Antara isi kandungan Khutbah Jumaat kali ini adalah seperti berikut:-
Kesabaran dan doa-doa inilah yang membolehkan orang-orang Mukmin mengecapi kejayaan.
Seandainya kamu memohon pertolongan terus-menerus daripada Allah dengan sabar dan doa-doa, maka bukan sahaja kamu akan terselamat daripada kezaliman mereka, malah kamu juga akan dapat mencapai kemenangan atas mereka.
Kezaliman yang diterima oleh anggota Jemaat Ahmadiyah telah menyebabkan kemajuan Jemaat ini semakin berkmebang pesat ke seluruh dunia. Dan orang-orang yang membuat kezaliman ini telah menjadi sarana kemajuan Jemaat.
Musuh itu yang mana sebelumnya amat keras menentang Jemaat, akhirnya menulis surat menyatakan taubat mereka dan hasrat untuk bergabung dengan Jemaat Ahmadiyah. Kebenaran Jemaat Ahmadiyah telah banyak menyentuh hati para ulama dan paderi-paderi yang menentang. Dan mereka sekarang ini ada yang menyatakan keinginan untuk bai’at.
Jika kita terus-menerus berdoa kepada Allah dan banyak bersabar, tunduk kepada Allah, maka insyaAllah revolusi ini pasti akan kelihatan dan jumlah yang sedikit akan bertambah banyak.
Kisah Mukarram Syeikh Mahmud Ahmad Sahib yang disyahidkan dan anaknya yang cedera.
Mukarram Coudhri Muhammad Siddiq Sahib, bekas Incharge Khilafat Library. Beliau wafat beberapa hari sebelum ini.
Berita kewafatan Mukarram Mas’ud Ahmad Khursyid Sanouri Sahib.
KHUTBAH JUMAAT
HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASIH AL-KHAMISaba
12 NOVEMBER 2010 / 12 NUBUAT 1389HS
06 Zulhijjah 1431HQ
Masjid Baitul Futuh, London
>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<
Tasyahud, Ta’awudz, Al-Fatihah dan Al-Baqarah ayat 154.
Hai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan dengan sabar dan shalat; sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.
Untuk mencapai suatu maksud, Jemaat-jemaat Ilahi hendaklah sentiasa tunduk kepada Allah seperti yang telah diperintahkan di dalam Al-Qur’an. Kesabaran dan doa-doa inilah yang membolehkan orang-orang Mukmin mengecapi kejayaan. Asas ini jugalah yang telah diajarkan dalam mazhab-mazhab terdahulu sebelum Islam, semua nabi-nabi juga telah mengajarkan hal ini, dan Rasulullah s.a.w juga telah memberikan pelajaran ini. Allah Ta’ala telah memberikan pelajaran ini kepada baginda s.a.w untuk disebarkan. Kita orang Islam diperingatkan bahawa kemajuan hendaklah diperolehi melalui kesabaran dan doa-doa, tidak ada cara lain bagi mencapai kejayaan.
Al-Qur’an menegaskan hal ini di berbagai tempat, menasihatkan bahawa maksud kesabaran di sini ialah segala kesulitan yang dihadapi di jalan Allah Ta’ala, tidak akan terkeluar dari mulut ucapan-ucapan yang tidak baik. Sejarah para nabi menjadi saksi bahawa para nabi sendiri pun dan juga para pengikutnya turut mengalami penderitaan. Siapa yang lebih dikasihi oleh Allah Ta’ala kalau bukan Rasulullah s.a.w? Walaubagaimanapun, kesusahan yang dihadapi oleh baginda dan para pengikutnya itu bukan satu perkara yang mudah. Tetapi baginda s.a.w memberi tarbiyat kepada para pengikutnya mengenai kesabaran sehingga apapun kemungkinan yang terjadi, sama ada perang, kezaliman dan sebagainya, para sahabat hanya menggunakan senjata sabar dan doa-doa.
Satu perkara yang lumrah, apabila kehidupan yang dilalui penuh dengan kezaliman, kesusahan, penganiayaan dan kekerasan, sebagai seorang insan, pasti akan merasa risau, banyak tanda-tanya akan timbul di fikiran. Bila kita akan selamat dari kesusahan dan kesulitan ini? Bila kita akan berjaya? Bila musuh akan dicengkam oleh Tuhan?
Dalam memberi ketenangan kepada orang-orang Mukmin, Allah Ta’ala menjelaskan; ingatlah bahawa Tuhan bersama dengan orang-orang yang sabar. Untuk menjalinkan hubungan yang kekal dengan Allah Ta’ala, banyakkanlah bersabar dan berdoa. Kebersamaan Allah Ta’ala ini bukan hanya di dunia, malah selepas mati pun Allah Ta’ala akan tetap bersama dengan orang-orang yang sabar. Seorang Mukmin, walaupun sudah mati, ia tetap akan menjadi pewaris kurnia-kurnia Allah Ta’ala. Bagi memastikan kebersamaan Allah Ta’ala di dunia dan akhirat, teruskan memohon pertolongan daripada-Nya dengan sabar dan banyak berdoa.
Tetapi, bagaimana caranya untuk memohon pertolongan daripada Allah Ta’ala? Ini adalah pekerjaan atau tugas kita. Kesusahan datang, hadapilah dengan bersabar. Jangan merasa risau atasnya. Dan jangan timbulkan keraguan dalam hati. Jalinkan hubungan dengan Allah selama-lamanya. Jangan sampai terjadi, hari ini kita tekun dalam menunaikan sholat, rajin berdoa, kemudian keesokan harinya kita sudah lalai dalam mengerjakan sholat. Seharusnya, ingatan kepada Tuhan itu mesti sentiasa berada dalam hati setiap Mukmin.
Jadi, apabila hal ini wujud dan ada hubungan dengan Allah Ta’ala, dan orang Mukmin banyak memohon doa daripada Allah Ta’ala, maka Allah Ta’ala akan menurunkan rahmat-Nya. Maksud sabar juga ialah berusaha mengamalkan segala perintah-perintah Allah sesuai dengan kemampuan masing-masing secara berterusan. Dan bagaimana keadaan sekalipun, dia berusaha untuk menghindari dosa-dosa. Jadi, seseorang yang disebabkan lapar, disebabkan suatu kesulitan dan juga kerana ditawarkan hal-hal yang menarik, namun dia tetap tidak melarikan diri dari keredhaan Allah Ta’ala dengan membuat pekerjaan yang buruk, mereka itu memiliki nilai kesabaran yang tinggi. Dalam setiap keadaan juga, mereka berusaha untuk melakukan kebaikan demi kebaikan, dan jika terpaksa melalui kesulitan pun mereka sanggup lalui, ini juga dikatakan sabar yang tinggi.
Jadi, mereka yang menginginkan keredhaan Allah Ta’ala, walaupun ditawarkan ganjaran yang lumayan, mereka tetap tidak akan terpengaruh, ini juga sabar yang hakiki. Dan sebagaimana yang telah saya nyatakan bahawa walaupun terpaksa melalui tempoh kesusahan yang begitu panjang, mereka tidak merasa risau atau ragu-ragu dengan utusan Tuhan. Jadi, orang yang beramal dengan cara itu atau mereka yang menunjukkan semangat seperti itu, mereka layak dikatakan orang yang mengamalkan kesabaran yang hakiki.
Kebelakangan ini, orang ramai berusaha untuk menghapuskan keimanan orang-orang Ahmadi, dan saya sudah jelaskan hal ini bahawa mereka cuba mempengaruhi orang Ahmadi dengan mengatakan; Khalifah Semasa dan Jemaat kamu hanya ingin menggembirakan kamu dengan berkata sabar, bersabarlah nanti kesusahan akan berlalu. Di beberapa tempat ada yang menulis risalah dan menyebarkannya, atau mereka juga menggunakan pelbagai kaedah lain bagi menyesatkan orang Ahmadi.
Para pengkritik ini mengatakan bahawa: 100 tahun sudah berlalu, tetapi kesusahan ini tidak pernah berakhir malah semakin hari semakin bertambah. Bila hal ini akan berakhir? Seolah-olah mereka benar-benar berusaha untuk mempengaruhi emosi atau semangat orang-orang Ahmadi. Mungkin dalam fikiran mereka orang Ahmadi ini amat lemah dalam keimanan dan beranggapan bahawa Ahmadi akan dapat diperangkap. Mereka juga memberikan contoh: nabi mana yang hidup susah dalam tempoh yang sangat panjang? Atau Jemaat mana yang harus menempuhi hidup yang sukar dalam tempoh yang begitu lama?
Contoh seperti itu sebenarnya ada dalam hidup setiap nabi-nabi. Jika mereka membaca Al-Qur’an, sudah tentu mereka akan dapat mengetahui sedikit sebanyak mengenai sejarah. Cuba ambil contoh pengikut-pengikut nabi Isa, mereka hidup dalam kesulitan yang kadang-kadang terpaksa tinggal bersembunyi di dalam gua-gua sehingga mencapai tiga ratus tahun lamanya.
Apapun, memang inilah usaha para penentang seperti syaitan yang cuba memesongkan keimanan orang-orang Mukmin. Memang ada seorang dua yang terjerat dalam perangkap mereka, tetapi kebanyakan orang yang beriman akan kekal dalam pendirian mereka. Ketamakan dan kesulitan tidak mempengaruhi keimanan mereka dan kesusahan yang mereka alami tidak menjadikan mereka ragu-ragu terhadap nabi dan Tuhan. Ini adalah kerana mereka menunjukkan kesabaran yang sebenar. Mereka menunjukkan semangat istiqomah yang tinggi.
Dalam kehidupan di Mekah sebelum hijrah, para sahabat Rasulullah s.a.w telah memberikan contoh pengorbanan sehingga sanggup menyerahkan nyawa mereka. Berbagai hukuman dilalui, bersabar atas kezaliman, dan mereka sentiasa bersedia setiap masa untuk menghadapi mana-mana kesusahan yang datang. Namun, mereka juga bertanya kepada Rasulullah s.a.w dan bukan disebabkan mereka itu lemah dalam keimanan, para sahabat baginda s.a.w begitu kuat dalam keimanan. Mereka bertanya kepada Rasulullah s.a.w bila akan berlalu zaman kesusahan ini? Apabila hal ini ditanya kepada baginda s.a.w, maka Hazrat Khabbab Bin Al-Arat meriwayatkan; kami menyatakan kesusahan yang kami alami kepada Rasulullah s.a.w, baginda s.a.w waktu itu baring di bawah bayang-bayang Ka’bah berbantalkan kain cadar. Kami berkata; Adakah tuan tidak berdoa kepada Allah untuk kami agar kesulitan ini akan berakhir? Baginda s.a.w menjawab: Sebelum kamu ada insan yang telah berlalu di mana mereka digalikan lubang dan mereka ditanam di dalamnya. Kemudian ada yang dibawakan gergaji lalu mereka dipotong menjadi dua bahagian. Namun begitu, mereka tetap tidak berpaling dari keimanan mereka. Ada juga yang dicucuk badan mereka dengan besi. Ada yang dirobek kulitnya. Namun semua itu tidak menggugurkan keimanan mereka. (Sahih Bukhari, Kitabul Manaqib, bab Alamatun Nubuwah Fil Islam, hadis nombor 3612). Semua ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w di hadapan para sahabat.
Jadi, Rasulullah s.a.w telah memberi kefahaman kepada para sahabat berkenaan dengan perkara asas yang dimiliki oleh Jemaat-jemaat Ilahi, bahawa kesulitan dan kesusahan ini pasti akan datang. Dari pihak penentang, kezaliman ini pasti akan datang. Walaubagaimanapun, kezaliman ini tidak akan memesongkan mereka dari agama, malah mereka akan bersabar dari segala segi.
Jadi, seandainya kamu memohon pertolongan terus-menerus daripada Allah dengan sabar dan doa-doa, maka bukan sahaja kamu akan terselamat daripada kezaliman mereka, malah kamu juga akan dapat mencapai kemenangan atas mereka. Ada juga seseorang telah memohon doa daripada Hazrat Masih Mau’ud a.s dan menzahirkan kerisauan yang amat besar. Katanya, seorang maulvi yang menjadi guru di sebuah sekolah di kampungnya selalu membuat kesusahan kepadanya. Mohon doa agar guru itu dipindahkan dari sekolah itu. Setelah mendengar rayuannya, Hazrat Masih Mau’ud a.s tersenyum lalu berkata:-
“Apabila memasuki Jemaat ini, ajarannya hendaklah diikuti. Jika kesusahan tidak dirasai, bagaimana hendak mendapat pahala? Utusan Tuhan Rasulullah s.a.w menanggung kesusahan di Mekah selama 13 tahun. Kamu sekarang ini tidak tahu kesusahan di zaman itu dan kamu juga tidak merasainya. Tetapi, baginda s.a.w telah mengajarkan para sahabatnya dengan kesabaran.”
Berkata lagi: “Akhirnya musuh semua musnah. Satu masa yang dekat di mana kamu akan melihat bahawa orang-orang jahat ini akan hilang. Allah Ta’ala telah beriradah agar Jemaat suci ini akan tersebar ke seluruh dunia. Masa ini mereka memberikan kesusahan kerana melihat kamu hanya sedikit. Tetapi apabila Jemaat ini sudah besar, mereka semua ini akan terdiam dengan sendirinya. Jika Tuhan berkehendak, mereka ini tidak akan memberi kesusahan atau orang yang membuat kesusahan ini tidak akan lahir, tetapi Tuhan hendak memberi pelajaran tentang kesabaran melalui mereka. Setelah bersabar sedikit, kamu akan melihat bahawa mereka itu langsung tidak ada apa-apanya. Orang yang memberi kesusahan, sama ada mereka itu bertaubat atau akan dihancurkan. Ada beberapa pucuk surat yang datang menyatakan kami selalu mencaci-maki dan menganggapnya satu kebaikan, tetapi sekarang kami bertaubat dan kami bai’at.”
Berkata lagi: “Sabar juga adalah satu ibadat. Tuhan berfirman orang yang bersabar akan mendapat ganjaran yang tidak ternilai. Yakni mereka akan diberikan nikmat yang tidak terkira. Ganjaran ini hanya akan diberikan kepada mereka yang bersabar. Untuk ibadat yang lain, Tuhan tidak menjanjikan sedemikian rupa. Apabila seseorang hidup dalam perlindungan, jika ada yang hendak mendatangkan kesusahan kepadanya, maka pelindungnya akan teruja untuk menghancurkan golongan yang membuat kesusahan. Demikian jugalah Jemaat kita yang berada dalam perlindungan Tuhan, maka dengan menanggung kesusahan akan menguatkan keimanan. Tidak ada benda yang sama dengan sabar”. (Malfoozaat Jilid 2, halaman 543-544, edisi baru)
Dan hal ini telah dijelaskan oleh Hazrat Masih Mau’ud a.s dalam tahun 1902 kepada seseorang yang bertanya. Dan secara kebetulan, ketika saya mencari rujukan, bulan itu juga adalah bulan November 1902. Maksudnya, hal ini telah beliau jelaskan 108 lapan tahun dahulu. Apapun, di dalamnya Hazrat Masih Mau’ud a.s menzahirkan tentang kebenarannya dan keyakinan yang penuh kepada Tuhan, bahawa beliau adalah utusan Tuhan dan pertolongan-Nya akan datang. Beliau menjelaskan hal ini adalah kerana beliau yakin sepenuhnya disebabkan ada khabar daripada Allah Ta’ala, seolah-olah ini juga adalah satu khabar ghaib.
Hari ini kita dapat melihat bahawa apa yang dikatakan oleh Hazrat Masih Mau’ud a.s menjadi sempurna yakni Jemaat suci ini akan tersebar ke seluruh dunia. Dengan kurnia Allah kita dapat melihat Jemaat Ilahi ini telah berkembang ke seluruh dunia. Mereka itu berusaha membuat penganiayaan ke atas orang Ahmadi, berusaha menzalimi orang-orang Ahmadi, dan menyusahkan orang-orang Ahmadi.
Sebagai contoh di Pakistan, ramai anak-anak Jemaat di sekolah dan kolej yang diganggu, berusaha mengeluarkan mereka dari situ, berusaha merugikan perniagaan orang-orang Ahmadi, berusaha membunuh sehingga ada Ahmadi yang syahid. Tetapi, dengan semua ini pun, Jemaat Ahmadiyah tetap berkembang luas ke seluruh dunia. Bukan sahaja pelajar yang dihalang-halang itu akan pergi belajar ke luar negara dan berhasil, malah pelajar itu akan mengajarkan ajaran Jemaat ke luar negara. Perniagaan Jemaat yang selalu diganggu menyebabkan perniagaan mereka mengalir keluar negara yang bukan sahaja akan memberi banyak keuntungan, malah Ahmadiyah juga akan turut sama mendapat manfaat. Kemudian, disebabkan kesyahidan, ramai keluarga anggota Jemaat yang telah syahid berhijrah keluar negara sehingga menyebabkan mereka dapat menyebarkan ajaran ini mengalir keluar negara.
Kemajuan Jemaat juga adalah takdir Ilahi sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Hazrat Masih Mau’ud a.s, kezaliman yang diterima oleh anggota Jemaat Ahmadiyah telah menyebabkan kemajuan Jemaat ini semakin berkembang pesat ke seluruh dunia. Dan orang-orang yang membuat kezaliman ini telah menjadi sarana kemajuan Jemaat. Orang menjadi hairan kenapa Jemaat ini begitu dikenali di seluruh dunia. Di luar Pakistan, setiap hari jumlah anggota Jemaat yang bai’at semakin bertambah.
Jadi, apabila hal ini terjadi di peringkat permulaan, dan Jemaat semakin berkembang, khabar ghaib Hazrat Masih Mau’ud a.s dan janji Allah Ta’ala menjadi sempurna dengan jayanya, maka insyaAllah, khabar ghaib ini akan terus sempurna, dan apabila Jemaat sudah besar, maka para musuh akan terdiam dengan sendirinya.
Usaha yang seharusnya kita laksanakan ialah menjadikan jumlah yang sedikit ini bertambah banyak. Allah Ta’ala hendak melibatkan kita dalam usaha yang bermanfaat iaitu ‘bertablighlah kamu, sampaikan amanat’. Jika tidak, maka sebagaimana Jemaat yang berkembang dengan begitu cepat dan kesannya yang begitu jelas, ia bukanlah satu pekerjaan yang boleh dilakukan oleh seorang insan. Sebagaimana yang Hazrat Masih Mau’ud a.s nyatakan bahawa ada surat yang datang menyatakan; kami bertaubat dan bergabung dengan Jemaat. Musuh itu yang mana sebelumnya amat keras menentang Jemaat, akhirnya menulis surat menyatakan taubat mereka dan hasrat untuk bergabung dengan Jemaat Ahmadiyah.
Demikian juga pada hari ini, silsilah yang dahulu akan terus berlanjutan, malah kebenaran Jemaat Ahmadiyah telah banyak menyentuh hati para ulama dan paderi-paderi yang menentang. Dan mereka sekarang ini ada yang menyatakan keinginan untuk bai’at. Jadi, revolusi ini akan dilahirkan oleh Allah dalam hati-hati mereka.
Jika kita terus-menerus berdoa kepada Allah dan banyak bersabar, tunduk kepada Allah, maka insyaAllah revolusi ini pasti akan kelihatan dan jumlah yang sedikit akan bertambah banyak. Para penentang, jika mereka masih hidup, mereka akan dapat melihat, dan jika sudah mati, anak keturunan mereka akan dapat melihat. Jadi, sebagaimana yang Hazrat Masih Mau’ud a.s katakan bahawa ada masanya orang-orang jahat ini tidak akan kelihatan lagi. Pada waktu itu, para penentang akan terpadam dengan sendirinya.
Kejayaan akan diberikan oleh kepada orang-orang yang teguh dalam keimanan, yang mempamerkan kesabaran yang tinggi, yakin akan janji Allah, dan kesulitan serta kesusahan tidak menggugat keimanan mereka. Ringkasnya, pekerjaan kita adalah menunjukkan kesabaran dan istiqomah menghadapi sebarang kesusahan dan giat dalam berdoa.
Allah Ta’ala juga menyatakan bahawa; siapakah orang yang bersabar dan berdoa? Allah Ta’ala berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 46 WASTA’IINUU BIS SHOBRI WAS SHOLAATI, WA INNAHAA LAKABIIROTUN ILLAA ‘ALAL KHOOSYI’IIN. Yakni, mintalah pertolongan dengan sabar dan doa. Sesungguhnya ia adalah berat kecuali atas orang-orang yang merendah diri.
Maksudnya di sini, orang-orang yang ada hubungan rapat dengan Allah Ta’ala akan menuju kemajuan. Kesabaran akan dimiliki oleh orang-orang yang merendah diri. Orang yang takbur tidak akan dapat menzahirkan kesabaran. Orang yang takbur tidak akan dapat tunduk kepada Allah seperti yang sepatutnya dia lakukan. dan apabila hal ini tidak berlaku, maka mereka juga terhindar dari pertolongan Allah Ta’ala. Apabila Tuhan berfirman kepada Hazrat Masih Mau’ud a.s “Aku telah menyukai kerendahan hati engkau”, maka atas pengumuman itulah beliau diutus oleh Allah Ta’ala, dan insyaAllah kejayaan itu akan dikecapi jika mengikut langkah-langkah beliau. Pekerjaan yang akan diamanahkan oleh Allah atas beliau, berkat yang mengiringinya begitu banyak, dan disebabkan itu, walaupun penentangan dan halangan begitu kuat, namun misi Allah Ta’ala akan tetap berjaya. Dan dengan kurnia Allah Ta’ala, kita sedang menyaksikannya.
Jadi, kita sebagai Ahmadi tidak menyimpan sedikitpun perasaan syak iaitu penentang-penentang Ahmadiyah tidak akan dapat menyekat pergerakan Jemaat Ahmadiyah. Pengumuman mengenai pertolongan Allah banyak terdapat di dalam Al-Qur’an. Allah Ta’ala memberitahu di berbagai tempat; Aku akan menolong hamba-hamba-Ku dan Jemaat yang Aku dirikan. Dan hal ini telah menguatkan lagi keyakinan kita bahawa Ahmadiyah insyaAllah akan menang. Hidup seorang Mukmin juga hendaklah mendapatkan keredhaan Allah. Dan kehidupan selepas mati pun, mereka hendaklah yakin bahawa di dunia ini, mereka menanggung kesusahan dan kesulitan semata-mata kerana Allah, itu semua akan menjadikan mereka dapat mewarisi kurnia-kurnia Allah. Sesungguhnya kesusahan ini akan menjadi asas kepada penyempurnaan janji Allah Ta’ala. Allah Ta’ala berfirman ALLAZIINA YAZUNNUUNA ANNAHUM MULAAQUU ROBBIHIM WA ANNAHUM ILAIHI ROOJI’UUN. (Al-Baqarah:47), yakni; “orang-orang yang yakin bahawa mereka akan bertemu dengan Tuhan mereka dan bahawa kepada-Nya juga mereka akan kembali”.
Ayat ini dan ayat sebelumnya menjelaskan bahawa orang yang sabar dan istiqomah, orang yang memohon pertolongan daripada Allah dalam segala urusan, dan orang yang sentiasa tunduk kepada Allah dalam keadaan susah atau senang, mereka inilah yang sentiasa memperlihatkan kerendahan diri. Dan disebabkan kerendahan itu, mereka menjadi pewaris kurnia-kurnia Allah. Dalam diri mereka tidak ada sebarang perasaan takbur. Mereka sentiasa berusaha untuk kehidupan dunia dan juga untuk kehidupan akhirat. Yakni, seorang Mukmin dibangkitkan dari orang-orang dunia untuk memohon kepada Allah agar kesusahan dan musibah tidak menimpa mereka. Kesabaran dan doa-doanya menjadikannya lebih banyak tunduk di hadapan Allah Ta’ala supaya dapat mewarisi kurnia-kurnia Allah. Usahanya tidak pernah luntur. Jika Allah Ta’ala memberikan perintah bahawa peperangan untuk agama tidak lagi dibenarkan seperti yang Hazrat Masih Mau’ud a.s umumkan kepada dunia, maka beliau sanggup mengorbankan jiwanya, tetapi kesabaran dan kesungguhannya serta hubungannya dengan Allah tidak akan goyang. Ini kerana beliau yakin bahawa dunia ini adalah sementara, dan selepas mati akan bertemu dengan Allah Ta’ala. Sebab itu, beramal atas perintah-Nya adalah amat perlu. Keinginan Allah Ta’ala dan segala apa yang telah diberitahu oleh utusan-Nya hendaklah diamalkan. Kita boleh memberikan nyawa, tetapi tidak boleh meninggalkan perintah-Nya.
Di sini juga ada peringatan kepada mereka yang suka membuat kerosakan atas nama jihad, yang menyatakan bunuh diri dibolehkan dalam Islam, keganasan dan mencetuskan huru-hara itu dibolehkan dalam Islam, dan membunuh orang-orang yang tidak bersalah. Semua ini sebenarnya tidak diterima di sisi Allah. Jika mendakwakan diri ada hubungan dengan Allah Ta’ala, janganlah berbangga kerana telah membunuh nyawa orang-orang yang tidak bersalah dengan mengumumkan bahawa ‘ini adalah pekerjaan kami dan kami telah sempurnakan’. Sepatutnya kamu berusaha dengan menyatakan bahawa ‘kami telah merendahkan diri dan bersabar serta banyak berdoa’. Jangan jadikan undang-undang negara itu tunduk kepada kamu atau jangan berusaha untuk itu. Sebabnya, semua itu adalah ciri-ciri orang takbur, dan orang yang takbur tidak akan mendapat pertolongan daripada Allah.
Hari ini, cara berfikir seperti ini sedang dilakukan oleh orang Ahmadi yang sentiasa berusaha mencari pertolongan Allah Ta’ala. Dengan merendah diri, mereka maju dalam kebaikan-kebaikan. Untuk mendapatkan kemuliaan dari ayat WABAS SYIRIS SHOOBIRIIN dan INNALLAAHA MA’AS SHOOBIRIIN, mereka sanggup melalui hidup yang sukar, malah jika perlu, mereka sanggup mengorbankan nyawa mereka.
Orang-orang seperti itu juga telah diberikan khabar gembira oleh Allah ULAA’IKA ‘ALAIHIM SHOLAWAATUM MIR ROBBIHIM WAROHMAH, WA ULAA’IKA HUMUL MUHTADUUN. (Al-Baqarah:158) yakni ‘mereka inilah yang dilimpahi berkat-berkat dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah yang mendapat petunjuk’.
Jadi, bagi mereka yang mahu, katakanlah semahu kamu bahawa kami ini hidup dalam kesukaran sejak begitu lama, sebab ini akan menzahirkan pendustaan kamu. Kami langsung tidak peduli kerana Tuhan bersama-sama dengan kami. Tuhan sentiasa menurunkan rahmat dan berkat disebabkan kami bersabar atas musibat dan kesusahan yang kamu berikan.
Jadi, pekerjaan kita sebagai Ahmadi ialah jangan lepaskan amalan berdoa dan bersabar ini, jangan pernah tinggalkan supaya Allah Ta’ala sentiasa menurunkan kurnia-kurnia-Nya. Semoga Allah memberi kita taufik untuk itu.
Sekarang ini saya akan ceritakan kisah orang syahid yang telah disyahidkan dalam beberapa hari yang lepas. Mukarram Syeikh Mahmud Ahmad Sahib bin Mukarram Nazir Ahmad Sahib, pada 8 November hari Isnin, lebih kurang 7.45 malam balik dari kedai bersama anaknya Arif Mahmud. Sebaik sahaja menghampiri kawasan rumah, motosikal yang pemandunya tidak dikenali telah menembak mereka dari arah belakang. Waktu itu anaknya yang menunggang motosikal dan Syeikh Mahmud duduk di belakang. Syeikh Mahmud terkena tiga das tembakan dan anaknya satu das tembakan. Syeikh Mahmud meninggal di tempat kejadian sedangkan anaknya dimasukkan ke dalam Hospital kerana cedera. Anaknya berumur 28 tahun. Mudah-mudahan Allah Ta’ala memberikan kesembuhan yang sempurna. Anaknya menunjukkan semangat yang berani. Khabar dari Rabwah menyatakan bahawa anaknya berkata; ‘jangan risau, peluru dan kecederaan ini tidak akan menggoyangkan keimanan kami, saya tidak peduli tentang kecederaan ini dan kami tetap seperti biasa. Tidak ada apa-apa yang patut dirisaukan’. Datuk Syeikh Mahmud telah bai’at di tangan Hazrat Masih Mau’ud a.s pada tahun 1907, dengan demikian beliau mendapat darjat Sahabi. Ayahnya telah bai’at pada tahun 1932 di tangan Hazrat Khalifatul Masih Tsani r.a. Mereka sebelumnya tinggal di Kuetah. Dalam tahun 1935, mereka pindak ke Murdan. Dua bulan sebelumnya, serangan di Masjid Murdan telah menyebabkan anak buahnya Syeikh Hamid Reza disyahidkan. Keluarga mereka adalah keluarga peniaga. Dengan kurnia Allah Ta’ala, perniagaan mereka memang berjalan baik. Sebab itulah mereka sentiasa di dalam perhatian para penentang. Syeikh Sahib dan saudara-saudaranya pernah beberapa kali menjadi tahanan di dalam jalan Allah, mereka menghadapi 20 pertuduhan atas nama Jemaat. Mereka juga selalu dizalimi. Dalam perbicaraan tahun 1974, apabila Maulana Dost Muhammad Sahib Syahid selalu membantu, maka untuk membuat rujukan, ada dua buah buku amat diperlukan. Syeikh Sahib pada masa itu berada di Islamabad. Apabila disentuh mengenainya, maka beliau pergi ke sana dua kali untuk membawa buku itu, dan dalam perbiacaraan di perhimpunan itu, ia berguna sebagai rujukan. Dengan kurnia Allah, sejak muda lagi beliau seorang yang kuat berkhidmat untuk Jemaat. Beliau pernah diganggu pada tahun 2008 tetapi aman apabila memberikan bayaran. Pada mulanya, orang yang mengganggu beliau berbuat kezaliman atas beliau, tetapi apabila melihat bahawa beliau ini rajin mendirikan solat dan melakukan zikir Ilahi, menunaikan Tahajjud, lama-kelamaan hatinya menjadi lembut. Dan selepas hatinya menjadi lembut, dia terkesan lagi apabila beliau ini menyediakan air sejuk dan kipas dalam cuaca yang panas, dan hati orang-orang yang telah mengganggunya kelihatan lembut apabila mengembalikan wang yang pernah diminta oleh mereka.
Tidak berapa lama dahulu, ada bom yang diletakkan berhampiran kedainya dengan tujuan untuk menghancurkannya, namun bagitu, kerosakan banyak berlaku. Apapun, mereka tetap berada di Murdan. Beliau sendiri dan keluarganya yang lain turut merasakan kesusahan. Semoga Allah meninggikan darjat orang yang syahid ini, dan semoga keluarga yang lain sentiasa berada dalam pemeliharaan Allah Ta’ala, dan juga semoga setiap Ahmadi di Murdan dan bandar-bandar yang lain di Pakistan berada dalam perlindungan Allah. Ini kerana musuh semakin berusaha sekeras-kerasnya.
Beliau seorang yang teratur dalam solat, memberikan tumpuan dalam mendengar khutbah dan selalu memperdengarkan khutbah kepada semua keluarganya. Banyak melakukan Khidmat Khalq di berbagai tempat. Di bandar Murdan, beliau memasang di beberapa tempat water cooler elektrik untuk kemudahan air sejuk. Selain meninggalkan isteri, ada dua anak lelaki dan dua anak perempuan yang berumur antara 20 hingga 28 tahun. Semoga Allah memberi kesabaran kepada anggota keluarganya yang ditinggalkan, diberi perlindungan oleh Allah. InsyaAllah selepas ini akan dilakukan solat Jenazah Ghaib untuk beliau.
Selain itu, ada seorang anggota lagi iaitu Mukarram Coudhri Muhammad Siddiq Sahib, bekas Incharge Khilafat Library. Beliau wafat beberapa hari sebelum ini. Innaa Lillaahi Wa Innaa Ilaihi Rooji’uun. Seorang Wakaf Zindegi, lahir pada tahun 1915. Ayahnya telah bai’at pada tahun 1906. Ibunya telah bai’at sebelum itu. 1935, beliau telah lulus Maulvi Fazil di Punjab Universiti dengan kedudukan nombor tiga. Selepas itu masuk dalam Jamiah Ahmadiyah. Pada tahun 1938, beliau memohon waqaf dari Hazrat Muslih Mau’ud r.a. Tahun 1960, beliau mengambil B.A swasta dan mendapat Diploma Library Science. Beliau ahli Khilafat Library, sangat suka membaca. Beliau mula belajar Arab di Ta’limul Islam College tahun 1964, maka beliau termasuk dalam Batch pertama M.A Arab di sana. Pada tahun itu, beliau mendapat tempat pertama dalam Arab di seluruh universiti itu. Beliau juga ahli dalam National League yang ditubuhkan pada tahun 1934. Beliau anggota Khuddamul Ahmadiyah permulaan pada tahun 1938, pernah bertugas sebagai Mu’tamad Khuddamul Ahmadiyah Markaziah, Editor Khalid dan Pembantu Sadar. Pada waktu itu, Hazrat Muslih Mau’ud r.a sendiri menjadi Sadar Khuddam. Dalam hijrah 1947, beliau dalam rombongan menjemput Hazrat Amma Jaan dan beberapa orang anak Hazrat Masih Mau’ud a.s. Dalam tahun 1948, beliau masuk Furqan Batalion.
Dalam tahun 1940, untuk memenuhi kekurangan ulama-ulama, Hazrat Muslih Mau’ud mengumpulkan anak-anak muda untuk belajar dari ulama ghair Jemaat yang baik dalam pelbagai perkara, beliau sendiri termasuk dalam program ini. Kesimpulannya, beliau berkhidmat begitu cukup lama. Selepas itu beliau pencen sebagai ahli Library. Semoga Allah meninggikan darjatnya. Anggota dalam Tahrik Jadid. Beliau juga anggota dalam Sadar Anjuman Ahmadiyah pada peringkat awal. Selepas datang ke Pakistan, beliau juga anggota dalam anjuman yang didirikan. Beliau menjadi Sadar Umumi Rabwah. Saya sendiri telah melihatnya, umur kami begitu jauh berbeza, namun beliau sangat merendah diri. Tetapi, di mana tempat memerlukan ketegasan, beliau akan bertegas. Apapun, beliau seorang pengkhidmat yang berkebolehan.
Selain itu ada satu lagi jenazah. Untuk beliau ini juga akan dilakukan sholat Jenazah Ghaib. Jenazah Ghaib yang ketiga ialah Mukarram Mas’ud Ahmad Khursyid Sanouri Sahib. Beliau wafat dua bulan lepas. Beliau juga telah menunjukkan khidmat yang luar biasa terutama sekali di Karachi dan Amerika. Anak-anak beliau juga mengkhidmati Jemaat di sini. Semoga Allah Ta’ala juga meninggikan darjat mereka.
Sebagaimana yang telah saya katakan bahawa sholat Jenazah Ghaib akan dibuat selepas ini.
Diterjemahkan oleh
Saladdin Syed Ali,
Sabah
Untuk teks penuh, silakan email saya di
Salam buat pembaca terutama peserta seminar!
Kepada peserta yang hadir hari ini mungkin sudah mengetahui sedikit sebanyak tentang ajaran QADIANI, tetapi sebagaimana yang telah saya katakan bahawa isi kandungan seminar ini pasti sama dengan isi fatwa ulama-ulama, hanya saja diperbaharui sedikit dan diolah agar nampak kelainan.
Sebagaimana yang dicadangkan oleh tuan moderator, kalau tidak silap Ustaz Jumain Abdul Ghani, Bahagian Penyelidikan & Informasi, JHEAINS, para peserta boleh melayari blog ini pengikut Jemaat ini untuk mendapatkan maklumat tentang Qadiani.
Antara fitnah yang masih digembar-gemburkan
1. Haji pergi ke Qadian
2. Mengubah ayat Qur’an
Entah, sampai bila akan dapat melihat kebenaran bahawa pengikut Jemaat Ahmadiyah pergi haji ke Mekah dan orang Ahmadiyah tidak mengubah ayat Qur’an.
boleh rujuk
http://barahinahmadi.blogspot.com/2009/09/respon-terhadap-penulis-kosmo.html
http://barahinahmadi.blogspot.com/2009/10/respon-to-kuliah-hadi-awang.html
wassalam.
boleh lawati blog beliau
http://pustakaalghazali.wordpress.com/2010/12/21/bicara-hijrah-isu-isu-aqidah-siri-1/