Abad Kebangkitan Islam
Abad ini dikatakan abad kebangkitan Islam yang
boleh ditafsirkan bahawa akan telepaslah ummat Islam dari belenggu pelbagai
masalah merangkumi kemunduran ekonomi dan sosial, dan Islam sebagai agama yang
akan menjadi pilihan dan anutan majoriti umat manusia, umat Islam bakal menjadi
model dan dihormati. Namun, bercerita tentang kebangkitan Islam seolah-olah
ingin diketengahkan satu kisah dongeng yang melucukan untuk hiburan
bangsa-bangsa dunia. Dari zaman ke zaman seolah-olah tanpa penghujung kisah
kebangkitan Islam terus menerus dikumandangkan sehingga orang yang mendengarnya
menjadi bosan dan muak. Islam dan umatnya terus terperosok di bawah timbunan
herdikan dan gurauan umat lain sebab dianggap sebagai umat yang lemah dan
jahil. Irama kebangkitan terus dimainkan tetapi tiada tanda-tanda yang jelas
untuk membuktikan bahawa umat Islam mampu kembali ke zaman kegemilangannya.
Buktinya, pada hari ini umat Islam terpaksa tunduk kepada kekuatan kuasa-kuasa
besar yang diketuai oleh Amerika Syarikat yang menjadi kuasa raksasa dalam bidang militari. Manakala dari
sudut ekonomi, politik dan sosial pula, mereka seolah-olah menjadi “Tuhan”
kerana sebahagian besar masyarakat dunia berkiblat kepadanya dan
mendewa-dewakannya. Kekuasaan mereka seolah-olah tidak dapat dikalahkan oleh
sesiapa pun. Apakah Allah swt akan terus mendiamkan diri terhadap semua
kedajjalan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya?
Sebenarnya Islam dengan kekuatan RAHMAT ajaran Nabi
Muhammad saw, akan menundukkan mereka dan memimpin dunia ke arah kedamaian dan
kemakmuran bagi menggantikan dunia yang penuh kezaliman dan keganasan. Tiada
sesiapa yang boleh menahan zaman kebangkitan Islam sesuai dengan janji Allah
swt, “Dan Kami
tiada mengutusmu (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam”
(Al Anbiyaa’ : 108) dan “Dialah yang mengutus RasulNya dengan
petunjuk dan agama yang benar supaya Dia memenangkanNya atas sekalian agama.
Dan cukuplah Allah sebagai saksi” (Al Fath : 29). Ayat-ayat suci Al Quran ini mengandungi
satu rahsia agung bahawa Allah swt sedang mempersiapkan dunia dan zaman baru
yang akan dipimpin oleh Islam. Dengan kata lain, abad ini adalah akhir zaman atau penghujung kepada zaman kegelapan Islam. Pemilik alam ini akan mendatangkan kiamat rohani bagi
membasmi segala kerosakan agama dan moral manusia, kemudian mewujudkan zaman
kebangkitan semula Islam yang akan menghidupkan kembali rohani manusia yang
telah mati melalui cahaya Rahmat ajaran Nabi Muhammad saw. Proses kebangkitan
Islam akan menyempurnakan janji Allah swt bahawa umat Islam adalah khaira ummah (umat
terbaik) kepada masyarakat dunia, sepertimana firman Allah swt, “Kamu adalah
umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia” (Ali ‘Imran : 111). Namun begitu,
zaman kebangkitan Islam yang dijanjikan oleh Allah swt sering terbantut
disebabkan oleh umat Islam sendiri melakukan kesalahan dan kelalaian yang
menimbulkan kemurkaan Allah swt. Justeru itu, umat Islam tiada pilihan lain
jika ingin melihat zaman kebangkitan Islam, mereka perlu mengenal-pasti dan
bertaubat dari dosa-dosa yang telah menimbulkan kemurkaan Allah swt. Sekaligus
membolehkan mereka memahami mengapa Allah swt seolah-olah mendiamkan diri untuk
membela umat Islam yang sedang menghadapi pelbagai bencana dan serangan
daripada musuh-musuhnya.
Kekuatan Suci Rasulullah saw
Zaman kebangkitan Islam hanya dapat disegerakan dan
menjadi kenyataan jika umat Islam menjadikan Rasulullah saw dan para sahabat ra
sebagai contoh atau role model. Pada zaman permulaan Islam ketika pengikut-pengikut Nabi Muhammad saw
sedang menghadapi penganiayaan yang luar biasa, Allah swt menurunkan khabar
suka mengenai kemenangan Islam. Musuh-musuh Islam yang mendengar wahyu
ini telah mentertawakannya kerana pada
pandangan mereka umat Islam tidak memiliki apa-apa kekuatan. Akhirnya mereka
sendiri kehairanan dan sedar apabila melihat betapa sempurnanya janji-janji
Allah swt yang mendatangkan kiamat kepada masyarakat Jahiliyah dan memulakan
zaman baru yang penuh keberkatan di bawah pimpinan Yang Mulia Nabi Muhammad
saw. Umat Islam memperolehi kemenangan dan kejayaan bukan disebabkan kekuatan
senjata tetapi keteguhan iman dan kepatuhan mereka kepada Allah swt dan Nabi
Muhammad saw. Kekuatan ini yang telah membolehkan mereka mampu menghadapi
penganiayaan, penentangan, kekerasan dan peperangan yang dilancarkan oleh
musuh-musuh Islam dan akhirnya mereka bukan sahaja mengalahkan kaum musyirikin
Mekah malah turut menundukkan dua super power iaitu Rom Timur dan Parsi. Hanya dengan cara ini saja yang boleh
mengalahkan super power dunia hari ini iaitu Amerika dan sekutunya.
Peristiwa yang sama akan berulang lagi kerana Al Quran
sendiri memberi gambaran bahawa kebanyakan kisah di dalamnya akan mengalami
pengulangan. Semua pihak merasakan umat Islam tidak boleh bangkit lagi tetapi
Allah swt memiliki perancangan suci dan Dia telah berjanji untuk mengunggulkan
Islam di atas agama-agama lain. Allah swt tidak akan membiarkan kuasa-kuasa
raksasa dunia untuk berterusan menyesatkan dan mendatangkan kerosakan kepada
dunia. Allah swt telah beberapa kali menggoncangkan sistem ekonomi mereka dan
mendatangkan dua azab yang besar melalui
Perang Dunia Pertama (1914-1918) dan Perang Dunia Kedua (1939-1945).
Berdasarkan peristiwa tersebut, Allah swt amat mudah untuk membantu umat Islam
untuk mengalahkan kuasa-kuasa raksasa dunia ini tetapi umat Islam mestilah
terlebih dahulu berusaha untuk memperbaiki kecintaan mereka kepada Allah swt
dengan mengikuti serta mengamalkan pesan dan nasihat suci Baginda saw. Allah swt memberi jaminan kepada umat manusia
jika mereka ingin dicintai olehNya, tiada lain kecuali mengikuti
langkah-langkah kehidupan dan akhlak Baginda saw, sepertimana firmanNya, “Katakanlah, Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutlah aku, nescaya
Allah mencintaimu” (Ali ‘Imran : 32). Sebenarnya, di sinilah terletaknya segala
kekuatan untuk memecahkan segala permasalahan umat Islam. Jika Allah swt
Pemilik Alam ini telah mencintai umat Islam, apakah ada kekuatan lain yang
mampu menahan kebangkitan dan kemenangan Islam pada abad ini?
Hentikan Kezaliman dan
Permusuhan Sesama Islam
Sepertimana yang telah diperkatakan sebelum ini bahawa
proses kebangkitan Islam yang dijanjikan oleh Allah swt sering terhambat
disebabkan oleh perbuatan umat Islam sendiri. Ada sesuatu yang dibenci oleh
Allah swt, di antaranya adalah perpecahan dan permusuhan sesama umat Islam.
Kesalahan ini merupakan antara dosa yang telah dan sedang menimbulkan kemurkaan
Allah swt yang amat besar. Umat Islam hari ini mempunyai amalan keji yang amat
tidak disukai Allah swt seperti amalan dusta dan fitnah serta kekerasan bagi
tujuan menjatuhkan saudara seagamanya. Disamping itu, sebilangan umat Islam
begitu mudah menggunakan kata-kata menyesat dan mengkafirkan kelompok Islam
yang lain jika pendapat dan pandangan pihak lain tidak selari dengan pendapat
dan pandangan mereka. Bagi memperkukuhkan dakwaan tersebut pelbagai fitnah
direka-rekakan. Islam memandang keji terhadap fitnah memfitnah sehingga
mengumpamakan dosa memfitnah itu lebih merbahaya daripada perbuatan membunuh, “... dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan...” (Al
Baqarah : 192).
Sememangnya fitnah memfitnah merupakan senjata yang
paling kotor kerana kemampuannya mengakibatkan pergaduhan, pembunuhan dan kerosakan yang tidak disenangi oleh Allah
swt. Malah Nabi Muhammad saw juga pernah bersabda bahawa dusta adalah ibu kepada kejahatan kerana satu dusta akan melahirkan
lebih banyak dusta untuk menutupi dusta-dusta yang sebelumnya. Ini adalah di antara dosa-dosa umat Islam yang telah menimbulkan
kemurkaan Allah swt kerana menyuburkan kebencian, prasangka buruk, permusuhan,
ketidakadilan, penganiayaan dan kezaliman sesama Islam. Dosa ini yang
menyebabkan permusuhan sesama Islam menjadi semakin besar dan telah
menghalang umat Islam daripada bersatu, pada hal ajaran Islam telah meruntuhkan
semua tembok pemisah bagi membentuk ukhuwah
Islamiyah. Atas dasar itu, Allah swt memberi pelbagai perintah dan peringatan
kepada umat Islam untuk menyelamatkan mereka daripada permusuhan sesama sendiri
dan mengelakkan orang Islam menjadi pengikut kepada golongan yang dimurkai
Allah swt.
Lakukanlah Penyelidikan
Salah satu perintah Allah swt kepada umat Islam
untuk menghindarkan mereka daripada perangkap dosa akibat mempercayai sesuatu
yang bersifat fitnah ialah kewajipan untuk melakukan penyelidikan dan
penelitian. Peringatan Al Quran wajib dijadikan panduan agar umat Islam tidak
mudah terjerat dengan mempercayai apa yang disampaikan dan diberitakan kepada
mereka. Allah swt berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik dengan
suatu berita, maka selidikilah agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum tanpa
mengetahui keadaannya, kemudian kamu menyesal atas perbuatanmu itu” (Al
Hujuraat : 7). Penyakit malas untuk melakukan siasatan
atau penyelidikan akan membuahkan dosa lain iaitu sikap berprasangka buruk.
Masalah ini juga disentuh oleh Allah swt, “Hai
orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan
daripada prasangka, sesungguhnya
sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu
mencari-cari kesalahan orang lain” (Al
Hujuraat : 13). Dosa seperti ini yang sedang bermaharajalela di kalangan umat Islam, mereka
cepat mempercayai sesuatu berita dan lebih biadap lagi mereka menokok tambah
berita tersebut sehingga pihak lain yang mendengar berita tersebut
mempercayainya. Berita-berita seumpama ini bakal menambahkan kebencian dan
prasangka buruk masyarakat terhadap seseorang atau kaum.
Seharusnya umat Islam tidak terperangkap dengan dosa
seperti ini yang hanya timbul disebabkan kemalasan mereka untuk membaca,
membuat penyelidikan dan kajian daripada sumber sebenar. Adalah amat tidak
bijak jika ingin mengetahui sesuatu tentang seseorang atau lebih luas lagi
sesebuah organisasi atau Jemaah dengan bertanya kepada orang yang memusuhi
organisasi/Jemaah atau orang tersebut.
Dengan kata lain, adalah satu kejahilan jika seseorang yang ingin mengetahui
kebenaran Rasululllah saw dengan bertanya kepada Abu Jahal dan menjadikan
kenyataan Abu Jahal sebagai pedoman untuk menerangkan akhlak Baginda saw. Sudah
pasti kenyataan bersifat dusta dan fitnah yang akan diperolehi oleh orang yang
bertanya tadi. Ingatlah permainan dusta atau fitnah adalah senjata yang sering
digunakan oleh musuh-musuh Islam di zaman Nabi Muhammad saw sehingga kekuatan
cahaya kebenaran Rasulullah saw hampir-hampir padam akibat kekotoran dusta dan
fitnah. Baginda saw difitnah sebagai pendusta, pemecah belah masyarakat, ahli
sihir, orang gila, penyembah bintang dan sebagainya untuk menakut-nakutkan
masyarakat supaya tidak mendekatinya. Sehingga hari ini, fitnah-fitnah itu
masih dilakukan oleh musuh-musuh Islam terutamanya di negara-negara Barat untuk
mencapai objektif yang sama. Lebih buruk lagi umat Islam turut serta samada
secara sedar atau tidak dalam melakukan perkara yang serupa. Bercambahnya
perpecahan di kalangan umat Islam sesudah kewafatan Rasulullah saw adalah
disebabkan ada di kalangan umat Islam tidak takut pada Allah swt, menyemarakkan
dusta dan fitnah dalam masyarakat Islam dan majoriti umat Islam pula tidak
mengamalkan firmanNya, “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepada
kamu orang fasik dengan suatu berita, maka selidikilah agar kamu tidak
mencelakakan suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya, kemudian kamu menyesal
atas perbuatanmu itu” (Al Hujuraat : 7).
Elakkan Berprasangka Buruk Terhadap Agama
Kristian atau Agama Lain
Dalam menghadapi ancaman fitnah-fitnah oleh musuh-musuh
Islam pula, umat Islam perlu banyak mengkaji dan mendalami ilmu agama Islam
serta mempelajari agama-agama lain khususnya agama yang ramai pengikut
seperti Kristian, Hindu dan Buddha.
Selama ini akibat kekurangan membaca dan malas menggali ilmu mengakibatkan umat
Islam bersikap tertutup dan ini menyuburkan penyakit berprasangka buruk.
Apa yang dikesalkan selama ini, para ulama sering mengingatkan umat Islam
mengenai bahaya Kristianisasi tetapi mereka tidak dibekalkan dengan ilmu yang
secukupnya untuk menghadapi ancaman ini. Masalah ini menyebabkan umat Islam
menjauhkan diri daripada berbicara mengenai agama dengan penganut agama
Kristian atau agama lain dan tanpa disedari masalah ini telah membantutkan
proses dakwah Islam secara efektif dan komprehensif. Keadaan menjadi bertambah
buruk apabila ada sesetengah ulama Islam yang terlalu berhati-hati dan prejudis
terhadap agama-agama lain terutamanya agama Kristian. Mereka menanamkan sikap
benci dan sering mengelak untuk berbincang atau berdebat secara sihat dengan
tokoh-tokoh agama lain. Malah, pernah suatu ketika ada ulama yang berfikiran
sempit mengeluarkan fatwa bahawa Al Quran tidak boleh dialih bahasa dan
dicetak, mikrofon dan pembesar suara dilarang untuk digunakan semasa khutbah
atau mengumandangkan azan. Alasannya disebabkan peralatan tersebut dicipta oleh
masyarakat Barat (Kristian) yang dianggap sebagai “syaitan”.
Betapa ruginya jika seseorang memiliki sikap berprasangka
buruk. Mujurlah Nabi Muhammad saw meninggalkan beberapa peristiwa untuk umat
Islam pada hari ini menilai sendiri sikap keterbukaan dan tolak ansur terhadap
agama-agama lain. Rasulullah saw memperlihatkan sikap toleransinya kerana
Baginda saw menjauhi sikap berprasangka buruk dan ini dilakukan demi menarik
mereka kepada Islam. Salah satu peristiwa tersebut ialah, “Satu perutusan suku Kristian dari Najran menghadap Baginda saw di
Madinah untuk berbincang dan bertukar-tukar fikiran dalam masalah keagamaan. Perbincangan itu diadakan di dalam masjid dan
berjalan beberapa jam. Kemudian perutusan itu meminta izin meninggalkan masjid
bagi mengadakan upacara ibadah di suatu tempat yang tenang. Rasulullah saw bersabda
bahawa mereka tidak perlu meninggalkan masjid yang memang merupakan tempat
khusus untuk ibadah kepada Tuhan dan mereka dapat melakukan ibadah mereka di
dalam masjid” (Zurqani). Sikap keterbukaan dan toleransi Baginda saw telah mencairkan hati ramai
orang-orang kafir yang degil dan keras hati larut bersama Islam dan kecintaan
terhadap Allah swt.
Islam Berdiri Dengan Dalil
Apa yang lebih
menyedihkan lagi ialah kerana masih ada ulama yang melarang orang Islam membaca
Bibel atau kitab Injil, dan larangan ini dibuat kerana kononnya boleh
menyesatkan umat Islam sedangkan umat Kristian melalui golongan orientalis
Barat telah mengkaji Al Quran secara mendalam. Tujuan mereka bukan untuk
memeluk agama Islam tetapi untuk mencari kelemahan Al Quran untuk digunakan
bagi menentang Islam. Seharusnya umat Islam menggunakan pendekatan yang sama
melahirkan pakar Bibel untuk melawan balik serangan tersebut. Para ulama tidak
perlu bimbang kerana keunggulan Al Quran tidak mungkin dapat ditandingi oleh
mana-mana kitab termasuk kitab Bibel.
Jika umat Islam
mendalami Bibel dan menjelaskan kandungannya dengan baik, sudah tentu mereka
tidak ada selera untuk memeluk agama Kristian kerana Al Quran jauh lebih unggul
dan sempurna daripada Bibel. Persoalan lain yang sering menghalang ialah
bagaimana caranya bagi membuktikan keunggulan Islam kepada penganut agama
Kristian jika tidak menyentuh dan membaca Bibel? Ketahuilah bahawa agama-agama
dunia yang masih ada pengaruh kuat hingga ke hari ini seperti Kristian, Hindu,
Buddha dan lain-lain adalah agama berasal dari satu sumber kerana Allah swt
berfirman, “Dan untuk
setiap umat ada seorang rasul..”(Yunus : 48), “... dan tiada sesuatu kaum pun
melainkan seorang Pemberi Peringatan telah berlalu...”(Al Faathir : 25), “Dan
sesungguhnya telah Kami bangkitkan dalam setiap umat seorang rasul...”(An Nahl
: 37), “Dan (Kami telah mengutus) para Utusan, yang sebelumnya telah Kami
kisahkan kepada engkau, dan para Utusan yang tak Kami kisahkan kepada engkau” (An Nisa : 165). Pada akhir ayat ini Allah swt menekankan, “Para Utusan, mereka pembawa khabar baik
dan memberi peringatan, agar manusia tak mempunyai alasan untuk menentang Allah
setelah (datangnya) para Utusan. Dan Allah Maha-perkasa, Maha-bijaksana” (An
Nisa : 166). Oleh itu
umat Islam hendaklah mempelajari agama-agama lain kerana ianya adalah jambatan
kepada agama Islam. Umat Islam hendaknya mampu membuktikan dengan dalil yang
bernas dari kitab-kitab agama lain bahawa Islam adalah agama terakhir untuk
seluruh umat manusia.
>>Sumber:
Buku ‘Rahsia Kebangkitan Ummah’.
No comments:
Post a Comment