TERJEMAHAN KHUTBAH JUMAAT
HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISatba
13 JANUARI 2012 / 13 SULH 1391HS
19 Safar 1433HQ
Masjid Baitul Futuh, London
>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<
Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz, Surah Al-Fatihah dan Surah Hud ayat 3 dan 4, Huzur meneruskan khutbah dengan berkata:-
Terjemahannya: Supaya kamu jangan menyembah selain Allah. Sesungguhnya aku bagi kamu pemberi peringatan dan pembawa khabar suka dari-Nya; Dan supaya kamu minta kepada Tuhan-Mu, kemudian kembalilah kepada-Nya. Dia akan menganugerahkan barang-barang perbekalan yang baik kepada kamu sampai saat yang ditentukan, dan Dia akan memberikan kurnia-Nya kepada setiap orang yang berhak menerima kurnia. Dan jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut atas kamu terhadap azab Hari yang dahsyat (Surah Hud:3,4)
Apa yang berlaku di dunia pada waktu ini ialah terjadinya bermacam-macam kekacauan. Semua ini berlaku disebabkan manusia melupakan tujuan mereka diciptakan, iaitu untuk beribadah kepada-Nya serta mencapai derajat kedekatan kepada Allah Ta’ala. Kedekatan kepada Allah Ta’ala tidak akan tercapai tanpa ibadah, dan apa yang dimaksudkan dengan ibadah itu? Ibadah itu tidak hanya menunaikan solat wajib lima waktu sehari. Ini tidak mencukupi.
Sebenarnya menunaikan solat dengan teliti dan penuh kepatuhan adalah amat penting. Namun tuntutan ibadah itu tidak dapat dipenuhi hanya dengan melakukan gerakan-gerakan secara zahir sahaja dalam solat, tetapi menempatkan Allah Ta’ala di dalam ingatan dalam segala urusan. Berusaha sedaya upaya mewarnai diri dengan corak warna Ilahi. Hendaklah mengikuti contoh daripada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam dalam segala aspek, dan kita hendaklah mengingat sifat-sifat Allah Ta’ala, serta cuba melentur kehidupan kita menurut sifat-sifat Ilahi. Kita perlu menumpukan segala usaha untuk memenuhi Huququllah, iaitu hak-hak Allah Ta’ala dan Huququl Ibad, iaitu hak-hak manusia. Jika seseorang mukmin itu melakukan perkara ini, barulah dia benar-benar memenuhi tuntutan ibadah tersebut.
Mengenai hal ini Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-
“Suatu jawapan yang luar biasa yang disampaikan, apakah intisarinya?” (Tidak ada bandingannya, apa yang dihuraikan oleh beliau iaitu perintah yang disebutkan oleh Al-Qur’an) “ALLAA TA’BUDUU ILLALLAH (Hud:3) Tiada yang patut disembah melainkan Allah Ta’ala. Jadi, tujuan penciptaan manusia hanyalah satu iaitu beribadat. (Inilah tujuan sebenar manusia diciptakan). Di tempat lain Allah Ta’ala berfirman WAMAA KHOLAQTUL JINNA WAL INSA ILLAA LIYA’BUDUUNI (Az-Zariyat:57) Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Ini bermakna telah menjadi landasan yang kukuh bahawa penciptaan manusia adalah untuk beribadah kepada-Nya. Tujuan sebenar daripada ibadah ialah menjauhi segala bentuk kekejaman dan kekejian. Seperti seorang pemilik tanah yang membersihkan kawasan tanahnya (Sebelum dia menanam apa-apa tanaman di atas tanahnya) Dalam bahasa Arab dikatakan MAURUN MU’ABBADUN seperti celak yang halus dioleskan di mata, ketika seorang mukmin membersihkan segala ruang di hatinya daripada segala penyakit seumpama seorang petani membersihkan kebunnya, sebelum ia menanam tanamannya. Begitu juga keadaan dalam beribadah, apabila hati manusia seumpama kebun yang dibersihkan daripada kerikil, batu-batu dan tanahnya yang sudah diratakan, begitu bersihnya sehingga ia menumbuhkan roh yang suci. Seumpama cermin yang telah dibersihkan, kita dapat melihat bayangan kita dengan jelas, jika tanah di sebuah kebun dibersihkan sedemikian maka bermacam-macam pokok buah-buahan akan tumbuh di atasnya. Oleh itu jika manusia yang memang diciptakan untuk beribadah kepada-Nya, membersihkan hatinya dan tidak membiarkan hatinya dipenuhi kekotoran, maka Tuhan akan kelihatan di hatinya. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda lagi: Inilah sebabnya mengapa engkau tidak boleh berhenti beribadah sehinggalah Allah Ta’ala sahaja yang berada dihatimu, tiada kekotoran dan penyakit-penyakit memenuhi hati, sehingga ia bersih seperti cermin yang bersih atau celak yang halus yang dioleskan di mata. (Malfoozaat Jilid 1, Hal 346-347, Edisi 2003 cetakan Rabwah)
Dalam apapun keadaan hendaklah beribadah kepada-Nya. Seperti pemilik tanah yang meratakan tanahnya, sebelum seseorang itu menanam apa-apa tanaman. Begitu juga hati kita hendaklah bersinar seperti cermin yang memantulkan cahaya, dalam cermin itu kelihatan wajah kita. Apabila telah berlaku keadaan seperti ini, barulah pemilik tanah tadi akan memperoleh hasil buahnya iaitu buah-buahan yang baik. Begitu juga dengan hati seorang insan, roh seorang insan juga boleh memperoleh buah-buahan yang baik. Seseorang itu hendaklah terus-menerus berusaha mencapai keadaan demikian. Kemudian beliau bersabda, selagi batu atau kerikil tidak dijauhkan dari hati, selagi tidak sebersih cermin dan sehalus celak maka janganlah berputus asa. (Malfoozaat Jilid 1 Hal 348, Edisi 2003 cetakan Rabwah)
Inilah suatu perkara yang harus dikerjakan terus menerus dan seseorang mukmin itu tidak boleh berpeluk tubuh dan berputus asa, selagi belum mencapai matlamat. Pada masa ini, untuk melindungi diri kita daripada keburukan di sekeliling kita dan mendapat kurnia-kurnia daripada-Nya, maka hendaklah kita menjalinkan hubungan dengan Allah Ta’ala secara ikhlas. Kebanyakan orang tidak terlibat secara langsung dengan segala keburukan di dalam persekitarannya, namun mereka terpengaruh serba sedikit dengan keadaan dan menjadi sebahagian daripada keburukan itu tanpa disedari. Contoh terbaik adalah penganiayaan yang dilalui oleh para Ahmadi di seluruh dunia khususnya di Pakistan. Orang-orang yang tidak mengetahui tentang Ahmadiyah telah melakukan penentangan dengan menggunakan bahasa kesat terhadap Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Ibadah yang dilakukan oleh orang-orang seperti ini bukannya demi Tuhan tetapi untuk mendapat kedekatan dengan manusia duniawi. Secara zahirnya mereka melakukan solat tetapi hatinya tidak seperti itu, mereka tidak berusaha melakukan kebijaksanaan dalam melakukan kebaikan seperti yang diajarkan oleh Allah Ta’ala. Inilah akibatnya apabila agama dicampur adukkan dengan dunia. Dan apabila agama mulai mengalami kerosakan, lalu huququllah dan huququl Ibad tidak terpelihara maka Allah Ta’ala pun akan mengutus para nabi untuk memperbaiki rohani manusia, yang mana para nabi ini datang memberikan peringatan kepada kaumnya untuk kembali kepada agama yang sebenar dengan mengajarkan mereka agar beribadah kepada-Nya.
Ketika Allah Ta’ala mengutus Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, dan melalui baginda cara-cara beribadah pun diajarkan. Baginda adalah insan sempurna yang mempamerkan sifat-sifat Allah Ta’ala ke tahap yang paling tinggi. Allah Ta’ala memerintahkan agar kita menjadikan bagind sebagai contoh yang perlu diikuti dan dengan cara inilah baru kita dapat mendekatkan diri kepada-Nya. Ini bukanlah bermaksud bahawa hanya solat baginda yang dianggap ibadah, tetapi setiap tutur-kata dan amalan baginda sallallaahu alaihi wasallam adalah ibadah. Dan dengan itu agama pun menjadi sempurna dengan syariat yang diturunkan kepada baginda. Namun, Allah Ta’ala juga memaklumkan bahawa, sebagaimana zaman dahulu manusia meninggalkan ajaran agama mereka secara perlahan-lahan dengan peredaran masa, maka hal ini pun akan terjadi pada Islam. Walaupun Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam adalah Nabi pembawa syariat yang terakhir dan tiada lagi syariat sesudah baginda, kitab yang di bawa oleh baginda adalah kitab terakhir sungguhpun baginda adalah Nabi terakhir dan kitab Al-Qur’an adalah yang terakhir namun keadaan akan terjadi ke tahap yang paling buruk, maka ketika itu seorang pengikut sejati dengan penuh kepatuhan kepada baginda akan datang untuk menegakkan semula Islam sekali lagi di muka bumi ini. Dia akan mengajarkan ibadah yang sebenar dan dia melakukannya atas dasar kepatuhan kepada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Malangnya majoriti umat Muslim tidak memahami akan hal ini. Orang yang telah dipilih oleh Allah Ta’ala untuk mengajarkan ibadah yang hakiki, tetap sahaja mereka memilih cara mereka sendiri menurut firkah-firkah mereka, terutama di dunia Islam ketika ini selain kekacauan tiada lain yang mereka lakukan. Bukan itu sahaja malah mereka telah mencemarkan nama baik Islam. Seperti 1400 tahun dahulu Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wasallam datang memberikan peringatan, pada masa ini pun ada orang yang akan memberikan peringatan.
Dalam ayat tadi Allah Ta’ala berfirman: Sesungguhnya aku bagi kamu pemberi peringatan dan pembawa khabar suka dari-Nya’ Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam adalah seorang pemberi peringatan sehingga hari ini. Era baginda akan berterusan sehingga Hari Kemudian dan baginda masih terus memberikan peringatan dan menyedarkan manusia. Seorang pemberi peringatan bukan sahaja memberikan peringatan namun mengajak manusia menjauhi keburukan. Sebagai contoh, seorang yang hanya mengucapkan kalimah di bibirnya tetapi tidak mengerjakan segala perintah Allah Ta’ala, maka dia berada dalam kerugian. Sebaliknya khabar suka terletak di tangan seorang insan yang dijanjikan kedatangannya di akhir zaman untuk memudahkan jalan mendekatkan diri kepada Tuhan dan mengajarkan cara beribadah kepada Tuhan.
Hazrat Masih Mau’ud alaihissalam bersabda: Sesungguhnya manusia tidak akan dapat mencapai jalan ini tanpa bantuan seorang manusia yang disucikan. Jadi untuk tujuan ini, Allah Ta’ala telah mengutus seorang insan yang merupakan model terbaik Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam dan kemudian beliau memulakan pula satu silsilah penerus sejati yang berkekalan supaya hujah para pendeta Brahma yang tidak tahu apa kesudahan silsilah mereka dapat dipatahkan. Telah terbukti bahawa seorang anak muda yang bukan keturunan keluarga petani akan terpotong tanaman mereka semasa dia membersihkan kebun. Demikian juga, pengurusan sebuah kebun rohani tidak akan sempurna tanpa seorang insan yang sempurna, yang telah melaksanakan langkah-langkah menanam, mengairi dan merumput. Tanpa seorang guru rohani yang sempurna, ibadah yang dilakukan oleh manusia seumpama seorang anak yang mencabut rumput di kebun namun yang dicabutnya adalah tanaman-tanaman. Jangan pernah membuat anggapan bahawa anda akan belajar tentang ibadah dengan sendirinya. Sama sekali tidak, sehinggalah seorang Nabi mengajarkan cara beribadah barulah kesempurnaan dan kedekatan kepada Tuhan dapat dicapai. Persoalannya adalah bagaimanakah hal ini dapat dipenuhi? Allah Ta’ala sendiri yang menjawabnya. (Malfoozaat Jilid 1, Halaman 348, Edisi 2003, cetakan Rabwah).
Penyelesaian yang diberikan oleh Allah Ta’ala adalah istighfar. Jika seseorang itu beristighfar dengan penuh keikhlasan, mengikuti perintah para rasul-Nya dan minta keampunan dari segala dosa-dosa dan akan berusaha menjauhi segala dosa-dosa di masa akan datang, hal seperti itulah yang disebutkan istigfar yang hakiki. Tetapi Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda: Hendaklah seseorang itu bersedia untuk berkorban. Sebelumnya Allah Ta’ala mengutus Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wasallam lalu di kemudian hari Dia telah mengutus Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam yang merupakan orang yang siap berkorban yang digelarkan oleh Allah Ta’ala sebagai Khatamul Khulafa. Allah Ta’ala pasti akan membimbing mereka yang selalu beristighfar dengan penuh keikhlasan dan cuba memenuhi tuntutan ibadah dengan mengikuti contoh penerus baginda yang Dia utuskan. Seperti apa yang disabdakan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bahawa Allah Ta’ala sendiri yang akan memberikan penawarnya iaitu beristighfar.
Bahagian kedua ayat ini mengajarkan cara-cara beristighfar: Bagaimana cara beristighfar? Terjemahannya ialah, ‘Dan supaya kamu minta kepada Tuhan-Mu kemudian kembalilah kepada-Nya. Dia akan menganugerahkan barang-barang perbekalan yang baik kepada kamu sampai saat yang ditentukan dan Dia akan memberikan kurnia-Nya kepada setiap orang yang berhak menerima kurnia. Dan jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut atas kamu terhadap azab Hari yang dahsyat.
Seperti yang telah diterangkan sebelum ini bahawa istighfar yang hakiki Allah Ta’ala sendiri yang akan membimbing mereka. Allah Ta’ala telah menerangkan pada permulaan ayat bahawa mintalah pengampunan, pertolongan dan berdoa kepada-Nya, dengan istighfar itu dapat mencuci karat-karat rohani di dalam hati maka Allah Ta’ala berjanji akan memberikan pertolongan tetapi ia perlu dilakukan secara berterusan, jika tidak dilakukan secara berterusan maka hal seperti itu bukan istighfar namanya. Istighfar sejati adalah bertaubat dari hal-hal yang tidak disenangi oleh Allah Ta’ala. Apabila kebaikan ini dilakukan dengan sebaik-baiknya maka TUUBU ILAIHI akan timbul. Ini akan membawa kepada satu keadaan di mana kita akan menghadap kepada-Nya dan mencapai kedekatan kepada-Nya. Istighfar sejati tidak hanya di mulut, berkata astaghfirullah, astaghfirullah, itu tidak mencukupi, seseorang hendaklah cuba mengubah jauh ke dalam dirinya dan inilah yang akan membawanya dekat kepada Tuhan dan membawa keberkatan rohani serta duniawi lalu menjadikannya penerima kurnia-kurnia Ilahi.
Mengenai ayat ini, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda: ‘WA ANISTAGHFIRUU ROBBAKUM TSUMMA TUUBUU ILAIHI (Hud:4) Ingatlah umat Muslim telah dikurniakan dua perkara; (satu untuk mendapatkan kekuatan yang dengan kekuatan itu ia dapat menghindari daripada segala keburukan dan kejahatan. Dan satu lagi menunjukkan kekuatan yang telah didapati dan dengan kekuatan itu lalu ia menzahirkannya, lalu setiap perkataan dan ucapannya dilakukan menurut perintah Allah Ta’ala yang dengan perintah tersebut ia mendapat keredhaan Allah Ta’ala) Melalui istighfarlah akan mendapatkan kekuatan tersebut. Ia juga dinamakan memohon pertolongan. Para sufi berkata bahawa sebagaimana kekuatan fizikal dan kuasa didapati melalui latihan, demikianlah istighfar adalah latihan rohani. Melaluinya roh mendapat kekuatan dan hati mencapai keteguhan. Ghafar bermakna menutupi dan menekan. Melalui istighfar yang terus menerus dapat memberikan kebaikan kepada rohani manusia. Jadi sesiapa yang mahu kekuatan maka hendaklah ia selalu istighfar.’ (Dengan istighfar seseorang itu dapat mengikuti perintah-perintah-Nya. Ratusan perintah-perintah-Nya yang terdapat di dalam Al-Qur’an. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam juga bersabda bahawa sekiranya setengah daripada perintah-Nya anda tidak menganggap penting bermakna anda tidak berusaha untuk memenuhi perintah tersebut) Inilah erti istighfar iaitu racun yang menyerang manusia untuk memusnahkan lalu mengatasinya. Apa yang dimaksudkan dengan racun itu? Syaitan menyerang dalam pelbagai bentuk. Dunia dapat menyilaukan manusia. Di dalam Al-Qur’an perintah yang dilarang hendaklah dihindari, semua itu adalah racun. Dengan istighfar dapat menghindari daripada keburukan dan kebaikan dapat mengatasi kejahatan) Dengan istighfar manusia akan menekan dan menutupi perasaan dan fikiran-fikiran yang menyebabkan manusia jauh daripada Allah Ta’ala. Oleh itu istighfar bermakna seseorang membuang segala bahan toksik yang menyerang dan cuba memusnahkan manusia. Ketika manusia mengelakkan segala halangan kepada pelaksanaan perintah Ilahi, sebenarnya mereka sedang mengamalkan segala perintah Ilahi. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda bahawa Tuhan telah meletakkan dua perkara dalam diri manusia; satu yang diarahkan oleh syaitan dan satu lagi adalah antidot atau penawarnya. Kedua-dua ini terdapat dalam diri manusia. Kejahatan ada dalam diri manusia begitu juga dengan kebaikan. Bila manusia itu angkuh dan sombong dan tidak mengambil penawarnya, maka perkara yang buruk akan menjadi besar dalam dirinya. Namun bila manusia itu merendahkan dirinya dan merasakan dirinya perlukan pertolongan Ilahi, maka Tuhan akan menciptakan satu mata air dalam dirinya yang akan melembutkan rohnya lalu mengalir keluar, inilah yang dimaksudkan istighfar. Iaitu ketika mendapat kekuatan, maka manusia membuang segala bahan toksik. Melembut dan mengalirkan roh tidak hanya tercapai dengan menggunakan ucapan istighfar di bibir sahaja. Tetapi ia harus lahir dari hati yang penuh kesedihan sehingga menitiskan airmata di hadapan Tuhan, inilah istighfar namanya. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda; Secara ringkasnya adalah teguh dalam beribadat. Pertama, patuh kepada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, keduanya, selalu memohon pertolongan-Nya. Mintalah pertolongan daripada Ilahi. Ketika kekuatan itu diperolehi maka berpalinglah kepada Tuhanmu.’(Malfoozaat Jilid 1, Halaman 348-349, Edisi 2003 cetakan Rabwah)
Menjelaskan hal ini lebih lanjut, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda: ‘Istighfar dan Taubat adalah dua perkara yang berbeza. Dari satu segi, Istighfar memiliki kedudukan yang lebih tinggi daripada Taubat. Istighfar adalah pertolongan dan kekuatan yang didapati daripada Allah Ta’ala dan Taubat berdiri di atas kaki sendiri. Inilah cara Allah Ta’ala. Sesiapa yang meminta pertolongan daripada-Nya, Dia mengurniakan kekuatan dan dengan kekuatan itu maka orang itu boleh berdiri di atas kakinya sendiri dan dengan itu dia akan memperolehi kemampuan untuk melakukan kebaikan. Inilah yang dipanggil berpaling kepada Tuhan.
Inilah satu aturan semulajadinya. Ia diciptakan untuk mereka yang mencari Tuhan supaya mereka sentiasa memohon pertolongan daripada Tuhannya dalam setiap keadaan. Sehingga ia mendapat kekuatan daripada Tuhan, dia tidak akan mampu melakukan apa-apa. Kekuatan untuk bertaubat akan didapati setelah istighfar. Jika tiada istighfar, kemampuan untuk bertaubat akan mati. Jika anda beristighfar dan mengikutkan taubat selepas itu, maka hasilnya akan jadi seperti yang dinyatakan di dalam ayat ini: YUMATTI’KUM MATAA’AN HASANAN ILAA AJALIM MUSAMMAN, yakni Dia akan menganugerahkan barang-barang perbekalan yang baik kepada kamu sampai saat yang ditentukan.’ (Hud:4)
Inilah cara Ilahi, iaitu sesiapa yang beristighfar dan selepas itu bertaubat akan mencapai tahap yang diingininya. Setiap sesuatu ada hadnya yang tertinggi, bukan semua orang boleh menjadi seorang Nabi, Siddiq atau Syahid. Seterusnya Allah Ta’ala berfirman melakukan sesuatu pekerjaan itu secara berterusan dengan kemampuan masing-masing akan dapat mencapainya. Setiap orang pencari Tuhan akan mencapai satu darjat mengikut kemampuannya dan inilah yang dimaksudkan di dalam ayat ini iaitu WAYU’TI KULLA ZII FAZLIN FAZLAHU, Dia akan memberikan kurnia-Nya kepada setiap orang yang berhak menerima kurnia.’ (Hud:4) Namun jika seseorang itu memiliki kemampuan yang lebih, Tuhan akan mengurniakannya lebih kekuatan rohani kepada orang tersebut. Tuhan tidak akan meninggalkan sesiapa pun dalam kurnia-Nya. Pada masa kini pun keberkatan rohani masih boleh diperolehi dan pada hari kemudian juga. Kemudian beliau bersabda jika seseorang melakukan lebih daripada itu maka Allah Ta’ala akan memberikan seperti apa yang telah dia usahakan. Semua ini adalah kurnia daripada-Nya, kepada siapa Dia hendak kurniakan. Jika Allah Ta’ala ingin mengurniakan kepada seseorang itu berapa banyak pun taubat dan keampunannya, Dia yang akan kurniakan tetapi dengan syarat bahawa dia harus bermujahidah, beristighfar dan bertaubat, Dia-lah yang akan kurniakan menurut kekuasaan-Nya. Dia-lah Pemilik dan Maha Kuasa. Bukan melalui usaha dari kita tetapi semua itu adalah semata-mata kurnia daripada-Nya sebagai Pemilik, kepada siapa Dia hendak kurniakan. Setelah mencapai kurnia tersebut maka Dia-lah Pemilik-Nya, maksudnya Allah Ta’ala tidak akan memahrumkannya. Kemudian beliau bersabda lagi, sebahagian orang ada berkata, jadikanlah kami seorang wali? Orang yang berkata seperti itu, mereka sebenarnya telah menjadi orang kafir, (yakni berdosa dan kafir) Seseorang insan itu hendaklah menjalani kehidupannya sesuai dengan kudrat Allah Ta’ala. (Malfoozaat Jilid 1, Halaman 349-350, Edisi 2003, cetakan Rabwah)
Allah Ta’ala telah menetapkan kudrat-Nya, Dia telah membuka pintu istighfar dan taubat, hendaklah menggunakannya dan berusahalah, seterusnya adalah kurnia daripada-Nya, Dia akan kurniakan menurut darjat seseorang itu dan kemampuannya. Seterusnya akan menceritakan beberapa kisah keberkatan rohani daripada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam.
Pada suatu majlis ketika ada seorang meminta ajar doa-doa yang harus diamalkan kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Kerana ketika itu telah menjadi kebiasaan, orang-orang amat suka minta doa-doa. Lalu beliau bersabda: ‘Bacalah istighfar dengan sebanyak-banyaknya. Manusia hanya ada dua keadaan; samada ia tidak melakukan apa-apa dosa atau pun Allah Ta’ala menyelamatkan dia daripada akibat buruk dosa-dosa yang dilakukannya. Oleh itu kedua-dua keadaan ini harus diingati ketika beristighfar. Pertamanya, menutup dosa-dosa yang lalu dipohon daripada Allah Ta’ala dan keduanya, keupayaan untuk menjauhkan dosa-dosa pada masa akan datang juga harus diminta daripada Allah Ta’ala. Tetapi, istighfar itu tidak hanya dipenuhi dengan ucapan mulut sahaja; ia harus datang dari hati. Adalah penting berdoa dalam bahasa sendiri ketika menunaikan solat.’ (Malfoozaat Jilid 1, Halaman 525, Edisi 2003, cetakan Rabwah)
Inilah maksud istighfar yang sebenar bahawa meminta keampunan dan menjauhi dosa-dosa. Bagi mendapatkan huraian tentang dosa maka perintah-perintah di dalam Al-Qur’an hendaklah direnungi.
Pada satu majlis ada seorang datang menemui Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, di dalam majlis tersebut Maulvi Abdul Karim pun ada duduk bersama dan beliau mengenal orang tersebut. Orang itu berkata bahawa dia memiliki pelbagai kekurangan, dia telah menemui ramai Pir, firkah-firkah dan petapa, namun tidak memberikan kepuasan kepadanya. Katanya, dia ada kekurangan iaitu suka mengumpat, tidak cenderung untuk beribadat dan banyak lagi kekurangan lain. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam menjawab: ‘Aku faham, masalah engkau yang sebenar adalah engkau tidak sabar, yang lain itu adalah keadaannya. (Penyakit yang sebenar, kerana anda tidak sabar) Jika manusia tidak memiliki kesabaran dalam urusan duniawinya tetapi dapat menunggu dengan sabar hasilnya, namun mengapakah dia tidak menunjukkan kesabaran yang sama ketika di hadapan Tuhannya? Adakah seorang petani menanam benih dan menunggu untuk menuai hasilnya dalam hari yang sama? Atau pun selepas sahaja seorang anaknya dilahirkan lalu menginginkan ia menjadi dewasa dengan segera supaya dapat membantunya? Tiada kemungkinan berlakunya hal yang terburu-buru seperti ini. Seseorang yang inginkan hasil dengan segera adalah seorang yang bertindak bodoh. Seseorang yang melihat kekurangan dirinya sebenarnya sangat beruntung, jika tidak maka syaitan akan menunjukkan kejahatan dan keburukan akhlaknya sebagai sesuatu yang indah. Maka engkau harus menjauhi sikapmu yang tidak sabar dan mintalah pertolongan Allah Ta’ala dengan kesabaran dan kesungguhan dan meminta ampunan kepada-Nya. Tiada lagi cara lain. Seorang manusia yang datang kepada utusan-utusan Tuhan lalu meminta agar mereka dapat mengubahnya, sebenarnya perintah Tuhan adalah ia harus dilakukan dengan penuh kepatuhan kepada-Nya. Kecuali seseorang meninggalkan kekuasaan duniawi, tiada apa yang akan dapat dicapainya. Ketika seorang yang sakit berjumpa doktor lalu menceritakan segala penyakitnya dan doktor mengetahui puncanya dan memulakan rawatan. Begitu juga, masalah anda adalah ketidaksabaran. Jika anda merawatnya dengan izin Allah Ta’ala segala kekurangan yang lain akan hilang. Keyakinan kita adalah, kita jangan sekali-kali hilang kepercayaan kepada Allah Ta’ala dan terus mencari sehingga ke akhir hayat. Kecuali jika manusia meletakkan kesabaran dan mencari sehingga ke titik akhir. Allah Ta’ala Maha Berkuasa dan jika dengan izin-Nya, Dia akan menjadikan seseorang berhasil dalam sekelip mata. Tetapi keinginan Asyik Sadiq ialah hendaklah teguh dalam mencari-Nya. (Yakni, secara teguh berlari menuju kepada-Nya) Sebuah syair Farsi menyatakan: Gir nabayat badost rahi bardan, sharte asyik hast dartalab murdan “Jika tidak pun tercapai berjumpa dengan teman, keasyikan untuk mencarinya adalah syarat yang utama” (Untuk mendapatkannya ia sanggup mati kerananya) Ada dua jenis penyakit, satu Mastawi, dan satu lagi Mukhtalif. Mustawi adalah penyakit yang terus dapat dilihat kesakitannya dan manusia amat memerlukan penawarnya tetapi mereka tidak peduli kepada penyakit jenis Mukhtalif. Demikian juga, beberapa dosa dapat dilihat manakala yang lain tidak kelihatan kepada manusia. Oleh sebab itulah manusia disuruh sentiasa beristighfar. Allah Ta’ala telah memberikan Al-Qur’an untuk melakukan perbaikan. Jika tugas Tuhan hanya dengan hembusan lalu menyembuhkan manusia, untuk apa Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam diutuskan dengan melalui pelbagai penderitaan selama 13 tahun di Mekah? Baginda seharusnya ada kuasa ke atas Abu Jahal. Bukan sahaja Abu Jahal, Abu Talib juga memiliki kecintaan kepada baginda tetapi beliau tidak menerima Islam. Secara ringkasnya ketidaksabaran itu tidak baik, ia akan membawa kepada keburukan.(Malfoozaat Jilid 1, Halaman 528-529, Edisi 2003, cetakan Rabwah)
Dalam satu majlis seorang minta kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam supaya didoakan berkenaan dengan hutangnya yang semakin bertambah. Lalu beliau bersabda, banyakkan beristighfar. Inilah cara yang terbaik bagi menghilangkan kesedihan. (Untuk menghindari daripada kesedihan, caranya adalah beristighfar, yakni bagi menghilangkan kesedihan hendaklah beristighfar) Beliau bersabda, kunci kemajuan adalah istighfar. Yakni, kunci kemajuan anda adalah istighfar. (Malfoozaat Jilid 1, Halaman 442, Edisi 2003, cetakan Rabwah)
Ingatlah, pintu istighfar baru akan terbuka, apabila ia beristighfar seperti yang telah dihuraikan sebelum ini, yakni bagaimana seorang insan itu menyerahkan dirinya demi Allah Ta’ala. Ada seseorang menyatakan doakan supaya aku dikurniakan seorang anak. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda, banyakkan beristighfar, dengan istighfar dosa-dosa dapat keampunan dan Allah Ta’ala pun akan mengurniakan anak kepadamu. Ingatlah, keyakinan adalah suatu yang amat besar pengaruhnya. (Yakni, apabila seseorang itu beristighfar, hendaklah ia merasa yakin sepenuhnya dengan Allah Ta’ala) Apabila seseorang itu merasa yakin dengan sepenuhnya maka Allah Ta’ala sendiri yang akan memberikan pertolongan kepadanya. (Malfoozaat Jilid 1, Halaman 444, Edisi 2003, cetakan Rabwah)
Dalam satu kesempatan beliau bersabda, untuk menghindari kelemahan diri perbanyakkan istighfar. Bagi menghindari daripada azab dosa istighfar itu seperti seseorang yang dipenjara, setelah ia membayar denda lalu ia dibebaskan. (Malfoozaat Jilid 1, Halaman 507, Edisi 2003, cetakan Rabwah)
Dalam satu kesempatan lagi beliau menasihatkan, sebahagian orang disebabkan kesedihan ia memukul dirinya dan perbuatan itu disebabkan daripada tingkah lakunya sendiri. Seperti Allah Ta’ala berfirman: MAIYA’MAL MITSQOOLA ZARRATIN SYARRAI YARAH ertinya: Barangsiapa berbuat keburukan seberat zarah, ia akan melihat hasilnya. (Al-Zilzal:9)
Oleh itu, menjadi kelaziman bagi manusia untuk selalu bertaubat dan beristighfar, supaya amalan buruk tidak melampaui batas dan dapat dijauhkan daripada malapetaka. Apabila Allah Ta’ala mengurniakan seseorang itu selalunya timbul di dalam hati rasa kecintaan. (Apabila suatu kurnia diperolehi oleh seseorang maka hati orang-orang yang melihatnya akan timbul rasa kecintaan) Tetapi apabila manusia mulai melakukan kejahatan yang melampaui batas, maka ketika itu dari langit akan berlaku penentangan di mana sesuai dengan kehendak Allah membuatkan hati orang-orang menjadi keras. (Apabila Allah Ta’ala telah memutuskan dan tiada kelihatan boleh memberikan kurnia-Nya, maka ketika itu hati orang-orang akan menjadi keras) Tetapi apabila manusia mulai bertaubat dan istighfar lalu memohon keampunan di Istana Ilahi maka secara tidak langsung akan timbul rasa belas kasihan dan tiada sesiapa pun yang mengetahui bagaimana benih kecintaan itu timbul. (Tetapi, apabila hati seseorang telah menjadi keras dan tidak dapat menjadi pewaris kurnia-Nya, kerana perbuatan buruknya mulai kelihatan dan tidak disenangi oleh Allah Ta’ala, ini yang membuatkan hati manusia menjadi keras. Tetapi jika seseorang itu beristighfar dan bertaubat, maka Allah Ta’ala akan mengabulkannya lalu natijahnya hati manusia akan timbul rasa belas kasihan dan kecintaan) Beliau bersabda, benih kecintaan telah tertanam di dalam hati manusia. Sesungguhnya, istighfar adalah preskripsi yang mujarab yang tidak pernah membuat kesilapan. (Malfoozaat Jilid 1, Hal 196-197, Edisi 2003, cetakan Rabwah)
Pada masa ini banyak negara yang telah melakukan kejahatan dengan menyebarkan fitnah dan kekacauan. Pemimpin seperti inilah yang menganggap masyarakat menyukai mereka, sedangkan pandangan masyarakat terhadap mereka adalah makhluk yang seburuk-buruknya. Dan pemimpin-pemimpin ini pula masih kekal berdiri ditampuk kepimpinannya. Hingga kini mereka mempercayai bahawa masyarakat masih menyukai mereka. Gejala seperti ini memang dapat dirasai dan giliran mereka juga akan tiba. Jelasnya, di dunia kekacauan akan semakin bertambah, Allah Ta’ala yang lebih mengetahui. Oleh itu, kita hendaklah perbanyakkan berdoa, semoga Allah Ta’ala menjauhi segala kekacauan di dunia ini.
Dengan istighfar dapat memenuhi tujuan ibadah kepada Allah Ta’ala. Dapat memberikan tawajjuh terhadap Huququllah dan Huquqqul Ibad. Dan dapat menegakkan hubungan yang kuat dengan utusan yang Dia utuskan. Semoga kemarahan Allah Ta’ala terhadap kekacauan di dunia ini dapat dijauhkan. Jalan yang dilalui untuk kedekatan kepada-Nya sama ada dunia dan akhirat telah disediakan. Semua keperluan dan kesulitan bagi manusia ada jalan keluarnya. Seperti kisah-kisah yang telah dihuraikan sebelum ini, di mana Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam menasihatkan, insan yang beristigfar akan menjadi pewaris kurnia yang tidak terhingga daripada Allah Ta’ala. Semoga Allah Ta’ala memberikan kurnia kepada kita orang-orang Ahmadi di mana kita telah beriman kepada Imam Zaman yang telah membimbing kita bagaimana untuk beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Dan membimbing kita bersama dengan kurnia-Nya. Tetapi untuk mendapatkan faedah yang hakiki hendaklah kita secara berterusan beristighfar seperti azimat bagi setiap orang Ahmadi. Semoga Allah Ta’ala menganugerahkan taufik kepada kita semua.
>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<
Diterjemahkan oleh
Abdul Latief Ahmad
Kota Kinabalu, Sabah.
14.03.2012
Salam,
ReplyDeleteMubarak dengan pengiriman terjemahan sabda2 Khalifah Zaman. Hanya Jauhari mengenal Manikam.
Subhanallah sangat2 hebat sekiranya dapat kita menyelami kekuatan Istigfar. Jazakumullah.
Mudah-mudahan kita dapat mengamalkannya didalam kehidupan harian.Amin.
Mohon terus didoakan agar tidak terhenti.
ReplyDelete