TERJEMAHAN KHUTBAH JUMAAT
HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISatba
14 DISEMBER 2012 / 14 FATAH 1391HS
Baitus Subuh, Frankfurt, Jerman
----------------------------<<<>>>----------------------------
Selepas membaca Tasyahud, Ta’awudz
dan Surah Al-Fatihah, Huzur berkata:-
Secara umumnya,
istilah syahid dimaksudkan sebagai orang yang terkorban di jalan Allah. Memang
orang-orang yang terkorban di jalan Allah Ta’ala itu mendapat darjat
kesyahidan. Allah Ta’ala membuka pintu syurga kepadanya. Namun begitu,
pengertian syahid sebenarnya lebih luas daripada itu. Hari ini, saya akan
memberikan beberapa sabda-sabda Hazrat Maseeh Mau’ud as dan juga beberapa
rujukan hadis berkenaan dengan perkara ini.
Anak-anak yang
membesar dan hidup di negara-negara ini dan juga anak remaja selalu bertanya,
beberapa kali juga pertanyaan ini telah dilemparkan kepada saya. Beberapa hari
yang lepas ada kelas Waqfe Nau di Hamburg, di sana ada seorang anak kecil
bertanya: ketika tuan menceritakan
peristiwa kesyahidan, maka kebanyakan peristiwa itu tuan menyuruh kerabat terdekat
orang-orang syahid itu berdoa, ‘semoga saya menjadi orang-orang yang syahid
atau mendapat darjat kesyahidan atau syahid ini hanya akan diperolehi oleh
mereka yang beruntung’. Jadi, sebagai ganti berdoa untuk syahid, persoalan yang
timbul ialah kenapa tuan tidak mengarahkan mereka berdoa agar unggul di atas
musuh-musuh?
Sesungguhnya inilah
doa pertama untuk menang di atas para musuh dan juga ada janji dari Tuhan
berkenaan dengan jemaat Ilahi bahawa kemenangan itu akan berpihak kepada
mereka. Keunggulan itu adalah milik mereka dan Hazrat Maseeh Mau’ud as juga
berkali-kali mendapat khabar daripada Allah berkenaan dengan kemenangan dan
kejayaan. Dan kita yakin bahawa jemaat Ahmadiyah akan melihat tanda-tanda yang
agung dan terang. Dengan kurnia Allah Ta’ala kita sedang melihat pengaruhnya,
malah setiap tahun, walaupun banyak penentangan dari pihak musuh, ratusan ribu
orang datang bai’at kepada jemaat Ahmadiyah. Dan di negara-negara di mana
jemaat mendapat tekanan yang hebat daripada musuh, ramai orang yang mendapat
taufik untuk bai’at. Semua pemandangan ini merupakan tanda kejayaan dan
keunggulan. Begitu juga program yang dilakukan oleh jemaat dan mempersembahkan
keindahan Islam kepada dunia sehingga keraguan bukan Islam terhadap ajaran
Islam semakin terhapus. Ini juga merupakan satu bentuk kejayaan yang dicapai
oleh jemaat. InsyaAllah, satu masa nanti Allah Ta’ala akan mendatangkan satu
revolusi yang luar biasa di atas muka bumi ini, dan untuk itu setiap Ahmadi
harus berusaha keras di samping banyak berdoa.
Apapun, untuk
mencapai suatu maksud yang besar harus memberikan pengorbanan yang besar. Jiwa
juga harus sedia dikorbankan. Dan anggota jemaat Ahmadiyah, di mana mereka
merasa perlu, mereka akan memberikan pelbagai jenis pengorbanan. Dan untuk itu
juga mereka sentiasa bersedia. Ini termasuklah pengorbanan nyawa yang mana
dengan itu mereka mendapat darjat kesyahidan, dan dengan keredhaan Allah Ta’ala
mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Tetapi, sebagaimana yang telah saya
katakan bahawa kesyahidan itu bukan hanya setakat itu, malah anak muda yang bertanya dan juga orang
tua hendaklah merenungkan dengan mendalam supaya kedudukan syahid itu dapat
diusahakan oleh setiap orang. Fahamilah ruh daripada doa ini dan masuklah ke
dalam syurga Allah yang diredhai-Nya.
Rasulullah saw
pernah bersabda kepada Hazrat Abu Hurairah ra bahawa jika syahid itu hanya
merujuk kepada mereka yang mati di jalan Allah Ta’ala maka di dalam umatku ini
amat sedikit mereka yang mendapat darjat kesyahidan. (Sahih Muslim, Kitabul
Imarah Bab Bayanus Syuhada, hadis 1915)
Satu hadis Muslim:
Rasulullah saw bersabda bahawa orang yang mengharapkan syahid dengan niat yang
benar, Allah Ta’ala akan memasukkannya dalam kelompok para syuhada walaupun
kematiannya berlaku di atas katil. (Sahih Muslim Kitabul Imarah, Bab Istihbaab
Talabus Syuhada Fii Sabiilillahi Ta’ala, hadis 1909)
Dalam peristiwa
Badar juga kita dapat melihat bahawa Rasulullah saw telah menagih janji
kemenangan dari Allah, memohon kehidupan umat Islam yang bersama-sama baginda
saw ketika perang Badar. Baginda saw tidak meminta agar mati dalam keadaan
syahid. Baginda saw bersabda: Jika umat Islam ini hancur, maka tidak ada lagi
yang akan beribadat kepada Engkau (Sahih Muslim Kitabul Jihad Was Siir Baabul
Imdaad Bil Malaa’ikati Fii Guzwah Badar, hadis 1763)
Allah Ta’ala juga
menegaskan bahawa tujuan manusia diciptakan ialah untuk beribadat kepada-Nya.
Jadi, tujuan
sebenar seorang mukmin dilahirkan ke dunia ini ialah bukan hanya berkorban
untuk sekali sahaja malah hendaklah berusaha untuk mencari keredhaan Allah
Ta’ala dan setiap waktu bersedia untuk berkorban. Di dalam hadis juga ada
tercatat bahawa seorang mukmin jangan berkeinginan untuk berperang. Tetapi,
jika di dalamnya dia dianiaya, jika agama mereka ditentang dengan mengorbankan
nyawa orang mukmin, maka orang Islam jangan berundur ketakutan, malah mereka
hendaklah maju dengan berani ke hadapan walaupun terpaksa mengorbankan nyawa,
namun perasaan takut iaitu melarikan diri harus dihindari (Sahih Bukhari,
Kitabul Jihad Was Siir, Baab La Tamanna Liqo’al Aduw, hadis 3025)
Apabila ada
keizinan dan keadaan mengharuskan perang, maka untuk berhadapan dengan musuh,
sekiranya jiwa seorang mukmin terkorban, sudah pasti akan mendapat darjat
kesyahidan. Dan di dalamnya tidak akan ada perasaan takut dan ragu-ragu.
Keadaan pada zaman
sekarang ini tidak memerlukan peperangan, musuh-musuh Jemaat Ahmadiyah juga ada
dan musuh-musuh kita ini adalah musuh yang degil dan menyerang secara
sembunyi-sembunyi. Tetapi, jika mereka datang berdepan sekalipun, namun tidak
ada perintah untuk berperang. Kadang-kadang orang Ahmadi menerima surat amaran
yang berbunyi, kamu tinggalkan Ahmadiyah
atau kamu bersedia untuk mati. Jadi, pada waktu ini, inilah keberanian
seseorang mukmin atau penzahiran daripada orang Ahmadi Pakistan ialah memang nyawa akan melayang tetapi agama dan
keredhaan Tuhan tidak akan kami korbankan. Jadi, inilah ciri seorang mukmin
yang tetap kekal dalam pelbagai keadaan. Dan Allah Ta’ala juga mengajarkan
orang mukmin doa untuk bersama-sama dengan golongan para nabi, siddiq, syahid
dan soleh. Tetapi, kedudukan syahadat itu bagaimana? Sebagaimana yang telah
saya katakan bahawa apa yang dimaksudkan dengannya? Apa falsafahnya? Sejauh
mana kedalaman maksudnya?
Untuk memahaminya,
Allah Ta’ala telah berlaku ihsan atas kita kerana mengutus Hazrat Maseeh Mau’ud
as ke tengah-tengah kita sebagai imam zaman yang telah menjelaskan dengan
terperinci maksud sebenar syahadat itu. Sekarang ini, ayat yang telah saya
jelaskan sebelumnya, iaitu semua ciri-ciri berkenaan dengan nabi, siddiq,
syahid dan soleh saya tidak akan jelaskan. Sebagaimana yang telah saya katakan
bahawa persoalan mengenai syahid dibangkitkan dan saya akan jelaskan
bersumberkan tafsir dan penjelasan beliau.
Hazrat Maseeh
Mau’ud as menulis dengan jelas di berbagai tempat berkenaan dengan kedudukan
syahid ini. Saya akan berikan beberapa rujukan yang menjelaskan bahawa kenapa
perlu berdoa untuk menjadi syahid? Dan jenis syahid yang bagaimana kita harus
berdoa dan kenapa seorang mukmin yang hakiki perlu berkinginan untuk menjadi
syahid?
Hazrat Aqdas Maseeh
Mau’ud as berkata:-
“Orang awam mengertikan syahid hanya
sebagai orang yang terkorban ketika dalam peperangan, yang mati lemas, yang
mati keraana penyakit dan sebagainya. Tetapi, saya katakan bahawa dengan hanya
memahami setakat itu sahaja jauh daripada ciri seorang mukmin yang agung.
Syahid yang sebenarnya ialah orang yang mendapat kekuatan istiqomah dan
ketetapan dari Tuhan yang mana tidak ada sebarang gegaran atau musibah yang
boleh menggoyangkannya. Dia tetap menghadapi segala musibah dan kesusahan itu
sehinggakan jika semata-mata kerana Allah dia terpaksa menyerahkan nyawa, maka
dia tidak akan gentar menerimanya. Tanpa suatu kesedihan dan kekecewaan, dia
akan mempersembahkan pengorbanan. Dan dia berkeinginan bahawa jika saya diberikan kehidupan berkali-kali,
maka saya akan berikan pengorbanan juga berkali-kali di jalan Allah. Ada
suatu kelazatan dan kegembiraan dirasai dalam ruhnya yakni setiap pedang yang
menghiris tubuhnya, dan setiap pukulan yang singgah di badannya, dia merasa
diberikan satu kehidupan baru, satu keseronokan baru. Inilah maksud daripada
syahid. Kemudian, perkataan ini juga muncul dari kata syuhud iaitu satu ibadat
yang dikerjakan dengan menanggung kesulitan dan bersedia menanggung setiap
kesusahan yang muncul, laksana madu yang mendapat kemanisan. Dan sebagaimana
madu FIIHI SYIFAA’UL LINNAAS (An-Nahal:70) yakni laksana madu yang menjadi penawar kepada manusia. Orang yang
bergaul dengan mereka akan mendapat keselamatan dari pelbagai jenis penyakit.
Jika syahid hanya diperolehi melalui kematian, maka bagaimana manusia boleh
mendapat manfaat melalui pergaulan? Berjalan atas keredhaan Allah Ta’ala,
mendapat kedekatan kepada Allah yang merupakan kebaikan yang sebenar, ini juga
satu kedudukan syahid, yang mana kesan bergaul dengannya akan selamat dari
pelbagai jenis penyakit. “Kemudian syahid juga bermaksud darjah atau kedudukan
di mana insan melihat Tuhan dalam setiap pekerjaannya, atau dia yakin bahawa
Tuhan sedang melihatnya. Ini juga dikatakan sebagai ihsan”. (Malfoozaat Jilid
Awal, halaman 276, edisi 2003, cetakan Rabwah)
Sabda Hazrat Maseeh
Mau’ud as yang mengatakan bahawa satu daripada kedudukan syahid juga ialah melihat
Tuhan dalam setiap pekerjaannya atau dia melihat Tuhan dan yakin. (Dipetik
daripada Malfoozaat Jilid 4, halaman 423, edisi 2003, cetakan Rabwah)
Yakni, pekerjaan
yang selalu dia lakukan, dia yakin bahawa Tuhan
sedang melihat pekerjaan yang aku lakukan sekarang ini, jika perkara ini wujud maka perhatiannya akan sentiasa melakukan
perbuatan yang baik. Selepas itu, tidak ada pekerjaan buruk yang akan dilakukan
oleh manusia.
Ihsan itu apa jika
dirujuk kepada zat Allah Ta’ala? Dikatakan bahawa jika hal itu ada, maka itu
adalah ihsan. Apa itu ihsan? Untuk menjelaskannya, beliau bersabda:-
“Perintah Tuhan kepada kamu ialah
kamu berurusan secara adil dengan-Nya dan dengan ciptaan-Nya”. Keadaan sebelum
ihsan ialah adil. “Yakni menunaikan haqqullah dan haqqul ibad. Dan jika boleh
lebih daripada itu, bukan sekadar adil tetapi berbuat ihsan, yakni melakukan
sesuatu melebihi kewajipan. Dan dengan penuh keikhlasan memperhambakan diri
kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya”. Satu perkara ialah kewajipan telah
ditetapkan dan ibadat itu harus dikerjakan. Tetapi, lebih daripada itu adalah
nawafil. Menyempurnakan hak ibadat kepada Allah, melakukan hubungan dengan
Allah. Jika ini dapat dilakukan, maka ini adalah perhambaan dan juga ihsan. Dan
kemudian ia akan dibawa ke arah tingkatan syahadat dan berkata “dan lakukanlah
kasih sayang sesama manusia melebihi hak yang sepatutnya”. (Syahna-e-Haq Rohani
Khazain Jilid 2, halaman 361-362)
Bukan hanya
memberikan hak manusia, malah untuk mendapatkan tingkatan yang paling tinggi,
supaya dapat dimasukkan dalam golongan yang berdarjat syahid, maka semasa
menunaikan hak manusia, pada masa yang sama juga hendaklah berlaku kasih
sayang, lemah lembut dan berbuat baik.
Dengan menyentuh
perkara ini, tuntutan berlaku adil ialah kamu lakukan hubungan dengan Allah
sedemikian rupa sehingga yakin bahawa selain Dia, tidak ada sembahan lain yang
sama seperti-Nya, tidak ada wujud lain yang harus disembah, tidak ada wujud
lain yang harus dicintai dan tidak ada wujud lain tempat kita bertawakkal. Selain
Dia, tidak ada wujud lain yang kita boleh jadikan tempat bergantung harap
kerana Dia juga Pencipta. Dia kekal dalam memberikan kehidupan dan
nikmat-nikmat-Nya, dan Dia juga Rabb yang menjaga dan menyediakan
nikmat-nikmat-Nya. Dikatakan bahawa tidak cukup bagi seorang mukmin hanya
dengan meyakini atau memahami bahawa Allah Ta’ala Pemilik segala Kekuatan dan
juga Rabb, malah ia harus lebih maju dari itu. Dan kemajuan itu ialah kamu
mengatakan keagungan Allah Ta’ala dan di hadapan-Nya kamu menumpukan perhatian
dalam beribadat kepada-Nya”. (Keadaan ini harus ada bahawa kamu begitu beradab
di hadapan Allah Ta’ala, kamu begitu sepenuh hati tunduk kepada-Nya) “Dan kamu
begitu hanyut dalam kecintaan terhadap-Nya seolah-olah kamu telah melihat
keagungan, kekuasaan dan kecantikan-Nya yang tiada tandingan”. (Dipetik dari
Izalah Auham, Rohani Khazain Jilid 3, halaman 550-551)
Jadi, apabila
manusia melihat kecantikan Allah Ta’ala yang tidak ada hadnya, yakin atas
sifat-sifat-Nya, cenderung untuk beribadat kepada-Nya, maka sudah pasti dia
tidak akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan keredhaan Allah Ta’ala,
dan jika hal ini wujud, maka itu adalah kedudukan syahid.
Beliau juga
menjelaskan tentang syahid bahawa apabila hubungan dengan Allah Ta’ala ini
teguh, maka kekuatan istiqomah akan lahir. Kemudian, insan akan sentiasa
bersedia untuk memberikan pengorbanan semata-mata untuk meraih keredhaan Allah
Ta’ala, dan semua ini bukan kerana terpaksa malah jalan-jalan yang penuh dengan
kesusahan pun dia hadapi dengan penuh ketenangan dan itu menjadi sarana
ketenangan baginya. Di hadapan segala kesusahan, seorang mukmin menghadapinya
dengan penuh ketabahan. Tidak ada dalam hatinya perasaan takut, sedih dan
kecewa bahawa kalaulah saya tidak buat
ini, kalaulah saya dengar cakap penentang jemaat Ahmadiyah supaya meninggalkan
jemaat ini, sudah pasti saya akan terhindar dari segala musibat ini. Kata-kata
ini tidak seharusnya ada dalam diri seorang mukmin jika memang mempunyai
keimanan yang sempurna. Sebaliknya, semua itu membuatkan keimanannya menjadi
lebih kuat, keyakinan terhadap Allah lebih kukuh dan dengan kejadian itu
memberikan ketenangan dan kegembiraan kepadanya. Jadi, inilah kedudukan syahid.
Kemudian beliau
juga bersabda: kedudukan syahid itu hanya dapat diperolehi apabila manusia
bersabar atas segala penderitaan dengan terus beribadat kepada Allah. (Dipetik
daripada Malfoozaat Jilid 1, halaman 276, cetakan Rabwah)
Segala kesenangan
duniawi dikorbankan untuk keredhaan dan ibadat kepada Allah Ta’ala. Dan bukan
setakat dikorbankan malah sampai kepada kedudukan di mana dengan amalannya dia
mendapat ketenangan dari Allah Ta’ala, dengan ibadatnya dia mendapat
keseronokan umpama merasai kemanisan madu. Solat dan ibadat seorang mukmin,
perhatian terhadap solat dan ibadat bukan kerana terpaksa, malah dilakukan
kerana keyakinan sempurna kepada Allah Ta’ala. Sebabnya ialah Tuhan sedang melihat aku, dan segala
perlakuan yang dilakukan semata-mata kerana Allah, ia menjadi sarana keredhaan
Allah Ta’ala. Keredhaan ini akan menuju kepada kesyahidan. Demikian juga
setiap keburukan yang ditinggalkan oleh manusia kerana yakin bahawa Allah Ta’ala melarangnya dan saya harus
menjadikan-Nya gembira. Saya juga harus memperkuatkan hubungan dengan-Nya. Oleh
kerana Tuhan melihat segala perbuatan baik dan buruk, dan perbuatan buruk yang
saya lakukan ini boleh menjadi punca kemarahan Tuhan kepada saya. Dengan
ini, maka bukan sahaja seseorang itu akan meninggalkan keburukan untuk
mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala malah dia juga akan cenderung untuk
melakukan kebaikan. Keimanan dan keyakinan kepada Allah Ta’ala akan menjadi
lebih kukuh, dan inilah tujuan hidup seorang manusia, yang juga tujuan hidup
seorang mukmin.
Kemudian, Hazrat
Maseeh Mau’ud as juga bersabda:-
“Orang awam menganggap syahid itu
hanya sekadar mereka yang mati disebabkan panah atau senapang atau mereka yang
mati dengan tidak sengaja”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 253, edisi 2003,
cetakan Rabwah)
Saya nyatakan satu
hadis di sini. Rasulullah saw bersabda bahawa orang-orang mati yang dimasukkan
dalam kelompok syuhada ada lima. Dalam satu hadis dikatakan bahawa Rasulullah
saw bersabda: ada lima jenis kesyahidan. Mereka yang mati disebabkan penyakit,
mereka yang mati disebabkan penyakit perut, mereka yang mati lemas, mereka yang
terjatuh dari atas bangunan tinggi dan mereka yang terkorban di jalan Allah.
(Sahih Bukhari Kitabul Azhan Baab Fazlut Tahjiir Ilaz Zuhur, 653)
Jadi,
Hazrat Maseeh Mau’ud as tidak hanya menyatakan bahawa “di sisi Allah, bukan ini
sahaja kedudukan kesyahidan”. Semua ini kesyahidan yang mati secara zahir.
Tetapi di sisi Allah Ta’ala, ada lagi kedudukan kesyahidan yang harus dicari
oleh setiap mukmin. Beliau juga bersabda “menurut aku, hakikat syahid itu bukan
hanya badan yang terpotong-potong tetapi ada lagi bentuk lain, dan keadaan itu
berhubungan dengan hati. Ingatlah bahawa satu kedudukan siddiq itu dekat kepada
nabi.” Dipermulaan juga telah dikatakan bahawa Allah Ta’ala berfirman berdoalah
supaya mereka yang beramal soleh, mereka yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya,
mereka itu nabi atau siddiq atau syahid atau soleh. Jadi, dikatakan bahawa
“ingatlah siddiq merupakan satu kedekatan kepada nabi dan ia berada pada
tingkatan masing-masing. Syahid pula ada persamaan dengan siddiq, di dalam nabi
itu mempunyai kesempurnaan, yakni dia juga siddiq, syahid dan soleh. Tetapi,
siddiq dan syahid itu satu kedudukan yang berlainan. Juga tidak mahu membincangkan
sama ada siddiq itu syahid atau tidak? Kedudukan itu sempurna di mana dalam
segala urusan ia menunjukkan keluarbiasaan dan mukjizat, dan di atas kedua-dua
kedudukan itu mempunyai tingkat yang berlainan. Sebab itu Allah Ta’ala memberi
kekuatan kepadanya sedemikian rupa bahawa amalan yang agung dan akhlak yang
agung itu sangat sempurna dan bukan dibuat-dibuat. Dia melakukannya bukan
disebabkan suatu rasa takut atau suatu sebab, malah ia telah menjadi bahagian
dalam fitrat dan tabiatnya. Takalluf (dibuat-buat) tidak termasuk dalam
tabiatnya. Sebagai contoh seorang peminta sedekah pergi kepada seseorang, maka
sama ada padanya ada suatu barang atau tidak, dia terpaksa berikan. Jika bukan
kerana ketakutan kepada Allah, maka ia juga disebabkan oleh persekitaran.
Tetapi, dalam diri orang syahid tidak ada takalluf (dibuat-buat) dan
kekuatannya semakin bertambah. Dan dengan pertambahan itu, kesusahannya semakin
berkurangan sehinggalah tidak lagi dianggap beban. Sebagai contoh di atas
seekor gajah ada semut, adakah dia merasa suatu beban? (Malfoozaat Jilid 1,
halaman 253-254, edisi 2003, cetakan Rabwah)
Untuk
seorang mukmin yang hakiki, yang berkeinginan untuk mencapai darjat kesyahidan
akan menghadapi kesusahan, di sini juga beliau berkata lebih lanjut bahawa
kesyahidan yang sebenar berhubungan dengan keadaan hati, dan keadaan hati boleh
lahir melalui keyakinan dan keimanan yang sempurna kepada Allah. Yakni,
keyakinan ini sebagaimana yang dijelaskan sebelumnya, setiap pekerjaan saya dilihat oleh Allah Ta’ala dan setiap pekerjaan
saya lakukan semata-mata kerana Allah Ta’ala. Kemudian dari seorang mukmin
itu, dari orang seperti itu akhlak yang agung dan amalan yang baik akan muncul
dalam bentuk yang sebenar. Yakni, dengan melakukannya, dunia mereka bukan
menunjuk-nunjuk malah merupakan keredhaan Allah Ta’ala, dan keredhaan Tuhan ini
bukan hanya melalui usaha malah ia menjadi bahagian dalam fitrat seorang
mukmin. Jika dia berusaha terus-menerus dalam soal ini, maka selain dia
mendapat keredhaan Allah Ta’ala, tidak ada lagi fikiran lain. Sebagai contoh,
jika dia mendapat peluang untuk berkhidmat dalam jemaat, dia akan melakukannya
dengan penuh keikhlasan dan dedikasi. Bukan kerana hendak mendapatkan pujian,
tetapi untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala. Sebab itu khidmat ini berada
dalam kesulitan, maknanya tanpa itu semua tidak ada ketenangan.
Beberapa
orang apabila tidak diperlukan khidmat dari mereka, maka mereka memperlihatkan
kekecewaan. Beliau as memberi satu contoh; seorang faqir atau peminta sedekah,
jika dia pergi kepada seseorang, maka sudah pasti ada saja yang dia akan
perolehi. Namun, kebanyakan di dalamnya adalah riak, tetapi syahid tidak
seperti itu. Syahid itu melakukan suatu kebaikan adalah kerana fitratnya yang
baik memaksanya berbuat demikian dan kekuatan fitrat yang baik akan terus
berkembang mengikut peredaran masa. Apapun kebaikan yang dibuat, apapun khidmat
yang dibuat, tidak pernah terlintas dalam hatinya fikiran bahawa saya telah berbuat kebaikan yang besar, saya
pasti akan mendapat pujian atau ganjaran daripada orang-orang dunia. Sebab saya
telah mengkhidmati jemaat, sebab itu saya akan mendapat ganjaran. Tidak
seperti itu, malah hanya semata-mata kerana keredhaan Allah itu semua
dilakukan.
Kemudian
Hazrat Aqdas Maseeh Mau’ud as berkata dalam bukunya Tiryaqul Quloob: “Darjat
kesyahidan bermaksud darjat yang apabila insan dengan kekuatan imannya yakin
sebegitu rupa terhadap Tuhan dan hari perhitungan bahawa dia seakan-akan
melihat Tuhan dengan mata sendiri. Barulah berkat dari keyakinan itu, kelemahan
dalam amal soleh menjadi jauh. Setiap Qadho’ dan Qadar Allah Ta’ala akan tumpah
dalam hati laksana madu, dan lapangan dadanya dipenuhi dengan kemanisan, dan ia
kelihatan dalam setiap bentuk nikmat. Jadi, syahid dikatakan kepada orang yang
disebabkan kekuatan iman, mereka menyaksikan Allah Ta’ala dan dari Qadho’ dan
Qadar Allah Ta’ala, dia mendapat kelazatan seperti kemanisan madu. Dan sesuai
dengan makna itu, ia dikatakan syahid. Dan darjat ini menjadi tanda kepada
seorang mukmin yang sempurna”. (Tiryaqul Quloob, Rohani Khazain Jilid 15,
halaman 420-421)
Keimanan
kepada hari perhitungan ada pada setiap mukmin tetapi yakin ke atasnya
bagaimana? Keyakinan ke atasnya ialah melahirkan hubungan dengan Allah Ta’ala
di dunia ini. Orang-orang dunia juga sanggup melalui berbagai kesulitan untuk
orang-orang yang mereka cintai, maka Allah Ta’ala yang merupakan wujud yang
paling dicintai, kenapa tidak dapat menanggung suatu kesusahan atau
penderitaan? Jika untuk kecintaan dunia ada orang yang sanggup terkorban,
tetapi dalam kecintaan terhadap Tuhan seharusnya mereka lebih daripada itu. Ganjaran
daripada amalan baik boleh menarik keredhaan Tuhan yang boleh membawa mereka ke
syurga. Beberapa amalan yang insan lakukan di dunia ini kadang-kadang memang
kritikal. Misalnya, seorang dunia berdusta untuk sarana keduniaannya, tetapi
seorang mukmin menganggap dusta sebagai syirik lalu tidak mengambil faedah
daripada berbuat dusta, malah terus menzahirkan kebenaran walaupun harus
menghadapi kerugian. Sebagai contoh, Ahmadiyah satu kebenaran. Sesuai dengan
janji Allah Ta’ala kita menerima Maseeh Mau’ud dan Mahdi Ma’hud, tetapi
kebenaran inilah yang menyebabkan orang-orang Ahmadi terutama sekali di
Pakistan banyak menghadapi kesulitan. Dengan penzahiran inilah menyebabkan
orang-orang Ahmadi disiksa, namun mereka tetap dalam keimanan.
Saya
juga menyatakan di sini dengan tegas bahawa disebabkan keadaan, Ahmadi di
Pakistan datang ke sini untuk mencari suaka (Assylum). Dan disebabkan
menzahirkan kebenaran, mereka terpaksa berhijran dari negara mereka. Tetapi,
jika datang ke sini dengan dasar yang tidak benar untuk assylum, maka
segala-galanya tidak memberi faedah. Di negara itu, kejujuran masih sangat
diperlukan. Beberapa kes itu sangat genuine, ada juga perbicaraan, siksaan,
penentangan dan permusuhan. Tetapi ada juga yang tidak berlaku apa-apa, namun
saya katakan dengan benar, jika mereka memberitahu bahawa ada undang-undang yang menentang Ahmadi dan telah merampas kebebasan
kami, dan sekarang ini kami tidak lagi boleh bersabar. Memang di Pakistan itu
ramai orang Ahmadi dan insyaAllah akan terus tinggal, tetapi tahap kesabaran
setiap orang itu berlainan. Kami sekarang ini tidak boleh lagi bertahan, sebab
itu kami datang berhijrah ke sini. Jadi, orang-orang ini menyangka dengan
pernyataan demikian mereka lebih mendapat simpati dan diberikan visa yang
panjang. Tetapi, jika mereka berdusta maka dari satu dusta akan terus melakukan
pendustaan yang lain. Ada beberapa kes yang menjadi sia-sia atau jika mereka
berhasil pun, sesungguhnya perbuatan mereka itu telah mengundang kemurkaan
Tuhan.
Jadi,
utamakan sentiasa keredhaan Tuhan. Kepada siapa pun saya menyeru untuk berlaku
jujur, supaya berlaku jujur dalam menjalankan suatu kes, dan mereka juga telah
berlaku jujur, dan pada masa yang sama mereka tunduk kepada Allah, maka kes
mereka itu selesai hanya dalam beberapa waktu sahaja.
Berdasarkan
satu hadis, orang yang kekal atas kejujuran lalu berhijrah semata-mata kerana
dunia, mereka itu syahid dan juga siddiq.
Abu
Darda ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: orang yang berhijrah dari
satu tempat ke tempat yang lain kerana hendak menghindari fitnah dalam
agamanya, di sisi Tuhan dia seorang siddiq, jika dia mati dalam keadaan ini dia
seorang syahid. Rasulullah saw menilawatkan ayat ini; “orang yang beriman
kepada Allah dan Rasul-Nya, di sisi Tuhan dia seorang siddiq dan syahid”.
Kemudian Rasulullah saw bersabda bahawa orang yang berpindah dari satu negara
ke negara lain demi keselamatan daripada fitnah agamanya, pada hari kiamat
mereka akan berada pada tingkatan syurga yang sama dengan Nabi Isa bin Maryam.
(Ad-Durre Mansur Fi Tafseer Bil Masur Tafseer Surah Al-Hadid ayat 19 Jilid 8
halaman 59, Dar Ahya At-Turasul Arabi Beirut Edisi 2001)
Jadi,
kamu semua yang datang ke sini, apabila berhijrah semata-mata kerana Allah
Ta’ala, maka sentiasalah mengutamakan kejujuran dan kuatkan keimanan dan
beriman dan yakin pada hari perhitungan.
Hazrat
Maseeh Mau’ud as bersabda di satu tempat bahawa sesungguhnya hari pembalasan
itu satu perkara yang pasti. (Dipetik daripada Barahin Ahmadiyah Jilid 1,
halaman 460, nota kaki nombor 11). Perintah Allah Ta’ala telah disabdakan oleh
Rasulullah saw. Beliau menjelaskan dengan lebih lanjut lagi. Jadi, jika ia
perkara yang pasti maka kenapa tidak berusaha untuk mencapai ganjaran yang
terbaik dengan menjalani kehidupan sesuai dengan perintah Allah Ta’ala? Kenapa
manusia tetap memilih hukuman Allah hanya untuk memenuhi keinginan duniawi
mereka? Apapun, ini merupakan perkara yang lain. Tetapi, rumusannya ialah hari
penghisaban hendaklah diletakkan di hadapan dengan keyakinan dan keimanan yang
sempurna kepada Allah Ta’ala dan juga kesyahidan.
Hazrat
Maseeh Mau’ud as bersabda lagi: “Kesempurnaan syahid ialah ketika menghadapi
musibat, kesedihan, dan malapetaka, mereka memperlihatkan sedemikian rupa
kekuatan iman, akhlak dan kesabaran yang mana disebabkan luar biasa sekali, ia
menjadi tanda”. (Tiryaqul Quloob, Rohani Khazain Jilid 15, halaman 516)
Kemudian
beliau bersabda lagi “Sejauh mana iman itu kuat, demikian juga amalan hendaklah
kuat. Sehinggakan jika kekuatan iman ini kelihatan dengan sempurna maka seorang
mukmin berada dalam kedudukan syahid. Ini kerana dalam suatu urusan, tidak ada
lagi halangan baginya sehinggakan dia tidak lagi teragak-agak untuk memberikan
nyawa yang dia sayangi”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 226, edisi 2003, cetakan
Rabwah)
Jadi,
kesyahidan itu bukan hanya mengorbankan nyawa, malah ia juga meliputi usaha
untuk mencapai tingkat keimanan yang tinggi dan juga mencapai keredhaan Allah
Ta’ala. Setiap kali melakukan amalan dan perbuatan, dia berkeyakinan bahawa
Allah Ta’ala sedang melihatnya.
Saya
juga hendak menerangkan secara ringkas bahawa apa tingkatan iman yang telah
diletakkan oleh Allah Ta’ala ke atas orang mukmin. Allah Ta’ala berfirman: YU’MINUUNA
BIL GHAIB (Al-Baqarah:4) yakni beriman kepada perkara ghaib. Kemudian berfirman
lagi, dirikan solat, berbelanja pada jalan Allah, beriman dengan sempurna
kepada semua nabi-nabi yang terdahulu dan juga kepada Rasulullah saw. Juga
beriman kepada imam zaman dan Maseeh Mau’ud ini. Allah Ta’ala berfirman: WABIL
AAKHIRATI HUM YUUQINUUN (Al-Baqarah:5) yakni orang mukmin itu beriman kepada hari kemudian. Maksudnya mereka beriman
kepada perkara-perkara akan datang dan pada akhir zaman, perkara yang paling
besar ialah kedatangan Maseeh Mau’ud. Sebab itu Hazrat Maseeh Mau’ud as
bersabda bahawa salah satu bahagian daripada ayat WABIL AAKHIRATI HUM
YUUQINUUN (Al-Baqarah:5) ialah Allah Ta’ala menetapkan supaya beriman kepadaku.
(Dipetik daripada Review of Religions Mac & April 1915, halaman 164, jilid
14, nombor 3,4)
Kemudian,
untuk kekuatan iman Allah Ta’ala berfirman bahawa perkuatkan keimanan kamu. Tanda seorang mukmin yang hakiki ialah
mereka yang paling mencintai Allah Ta’ala. Perkara ini juga hendaklah
diperhatikan oleh setiap Ahmadi. Kecintaan kepada Allah hendaklah mengatasi
segala kecintaan yang lain. Jika ini tidak ada, maka itu menandakan iman yang
lemah.
Kemudian
keimanan kepada Allah, kepada Malaikat, kepada Kitab-kitab, dan beriman kepada
para rasul telah disebut sebelumnya bahawa semua ini perlu kepada keimanan. Dan
kemudian tingkatannya akan terus meningkat.
Kemudian,
berkenaan dengan kedudukan iman Allah Ta’ala berfirman bahawa apabila nama
Allah disebut di hadapan mereka yang beriman, maka dalam hati mereka akan
timbul ketakutan kepada Allah.
Kemudian
berkata; orang-orang mukmin adalah mereka yang berjihad pada jalan Allah
Ta’ala. Sekarang ini jihad ada berbagai jenis. Satu daripadanya ialah jihad
dengan pedang dan ia telah tamat setelah kedatangan Hazrat Maseeh Mau’ud as.
Sekarang ini sudah tidak ada lagi perang agama dan juga jihad seperti itu. Dan
jihad yang menjadi kewajipan bagi setiap Ahmadi dan untuk kekuatan iman serta
untuk mendapatkan darjat kesyahidan, di setiap tempat dan negara, ia harus
dilakukan, dan jihad itu ialah jihad tabligh. Jadi, di mana seorang Ahmadi
berjihad memperbaiki jiwanya, di sana juga seorang Ahmadi berkewajipan berjihad
menyampaikan amanat Allah. Dan jihad ini boleh dilakukan di setiap negara dan
di mana sahaja mereka tinggal.
Dan
kemudian berkata lagi bahawa berhijrah semata-mata kerana Allah Ta’ala juga
merupakan bahagian dalam keimanan.
Kemudian,
ini adalah tanda keimanan apabila orang yang beriman itu dipanggil ke arah
perintah-perintah Allah, jawapan mereka ialah SAMI’NAA WA ATHO’NAA kami
dengar dan kami taat. Mendengar perkara ini, masuk dari satu telinga, dan
tidak membiarkannya terlepas dari telinga yang lain, malah dengar dan taat, dan
ini ciri yang perlu ada begi seorang mukmin yang sejati.
Banyak
perkara dan nasihat disampaikan, khutbah yang tuan-tuan dengar bukan sahaja
didengar dan cukup. Tugas kamu ialah beramal padanya. Dengar dan itaat,
perlihatkan contoh keitaatan dalam bentuk amalan. Jadi, jika ini diusahakan
maka kamu berpeluang menjadi mukmin yang hakiki, dan kamu akan maju ke arah
tingkatan kesyahidan. Kamu akan menuju ke arah tingkat yang mengarahkan kamu ke
arah kesyahidan. Bukanlah pekerjaan seorang mukmin untuk berbahas bahawa perintah ini begini dan perintah itu begitu,
penjelasannya demikian. Ataupun saling berdebat sesama sendiri, ini bukan
pekerjaan orang mukmin.
Kemudian,
ini juga adalah pekerjaan seorang mukmin yang hakiki bahawa mendengar sahaja
perintah-perintah Allah Ta’ala maka hati terus bergetar. Dan kemudian sujud di
hadapan Allah Ta’ala memohon agar diberi kekuatan untuk melaksanakan semua
perintah-perintah itu.
Kemudian,
mereka yang begitu mencintai Rasulullah saw juga adalah seorang mukmin yang
hakiki (Sahih Bukhari, Kitabul Iman, Baab Hubbur Rasuul saw Minal Iman, hadis
15)
Jadi,
inilah ciri-ciri yang harus ada pada diri seorang mukmin pada zaman ini. Malah,
pada zaman ini, sebagaimana sabda Hazrat Maseeh Mau’ud as dalam syarat-syarat
bai’at bahawa dalam mengikuti Rasulullah saw, untuk memastikan tugas baginda
berterusan, Allah Ta’ala telah mengutus pencinta sejati baginda saw, Maseeh Mau’ud
pada zaman ini, dan berhubungan dengannya lebih baik dari segala perhubungan
duniawi. (Dipetik daripada Izalah Auham Rohani Khazain Jilid 3, halaman 564)
Jadi,
inilah ciri-ciri sebagaimana yang telah saya katakan bahawa ia perlu ada pada
setiap mukmin. Jika ini ada, maka walaupun manusia wafat secara biasa, ia boleh
mencapai darjat kesyahidan. Jadi, kita hendaklah berusaha melahirkan keyakinan
yang sempurna kepada zat Allah Ta’ala untuk mencapai tingkatan ini. Lahirkan
keyakinan sempurna terhadap Hari Pembalasan. Dalam setiap amalan masing-masing,
letakkan keyakinan ini. Dalam melakukan setiap amalan, letakkan dalam hati
keyakinan bahawa Allah sedang melihat
aku. Mohonlah pertolongan dalam menghadapi setiap kesulitan semata-mata
kerana Allah Ta’ala. Mohonlah kekuatan iman daripada Allah Ta’ala sebagai satu
tanda agung. Kuatkan keimanan sebegitu rupa sehingga tidak ada ketamakan dunia
atau keinginan yang boleh mengotorkan iman. Bersihkan hati dan fikiran dari
setiap jenis ketakutan untuk melakukan amal soleh. Lakukanlah setiap kebaikan
dengan jujur. Semoga setiap kebaikan menjadi bahagian fitrat kita. Semoga kita
semua menjadi orang yang tunduk kepada Allah untuk mendapatkan kekuatan
istiqomah dan ketenangan. Berusahalah mencari ukuran ibadat yang boleh
mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Jadi, inilah ukuran yang seharusnya
dicapai oleh seorang mukmin, dan berdoalah untuk itu. Adakah wujud seorang
mukmin yang selepas ini akan mempersoalkan bahawa kenapa kita harus berdoa untuk syahid? Inilah kesyahidan yang
sebenar yang mana seorang mukmin harus berdoa untuknya supaya dia boleh menjadi
mukmin yang hakiki.
Dengan
rujukan daripada Hazrat Maseeh Mau’ud as, perkara ringkas yang telah saya
terangkan di sini seharusnya diusahakan oleh setiap Ahmadi agar dapat dijadikan
cara hidup seharian. Dan apabila kedudukan ini ada dalam diri kita, maka
sesungguhnya kita akan bersedia menerima serangan dan tembakan daripada musuh,
dan di negara mana pun kita berada, walaupun dalam keadaan aman kita boleh
mencapai darjat kesyahidan. Semoga Allah Ta’ala memberi kita semua taufik untuk
itu.
Sebagaimana
dalam khutbah Jumaat lepas yang saya sampaikan di Hamburg, saya telah
mengumumkan bahawa hari itu ada khabar mengenai satu kesyahidan. Hari ini,
insyaAllah selepas Jumaat saya akan memimpin satu solat jenazah untuk syahid
ini yang namanya Mukarram Maqsood Ahmad Sahib ibni Mukarram Nawab Khan Sahib.
Pada 7 Disember 2012, beliai syahid di Kuetta. INNAA
LILLAAHI WA INNAA ILAIHI ROOJI’UUN. Dalam keluarga
beliau, Ahmadiyah muncul melalui moyang kepada ayah beliau Mukarram Nawab Khan
Sahib iaitu Muhtaramah Bhag Bhari Sahibah Al-Ma’ruf Muhtaramah Bhag Bhari
Sahibah. Wanita ini tinggal berdekatan Qadian iaitu di Nanggal. Dia telah
bai’at di tangan Hazrat Maseeh Mau’ud as. Selepas kewujudan Pakistan, keluarga
ini telah berpindah ke Sahiwal, Pakistan. Dalam tahun 1965, mereka berpindah ke
Quetta. Maqsood Sahib lahir di Quetta, usianya 31 tahun. Pendidikannya tahap
menengah. Beliau bekerja bersama ayahnya sebagai pengawal. Pada tahun ini juga,
dalam bulan November, abangnya Mukarram Manzoor Ahmad Sahib juga telah
disyahidkan. Sebelum syahid, Maqsood Sahib bekerja sebagai pengawal di bahagian
building construction dan juga menjalankan perniagaan kedai hardware. Selepas
abangnya syahid, dia menjalankan kedai itu sepenuh masa. Peristiwa kesyahidan
beliau adalah seperti ini: Pada 7 Disember pagi jam 9, Maqsood Sahib sampai di
kedai hardware bersama pekerjanya. Beliau menurunkan pekerjanya lalu pergi
menghantar dua orang anaknya ke sekolah di Satelite Town itu. Selepas sahaja
menurunkan anaknya di sekolah dan hendak kembali ke kedai, dengan tidak
disangka-sangka ada dua orang yang tidak dikenali menaiki motosikal datang dan
terus menembak beliau. Dengan tembakan itu didapati ada lima das tembakan masuk
ke dalam tubuhnya, iaitu empat butir peluru kena di kepalanya dan satu lagi
dibahunya. Dengan segera beliau dikejarkan ke hospital, tetapi luka yang parah
menyebabkan beliau telah syahid semasa dalam perjalanan ke hospital. INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAIHI ROOJI’UUN. Sebagaimana yang telah saya katakan bahawa pada bulan yang lepas
abangnya juga telah disyahidkan. Almarhum sangat suka mengkhidmati manusia.
Setiap kali diadakan Medical Camp, beliau bukan sahaja mewakafkan keretanya
untuk medical camp itu, malah dia sendiri yang memandunya. Demikian juga dalam
program Da’wat Ilallah, kereta beliau juga dpersembahkan untuk itu. Beliau juga
sangat memuliakan para murabbi yang datang berkunjung dan mengkhidmati mereka
dengan penuh kegembiraan. Beliau juga sangat suka melakukan khidmat di bahagian
kawalan keselamatan terutamanya selalu melakukan kawalan pada hari Jumaat. Sadr
Sahib Satelite Town Quetta memberitahu bahawa syahid marhum seorang pengkhidmat
tetamu, kurang bercakap, berakhlak mulia, lemah lembut dan sederhana. Beliau
tidak pernah marah dengan sesiapa dan juga tidak memberi peluang orang lain
untuk marah. Kadang-kadang, walaupun musuh menggunakan kata-kata yang sangat
kesat, beliau membalasnya dengan ucapan bernada riang. Tetapi, bukan bermakna
beliau tidak terasa kerana apabila dia balik ke rumah, dia akan menceritakan
peristiwa itu dan kadang-kadang menangis sedih mengenangkan kata-kata penentang
itu. Sadr Sahib memberitahu: tiga hari sebelum beliau syahid, dia menelefon
saya dan mengatakan bahawa kenapa sehingga sekarang ini tidak datang ambil
canda saya. Pada hari itu, dia memberikan candanya dengan sempurna. Beliau
sangat mencintai anak dan isterinya, beliau tidak pernah meninggikan suara di
hadapan mereka. Selain daripada ibu bapa sendiri, beliau juga sangat
menghormati ibu bapa isterinya. Beliau sangat memperhatikan keperluan mereka.
Selain ayahnya Nawab Khan Sahib, ada isterinya bernama Muhtaramah Saajidah
Maqsood Sahibah dan seorang anak lelaki bernama Masroor yang berusia Sembilan
tahun, anak perempuan bernama Maryam Maqsood berusia Tujuh tahun. Beliau
mempunyai dua kakak, manakala ibunya sudah meninggal dunia, yang ada sekarang
adalah ibu kedua, iaitu ayah mereka bernikah selepas kematian ibu mereka.
Muallim
Satelite Town menulis berkenaan dengan beliau bahawa beliau seorang yang sangat
sederhana. Beliau sangat hormat tetamu yang datang ke rumahnya. Beliau juga
sangat memuliakan para murabbi dan muallim, sangat hormat kepada mereka. Di
rumahnya ada solat center. Beliau berusaha untuk memakmurkannya. Di rumahnya
selalu didirikan solat dan dilanjutkan dengan program waqfe nou dan kelas untuk
anak-anak. Beliau sangat prihatin akan tarbiyat anak-anak. Beliau berkata: di Quetta
ini sudah melampau keadaanya, seharusnya kita harus berhijrah dari sini. Beliau
mengambil pendapat daripada muallim sahib dan bercadang hendak menulis surat
kepada saya, tetapi inilah takdir Allah Ta’ala kepadanya bahawa dia mendapat
darjat kesyahidan lebih dahulu. Mereka hanya dua beradik, dan kedua-duanya
telah terkorban pada jalan Allah Ta’ala. Ayahnya berkata dengan mengadap ke
langit: Ya Allah! Musuh telah mengambil kedua-duanya, sekarang Engkaulah
sendiri yang berurusan dengan orang-orang zalim ini.
Semoga
Allah Ta’ala meninggikan darjat marhum, kesyahidan itu telah tertulis dalam
takdirnya, semoga Allah menjadi pelindung dan penolong kepada anak-anak beliau
dan memelihara mereka. Isteri dan anak-anak serta ibu bapa dikurniakan
kesabaran dan keberanian. Semoga musuh-musuh mendapat perhitungan daripada
Allah.
----------------------------<<<>>>----------------------------
Diterjemahkan oleh
Salahuddin Syed Ali
Batu Caves, Selangor.
03 FEBRUARI 2013
No comments:
Post a Comment