitab-kitab yang lain. Dan mana-mana kitab tidak ada kemampuan untuk mempersembahkan ajaran yang lebih baik berbanding Al-Qur’an. Malah Injil, kepandaian berdiam diri dan pertolongan yang menipu menyatakan bahawa ajaran Injil tidak bernyawa jika dikaji dari sudut akal yang matang. Dengan penuh kepandaian, mereka memasukkan perkara ini dalam akidah mereka bahawa Taslis dan Kaffarah adalah suatu rahsia yang tidak mungkin dapat dijangkau oleh kedalaman akal manusia. Bertentangan dengan itu, ajaran Al-Furqan Hameed adalah INNA FII KHOLQIS SAMAAWAATI WAL ARDHI WAKHTILAAFIL LAILI WAN NAHAARI LA’AAYAATIL LI ULIL ALBAAB. ALLAZIINA YAZKURUUNAL LAAHA (Ali Imran:191,192) yakni penciptaan langit dan penciptaan bumi, pertukaran siang dan malam cukup menjadi dalil mengenai Allah kepada orang-orang yang bijak. Inilah yang diseru oleh Islam. Dalam ayat ini sangat jelas menyeru agar orang yang bijak dapat menggunakan akal dan kebijaksanaan mereka.

TUHAN ISLAM

Ketahuilah bahawa Tuhan Islam itu bukanlah suatu perkara yang sukar untuk difahami di mana batu harus dihentak di atas kepala untuk menerimanya. Dan dalam Sahifah Fitrat tidak ada bukti seperti itu, malah ia mengandungi banyak tanda-tanda yang sangat sesuai dengan fitrat, yang jelas memberitahu bahawa itulah Dia. Satu-satu benda dalam alam ini sama seperti tanda dan tempat yang wujud di setiap jalan dan lorong, yang dipasang untuk memberitahu nama jalan, mohallah atau nama bandar. Ia memberi petunjuk ke arah Allah dan bukan sahaja memberikan alamat Wujud itu, malah juga memberikan bukti yang sangat memuaskan. Kesaksian bumi dan langit tidak memberikan bukti tentang tuhan buatan atau palsu, malah ia memberitahu tentang Tuhan AHADUS SHOMAD, LAM YALID WALAM YUULAD, yang merupakan Tuhan yang Hidup dan Kekal, dan sama seperti yang dipersembahkan oleh Islam. Paderi Funder yang pertama kali datang ke India untuk meletakkan langkah pertama tentang gambaran agama dan memburuk-burukkan Islam, dalam bukunya Mizaanul Haq dia membangkitkan persoalan iaitu jika benar ada suatu pulau yang tidak pernah diajarkan mengenai ajaran Taslis, adakah penduduk di situ di akhirat nanti akan ditanya mengenai akidah Taslis? Kemudian, dia sendiri menjawab bahawa mereka akan ditanya mengenai ketauhidan. Jadi, fahamilah daripadanya bahawa jika gambaran tauhid tidak terdapat dalam mana-mana benda dan Taslis bukan satu buatan atau rekaan semata-mata, maka untuk apa mereka ditanya mengenai akidah tauhid?

GAMBARAN KUDRAT TAUHID ADA DALAM SETIAP BENDA

Perkara yang sebenarnya ialah dalam fitrat insan telah dilukiskan ALASTU BIROBBIKUM QOOLUU BALAA (Al-A’raf:173), dan Taslis tidak ada hubungan dengan fitrat insan dan semua benda alam. Cuba lihat setitik air, ia kelihatan bulat, ia tidak kelihatan tiga wujud. Dari situ sudah jelas kepada kita bahawa gambaran kudrat tauhid ada dalam setiap benda. Renungkan dengan sebaik-baiknya bahawa titisan air itu bulat dan dalam bentuk bulatan hanya tauhid yang berlaku, sebab itu ia tidak memerlukan arah, manakala tiga bentuk yang memerlukan arah. Cuba lihat juga api, rupanya pun bulat, dan ia juga mempunyai ciri tunggal di dalamnya. Dari situ juga muncul sinaran ketauhidan. Cuba lihat bumi, dan tanya orang Inggeris bagaimana bentuknya? Mereka akan berkata – bulat. Ringkasnya, sejauh mana kajian alam semulajadi yang dibuat, maka di situ hanya akan ada rumusan tentang ketauhidan. Allah Ta’ala menjelaskan di dalam ayat ini INNA FII KHOLQIS SAMAAWAATI WAL ARDHI (Ali Imran:191) bahawa Tuhan yang dipersembahkan oleh Al-Qur’an, dalil-dalilnya sarat di langit dan bumi.

Saya sangat suka kepada pertimbangan hakim, yakni jika seluruh kitab-kitab di tenggelamkan, namun Tuhan Islam tetap kekal. sebabnya Dia bukan tiga dan cerita kosong. Sebenarnya perkara yang pasti ialah kebenaran-Nya tidak bersandarkan kepada suatu benda yang khas, yakni jika benda itu tiada maka alamatnya pun hilang. Gambaran suatu cerita kosong tidak melekat pada hati dan tidak juga terdapat dalam Sahifa-e-Fitrat boleh diakui kewujudannya selagi mana-mana Pandit, Pande, atau Paderi tidak mengkhabarkannya, selepas beberapa perubahan, ia telah terpadam seperti sesuatu yang salah.

KESAKSIAN AJARAN AL-QUR’AN SEMPURNA MELALUI BAHASA UNDANG-UNDANG KUDRAT

Allah Ta’ala berfirman INNAHUU LAQUR’ANUN KARIIM, FII KITAABIM MAKNUUN, LAA YAMASSUHUU ILLAL MUTAHHARUUN (Al-Waqiah:78-80), malah semuanya terpelihara dalam peti Sahifa-e-Qudrat yang kukuh. Apa maksudnya Al-Qur’an ini berada dalam satu kitab yang tersembunyi. Kewujudannya tidak terhad hanya di atas kertas-kertas sahaja, malah ia berada dalam satu kitab yang tersembunyi yang dinamakan sebagai Sahifa-e-Fitrat, yakni kesaksian seluruh ajaran Al-Qur’an sempurna melalui setiap zarah-zarah undang-undang kudrat. Ajarannya dan berkatnya tidak akan terpadam laksana cerita-cerita kosong.

PERLUNYA ILHAM

Oleh kerana setiap orang tidak sampai ke darjat keyakinan dari segi akal, sebab itu ilham sangat diperlukan kerana ia boleh menolong dengan menjadi seperti lampu yang terang kepada akal dalam kegelapan. Dan inilah sebabnya ahli-ahli falsafah yang besar tidak dapat sampai kepada Tuhan yang hakiki kerana hanya berdasarkan kepada akal semata-mata. Filatun yang juga seorang ahli falsafah, ketika meninggal dunia mengatakan bahawa saya takut, tolong sembelihkan untuk saya seekor ayam atas satu patung. Perkara apa lagi yang lebih besar dari itu. Falsafah Iflatun, kebijaksanaan dan kepandaiannya tidak dapat memberikan ketenangan dan ketenteraman sebagaimana yang dapat diperolehi oleh orang mukmin. Ingatlah hal ini dengan sebaik-baiknya bahawa ilham itu sangat perlu untuk ketenangan kalbu dan ketenteraman hati. Tujuan saya mengatakan hal ini adalah supaya pertama sekali kamu gunakan akal dalam bertindak dan ingatlah bahawa orang bertindak menggunakan akal, dia akan dapat melihat Tuhan Islam. Ini kerana nama-Nya tertulis dengan jelas di atas daun-daun tumbuh-tumbuhan dan jirim-jirim langit. Namun, jangan terlalu mengikut akal dengan keterlaluan supaya kamu tidak hilang dari ilham Ilahi. Tanpa ilham, tidak akan mendapat ketenangan yang hakiki dan tidak juga mendapat akhlak fadilah. Orang-orang Brahmo juga tidak akan mendapat ketenangan dan cahaya keselamatan yang benar. Sebabnya mereka mengatakan tidak perlu adanya ilham. Orang-orang yang menjadi hamba kepada akal akan mengatakan ilham adalah sia-sia. Saya berkata dengan sebenar-benarnya bahawa jangan juga terlalu bertindak menggunakan akal. Di dalam Al-Qur’an, mereka yang bertindak menggunakan akal digelar sebagai Ulul Albaab. Kemudian selanjutnya berfirman: ALLAZIINA YAZKURUUNAL LAAHA QIYAAMAU WA QU’UUDAU WA ‘ALAA JUNUUBIHIM (Ali Imran:192). Dalam ayat ini Allah Ta’ala memberitahu segi yang kedua iaitu orang yang ULUL ALBAAB dan mempunyai akal yang sihat adalah mereka yang mengingati keagungan Allah Ta’ala ketika bangun dan duduk. Jangan hendaknya berfikir bahawa akal dan kepandaian itu boleh diperolehi begitu sahaja. Tidak.

FIRASAT YANG BENAR

Malah firasat yang benar dan pemahaman yang benar tidak akan dapat diperolehi tanpa tunduk kepada Allah Ta’ala. Sebab itu dikatakan bahawa takutlah kepada firasat orang mukmin kerana dia melihat dengan Nur Ilahi. Firasat yang benar dan pemahaman yang hakiki sebagaimana yang telah saya jelaskan, ia tidak boleh dicapai selagi sarana takwa tidak wujud.

Jika kamu hendak berjaya, maka gunakanlah akal fikiran. Al-Qur’an berkali-kali menyeru untuk merenung dan berfikir. Fikirkanlah apa yang ada dalam Kitab-e-Maknun dan Al-Qur’an, dan jadilah kamu orang muttaqi. Apabila hati kamu telah bersih dan kamu melakukan sesuatu dengan akal yang sihat, dan kamu berjalan di atas landasan ketakwaan, maka dua hubungan keadaan ini akan lahir bahawa ROBBANAA MAA KHOLAQTA HAAZAA BAATHILAA, SUBHAANAKA FAQINAA AZAABANNAAR (Ali Imran:192) akan lahir dalam hati kamu. Pada waktu itu akan dapat memahami bahawa makhluk ini tidak sia-sia malah ia merupakan dalil kebenaran tentang Pencipta yang hakiki, supaya pelbagai ilmu dan kemahiran yang boleh membantu agama akan muncul.

CAHAYA ILHAM

Allah Ta’ala tidak hanya melengkapi orang Islam dengan akal sahaja, malah cahaya ilham dan nur juga diberikan bersama. Mereka seharusnya tidak berjalan di atas landasan yang diikuti oleh orang mantiq dan ahli falsafah. Orang-orang seperti itu unggul dalam bercakap namun sangat lemah dalam kekuatan rohani. Lihat, dalam menjelaskan maksud hamba-hamba Tuhan, Al-Qur’an menyatakan ULIL ABDII WAL ABSHOOR (Shod:46), tidak pernah dikatakan ULIL ALSINAH. Dari situ dapat diketahui bahawa Allah Ta’ala suka kepada orang yang melihat pekerjaan dan kalam Tuhan dengan Bashar dan Bashirat, kemudian beramal padanya dan semua perkara ini tidak akan dapat diperolehi tanpa tazkiyah nafs (penyucian jiwa) dan mensucikan kekuatan batin.

CARA UNTUK BERJAYA DUNIA DAN AKHIRAT

Jika kamu mahu berjaya dunia dan akhirat dan ingin memenangi hati orang lain, maka jalanilah kesucian dalam hidup. Bertindaklah mengikut akal dan berjalan atas hidayat Kalam Ilahi. Perbetulkan diri sendiri dan perlihatkan orang lain tentang akhlak fadilah yang agung. Dengan itu kamu akan berjaya.

Ungkapan ini sangat bagus sekali; ‘perkara yang muncul dari hati akan turun ke atas hati’.

Jadi, pertama sekali sediakan hati, jika hendak memberi kesan ke atas hati, maka lahirkan kekuatan amalan. Ini kerana tanpa amalan, kekuatan bercakap dan kekuatan lisan tidak memberi manfaat. Ratusan ribu orang mahir dalam medan berkata-kata. Banyak juga maulvi dan ulama yang ke sana sini naik ke atas mimbar memberi nasihat, yang menganggap diri mereka sebagai naib rasul dan pewaris nabi. Mereka mengatakan jauhi takbur, sombong dan kejahatan. Tetapi, amalan mereka memperlihatkan bahawa mereka sendiri melakukan apa yang mereka tegah. Cuba ukur, adakah nasihat mereka memberi kesan ke atas hati kamu.

UCAPAN DAN AMALAN HARUS SEPAKAT

Jika orang seperti ini juga termasuk orang yang ada kekuatan amalan, dan mengamalkannya terlebih dahulu sebelum mengatakannya, maka Al-Qur’an Syarif tidak perlu menyatakan LIMAA TAQUULUUNA MAA LAA TAF’ALUUN (As-Shaf:3). Ayat ini hendak menerangkan bahawa di dunia ini orang yang cakap tidak serupa bikin itu telah ada dahulu, sekarang dan juga akan datang.

Kamu dengarkanlah kata-kataku ini dengan sebaik-baiknya, jika insan bercakap bukan dengan hati yang suci dan tidak mempunyai kekuatan amalan, maka dia tidak akan memberi kesan. Kebenaran Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam dapat diketahui melalui perkara ini kerana kejayaan dan kesan ke atas hati yang ada dalam diri baginda tidak kelihatan bandingannya dalam sejarah bani Adam. Dan semua ini berlaku kerana ucapan dan amalan baginda sangat sepakat.

(Malfoozaat Jilid 1, halaman 39-43)

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
(10.03.2012)

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...