“Barangsiapa yang menyalahi perjanjian yang dibuatnya tatkala bai’at dengan cara yang bagaimana sekalipun, dia bukanlah dari Jemaatku.
Barangsiapa yang tidak benar-benar yakin bahawa aku adalah Al-Masih dan Al-Mahdi yang dijanjikan, dia bukanlah dari Jemaatku.
Barangsiapa yang tidak mentaatiku dalam perkara kebaikan, dia bukanlah dari Jemaatku.
Barangsiapa yang duduk bercengkerama di tengah-tengah kumpulan orang yang menentangku dan membenarkan apa yang mereka katakan, dia bukanlah dari Jemaatku.
Setiap penzina, fasik, pemabuk, pembunuh, pencuri, penjudi, pengkhianat, pemberi rasuah, perampas, zalim, pendusta, pemalsu dan yang seumpama dengannya, biasa melemparkan tuduhan buruk kepada saudara-saudaranya, baik lelaki atau wanita, dan tidak bertaubat dari perbuatan buruknya, serta tidak meninggalkan pergaulannya yang buruk, mereka ini bukan dari Jemaatku.
Segala sifat ini adalah racun. Jika kamu makan racun-racun itu, bagaimana jiwa kamu boleh selamat? Cahaya dan kegelapan tidak dapat berkumpul bersama-sama.
Barangsiapa yang berwatak serong dan tidak jujur dalam perhubungannya dengan Tuhan, nescaya tidak akan dapat meraih berkat-berkat seperti yang diperolehi orang-orang yang berhati bersih.
Alangkah beruntungnya orang-orang yang membersihkan hati dan mensucikan hatinya dari segala kekotoran dan berjanji teguh akan setia kepada Tuhan, sebab mereka tidak akan disia-siakan.
Tidak mungkin Tuhan akan menghinakan mereka sebab mereka ini kepunyaan Tuhan dan sebaliknya Tuhan adalah Tuhan mereka. Mereka akan diselamatkan dari tiap-tiap malapetaka atau musibah.
Sungguh malang dan bodoh jika ada musuh yang mahu berbuat aniaya terhadap mereka sebab mereka ini berada di pangkuan Tuhan yang sentiasa mendukung mereka.
Siapakah yang beriman kepada Tuhan? Mereka itu ialah orang yang sama ciri-ciri mereka dengan ciri-ciri seperti yang dinyatakan di atas.
Demikian pula sangat bodoh seorang pendurhaka besar yang hatinya sarat dengan kejahatan serta kenakalan sebab dia akan dibinasakan.
Semenjak Tuhan menciptakan langit dan bumi, belum pernah terjadi bahawa Dia membinasakan serta memusnahkan orang-orang yang soleh. Malah, apa yang berlaku adalah sebaliknya.
No comments:
Post a Comment