Friday, November 12, 2010

IBADAT HAJI




IBADAT HAJI – FALSAFAH DAN HIKMAHNYA

Kedengaran suara tangisan dari bumi Hijaz yang kering gersang. Seorang anak yang amat kehausan sedang merintih. Seorang ibu kebingungan tidak tahu apa yang boleh diberikan untuk menghilangkan kehausan anaknya. Dalam keadaan risau yang teramat sangat dia meninggalkan anaknya dan berlari menuju sebuah bukit dengan harapan ada sumber yang boleh diperolehi untuk anaknya, atau ada pertolongan yang dia boleh dapatkan. Namun, tidak ada apa-apa yang kelihatan. Dengan kekecewaan yang ada, dia berlari lagi ke bukit yang berhadapan dengannya disertai setinggi-tinggi harapan agar ada yang dapat membantu. Tetapi, keadaan tetap sama sahaja. Hanya bukit-bukit pasir yang kelihatan. Dalam keadaan tidak tenteram memikirkan anaknya, dia telah berulang-alik sebanyak tujuh kali semata-mata berusaha menamatkan penderitaan anaknya. Kerana tidak mendapat apa-apa yang diinginkan, dia kembali mendapatkan anaknya yang malang itu. Apa yang dia dapati, kesedihannya telah hilang apabila melihat berdekatan dengan kaki anaknya terdapat mata air yang sedang mengalir.

Ibu tersebut ialah Hajar yang telah ditinggalkan oleh nabi Ibrahim atas perintah Tuhan di tempat yang tidak ada tanda-tanda kehidupan. Pengorbanan ini bukanlah pengorbanan yang biasa. Seorang bapa meninggalkan anak sulungnya semata-mata kerana Allah, yang mana anak itu mungkin boleh membantunya apabila besar nanti. Namun, Allah membalas dan memberikan ganjaran walau sekecil apa pun kebaikan yang dilakukan sebagaimana firman-Nya dalam surah As-Shaff ayat 111, KAZAALIKA NAJZIL MUHSINIIN.

Keagungan pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh nabi Ibrahim, Hajar dan nabi Ismail telah dipelihara oleh Allah selama-lamanya. Hakikat sebenar falsafah dan maksud pengorbanan ini ditanamkan dalam hati manusia dengan penetapan ibadat Haji sebagai salah satu daripada rukun agama Islam. Dan doa yang terucap dari bibir nabi Ibrahim telah sempurna dengan jayanya.

ROBBANAA, INNII ASKANTU MIN ZURRIYYATII BIWAADIN GHOIRI ZII ZAR’IN ‘INDA BAITIKAL MUHARROM, ROBBANAA LIYUQIIMUS SHOLAATA FAJ’AL AF IDATA MINAN NAASI TAHWI ILAIHIM WAR ZUQHUM MINAS TSAMAROOTI LA’ALLAHUM YASYKURUUN (Surah Ibrahim:38)

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku menempatkan di antara anak-anakku di lembah yang tidak ada tanaman di sisi rumah-Mu yang terhormat. Wahai Tuhan kami! Agar mereka menunaikan solat, maka cenderungkanlah hati manusia kepada mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan, supaya mereka bersyukur.”

Ibadat Haji merupakan satu ibadat yang benar-benar dititikberatkan. Dan ada di antara pengkritik yang cuba memberi kritikan. Namun, kalau dilihat dengan hati yang tulus, akan jelas kepada kita bahawa ibadat Haji ini merupakan satu pelajaran yang memberitahu tentang ketauhidan yang Maha Agung. Untuk menunaikan ibadat Haji, manusia dari umat nabi Muhammad s.a.w datang dari pelusuk dunia dengan mengenepikan semua kesusahan dan halangan, dan melaungkan LABBAI KALLAA HUMMA LABBAIK.

Pengkritik bertanya; kenapa ibadat Haji hanya dikhaskan kepada satu tempat sahaja? Memang kalau dilihat orang-orang Islam India boleh berkumpul di India, orang Islam Pakistan boleh berkumpul di Pakistan, dan orang Islam Malaysia boleh berkumpul di Malaysia. Namun, penetapan satu tempat khusus untuk ibadat Haji ini adalah amat perlu untuk kesatuan umat Islam, di mana pada hari menunaikan ibadat Haji, setiap kaum dari pelbagai tempat dan negara yang berlainan datang berkumpul. Di sinilah mereka dapat berinteraksi tanpa mengenal perbezaan latar belakang mereka. Masa menunaikan solat adalah berbeza, puasa adalah berbeza, zakat juga adalah berbeza, kalau ada suatu ibadat yang boleh menyatukan mereka, tidak ada ibadat lain selain ibadat Haji yang letaknya di Mekah. Memang kalimah Taiyibah semua Islam sepakat dan sama, namun penzahirannya tidak kelihatan. Sebaliknya Ka’abah adalah merupakan satu tempat yang mengumpulkan semua orang Islam dari pelbagai firqah atau mazhab yang berlainan. Semuanya datang dan menetapkan dalam hati mereka bahawa permusuhan dan sebarang pertelingkahan harus disingkirkan. Keagungan tempat perlumpulan mereka ini telah diberitahu oleh Allah melalui Al-Qur’an sebagaimana firman-Nya:-

INNA AUWALA BAITI WUDHI’A LINNAASI LALLAZII BI BAKKATA MUBAAROKAU WA HUDAL LIL ‘AALAMIIN. FIIHI AAYAATUM BAIYINAATUM MAQOOMU IBROOHIIM, WAMAN DAKHOLAHUU KAANA AAMINAN (Ali Imran:97-98)

Maksudnya:-
“Sesungguhnya rumah pertama yang dibangunkan untuk manusia adalah yang letaknya di Bakkah (Mekah) yang menjadi sumber berkat dan petunjuk bagi seluruh alam. Di dalamnya tanda-tanda yang jelas iaitu tempat Ibrahim, dan barangsiapa yang masuk ke dalamnya akan mendapat keamanan.”

Yakni, inilah tempat pertama yang telah dipilih khas oleh Allah untuk peribadatan manusia. dan inilah tempatnya keagungan nabi Ibrahim a.s dan nabi Ismail a.s menjadi nyata, dan yang paling jelas lagi ialah dari tempat inilah Allah Ta’ala telah membangkitkan seorang nabi yang agung iaitu nabi Muhammad s.a.w. Dengan kurnia Allah, bukan sahaja doa nabi Ibrahim a.s telah dikabulkan, malah tempat ini telah ditetapkan sebagai satu tempat yang bermanfaat untuk kerohanian, perkumpulan dan kemasyarakatan manusia sehingga hari kiamat. Kesucian dan keagungan tempat menunaikan ibadat Haji ini tidak dapat digambarkan dan semua manusia menjadi saksi bahawa ‘pengorbanan mereka yang telah berkorban tidak akan disia-siakan’.

Dalam menunaikan ibadah Haji, manusia berusaha dengan pelbagai cara untuk menarik kecintaan Allah. Hazrat Masih Mau’ud a.s menerangkan tentang falsafah dan hikmah ibadat Haji dengan berkata:-

“Dalam alam percintaan, ruh insan berputar mengelilingi kekasihnya dan mencium gambarnya. Demikian juga Ka’abah, secara jasmani diberi sebagai contoh kepada para pencinta kebenaran dan Tuhan berfirman: “Lihat, itu adalah rumah Aku, Hajar Aswad adalah batu istana-Ku”, dan peraturan ini ditetapkan adalah supaya manusia secara jasmani menzahirkan lambang kecintaan mereka. Jadi, orang yang menunaikan ibadat Haji, secara jasmani mereka mengelilingi tempat ibadat Haji. Keadaan ini dibuat untuk melambangkan mereka tenggelam dalam mencintai Tuhan. Menjauhi perhiasan, mencukur rambut kepala, mereka seperti tidak sedarkan diri berjalan dengan penuh keasyikan mengerjakan tawaf. Kemudian mengucup batu dengan membayangkan batu itu dari istana Tuhan yang mana dengan secara jasmani ini ia dapat melahirkan perasaan cinta dalam rohaninya. Tubuhnya berjalan (tawaf) mengelilingi rumah-Nya dan mengucup batu istana-Nya, dan pada masa yang sama ruhnya mengerjakan tawaf mengelilingi Kekasihnya yang sebenar dan mengucup istana rohani-Nya dan dalam perbuatan ini tidak ada syirik. Seorang teman yang menerima sepucuk surat dari teman istimewanya akan mengucup suratnya. Tidak ada seorang Muslim pun yang menyembah Ka’abah, dan tidak juga membuat permohonan atas nama Hajar Aswad. Ia hanya merupakan satu ketetapan dari Tuhan untuk dilakukan dan tidak lebih dari itu. Sebagaimana kita sujud ke bumi, bukan bererti kita sujud kepada bumi. Demikian juga kita mengucup Hajar Aswad bukan bererti kita lakukan untuk batu tersebut. Batu tetap batu yang tidak memberi sebarang bahaya atau kebaikan tetapi ia ibarat tangan Tuhan yang mana ia meletakkannya sebagai lambang istana-Nya. (Chasymae Ma’rifat, Rohani Khazain, Jilid 23 halaman 100)

Semasa menunaikan ibadat Haji, manusia tawaf mengelilingi Ka’abah dengan memakai kain berwarna putih yang melambangkan bahawa hati dan jiwanya bersih dan suci dari segala keburukan. Sebagaimana insan dalam keadaan suci sewaktu kelahirannya, seperti itulah manusia seolah-olah baru lahir. Kain kafan juga berwarna putih, ini bermaksud lelaki dan wanita apabila tawaf dengan memakai kain putih mereka diperingatkan dengan keadaan di padang Mahsyar iaitu hari penghisaban amalan manusia. Keadaan seperti ini tidak dapat dilihat di tempat lain melainkan di Mekah. Mereka memakai kain yang tidak berjahit melambangkan mereka tidak mengikat diri mereka dengan keduniaan dan hadir di istana-Nya. Kemudian mereka tidak menyikat rambut dan kelihatan seperti tidak sedarkan diri tanpa mempedulikan perhiasan dan keadaan mereka dengan cara memusatkan perhatian kepada Allah. Kemudian apabila mereka menunaikan tawaf mengelilingi Ka’abah, hati dan ruh mereka memuji-muji Pencipta seolah-olah mereka menzahirkan bahawa pusat kehidupan mereka hanya Allah, sebagaimana bintang-bintang mengelilingi matahari. Akhir sekali pada kali terakhir tawaf, mereka mengucup Hajar Aswad, bertepatan seperti seorang kekasih yang mencium benda kesayangan kepunyaan kekasihnya padahal dia tahu bahawa benda-benda seumpama itu tidak membawa apa-apa kesan. Seperti juga Hazrat Umar satu kali semasa mengucup Hajar Aswad dia berkata: “Saya tahu kamu adalah batu yang mana tidak membawa sebarang faedah dan tidak dapat memberi apa-apa bahaya, andai sahaja aku tidak melihat Nabi Muhammad s.a.w mengucupmu, aku juga tidak akan mengucupmu”. Amalan ini hanya merupakan satu lambang penzahiran kecintaan.

Selain daripada itu, amalan Sa’i juga termasuk dalam ibadat Haji iaitu berlari-lari anak sebanyak tujuh kali di antara Safa dan Marwah. Sebenarnya amalan ini adalah untuk memperingati pengorbanan yang telah diperlihatkan oleh Hajar di tanah Hijaj dan hasil daripada pengorbanan tersebut. Demikian juga seorang yang menunaikan ibadat Haji akan melakukan pusingan itu yang membawa maksud bahawa hanya semata-mata kerana Allah mereka sanggup menanggung apapun kesusahan dan Allah tidak akan melupakan pengorbanan yang mereka persembahkan.

Allah Ta’ala berfirman berkenaan dengan hal ini dalam Al-Qur’an seperti berikut:-

INNAS SHOFAA WAL MARWATA MIN SYA’AA IRILLAAHI FAMAN HAJJAL BAITI AWI’TAMARA FALAA JUNAAHA ‘ALAIHI AIYAT TAUWAFA BIHIMAA (Al-Baqarah:159)

Maksudnya:-
Sesungguhnya Shofa dan Marwah adalah daripada tanda-tanda Allah. Mereka yang menunaikan ibadat Haji pada rumah itu atau Umrah, tidak ada dosa bagi mereka sekiranya berlari-lari antara kedua-duanya”.

Haji berkaitan khusus dengan ibadat manakala Shofa, Marwah, Mina dan Arafah merupakan tempat-tempat suci yang menunjukkan mukjizat Tuhan. Dengan menziarahi tempat-tempat ini ia menjadi penyegar kepada keimanan dan rohani manusia.

Di Mina, terdapat tiga tempat untuk melontar iaitu Jumratul Ula, Jumratul Wushta dan Jumratul Aqabah. Ini untuk menzahirkan kebencian dan ketidaksukaan terhadap syaitan dan secara zahir melambangkan mereka berjanji akan sentiasa menghindari pengaruh syaitan dan akan sentiasa menunjukkan fitrat semulajadinya yang baik.

Selepas melontar, pengorbanan akan dibuat. Pengorbanan ini dilakukan untuk menggambarkan bahawa orang yang berkorban itu berjanji kepada Allah bahawa sebagaimana binatang itu sedia untuk dikorbankan, demikian juga mereka akan bersedia berbuat seperti itu bila diperlukan.

Selain itu, orang yang menunaikan Haji akan mencukur rambut mereka. Dalam mana-mana mazhab pun, mencukur rambut adalah satu petanda bahawa seseorang itu telah mewakafkan dirinya. Selain orang Islam, orang Hindu, Buddha dan Kristian mencukur rambut mereka bila menunjukkan mereka telah mewakafkan diri mereka. Ini memberi gambaran bahawa orang yang menunaikan Haji pada waktu tersebut sanggup mengorbankan keinginannya dan hanya mengutamakan keinginan Tuhan.

Inilah pengorbanan agung yang telah dipersembahkan oleh Hazrat Ibrahim a.s dan Tuhan telah menyukai pengorbanan ini, lalu sebagai memperingatinya shingga hari Kiamat, ia telah dibuat dalam bentuk ibadat Haji. Inilah pengorbanan hakiki Nabi Ibrahim a.s sebagaimana disebutkan dalam Al-Qur’an iaitu:-

INNAS SHOLAATII WA NUSUKII WA MAHYAAYA MA MAMAATI LILLAAHI ROBBIL ‘AALAMIIN (Al-An’am:163)

Ertinya;
Sesungguhnya solatku, pengorbananku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang benar dari ibadat Haji dan dapat mengamalkannya dalam kehidupan. Amin.


Dipetik dan diterjemahkan dari
Ahmadiyya Gazzette, August-September 2004.
Saladdin Syed Ali
barahin.ahmadi@gmail.com

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...