Antara isi khutbah kali ini ialah seperti berikut:-
Dalam keburukan-keburukan yang menelan diri manusia yang tidak dapat disedari ialah syirik. Orang Islam memang tidak mengerjakan syirik yang zahir, tetapi mereka tenggelam dalam syirik yang tersembunyi.
Kewajipan seorang Ahmadi ialah membuat perubahan dalam amalan. Jadikan ibadat kita memperlihatkan tentang ketauhidan Ilahi dan juga dalam amalan harian kita.
Jika hanya tertumpu pada satu-satu amalan zikir dan wirid lalu mengabaikan apa yang fardu, itu juga satu cara yang tidak betul. Dalam masyarakat seperti ini, setiap Ahmadi hendaklah berjihad menghindari bid’ah-bid’ah.
Hendaklah diingat sentiasa bahawa setiap pekerjaan walaupun dianggap sekadar untuk berseronok, sekiranya asas amalan itu syirik dan mendatangkan kerugian, Ahmadi harus menjauhinya.
Di kalangan Kristian atau di Barat, Halloween adalah satu adat. Dan, jika ia dilihat dengan mendalam, maka akan dapat diketahui bahawa adat yang muncul dalam Kristian ini boleh menjerumuskan seseorang dalam syirik. Ia boleh merosakkan kesucian agama dan rumah.
Kepada orang Ahmadi, kamu semua amat perlu menghindari hal ini. Tanggungjawab seorang anak dan pemuda Ahmadi ialah menjalinkan hubungan dengan Allah Ta’ala. Kenalilah tujuan kita diciptakan. Lakukanlah apa yang telah diperintahkan oleh Tuhan. Jangan jadikan budaya Barat itu mempengaruhi kamu sehingga lupa akan perbezaan antara baik dan buruk. Ia juga boleh menjadikan kita lupa akan zat Allah Ta’ala, lalu tenggelam dalam syirik yang tersembunyi, lama-kelamaan, akhirnya akan bergelumang dengan syirik yang zahir.
KHUTBAH JUMAAT
HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASIH AL-KHAMISaba
29 OKTOBER 2010 / 29 IKHA 1389HS
21 Zulkaedah 1431HQ
Masjid Baitul Futuh, London
>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<
Tasyahud, Ta’awudz, Al-Fatihah dan Surah An-Nisa:49
Terjemahan ayat ini ialah: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa selain dari (syirik) itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar”.
Kemajuan-kemajuan ciptaan yang direka oleh manusia telah mendekatkan diri mereka antara satu dengan yang lain. Dan ciptaan sesebuah negara, penduduk di negara lain telah mengambil manfaat daripadanya walaupun jaraknya begitu jauh. Ruang komunikasi yang lebih luas juga telah menyebabkan keburukan tersebar dengan begitu cepat dan tidak dapat dikawal. Oleh kerana rasa seronok dalam keburukan itu mengatasi kebaikannya, maka insan akan lebih cenderung menuju ke arahnya.
Pada waktu itu manusia lupa siapa dirinya yang sebenar? Dari mana asal usulnya? Budaya apa yang sedang dia ikuti? Dengan mazhab apa dia berhubung? Adakah amalan itu disukai oleh Allah ataupun tidak? Jika dia seorang Muslim, dia lupa apa tujuannya diciptakan oleh Allah? Ringkasnya, banyak kelemahan yang dilakukan oleh orang dunia masa ini, dan disebabkan keasyikan mengejar arus kemodenan, seorang yang ada pegangan agama pun boleh terpesong. Malah, beberapa orang Ahmadi juga kerana menganggap ia satu perkara yang biasa, akhirnya mereka turut menjadi mangsa keadaan hingga mengakibatkan banyak keburukan.
Dalam keburukan-keburukan yang menelan diri manusia yang tidak dapat disedari ialah syirik. Dan ini bukan sahaja satu keburukan di sisi Allah, malah ia sukar sekali diampunkan oleh Allah Ta’ala. Dan ini kelihatan seperti dalam ayat yang telah saya tilawatkan tadi. Apa sahaja yang boleh menggugat ketauhidan Allah, walaupun ia kelihatan perkara biasa, namun ia tidak boleh diterima di sisi Allah.
Jadi, seorang Muslim yang mendakwakan diri sebagai orang yang menegakkan ketauhidan, yang membaca LAA ILAAHA ILLALLAH, yang mengetahui tentang ketuhidan Allah yang begitu halus, dia hendaklah melangkah dengan penuh berhati-hati dalam dunia yang semakin meningkat maju ini. Terutama sekali sebagai Ahmadi Muslim, kita hendaklah selalu ingat bahawa kita telah bai’at kepada Imam Zaman atas beberapa syarat, dan di antara syarat-syarat itu, pertama sekali diletakkan bahawa: “Pada masa akan datang hingga masuk ke dalam kubur, akan sentiasa menjauhi syirik”.
Inilah syarat pertama yang harus dipegang apabila seseorang hendak memasuki Jemaat Ahmadiyah yakni hakiki Islam. Orang boleh menyatakan bahawa orang Islam akan membaca LAA ILAAHA ILLALLAH sejak dari awal lagi. Walaupun kalimah ini dibaca, tetapi di mana Ahmadiyah berusaha menarik orang Islam menuju ke arah Islam yang hakiki, di sana juga orang yang bukan Islam, orang yang beragama lain dan juga orang yang tidak beragama hendaklah diseru agar datang ke arah Islam yang hakiki ini. Sebab itulah, syirik ini menjadi syarat utama bergabung dalam Jemaat Ahmadiyah, yakni tidak akan melakukan syirik. Kalimah LAA ILAAHA ILLALLAH yang dibaca oleh seorang Muslim, walaupun dengan penuh semangat mereka melaungkan bahawa benci perbuatan syirik dan menafikannya, tetapi yang dikatakan syirik tersembunyi, kita dapat melihat orang Islam tidak menghiraukannya.
Memang mudah untuk mengatakan bahawa di dalam Jemaat Ahmadiyah ini tidak ada syarat yang besar apabila hendak masuk ke dalamnya. Tetapi, jika direnungkan, sebagaimana yang telah saya katakan bahawa orang Islam memang tidak mengerjakan syirik yang zahir, tetapi mereka tenggelam dalam syirik yang tersembunyi.
Dalam memuja kuburan, ada beberapa golongan. Golongan yang pertama ialah golongan yang pergi sujud kepada kuburan, golongan kedua tidak pergi sujud tetapi mereka terlalu memuliakan kuburan sepenuh hati mereka. Dan golongan yang ketiga, apabila mereka pergi kekuburan untuk berdoa, mereka tidak memohon daripada Allah tetapi membuat permohonan daripada orang-orang yang mereka anggap suci di dalam kuburan tersebut.
Banyak kejadian seperti ini, misalnya ada seorang wanita berkata; kami telah meminta daripada Allah agar dikurniakan anak, namun tidak ada tanda-tanda bahawa anak akan lahir. Tetapi, apabila kami pergi kepada patung, maka anak yang kami harapkan lahir selepas itu.
Oleh kerana di kalangan wanita banyak kelemahan iman, dan kebanyakan orang Islam juga tidak cenderung ke arah solat dan beribadat, sebab itu wanita khususnya dan juga lelaki umunya akan memperlihatkan kelemahan iman terhadap Allah Ta’ala. Kadangkala, iman langsung hilang. Tetapi, keimanan mereka ke atas Hazrat Data Gunz Bakhsy atau mana-mana faqir mengatasi keimanan kepada Allah Ta’ala.
Lelaki dan wanita hampir sama dalam hal ini. Solat lima waktu itu satu beban bagi mereka. Cara yang paling mudah dan senang ialah dengan pergi sujud dan menyampaikan hajat ke kuburan. Oleh kerana hal ini terus diwarisi dari satu keturunan kepada keturunan yang lain, sebab itu keimanan mereka kepada Allah hilang secara perlahan-lahan.
Beberapa hari yang lepas ada puisi Hindu yang saya lihat. Dengan melihat bid’ah-bid’ah yang berlaku di kalangan orang Islam menyebabkan dia berani menulis puisi: Kami orang Hindu menyemba Dewa dan Dewi, orang Islam pula pergi memuja kuburan dan sujud di kaki orang-orang suci mereka. Dia juga begitu berani menyatakan bahawa: kamu menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai Tuhan.
Ini adalah satu tuduhan yang tidak mungkin dapat diterima oleh seorang Mukmin yang hakiki. Rasulullah s.a.w mengajarkan tauhid yang tidak ada tolok bandingnya. Tidak ada yang lebih baik selain Rasulullah s.a.w dalam membawa ajaran tauhid. Tidak ada yang lebih baik dalam memahami ajaran tauhid selain Rasulullah s.a.w dan juga dalam mengamalkannya. Orang yang benar-benar memahami ajaran tauhid ialah mereka yang mengutamakan Allah Ta’ala di atas segala-galanya. Dan tidak ada selain Rasulullah s.a.w yang melaksanakan hal itu.
Sejarah memberitahu kita bahawa sejak sebelum diangkat menjadi rasul, baginda s.a.w selalu mengasingkan diri dan sibuk dalam beribadat kepada Allah. Baginda s.a.w berdoa kepada Allah, ALLAAHUMMAR ZUQNII HUBBAKA WA HUBBA MAIYAN FA’UNII HUBBUHUU ‘INDAKA. ALLAAHUMMA MAA ROZAQTANII MIMMAA UHIBBU FAJ’ALHU QUWWATAN LII FIIMAA TUHIBBU WA MAA ZAWAITA ‘ANNII MIMMAA UHIBBU FAJ’ALHU FAROOGHAN LII FIIMAA TUHIBBU.
Ya Allah! Kurniakanlah aku kecintaan terhadap Engkau, dan kecintaan orang yang dengan mencintainya aku mendapat manfaat di sisi Engkau. Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku benda-benda yang aku sukai, jadikanlah ia pemberi kekuatan kepadaku, jadikanlah ia penambah kecintaanku terhadap-Mu, jadikanlah ia sarana kemajuan atas keimananku. Dan jauhkanlah aku dari benda-benda yang aku cintai dan sebagai gantinya, berikanlah aku apa yang menjadi kesukaan-Mu.
Jadi, apa pun benda yang Rasulullah s.a.w pohonkan daripada Allah, maka benda yang disukai oleh Allah dan disukai oleh dunia, Rasulullah s.a.w memohon disertai dengan kenyataan bahawa benda itu boleh meningkatkan keimanan dan kecintaan terhadap Allah. Beberapa orang yang mengatakan bahawa “kami datang ke kuburan orang-orang suci dan faqir adalah kerana mereka itu dicintai oleh Allah, dan di dalam Al-Qur’an pun ada menyentuh mengenainya. Ada juga yang memuja patung-patung dengan alasan bahawa ia boleh membawa mereka kepada Tuhan.
Ini adalah gambaran yang tidak benar sama sekali. Jika memohon doa ini dengan pergi ke kuburan orang-orang suci dan faqir ini, jika ia bersih dari kesyirikan, jika hakikatnya adalah baik, maka dengan meneliti sejarah atau latar belakang orang-orang suci dan faqir itu, orang yang berdoa seharusnya menjadi lebih dekat kepada Allah. Dan bukannya dengan mengatakan bahawa “kami telah dikurniakan anak oleh orang faqir ini setelah berdoa dikuburannya”. Dengan hal ini jugalah orang-orang yang bukan Islam berpeluang mengkritik ajaran Islam.
Rasulullah s.a.w juga memberi tarbiyat kepada para sabahat dalam menegakkan ketauhidan sehingga ke tahap bahawa riak yang biasa pun adalah syirik. Dalam ibadat juga, jika ada rasa riak, dalam solat jika ada rasa riak, itu juga dikatakan syirik.
Baginda s.a.w bersabda; jauhilah syirik. Syirik itu lebih tersembunyi daripada bunyi tapak kaki semut. Yakni, bekas tapak kaki semut yang tertinggal di permukaan bumi yang begitu tersembunyi, syirik itu lebih tersembunyi daripadanya. Para sahabat bertanya; bagaimana hendak menghindarinya? Rasulullah s.a.w mengajarkan doa ini ALLAAHUMMA INNAA NA’UUZUBIKA MIN AN NUSYRIKA BIKA SYAI’AN NA’LAMUHUU WA NASTAGHFIRUKA LIMAA LAA NA’LAMU. Ya Allah! Kami datang ke bawah perlindungan Engkau dari perkara yang boleh menjadikan kami syirik terhadap Engkau. Dan kami memohon ampun atas perbuatan kami yang tidak disengajakan. (Masnad Ahmad bin Hambal. Abu Musa Al-Asy’ari, Jilid 6, halaman 614-615, hadis nombor 19835, cetakan Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut, Edisi 1998).
Baginda s.a.w amat menekankan agar orang Islam menjauhi perbuatan syirik. Dan baginda s.a.w selalu mengucapkan bahawa saya adalah manusia biasa, saya adalah insan yang lemah. Kadang-kadang ada yang takut kepada baginda s.a.w, maka baginda s.a.w mengatakan bahawa saya adalah anak kepada seorang wanita biasa.
Allah Ta’ala juga sendiri menyuruh baginda s.a.w menyatakan ANAA BASYARUM MITSLUKUM (Al-Kahfi:111), yakni aku juga manusia biasa seperti kamu. Sebab itu orang Hindu telah salah menulis bahawa Rasulullah s.a.w adalah tuhan. Jika kami menjadikan dewa dan dewi sebagai tuhan, atau Krisyen dan yang lain telah mereka berikan kedudukan tuhan, tetapi kamu juga telah meletakkan kedudukan yang tinggi terhadap kuburan-kuburan.
Jadi, satu perkara yang perlu difikirkan oleh orang Islam bahawa kita yang mengajarkan tentang ketauhidan sedang menjalani tuduhan melakukan syirik. Memang tuduhan ini tidak dapat dijauhkan oleh orang Islam umum, tetapi seorang Ahmadi boleh menjauhinya dengan cara membuat perubahan dalam amalan. Jadikan ibadat kita memperlihatkan tentang ketauhidan Ilahi dan juga dalam amalan harian kita.
Beritahu kepada dunia bahawa Rasulullah s.a.w diutus ke dunia ini adalah untuk menegakkan kembali tauhid Ilahi. Hanya dengan beramal pada ajaran baginda s.a.w sahaja ajaran tauhid dapat tegak kembali. Oleh kerana keadaan umat Islam telah menjadi rosak, sebab itu Allah Ta’ala telah membangkitkan Hazrat Masih Mau’ud a.s dengan tujuan mengembalikan ajaran Rasulullah s.a.w di dunia ini. Jadi, sekiranya Hazrat Masih Mau’ud a.s telah meletakkan syarat pertama bai’at untuk menegakkan tauhid, maka kita perlu berusaha keras dalam melaksanakan tugas dan kewajipan ini.
Hazrat Masih Mau’ud a.s menasihatkan kita di dalam buku Al-Wasiyat dengan berkata:-
“Tuhan berkehendak agar semua ruh-ruh yang tinggal di muka bumi ini, tidak kira di Eropah atau Asia. Mereka yang berfitrat baik ini akan ditarik ke arah tauhid dan mengumpulkan hamba-hamba-Nya atas satu agama. Inilah tujuan Allah Ta’ala mengutusku ke dunia ini. Oleh sebab itu, ikutilah tujuan ini tetapi hendaklah dengan lemah-lembut, akhlak dan kuat dalam berdoa”. (Risalah Al-Wasiyat, Rohani Khazain, Jilid 20, halaman 306-307)
Jadi, satu kewajipan yang harus dipikul oleh setiap Ahmadi ialah memahami apa yang disukai oleh Allah, memahami apa yang diperintahkan oleh Allah, menjadi penolong kepada Imam Zaman, berusaha menegakkan ketauhidan melalui ucapan dan amalan. Berusaha menyebarkan ajaran tauhid ini bukan hanya kepada orang Islam, tetapi juga menjemput penganut agama lain. Untuk itu, Hazrat Masih Mau’ud a.s menasihatkan agar menggunakan bahasa yang lemah lembut dan mempamerkan akhlak yang cantik. Biarkan orang lain melihat akhlak kamu dan yang paling utama ialah kuat dalam berdoa.
Hendaklah selalu diingat bahawa apabila beberapa bid’ah-bid’ah menjadi satu amalan, maka ia akan menjauhkan diri dari ajaran yang sebenar. Insan akan mula melupakan ajaran yang dikirim oleh Allah Ta’ala. Dan kebanyakan bid’ah-bid’ah ini banyak merosakkan agama. Inilah sebabnya agama-agama terdahulu menjadi terpesong sebab mereka memasukkan bid’ah-bid’ah dalam ajaran agama mereka, kemudian tidak ada yang datang untuk memperbaiki agama mereka. Dan orang yang datang untuk memperbaiki ajaran mereka semua ialah Rasulullah s.a.w kerana Islam adalah agama yang akan berlangsung sehingga kiamat. Oleh sebab itu juga, semua bid’ah-bid’ah yang diamalkan telah dijauhkan oleh Rasulullah s.a.w.
Dan sebagaimana yang telah saya jelaskan bahawa sekarang ini pun orang Islam banyak melakukan bid’ah-bid’ah sehingga kadang-kadang cenderung ke arah kesyirikan, yang bukan sahaja syirik tersembunyi malah syirik yang zahir pun banyak kelihatan dalam masyarakat Islam. Tetapi, Allah Ta’ala telah mengutus Imam Zaman bagi membersihkan kembali bid’ah-bid’ah yang sedang melanda ajaran Islam sekarang ini. InsyaAllah, Islam akan terpelihara daripada itu semua.
Berkenaan dengan bid’ah-bid’ah yang menyerang umat Islam sekarang ini, Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Cara kita ialah amalan Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Dewasa ini, orang-orang faqir telah mengeluarkan banyak bid’ah-bid’ah. Wirid-wirid dan bacaan-bacaan mereka bukan kesukaan kita. Cara yang dianjurkan Islam ialah Al-Qur’an itu dibaca dengan penuh kerendahan dan apa sahaja di dalamnya hendaklah diamalkan. Solat juga hendaklah didirikan dengan sepenuh hati, doa-doa dipohon dengan penuh rendah diri kepada Allah. Jadi, hanya solat sahaja yang boleh meninggikan darjat kita kerana di dalamnya ada segala-galanya”.
Hazrat Masih Mau’ud a.s mengatakan bahawa mengerjakan beberapa wirid-wirid termasuk dalam bid’ah-bid’ah, sebabnya ialah mereka lupa cara ibadat yang sebenar. Solat yang merupakan asas ibadat itu ditinggalkan. Mereka selalu melupakan solat dan tenggelam dalam wirid-wirid, yang akhirnya menjadi satu bentuk amalan syaitan.
Ada satu kisah seorang yang soleh, adiknya sangat baik, rajin mendirikan solat, kuat menunaikan Tahajjud, dan rajin mengerjakan nawafil yang lain. Oleh kerana terpengaruh dengan beberapa majlis-majlis yang menekankan zikir-zikir dan wirid-wirid, akhirnya dia memberi banyak perhatian terhadap zikir dan wirid, sedikit demi sedikit nawafil ditinggalkan. Orang soleh itu menyedari perubahan pada diri adik perempuannya lalu dia bertanya. Kakaknya menjawab, sekarang saya lebih banyak mengerjakan bacaan wirid-wirid dan zikir-zikir. Dia memberi kefahaman bahawa itu adalah cara yang salah, tetapi adiknya tidak faham malah bertegas bahawa dia melakukan perkara yang betul. Akhirnya Tahajjud pun dia tinggalkan lalu digantikan dengan zikir-zikir. Orang tua itu berkata: Lihat! Zikir yang sedang kamu buat ini memperlihatkan bahawa kamu sedang disesatkan oleh syaitan. Hindari perbuatan itu sebab bukan itu yang diperintahkan oleh Tuhan. Jika kamu hendak menghindarinya, bacalah LAA HAULA, kamu akan terselamat. Selepas beberapa lama, akhirnya wanita itu sendiri merasai bahawa dia sudah lalai dari solat Fardu. Lalu, dia pun mulai membaca LAA HAULA WALAA QUWWATA ILLAA BILLAAH untuk menghindari syaitan. Lama-kelamaan, dia sudah mula rajin menunaikan solat Fardu kembali, rajin mendirikan Tahajjud, kemudian nawafil pun sudah mulai teratur.
Sebab itu, ada beberapa perkara yang tidak diketahui oleh seorang insan, mereka merasakan bahawa mereka sedang melakukan sesuatu yang terbaik dan akan memberi banyak manfaat. Ada yang menyatakan bahawa dengan banyak membaca wirid-wirid dan zikir-zikir akan mendapat kedudukan yang tinggi.
Memang zikir-zikir itu amat baik, dan lidah hendaklah basah dengan zikir Ilahi. Tetapi, apa yang telah diwajibkan oleh Allah, ia hendaklah disempurnakan, dan apa yang telah dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w hendaklah dikekalkan, barulah segala zikir dan wirid yang dibaca itu bermanfaat dengan baik. Tetapi, jika hanya tertumpu pada satu-satu amalan zikir dan wirid lalu mengabaikan apa yang fardu, itu juga satu cara yang tidak betul.
Jadi, hendaklah kita selalu ingat bahawa majlis-majlis Allah Hu, majlis-majlis zikir dan sebagainya adalah satu majlis yang suci, tetapi jika sudah melampaui suatu had, maka ia boleh mengarahkan ke arah syaitan. Itulah sebabnya, kebaikan sebenar adalah apa yang telah diperintahkan oleh Allah, apalagi yang menyangkut soal ketauhidan. Walaupun jelas apa yang hendak dibuat itu kelihatan baik, tetapi kadang-kadang ia mendorong untuk melakukan bid’ah yang lain lagi. Bid’ah yang kelihatan biasa sahaja pada masyarakat, sebenarnya itulah yang akan mempengaruhi lebih banyak bid’ah yang lain. Sebab itu, perkara yang sepatutnya baik akhirnya, insan menjadi lupa tentang apa yang diwajibkan.
Jadi, Ahmadi hendaklah berhati-hati dalam hal ini. Perkara fardu, nawafil, dan tahajjud adalah yang perlu dan telah ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w dan ia merupakan sunnah yang kelihatan di hadapan kita. Kemudian, ada juga doa-doa dan zikir-zikir. Hanya dengan cara itu insan akan melangkah menjadi Mukmin yang hakiki. Dalam masyarakat seperti ini, setiap Ahmadi hendaklah berjihad menghindari bid’ah-bid’ah.
Sebagaimana yang telah saya nyatakan dipermulaan bahawa rekaan-rekaan baru telah mempercepatkan keburukan tersebar luas. Dan ada orang yang tanpa ilmu dan pengetahuan mengenainya, mereka dengan segera menirunya bahkan menggalakkan anak-anak mereka terlibat sama. Kita dapat melihat bahawa keburukan itu sedang melanda masyarakat kita hari ini. Jika kita cenderung berdoa kepada Allah seperti yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, yakni perkara kita tidak tahu kedudukannya, kita mohon keampunan Allah Ta’ala. Jika doa itu dilakukan dengan hati yang ikhlas, maka Allah Ta’ala akan mengampunkan kita dan menghindari kita dari keburukan ini.
Apapun, saya akan sentuh mengenai keburukan yang sedang berlaku di Barat hari ini yang dalam beberapa hari lagi akan disambut. Halloween adalah satu adat. Dan sebagaimana yang telah saya katakan bahawa ada beberapa keluarga Ahmadi yang mengizinkan anak-anak mereka terlibat dengannya. Sedangkan, jika ia dilihat dengan mendalam, maka akan dapat diketahui bahawa adat yang muncul dalam Kristian ini boleh menjerumuskan seseorang dalam syirik. Amalan ahli sihir, jin dan syaitan ini sendiri telah dilarang di dalam Bible. Tetapi, hal ini terdapat dalam Kristian kerana mereka tidak beramal pada ajarannya.
Umumnya, ia dianggap sebagai fun atau bersuka ria sahaja, ia hanya untuk memberikan kegembiraan kepada anak-anak. Tetapi, hendaklah diingat sentiasa bahawa setiap pekerjaan walaupun dianggap sekadar untuk berseronok, sekiranya asas amalan itu syirik dan mendatangkan kerugian, Ahmadi harus menjauhinya.
Saya tertarik ke arah ini apabila seorang research team kita memberitahu bahawa anak perempuannya berkata; bapa tidak akan berbuat apa-apa terhadap halloween, tapi cukuplah memberi izin kepada saya untuk memakai pakaian yang khas untuk itu. Anak gadis kecil, sebab itu bapanya telah melarangnya. Tetapi, apabila penyelidikan dibuat, maka beberapa perkara telah muncul, lalu saya meminta daripadanya beberapa rujukan. Saya telah melihatnya dan saya akan jelaskan di sini kerana anak-anak muda selalu bertanya kepada saya melalui surat; apa bahayanya jika bergabung dengan halloween? Ibu bapa kami tidak memberikan izin sedangkan ada keluarga Ahmadi yang lain memberikan izin kepada anak-anak mereka. Dan saya selalu jelaskan kepada mereka bahawa apa yang saya tahu itu adalah satu perbuatan yang salah dan harus menjauhinya. Dan oleh kerana sekarang ini tarikhnya akan sampai, sebab itu setiap Ahmadi hendaklah menghindarinya.
Di kalangan Kristian atau di Barat, adat dan bid’ah ini adalah disebabkan Irishisme, orang pagan zaman dahulu telah mengamalkan ajaran salah yang berasaskan kepada hantu dan syaitan. Gambaran ini telah merosakkan kesucian agama dan rumah. Apapun alasan bahawa ini hanya untuk bersuka ria, namun asasnya adalah salah. Dan bukan hanya itu malah di dalamnya juga mengandungi syirik. Oleh kerana asasnya iaitu batasan di antara orang hidup dan mati akan berakhir pada 31 Oktober, orang mati akan keluar dalam keadaan yang menakutkan dan memberikan masalah kepada orang hidup, menjadikan orang hidup jatuh sakit dan ia terkenal dengan hal sia-sia seperti ini. Dan untuk menghindari bahayanya, ahli sihir akan dipanggil dan akan mengorbankan binatang dan tumbuhan dengan cara tertentu. Unggun api juga terkait dalam hal ini agar roh orang mati itu akan berpaling dari perbuatannya, sama ada hendak menakutkan orang mati itu atau menggembirakannya dengan memberikan hadiah. Kemudian, jika hendak menakut-nakutkan, hendaklah memakai pakaian khas dengan topeng dan sebagainya. Akhirnya orang Kristian telah menjadikan amalan ini satu kebiasaan mereka. Kebanyakannya adalah dari Katolik.
Sekarang, disebabkan ajaran Kristian, disebabkan media, disebabkan komunikasi antara sesama manusia, hal ini telah tersebar luas sehingga wujud hampir di seluruh dunia terutama sekali di Barat, di Amerika, di Kanada, di UK, di Jepun, di New Zealand, di Australia dan sebagainya serta di beberapa negara Eropah. Dan sebagaimana yang telah saya katakan bahawa ini adalah keburukan yang tersembunyi, yang mana orang Islam di Barat pun sudah mulai mengamalkannya. Anak-anak memakai pakaian yang pelbagai bentuk dan datang ke rumah-rumah. Penghuni rumah akan memberikan sesuatu agar roh-roh mereka itu menjadi tenang. Penghuni rumah yang memberikan sesuatu kepada anak-anak yang datang dengan pelbagai jenis pakaian itu bertujuan agar kematian tidak akan memberikan bahaya kepada penghuni rumah tersebut. Ini adalah syirik. Walaupun ia sekadar untuk bersuka ria, namun di sebalik itu ada perbuatan syirik. Dan ini adalah amalan yang tidak baik bagi seorang Ahmadi, membuat wajah dengan pelbagai bentuk yang pelik-pelik, kemudian pergi ke rumah-rumah ibarat peminta sedekah, meminta apa sahaja sama ada coklat, cara meminta itu pun adalah salah.
Setiap anak Ahmadi hendaklah diberi kefahaman sejak awal-awal lagi. Dan hal ini juga boleh menjauhkan seseorang dari agama. Apabila hal ini disambut, mereka menganggap bahawa kewujudan roh jahat, memuja syaitan, yakin dengan perkara-perkara pelik, ini semua dibolehkan atas nama bersuka ria dan tidak apa. Gambaran ini adalah salah sama sekali. Ini semua adalah benda-benda syaitan. Sebab itu, anak-anak harus dilarang keras mengamalkan perbuatan ini.
Oleh kerana anak-anak dan remaja juga selalu bertanya, maka saya jelaskan di sini bahawa itu adalah adat buruk yang boleh menjerumuskan seseorang ke lembah kesyirikan. Itulah yang menyebabkan anak-anak berani melakukan perbuatan jahat atas nama seronok atau bersuka ria. Mereka biadap dengan ibu bapa dan jiran-jiran, semakin hari mereka semakin berperangai buruk sehinggalah berani melakukan banyak kesalahan-kesalahan. Di Barat, hal ini pada mulanya mendapat kebenaran atas nama bersuka ria, tetapi sekarang mereka sudah sedar dan banyak suara-suara yang menentang amalan ini. Sebabnya ialah akhlak akan menjadi rosak.
Pihak yang menentang halloween juga mengatakan, ia telah menyebabkan anak-anak atas dasar seronok memberi ketakutan kepada orang lain, keburukannya sebagaimana yang telah saya katakan semakin bertambah dan kesalahan undang-undang juga berlaku. Satu sebabnya ialah filem-filem telah memberikan didikan yang salah. Kemudian, apabila mereka sudah melakukan perkara seperti itu dan merasa seronok apabila melakukannya, maka masyarakat akan menuju kehancuran. Dan perkara yang paling menakutkan ialah sebagaimana yang telah saya katakan, mereka akan mencari perlindungan daripada syaitan untuk berhadapan dengan Tuhan apabila mahu mendapat perlindungan daripada kesalahannya. Seolah-olah ada satu kuasa yang sedang didirikan sebagai mensyirikkan Allah, ataupun anak-anak diberikan hadiah-hadiah dengan tujuan memberikan kegembiraan kepada roh mereka, ataupun melalui ahli sihir yang memberi ketakutan kepada orang lain. Apapun, ini semua adalah sia-sia dan tidak bermanfaat.
Seorang penulis buku, Dr. Grace Ketterman, MD menulis dalam bukunya berjudul You and your chlid’s problem sebagai berikut:-
“A tragic, by-product of fear in the lives of children as early as preadolescence is the interest and involvement ini super natural occult phenomena”.
Yakni, sebelum anak-anak menjejakkan kaki ke alam remaja, sebelum umur ini atau ketika umur ini, kekecewaan yang paling menakutkan ialah disebabkan anak-anak ini memberi perhatian dan kecenderungan dalam perkara-perkara yang berada di luar kebiasaan.
Sekarang, disebabkan halloween, beberapa perkara telah timbul. Mereka bukan hanya memakai pakaian pelik dan pergi meminta ke rumah-rumah orang, malah anak-anak yang sudah besar telah menjadikan ahli keluarga mereka menjadi takut secara paksa, dan perkara kedua ialah mereka sentiasa melakukan kesalahan. Akibatnya, apabila masyarakat dan persekitaran menjadi terganggu lalu menimbulkan pelbagai kerugian, ibu bapa juga menjadi tidak senang hati dan juga merosakkan hidup mereka sendiri. Sebab itu saya mengatakan kepada orang Ahmadi, kamu semua amat perlu menghindari hal ini. Tanggungjawab seorang anak dan pemuda Ahmadi ialah menjalinkan hubungan dengan Allah Ta’ala. Jadi, kenalilah tujuan kita diciptakan. Lakukanlah apa yang telah diperintahkan oleh Tuhan. Jangan jadikan budaya Barat itu mempengaruhi kamu sehingga lupa akan perbezaan antara baik dan buruk. Ia juga boleh menjadikan kita lupa akan zat Allah Ta’ala, lalu tenggelam dalam syirik yang tersembunyi, lama-kelamaan, akhirnya akan bergelumang dengan syirik yang zahir. Semoga kita semua terhindar dari perkara itu.
Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Insan mendakwakan bahawa mereka menyembah Tuhan, tetapi adakah penyembahan itu akan sempurna hanya dengan banyaknya sujud, rukuk dan berdiri? Ataupun adakah dengan banyak menghitung biji-biji tasbih dengan berjalan ke sana sini dianggap sebagai menyembah Tuhan? Penyembahan hanya akan berlaku apabila seseorang dapat menarik kecintaan Tuhan kepadanya dan bangkit di tengah-tengah kewujudan-Nya.
Pertama sekali hendaklah yakin dengan sepenuh hati akan kewujudan Allah, kemudian mengetahui tentang kebaikan dan ihsan Tuhan, kemudian kecintaannya begitu tersemat dalam dadanya dan setiap saat, dan keadaan ini kelihatan di wajah mereka. Keadaan keagungan Tuhan dalam hati mereka seolah-olah semua hidupan yang ada di dunia ini mati, dan ketakutan kepada-Nya ada dalam hati setiap manusia. Merasa senang dengan kesusahan dalam berjuang di jalan-Nya. Merasa tenang apabila berkhalwat dengan-Nya. Tanpa-Nya, hati menjadi tidak tenteram dan tidak mahu berpaling kepada yang lain. Jika keadaannya demikian, maka itu yang dinamakan penyembahan. Namun, hal itu tidak mungkin dapat lahir tanpa bantuan Allah Ta’ala. Sebab itu, Allah Ta’ala telah mengajarkan doa IYYAAKA NA’BUDU WA IYYAAKA NASTA’IIN (Al-Fatihah:5) yakni ‘kami ini menyembah Engkau, tetapi mustahil bagi kami untuk menyempurnakan hak penyembahan selagi tidak ada pertolongan daripada Engkau’. Dan tidak ada darjah yang lebih tinggi berbanding dengan orang yang menganggap Tuhan sebagai wujud hakiki yang dicintai kemudian menyembahnya.
Tetapi darjah ini tidak dapat dicapai tanpa pertolongan daripada Allah. Tanda bahawa kita telah berjaya ialah keagungan Allah Ta’ala bertempat di hati kita, kecintaan kepada Tuhan juga duduk di hati kita, dan hati kita bertawakkal kepada-Nya, suka kepada-Nya dan segala benda terdorong ke arah-Nya, menganggap tujuan hidup ialah mengingati Allah. Dan jika seperti Ibrahim yang mendapat perintah agar menyembelih anak kesayangan dengan tangan sendiri atau diberikan isyarat untuk masuk ke dalam api, maka dengan penuh semangat akan melaksanakan perintah yang amat berat itu. Dan dia berusaha bersungguh-sungguh dalam keredhaan Tuhannya sehingga dalam keitaatannya tidak ada lagi apa-apa halangan. Ini adalah pintu yang sempit, dan ini adalah minuman yang amat pahit. Amat sedikit sekali orang yang boleh melalui pintu ini atau yang sanggup minum minuman pahit ini.
Menghindari zina bukanlah satu perkara yang besar, dan mengelakkan dari membunuh orang lain juga bukanlah tugas berat, dan untuk menghindari kesaksian palsu tidak memerlukan kemahiran yang tinggi. Tetapi, memilih Tuhan daripada segala benda dan melalui segala kehidupan dunia yang pahit dengan penuh kecintaan dan semangat, bahkan melahirkan kepahitan dengan tangan sendiri, kedudukan seperti ini tidak dapat dihadapi kecuali orang-orang siddiq. Inilah ibadat yang diperintahkan kepada insan, dan insan yang menunaikan ibadat ini akan mendapat kurnia daripada Tuhan atas perbuatannya. Ini sama seperti doa yang telah diajarkan oleh Al-Qur’an iaitu IHDINAS SHIROOTAL MUSTAQIIM, SHIROOTAL LAZIINA AN’AMTA ‘ALAIHIM (Al-Fatihah 6-7) yakni wahai Tuhan kami! Tunjukilah kami jalan Engkau yang lurus, iaitu jalan yang telah Engkau berikan nikmat atas mereka dan yang mendapat bantuan Engkau yang istimewa. Ada satu kaedah pada Hazrat Ahadiyat iaitu apabila khidmat sudah diterima, maka sudah pasti akan mendapat kurnia. Jadi, tanda-tanda atau perkara luar biasa yang tidak dapat dipersembahkan oleh orang lain, ini juga satu kurnia yang hanya diterima oleh orang-orang tertentu sahaja. (Haqiqatul Wahi, Rohani Khazain, Jilid 22, halaman 54-55)
Semoga Allah memberi kurnia atas kita untuk memenuhi segala apa yang diinginkan oleh Hazrat Masih Mau’ud a.s, sekiranya kita tetap dalam usaha kita, insyaAllah kita akan dapat memperolehi kejayaan.
>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<
Diterjemahkan oleh
Saladdin Syed Ali,
Lingkungan, Sabah
No comments:
Post a Comment