Saturday, March 17, 2012

Malfoozaat Jilid 1_15

  MALFOOZAAT JILID 1

HAZRAT MASEEH MAU’UD alaihissalam

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

AMALKAN APA YANG AKU KATAKAN INI

Tujuan aku katakan hal ini ialah supaya mereka yang berhubungan denganku, dan disebabkan hubungan ini mereka menjadi anggota badanku, amalkanlah apa yang aku katakan ini. Bertindaklah menggunakan akal dan Kalam Ilahi supaya makrifat yang sebenar dan cahaya keyakinan akan lahir dalam diri kamu, dan juga kamu akan menjadi wasilah kepada orang lain yang memandu mereka dari kegelapan menuju cahaya. Oleh kerana kebelakangan ini kritikan dibuat berdasarkan kepada alam semulajadi, perubatan dan astronomi, sebab itu menjadi satu kewajipan atas kita untuk menguasai dan mengetahui ilmu-ilmu berkenaan supaya sebelum menjawab, kita mengetahui hakikat kritikan mereka.

MEMPELAJARI ILMU PENGETAHUAN MODEN

Saya menganggap para maulvi itu silap jika menentang ilmu pengetahuan yang baru. Mereka berkata seperti itu sebenarnya hendak menyembunyikan kesilapan dan kelemahan mereka. Fikiran mereka telah ditanamkan bahawa penerokaan ilmu-ilmu baru akan mendatangkan keburukan dan kesesatan kepada Islam. Mereka seolah-olah mengatakan bahawa Islam bertentangan dengan akal dan Sains. Oleh kerana mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menzahirkan kelemahan falsafah mereka, sebab itu untuk menutupi kelemahan, mereka menegaskan bahawa salah jika mempelajari ilmu-ilmu yang baru. Ruh mereka menggigil kerana falsafah, dan sujud di hadapan penyelidikan-penyelidikan yang baru.

FALSAFAH YANG SEBENAR ADA DALAM AL-QUR’AN

Tetapi, mereka tidak jumpa falsafah yang hakiki yang boleh lahir melalui ilham, yang banyak terdapat di dalam Al-Qur’an. Falsafah itu hanya diberikan kepada mereka yang melemparkan diri mereka di pintu Allah Ta’ala dengan penuh kerendahan dan kehinaan, yang hati dan fikiran mereka kosong dari sebarang fikiran takbur, dan mengakui kelemahan mereka lalu mengikrarkan perhambaan dengan cara yang sebenar-benarnya.

ILMU PENGETAHUAN MODEN HARUS MENURUT ISLAM

Jadi, memang hari ini perlu meneroka ilmu-ilmu baru dengan tujuan mengkhidmati Islam dan meninggikan kalimah Allah. Dan lakukan dengan bersungguh-sungguh. Tetapi saya juga ada pengalaman dan saya hendak jelaskan sebagai peringatan bahawa orang yang telah cenderung ke arah ilmu-ilmu ini dan mereka begitu hanyut sehingga tidak ada masa untuk duduk bersama ahli zikir, dan dia sendiri sudah jauh dari nur Ilahi, mereka itu telah terpesong dan jauh daripada Islam. Dan sebagai ganti cenderung kepada ilmu itu, Islam harus dipatuhi, adalah terbalik jika berusaha menjadikan Islam yang menurut ilmu-ilmu itu dan menganggap diri sendiri sebagai pengkhidmat agama dan bangsa. Tetapi ingatlah bahawa orang yang boleh melaksanakan pekerjaan ini, yakni mengkhidmati agama hanyalah mereka yang mempunyai cahaya langit dalam dirinya.

Sebenarnya, pengajaran terhadap ilmu-ilmu ini diberikan menurut kepaderian dan falsafah yang akibatnya pencinta ajaran-ajaran itu, yang pada mulanya bersangka baik, mereka tetap disiplin mengerjakan amalan Islam. Tetapi, oleh kerana mereka terus-menerus berjalan ke arahnya, mereka semakin meninggalkan Islam dan penghujungnya, mereka langsung tidak lagi mengamalkan ajaran Islam, dan mereka tidak ada lagi hubungan dengan perkara yang hakiki. Ini menyebabkan mereka tenggelam dalam membuat penyelidikan dan kajian-kajian tentang ilmu-ilmu moden. Ramai orang yang dianggap sebagai pemimpin suatu kaum, mereka tidak memahami perkara ini, bahawa mereka seharusnya mendapatkan apa sahaja ilmu pengetahuan moden yang boleh mendatangkan manfaat jika dilakukan dengan niat hanya untuk mengkhidmati agama, dan juga mereka harus mengambil manfaat melalui persahabatan dengan mana-mana orang yang datang dari Tuhan.

Keimanan saya menyatakan bahawa sebab tersebarnya fahaman tidak mengakui Tuhan adalah berpunca dari serangan syaitan melalui racun pemesongan yang sarat dengan ilmu semulajadi, falsafah atau dari pihak pakar astronomi terhadap Islam. Untuk menghadapi semua itu atau untuk menjawabnya, Islam dan nur langit dianggap lemah lalu mereka menggunakan kepanjangan akal mereka dan dalil-dalil yang disandarkan ke sana sini. Kesannya, maksud dan tujuan Al-Qur’an itu akan menjadi jauh, manakala fahaman ateisma yang tersembunyi selama ini, itu yang akan diletakkan di dalam hati. Ini menyebabkan satu masa nanti Allah Ta’ala tidak akan memberi kurnia, akhirnya fahaman ateisma akan berkuasa dan itulah yang mewarnai hati sehingga menyebabkan kemusnahan kepadanya.

Kebelakangan ini, orang-orang yang terpelajar sedang menghadapi satu musibat yang besar iaitu mereka langsung tidak mendapat sentuhan ilmu agama. Kemudian, apabila mereka membaca kritikan daripada pakar astronomi atau ahli falsafah, maka akan muncul keraguan dalam diri mereka terhadap Islam, yang akhirnya mereka menjadi Kristian atau ateisma. Dalam keadaan ini juga ibu bapa mereka berlaku sangat zalim atas mereka kerana tidak memberi waktu untuk menanamkan didikan agama kepada mereka, dan sejak dari mula lagi mereka telah ditanamkan dengan kesibukan dan kebendaan sehingga mereka terhindar dari ajaran suci agama.

WAKTU TERBAIK MEMBERI TA’LIM DAN TARBIYAT AGAMA

Hal ini juga hendaklah direnungkan bahawa zaman kanak-kanak adalah masa yang terbaik untuk mendapatkan ilmu-ilmu agama. Jika janggut sudah mula tumbuh, maka mengingat DHOROBA YADHRIBU sudah menjadi sulit. Hafazan waktu kanak-kanak sangat kuat yang tidak mungkin diperolehi pada peringkat umur yang lain. Saya masih ingat bahawa sehingga sekarang saya masih ingat apa yang berlaku zaman kanak-kanak dahulu. Tetapi, kejadian 15 tahun sebelum ini sudah tidak lagi diingati. Sebabnya ialah dalam umur permulaan, kedudukan ilmu itu berada di tempatnya dan disebabkan masa itu adalah saat yang kuat untuk menyerap, maka ilmu itu tidak sia-sia. Namun, ia proses yang sangat panjang. Ringkasnya, dalam cara pembelajaran perkara ini hendaklah diberi perhatian bahawa ilmu keagamaan dilakukan seawal yang mungkin. Dan inilah keinginan saya sejak dahulu dan juga sekarang. Mudah-mudahan Allah Ta’ala menyempurna-kannya. Cuba lihat! Bangsa di sekitar kita yakni Arya telah mengumpulkan dana yang banyak untuk pembelajaran. Mereka juga telah mengeluarkan sarana dan bangunan kolej. Jika orang Islam tidak memberi perhatian yang tegas dalam pendidikan anak-anak, maka dengarkan kata-kataku bahawa anak-anak kita juga akan pergi kepada mereka.

PENGARUH PERSAHABATAN

Satu ungkapan yang terkenal TAKHAM TAASIR, SUHBAT RA ASAR. Bahagian pertama ungkapan ini diperkatakan, tetapi bahagian kedua yakni SUHBAT RA ASAR adalah satu perkara yang tidak perlu lagi untuk membahaskannya. Kita telah melihat terjeratnya setiap anak-anak bangsa yang baik di dalam perangkap Kristian, dan kita juga melihat kesalahan orang-orang Islam malah kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak yang mendapat gelaran ada hubungan dengan keturunan mulia Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam – mereka mengatakan silsilah keturunan mereka mencapai Hazrat Imam Husin radiallaahu anhu. Kita melihat orang Kristian, dan bagaimana mereka membuat tuduhan-tuduhan ke atas pengasas ajaran Islam. Dalam keadaan ini jika seseorang Islam tidak ada perasaan malu terhadap agamanya atau terhadap nabinya sallallaahu alaihi wasallam, apa kezaliman yang lebih teruk berbanding itu?

Jika kamu tidak menyelamatkan anak-anak kamu dari kesan persahabatan dengan orang Kristian, Arya dan yang lain, atau sekurang-kurangnya tidak mahu menyelamatkan mereka, maka ingatlah bahawa bukan hanya atas kamu sendiri malah kamu berbuat zalim atas bangsa dan atas Islam, dan itu satu kezaliman yang sangat besar. Hal itu menunjukkan bahawa kamu seolah-olah tidak ada perasaan langsung terhadap Islam dan tidak ada perasaan meninggikan kemuliaan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam dalam hati.

JADILAH MUTTAQI SUPAYA MUNCUL KEBOLEHAN DAN KEPINTARAN DI DALAM AKAL

Cubalah berfikir dan faham! Gunakanlah akal untuk Tuhan, sebabnya ia boleh melahirkan kebolehan dan kepintaran dalam akal. Jadilah muttaqi. Akal yang suci datang dari langit dan bersama-sama dengannya ada nur, tetapi mereka masih mencari mutiara itu. Dalam silsilah undang-undang suci ini ada undang-undang yang kita lihat dalam undang-undang jasmani. Hujan turun dari langit, tetapi ada suatu tempat yang subur menghijau disebabkan hujan tersebut, ada yang tumbuh hanya rumput lalang, dan ada juga disebabkan titisan hujan itu pergi ke dasar lautan lalu menjadi perhiasan raja-raja.

Dikatakan bahawa DAR BAGE LALAH RAWEDO DAR SYURAH BUM KHAS.

Jika bumi tidak berkelayakan, maka hujan tidak memberi apa-apa manfaat. Malah sebaliknya akan mendatangkan bahaya dan kerosakan. Sebab itu cahaya langit turun dan hendak menerangi hati-hati manusia. Bersedialah untuk menerimanya dan mengambil manfaat daripadanya supaya jangan sampai seperti hujan yang akan mendatangkan kerosakan atas tempat yang tidak layak. Kamu juga hanya akan berjalan di tempat yang gelap sedangkan cahaya terang ada di sekitar kamu, dan akhirnya kamu akan tergelincir jatuh ke dalam perigi buta. Allah Ta’ala lebih penyayang dari seorang ibu yang penyayang. Dia tidak mahu makhluknya menjadi sia-sia. Dia membuka jalan-jalan hidayat dan cahaya atas kamu. Tetapi, untuk berjalan di atas landasan itu kamu harus menggunakan akal dan mensucikan jiwa kamu. Sebagaimana tanah, selagi ia tidak bersedia untuk dibajak, maka tidak akan ada bijih benih tumbuh di dalamnya. Demikian juga tanpa mujahadah dan kerja keras, jiwa tidak menjadi suci, akal yang suci tidak turun dari langit.

Dalam zaman ini, Tuhan telah memberi kurnia yang besar dan dalam menyokong agama dan Hazrat Nabi Karim sallallaahu alaihi wasallam, Dia telah menghantar seorang insan yang sedang berkata-kata dengan kamu ini, supaya memanggil orang ramai ke arah cahaya ini. Jika zaman ini tidak muncul kerosakan dan fitnah, dan tidak juga ada usaha untuk menghapuskan agama Islam, maka kekurangan ini tidak akan muncul. Tetapi, sekarang ini kamu sendiri melihat bahawa setiap penjuru, kiri dan kanan, semua bangsa sedang sibuk dalam usaha untuk menghapuskan Islam. Saya masih ingat dan dalam Barahin Ahmadiyah juga saya telah sentuh bahawa dalam penentangan terhadap Islam, terdapat 600,000 buku telah ditulis dan disebarkan. Perkara yang menghairankan, jumlah orang Islam yang ada di India adalah 600,000 orang dan buku yang diterbitkan adalah sebanyak itu. Jika persoalan jumlah yang banyak ini pun diketepikan, namun penentang kita boleh memberikan setiap orang Islam dengan sebuan buku. Jika bukan kerana semangat daripada Allah Ta’ala, dan janji INNAA LAHUU LAHAAFIZUUN (Al-Hijr:10) ini tidak benar, maka sesungguhnya hari ini Islam hilang dari dunia, dan nama serta tanda-tandanya juga hilang. Tetapi tidak, sama sekali tidak seperti itu. Tangan Tuhan yang tersembunyi sedang memeliharanya. Saya kesal dan sedih akan perkara ini bahawa orang yang dikatakan sebagai muslim langsung tidak risau mengenai Islam sebagaimana kerisauan mereka dalam soal perkahwinan. Dan saya banyak kali secara kebetulan terbaca bahawa wanita-wanita Kristian pada waktu kematian, mereka menuliskan wasiat harta benda mereka untuk penyebaran agama Kristian, dan kita melihat bahawa seluruh hidup mereka dibelanjakan untuk penyebaran ajaran Kristian. Ribuan missionary wanita yang bertebaran di rumah-rumah dan lorong-lorong, dan sedapat yang mungkin mereka membelanjakan harta sebagai bukti keimanan mereka. Namun, kita tidak melihat seorang pun dari pihak orang Islam yang mewasiatkan 50 Rupee untuk penyebaran Islam pada waktu kematian mereka. Tetapi, mereka giat mengeluarkan perbelanjaan dalam hal-hal perkahwinan dan adat-adat resam yang lain, dan yang paling teruk lagi ialah sanggup berhutang semata-mata untuk perbelanjaan yang sia-sia ini. Bukan untuk infaq, bukan untuk diberikan kepada Islam. Sedih! Sedih sekali! Apalagi keadaan orang Islam yang patut dikasihani lebih daripada itu?

(Malfoozaat Jilid 1, halaman 43-46)

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
(17.03.2012)

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...