Thursday, November 4, 2010

Masjid Pertama Di Ireland


Antara isi khutbah kali ini ialah:-

Kali ini adalah kali pertama kunjungan saya ke Ireland, dan tujuan kunjungan saya adalah untuk meletakkan batu asas pembinaan masjid di negara ini.

Atas arahan saya dan juga beberapa sebab yang munasabah, akhirnya hampir semua tuan-tuan setuju untuk mendirikan masjid pertama di Galway. Jika diperhatikan dari satu segi, Galway juga merupakan satu penjuru dunia.

Dan tujuan kita membina masjid, selain mensucikan diri, selain beribadat kepada Tuhan, selain untuk mengumpulkan orang Islam bagi mendirikan solat lima waktu, ia juga menjadi sumber bagi kita menyebarkan ajaran atau amanat ketauhidan ke seluruh dunia.

Banyak orang-orang yang telah bai’at kepada Hazrat Masih Mau’ud a.s, tetapi mereka tidak mampu memberi didikan kepada anak dan isteri, dan mereka tidak dapat berhubung rapat dengan Jemaat. Dan lama-kelamaan, akhirnya keturunan-keturunan mereka terpisah jauh dari Jemaat, malah ada yang langsung tidak tahu tentang Jemaat. Jadi, di mana insan berdoa bahawa ‘saya seorang yang taat, beramal atas perintah Tuhan dan berpegang erat pada tangan yang aku pegang’, di situ juga hendaklah berdoa untuk anak keturunan dan berusaha untuk memastikan mereka rapat dengan Jemaat.

Saya berharap, di mana sahaja jalan pertablighan terbuka dan merasa perlu untuk meluaskan pertablighan, di situ harus diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Lelaki, wanita, tua dan muda yang tinggal di sini, jadikanlah diri kamu sebagai contoh yang terbaik.


KHUTBAH JUMAAT

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASIH AL-KHAMISaba
17 SEPTEMBER 2010 / 17 TABUK 1389HS
09 Syawwal 1431HQ
Galway, Ireland


Tasyahud, Ta’awudz, Al-Fatihah dan Al-Baqarah:128-129

“Dan ingatlah, ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): “Ya Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.
Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadah haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.”

Kali ini adalah kali pertama kunjungan saya ke Ireland, dan tujuan kunjungan saya adalah untuk meletakkan batu asas pembinaan masjid di negara ini. Agak lama tuan-tuan yang tinggal di sini membuat keputusan sama ada masjid pertama di bina di Dublin atau Galway. Syukur kepada Allah, atas arahan saya dan juga beberapa sebab yang munasabah, akhirnya hampir semua tuan-tuan setuju untuk mendirikan masjid pertama di Galway.

Jika diperhatikan dari satu segi, Galway juga merupakan satu penjuru dunia. Ia berada di tepi laut. Lautan Atlantic bermula dari sini. Selepas itu, sepanjang garisan lurus tidak ada pulau lain selain Eropah. Ia berakhir di sini. Dan jika garisan ditarik, selepas lautan ada Kanada, Amerika dan wilayah lain akan bermula. Disebabkan ini, ia juga adalah penjuru dunia di mana pengikut Hazrat Masih Mau’ud a.s insyaAllah akan membina masjid, dengan tujuan pengumuman kesatuan dapat dilaungkan dari wilayah ini. Dan tujuan kita membina masjid, selain mensucikan diri, selain beribadat kepada Tuhan, selain untuk mengumpulkan orang Islam bagi mendirikan solat lima waktu, ia juga menjadi sumber bagi kita menyebarkan ajaran atau amanat ketauhidan ke seluruh dunia.

Suara kalimah LAA ILAAHA ILLALLAH MUHAMMADUR RASUULULLAH juga akan kita sampaikan kepada dunia. Jika kita dapat lakukan, maka sudah pasti Allah Ta’ala akan memasukkan kita dalam golongan orang-orang yang diredhai.

Atas sebab inilah Masih Muhammadi di utus ke dunia ini. Para nabi terdahulu, Rasulullah s.a.w dan juga pencinta sejati baginda s.a.w yang datang selepasnya membawa amanat yang sama, iaitu melaungkan kepada dunia ALLAAHU AKBAR. Dan juga membawa amanat LAA ILAAHA ILLALLAAH MUHAMMADUR RASUULULLAH kepada dunia lalu mengumpulkan mereka pada satu tangan dan tunduk di hadapan Allah, kemudian membawa mereka memperhambakan diri kepada Rasulullah s.a.w.

Selain daripada ini, tidak ada lagi tugas Hazrat Masih Mau’ud a.s. Apabila Allah Ta’ala memberi khabar gembira kepada beliau dengan menyatakan bahawa Mein Teri Tabligh Ko Zamin Ke Kinarong Tak Pohon Caungga, maksudnya ialah amanat tabligh yang telah dibawa oleah Rasulullah s.a.w pada zaman ini, itu juga yang akan diajarkan. Orang-orang yang telah menyempurnakan syariat, dan orang-orang yang mencari nikmat-nikmat Allah yang tidak terkira, mereka telah mendapat manfaatnya. Jadi, apabila Allah Ta’ala berfirman bahawa Aku akan menyampaikan tablighmu ke seluruh pelusuk dunia, ini bermakna beliau merasa risau mengenai amanat ini. Allah Ta’ala berfirman, pada hari di mana agama yang akan unggul di dunia, agama itu adalah agama yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w. Jadi, wahai Masih Muhammadi! Aku telah menetapkan agama ini unggul melalui engkau. Sekarang, janji dan takdir Aku, hanya Islam sahaja agama yang akan dilihat unggul di dunia ini. Jadi, jangan risau dengan kelemahan dan sarana yang kurang, serta wujudnya pelbagai halangan yang ada di hadapan.

Wahai Masih Muhammadi! Pekerjaan yang telah Aku letakkan atas kamu, ia bukan hanya tugas kamu malah ia juga adalah takdir Ilahi, dan jika ia adalah takdir Ilahi, maka sokongan dan pertolongan Aku ada bersama-sama dengan kamu. Jadi, walaupun dengan sarana yang kurang, kelemahan sebagai manusia, dan juga pelbagai halangan di hadapan, Aku akan sempurnakannya.
Dan Sejarah Jemaat Ahmadiyah menjadi saksi bahawa kita dapat melihat pertolongan Allah dari setiap arah. Melalui MTA, cuba lihat bagaimana amanat Ahmadiyah yakni Islam yang hakiki telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Dan ke mana sahaja Khalifah Waqt membuat kunjungan, dari tempat itu, suara Khalifah Imam Zaman tetap kedengaran dari segenap penjuru dunia. Dan, sebagaimana yang telah saya katakan, sebelumnya saya berada di Fiji dan di beberapa tempat yang lain juga saya telah sentuh, bahawa dari penjuru dunia ini, amanat Masih Muhammadi dapat disebarluaskan melalui Khalifahnya. Seolah-olah, amanat ini dapat sampai ke setiap penjuru dunia, lautan dan daratan. Ini juga merupakan satu dalil yang agung bagi kebenaran Hazrat Masih Mau’ud a.s. Dan ini juga menjadi bukti bahawa Tuhan bersama-sama dengan jemaat beliau. Jika ada yang mempunyai mata, maka lihatlah.

Khutbah yang disiarkan sekarang ini juga salah satu daripadanya kerana pada pendapat saya tempat ini juga satu daripada penjuru dunia.

Jadi, kita hendaklah selalu ingat bahawa pekerjaan yang telah diletakkan oleh Allah atas Hazrat Masih Mau’ud a.s, pekerjaan itu jugalah yang harus dilaksanakan oleh para pengikutnya. Dan kita juga hendaklah selalu fikirkan bahawa walaupun ada janji daripada Allah, namun Hazrat Masih Mau’ud a.s tetap risau. Walaupun berkali-kali beliau diyakinkan, namun beliau tidak kurang dalam usahanya, tidak kurang dalam berdoa, dan juga tidak kurang dalam kerisauannya memikirkan bahawa jangan-jangan ada kekurangan sendiri yang boleh menyebabkan janji Allah itu tidak berlaku. Jangan-jangan ada kelemahan yang boleh mengundang kemurkaan Allah. Semua ini telah beliau pelajari daripada Rasulullah s.a.w.

Sebagaimana yang kita lihat, baca dan mungkin sudah berkali-kali baca atau dengar bahawa, walaupun dalam perang Badar telah dijanjikan kemenangan oleh Allah, Rasulullah s.a.w sentiasa risau. Ketika berdoa, baginda begitu khusyuk dan banyak menangis, sehinggakan kain yang terletak di atas bahunya boleh terjatuh. Hazrat Abu Bakar berusaha menenangkan baginda s.a.w dengan mengatakan bahawa janji Tuhan bersama engkau, jika kita lemah dan tidak berdaya, Allah tetap menolong kita, sekarang pun akan menolong. Siapa yang lebih mengetahui hal ini melebihi diri tuan bahawa memang janji Tuhan itu benar, juga kemenangan akan berpihak kepada kita. Tetapi, Rasulullah s.a.w tidak peduli tentang apa yang dikatakan Abu Bakar dan terus-menerus berdoa kepada Allah, jangan sampai disebabkan kelemahan kami, janji kemenangan itu ditarik balik. Walaupun baginda s.a.w begitu yakin akan janji Allah Ta’ala, namun kerisauan tetap timbul dalam hati jangan-jangan ada kesilapan atau kelemahan yang menyebabkan Allah Ta’ala menarik balik kurnia-Nya. Jadi, inilah petunjuk dan ikutan yang harus diikuti oleh para pengikut, tidak mengurangi segala usaha yang dilakukan, tidak kurang dalam berdoa dan sentiasa memohon pertolongan daripada Allah. Dan tidak pernah terlintas dalam hati bahawa ‘apa yang kami capai hari ini adalah hasil usaha kami’.

Kisah nabi Ibrahim a.s dan nabi Ismail a.s mengajak kita ke arah ini. Jika direnungkan, maka pelajaran inilah yang akan kita dapati. Ketika kedua anak-beranak ini membangunkan rumah pertama Allah Ta’ala, mereka berdoa dengan penuh rendah diri: Ya Tuhan! Terimalah pengorbanan kami yang sedang kami lakukan atas perintah Engkau.

Ini adalah kerendahan hati yang sempurna kerana mereka tidak tahu melaksanakan pekerjaan itu. Cara-cara membina asas Ka’abah itu adalah berdasarkan ilham Allah Ta’ala kepada nabi Ibrahim a.s. Allah Ta’ala juga memberitahu bahawa ini adalah rumah yang paling lama. Dan ini jugalah rumah yang telah menjadi simbol kesatuan manusia ke seluruh dunia. Allah Ta’ala memerintahkan agar rumah ini didirikan atas tujuan menegakkan ketauhidan.

Namun tetap sahaja berdoa: Ya Allah! Kami harap bangunan yang sedang kami bina atas perintah Engkau ini dikaitkan dengan pengorbanan kami. Kami tidak takut bahawa selepas pembinaan ini, kami dan keturunan kami akan meramaikan tempat yang asing ini. Kami berdoa: Ya Allah! Kabulkanlah doa kami, dan sesungguhnya pengorbanan kami ini begitu rendah untuk mewarisi nikmat-nikmat yang Engkau berikan. Dan untuk menerima pengorbanan juga berdasarkan kepada kurnia Engkau. Dan jika kami beranggapan bahawa apa yang kami lakukan ini adalah satu pengorbanan, maka kami sendiri tidak tahu hakikat kebenarannya sama ada ia pengorbanan atau bukan? Jadi, Engkau yang maha mendengar segala doa-doa, kami memohon dengan rendah hati, terimalah pengorbanan kami dalam membina rumah Engkau ini. Dan hasil daripada pengabulan doa itu dizahirkan dengan cara nama kami ada hubungan dengan rumah ini.

Di mana mereka memohon pengabulan doa-doa dengan merujuk kepada sifat Sami’ Allah Ta’ala, mereka juga berdoa dengan merujuk kepada sifat ‘Alim Allah Ta’ala; ya Allah! Engkau ‘Alim, Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati kami. Engkau mengetahui keadaan hati kami. Sesungguhnya Engkau tahu sama ada kami tunduk di hadapan Engkau dengan ikhlas. Terimalah kami dan jadikanlah kami pewaris kurnia dari bangunan ini selamanya. Dan selagi dunia ini masih wujud, dan selagi nama ketauhidan Engkau sentiasa dijunjung tinggi, dekatkanlah nama kami bersamanya. Kami selalu berdoa dan berharap agar orang-orang yang datang ke masjid ini ingat akan kami dalam doa-doa mereka. Dan sesiapa pun yang ada kaitan dengannya, hendaklah diingat selalu dalam doa-doa. Pengorbanan yang telah diberikan oleh bapa dan anak ini kita masih ingat sehingga hari ini. Apabila orang Islam solat, dalam salawat setiap solat, dan dalam rakaat terakhir setiap solat nafal, apabila kita membaca salawat ke atas Rasulullah s.a.w, sekaligus disebut nama Hazrat Ibrahim a.s dan keturunannya. Kehormatan ini diperolehi oleh nabi Ibrahim a.s disebabkan kesetiaannya sedia berkorban pada jalan Allah Ta’ala. Di dalam Al-Qur’an, Allah Ta’ala berfirman mengenai Hazrat Ibrahim a.s; WA IBROOHIIMAL LADZII WAFFAA (An-Najm:38) dan Ibrahim yang setia dan menyempurnakan janjinya.

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata mengenai hal ini:-
“Selagi insan tidak memperhambakan diri kepada Allah dengan benar dan suci, selagi itulah mereka sukar untuk mendapatkan suatu darjat. Apabila Allah memberi kesaksian mengenai Ibrahim WA IBROOHIIMAL LADZII WAFFAA (An-Najm:38) bahawa Ibrahim adalah orang yang telah menyempurnakan apa yang dia katakan, maka dengan kesucian hatinya dari segala yang lain dan penuh dengan kecintaan Ilahi, dengan keredhaan Tuhan, kesukaannya sama dengan kesukaan Tuhan, tidak ada perbezaan. Semua ini diperolehi melalui doa”. (Al-Badar Jilid 2, nombor 43, tarikh 16 November 1903, halaman 334)

Kemudian beliau berkata lagi:-
“Penakut, degil, tidak setia, tidak berhubungan dengan Allah secara ikhlas dan patuh, malah bersikap memberontak, untuk apa orang-orang seperti itu? Mereka langsung tidak ada nilai dan harga. Semua harga dan kemuliaan adalah dari kesetiaan. Ibrahim a.s yang mendapat kemuliaan dan darjat itu, bagaimana caranya? Al-Qur’an telah menjelaskan WA IBROOHIIMAL LADZII WAFFAA (An-Najm:38), iaitu Ibrahim telah patuh kepada Kami. Dia dimasukkan ke dalam api, namun tidak redha dan mengatakan kepada orang kafir, aku menyembah kepada ketua kamu”. (Al-Hakam Jilid 8 nombor 4 tarikh 31 Januari 1904 halaman 1,2) yakni selain daripada ibadat kepada Allah, dia ingkar menyembah yang lain. Inilah penzahiran kesetiaan yang sempurna.
Jadi, biasanya dalam acara pembukaan masjid, ayat-ayat yang selalu dibaca ini adalah ruh yang harus kita jadikan panduan. Bangunan ini dan untuk membangunkannya, apapun pengorbanan yang telah kita berikan, kita sendiri tidak pasti sama ada pengorbanan itu satu bentuk menunjuk-nunjuk atau pengorbanan yang hakiki. Hanya Allah sahaja yang lebih mengetahuinya. Sebab itu, kita hendaklah memasukkan diri kita dalam kelompok orang-orang yang berkorban dengan cara yang sebenarnya.

Tuan-tuan akan membangunkan masjid dan jelas bahawa perbelanjaan masjid ini adalah dari pengorbanan kewangan anggota Jemaat. Jadi, kita hendaklah menimbang hati kita disertai dengan doa-doa semasa kita memberikan pengorbanan untuk tujuan ini. Doanya; ya Tuhan! Jadikanlah pengorbanan kami ini sebagai sarana untuk mendapatkan keredhaan Engkau. Janganlah biarkan dalam hati kami timbul perasaan bahawa wang yang kami berikan ini adalah pengorbanan yang amat besar.

Di kalangan tuan-tuan di sini ramai yang mempunyai pendapatan lumayan. Di Pakistan dan negara-negara miskin yang lain seperti di Afrika, orang-orang Ahmadi terpaksa mengikat perut apabila hendak membina rumah Allah. Namun, walaupun demikian, ramai di antara mereka yang sentiasa berkeinginan untuk terus membuat pengorbanan demi pengorbanan. Di Afrika, ramai yang saya kenal keadaan mereka sebelumnya kurang baik, namun mereka tetap berkorban. Dengan kurnia Allah, keadaan mereka sekarang telah berubah, mereka semakin maju dalam hidup. Dan, dengan kewangan yang berlebihan, mereka bukan berfikir untuk kesenangan hidup, tetapi sentiasa memikirkan untuk membangun rumah Allah. Ada juga orang perseorangan yang membuat masjid yang indah dan cantik dengan perbelanjaan sendiri. Allah Ta’ala telah meletakkan semangat pengorbanan yang luar biasa dalam diri pengikut Hazrat Masih Mau’ud a.s. Selepas itu, mereka tidak pula berfikir bahawa saya telah melakukan pengorbanan itu.

Saya jelaskan di awal tadi bahawa ramai yang telah setuju tentang tapak masjid yang pertama, tetapi mungkin ada yang berkeinginan agar masjid dibina di Dublin terlebih dahulu. Ada juga yang telah menulis surat kepada saya. Anggota Jemaat di sana ramai, sebab itu keinginan mereka juga ada benarnya. Tetapi, ada beberapa sebab yang menyebabkan masjid pertama dibina di sini. Sebab itu, orang-orang yang tinggal di Dublin hendaklah membuat pengorbanan dengan hati yang terbuka walaupun keputusan itu tidak memihak kepada mereka. Jangan berfikiran bahawa kami hanya akan berkorban jika masjid dibina di Dublin. Ini adalah projek Markazi, jadi hendaklah mengambil bahagian. Apabila masjid akan dibina di Dublin, insyaAllah semua orang akan mengambil bahagian juga. Ini adalah jalan pertama yang dibuka. Selepas pembinaan masjid ini, pembangunan masjid lain tidak akan ditutup. Inilah penzahiran kesetiaan yang hakiki. Untuk memperlihatkan kesetiaan, janji harus ditunaikan.

Jadi, setiap Ahmadi yang telah berjanji saya akan selalu bersedia mengorbankan nyawa, harta, waktu dan kehormatan saya. Jadi, hal ini hanya akan kekal sekiranya setiap Ahmadi mengambil bahagian dalam pembinaan masjid itu. Hari ini, tuan-tuan dituntut untuk melakukan hal ini. Kedekatan kepada Allah hanya akan diperolehi sekiranya janji setia ditunaikan. Bangunan yang hendak didirikan bagi tujuan orang ramai dapat beribadat, pengorbanan apa yang lebih baik daripada itu? Dalam pembinaan rumah Allah, orang-orang pilihan Tuhan telah mempersembahkan apa sahaja yang ada pada mereka. Dan Tuhan telah menerima pengorbanan mereka dengan melahirkan seorang nabi agung dari keturunan mereka, dan nama mereka berdua sentiasa disebut-sebut sehingga hari kiamat bersama-sama nama nabi yang agung itu.

Jadi, pengorbanan seperti inilah yang akan diterima di sisi Allah. Hari ini juga kita diperintahkan; bangunkanlah rumah Allah dengan meletakkan contoh pengorbanan ini. Kamu hendaklah hadapkan kiblatnya ke arah rumah lama Allah Ta’ala itu supaya di mana perhatian kamu akan terarah kepada Allah Ta’ala, di situ juga kamu ingat akan pengorbanan nabi-nabi itu. Jadikan iktibar kesetiaan mereka untuk kamu cenderung setia. Pasti Allah Ta’ala akan mendengar doa-doa kita.

Jadi, inilah ruh yang harus dikekalkan oleh mereka yang membangunkan masjid. Dan untuk mengekalkan ruh ini dijelaskan dengan lebih terperinci dalam ayat-ayat berikutnya. Dua ayat ini, iaitu kekal dalam kesetiaan dan teratur dalam pengorbanan, yang merupakan antara amalan yang harus diambil perhatian selalu. Kedua-dua kekasih Allah ini selalu berdoa ROBBANAA WAJ’ALNAA MUSLIMAINI LAKA, yakni, jadikanlah kami berdua orang yang sentiasa tunduk kepada Engkau.

Jadi, syarat pertama orang yang membina tempat ibadat ialah mereka hendaklah orang yang patuh. Di sini mengarah kepada kesetiaan yakni, bersama-sama dengan kesetiaan yang sempurna ialah kesempurnaan kepatuhan. Ataupun penzahiran orang yang betul-betul sempurna dalam kepatuhan ialah orang yang tinggi nilai kesetiaan mereka. Apabila insan sempurna dalam kepatuhan, maka tingkat ini akan dapat dikekalkan. Seorang hamba yang berjanji akan patuh kepada Allah atau berdoa, itu bermakna dia cenderung untuk berusaha memperlihatkan keitaatan yang terbaik. Dan contoh itaat yang terbaik ialah dia berusaha mengamalkan perintah-perintah Tuhan dengan bersungguh-sungguh. Dan dalam perintah-perintah itu, jika menyempurnakan hak-hak Allah, di situ juga dia akan menunaikan hak-hak hamba. Di mana dia berusaha untuk meninggikan nilai ibadatnya, dia juga cenderung untuk mentaati Nizam Jemaat, cenderung untuk menyempurnakan hak-hak manusia.

Apabila contoh ini dapat didirikan sendiri oleh seorang insan dan berdoa untuk itu, maka akan timbul dalam fikiran ‘jangan sampai kebaikan ini berakhir hanya pada saya sahaja dan tidak berlangsung terus dalam keturunan saya’. Oleh sebab itu, bersama-sama dengan pembangunan rumah Allah, doa juga diajarkan iaitu; lahirkan juga dari keturunan kami jemaat yang suci dan patuh yang memberi perhatian dalam ibadat terhadap Engkau, yang kuat hubungannya dengan Nizam Jemaat, yang menzahirkan akhlak yang tinggi dan menunaikan hak-hak orang lain.

Banyak orang-orang yang telah bai’at kepada Hazrat Masih Mau’ud a.s, tetapi mereka tidak mampu memberi didikan kepada anak dan isteri, dan mereka tidak dapat berhubung rapat dengan Jemaat. Dan lama-kelamaan, akhirnya keturunan-keturunan mereka terpisah jauh dari Jemaat, malah ada yang langsung tidak tahu tentang Jemaat. Jadi, di mana insan berdoa bahawa ‘saya seorang yang taat, beramal atas perintah Tuhan dan berpegang erat pada tangan yang aku pegang’, di situ juga hendaklah berdoa untuk anak keturunan dan berusaha untuk memastikan mereka rapat dengan Jemaat. Hanya dengan itu akan beroleh kejayaan. Inilah satu silsilah berdoa yang harus sentiasa diamalkan. Dan bersama dengan doa itu, mereka juga harus berusaha untuk mencapai tujuan pembinaan rumah Allah. Jika ini yang terjadi, maka dunia akhirat seorang insan akan menjadi lebih baik.

Doa Hazrat Ibrahim dan Hazrat Ismail a.s telah dikabulkan oleh Allah. Dan sebagaimana yang telah saya katakan bahawa tempat itu telah menjadi tumpuan dunia. Dan dari keturunan mereka lahir Rasul agung s.a.w yang mana telah menunjukkan cara keitaatan, kesetiaan dan ibadat yang sebenar. Allah Ta’ala telah menetapkan bahawa Rasulullah s.a.w lebih unggul dari nabi Ibrahim a.s melalui firman-Nya LAQOD KAANA LAKUM FII RASUULIL LAAHI USWATUN HASANATUN (Al-Ahzab:22) Sesungguhnya dalam diri Rasul Allah itu ada uswah hasanah untuk kamu. Dan dalam uswah hasanah itu, apa yang telah kamu lihat?

Hari ini, saya akan menceritakan dengan merujuk kepada masjid. Dalam soal ibadat, baginda s.a.w menunjukkan contoh teladan yang terbaik. Baginda s.a.w bukan hanya beramal sendiri, tetapi baginda s.a.w juga meniupkan ruh seperti itu dalam diri para sahabatnya. Di Madinah, apabila berkumpul untuk menunaikan solat, pertama sekali baginda s.a.w meletakkan batu asas masjid supaya umat baginda s.a.w dapat cenderung untuk mentauhidkan Allah, dapat berkumpul di satu tempat untuk menunaikan ibadat solat. Kemudian, dunia juga telah melihat bahawa Masjid Nabawi menjadi tempat ibadat siang dan malam, sehingga hari ini hal itu yang berlaku.

Jadi, di samping membangunkan masjid, doa agar keturunan melekat kepada masjid juga harus dipohon, hanya dengan itu sahaja tujuan pembinaan masjid itu dapat dicapai. Jika tidak, batu-bata, simen, kayu dan perkakas lain itu tidak memberi makna apa-apa. Jadi, jangan disangka bahawa ‘kami telah memberikan pengorbanan untuk masjid dan tugas kami telah selesai’. Dari perletakan batu asas untuk pembinaan masjid sehinggalah atapnya, menjadi kewajipan bagi kita semua untuk berdoa demi kemakmuran masjid, ini bertujuan agar hati kita ikhlas beribadat kepada Allah, dan hati anak-anak kita juga cenderung untuk beribadat kepada Allah.

Ada juga masjid yang telah dinyatakan oleh Allah yang asasnya menjadi punca perpecahan. Tetapi, kita harus meletakkan masjid yang berdasarkan ketakwaan. Jadi, asas pembinaan masjid yang sebenar ialah kita menjadi lebih banyak cenderung untuk beribadat kepada Allah berbanding dengan yang dahulu. Dan apabila pembinaannya tamat, kita harus berfikir bagaimana untuk memakmurkan masjid berkenaan.

Kemudian, dalam ayat ini juga ada doa, ajarkanlah kepada kami cara untuk beribadat, ajarkanlah kepada kami untuk melakukan pengorbanan yang boleh diterima di sisi Engkau. Dan tingkatkan lagi mutu ibadat kami berbanding sebelumnya. Tinggikan lagi nilai pengorbanan kami. Jadi, masjid ini meletakkan tanggungjawab yang besar untuk penduduk di sini, jika usul ini dipegang dengan cara yang sebenarnya maka kita akan diterima di sisi Allah.

Terakhir, dalam ayat ini ada satu doa iaitu TUB ‘ALAINAA. Maksudnya, walaupun berapa banyak kami berusaha, cenderung melakukan ibadat, cenderung menyempurnakan huquuqul ‘ibad, cenderung untuk memperbaiki akhlak anak-anak, cenderung untuk mengenali amanat Engkau, namun pekerjaan kami tetap dalam kekurangan. Ini adalah tuntutan manusia biasa. Pasti ada kelemahan. Jangan sampai disebabkan kemalasan kami menyebabkan tugas yang diamanahkan kepada kami menjadi hilang. Jadi, kami tetap berdoa; ya Allah! Berilah kami kecenderungan terhadap kurnia-kurnia Engkau, dan maafkanlah kami, ampunkanlah jika ada kelemahan dan kekurangan kami. Engkau menerima taubat dan Maha Penyayang.

Taubah itu hanya akan diterima sekiranya tidak sengaja melakukan kesalahan. Dan mereka yang selalu memohon kasih sayang Tuhan akan mendapat kasih sayang-Nya. Jadi, banyakkan berdoa dan melakukan amal soleh, hindari keburukan dan berusaha terus-menerus untuk menjauhinya. Jika hal ini berterusan, maka Tuhan akan menurunkan kurnia dan kasih sayang-Nya. Dan bersama dengan pembinaan masjid, pembinaan rumah Tuhan ini, kita harus melekatkan diri ke arahnya dan mengenali tanggungjawab kita untuk memakmurkannya.

Hari ini, dengan acara pembukaan masjid ini, media percetakan juga akan mengambil perhatian. Ramai yang sebelumnya tidak tahu mengenai Ahmadi, atau mereka belum berapa mengetahui tentang Jemaat, mungkin selepas acara ini, mereka akan mendapat pengetahuan. Dan ini adalah pengalaman dari berbagai negara, bahawa orang ramai akan dapat maklumat. Semakin tinggi bangunan yang dibina, maka ia akan menarik perhatian orang, dan apabila perhatian orang sudah ke arah ini, maka Ahmadi juga akan dapat merasakan bahawa mereka semakin menuju kemajuan.

Tuan-tuan di sini akan menjadi perhatian orang sekeliling. Saya berharap, di mana sahaja jalan pertablighan terbuka dan merasa perlu untuk meluaskan pertablighan, di situ harus diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Dan sebagaimana yang selalu saya nyatakan bahawa Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata, jika mahu menerangkan tentang Islam dan menyampaikan amanat yang benar, maka bina satu masjid di tempat berkenaan. Saya yakin, dengan terbinanya masjid ini, maka tuan-tuan juga akan terdorong untuk melakukan tabligh yang lebih luas. Jika hendak menyempurnakan janji kamu, jika hendak membuktikan kesetiaan kamu, maka dengan rasa berat hati pun kamu harus bergerak. Tetapi, lelaki, wanita, tua dan muda yang tinggal di sini, jadikanlah diri kamu sebagai contoh yang terbaik. Kamu perlu banyak bertaubat dan beristighfar kepada Allah supaya Allah Ta’ala sentiasa memberi kekuatan dan dikurniakan amal soleh.

Lihat, Hazrat Ibrahim a.s dan Hazrat Ismail a.s sahaja berdua ketika mendirikan asas Ka’abah. Tetapi, apabila pembangunan bermula mereka kekal atas keyakinan bahawa Allah Ta’ala yang menugaskan mereka untuk melaksanakan pekerjaan yang amat mulia ini, pada masa akan datang Dia akan mengembangkan keturunan kita. Sebab itu, untuk mereka juga telah didoakan. Tetapi, kita sebagai umat Muhammad s.a.w dan mempunyai hubungan dengan pencinta sejati baginda s.a.w, maka kita akan dapat melihat keturunan seperti ini.

Pada zaman ini, Hazrat Masih Mau’ud a.s juga disebut sebagai Ibrahim dalam ilham. Sebab itu, doa-doa Ibrahim ini akan dikabulkan, dan kita telah melihat dan sedang melihat hasilnya. Allah Ta’ala berfirman dalam sebuah ilham kepada beliau “URIIHUKA WALAA JIIHUKA WA UKHRIJU MINKA QOUMAN”, yakni Aku akan beri kemudahan kepada engkau, Aku tidak akan padamkan namamu, dan Aku akan lahirkan kaum yang besar dari engkau”.

Beliau berkata:
“Bersama dengan itu juga timbul pemahaman dalam hati tentang maksudnya iaitu sebagaimana Aku jadikan kaum untuk Ibrahim”. (Ilham 27 Mei 1906, Tazkirah Edisi Keempat halaman 530)

Jadi, kaum yang sedang terbina melalui pencinta Rasulullah s.a.w, itu adalah pertolongan daripada Allah Ta’ala yang khas. Dan untuk sarana kaum itu beribadat, Allah Ta’ala menyediakan sarana dengan pembinaan masjid ini. Tetapi, untuk mengambil faedah daripada berkat pembangunannya, kita perlu banyak beristighfar dan taubah supaya kita dan keturunan kita akan sentiasa dapat makan buahnya, pengorbanan kita juga dapat diterima di sisi Allah, nilai ibadat kita akan terus meningkat, dan kita dapat menanamkan ruh Ahmadiyah yakni Islam yang hakiki dalam diri keturunan kita yang akan datang. Mudah-mudahan Allah memberi kita semua taufik untuk itu.


No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...